Monday, 2 December 2013

Tic Tac Toe (Bab 5): Jill Naura


PAGI ITU cukup indah. Matahari menyinarkan mentarinya lebih terang daripada biasa. Burung-burung yang keluar mencari rezeki berkicauan lebih rancak daripada selalu. Udara pagi juga dirasakan cukup segar. Sekitarnya memancarkan aura kegembiraan. Dirinya tidak terkecuali.
Sempat dia menelek wajahnya di cermin pandang belakang kereta. Rambutnya dipastikan masih terdandan kemas dan tali lehernya dipastikan terletak pada tempatnya. Seketika dia memuji diri dalam hati. Lelaki tampan sepertinya memang menjadi kegilaan ramai wanita. Ditambah pula dengan bidang kerjayanya yang masyur. Tambah oomph!
Fikhri tersenyum bangga saat melangkah keluar dari Honda Hybridnya yang berwarna kelabu. Kalaulah dia tahu begini megahnya perasaan menjadi seorang lelaki berkarier, dari awal lagi dia tidak akan ponteng kerja. Masuk hari ini, sudah dua minggu berturut-turut dia hadir ke pejabat. Satu pencapaian yang amat besar buat dirinya! Sukar untuk dia akui, cadangan ayahnya berjaya mengubah sikapnya.
Usai menguncikan kenderaannya, Fikhri menghayunkan kakinyanya dengan lancar seperti buaian. Ringan sahaja kakinya melangkah. Matanya memandang ke arah satu haluan sahaja: pintu masuk bangunan pejabat. Selangkah demi selangkah, dirinya semakin merapati destinasi sasaran.
“Fikhri!”
Satu suara yang amat dikenalinya menyapa dari belakang. Serta merta langkahnya mati. Perutnya berkocak,  jantungnya mula berdegup pantas. Peluh dingin dirasakan mula terbentuk di segelinap pelusuk tubuh. Tekaknya lantas terasa kering.
Fikhri membatu. Dia enggan menoleh atau bersuara. Di belakangnya kedengaran bunyi tapak kasut tinggi. Tanpa perlu memandang, dia tahu si pemakainya sedang berlari-lari anak mendekati dirinya.
“Sampai hati you tak contact I. Dah dua minggu lebih tau”  Afrina merengek sebaik sahaja bersemuka dengan Fikhri. Rasa meluat tercuit di jiwa lelaki itu.
Fikhri merenung tajam kelibat Afrina dari atas ke bawah. Berbeza dengan Zhila, Afrina seksi. Dengan rambutnya yang diwarnakan merah, selamba sahaja dia keluar rumah dengan memakai skirt pendek dan singlet. Fikhri akui. Dia rimas apabila kekasihnya itu sering menjadi perhatian ramai lelaki. Tetapi, siapa yang boleh menyalahkan mereka? Fikhri sendiripun kadang kala gemar mencuci mata dengan aurat Afrina yang terdedah walau hakikatnya dia sendiri tidak menyukai wanita yang terlalu seksi.
I ke yang bersalah? You pun tak cuba contact I. Yelah, mana nak ingat pada I-kan? Asyik ingat pada lelaki Itali tu je” Fikhri memerli tajam. Seketika, Afrina terkesima.
“Apa you cakap ni. I berkali-kali cuba contact you. You yang tak nak angkat telefon” Afrina mengomel dalam nada manja. Kakinya dihentak-hentak seperti kanak-kanak yang merengek apabila permintaannya tidak diturutkan.
“Tak payahlah you nak berlakon. You ingat I bodoh? I nampak dengan mata kepala I sendirilah you berpelukan dengan lelaki alien tu” desis Fikhri.
Mood baiknya langsung rosak. Tiba-tiba sahaja dia rasakan matahari sudah berhenti menyinar dan burung-burung sudah berhenti berkicauan.
“Lelaki alien mana pulak ni? Mesti ada orang yang buat cerita. Sampai hati you tak percayakan I
“Blahlah. Tak payah nak buat-buat nada manja tu. I cakap I nampak, I nampaklah!”
“Dekat mana you nampak I?”
“Dekat resort Teluk Dalam dekat Pangkor dua minggu lepas”
You salah orang tu. Waktu tu I dekat Sabahlah. Kan you sendiri yang hantar I ke airport” Afrina cuba memujuk dengan rengekan manjanya.
“Yelah. I hantar you ke airport. Lepas tu you tengah tunggu kapal terbang tu you jumpa dengan lelaki Itali tu. Lepas tu you sembang-sembang, goda-goda… lepas tu lelaki tu belikan you handbag…” Fikhri melirihkan matanya pada beg tangan Afrina yang tampak baru dan berjenama. Afrina mengepit rapat beg itu di celah lengannya, seolah-olah cuba menyorokkan barang itu dari pandangan Fikhri.
“Lepas tu dia belikan you perfume…” dakwa Fikhri berdasarkan bauan pada Afrina yang lain berbanding biasa.
“Lepas tu dia belikan you kasut…” Fikhri memandang bawah ke kaki Afrina yang sedang tersarung sepatu tumit tinggi serba baru.
“Dan macam-macam lagi untuk you sampai you terlepas naik kapal terbang. Emak you yang tengah sakit dekat Sabah tu memanggil-manggillah nama you. Manalah anak aku ni… aku dah nak matipun dia pilih untuk pentingkan handbag, perfume, kasut dengan lelaki Itali tu” Fikhri akhirnya menamatkan cereka andaiannya yang belum tentu sahih kebenarannya. Lancang betul mulutnya berkata-kata.
“Fikhri! Melampau sangat la tu!” bentak Afrina.
“Entah-entah emak you tak sakit pun. Entah-entah you sengaja mereka-reka cerita pada I sebab you nak bercuti dengan lelaki tu dekat Pangkor” Fikhri membuat satu lagi andaian.
“Fikhri, sampainya hati you!”
“Mengaku jelah, Afrina. Kalau you mengaku I mungkin maafkan you” selamba sahaja Fikhri mengemukakan syaratnya. Cukup mudah.
“Sampai hati you buat I macam ni” bertakung airmata di tibir mata Afrina.
Fikhri tertawa kecil. Bukannya dia tidak biasa dengan air mata buaya Afrina. Sudah terlalu biasa sehingga air mata itu tidak lagi dapat dibezakan dari air mata sebenar. Juga tidak lagi dapat menggoyahkan kelakiannya.
I nak you mengaku aje. Bukannya susah… okaylah, in case you nak mengaku bersalah datanglah cari I balik ye. Sebelum sampai waktu tu, jangan cari I lagi”
Fikhri terus melangkah tanpa menoleh langsung ke arah Afrina. Egonya digunungkan. Dia tidak mahu kalah lagi dengan air mata wanita itu.
Lobi bangunan pejabat itu tiba-tiba terasa sunyi. Keriangan yang dirasakan tadi sudah menghilang entah ke ceruk mana. Butang lif ditekan. Sementara menunggu lif sampai ke tingkat bawah, Fikhri sempat mengimbas kembali adegan Afrina dengan lelaki Itali yang dia saksikan beberapa tempoh lalu. Bisanya masih terasa. Meskipun sakit, dia tidak dapat menafikan bahawa sepanjang tempoh dua minggu lepas, dia amat merindui Afrina.
Lif berdeting lalu pintunya terbuka. Dengan cermat, Fikhri melangkah masuk. Perasaannya terhadap Afrina dinilai semula dengan teliti. Dia masih cintakan Afrina. Itu dia pasti. Cintanya terhadap Afrina bukan cinta yang bersisa tetapi cinta yang masih utuh tertancap di jiwa. Namun, perasaan kasih itu masih belum berjaya mengatasi mahupun merawat luka di hatinya yang berdarah akibat ditoreh oleh sebilah pisau yang bernama pengkhianatan.
Fikhri tidak pasti apakah yang bisa merawat perih di hatinya. Yang dia tahu, dia cuma mahukan secangkir kejujuran dari Afrina. Mungkin dengan kejujuran itu, dia akan mampu mencari penawar untuk menyembuhkan lukanya. Mungkin juga dengan cara itu, Fikhri mampu mencari jalan memaafkan gadis pujangga yang sudah lama bertakhta di sanubari.

 

“Fikhri” terhegeh-hegeh Afrina berlari, mahu menyaingi ketangkasan Fikhri melangkah.
Fikhri tidak menyahut. Dia keraskan hati. Tumpuannya pada Honda Hybrid berwarna kelabu miliknya. Selain kenderaan itu, dia tidak mahu mengambil peduli. Melainkan…
You jumpa I ni nak mengaku bersalah ke?” Fikhri bertanya. Beg pejabatnya dicampakkan ke dalam kereta. Wajah Afrina ditatap seketika.
I’m innocent, baby. It’s not…” belum sempatpun Afrina menghabiskan kata-kata rayuannya, Fikhri telah menghilang ke dalam kereta. Enjin kereta terus dihidupkan. Tidak berbaloi masanya mendengar pujuk rayu Afrina.
Afrina berang. Dia merapati pintu kereta Fikhri lantas membukanya luas. Fikhri terus melangkah keluar semula, bersemuka dengan Afrina yang sudah merah padam mukanya. Tangannya mencekak pinggang. Kalau Afrina ajak bertumbukpun, dia rela. Kemarahannya terhadap perempuan itu masih belum reda.
I tahu you sayangkan I. You sendiripun rasa terseksa sebab berjauhan dengan I, kan?” Afrina membentak. Suaranya bergetar. Airmata dibiarkan bertakung di mata.
“Beritahu I, siapa yang hasut you supaya tinggalkan I?” Afrina separuh menjerit.
“Kan I dah kata. Tak ada siapa hasut I. I nampak sendiri. All I ask of you is simple. Admit that you’re wrong” Fikhri turut meninggikan suara. Afrina sudah teresak-esak menangis.
“Fikhri. Look into my eye and say that you don’t love me anymore” pinta Afrina. Matanya tajam merenung anak mata Fikhri. Fikhri diam. Sememangnya Afrina tahu kelemahannya.
Even if I still love you. It won’t change my mind. I still want you to admit that you’re wrong
I’m innocent!” teriak Afrina dalam esak tangisnya yang kian menggila.
Can’t you be honest with me for just this once?!” Fikhri membalas teriakan Afrina. Membuak-buak perasaannya. Dia geram. Kecewa. Terluka… semua rasa itu bercantum menjadi satu.
You can’t get over me. I know you couldn’t” Afrina bersuara selepas beberapa minit melayan sendu.
Fikhri bungkam. Ungkapan kata yang diluahkan Afrina cukup menyakitkan hati. Afrina terlalu arif tentang dirinya. Dalam masa yang sama, dia rasa tercabar dengan dakwaan gadis itu. Begitu lemah dia di mata Afrina. Baru kini dia tahu. Fikhri menghela nafas dalam-dalam. Otaknya ligat memikirkan kata yang boleh memberi kesan yang sama mendalamnya seperti kata-kata yang diucapkan Afrina tadi.
“Mungkin dulu I macam tu. Tapi, emak dan ayah I dah jumpa cara untuk memudahkan I lupa you” Fikhri berbicara tenang. Afrina memandang wajah Fikhri menantikan sambungan ayat yang seterusnya.
They’ve arranged for me to marry somebody” Fikhri menyambung ayatnya. Afrina terduduk dan meraung mendengarkan kata-katanya. Terbit rasa puas di hati Fikhri. Afrina termakan kata-kata dustanya!
“Jadi, I bagi you peluang. Kalau you mengaku kesalahan you sekarang, I tak akan bersetuju untuk dikahwinkan”. Kejujuran dari Afrina tetap dia paksakan.
I tak bersalah…” esakan Afrina hampir mengaburi setiap bait kata yang terluah dari bibirnya.
Fine. Good luck living without me
Fikhri menghilang lagi ke dalam perut kereta. Pintu dihempas dengan kuat, mempamerkan perasaan geramnya. Kali ini, dia tidak berpaling lagi. Keretanya terus dikeluarkan dari petak pakir lalu memacu laju di atas jalan raya. Baginya, Afrina perlukan pengajaran. Dia sangat berharap luka yang dirasai Afrina yang disebabkan oleh kata dustanya cukup memadai untuk menyedarkan gadis itu.
Afrina menyeka airmatanya yang masih enggan berhenti mengalir. Dengan tubuh yang lesu, dia menggagahkan diri untuk bangun dan menghampiri keretanya. Sebaik berada di dalam kenderaan, Afrina menarik nafas beberapa kali, cuba menenangkan dirinya dari terus tersedu.
Afrina memejamkan mata. Dia masih enggan percaya apa yang disampaikan Fikhri. Dia tidak percaya Fikhri nampak kelakuannya bersama lelaki warga asing itu. Segalanya terlalu mustahil untuk dikatakan satu kebetulan.
Perlahan-lahan, dia mula mengimbas kembali pertemuannya dengan Fikhri sebentar tadi. Dia tidak mahu mengakui kesalahannya. Dia tahu jika dia berbuat demikian, Fikhri tidak akan kembali padanya sampai bila-bila. Benar, Fikhri sudi memaafkannya. Tetapi, lelaki itu bukanlah jenis yang akan menerima kembali seseorang yang jelas telah menodai kepercayaannya. Segala yang diucapkan Fikhri tadi semuanya satu perangkap!
Afrina tidak sanggup melepaskan Fikhri. Benar tanggapan Fikhri tadi. Lelaki asing itu sanggup memberinya segala apa harta yang dia mahukan. Tetapi dengan Fikhri, bukan setakat harta yang boleh dia peroleh, tetapi darjat dan nama. Bukan niatnya untuk tidak setia tetapi dia bosan dengan cara Fikhri mengendalikan hubungan bersamanya. Fikhri mengongkong! Ini tak boleh, itu tak boleh. Haramlah… Hipokrit aje Fikhri tu.
 Rakaman wajah Fikhri yang direnungnya tadi ditafsir berulang-ulang kali di mindanya. Dari riak lelaki itu, dia tahu Fikhri hanya menggunungkan ego. Dia cuma tidak mahu kalah. Jadi, Afrina mula yakin Fikhri hanya bermain kata.
Afrina tertawa gelabah. Dia tidak akan terpedaya!

No comments:

Post a Comment