Thursday 26 June 2014

Tiga Hati Dua Cinta (Bab 2): Chrysalis

Taiping, Perak 1998
Dhiya menguap sambil melihat jam di pergelangan tangannya. Pukul 5.55 pagi. Ah, sebentar lagi mesti bas akan sampai. Bas sekolah 707 yang dinaikinya itu selalunya akan sampai tepat jam 6 pagi. Dikerling neneknya yang sedang leka menyiram pokok bunga kertas di halaman rumah. Sudah menjadi kebiasaan yang neneknya akan turut sama-sama menunggu bas sekolah yang akan membawa Dhiya ke sekolahnya yang terletak di pekan Taiping. Ah, bukan tiada sekolah di pekan Simpang ini namun ayahnya lebih suka dia bersekolah di Sek. Men. Kebangsaan (P) Treacher Methodist atau lebih dikenali sebagai TMGS. Alasan yang diberikan ialah ayahnya tidak suka Dhiya bersekolah campur lelaki dan perempuan, sebab itu dia dihantar ke TMGS. Treacher Methodist Girls School!
Lamunan Dhiya terhenti apabila sayup-sayup kedengaran bunyi bas sekolahnya. Cepat-cepat Dhiya menyalami tangan nenek dan mengangkat buku serta beg sekolahnya. Bas sekolah 707 itu berhenti betul-betul dihadapan rumah dan Dhiya pun menaikinya. Apabila berada di dalam bas, Dhiya memanjangkan leher mencari kelibat Malarvili, rakan sekolahnya. Selalunya, Malarvili akan ‘chop’ atau menyimpan tempat duduk untuknya. Jenuh Dhiya memerhati namun kelibat Malarvili tidak juga dijumpainya. ‘Erm..mungkin dia absent kot hari ni,’ detik hati kecil Dhiya.
Kebanyakan tempat duduk telah pun penuh dan Dhiya terpaksa bergerak ke bahagian belakang bas untuk mendapatkan tempat duduk. Nasib Dhiya agak baik apabila masih ada satu tempat kosong. Tanpa berlengah, Dhiya terus mendapatkan seat kosong tersebut. Apabila Dhiya duduk, dilihatnya budak lelaki cina yang duduk disebelahnya sedang nyenyak tidur. Dikerlingnya lambang sekolah yang berada di poket depan kemeja budak terbabit. ‘Oh, budak Georgie rupanya’. Tanpa mempedulikan dengkuran halus yang keluar dari budak tersebut, Dhiya hanya diam dan melayan perasaan. Seketika kemudian, Dhiya pun terlelap.
Dhiya terjaga dari tidur apabila terasa ada orang melanggar bahunya. Dilihatnya bas sudah pun padat dengan pelajar dari pelbagai sekolah, ada dari TMGS, Dr. Burhanuddin, King Edward atau K.E, St. George atau Georgie dan Hua Lian. Dia menenyeh-nenyeh matanya dan melemparkan pandang ke luar tingkap. ‘Oh, dah sampai dekat Panggung Mandarin..erm..tak boleh terlelap lagi dah ni..karang ada terlajak sampai Hua Lian pulak ni kang,’ ngomel Dhiya dalam diam.
Dilihat budak lelaki di sebelahnya masih nyenyak tidur. Biasalah, sekolah pagi memang macam itu, tambah-tambah lagi budak-budak yang duduk jauh dari sekolah. Sudahlah terpaksa naik bas first trip iaitu seawal jam 6 pagi, sampai di sekolah pula dah dekat pukul 6.40 pagi. Jadi masa selama 40 minit berada di dalam bas itu memang lebih afdal kalau dihabiskan dengan tidur.
‘Aik, dah nak sampai dekat Georgie ni..budak ni pulak boleh sedap je tidur,’ bisik Dhiya sambil memandang ke arah budak lelaki itu. Dengan teragak-agak, Dhiya menyentuh beg sekolah budak tersebut. ‘Er..Hello…hello,’ ujar Dhiya sambil tangannya mengejutkan budak tersebut menerusi beg sekolahnya. Melihatkan tiada respon yang diberikan, Dhiya menguatkan sedikit suaranya dan tangannya pula mengerakkan beg budak itu dengan kasar.
‘Hello!!,’ percubaan Dhiya kali ini berjaya. Budak tersebut membuka matanya dan memandang tepat ke mata Dhiya. Satu perasaan pelik menyelinap di dalam diri Dhiya apabila matanya bertemu dengan mata budak tersebut. Terbit satu perasaan yang Dhiya sendiri tidak tahu apa. Lama pandangan mata mereka bertaut dan Dhiya merasakan seolah-olah jarum jam berhenti berdetik pada saat itu.
Pandangan mata mereka terhenti apabila bas mula bergerak dan budak tersebut bingkas bangun sambil menjerit sesuatu di dalam bahasa Kantonis. Rasanya budak tersebut menyuruh Uncle Chin, pemandu bas tersebut berhenti. Tekaan Dhiya tepat kerana seketika kemudian bas pun berhenti. Cepat-cepat Dhiya memberi laluan kepada budak tersebut untuk keluar. Segala-galanya berlaku dengan pantas tetapi Dhiya tetap perasan yang budak tersebut melemparkan pandangan ke arahnya sebelum turun dari bas. Apabila turun, budak itu masih terus memandang Dhiya dan buat kesekian kalinya pandangan mereka bertaut.
******

Kringggg….tepat jam 1.50 petang, loceng pun berbunyi menandakan tamatnya persekolahan untuk sesi pagi. Dhiya bergerak malas menuju ke Gazebo. Di situ, dilihatnya Malarvili telah pun berada di situ untuk menunggu bas mereka.
‘Malar..saya ingat awak absent hari ni,’ ujar Dhiya sambil tersengih.
Takdelah, sebenarnya saya tertinggal bas pagi tadi. Sedar-sedar dah pukul 7 pagi,’ujar Malarvili yang agak fasih berbahasa melayu itu. Mereka sebenarnya sudah lama berkawan, semenjak dari darjah umur 9 tahun lagi. Kini apabila masing-masing sudah berumur 15 tahun, hubungan yang terjalin bertambah erat walau pun tidak lagi sekelas. Dhiya berada di dalam kelas 302 manakala Malarvili di dalam kelas 303.
‘Habis tu, macam mana awak datang sekolah?,’
Belum sempat Malarvili menjawab, bas sekolah 707 telah pun sampai di hadapan sekolah. Cepat-cepat mereka menaiki bas tersebut. Setelah mengambil tempat di dalam bas, Dhiya dan Malarvili meneruskan perbualan mereka. Kebanyakannya berkisarkan mengenai subjek-subjek yang mereka belajar tambahan pula mereka berdua akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun tersebut. Dhiya leka berbual dan menukar nota dengan Malarvili sehingga tidak sedar ada sepasang mata yang baru sahaja menaiki bas memandang ke arahnya.
Budak lelaki yang duduk dihadapan Dhiya tiba-tiba sahaja berpusing dan memandang tepat ke arah Dhiya. Tindakannya itu menyebabkan Malarvili berhenti bercakap dan hanya memandang kehairanan. Namun budak lelaki tersebut langsung tidak mengendahkan Malarvili sebaliknya matanya tetap memandang Dhiya.
Dhiya sedang tunduk memerhatikan set soalan Sejarah apabila menyedari yang Malarvili tidak lagi bercakap dan lantas mengerling ke arahnya. Apabila dilihatnya Malarvili terlopong memandang budak di hadapannya, Dhiya pun mengangkat wajahnya.
Sebaik sahaja Dhiya mengangkat wajahnya, budak lelaki di hadapannya tiba-tiba sahaja menuturkan ‘Hello’ sambil menatap tajam wajahnya. Terkejut Dhiya dan dirasakan seolah-olah jantungnya berhenti mengepam hatta terdengarkan perkataan ‘Hello’ itu. Sekali lagi Dhiya merasakan seolah-olah jarum jam berhenti dari berdetik. Apa yang mampu dilakukannya adalah pandang dan terus memandang ke arah budak lelaki tersebut. Pandangan mereka bertaut lama dan tiba-tiba kedengaran suara yang lantang menyebut ‘Tay Ken Lee….,’ butiran seterusnya tidak diketahui oleh Dhiya kerana diucapkan di dalam bahasa kantonis.
Rupa-rupanya kawan budak lelaki tersebut a.k.a Tay Ken Lee menyergahnya dan wajahnya sudah pun bertukar merah. Lantas dia bangun dan bergerak ke bahagian belakang bas. Dhiya yang seolah-olah baru sedar dari khayalan, kelam kabut memandang sekeliling. Nasibnya baik kerana tidak ramai yang menyedari drama sebabak di antara dia dan Tay Ken Lee tadi.
Aiyoo Dhiya..apa sudah jadi? Kenapa budak Georgie tu cakap hello dekat awak?,’ ujar Malarvili sambil berpaling memandang Tay Ken Lee yang duduk di bahagian belakang.
Dhiya sekadar menggelengkan kepalanya. ‘Dia pandang saya lagi ke, Malar?’ tanya Dhiya.
‘Tak dah. Dia pandang ke sebelah sana saja. Awak kenal dia ke Dhiya?’
Sekali lagi Dhiya mengelengkan kepalanya sambil otaknya memproses semula kejadian yang berlaku sebentar tadi. ‘Tay Ken Lee? Siapa dia? Kenapa dia cakap hello dekat aku? Tapi, aku macam pernah jumpa dia la,’ monolog Dhiya dalam hati. Tiba-tiba Dhiya menepuk kepalanya apabila menyedari siapa sebenarnya Tay Ken Lee.
Malarvili yang asyik memerhatikan Dhiya terkejut melihat kelakuan Dhiya. ‘Awak kenal dia eh? Mesti ada sesuatu yang terjadi dekat korang berdua ni,’ serkap Malarvili.
Dhiya hanya tersenyum mendengar pertanyaan tersebut. Belum masanya untuk dia memberitahu Malarvili cerita sebenar. Tambahan pula, mungkin itu cara Tay Ken Lee a.k.a budak lelaki yang dikejutkannya pagi tadi berterima kasih padanya. Walaupun, hatinya kini seolah-olah ada taman dan dup dap macam irama twist, namun diusirnya jauh-jauh perasaannya itu. Malu sekiranya dia hanya terperasan sendiri.

Jauh disudut hati kecilnya, Dhiya merasakan sesuatu apabila pandangan matanya bertaut dengan Tay Ken Lee. Sesuatu yang indah dan mampu membuatkan dirinya berada di awangan. Adakah ini yang dinamakan cinta? ‘Ah, tak boleh..tak boleh..tahun ni nak PMR..fokus..fokus,’ monolog Dhiya sambil menampar-nampar kedua-dua belah pipinya.

Monday 23 June 2014

Warkah Pengikat Hati (Bab 5): Aylanins

“JIHA… sini jap. Sabtu ni boleh ganti aku tak?” tanya Cikgu Masrip yang duduk di wakaf dekat taman herba. Puan Kamariah, Penolong Kanan Kokurikulum juga duduk-duduk di situ.

“Pergi mana?” soal Najiha.

Cikgu Masrip kalau dengan Najiha dia memang ber’aku’ ‘kau’ sebab dengan Najiha ini dia senang berkira hal kerja. Kalau dengan Ustazah Sarah yang bertudung labuh itu dia segan sikit. Selalunya pakai saya, ustazah. Dengan mantan pelajar Universiti Al-Azhar itu seganlah dia mahu ber’aku’ ‘kau’.

“Majlis RIMUP. Kat SK Jalan Permai 1. Peringkat Negeri ni,” Cikgu Masrip menghulurkan surat pada Najiha.

“GB?” Najiha belek-belek surat rasmi itu. Surat ini ditujukan kepada Guru Besar, bukannya pada aku Guru Pemulihan Khas, rungutnya dalam hati.

“Ala… GB ada kursus haji. Aku tak boleh, kena attend kursus pulak dah. Ada buat sampai hari Ahad,” rungut Cikgu Masrip. Kursus dia mula Khamis, sampai hari Ahad. Ini semua mesti sebab jadual kursus dari JPN banyak yang tak buat lagi, terpaksa guna hujung minggu.   

“Ni… Puan Kamariah ni… PK KKlah pergi…” unjuk Najiha pada Puan Kamariah.

“Aku tak boleh. Konvensyen Bahasa Inggeris kat Four Points. Kau nak ganti…?” jawab Puan Kamariah yang duduk di situ.

“Woo… Four Points? Eh, meh… saya pergi… kalau Four Points, automatik saya memang tukar opsyen sekarang hehe…” tukas Najiha senyum-senyum, garu kepala yang tidak gatal. Aisey… bikin rosak program hari Sabtu aku, detiknya dalam hati. Ingat mahu bawa Lutfi dan Rafiq bagi ikan makan dekat tasik di perpustakaan negeri.

“Ooo… kau dengar Four Points, kau terus confirm diri sendiri opsyen Bahasa Inggerislah…” sambut Puan Kamariah ketawa kecil. Hotel Four Points by Sheraton di Kuching itu antara hotel termahal. Ini konvensyen antarabangsa, tempat pun agak istimewa. Tapi dia pun faham, tak semua orang suka bertugas hari cuti begitu, bukannya ada bayaran lebih masa pun.

“Ala… orang lain tak ada ke?” sambut Najiha sambil buat muka kasihan. Bagilah cikgu lain pergi, hujung minggu begini saja dia ada masa nak jalan-jalan dengan Lutfi dan Rafiq.

“Puan Harisah ada kelas. Minggu depan nak final exam.. siapa lagi, kau je la Jiha…” ujar Cikgu Masrip dengan nada suara memaksa secara lembut. Puan Harisah itu ambil sarjana muda secara PJJ. Kelasnya hujung minggu di OUM.

“Kau kan, kalau kami 4 muskeeters ni tak ada, memang kau yang naik takhta, tak ada orang lain dah,” usik Puan Kamariah. Empat muskeeters itu merujuk mereka berempat, Guru Besar dan tiga orang penolong kanan, dia, Cikgu Masrip dan Cikgu Harisah.

Ya, siapa lagi nak diharapkan. Cikgu lain dah berkeluarga. Yang solo macam Suhana ada tapi Suhana mana ada kenderaan sendiri. Dia tumpang kereta Sarah pergi kerja. Lagipun dengan Suhana dan Sarah susah sikit. Ini program RIMUP. Macam tak kena kalau hantar ustazah.

Laila awal-awal lagi dah canang dapat tiket kapal terbang murah, petang Jumaat balik kampungnya di Johorlah jawabnya. Malam Ahad baru Laila terhegeh-hegeh balik sini semula. Orang banyak duit tak apa, anak usahawan ternak lembu dan kambing itu tidak susah soal duit.

“Yalah… yalah. Ni ada makan free tak?”

“Ada… ada… tengok surat tu. Peringkat negeri ni. Jamuan sedap tu…” Cikgu Masrip unjuk surat itu.

Najiha berjalan menuju ke kelasnya. Ah, sudah. Apa pula RIMUP ni? Nak tanya malu. KPLI dapat cemerlang CGPA sampai 3.9 lepas itu tak tahu apa maksud RIMUP? Ah, nanti cari je la dengan pakcik google. Bukan susah pun, fikirnya sambil menuju ke tangga, mahu naik ke tingkat 3. Kelasnya di tingkat paling atas.

“Jiha!” Najiha menoleh.

Kak Mirah melambai-lambai dari depan pintu pejabat. Dia tidak jadi naik tangga ke tingkat atas.

“Apahal Kak Mirah?” tanyanya terhenti di kaki lima depan tangga bangunan itu.

“Telefon.” Kak Mirah membuat isyarat telefon dengan tangannya.

Najiha bergerak menuju ke arah pejabat pentadbiran am sekolah. Siapa pula yang telefon dia guna nombor sekolah ni? Mungkin dari pejabat pendidikan daerah yang minta data, tapi rasanya semua data yang PPD hendak dia sudah hantar. Tak ada hutang lagi kot, fikirnya. Dalam berfikir-fikir itu tangannya sudah mencapai gagang telefon. Kak Mirah dan Kak Hanis sedang duduk di meja masing-masing. Mereka berdua itu staf sokongan sekolah.

“Demam? Oh, okay… saya datang dalam 30 minit lagi. Terima kasih ya.” Najiha meletakkan gagang telefon ke bawah. Rafiq demam pula. Kenapa tak telefon handphone ya, detiknya. Dia menyeluk kocek baju kurungnya, telefon genggamnya dilihat. Tak ada pula missed called dari sesiapa.  

“Kenapa Jiha?” tanya Kak Mirah bila nampak wajah Najiha yang ceria tadi sedikit berubah.

“Rafiq demam. Sekolah dia suruh ambil bawa balik. Muntah.” Terangnya. Minta balik awallah macam ini, dia berkira-kira dalam hati.

“Guru besar mana?” Dia mahu minta balik awal. Jam sudah pukul 11.50. Kelas dia sudah habis jam 11.20 tadi. Sesi persekolahan sahaja yang belum tamat hari ini.

“Cuba tengok kat kantin. Dia ada kelas KH dengan budak-budak sekarang rasanya,” jawab Kak Mirah.  Cepat saja kaki Najiha mencari arah ke kantin.



NAJIHA parkir keretanya di salah satu tempat letak kereta di perkarangan masjid. Masjid Negeri Sarawak jelas lengang. Kereta pun tidak banyak. Keluar saja dari kereta, dia terkocoh-kocoh mencapai beg tangan, buka bonet kereta dan masukkan beg tangannya ke dalam bonet kereta. Hendak bawa bawa beg tangan sekali dia malas. Nanti mesti dia kena bawa beg sekolah Rafiq. Selepas mengunci kereta, Najiha terus menuju ke arah tangga masjid, dan turun ke aras bawah masjid.

Aras bawah masjid itu adalah tempat untuk mengambil wuduk. Ada juga pejabat pentadbiran masjid. Bilik-bilik di sayap depan diubahsuai untuk kelas tahfiz budak-budak berusia 4 dan 5 tahun. Sayap belakang pula untuk kelas tahfiz budak-budak berusia 6 tahun, dan di hujung sekali, sebelah kelas Ibn Khaldun 6 ialah bilik mandikan jenazah. Pantas Najiha mengatur langkah menuju ke arah kelas Ibn Khaldun 6 di hujung sekali. 

Tadi Guru Besar bagi saja dia kebenaran untuk balik awal. Lutfi masih ada kelas. Lewat petang nanti selepas Lutfi habis kelas Fardhu Ain, terpaksalah dia patah balik ke sekolah semula untuk ambil Lutfi pula.

“Assalamualaikum…” sapa Najiha sambil ketuk pintu kelas Ibn Khaldun 6 yang terbuka. Nampak murid-murid kelas itu sedang duduk di atas lantai mengadap papan putih.

“Mak Rafiqkan…” seorang wanita menghampiri muka pintu.

Ini bukan cikgu, rasanya pembantu pengurusan murid kot, detik Najiha. Cikgu akademik cuma datang sebelah petang sebab petang khusus untuk kelas akademik. Kalau pagi, ustaz atau ustazah yang ajar sebab pagi memang khusus untuk hafazan Al-Quran, Najiha ingat benar jadual sekolah Rafiq itu.

“Rafiq mana?” tanyanya sopan. Demam terukkan Rafiq ya?

“Tu… sekejap ya,” wanita itu kembali ke sudut kelas dan mengejutkan Rafiq yang tidur berselimut di atas kot bayi. Kot bayi yang berwarna biru itu comel dan pendek saja.

Nampak Rafiq terpisat-pisat bangun dari tidur. Muka yang comel itu nampak muram. Bajunya ada sedikit kesan kotor.

“Dia muntah tadi. Lepas itu hidung berdarah. Panas sangat agaknya. Itu yang kami telefon terus.” Terang wanita itu. Rasanya inilah Kak Nor yang Rafiq selalu sebut-sebut tu.

“Terima kasih ya. Saya bawa dia balik dulu. Tapi, esok, kalau demam dia belum baik, saya tak hantar dia sekolah…” ujar Najiha.

“Oklah kalau macam tu. Panas betul badan dia tadi.” Sambung wanita itu.

Rafiq sudah muncul di muka pintu dengan wajah yang kelat. Begnya ditarik sekali. Kesiannya sayang saya ni, Najiha pegang tangan Rafiq.

“Sakit kepala ke?” tanya Najiha sambil pegang kepala Rafiq. Panas. Mereka berdua sudah menuju ke arah tangga masjid. Rafiq geleng kepala.

“Hidung berdarah.” Kata Rafiq menunjuk pada hidungnya. Ada kesan darah yang kering. “Balik rumah. Kita tidur Mak Usu.” Sayunya suara Rafiq.

“Ya. Nanti makan ubat kat rumah ya.” katanya sambil pegang erat tangan Rafiq. Sebelah tangannya menarik beg sekolah Rafiq yang berat.

“Assalamualaikum… eh… kenapa ni?” satu suara menegur dari hadapan.

“Waalaikumsalam..” Najiha angkat muka. Dr. Hasbi.

Ustaz Dr. Hasbi rupanya. Dia memang kenal dengan Dr. Hasbi. Dr. Hasbi itu Pengurus Pusat Pengajian Tahfiz Masjid Negeri ini. Lebih kurang macam bos cikgu-cikgu sekolah tahfiz inilah. Dia kenal Dr. Hasbi itu sebab Dr. Hasbi itu kawan lama ayahnya sejak zaman mereka sama-sama jadi pelajar di UKM dulu. Suara pun selalu keluar radio tempatan, slot soal jawab pasal agama.

“Demam eh?” tanya Dr. Hasbi.  Ustaz Umar Abdul Aziz yang berdiri di sebelahnya hanya diam memerhati.

“Ya. Demam. Sekolah telefon saya tadi…” jawab Najiha. Rafiq sudah tarik tangan dia berkali-kali. Barangkali tidak selesa terhenti di tengah-tengah jalan itu.

“Balik dulu doktor. Kesian, dari tadi nak baring je dia ni,” katanya merujuk pada Rafiq.

“Ya..ya… kirim salam dengan ayah ya..” sahut Dr. Hasbi.

“Insya Allah.” Jawab Najiha lalu pantas berlalu dari situ. Umar hanya memerhati dengan ekor matanya.

“Itulah Najiha.” Kata Dr. Hasbi bilamana Najiha sudah tidak kelihatan dari pandangan. Dia dan Ustaz Umar melangkah menuju ke arah pejabat pentadbiran am.

“Yang Abi cakap anak Encik Kamarulzaman tu. Anak peguam tu.”

Ustaz Umar cuba mengingat-ingat.  

“Kamu setuju tak kalau dia?” tanya Dr. Hasbi pada Umar. “Abi dah cakap terus dengan ayahnya tapi ayahnya belum bagi kata putus lagi.”

“Setuju yang apanya Abi?” tanya Umar lalu pandang wajah Dr. Hasbi di sisinya.

Dr. Hasbi itu sudah macam ayahnya sendiri. Sejak dia mula-mula datang melapor diri sebagai guru tahfiz di situ dulu, Dr. Hasbi pelawa dia untuk duduk di rumahnya sementara dia mencari rumah sewa sendiri di bandar itu. Sejak itu dia jadi rapat dengan Dr. Hasbi sekeluarga sehingga dijadikan anak angkat oleh Dr. Hasbi. Dr. Hasbi itu mana ada anak lelaki. Anaknya yang lima orang itu memanjang perempuan sahaja.

“Yalah. Kan hari tu Abi tanya kamu, nak tak kalau Abi tolong carikan kamu isteri. Kamu kan dah 30 tahun. Kurang-kurangnya makan pakai kamu ada yang jaga. Ini duduk sini sorang-sorang, emak ayah kamu yang telefon Abi pun naik risau dengan kamu. Ustaz pulak tu, tak kahwin-kahwin lagi. Ye ye je dok mengajar orang cakap kahwin itu sunnah. Kamu sendiri tak buat sunnah itu.” Jawab Dr. Hasbi geleng kepala. 
 
“Dengan Najiha itu ke?” Alahai… hari tu memanglah Dr. Hasbi ada tanyakan dia begitu. Dia jawab, ‘ikut Abi je’. Haa… itulah mulut bagi lagi jawapan begitu, kan orang ingat serius. Tapi masa dia jawab begitu, fikirannya masih sarat dengan perkara lain.
   
“Yalah. Dengan dialah. Abi dah kenal budak tu lama. Dari kecil lagi. Bagus budaknya. Comel pun ya.” Wah, Dr. Hasbi sudah tambah saham Najiha. Kalau Najiha dengar ini, mahu dia senyum panjang 10 harakat.

Ya, comel memang comel, detik Umar. Tapi dia ada anak dua. Biar betul Dr. Hasbi ini nak suruh dia kahwin dengan janda anak dua.

Eh, kamu ini Umar. Janda pun apa salahnya, Khadijah isteri Rasulullah s.a.w. itu pun janda juga, sanggah hatinya. Iya, tapi ibu dan ayah di kampung setuju ke? Satu lagi, hatinya sendiri bagaimana. Rasa suka itu macam belum ada, fikirnya.

Kalau Najiha dengar suara hati kamu ini Umar, mesti dia kecil hati. Najiha itu belum pernah bersuami pun ya Umar, kasihan Najiha disangka begitu.

Umar cuba menyusun kata-kata. “Kalau… ehmm.. Abi dah cakap dengan keluarga dia ke?” Harapnya janganlah cakap dulu ya. Dr. Hasbi ini masuk gear lima terus. Lain kali, tanya betul-betul dengan dia dulu. 

“Tak adalah sampai masuk meminang terus. Kalau kamu terbuka hati untuk dia, kenal-kenal dulu, mahu? Kalau mahu, nanti Abi cakap kat ayah dia ya?” benar-benar Dr. Hasbi berharap. Najiha itu baik betul. Kalau dijodohkan dengan Umar yang baik ini alangkah bagusnya.

Umar terdiam lagi. Dia mana pernah berani hendak kenal-kenal begitu dengan anak gadis orang. Dr. Hasbi ini pun satu.

“Seganlah saya… saya mana biasa dengan anak gadis orang,” kata Umar, wajahnya sedikit merah. Dia masih cuba mengelak.

Dr. Hasbi tersenyum kecil. “Bukan nak suruh kamu pergi dating dengan anak dara orang. Guna cara berhemahlah. Jumpa dia dengan keluarga dia sekali mahu?”

“Seganlah saya. Tak payahlah Abi…” jawab Umar ringkas. Entah anak orang suka tidak dengan kita, fikirnya. Seketika kemudian dahinya sedikit berkerut. Anak dara? Dr. Hasbi kata anak dara? Rafiq itu siapa ya pada Najiha? Dia mahu bertanya lebih lanjut mengenai Najiha, tapi rasa segan itu menguasai diri.

Dr. Hasbi tidak membalas. Dia dan Umar terus melangkah ke hadapan. Teringat dengan kawan rapatnya Encik Kamarulzaman. Dulu pernah Encik Kamarulzaman mengadu pada dia, macam tidak ada orang yang nak pada Najiha sebab ramai yang salah sangka dia itu ada anak dua. Padahal itu anak arwah Naurah. Sayang sangat pada Lutfi dan Rafiq, kalau keluar pergi mana-mana mesti budak berdua itu dia usung ke sana-sini. Siapa yang berani mengurat lagi kalau sudah begitu, haha Dr. Hasbi sudah ketawa sendiri dalam hati mendengar kata-kata Kamarulzaman yang begitu. Masa itulah timbul rasa di hatinya mahu padankan Umar dengan Najiha yang manis itu.



RAFIQ sudah masuk tidur. Panas badannya berkurangan sedikit tapi demam masih singgah. Lutfi pula sedang menonton rancangan televisyen kesukaannya. TV itu memang tak ada cerita lain yang dapat ditonton, asyik-asyik cerita kartun Astro. Butang kawalan jauh TV memang Lutfi dan Rafiq yang pegang selalunya, sampaikan emak dan ayah terpaksa beli TV kecil yang baru buat letak dalam bilik tidur mereka.

Najiha sibuk menggunting kertas di ruang rehat di hadapan TV. Dia mahu sudahkan bahan bantu mengajar untuk hari esok. Sambil buat kerja, sambil tengok TV. Rafiq sudah tertidur di hadapan TV. Terpaksalah selepas ini nanti dia hampar tilam nipis satu lagi di sebelah Rafiq, temankan Rafiq tidur di situ. Senang hendak memantau demam Rafiq, takut juga kalau tiba-tiba tengah malam badannya tiba-tiba panas. Hendak cempung Rafiq masuk bilik tak larat, macam kena angkat 2 kampit beras 10 kilo.

“Jiha… hujung minggu ni, Sabtu malam Ahad ada kerja tak? Ke nak pergi mana-mana?” tanya emak yang sedang duduk-duduk di situ sambil membelek majalah NONA.

Najiha angkat muka. “Tak ada. Kenapa? Nak pergi mana-mana ke?”

“Kawan ayah jemput kita semua makan rumah dia. Makan-makan gitu. Dapat pergi tak?” tanya emak sambil pandang wajahnya. Najiha sambung lagi kerja-kerja menggunting kertas.

“Rumah siapa? Makan-makan sempena apa? Tahlil ke?” tanyanya polos. Malas betul kalau terpaksa pergi kenduri-kenduri ni. Dia lebih suka tidur di rumah saja. Hari Sabtu ini kan kena pergi majlis RIMUP, kalau malam disuruh pergi kenduri lagi, memang penat tahu.

“Taklah. Saja je Dr. Hasbi tu ajak makan malam.”

“Rumah Dr. Hasbi ke? Tadi masa ambil Rafiq kat sekolah, ada Jiha terserempak dengan Dr. Hasbi. Tak pula dia cakap masa tu,” kata Najiha. Kertas berwarna yang sudah diguntingnya dikumpulnya di dalam plastik jernih.

“Dia baru telefon ayah petang tadi. Dapat tak? Kita pergi satu keluarga mahu…” cadang Puan Maimon lagi.

“Mmm… malaslah mak. Pagi tu Jiha kena attend majlis RIMUP. Malas ah nak keluar lagi malam-malam. Mak dan ayah pergi dua orang je. Tak pun bawaklah Lutfi dan Rafiq tu sekali, Lutfi tu suka kalau pergi makan-makan sedap macam tu.”

Alahai Najiha, Puan Maimon sudah kehabisan kata. Ada saja kerja budak ini kalau hujung minggu. Orang nak bawa dia, dia pula nak duduk saja di rumah, suruh bawa Lutfi dan Rafiq pula.

“Sabtu depan?” tanya Puan Maimon lagi. “Dr. Hasbi nak kita sekeluarga pergi kalau boleh. Tak ada yang tinggal-tinggal di rumah.”

“Sabtu depan?” Najiha pandang wajah emaknya. Eh, pelik Dr. Hasbi ni. Kalau dia tak ada tak boleh ke. Siang tadi masa terjumpa di masjid negeri masa ambil Rafiq, tak ada pula dia cakap apa-apa.

“Sabtu depan kalau malam, Jiha pergi sekolah. Budak berlatih menari.”

“Budak menari pulak? Kenapa sampai malam? Jiha yang latih ke?”

“Takde… GB ambil jurulatih tari dari luar. Cikgu yang ajar tu, siang dia kerja dengan RTM. Malam je dia lapang. Jadi, malamlah dapat ajar budak-budak.” Terang Najiha. Ya, GB nak suruh murid-murid masuk pertandingan tarian pula. Dia, Najiha kena pantau budak-budak yang datang berlatih itu.

“Hem… cikgu lain takde ke? Cikgu Hasan?” Puan Maimon memang ingat nama cikgu-cikgu yang satu sekolah dengan Najiha. Selalu juga Najiha itu cerita dengan dia perihal cikgu-cikgu sekolahnya. Cikgu Hasan kan ada duduk kuarters guru itu.

“Cikgu Hasan lelakilah mak. Lagipun mana dia reti nak hafal step tarian budak.”

Emak ini pun satu, detik Najiha dalam hati. Cikgu Hasan itu kayu kalau bab tarian. Najiha ini kecil-kecil dulu masa tadika dan Darjah 1 kan pernah menari tarian inang dan tarian Jawa. Ala-ala pandai menari jugalah tu. Bolehlah kalau nak ingat langkah tarian yang diajar pada budak-budak nanti. Kalau dia boleh ingat, petang-petang habis sekolah senang dia latih murid-murid itu tanpa perlu menunggu cikgu tarian itu datang.

Puan Maimon sudah tutup majalah NONA. Hai, susah budak Jiha ni. Macam-macam aktiviti dia. Orang lain pun mengajar juga, detiknya dalam hati.

“Mak. Jiha bawa Lutfi dan Rafiq malam itu boleh. Budak berlatih menari, biar dia orang berdua main kat dalam dewan sekolah tu…” ujar Najiha. Bawa Lutfi dan Rafiq tentu seronok.

“Kalau Rafiq tak demam, bawaklah…” sahut Puan Maimon.

Memang tak boleh berpisah sekejap dengan budak berdua tu. Berpisah 5, 6 jam pun, kalau jumpa balik, puas dia peluk cium si Rafiq tu. Mana tak budak itu jadi manja terlebih. Umur sudah 29 tahun, tapi selalu juga Najiha itu layankan Rafiq dan Lutfi main pondok-pondok, main cikgu-cikgu. Sayangnya memang berlebih pada anak arwah Naurah itu. Entah macam mana Rafiq dan Lutfi nanti kalau Najiha itu kahwin, fikir Puan Maimon. 

Tak jadi nampaknya rancangan nak jumpakan Najiha dengan Ustaz Umar itu. Petang tadi suaminya telefon dari pejabat kata Dr. Hasbi hendak jemput mereka sekeluarga makan malam di rumahnya. Boleh kenalkan Najiha dan Ustaz Umar itu.


Apa nama penuh Ustaz Umar itu ya, Puan Maimon cuba mengingat-ingat. Umar Al Khatab? Eh, itu macam nama Khalifah Islam yang kedua, yang selepas Abu Bakar as-Siddiq. Umar apa ya, nantilah dia tanya balik dengan suaminya. 

Thursday 19 June 2014

Jodoh Depan Mata - Bab 1: Nur Safiyyah

“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” aku mengucapkan syukur berkali-kali. Surat yang baru sahaja di hantar oleh posmen aku baca sekali lagi. Rasa macam tidak percaya.
      “Mak, Syira dapat matrik Melaka. 18 Mei ni kena daftar,” kata aku kegirangan. Berlari-lari aku memdapatkan mak. Akhirnya impian aku tercapai.
“Alhamdulillah, dapat juga Syira masuk matrik. Nasib baik dekat je. Nanti lepas ayah balik, bagitahu dia,” mak bersuara sebelum meneruskan jahitannya. Riak wajahnya gembira. Namun, kerana begitu banyak tempahan baju terpaksa disiapkan, mak tidak begitu melayan kerenahku. Aku tidak berkecil hati. Aku memahami kesibukan ibu mengambil upah menjahit baju.
Aku mencapai tudung berwarna ungu yang tersangkut di dinding sebelum berlari ke pantai di belakang rumah.
Di pantai ini aku menunggu ayah pulang iaitu seorang nelayan yang aku sayangi. Tidak sabar rasanya memberi tahu perkhabaran gembira ini. Angin kuat hampir sahaja mengoyakkan surat tawaranku. Aku masukkan semula di dalam sampul. Sampai ke telinga aku senyum. Ini adalah langkah pertama sebelum untuk aku mencapai cita-cita aku ke menara gading. Walaupun nampak macam poyo je tapi aku peduli apa.
“Kak Syira dapat masuk matrik ye,” soal adik lelakiku, Nizam yang masih berbaju sekolah. Dia menghisap-hisap aiskrim Malaysia yang berperisa milo. Habis kotor bajunya. Sememeh je dia.
“Haah. Ish, ni apa kotor-kotor ni. Dah lah, abang pergi masuk dalam, makan. Lepas ni nak pergi sekolah agama kan? Kak Syira nak tunggu ayah,” aku mengarahkan adik lelakiku yang biasanya kami panggil abang untuk masuk ke rumah.
“Ala, kejaplah. Abang nak habiskan aiskrim dulu. Ayah lambat lagi lah balik. Lebih baik kak Syira masuk dulu,” ada sahaja abang menjawab. Walaupun baru darjah empat, kadang-kadang macam orang tua cara dia bercakap. Mungkin sebab bergaul dengan kami semua yang dah besar-besar.
“Syira, masuk lah dulu. Ayah kamu lambat lagi balik. Ni tolong gosokkan baju Nizam ni. Kejap lagi dia nak pergi mengaji,” mak sedikit menjerit dari dalam rumah. Hasrat aku nak menunggu ayah terbantut. Terpaksa pula menggosok baju budak kecil ni.
“Kan abang dah cakap tadi. Tak nak dengar,” abang mengomel kecil. Rasa macam nak cubit-cubit je budak ni.
“Okey,” aku menjawab pendek. Ikut kata hati mahu sahaja aku tunggu sampai ayah balik.

 
      Hari ini ayah pulang sedikit lewat. Nasib baik aku tidak menunggunya di tepi laut. Kalau tidak, mahu berjanggut aku menunggunya. Katanya rezeki hari ini lebih dari biasa.  Banyak ikan dan cuaca pun bagus. Alhamdulillah. Rezeki keluarga ini tidak pernah putus. Kalau tidak ke laut, ayah ke kebun memetik kelapa sawit. Cukuplah untuk makan anak-beranak. Lagi pun, mak ada mengambil upah menjahit. Buat tambah-tambah. Aku bersyukur kerana keluarga kami tidak lah sesusah mana jika dibandingkan dengan orang lain. Tapi kalau boleh, aku tidak mahu ayah ke laut lagi. Risau kalau-kalau perkara buruk berlaku.
“Ayah, Syira dapat masuk matrik melaka. 18 Mei ni daftar,” ayat yang sama aku gunakan pagi tadi kepada mak. Aku menghampiri ayah yang menjinjing plastik berisi ikan. Inilah untungnya jadi nelayan. Ada lebih boleh bawa ke rumah buat lauk. Jimat duit daripada beli di pasar. Lagipun ikan yang ayah selalu bawa balik segar lagi.
“Alhamdulillah. Dapat juga kamu masuk matrik,” memang sehati sejiwa betul mak dan ayah. Ayat pun lebih kurang sama je. Aku meletakkan ikan di sinki.
“Minggu depan ajak kakak kamu beli barang keperluan. Nanti tak ada lah terkocoh-kocoh. Borang-borang yang nak kena cop bagi kat ayah, nanti ayah suruh ketua kampung cop,” pesan ayah panjang lebar sebelum ke dapur.


      Seminggu sebelum bertolak ke matrik, aku dan kak long membeli barang keperluan. Aku sekadar membeli apa yang perlu. Tak mahu membazir.
      “Banyaknya Syira bawa barang. Ni nak lari rumah ke ni?,” getus kak long. Dia yang dari tadi memerhatikan aku mengemas barang tidak betah duduk. Aku berusaha mengzip beg balik kampung yang agak besar.
“Kalau banyak sangat barang, Dayana tak nak tolong tau. Penat,” Dayana, adik perempuanku yang kini tingkatan empat mengomel. Ingatkan dia khusyuk buat nota sejarah, rupanya menyampuk juga budak ni. Kak long dan aku berpandangan dan tersengih.
“Mana ada banyak. Kak long dulu lagi banyak dari ni kan?,” aku cuba mengingatkan kak long atau nama penuhnya Nur Aina sewaktu dia mula-mula melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di salah sebuah kolej di pantai timur. Memang haru nak mengangkat barangnya. Dah lah biliknya di tingkat empat. Jauh pula tu. Memang rasa nak patah tulang pinggang. Nasib baik kami berenam sekeluarga ikut sekali. Kalau tak, mahu pengsan mengangkatnya.
“Kak long jauh, sebab tu bawa banyak. Meh lah. Kak Long tolong kemaskan. Banyak sangat ni,” kak long memang begitu. Sakit mata kalau tengok orang lain berkemas. Ada sahaja yang tidak kena.
“Kak long belajar lagi berapa lama ye,” soalku. Rasanya dah lama dia melanjutkan pelajarannya.
“Kak long lagi satu sem. Lepas ni praktikal. Lepas tu kerja,” kak long menjawab sambil memasukkan semula baju yang dipunggahnya. Semuanya tersusun rapi dan tiada yang tertinggal seperti tadi.
“Dah siap kemas semuanya. Mak dengar berborak je dari tadi. Apa yang diborakkan?,” mak menyoal sambil menyelak sikit langsir bilik kami. Di tangannya ada baju yang hendak di sembat.
“Tinggal sikit je mak,” aku membalas. Mata tidak menunjukkan tanda-tanda mahu tidur. Mungkin sebab teruja nak daftar esok. Dah lah esok kena bangun awal. Ayah bercadang nak bertolak awal. Bagus juga, kalau lambat mesti panjang barisan kena beratur. Nanti lambat pula mak dan ayah balik ke banting semula.


Hari ini hari pendaftaran untuk aku memasuki Kolej Matrikulasi Melaka. Perasaan bercampur baur sejak malam semalam sehinggakan aku tidak mampu melelapkan mata. Aku rasa hanya 3 jam sahaja aku dapat melelapkan mata sebelum mak mengejutkan aku untuk solat subuh. Hari ini, semua ahli keluarga menghantar aku. Adik-adikku mengikut bukan sebab apa, nak berjalan-jalan makan angin. Tetapi yang seronoknya, semua kena tolong angkat barang-barang aku. Mujur, kak long tolong kemaskan barang-barang aku. Kalau tak mesti penat nak angkat beg yang banyak berkali-kali naik ke tingkat tiga.
“Mak dengan ayah balik dulu. Belajar elok-elok. Nanti telefon mak bila ada masa,” pesan mak selepas semua barang-barang diletakkan di bilik. Kami berjalan menuju ke parkir kereta.
“Baik mak,” aku mencium tangan dan pipi ibuku. Aku peluk erat-erat tubunya. Rasa macam berat sangat nak lepaskan. Maklumlah, ini kali pertama aku berjauhan dari keluarga sebab sebelum ini aku hanya bersekolah di sekolah harian di kampung halaman. Tidak pernah aku berjauhan daripada keluarga dalam masa yang panjang.
“Ayah balik dulu, nak berjalan-jalan kat Melaka ni,” ayah mengusik aku. Sampai hati mereka berjalan tak ajak aku. Adik-adik aku apa lagi, tersenyum sumbing mengenakan aku. Aku menyalami ayah dan yang lain. Sempat aku menarik telinga abang, kawan gaduh di rumah. Sebaik sahaja kereta Waja milik ayah hilang dari pandangan, aku segera naik semula ke bilik. Banyak barang yang perlu di kemas.
“Hai, saya Insyirah. Awak?,” tanya aku kepada dua orang rakan sebilikku. Sewaktu aku masuk ke bilik masing-masing sibuk mengemas. Di sini, aku mempunyai dua orang rakan sebilik walaupun sepatutnya bilik ini boleh memuatkan sehingga empat orang.
“Saya Farahin,” kata kawan sebilikku yang mempunyai raut wajah yang cantik dan putih mulus.
 “Saya Hafizah. Panggil Fizah je. Selamat berkenalan, Syira,” balas gadis berkulit hitam manis yang berdiri disampingku. Aku kemudiannya mengemas barang-barang yang dibawa. Kali ini tiada mak dan kakak yang membantu. Mujur, mak selalu mengajar aku mengemas pakaian sendiri. Jadi, tidaklah begitu kekok.
Pada petangnya, kami diminta berkumpul untuk mengikuti orientasi yang berlangsung selama seminggu. Kami dibahagikan mengikut kumpulan dan di bawa mengelilingi kawasan kolej supaya biasa dan tahu tempat-tempat tertentu. Ada aktiviti sukan, aktiviti bersama mentor mentee dan banyak lagi aktiviti yang dijalankan. Sampai ramai yang demam kerana jadual yang padat dan cuaca yang agak terik. Aku hanya pening-pening dan sakit perut kerana tidak selera menjamah makanan kerana terlalu letih.


“Huh...habis jugak hari orientasi. Hari ni boleh rehat-rehat. Farahin, Fizah, hari ni kita pusing kolej nak? Boleh tengok-tengok dewan kuliah dengan makmal. Esok tak lah susah sangat nak pergi cari kelas. Nak tak?,” aku memberikan cadangan memandangkan semua hanya baring di atas katil. Walaupun semasa orientasi kami sudah di bawa pusing-pusing satu kolej, namun kami masih belum biasa dengan bangunan-bangunan yang ada.
“Nak !,” jawab Farahin dan Fizah serentak.
“Nak ikut !,” teriak Tina, jiran di bilik hadapan kami. Tiba-tiba sahaja Tina muncul. Dia memang ramah dan pandai bergaul orangnya. Sebab tu, kami selesa berkawan dengannya walaupun bukan sebilik. Dari hari pertama lagi dia sudah menunjukkan keramahannya.
“Boleh-boleh, ajak Nadirah sekali, boleh borak-borak. Lepas tu kita makan tengahari kat kafe,” Farahin membalas. Masing-masing bangkit dari katil dan bersiap.
Sepanjang seminggu berorientasi, kami tidak berkesempatan untuk kenal-mengenali antara satu sama lain. Maklumlah, aktiviti sangat padat sampai ke malam hingga semua keletihan. Balik sahaja ke bilik semua terbongkang tidur.
“Besar jugak ye kawasan matrik ni,” kata Nadirah memecahkan suasana sunyi.
“Farahin, awak orang mana?,” tanya Tina secara tiba-tiba.
“Saya orang Gombak,” jawab Farahin yang manis berlesung pipit.
Dari satu tempat ke satu tempat kami pergi. Sepanjang itu, rancak kami berbual-bual mengenai latar belakang masing-masing. Seronok rasanya mempunyai kenalan baru dari tempat yang berbeza-beza. Farahin dari Gombak, Fizah dari Perak, Tina dari Johor, Nadirah dari Negeri Sembilan dan aku pula dari Selangor. Walaupun baru sahaja berkenalan antara satu sama lain, tapi rasa macam dah lama sangat. Tiada rasa kekok langsung malah ada sahaja cerita dari mereka yang membuatkan aku tidak kering gusi. Selepas habis mengelilingi satu kawasan kolej, kami makan tengahari bersama-sama di kafe A. Harga makanan di sini murah dan rasanya boleh tahan sedap. Petang itu kami hanya berehat-rehat sahaja di bilik. Kami bergilir-gilir menggosok baju kerana hanya ada satu seterika sahaja. Itupun Fizah curi-curi bawa. Aku menggosok baju kurung dan tudung untuk seminggu. Malamnya pula, kami membelek-belek buku rujukan dan selebihnya membuat persiapan untuk ke kelas pada keesokannya.
“Fizah, nanti pagi kalau bangun awal tolong kejutkan ye?,” aku memesan. Takut terlajak tidur. Selalu mak yang kejutkan subuh.
“Okey, kalau lambat bangun kena simbah tau,” seloroh Fizah. Kelakar juga dia ni.
“Kejutkan I juga ye?,” Farahin bersuara seakan-akan mengada. Kami semua tergelak mendengarnya.

      Lampu dimatikan dan doa tidur dibaca.

Wednesday 18 June 2014

Tiga Hati Dua Cinta (Bab 1): Chrysalis

FAHRY & DHIYA
Menikahi orang yang kita cintai
adalah satu kemungkinan
tetapi
Mencintai orang yang kita nikahi itu
adalah satu kewajipan’
 -Anonymous-


You had me at Hello??!!’ tempik Aydin Fahry apabila matanya menangkap susuk tubuh Dhiya Kamila masuk ke dalam kondominium miliknya.
Dhiya yang baru sahaja pulang dari kerja itu hanya mengeluh kecil mendengar tempikan tersebut. Sedikit pun tidak tercuit dengan tempikan yang selalu menjadi halwa telinganya semenjak empat bulan lepas.
Tanpa mempedulikan pandangan tajam dan raut muka Fahry yang merah padam itu, Dhiya dengan selamba melangkah ke kabinet kecil yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Usai meletakkan beg tangan dan kotak yang penuh dengan artwork, Dhiya dengan tenang memandang ke arah Fahry.
‘Apa yang awak buat dekat sini?,’ tanya Dhiya tenang tapi penuh kehairanan. Suasana tiba-tiba jadi sunyi sepi, hanya kedengaran nafas turun naik Fahry yang jelas sedang mengawal kemarahannya.
You had me at hello? You had me at hello?!!’ soal Fahry lagi. Walaupun tidak lagi menempik namun jelas ada kekerasan di dalam nada yang digunakan.
You had me at hello? Apa benda yang awak merepek ni?’ ujar Dhiya yang mula bosan dengan ‘drama sebabak’ Fahry lewat petang itu. Asal berjumpa saja, ada sahaja benda yang tidak kena pada mata Aydin Fahry. ‘Petang-petang ni awak nak berdrama apa pulak ni? Erm..you had me at hello? Eh, tu dialog dalam cerita Jerry Maguire kan? Teringin nak jadi Tom Cruise ke? Tapi sorrylah, saya tak ingin nak jadi Renee Zellweger tu,’ ujar Dhiya sinis sambil ketawa kuat-kuat.  Sebenarnya, bukan lawak sangat pun kata-kata Dhiya itu tetapi dia sengaja ketawa kerana sedar yang muka Fahry semakin merah padam. Seronok rasanya bila dapat buat si mamat dingin beku di depannya ini naik angin. ‘Ah, tak buat salah nak takut buat apa kan?’, getus hati kecil Dhiya.
‘Kalau aku yang jadinya heronya memang la kau tak ingin kan? Tapi kalau Ken yang jadi heronya, memang kecil tapak tangan, satu stadium kau tadahkan!,’ 
Ken? Usai mendengar sahaja nama tersebut, ketawa Dhiya serta merta berhenti dan peluh dingin mula membasahi dahi apabila matanya menangkap kelibat buku kecil berwarna ungu yang berada di tangan Fahry.
‘Kenapa diam? Dah sedar dah apa yang kau dah buat? Siapa Ken?!’ jerkah Fahry sambil matanya merenung tajam Dhiya yang sudah pun melarikan wajahnya ke arah lain.
******
Fahry bergegas datang ke kondominium yang diduduki oleh Dhiya apabila mendapat panggilan telefon daripada neneknya yang ingin datang melawat dan tinggal bersama-sama Fahry dan Dhiya buat sementara waktu. Apabila sampai, didapatinya kondo tersebut kosong menandakan yang Dhiya masih lagi belum pulang dari kerja. Entah angin apa yang merasuknya, tiba-tiba dia seolah-olah ditarik untuk masuk ke bilik Dhiya. Perlahan-lahan dia memulas tombol dan nasibnya baik kerana pintu tersebut tidak berkunci. Tanpa ada sebarang niat dan rasa bersalah, Fahry masuk dan memerhatikan keadaan bilik tidur tersebut. Matanya kemudian terarah ke buku kecil berwarna ungu yang kelihatan agak usang dan sedikit girlish di atas meja solek.
Fahry tersenyum apabila mendapati yang buku kecil tersebut rupa-rupanya adalah diari Dhiya. Dibelek-beleknya diari tersebut dan sekeping foto yang memaparkan seorang budak perempuan dan budak lelaki jatuh ke lantai. Lantas dikutipnya dan ketika itulah dia menyedari ayat ‘you had me at hello’ tertera di belakang foto tersebut. Tanpa mengesyaki apa-apa, diamatinya gambar tersebut.
Foto tersebut memaparkan seorang budak perempuan melayu dan budak lelaki cina dalam usia belasan tahun sedang tersenyum memandang kamera. Kedua-duanya berpakaian sekolah. Seorang berbaju kurung dengan kain biru muda dan yang lelakinya berkemeja lengan panjang dan berseluar panjang berwarna hijau. Walaupun kedua-duanya hanya berdiri tegak dan berdiri agak jauh di antara satu sama lain namun ada sesuatu yang dapat dilihat di situ. Mereka nampak mesra dan seolah-olah kedua-duanya sedang dilamun cinta.
‘Eh, ni Dhiya..tapi siapa pulak mamat cina ni?’ getus hati Fahry. Tanpa membuang masa, Fahry terus duduk di birai katil dan mula membaca diari Dhiya. Di helaian pertama tertera perkataan Taiping, 1998.
Muka Fahry yang mulanya tenang mula berkocak apabila helaian demi helaian dibaca. Usai sahaja habis membaca diari tersebut, foto yang tertera ayat ‘you had me at hello’ itu direnyuknya sekuat hati. Sebaris nama yang memenuhi diari tersebut memang betul-betul mencabar keegoan Fahry.
‘Ken..er..Ken,’ ujar Dhiya gagap. Lamunan Fahry terhenti apabila terdengar suara Dhiya. Ken! Mendengar nama itu pun sudah cukup untuk menaikkan rasa marah di dalam diri Fahry.
‘Ken..Ken apa? Yang kau tergagap-gagap ni kenapa hah?,’ serentak dengan itu, diari kecil berwarna ungu itu dibaling ke arah Dhiya. Sememangnya, kecil sahaja Dhiya di dalam pandangan mata Fahry sekarang ini.
‘Aduh..,’ terjerit kecil Dhiya apabila diari yang dibaling oleh Fahry terkena dahinya. Namun, rasa pedih di dahinya itu hilang begitu sahaja tatkala menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan diarinya. Kelam kabut Dhiya mengutip diarinya dan mencari ‘sesuatu’ di antara helaian diarinya. Muka Dhiya pucat lesi apabila tidak jumpa dengan benda yang dicarinya. Tanpa mempedulikan Fahry, Dhiya bergerak mencari ‘sesuatu’ di lantai pula.
“Kau cari apa? Cari benda alah ni?,’ keras sahaja bunyi nada Fahry sambil melayangkan foto yang telah renyuk itu.
Dhiya mendongak memandang Fahry dan apabila dilihatnya foto tersebut, tanpa sedar dia mengukirkan senyuman dan bangun mendapatkan Fahry. Belum sempat dia sampai ke tempat Fahry berdiri, Fahry terlebih dahulu bertindak mengoyak foto tersebut. Kaget dengan tindakan Fahry, Dhiya bergegas berlari untuk menghalang.
‘Apa yang awak buat ni? Janganlah..tolonglah..jangan koyak foto ni,’ rayu Dhiya sambil cuba menghalang Fahry. Mendengarkan rayuan Dhiya itu lebih membuatkan Fahry naik hantu. Habis dikoyak lumat foto tersebut dan kemudian dilemparnya cebisan-cebisan gambar itu ke muka Dhiya.
Dhiya terkesima dengan tindakan Fahry. Sungguh dia tidak menyangka yang Fahry akan bertindak sejauh itu. Lantas dipukulnya dada Fahry berulang kali sambil mengalirkan airmata.
Berang dengan tindakan tersebut, Fahry cepat-cepat memegang kejap kedua-dua pergelangan tangan Dhiya dan berkata, ‘Eh perempuan..kau tu isteri aku..isteri aku tahu tak! Yang kau nak menangis disebabkan jantan lain ni kenapa hah? Walaupun perkahwinan kita ni hanya atas kertas, tak bermaksud kau boleh pijak maruah aku sebagai suami dengan menangis mengenangkan jantan lain!
Usai melampiaskan perasaan marahnya, Fahry melepaskan pergelangan tangan Dhiya dan bergerak ke arah pintu. ‘Sebelum aku lupa, lusa family aku nak datang tidur sini..kau buatlah apa-apa benda yang patut. Jangan sampai dorang tahu keadaan kita macam ni,’ perlahan sahaja suara Fahry namun masih boleh ditangkap oleh Dhiya. Fahry memandang Dhiya buat seketika sebelum keluar dari kondo tersebut.
Gedegang, bunyi pintu dihempas dan Dhiya juga turut longlai jatuh ke lantai. Jari-jemarinya mengutip satu persatu cebisan gambarnya dengan Ken dan saat itu juga memori Dhiya dengan Ken kembali di ingatan.
‘Ken!,’ ujar Dhiya sambil melepaskan satu keluhan yang berat.