Buku teks Malaysian Derivatives
yang masih di tangan aku tolak ke tepi. Lama-lama baca buku teks, mahu pecah kepala
otak aku. Subjek kira-kira, tapi baca buku teks untuk faham memang tak boleh hadam.
Soalan peperiksaan akhir tahun-tahun sebelumnya yang sudah lunyai berconteng aku
jeling sekilas. Katil bujang aku sudah berselerak dengan kertas-kertas tutorial.
Baca buku atas katil, satu lagi perangai aku yang tak berapa nak elok. Pada aku,
kalau baca buku atas katil, dah mengantuk boleh terus tidur. Aci tak?
Peperiksaan akhir hanya tinggal sebulan
setengah sahaja. Semester hadapan, aku sudah tidak perlu bertarung di dalam dewan
peperiksaan lagi, cuma perlu untuk membuat latihan industri dan juga menyediakan
tesis sahaja. Selepas itu, Insya-Allah aku akan bergelar graduan. Dah boleh mula
kerja. Yang paling penting, boleh tolong ayah dengan mak.
“Ara,
mak dah nak pergi ini.” Panjang umur mak, baru je fikir
dah tercongok kat depan pintu bilik aku yang tidak bertutup.
“Mak
nak pergi mana?” Aku pandang mak yang sedang membetulkan tudungnya. Lengkap berbaju
kurung dah mak aku ni.
“Lupalah
tu.” Emak berjalan menghampiri katil dan dia melabuhkan duduknya.
Aku
yang sedang berbaring bangun dan menyandar di kepala katil. Lupa? Mak ada cakap
ke nak pergi mana-mana hari ni?
“Huh,
lain kali kalau nak belajar, jangan baring kat katil ni nak oi… Tu meja belajar
dah adakan?” Mak alihkan kalkulator saintifik di bawah punggungnya.
“Mak,
kalau kat katil senang sikit nak buka buku banyak-banyak. Kat meja tu sempitlah
mak.” Aku bagi ayat bela diri kat mak.
“Buka
buku apanya…mak tengok Ara je yang terlentang kat atas katil ni.” Emak gelengkan
kepalanya beberapa kali.
Aku
cuma mampu sengih. Dah memang perangai anak mak macam ni. Redha ajelah mak…
“Eh, mak tak cakap pun lagi mak nak pergi mana.” Aku kembali kepada soalan asal
yang masih belum dijawab oleh emak.
“Mak
nak pergi kenduri kahwin anak bos ayah.” Jawab emak sambil berdiri. Baju kurung
pesak gantung berwarna hijau muda ditarik-tarik sedikit.
“Kat
mana?”
“Presint
9.”
“Adik
ikut?”
“Tak,
mak pergi dengan ayah je. Naik motor, senang nak parking nanti.”
“Hish,
mak ni tak senonohlah. Ada ke pakai baju cantik-cantik lepas tu naik motor
kapcai ayah tu.” Aku juga sudah turut berdiri. Kalau mak dengan ayah je yang
pergi, makanya terpaksalah aku menguruskan askar-askar seramai tiga orang tu kat
rumah.
“Susah
bawak kereta. Lagi senang naik motor.” Emak sudah berpusing dan berjalan keluar
dari bilik aku. “Mak dah masak untuk makan tengah hari. Tinggal nak masak nasi
je. Nanti Ara tolong bagi adik-adik makan.” Pesan emak.
Yes! Aku senyum sendiri.
Tak payah masak. Tinggal nak hidang je untuk adik-adik lelakiku itu. “Okey mak.
Lagi nak pesan apa?”Aku menyeringai pada mak. Seronok sebab tak payah masak.
“Tengok
adik-adik tu.Jangan bagi diorang main jauh-jauh.” Pesan emak lagi.
“Alamak,
jauh mana sangat la Hazran tu nak pergi. Paling jauh pun kat taman depan tu aje.”
Aku pandang keliling rumah, kelibat Hazran, si bongsu yang baru berumur enam tahun
langsung tidak kelihatan. Ada dalam bilik dengan Hafizi agaknya.
“Humaira,
sekarang ni orang jahat bukan kira jauh ke dekat. Kat depan rumah pun ada budak
yang kena culik tau.” Emak tolak pintu jeriji yang tidak berkunci. Mungkin ayah
sudah menunggu di luar rumah agaknya.
“Ye
lah mak. Nanti Ara kurung Hazran dalam bilik.”
“Main-main.
Hakimi mana?” Tanya emak sambil mengambil sandal dari dalam kabinet kasut.
“Entah,
pagi tadi keluar pergi kelas tambahan tak balik-balik lagi mak.” Aku julurkan kepala
keluar rumah. Malas mahu menghantar emak dan ayah sebab aku tak pakai tudung.
“Mak, nanti jangan lupa kunci pagar ye.” Giliran aku pula yang memberi pesanan penaja
kepada emak.
Emak
cuma anggukkan kepala. Ayah yang sedang menunggu emak di luar pagar sudah membunyikan
hon beberapa kali. Isyarat supaya emak cepat-cepat keluar. “Jangan lupa bagi adik-adik
makan tau. Nanti tengokkan diorang sekali.” Pesanan dari emak masih belum berakhir.
“Tau
mak. Mak pergi je makan nasi kenduri sedap-sedap.” Aku melambai ke arah emak
yang sedang membuka pintu pagar. Mak ni, bagi pesanan macamlah dia dah tak nak balik
ke rumah. Pintu jeriji aku kunci setelah kelibat emak dan ayah hilang dari pandangan.
Rumah teres setingkat yang terletak di kawasan perumahan lama Taman Ayer Hitam ini
sunyi sahaja. Mungkin waktu tengah hari macam ni, masing-masing lebih suka berkurung
di dalam rumah daripada berada di bawah terik mentari. Tunggulah petang karang,
hiruk pikuklah jawabnya taman permainan di hadapan rumah aku ini.
Kadang-kadang, nak je aku alihkan taman permainan tu jauh-jauh dari rumah, biar
bunyi bising tidak menembusi dinding batu rumah teres ini.
Aku
kembali ke dalam bilik dan memerhatikan katil yang berselerak. Dan aku
perhatikan pula meja belajar yang kemas. Ironi sekali. Akhirnya, aku melabuhkan
duduk di kerusi dan laci meja aku buka perlahan. Buku catatan berwarna margenta
aku keluarkan dari laci. Sekeping foto sewaktu mengikuti ekspedisi ke Gunung
Stong aku tarik dari helaian buku catatan itu. Gambar aku, Zeti, Ija dan Nina
aku tenung lama. Namun, bukanlah figura kami berempat yang menarik perhatianku,
tetapi sebaliknya kelibat seorang lelaki yang sedang melintas di belakang kami
sewaktu gambar itu diambil yang menjadi tatapan mataku sekarang. Lelaki di
dalam gambar itu telah membuatkan aku sedikit tidak waras. Sedikit sahaja.
Tetapi, ingatan pada lelaki itu tidak pernah hilang. Mukhlis, pelajar tahun
akhir jurusan perakaunan di kampus Shah Alam itu tidak pernah aku sapa. Bahkan,
dia mungkin sama sekali tidak mengetahui akan kewujudan aku di situ. Cuma aku,
ya cuma aku yang memendam rasa terhadapnya. Syok sendiri. Titik!
“Kak
Ara, mak pergi mana?” Hazran yang tiba-tiba muncul di dalam bilikku sedikit mengejutkan
aku.
“Adik
dah nak makan ke?” Lain yang ditanya Hazran, lain pulak yang aku tanya dia.
Hazran
gelengkan kepalanya beberapa kali. Mungkin belum lapar agaknya. Pagi tadi agak lambat
kami bersarapan kerana gas habis sewaktu emak tengah menggoreng bihun.
“Mak
pergi mana?” Hazran ulang soalan yang sama lagi sekali.
“Mak
pergi kenduri kahwin.” Aku jawab sambil melenggang menuju ke dapur.
“Kenapa
mak tak cakap dengan adik dia nak pergi kenduri?” Si bongsu itu masih belum puas
hati ditinggalkan oleh emak dan ayah tanpa pengetahuannya.
Aku
garu kepala yang tidak gatal. Nak jawab apa pada si kecil ini? “Mak lupa kot…”
“Mak
banyak makan semut la tu…” selamba saja Hazran menuturkan ayat itu.
Aku
bulatkan mata pada Hazran. Mana dia dengar orang cakap macam tu? Takkkan kawan-kawan
dia kat prasekolah dah pandai cakap macam orang tua?
“Adik
dengar cikgu cakap kalau selalu lupa, banyak makan semut.” Hazran bagaikan mengerti
sahaja apa yang bermain di fikiranku.
“Cikgu
sekolah adik cakap macam tu?”
Laju
Hazran anggukkan kepalanya.
Aku
gelengkan kepala beberapa kali. Tapi nak buat macam mana, budak-budak sekarang memang
cepat meniru perbuatan orang lain. Tak kiralah tengok kat televisyen atau pun
perbuatan yang berlaku secara langsung di hadapan mereka.
“Cikgu
adik cakap salah ke kak?” Tanya Hazran lagi.
Errr,
nak jawab apa ye? Aku sendiri pun tidak dapat memastikan adakah teori banyak memakan
semut itu boleh mengganggu gugat sistem memori manusia itu benar atau salah.
“Betul
ke kak?” Hazran terus mendesak.
Hisy
budak ni, macam saja je nak test kakak
dia yang memang tak tahu nak jawab apa.
“Adik
pernah nampak ke mak makan semut?” aku soal balik Hazran sebagai cara untuk
melepaskan diri dari menjawab soalannya itu.
Laju
Hazran geleng kepala. “Mana ada orang makan semut Kak Ara.” Jawabnya.
“Dah
tu, tak betullah tu apa yang cikgu adik cakap.” Ujarku sambil mengambil periuk
nasi dari dalam kabinet. Tong berisi beras aku buka dan memasukkan dua pot beras ke dalam periuk nasi
elektrik itu.
“Habis
tu, cikgu sekolah adik bohong la ye?” Hazran masih lagi mengikutku dari
belakang.
Aduh,
aku yang baru mahu membuka paip di sinki mati kutu. Nak jawab apa lagi ni eh?
“Cikgu
adik tipu ke Kak Ara?” Hazran tanya lagi.
Namun,
belum sempat aku menjawab Hazran sudah berlari keluar dari dapur. Fuhhhh...lega
tak payah jawab soalan yang susah mengalahkan soalan peperiksaan nak jadi
Pegawai Tadbir dan Diplomatik!
“Kak Ara, ada orang datang.” Hazran yang
tiba-tiba muncul di dapur sedikit mengejutkan aku yang sedang membasuh beras di
sinki.
“Siapa?”
aku tanya Hazran. Budak kecik ni dah macam ribut je. Patutlah dia berlari
keluar dari dapur tadi, mungkin dia dengar orang bagi salam kot.
“Entah.”
Pendek sahaja jawapan si kecil itu.
“Hazran
buka pintu ke tadi?” Perhatianku masih lagi pada periuk yang berisi beras.
Tinggal sekali je lagi nak basuh, lepas tu dah boleh masak dah.
“Tak,
adik dengar orang bagi salam. Lepas tu adik intai ikut tingkap.” Hazran masih
lagi setia berdiri di sebelah aku.
“Betul
ke orang datang rumah kita?” Aku alihkan pandangan pada Hazran. Sekejap sahaja.
Tuala kecil yang tergantung di dinding aku capai dan bawah periuk yang basah
aku lap sebelum memasukkannya ke dalam rice
cooker. Aku tekan suis rice cooker
itu dan aku berpaling menghadap Hazran.
“Betul
Kak Ara, ada kereta polis.” Jawab Hazran sambil menarik tanganku keluar dari
dapur.
“Kereta
polis?” aku tanya Hazran lagi sekali. Budak ni biar betul. Buat apa polis nak
datang rumah aku pulak tengah hari buta macam ni?
“Buat
apa polis datang rumah kita Kak Ara?” Hazran tanya soalan yang turut bermain di
fikiranku.
Aku
angkat bahu. Dan tanpa menjawab soalan Hazran, aku kembali menuju ke pintu
rumah. Kelihatan dua orang lelaki lengkap beruniform warna biru tua sedang
berdiri di luar pagar. Lampu kereta peronda polis yang menyala tanpa bunyi
siren itu sedikit membuatkan aku mula merasa takut. Sekilas, aku teringat pada
Hakimi yang masih belum pulang. Kesalahan apakah yang dilakukan oleh Hakimi?
Pintu
yang terbuka aku biarkan sahaja dan aku bergegas ke dalam bilik untuk menyarung
tudung. Tidak sampai tiga minit, aku sudah berdiri di luar rumah bersama-sama
dengan Hazran. Hafizi yang tadi khusyuk mengulangkaji pelajaran turut keluar
apabila melihat kereta peronda polis itu di hadapan rumah kami. Namun dia hanya
berdiri di muka pintu sahaja.
“Assalamualaikum
cik. Saya Koperal Muhammad dari Balai Polis Cawangan Trafik Putrajaya.” Lelaki
yang berusia sekitar empat puluh tahun itu memperkenalkan dirinya sebaik sahaja
aku membuka mangga pintu pagar.
“Waalakummussalam…”
jawabku sambil memegang tangan Hazran disebelah.
“Ini
rumah Encik Hamzah Bin Yusof ke?” soal Koperal Muhammad.
Aku
anggukkan kepala. Kenapa polis ni cari ayah? Ayah ada buat salah ke? Atau ayah
ada waran tangkap sebab tak bayar saman trafik?
Koperal
Muhammad menarik nafas panjang sebelum kembali membuka mulutnya. “Cik dengan
adik-adik cik boleh ikut kami ke Hospital Putrajaya?” soalnya lagi.
“Hospital?”
Giliran aku pula yang menyoal Koperal Muhammad.
“Ya,
Hospital Putrajaya. Encik Hamzah dan Puan Maimunah terlibat dengan kemalangan
jalan raya di Presint 15 tadi.” Koperal Muhammad jeda seketika.
“Kemalangan?”
aku ulang balik apa yang dikatakan oleh pegawai polis itu. Rasa seolah-olah
mahu pecah kepalaku apabila mendengar berita emak dan ayah terlibat dengan
kemalangan. Namun, aku cuba untuk bertenang dan tidak panik. Mungkin kedua-dua
mereka hanya mendapat kecederaan ringan sahaja.
“Betul
cik, kedua-dua ibu bapa cik terlibat dengan kemalangan jalanraya.” Ulang
Koperal Mohammad.
“Emak
dengan ayah saya tak apa-apakan tuan? Kecederaan mereka tak teruk kan?” Tangan
Hazran aku genggam kuat, seolah-olah cuba untuk mendapatkan kekuatan dari si
kecil itu. Aku pandang wajah Koperal Muhammad di hadapanku. Dia hanya
menundukkan kepalanya.
“Tuan,
macam mana dengan emak dan ayah saya? Mereka cedera teruk ke?” Aku soal untuk
kali kedua.
“Cik,
kami perlu bawa cik dan adik-adik cik ke hospital untuk buat pengecaman mayat
mangsa kemalangan.”
Kali
ini, aku rasa seperti langit mahu runtuh menghempap kepalaku. “Ma..ma..mayat?”
Sukar sekali untuk aku menyatakan perkataan yang sangat menakutkan itu.
“Ya
cik, kedua ibu bapa cik meninggal di tempat kejadian. Jadi, cik perlu ke
hospital dengan kami sekarang.”Koperal Muhammad menjawab soalanku dengan wajah
mendung.
Aku
sudah jatuh terjelepuk ke atas jalan tar. Musibah apakah ini? Belum sampai
sejam pun lagi emak dan ayah meninggalkan rumah. Dan sekarang, aku perlu
mengecam mayat kedua-dua mereka? Aku genggam kuat kedua tanganku. Air mata yang
sudah berguguran ke pipi aku biarkan sahaja. Sungguh, tanganku terlalu lemah
untuk menyapu air mata yang bagaikan hujan lebat di musim tengkujuh.
“Kak
Ara, kenapa ni?” Hafizi yang tiba-tiba muncul terus sahaja bertinggung di
hadapanku. “Kenapa Kak Ara menangis?” soalnya sambil mendongak ke atas melihat
wajah kedua-dua pegawai polis itu.
Aku
peluk Hafizi yang masih tidak tahu apa-apa tentang berita kemalangan maut kedua
orang tua kami. Aku tarik sekali Hazran yang masih terpinga-pinga melihat aku
menangis di atas jalan tar.
“Sabar
cik, ini semua dugaan Allah untuk cik dan adik-adik. Banyakkan istighfar.”
Koperal Muhammad turut mencangkung di sebelahku.
“Kenapa
ni Kak Ara? Tuan isnpektor, kenapa kakak saya menangis?” Hafizi menyoal Koperal
Muhammad pula apabila soalannya kepadaku tidak berjawab.
“Dik,
kita kena pergi ke hospital sekarang.” Koperal Muhammad pegang tangan Hafizi.
Dia juga tidak mampu untuk menjawab soalan dari Hafizi yang sedang memandangnya
sekarang.
“Kenapa
nak kena pergi ke hospital? Kak Ara sakit ke?” Hafizi alihkan pandangan kepadaku
pula.
Aku
geleng kepala. Perlahan-lahan aku leraikan pelukan Hafizi dan Hazran. Air mata
yang masih berladung di birai mata aku kesat perlahan. “Abang Kimi belum balik
lagi ke?” Aku soal Hafizi yang masih kehairanan dengan situasi sekarang.
“Tu
Abang Kimi!!!” Jerit Hazran tanpa sempat dijawab oleh Hafizi.
Aku
alihkan pandangan ke arah simpang jalan masuk ke rumahku. Hakimi yang sedang
menggalas beg laju berlari. Mungkin dia juga pelik kenapa kereta peronda polis
berada di hadapan rumah kami.
“Apa
dah jadi ni kak? Apa polis ni buat kat rumah kita?” Soal Hakimi bertalu-talu
sebaik sahaja dia merapati aku.
Aku
tarik Hakimi pula ke dalam pelukanku. Dan sekali lagi, pecah tangisanku di bahu
adik lelakiku itu. “Mak dengan ayah Kimi...” aku tidak mampu untuk menghabiskan
ayat itu. Sungguh, aku tidak tahu bagaimana untuk aku khabarkan berita sedih
itu kepada adik-adikku.
“Kenapa
dengan mak dan ayah Kak Ara?” Hakimi tanya aku yang masih kejap memeluknya.
“Mak
dan ayah dah tak ada Kimi.” Aku menangis lagi. Dan semakin laju air mataku
merembes ke pipi, semakin kejap pelukanku pada Hakimi.
“Kak
Ara cakap apa ni? Mak dan ayah tak ada? Mereka pergi mana?” Hakimi tolak aku
dari pelukannya.
Koperal
Muhammad dan rakannya hanya memerhatikan sahaja kami adik beradik. Mungkin
mereka berdua juga tidak mempunyai ayat yang paling sesuai untuk menjelaskan
duduk perkara sebenar kepada adik-adikku.
“Kimi,
kita kena pergi ke hospital sekarang.” Aku abaikan sahaja soalan Hakimi.
Biarlah ketiga-tiga mereka masih berteka-teki. Sampai sahaja di hospital nanti,
jawapan pasti akan terbentang di hadapan mata mereka tanpa perlu aku mengatakan
apa-apa pun. Aku bangun dan berpaut pada Hazran yang sudah pun berdiri dari
tadi lagi.
“Nak
pergi hospital buat apa Kak Ara? Siapa yang sakit? Mak dan ayah ke?” Hakimi
menyoal lagi. Bukan satu, tapi tiga soalan sekaligus. “Kenapa Kak Ara tak nak
jawab? Siapa yang sakit ni?”
Aku
ketap bibir. Kuat. Nafas ku tarik sedalam yang mungkin. Cuba untuk mencari
kekuatan untuk terus bersuara. “Masuk dalam rumah, tutup semua tingkap. Kita
kena pergi ke hospital sekarang. Hafizi dan Hazran pun kena ikut sekali.” Itu
akhirnya yang terluah dari mulutku.
Hakimi
masih lagi enggan berganjak dari tempat dia duduk. Aku tarik tangannya supaya
berdiri. Namun, dia mengeraskan tubuhnya walaupun aku sudah menariknya dengan
sepenuh kudrat yang aku ada.
“Bangun
Kimi, kita kena pergi ambil mayat ayah dan mak kat hospital.” Aku menangis lagi
apabila mengucapkan ayat itu.
Dan
Hakimi terus sahaja terkulai layu apabila mendengar setiap patah kata yang
keluar dari mulutku.