Tuesday 23 December 2014

Sampaikan Salamku (Bab 4 & Bab 5) ~ Reza al-Razi

AZLAN berbaring di lantai dengan beralaskan tilam nipis yang sudah buruk. Bilik kecil di ceruk rumah bersebelahan dengan dapur itu menjadi tempat untuk dia tidur. Bilik yang tidak berpintu itu hanya ditutupi oleh kain langsir. Hanya ada tilam nipis buruk dan rak meletak kain baju sahaja di bilik itu.
            Sejak pulang dari petang tadi, Azlan tidak keluar-keluar dari bilik. Malas dia nak menghadap wajah ibu, ayah tiri dan adik-adiknya. Kalau dia ada pun, mesti ada sahaja perkara yang tak kena di mata mereka. Jadi, lebih baik dia menyendiri. Mata dibawa menengadah bumbung bilik beratapkan zink itu. Waktu balik tadi, bimbang juga dia kalau akan dimarah lagi oleh emak dan ayah tirinya. Namun, mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku. Cuma sindiran pedih sahaja yang keluar daripada mulut ayah tirinya itu. Sindiran yang cukup menyakitkan telinga.
“Eh, ingatkan kau dah lari jauh tadi? Buat apa balik? Pergi mampus lagi bagus!”
Kata-kata berbisa dari ayah tirinya itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Cukup pedih terasa. Namun dia tidak berani untuk melawan. Cukuplah dengan apa yang terjadi siang tadi. Tak sanggup lagi rasanya nak menghadapi buat kali yang kedua.
Azlan menghela nafas panjang. Wajah ahli keluarganya kembali bermain-main di ruang mata. Bagi dia, kewujudan mereka tidak memberikan apa-apa makna dalam hidupnya. Ibunya Jamilah berkahwin dengan Hasan selepas ayah kandungnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja. Ketika itu usianya baru sahaja dua tahun. Dia juga mempunyai dua orang adik iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan hasil perkahwinan ibu dan ayah tirinya.
Dia mula mengetahui bahawa ayahnya sekarang hanyalah ayah tiri adalah pada usia tujuh tahun. Neneknyalah yang telah menceritakan hal yang sebenar. Usianya terlalu muda ketika itu untuk memahami apakah itu ayah tiri dan apakah itu ayah kandung. Namun apa yang dia pasti, dia tidak pernah mendapat kasih-sayang seorang ayah apatah lagi ibu. Hanya pada neneknya sahajalah tempat dia menumpang kasih dan bermanja.
Ketika usianya dua tahun iaitu selepas ayahnya meninggal dunia, ibunya telah menyerahkan dia kepada neneknya untuk dijaga. Tetapi selepas neneknya meninggal dunia ketika usianya sembilan tahun, ibunya kembali mengambil-alih tugas untuk menjaganya. Dia masih ingat lagi saat itu dia menangis dan mengamuk kerana tidak mahu tinggal di rumah ibunya.
Ingatan tentang masa lalu terhenti tatkala perutnya mula berbunyi minta diisi. Azlan bangun menuju ke ruang dapur mencari kemungkinan ada sesuatu yang boleh dimakan. Dia berasa hampa apabila yang kelihatan di meja makan hanyalah sisa-sisa ikan dan sedikit sayur kacang panjang. Dia kemudian membuka periuk nasi. Mata memandang sayu ke arah kerak-kerak nasi yang masih tinggal. Akibat kelaparan yang dah tak tertahan, dia makan juga apa yang ada. Jadilah buat mengalas perut daripada terus kebulur malam tu.
Selesai makan, Azlan masuk semula ke dalam bilik. Dia ingin menyendiri. Menenangkan hati dan jiwa yang tengah berkecamuk itu. Tubuh disandarkan ke dinding sambil mata merenung kosong ke langsir lusuh bercorak bunga yang tergantung di ruang pintu. Ingatan pada peristiwa siang tadi kembali menjengah minda.
Ibu dan ayah tirinya tidak pernah menghiraukan dia. Hidupnya bagaikan anak terbuang di rumah sendiri. Dia disisihkan ibu kandung sendiri dengan alasan yang sukar untuk diterima olehnya. Ibunya tidak dapat menerima dia yang lahir daripada benih seorang lelaki yang tidak dicintai. Menurut cerita orang kampung, ibu dan ayah kandungnya dahulu kena kahwin paksa. Jadi mungkin itulah sebab ibunya itu tidak dapat menerima kelahirannya.
Dia sering sahaja menjadi mangsa kemarahan kedua orang tuanya. Apa sahaja yang dia lakukan, pasti nampak tidak kena di mata mereka seperti apa yang terjadi siang tadi. Dia dimarah kerana lambat memberikan wang hasil pekerjaannya di warung.

“Kau ni sama macam bapak kau! Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku. Kau ingat aku ni kaya sangat nak menampung hidup kau?” tempik Jamilah dengan hati yang meradang marah.
“Apa salah ayah dekat mak? Mak tak habis-habis nak marahkan arwah ayah. Besar sangat ke dosa dia dekat emak?”
“Kau tahu kan yang aku kena kahwin paksa dengan ayah kau. Lelaki jahanam tu perangkap aku supaya kami kena tangkap khalwat. Lepas tu, aku kena paksa kahwin dengan dia. Jadi ayah kau dengan seluruh keturunan dia aku tak suka!” 
Jamilah mengungkit cerita lapan belas tahun lalu. Terkedu Azlan seketika. Tergamak ibunya menceritakan dan mengungkit hal tersebut. Buruk macam mana sekalipun arwah ayahnya, lelaki itu tetap darah dagingnya. Tanpa lelaki itu, mana mungkin dia dapat lahir ke dunia.
“Jadi mak tak mengaku la yang Azlan ni anak mak? Kalau mak benci sangat dekat Lan, kenapa mak tak bunuh je Lan masa Lan kecil dulu?” Mata terasa berkaca-kaca. Bergetar suaranya menahan rasa marah yang sedang melanda.
“Kalau tak kerana ayah kau, memang dah lama aku bunuh kau. Kalau ikutkan hati, aku gugurkan je masa kau dalam perut lagi!” Api kemarahan Jamilah semakin marak. Dia bagaikan dirasuk. Dendam lapan belas tahun lalu tak pernah padam. Kini dendam itu dibalas pula pada Azlan. Anak yang tak berdosa itu.
Azlan tersentak tatkala mendengar kata-kata yang dia tidak pernah duga akan keluar daripada mulut ibunya sendiri. Sungguhlah, ibunya memang tidak dapat menerima dia sebagai anak akibat dari rasa dendam dan benci pada ayahnya sendiri. Terasa air hangat mula mengalir perlahan menuruni pipi.
“Kau jangan nak kurang ajar! Berani kau tinggikan suara dekat emak kau!” Hasan yang tadinya sekadar memerhati kini mula membuka mulut. Lelaki itu mencapai sebatang penyapu yang terletak di tepi pintu lalu melibas penyapu tersebut ke belakang tubuh Azlan.
Azlan menjerit menahan sakit. Dia merayu dalam esak tangisnya agar tidak terus diperlakukan sedemikian rupa. Penyapu yang dianggap hina dan membawa sial di kalangan masyarakat Melayu itu dengan sewenang-wenang dihayunkan ke tubuhnya. Lalu apakah nilai harga dirinya di sisi mereka? Dia merasa cukup terhina.
Lantaran tidak tahan dipukul bertalu-talu dengan kuat, dia melarikan diri keluar dari rumah itu. Mujurlah Hasan tidak mengejarnya. Dia membawa diri ke sungai yang seringkali menjadi tempat untuk dia menghiburkan hati dikala jiwa dilanda resah.
Memang berat ujian yang terpaksa dia dihadapi. Sejak kematian arwah nenek yang menjaganya sejak kecil, dia hilang tempat bergantung. Makan pakainya langsung tidak dijaga. Sakit peningnya tidak pernah dihiraukan. Jika hendak duit belanja pun, dia terpaksa mencari sendiri.

“Azlan!”
Tiba-tiba kedengaran namanya dilaung oleh ibunya dari ruang tamu. Habis bertebaran pergi segala lamunannya. Azlan merengus perlahan. Dengan malas, dia mengangkat tubuh lalu menghayun langkah ke ruang tamu. Apa pulak la kali ini? Hatinya dah mula diserang resah.
********



“MAK, orang kesian la dengan Azlan tu.” Liyana memecahkan kesunyian yang tercipta di dapur itu sambil tangannya laju menceduk kuah asam tumis di dalam periuk masuk ke dalam mangkuk.
“Kenapa?” Hasnah bertanya tanpa menoleh ke arah anaknya. Tangannya ligat memotong timun untuk dibuat ulam.
“Hari-hari orang tengok dia asyik termenung je. Kesian orang tengok dia. Mak tahu la kan Mak Ngah tu, tak habis-habis nak dera dia.”
“Mak pun tak tahulah nak buat macam mana dengan dua beranak tu. Kau pun tahu kan macam mana bencinya Mak Ngah kau dengan budak Lan tu. Bapa tiri dia lagi la, sampai sekarang tak boleh nak terima budak tu.”
“Kenapa masa arwah nenek meninggal dulu, mak tak jaga Azlan? Ajak dia tinggal dengan kita. Kalau tak, tak adalah nasib dia jadi macam ni." Liyana membawa mangkuk yang dah berisi kuah itu menuju ke meja makan.
“Ini wasiat arwah nenek. Nak tak nak Mak Ngah kau kena jugaklah bela si Azlan tu. Dah memang anak dia.” Hasnah melangkah ke singki untuk membasuh pisau yang digunakannya tadi.
“Tapi waktu tu kan semua orang tahu yang Mak Ngah tu benci sangat dekat Lan. Dia yang serahkan Lan pada nenek masa arwah Pak Ngah meninggal.” Liyana berdiri di tepi meja sambil memandang ibunya.
Hasnah menapak ke meja makan lalu melabuhkan duduk di kerusi. “Entahlah Liya. Mak pun tak tahu macam mana nak cakap. Benda dah lepas. Ada jugak dulu mak bincang dengan ayah kau untuk jaga Azlan. Tapi bila fikir balik wasiat arwah nenek kau tu, terus kami rasa berat hati. Lagipun waktu tu beria-ia benar Mak Ngah kau kata nak jaga Azlan balik. Ingatkan dia memang betul-betul dah insaf. Itu yang kami tak kisah serahkan Azlan pada dia. Lagipun dah itu memang anak dia.”
Liyana tekun mendengar cerita ibunya. Cerita yang sebenarnya dah berulang kali didengar. Bukan setakat keluarganya sahaja yang mengetahui cerita tersebut, bahkan jiran terdekat dan sebahagian daripada orang kampung juga turut mengetahui kisah Mak Ngahnya itu. Mulut orang biasalah. Bukannya boleh ditutup. Dari seorang ke seorang cerita itu dijaja sehingga lama-kelamaan boleh tersebar ke seluruh kampung.
“Hai, apalah yang dibincangkan anak-beranak ni? Makanan dah siap ke belum? Saya dah lapar ni.” Zaidil muncul di dapur sambil memegang perut.
“Dah siap bang. Abang duduklah dulu." Lembut suara Hasnah mempersilakan suaminya itu duduk. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung.
Tanpa disuruh, Liyana segera menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di kerusi. Zaidi menadah tangan membaca doa makan sambil diaminkan oleh Hasnah dan Liyana. Setelah itu mereka mula menikmati hidangan makan malam sambil berbual-bual.

Tak semua orang dilahirkan dalam keluarga yang bahagia. Tapi tak semestinya bahagia tu tak boleh nak dicari.





BAB 5
TUBUH dihempaskan ke tilam. Badan terasa lesu selepas seharian bekerja di warung Zaidi. Dia sudah bekerja di warung milik ayah saudaranya itu sejak sebelum SPM lagi. Hidup sebagai anak terbuang memaksa dia untuk berdikari. Dia terpaksa bekerja untuk mengumpulkan duit bagi membayar yuran sekolah, yuran peperiksaan SPM dan juga mencari duit poket.
Azlan membawa tangan menutup mulut yang dah beberapa kali menguap. Sudahnya, dia tertidur sehingga ke Asar. Mata kembali terbuka apabila mendengarkan bunyi bising dari ruang tamu. Kedengaran suara adiknya iaitu Amira Syahida dan Amir Fakhri sedang bergaduh. Entah apa yang digaduhkan mereka pun dia tak tahu. Dia menekup bantal ke telinga bagi mengurangkan bunyi bising. Malas dia nak ambil tahu hal mereka. Lagipun selama ini hubungan mereka tak pernah baik dan mesra. Dia seperti orang asing bagi mereka. Memang dari kecil lagi ibu dan ayahnya tidak membenarkan dia rapat dengan adik-adiknya.
“Membuta aje kerja kau! Apa kau ingat boleh duduk rumah ni free-free aje? Kau bangun sekarang!” Entah dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja Jamilah muncul di muka pintu.
Azlan mengeluh perlahan. Dia segera bangun lalu duduk sambil memandang ibunya. Kepala terasa pening tiba-tiba akibat disergah sedemikian rupa.
“Kau jangan nak jadi pemalas. Kau ingat kau putera raja dalam rumah ni? Pergi basuh kain baju dekat dapur tu sekarang! Lepas tu aku nak kau pergi siram bunga dan bakar sampah dekat belakang rumah tu. Bangun! Cepat!” Telinga Azlan ditarik oleh Jamilah dengan sekuat hatinya.
Azlan bingkas bangun kerana tak tahan dibebel dan dimaki hamun. Cakap baik-baik tak boleh ke? Aku bukannya hamba dalam rumah ni. Semua kerja aku kena buat. Mira dengan Amir tu tak ada pula kena buat kerja. Takkanlah tak tahu aku penat balik sekolah lepas tu sambung kerja dekat warung! Azlan memprotes di dalam hati. Dirasakan tindakan ibunya itu sangat tak adil.
 Dia tahu sebagai seorang anak, dia harus akur dan taat pada segala suruhan ibunya selagi tidak bercanggah dengan larangan Allah. Namun dia juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Hati mana yang tak sakit andai diri diperlakukan seperti seorang hamba.
Dia juga tahu syurga tu terletak di bawah telapak kaki ibu. Jadi sebagai seorang anak, dia wajar menghormati ibunya. Tapi macam mana pulak dengan keadaan dirinya yang terang-terang dibenci oleh ibu sendiri. Ada lagi ke syurga buat dia di bawah telapak kaki wanita yang bergelar ibu itu?
Azlan menuju ke bilik air lalu mencapai longgokan kain baju yang belum dibasuh. Baju-baju itu dimasukkan ke dalam mesin basuh. Nasib baik la rumah ni ada mesin basuh. Kalau tak, dera aku nak membasuh pakai tangan baju-baju ni semua. Dah ada mesin pun malas lagi ke? Suruh ajelah si Amir dengan Amira tu buat. Bukannya dia orang tu budak kecil lagi. Ini aku jugak yang kena. Nak jadikan aku orang gaji pun agak-agaklah. Kalau bayar gaji aku tiap-tiap bulan tak apalah jugak. Ini duit poket pun haram nak bagi!
 Sementara menunggu mesin habis berpusing, Azlan keluar ke laman untuk menyiram bunga-bunga yang ada di sekeliling rumah. Banyak juga bunga yang perlu disiram memandangkan emaknya gemar menanam bunga. Tanam bunga bukan main rajin, tapi nak siram malas! Bentak Azlan di dalam hati. Geram pula dia dengan sikap emaknya yang sesedap rasa sahaja menyuruhnya membuat kerja itu dan ini.
 Bukannya dia tak mahu menolong, tapi kadang-kadang apa yang disuruh emaknya itu melebihi apa yang sepatutnya. Paling dia terasa hati adalah disebabkan hanya dia seorang sahaja yang disuruh membuat itu dan ini. Kedua orang adiknya itu hanya duduk goyang kaki. Tak ubah macam dongeng Cinderella dengan ibu tirinya. Cuma bezanya dia adalah Cinderella versi lelaki yang didera oleh ibu kandung sendiri. Kalau lelaki orang panggil Cinderalla lah kot! Ke Cinderolla? Entah! Bibir mengukir senyum tanpa sedar.
Selesai menyiram bunga, Azlan melangkah ke rumah Liyana bertujuan untuk meredakan tekanan yang tengah dirasai. Memang biasanya sepupunya itulah yang sering menjadi pendengar setia dan penghiburnya di kala dia dirundung duka. Dari jauh, dia dapat melihat kelibat Liyana yang sedang leka menyapu daun-daun kering di halaman rumah.
“Woi anak dara! Buat apa tu?” Azlan melaung dari jauh.
“Aku tengah berenang ni. Meh la join sekali,” jawab Liyana selamba sambil meneruskan kerja-kerjanya menyapu laman.
“Berenang? Kau ni gila ke sewel?” Azlan semakin menghampiri Liyana.
“Kau tu yang sewel. Dah terang-terang nampak aku tengah menyapu, lagi mau tanya.” Liyana menayang riak bersahaja.
“Sombonglah kau ni. Menyampah aku.” Azlan buat muka merajuk lalu melangkah ke pangkin yang terletak di bawah pokok.
“Apa hal kau datang ni?” Liyana mengekori Azlan menuju ke pangkin tersebut.
Azlan menghenyakkan tubuh di atas pangkin. “Saja buat lawatan sambil belajar. Bosanlah duduk rumah tu. Tak habis-habis dengar mak aku membebel. Suruh buat itulah, buat inilah. Tension aku.” Dia mengadu perihal emaknya dengan muka yang berkerut-kerut.
Liyana mengoyak ketawa kecil. Penyapu lidi yang sedang dipegangnya disandarkan di tepi dahan pokok. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di sebelah Azlan.
“Apa pasal kau gelak?” Wajah Liyana dipandang tajam.
“Tak ada apa. Cuma kelakar tengok muka kau tu. Sedih bukan main." Liyana mengajuk riak wajah Azlan.
“Mestilah sedih. Hari-hari macam ni boleh jadi gila jugak aku satu hari nanti.”
“Eh, tak payahlah sampai nak jadi gila! Nanti kesian aku kena kawan dengan orang gila.”
“Alah, kau pun sama dua kali lima gila!”
“Baik kau diam gila, sebelum cubitan maut aku ni hinggap dekat peha kau."
"Baiklah gila!"
Serentak itu juga ketawa pecah dari mulut mereka berdua.
"Dahlah. Lagi lama aku layan kau nanti boleh jadi sewel otak aku ni. Jom masuk! Mak aku ada buat pisang goreng tu." Liyana melompat turun dari pangkin.
Fuyyo, pisang goreng! Memang langkah kanan aku datang rumah kau ni.” Azlan menyungging senyum sambil membuntuti langkah Liyana masuk ke dalam rumah.
Setibanya di dapur, kelihatan kelibat Hasnah yang baru sahaja selesai menggoreng pisang.
“Mak long!” Azlan menyapa ibu saudaranya itu sambil mengukir senyum.
“Ha, Lan! Mari duduk makan pisang goreng ni ha. Panas lagi. Mak long baru goreng.” Hasnah menapak ke arah meja makan sambil membawa pinggan yang berisi pisang goreng.
“Lan datang ni memang nak makan pisang goreng mak longlah. Terbau-bau sampai ke luar. Pak long mana?” Azlan melabuhkan punggung di kerusi menghadap pisang goreng tersebut.
“Dia ke kedai pergi beli barang. Sekejap lagi baliklah tu. Makanlah dulu.”
“Mak long tak makan sekali?”
“Mak long dah makan beberapa ketul tadi. Kamu makanlah. Pak long kamu punya mak long dah asingkan. Mak long nak ke depan sekejap.” Hasnah melangkah pergi meninggalkan Azlan dan Liyana di dapur.
Azlan mencapai seketul pisang goreng lalu disuapkan ke dalam mulut. Perlahan-lahan dia mengunyah pisang goreng yang masih lagi panas berasap itu.
“Kau tak basuh tangan dulu ke?” tanya Liyana yang baru sahaja selesai membasuh tangan di singki.
“Basuh tangan? Dah dekat rumah tadi." Azlan menutur selamba. Dia terus menyuap pisang goreng ke dalam mulut dengan penuh berselera.
“Huh, pengotor!” Selamba Liyana mengata.
“Yalah, yalah. Aku pergi basuh la ni.” Azlan tarik muka lalu bangun menuju ke singki.
“Ha, macam itulah! Bagus-bagus!” Liyana menarik senyum segaris.
Azlan kembali duduk setelah membasuh tangannya. Dia kembali menikmati pisang goreng sambil berbual-bual kosong dengan Liyana.
“Alamak!” Wajah Azlan berubah riak dengan tiba-tiba. Macam orang ternampak hantu sahaja gayanya.
“Kau ni dah kenapa?” Bulat biji mata Liyana memandang Azlan.
“Dah pukul berapa sekarang?” Pertanyaan Liyana dijawab dengan pertanyaan juga oleh Azlan.
“Jam punya la besar tu kau tak nampak ke?” tutur Liyana sambil melirikkan mata ke arah jam yang tergantung di dinding dapur rumahnya itu.
Mata Azlan turut melirik ke arah jam tersebut. “Dah pukul 6.40 petang rupanya! Matilah aku!”
“Mati? Siapa pulak yang nak bunuh kau?” Dahi Liyana dah semakin berkerut.
“Bukanlah. Tadi mak aku suruh aku basuh baju, siram bunga dengan bakar sampah. Aku lupa yang baju tu tak habis basuh lagi. Sampah pun tak bakar lagi ni. Ingat nak lepak sekejap je dengan kau lepas siram bunga tadi. Layan pisang goreng mak kau punya pasal sampai terlupa semua kerja-kerja aku tu. Alamatnya membebel lagilah mak aku nanti. Sembahyang Asar pun tak lagi ni.”
“Dah tu pergilah balik cepat. Yang kau tunggu lagi dekat sini buat apa?”
“Yalah, nak baliklah ni!” Azlan segera melangkah bangun lalu meluru keluar dari rumah Liyana dengan tergopoh-gapah. Namun sebelum itu tangannya sempat mencapai seketul pisang goreng.
"Sempat lagi tu." Liyana menggeleng kepala sambil tersenyum melihat gelagat Azlan. Hai, nasib kaulah dapat emak macam singa!

Monday 22 December 2014

Belum Aku Temu (Bab 4) ~ Amri Ramli

“Sorry Fez, akak lambat sikit,” Amy terkocoh-kocoh ke meja tempat Fez duduk.

“Tak apa akak. Tak lewatlah..” kata Fez sambil mengerling pada jam dekat pintu masuk restoran, “... baru lewat sepuluh minit.” Fez tersenyum.

Riak wajah Amy menampakkan rasa bersalahnya. Fez tahu Amy memang orang yang ambil berat tentang ketepatan waktu. Jarang sekali dia akan datang lewat kalau dia berjanji.

Amy duduk sambil meletakkan beg tangannya di kerusi sebelah.

“Akak lambat sedikit sebab bawa sekali...” Amy menoleh ke belakang mencari seseorang. Muncul bayang yang tidak janggal buat Fez.

“Leeya!” Fez sedikit teruja apabila dia ternampak seorang gadis genit melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Gadis itu melangkah laju sambil melambaikan kedua-dua belah tangannya sebaik sahaja dia melihat Fez.

“Fez!!” Leeya menjerit dari jauh. Dia melangkah pantas ke meja.

“Macam mana boleh sampai Sungai Petani ni?” tanya Fez setelah gadis yang bernama Leeya itu duduk.

“Tadi waktu akak kat Pulau Pinang..”

“Aku jumpa Kak Amy kat sana,” Leeya memotong kata-kata Amy. “Saja aku datang sini sebab Kak Amy cakap dia nak jumpa kau.”

Seorang pelayan datang mendapatkan pesanan.

“Kopi ais,” pinta Amy, “makan tak yah.

“Air milo ais,” Leeya pantas membuat pesanan sambil tangannya menyelak-nyelak menu makanan.

“Saya pun sama,” Fez mencelah, memberitahu pelayan. “Makan nanti saya order.”

“Ala Fez... kau selalu tiru aku,” kata Leeya sedikit manja. Dia beralih kepada pelayan, “roti tisu satu ya.”

“Lama betul aku tak jumpa kau,” kata Fez.

Ha ah, aku busy gila dengan show baru,” Leeya mula bercerita, “sekarang ni pun aku ada shooting kat Padang Kota. Malam ni dan esok aku free, tu sebab aku boleh datang sini nak jumpa.”

“Leeya ni... dah rindu sangat dengan kamu,” kata Amy sambil tersengih.

“Ya ya,” Leeya menganggukkan kepalanya, “aku rindu sangat kat kau.” Mukanya dikerutkan seperti budak kecil.


Fez tersenyum. “Tak habis-habis lagi perangai lama kau? Bila nak berhenti menggedik ni?”

“Fez!!!” jerit Leeya sedikit marah. Pelanggan berdekatan meja mereka sedikit memandang. Agak kuat juga suara Leeya sebentar tadi. Memang betul tak hilang lagi perangai lama, kata Fez di dalam hati.

Mereka bertiga belajar di universiti yang sama dahulu. Ketika Fez berada di tahun terakhir, Leeya berada di tahun pertama. Ketiga-tiga mereka kenal antara satu sama lain dalam satu program baktisiswa. Leeya baru sahaja menamatkan pengajiannya dan sekarang bekerja di stesen televisyen sebagai seorang wartawan penyiaran.

“Kamu berdua ni cukup padanlah,” kata Amy apabila melihat Leeya mengangkat telefon bimbitnya seperti mahu membaling kepada Fez. “Kamu kahwin sajalah dengan Leeya ni kalau bidadari yang kamu tunggu tu tak jatuh dari langit.” Amy ketawa melihat Fez mencebik. “Ke kamu nak si Sofea tu?” Amy ketawa lebih kuat.

“Siapa Sofea?” Leeya pantas menyoal, ingin tahu.

“Kak Amy ni..” Fez masam. Panjang lebar pula Fez bercerita tentang peristiwa di rumah Mak Teh tempoh hari.

“Leeya, aku taknaklah orang carikan untuk aku. Aku nak cari sendiri,” beritahu Fez.

“Fez, kamu ni memilih sangat ... nanti dapat perempuan tua baru tau. Bukannya akak tak tau kamu tu selalu menyanyi kat dapur,” Amy berseloroh.

“Eh, benda tu apply kat orang perempuan je lah,” bidas Fez. “Kalau Kak Amy sendiri pun, sanggup ke kahwin dengan lelaki muda?”

I muda lagi okay!” jawab Amy. Ni dah ada Leeya, Kak Amy pun dah menggedik sekali, fikir Fez.

“Lagipun Kak Amy dah ada Rael,” Leeya menyampuk. “Kan Kak Amy kan?”

“Ya,” Amy gembira mendengar Leeya menyebelahi dirinya. “Lagipun lelaki muda ni tak matang. Tak sanggup akak!”

“Akak jangan cakap macam tu, dapat betul nanti baru tau,” Fez bernada serius.

Ha ah,” Leeya bersetuju. “Sekali akak kahwin lelaki 22, 23 tahun, penat akak nak mengajar dia nanti. Oh, terima kasih,” Leeya tiba-tiba menyapa pelayan yang menghantar pesanannya.

Wah, Leeya dah berpaling tadah, fikir Amy. “Kamu tengoklah Fez ni, Leeya. Umur dah 25 tahun...” mata Amy memandang Fez dari atas ke bawah, “... tapi perangai macam budak-budak lagi. Inikan pula kalau lagi muda dari dia.”

“Akak, saya dah cukup matanglah,” kata Fez sambil tersenyum lebar. Fez sendiri pun tidak berapa yakin dengan kata-katanya.

Tiba-tiba raut wajah Fez berubah. Dia kelihatan seperti terkejut.

“Kenapa Fez?”, tanya Amy apabila dia perasan akan Fez yang kaget. “What”s wrong?”

Fez tidak menjawab. Matanya tertumpu akan seorang gadis di kaunter. Amy dan Leeya turut menoleh.

“Anis,” kata Fez perlahan. Amy dan Leeya beralih kepada Fez, mahu tahu lebih lanjut.

“Siapa?” tanya Amy.

“Yang saya crush dulu tu waktu second year tu,” kata Fez.

“Ooh, yang ko minat tapi tak berani nak tegur dulu tu?” bisik Leeya tetapi suaranya masih seperti menjerit.

Kelihatan Anis menutup beg tangannya setelah menyimpan duit baki. Dia melangkah keluar dari restoran itu sendirian.

“Weh, apa lagi. Pergi la tegur perempuan tu!” suruh Leeya.

“Eh, jangan! Kamu nak takutkan dia ke?” Amy membantah. Dia tidak faham rasional untuk Fez berbuat sedemikian.

“Pergi Fez, pergi..” Leeya terus memujuk. Amy tidak dia endahkan.

Fez masih terkesima. Jantungnya terasa seperti berhenti seketika apabila Anis muncul di depan mata setelah sekian lama. Dia mahu benar menegur Anis. Dia sudah berubah. Tidak lagi malu seperti dulu. Dia sudah lebih berani berbanding 3 tahun lalu. Tapi apa yang hendak dikata?

Pergi tegur? Atau tidak? Dia tidak tahu hendak mengikut kata Amy atau Leeya sambil dia tahu dia tidak punya banyak masa untuk membuat keputusan. Fez bangun. Amy memandangnya dan mukanya sudah cukup untuk membuatkan Fez tahu yang dia menjerit “jangan”. Tapi Leeya di sebelah seperti gadis sorak yang melompat-lompat gembira memberikan sokongan.

What have I got to lose? Fikir Fez dan dia meluru keluar mencari Anis yang tidak berapa jauh di hadapan.

Go Fez, go!” Leeya memberikan semangat dari belakang. Amy menggeleng-gelengkan kepala. Budak muda... macam ni lah contoh terbaik bagi perangai budak yang tak matang, fikirnya.

Leeya memandang-mandang ke arah pintu kalau-kalau dia dapat lihat Fez dan Anis.

Tiada.

Telefon bimbit Amy berbunyi.

“Rael ke?” Leeya menyibuk. Roti tisu dihadapannya dicubit.
“Tak tak,” kata Amy sambil menekan-nekan butang di telefon bimbitnya. “Ini mesej dari student akak.”

“Wah, malam-malam macam ni?” Leeya terasa pelik. Matanya masih lagi merayau ke arah luar restoran kalau-kalau dapat lihat Fez di mana-mana.

“Dia tanya fasal kursus elektif yang sesuai untuk semester ni,” terang Amy. “Akak ajar kelas tutorial dia semester lepas.”

“Lelaki ke perempuan?” tanya Leeya, ingin tahu. Amy mula perasan yang Leeya mahu mengenakannya lagi. Topik perempuan tua dengan lelaki muda masih belum tamat nampaknya.

“Lelaki,” jawab Amy. Dia sudah lihat memek muka Leeya yang mula berubah. Tersengih seperti mahu berkata sesuatu yang sinis. “Salah ke kalau dia setakat nak advice dari akak?”

Leeya mula ketawa. “Tak salah akak... Tapi kalau sampai time-time macam ni... he he he,” Leeya terus ketawa. “Dia minat kat akak tu.”

Amy masam. Dia malas hendak melayan telahan rambang budak-budak “bawah umur” seperti Leeya. Mudah sangat untuk buat kesimpulan sebegitu rupa. Lagipun, pelajar-pelajarnya hampir 10 tahun muda daripadanya dan dia sudah rasa mereka itu seperti adiknya sendiri.


Kalau orang sekadar mahu bertanya, tidak perlulah bersangka sebegitu rupa. Amy yakin akan hal itu. Namun dia belum tahu yang keyakinannya itu akan diuji.

Thursday 18 December 2014

Lelaki Idaman Hamba (Bab 4 - Bab 7) ~ Balqis Mohamad

Bab 4
   
NAMA siapa ?” Tanya Haji Yaakub.
   “Mukhriz pak cik ..” Beritahu lelaki tersebut.
    Tasha, Sarah dan Tisha sendiri tak segan silu menutup hidung dengan tisu. Busuk! Mandi sampah! “Tisha cakap Mukhriz kena rompak? Betul ke?” Tanya Haji Yaakub.
    Mukhriz menganguk perlahan. Semua menutup hidung akibat tak tahan bau busuknya. Haji Yaakub  saja yang tahan. Baik pak cik ni! Detik Mukhriz. “Saya lapar ..” Beritahu Mukhriz tanpa segan silu.
    Haji Yaakub tersenyum. “Tisha pergi masak pasta  ke spaghetti, kasi Mukhriz makan ..” Arah Haji Mukhriz. Tisha bangun namun pantas Mukhriz menghalang .
    “Saya tak makan pasta, nasi tak da?” Tanya Mukhriz lembut. Ni sorang lagi? Masuk kedai pasta minta benda lain.
   “Tengoklah kedai ni nama apa? Pasta Villagekan? Mana ada benda lain. Pasta jalah!” Tisha bersuara keras.
   “Mana nak tahu kedai ni nama apa? Masuk pintu belakang. Awak letak signboard kat pintu belakang ke?” Bidas Mukhriz. Tisha terdiam, kata-katanya dibalas! Geram!
   “Sekarang ni lapar ke tak?” Soal Tisha garang.
    Mukhriz menganguk laju.
   “Nak makan ke tak?” Tanya Tisha sekali lagi, dengan nada yang sama.
    Mukhriz menganguk lagi.
   “Dah tu jangan cakap banyak!” Marah Tisha lalu melangkah kedapur.
     Fishball yang baru dimasukkan kedalam sejuk beku dikeluarkan semula. Tisha ambil lebih kurang lima biji kemudian masukkan yang selebihnya kedalam sejuk beku semula. Sotong dan brokoli diambil lalu dipotong kasar-kasar. Spaghetti diambil lalu direbuskan kedalam air  yang sedang mendidih. Dimasukkan sedikit garam dan minyak bagi mengelakkan ia melekat apabila diangkat nanti. Minyak dipanaskan lalu Tisha menumis bawang merah dan fishball. Setelah naik bau, Tisha memasukan kiub pati ayam  kemudian menambah sedikit air. Speghatti yang sudah masak ditoskan lalu dicampakkan kedalam kuali berisi fisball tadi. Gaul beberapa kali kemudian masukkan sotong dan brokoli! Biarkan sekejap. Tarraaa! Siap.
    Tisha menghidangkan kedalam pinggan lalu membawanya ke pada Muhkriz. “Nah! Nak makan, makan. Tak makan kebulurlah ..” Tisha bersuara garang.
   “Dari cakap macam tu, lagi baik ingatkan saya baca doa makan!” Mukhiz membidas. Sekali lagi Tisha terdiam! Tisha ingin membalas kata-kata Mukhriz namun Haji Yaakub pantas menarik tubuh Tisha menjauhi Mukhiz .
   “Tisha. Abah nak ajak dia tidur rumah kita ..”
    “Hah ?!” Tisha seakan tidak percaya.
    “Kesian  dia tau. Dah la kena rompak ..” Haji Yaakub bersuara sayu.
    “Kesian jangan sampai nak bawa balik rumah abah! Bagi duit jalah! Suruh balik naik teksi ..” Tisha mencadangkan.
    “Pak Cik teksi mana nak kasi dia yang busuk tu masuk? Cuba cakap..” Haji Yaakub membantah.
   “Kalau macam tu bagi number telefon! Suruh call siapa-siapa datang ambik..” Tisha mencadangkan .
    “Dah tanya dah .. Number dia tak ingat. Alaa Tisha, satu malam ja. Esok pagi dia balik lah ..” Haji Yaakub memujuk . Tisha mengeluh.
   “Tengok dia, tak kesian ke ? Cuba tengok ..” Haji Yaakub menunjuk pada Mukhriz yang lahap menikmati spegghati Tisha . Macam setahun tak makan!
   “Yelah .. satu malam ja ?” Tisha ingin kepastian.
   “Satu malam saja..” Haji Yaakub berjanji. Haji Yaakub mendapatkan Mukhriz. Lincin ? Cakap tak makan tapi lincin? Tisha menggeleng .
   “Tisha sedaplah awak masak! Two thumbs up! Four if I can lift toes!” Mukhriz memuji. Tisha mencebik.
   “Mukhriz ikut pak cik balik, tidur kat rumah pak cik. Esok baru balik. Okey?” Haji Yaakub mempelawa.
   “Betul ke? Terima kasihlah pak cik, kalau tak bawah jambatanlah saya tidur malam ni..” Mukhiz bersyukur.
   “Sama-sama, Mukhriz naik kereta dengan Tisha okey?” Haji Yaakub mengarah.
   “Kenapa kereta Tisha pulak? Tashalah!” Tolak Tisha.
   “Tasha nak singgah stesen minyak, nak singgah beli burger kat Tam lagi. Naik kereta Tishalah. Tisha balik terus kan?” Haji Yaakub beralasan.
   “Entah Kak ni. Lagipun siapa yang gatal simbah mamat ni? Akak kan? Tanggunglah!” Tasha tidak senang.
   “Kita berdua ja kat rumah nanti apa kata orang abah ..” Bidas Tisha.
   “Ish! Tu si Tam tu kan ada. Berdua apanya?”  Bidas Haji Yaakub.
   Tisha mendengus.
   Mukhriz tersenyum.
   Tisha menjeling.
   Mukhiz tersengih !
   Tisha kalah !

                                                         BAB 5               
                                         
   TISHA tersedar dari tidurnya. Ya Allah! Pukul berapa dah ni? Pantas telefon bimbit dicapai. Pukul 6.40?! Pantas Tisha bangun mendadak. Tidur lambat punya pasal, kan dah lambat bangun. Tak solat lagi, sarapan tak buat lagi. Budak berdua tu pun silap-silap membuta lagi! Pantas Tisha bangun lalu berwudu’. Karanglah mandi. Selesai menunaikan solat Tisha menoleh pada jam. 6.50? Tisha pantas melangkah ke bilik Tam. Kejut dia dulu, dia nak ke sekolah. Tasha ‘cuti’ jadi kejut lambat sikit pun tak pa. Kelas dia pukul 8.30 .
    “Tam! Bangun! Dah lambat ni!” Laung Tisha seraya membuka pintu bilik. Mengeluh melihat Tam yang terbongkang atas katil. Dah macam sushi aku tengok!
   “Tam! Bangun. Dah lambat ni!” Tisha meninggikan suara.
   Kaki Tam yang terjulur ditarik kuat.Ya Allah beratnya! Tam bergerak sedikit lalu melemparkan bantal pada Tisha. Ini boleh mendatangkan marah! Detik Tisha. “Bagunlah!” Tempik Tisha lalu menarik selimut yang membaluti tubuh Tam.
      “Arrrgghhhh !!” Jerit Tisha kuat. Mukhriz terkejut bangun mendadak. Melihat Tisha yang berada dihadapannya dia turut terkejut.
    “Kenapa kau tak pakai baju! Pakai baju! Adik aku mana?!” Tempik Tisha kuat sambil memalingkan badan. Segan! Pantas Mukhriz menutup badannya yang terdedah dengan selimut.
    “Yang awak masuk tak ketuk pintu kenapa?” Mukhriz bersuara keras.
    “Rumah aku sendiri aku kena ketuk ke ?!” Tisha menempik.
    “Gatal !” Mukhriz membalas. Tisha bengang. Dia kata aku gatal  Pantas bantal yang jatuh kelantai dicapai lalu dibaling kemuka Mukhriz. Mukhriz menepis lalu jatuh keseberang katil .
    “Kak ni kenapa?” Tegur satu suara. Tisha memalingkan badan.
    “Tam? Kau tidur kat bawah? Kenapa?” Tanya Tisha hairan.
     Kalau tidur sebelah kiri katil bolehlah Tisha tahu yang mana satu Tam yang mana satu Mukhriz. Ni tak tidur disebelah kanan, diantara meja belajar dan katil. Mana nak tahu! “Abang Mukhriz kan tetamu. Kejam sangat suruh tidur  bawah !” Tam beralasan.
     Rumah ini hanya ada empat bilik. Tiada bilik tetamu. Itulah masalahnya. Jadi Mukhriz terpaksa tidur dengan Ta . “Yelah , tidurlah kat sini. Yang kau tidur  balik katil tu dah kenapa?” Tisha tak puas hati.
    “Panaslah ! Tak kena air-cond..” Tam membela diri.
    “Macam –macam alasan kau kan !” Marah Tisha.
    “Pukul berapa sekarang ?” Tanya Mukhriz perlahan.
     “6 .55? Akak kenapa tak kejut! Akak ni. Orang dah lambatlah!” Marah Tam lalu bangun.
    “Aku tak solat lagi!” Mukhriz tersedar lalu menepuk dahi. Ingin dia menyusup masuk namun terlambat. Tam mendahului.
    “Awak ada bilik air lagi tak ?” Tanya Mukhriz kalut. Tisha memalingkan wajah. Almari Tam dibuka. Towel dicapai lalu dicampakkan pada Mukhriz.
   “Tutup badan tu!” Arah Tisha. Boleh buat free show pulak! Mukhriz menurut .
   “Ada bilik air tak?” Tanya Mukhriz sedikit keras.
    Aku dah lambat ni! Subuh gajahlah nampaknya. Tisha berkira-kira, bilik air di dapur adalah . Tapi abah guna. Satu lagi dalam bilik Tasha, dia tengah tidur pulak. Tak manis, Tam pulak nak guna. Tinggal dalam bilik aku ja. Arrgh ! Segan nak kasi dia masuk. Tapi dia nak solat bukan nak buat apa pun kan? Boleh lah!
   “Masuk bilik saya ..” Beritahu Tisha. Pantas Mukhriz melangkah masuk. Tisha tergamam. Cepatnya! Tak habis cakap lagi. Pintu dihempas lalu dikunci. Tisha bengang. Bilik aku dia  boleh kunci pulak? Buat harta sendiri nampak? Tisha cuba membuka pintu biliknya sendiri, memang betul berkunci .
    “Kenapa kunci?!” Tanya Tisha marah.
    “Sebab awak  pervert !” Mukhiz melaung.
    Merah muka Tisha dituduh sebegitu! Tisha turut kebawah . Sedia untuk membasuh baju! Baju kotor diambil. Kenapa busuk sangat ni ? Owh .. Baju mamat tu, patutlah! Baju Mukhriz diasingkan dari yang lain. Baju mukhriz dimasukkan kedalam mesin basuh. Nak kena basuk tiga kali ni, kalau macam ni punya ‘pekat’. Basuhan pertama dibasuh dengan vanish. Kemudian dibasuh dengan Dettol, dan basuhan ketiga barulah dengan pencuci biasa dan dibilas dengan Softlan! Setelah selesai Tisha kembali kedapur menyediakan makan pagi. Roti bakar jalah nampaknya untuk pagi ni ..


                                                                   BAB 6             
                                            
    MUKHRIZ meraup wajahnya setelah memanjat doa kepada Yang Maha Esa. Dia duduk berteleku sebelum berzikir. Matanya melilau sekeliling, cantik, kemas. Mukhriz sempat memuji. Mukhriz melipat sejadahnya lalu disangkutkan pada penyedai dipenjuru bilik. Mukriz  melangkah ke meja belajar Tisha, gambar yang tergantung di dinding menarik perhatiannya. Gambar Tisha menggemgam segulung ijazah! Pandai jugak budak ni? Fikir Mukhriz. Mukhriz terpandang ijazah yang dibingkaikan di sebelah gambar Tisha.
   “Latisha Binti Haji Yaakub.. Owh? Bakal arkiteklah ni? Tapi kenapa kerja kat kedai makan ayah dia?” Mukhriz gumam sendiri.
   “Nama punyalah sedap, tapi perangai. Kepala angin, garang tak bertempat.” Komen Mukhriz.  
   “Tapi baik hati.. Yelah? Kalau tak, tak kan dia bawa aku masuk restoran dia kan?” Mukhriz berfikir sendiri.
    Mukhriz duduk di kerusi, lalu melilau matanya memandang barang-barang diatas meja Tisha yang tersusun kemas. Mata Mukhriz tertarik pada buku catatan Tisha. Pantas tangannya mencapai lalu dibuka perlahan. Cuma ingin tahu? Tak salahkan. Hehehe Mukhriz menyelak muka suratnya sekilas, namun matanya tertarik pada tulisan Tisha.
Ciri-Ciri Lelaki Idaman Hamba !
Mukhriz tersenyum, dia pun ada jenis lelaki idaman? Hermm interesting ..
1.      Putih
Putih? Lelaki idaman dia putih? Mukhriz melihat lengannya. Aku ni katogari gelaplah jugak. Tak da putihnya.. Kalau nak dibandingkan dia dengan Tisha putih lagi Tisha. Next!
2.      Tinggi
Memang aku tinggi, 185 cm tu tinggikan? Cukup tinggi tu, bediri belakang dia boleh sangkut dag .. Kira cukup tinggilah! Lulus!
3.      Tak terlalu gemu , tak terlalu kurus .
Mukhriz tersenyum, melangkah kecermin. Bolehlah, aku ni katogari okey kan? Walaupun badan tak ketak-ketak tapi bolehlah..
               Mukhriz melangkah kekatil, berbaring sambil membaca ciri-ciri yang berikutnya.
4.      Penyayang
Wah.. Ni susah, bukan jiwa aku ni. Tapi aku jiwang jugak kadang-kadang. Jiwang dengan penyayang sama ke? Alah! Kira cincailah. Bolehlah!
5.      Senyuman yang manis
Yang ni, ada kot.. Entah aku tak pernah nak rasa aku senyum manis ke tak.
6.      Tak banyak bercakap
Tak banyak becakap? Minah ni suka yang bisu ke? Tak kan nak yang diam ja. Angguk geleng ja tahu? Teruk betul taste minah ni. Selalu perempuan ni nak yang lawak , orang kata  apa? Apa sense entah ..
7.      Pandai menyanyi
Aku pandai lah nyanyi , sedap ke tak tak tau. Tapi bolehlah nak chalange Amy Search. Ada peluang..
8.      Pandai Main Guitar
Guitar? Alah kacang ja. Aku pandai mainlah .. Nak lagu apa Latisha Oi? Jazz? Balada? Dagdut pun aku boleh! Terliur karang tengok aku ‘gerudi ‘!
9.      Penyabar
Penyabar? Ni susah sikit.. Bab nak sabar ni. Kalau nak setinggi sabar nabi. Pergh! Susah nak cari Cik kak Oi. Aku surrender then! Good Luck lah Latisha .
10.  Baik Hati
Baik hati? Tukarlah .. letak sensetive. Kalau sensetive. Ha! Tu memang aku, baik hati dengan sensitive tukan adik beradik sepupu sepapat. Kira onlah!
    Mukhriz bangun ingin meletak semula buku tersebut ditempat asalnya. Saat dia ingin melangkah kaki Mukhriz tersepak sesuatu . Pantas dia tunduk. Kotak? Perempuan kalau letak dalam kotak ni selalu barang peribadikan? Mukhriz mula berfikir jahat. Nak tengok ke tak ? Nak ke tak? Kalau tak tengok rugi pulak. Bukan aku nak jumpa dia dah kan? Kalau tengok tak rugi pun.. Sebab aku memang tak jumpa dia. Tengok jalah! Pantas buku tersebut diletakan diatas meja semula. Mukhriz duduk bersila dilantai lalu membuka kotak tersebut.
     Tak berhabuk, maknanya selalu bukalah  kan? Nak tengok jugak lelaki mana yang complete 10 ciri tersebut ? Hebat sangatkah? Mukhriz pelik melihat isi dalam . Tiket concert ? Concert Cn Blue ? Group apa ni ? Tak pernah dengar pun .. Mukhriz pelik . Mukhriz memunggah isi dalam. Semuanya Cn Blue ! Ticket concert berlambak-lambak di Singapore dan  Thailand. Tisha pergi ke? Nakal jugak budak ni kan?  Mukhriz terpandang gambar seorang lelaki yang leka memetik guitar electricknya. Banyaknya gambar mamat ni? Lee Jong Hyun ? Siapa? Anggota kumpulan Cn Blue ke?
   “Hoi!” Tempik Tisha dari luar bilik.
    Mukhriz terkejut. Bersepah isi kandungan kotak tersebut dilantai. “Hoi! Buat apa dalam bilik aku? Keluar cepat!” Arah Tisha.
    Mukhriz mengurut dadanya. Sangkanya pintu tak berkunci. Nasib baik dia kunci masa masuk tadi. “Kejap! Wirid ni ..” Mukhriz memberi alasan. Pantas isi kandungan kotak tersebut di masukkan semula. Main terjah ja. Nasib tak ‘keras’ aku kat sini. Mukhriz meletakkan semula kotak tersebut ditempat asalnya. Bangun. Tarik nafas! Buat muka selamba .
    “Lambatnya buka pintu .. Kau sentuh barang aku eh?” Tanya Tisha curiga.
    “Tengok gambar kau ja ..” Mukhriz berdalih.
    “Yang lain kau tak sentuhkan?” Tanya Tisha curiga . Aduh nak jawab apa ni ? Tuala yang dibentang dibahunya ditarik.
   “Wait! Stop. Kau tak pakai baju kan? Jadi tak payah nak buat free show. Aku tak suka orang lain jantina half naked dalam rumah aku ..” Tisha menghalang perbuatan Mukhriz. Mukhriz tersenyum manis. Sengaja , nak tahu jugak senyuman aku ni cukup manis tak ? Masuk tak dalam list Tisha .
    “Yang kau tersengih ni kenapa ?” Tanya Tisha tak puas hati. Senyuman Mukhriz mati.
    “Kau ada buat salah ?” Tanya Tisha curiga. Merenung Mukhriz. Tajam.
    “Dari banyak cakap macam ni baik bagi saya baju. Nanti saya naked terus baru tau. Nak ?” Cabar Mukhriz .
    Tisha terdiam. Dia berlalu kebilik Tamrin sambil menjeling tajam. Pergh! Perempuan ni jelling, tembikai boleh terbelah. Tajam!


                                                     BAB 7           
                                                 
   “TISHA hantarkan Mukhriz balik nanti boleh?” Haji Yaakub memulakan bicara.
   “Alah.. kenapa tak suruh Tasha je?” Tisha menolak. Mukhriz berdiam diri, tak berhak menyampuk!
   “Tasha ada kelas! So sorry. Okey?” Tasha melepas diri. Haji Yaakub memandang Tisha. Mengharap. “Tisha pergi beli baranglah dulu..” Tisha beralasan.
   “Tak pa saya tolong temankan..” Mukhriz menyampuk .
   Tisha merenung tajam Mukhriz! Mukhriz buat-buat tak nampak. “Ha tu? Mukhriz nak tolong. Biarlah dia tolong Tisha pegang barang..” Cadang Haji Yaakub. Tisha mengeluh!
    “Tak pa, awak drop saya kat kedai awak. Dari situ saya balik sendiri ..” Mukhriz jujur. Tisha berfikir.
    “Mukhriz dah cakap macam tu. Tak adanya lah susah Tisha ..” Haji Yaakub menyokong .
   “Susah jugak.. Sikit. Saya nak pinjam duit tambang teksi .” Mukhriz tersengih. Tisha mengeluh.  “Fine. Makan lepas tu kita pergi ..” Tisha memberi kata putus. Mukhriz tersenyum.  Tisha menjeling. Mukhriz tersengih, Tisha mengalah!
      Tisha menanti Mukhriz di dalam kereta. Mendengus kuat. Dah cakap supaya cepat, lambat jugak. Rambut dia yang panjang mengurai tu nak didandan ke apa? Marah Tisha. Pantas menekan hon kereta. Mukhriz kelam kabut keluar. Tisha menahan tawanya. Mana taknya penampilan Mukhriz agak kelakar! Baju putih milik Tam nampak benar agak ketat buatnya. Ketat banyak jugaklah. Seluar abah yang dipinjamnya sedang elok untuk Mukhriz. Seluar pendek paras lutut  zaman logam! Mukhriz terpacak di luar.
    “Masuklah !” Tisha melaung. Mukhriz masih kaku. Hish! Dia ni ada-ada saja!
   “Apa lagi ?” Tanya Tisha mendapatkan Mukhriz. Tiba-tiba Mukhriz berjalan pantas lalu masuk kedalam kereta ditempat duduk pemandu. Tisha tergamam.
  “Masuklah!” Laung Mukhriz. Memerli. Tisha masuk ke dalam tempat duduk disebelah pemandu.
    “Awak nak bawa kereta ni?” Tanya Tisha garang.
   “Yalah !” Jawab Mukhriz sepatah.
   “Ni kereta saya, biar saya yang bawa. Tukar balik!” Tisha mengarah garang.
   “Tahu ni awak punya..” Mukhriz mengakui. Kereta Vios milik Tisha mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah.
    “Dah tu. Lain kali kalau nak bawa cakap.. Ni main terjah ja. Ada bakat jadi penyamun!” Marah Tisha.
   “Awak kasi ke kalau saya minta?” Tanya Mukhriz sepatah.
  “Memang taklah..” Jawab Tisha garang.
   “Tau pun. Tanya lagi? Saya tak suka perempuan bawa kereta lelaki duduk sebelah. Hilang jantannya tahu?” Mukhriz bersuara tenang. Fokus pada pemanduannya .
   Tisha tergamam!  Eleh!  Hilang jantan konon. Kalau dah jantan sangat macam mana boleh kena rompak? Kenapa tak lawan ja? Kan tu lagi nampak macam anak jantan ? “Kita nak kemana?” Tanya Mukhriz lembut tanpa menoleh pada Tisha.
    Tisha tersedar dari lamunannya. “Tesco ..” Beritahu Tisha sepatah. “Orait ! Tesco is coming !” Mukhriz bergurau .
    Mukhriz memakir kereta Persona milik Tisha. Tisha melangkah turun dari kereta. Meninggalkan Mukhriz lalu mendapatkan troli. Mukhriz mengejar lalu mengambil troli dari tangan Tisha.
   “Awak ambik barang saya tolak troli ni ..” Mukhriz menawar diri. Tisha menganguk lalu mendahului melangkah ke ruang sayur-sayuran. Tisha memborong brokoli, yang merupakan sayuran yang amat penting. Kubis  diambilnya. Mukhriz hanya melihat tingkah laku Tisha.
   “Dekat sikit ..” Arah Tisha. Mukhriz mendorong troli mendekati Tisha. Tisha leka mencari buah tomato dengan anak matanya. Namun dia sempat mencapai tomato cherry lalu dimasukkan kedalam troli.
    Paakk! Tisha terkejut lalu berpaling. Troli jauh tiga kaki darinya. Mukhriz menghilang. Tisha mencapai tomato chery yang jatuh . Ish ! Mana dia ni, ingatkan ikut kita. Rupanya tinggal troli macam tu ja. Rungut Tisha. Dia mencapai troli lalu mencapai paket tomato cherry yang lain. Paket yang tadi dah lebam buahnya disebabkan terjatuh. Tak elok lagi, baik tukar. Nanti spoilt dishes. Tisha menolak troli ke bahagian yang melonggokkan tomato besar.
   “Awak!” Tegur Mukhriz yang muncul tiba-tiba.
   “Pergi mana? Hilang macam tu. Kalau tak nak tolong cakap..” Tisha bersuara sambil membelek-belek tomato yang dilonggokan.
   “Nak tolong tapi dahaga, so saya ambik ni ..” Mukhriz merujuk pada Peel Fresh yang di letakan dalam troli. Tisha menjeling.
    “Nak tolong!” Mukhriz bersuara pantas lalu mencapai beberapa buah tomato dan masukkan kedalam plastic bag .
    “Hei! Pilih dulu, jangan pakai ambik ja ..” Marah Tisha.
    “Saya ambik yang tak busuklah. Tengok! Lincin ja. Kalah muka awak ..” Mukhiz merujuk pada tomato yang diambilnya. Tisha bengang. Nak kata muka aku tak lincinlah? Kureng betul!
   “Saya nak buat sos spaghetti, nak  pakai tomato yang masak betul-betul, pendek kata yang ranum. Yang awak ambik tak masak betul.” Tisha menerangkan.
  “Sama jalah! Tomato jugak..” Mukhriz tak puas hati.
  “Awak tahu makan ja. Lagi pun pendapat awak tak boleh terima sebab awak tak makan spaghetti!” Tisha meletakkan semula tomato yang dipilih Mukhriz .
    “Semalam ..”
    “Semalam spaghetti bodoh ja .. Yang ni lain. Ori punya ..” Tisha merengus.
    “Jom !” Arah Tisha lalu melangkah ke kaunter bayaran. Setelah dibayar Tisha melangkah ke tempat parking kereta. Tercari-cari kunci kereta dalam tas tangannya. Sudah! Hilang. Macam mana ni? Macam mana aku nak balik ni? Aduh! Masalah ni! Pantas dia mencari sekali lagi. Kalut!

     Tiba-tiba alarm kereta berbunyi. Mukhriz membuka pintu lalu menapak masuk ke dalam kereta dihagian penumpang. Tisha geram! Betullah ada kat dia. Buat aku gabra ja. Boleh buat diam. Ceh ! Tisha membuka boot belakang lalu barang-barang dimasukkan kedalam boot. Tisha menapak masuk kedalam kereta. Dia menjeling pada Mukhriz. Mukhriz tahu Tisha berang padanya. Padan muka,  jalan tinggal aku macam je? Terpacaklah kat kereta sampai aku sampai. Lagipun tengok Tisha gelabah macam tu best jugak boleh buat selalu .