Monday, 23 December 2013

Sekaki Payung Merah Jambu (Bab 5): Orked V.


JAM di dinding sudah menunjuk ke angka 8.30 malam. Jaja masih tekun menjahit manik bersama Jamie dan Kak Ana. Biasanya sejak pukul 6.00 petang tadi semua pekerja sudah pun balik dan Cik Kira orang terakhir yang akan mengunci butik tersebut.
Jaja yang baru sahaja mahu bangkit dari tempat duduknya untuk ke tandas terus membatalkan niat apabila Cik Kira keluar daripada biliknya. Dia bergegas duduk semula dan berpura-pura sibuk dengan jahitannya.
“Tak balik ke?” tanya Cik Kira kepada Jaja.
“Saya nak siapkan jahitan,” jawab Jaja.
“Boleh siap ke?” tanya Cik Kira sinis.
“Saya buat mana yang termampu,” jawab Jaja.
“Ana dengan Jamie buat apa lagi dekat sini?” soal Cik Kira. Hairan kerana Kak Ana dan Jamie masih belum balik lagi.
“Kami tolong ....” ayat Jamie terputus apabila Kak Ana membuat muka pelik dengan membulat-bulatkan mata ke arahnya.
“Oh, kami prepare material untuk esok,” Jamie memutar jawapan sambil tersengih.
“Suka hati awaklah. Tapi ingat, saya tak suruh buat OT,  jadi tak akan ada gaji lebih untuk kerja lebih masa awak,” kata Cik Kira mengingatkan. Jamie tersengih dan angguk kepala.
“Ya, kami faham. Cik Kira dah nak balik ke?” tanya Kak Ana pula.
“Ya, saya nak balik dah ni. Kalau nak stay, ambil kunci ni. Saya balik dulu. Pastikan balik nanti tutup lampu semua dan kunci dengan betul. Ana, awak tahu kan kombinasi nombor penggera keselamatan butik?”
“Ya.”
“Kalau macam tu, nanti awak tolong set sebelum kunci pintu. Okey?”
“Baik, Cik Kira,” jawab Kak Ana.
“Nah, kunci,” Cik Kira menyerahkan segugus anak kunci kepada Kak Ana.
“Esok waktu kerja masih macam biasa. Jangan lewat,” Cik Kira memberi amaran.
“Saya faham,” kata Kak Ana.
Cik Kira tidak berkata apa-apa lagi dan dia terus memusing tubuh menuju ke pintu.
“Selamat malam!” ucap Jamie pula. Cik Kira menoleh ke arah mereka sekali sebelum membuka pintu untuk keluar.
“Wah, dia memang bagus,” kata Jamie.
“Bagus? Apa yang bagusnya?” tanya Jaja dengan nada tidak puas hati.
“Dia elegan dan profesional. Wanita yang sofistikated....,”
“Itu sebab dia tu bos,” potong Kak Ana.
“Aku jealous dengan dia, kak,” kata Jamie.
“Dia tu bos dan tak orang yang suka dengan bos. Kau pula puji-puji dia. Aku tak fahamlah dengan kau ni?” kata Jaja. Jamie mencebik.
“Bukan semua bos tu jahat. Dia ada rupa, ada kereta besar dan ada rumah sendiri. Dia juga ada personaliti yang menarik. Memang layak dia dicemburui oleh wanita lain,” kata Jamie membela pendapatnya. Dia kemudian duduk semula ke tempatnya.
“Kalau kau ikut personaliti dia, kita putus kawan,” ujar Jaja geram.
“Cis,” Jamie mencebik dan menarik kain jahitannya.
Dering telefon bimbit kedengaran dari beg tangan Kak Ana. Kak Ana cepat-cepat menyeluk tangan ke dalam beg mencari telefonnya.
“Assalamualaikum, bang. Ya? Saya balik lambat sikit hari ni. Ada kerja yang saya nak siapkan.... Tak apa, abang makanlah dulu. Nanti saya telefon abang.... Wassalam.”
Sebaik saja Kak Ana selesai menjawab panggilan, Jaja yang sejak tadi mencuri dengar perbualan tersebut cepat-cepat mendapatkan Kak Ana.
“Kak Ana, saya betul-betul minta maaf. Saya memang pentingkan diri sendiri. Saya heret Kak Ana buat kerja saya. Kak Ana ada suami dengan anak. Sepatutnya akak dah balik rumah macam ni. Suami Kak Ana marah ke?”
“Eh, tak adalah. Suami akak okey, aje. Jangan risaulah,” kata Kak Ana sambil tersenyum. “Lagipun, kan akak kena kunci pintu butik nanti.”
“Apa kata kalau saya bawa balik baju ni ke rumah? Saya siapkan sikit-sikit dekat rumah,” cadang Jaja.
“Eh, tak payah. Nanti kalau jadi apa-apa dekat baju ni, Jaja juga yang susah,” Kak Ana membantah. Tidak pernah baju butik yang belum siap di bawa keluar sepanjang dia bekerja di situ.
“Tapi mana siap malam ni,” kata Jaja lagi.
“Tak apa. Kita buat mana yang mampu. Esok kita datang awal sikit. Lagipun kunci dekat akak. Akak yang kena buka butik esok pagi. Esok, kita datanglah awal sikit,” cadang Jamie pula.
“Kak, bolehlah. Bagi saya jahit sikit dekat rumah. Dapat buat sikit pun jadilah. Esok pagi-pagi kita sambung lagi. Saya tak sampai hati tengok akak stay dekat sini. Kak, bolehlah, ya,” desak Jaja lagi.
“Jaja ni memang degillah. Kalau Cik Kira tahu macam mana? Mana boleh bawa keluar baju dalam butik ni.”
“Kalau Kak Ana tak beritahu, dia takkan tahu,” kata Jaja. Dia kemudian menoleh ke arah Jamie.
“Kau!” Jaja menuding jari telunjuknya ke arah Jamie. Jamie segera mengangkat wajah.
“Apa?” soalnya tidak puas hati.
“Kalau Cik Kira tahu aku bawa keluar baju ni, kaulah orang pertama  yang aku cari.”
“Apa pula?”
“Kau tu mulut tempayan. Tadi pun kau hampir kantoi dengan Cik Kira,”
“Ha..., yalah. Taulah aku,” katanya sambil mencebik. Agaknya terasa kerana dilabel sebagai mulut tempayan. Tapi dia memang mulut tempayan. Mudah sangat ‘terbongkar’ rahsia kerana kerap kali terlepas cakap. Seperti yang hampir berlaku tadi.
“Okey, Kak Ana?”
“Kali ni aje, tau?” Kak Ana memberi ingatan.
“Deal!” Jaja tersengih gembira. Dia mula mengemaskan alatan di meja kerjanya.
“Eh, dah kemas? Kata nak buat sikit lagi,” tanya Kak Ana.
“Tak apalah. Selebihnya, Jaja buat dekat rumah. Saya tak naklah selalu menyusahkan akak dan juga Jamie,” kata Jaja.
“Okey, jom kita balik!” ucap Jamie. “Cepat kemas, boleh singgah beli makanan sekejap.”
“Okey,” jawab Jaja. Dia memasukkan baju tersebut ke dalam sebuah beg kertas.
“Jaja, kenapa tak balut baju tu dengan plastik?” tanya Kak Ana.
“Tak apa. Lecehlah nak bawa dengan plastik sekali,” jawab Jaja.
“Dah siap. Jom-jom balik. Lapar dah ni,” kata Jamie terburu-buru. Kak Ana hanya menggeleng kepala melihat telatah mereka.

.....................................

Hari ini dia terpaksa balik lewat sedikit daripada biasa kerana menolong kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan oleh Ijan. Sam, rakan serumahnya pula tiada hari ini kerana pergi rombongan ke Melaka dengan anak-anak muridnya. Malas mahu memasak, dia membuat keputusan membeli makanan bungkus sahaja di restoran mamak berdekatan tempat kerjanya untuk makan malam. Menu pilihannya; mee goreng mamak dan seketul ayam goreng bersalut tepung.
Hari ini memang memenatkan. Pagi tadi terserempak dengan kucing berwarna hitam yang hampir dilanggarnya dan kemudian Mr. Rajesh memberi amaran pula tentang kerja-kerjanya. Tidak mengapa. Ini bukan apa-apa. Tapi kalau boleh, dia tidak mahu terserempak dengan dengan kucing hitam itu lagi. Jika terserempak dengan Mr. Rajesh dia boleh tahan lagi.
Setelah memakir motosikal dan menguncinya, dia mula mengatur langkah ke bloknya. Ketika menaiki mahu menaiki lif, terdapat seekor kucing berwarna putih bertompok hitam sedang tidur di depan lif. Dia menjadi teragak-agak untuk menggunakan lif tersebut. Dia menyumpah di dalam hati. Dalam banyak-bayak tempat, kenapa tempat itu yang menjadi pilihannya. Dia menunggu kalau ada orang lain yang menggunakan lif tersebut. Setelah tiga minit berlalu, tiada seorang pun penduduk yang menggunakan lif tersebut. Hairan juga. Mengapa agaknya? Semua orang pergi bercutikah?
Kucing itu pula tidak terjaga dan pergi ke tempat lain. Kucing itu masih tetap di situ. Dia sudah tidak sabar lagi. Perutnya sudah berdendang minta diisi. Dia mahu segera masuk ke dalam rumah.
Dia kemudian mencari benda yang boleh digunakan untuk mengejutkan kucing tersebut. Ada batu kerikil pelbagai saiz yang bertaburan di laluan tersebut. Dia mengambil beberapa biji batu kecil dan membaling batu-batu kecil tersebut berdekatan dengan kucing tersebut untuk menarik perhatiannya. Kucing itu mendengar batu-batu yang dibaling kerana telinganya bergerak-gerak mengesan bunyi tersebut, namun tubuhnya tidak bergerak-gerak juga. Dia memilih batu yang lebih kecil dan membaling kucing tersebut. Kucing itu terjaga. Ia menggeliat dan kemudian mengubah posisi tidur. Masih di tempat yang sama.
Kucing itu memang sengaja mempermainkannya. Dia mencari benda lain yang boleh menakutkan kucing tersebut. Tidak jauh dari situ, terdapat sebuah tong sampah. Dia melihat-lihat di dalamnya jika ada benda yang sesuai untuk menakutkan kucing tersebut. Tidak lama kemudian, dua orang gadis berbangsa Cina yang kebetulan lalu di situ melihatnya dengan pandangan yang mencurigakan.
“Err... saya cari barang saya yang hilang,” ujar Aim. Dua gadis itu tidak berkata apa-apa dan segera meninggalkannya dengan pandangan yang pelik.
“Ini semua pasal kaulah,” katanya sambil menjeling kucing tersebut. “Mesti dia orang ingat aku kutip barang kitar semula.”
Malas mahu menggangu kucing itu lagi, dia membuat keputusan untuk menaiki tangga sahaja. Ketika mahu menaiki tangga, seekor kucing berbelang oren dan bermata biru sedang duduk di anak tangga paling bawah sambil menjilat-jilat kakinya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Cukuplah tiga ekor kucing menduga kesabarannya pada hari ini. Hari ini Hari Kucing Seduniakah sampai kerap dia terserempak dengan kucing sepanjang hari?
“Syoh...syoh....” Aim cuba menghalaunya.
Kucing itu bukannya berganjak pergi namun sebaliknya mengiau dan mendekatinya pula kerana tertarik dengan bau bungkusan makanan Aim. Aim terkejut akibat gerakan kucing tersebut yang tiba-tiba sehingga dia tersandar ke dinding.
“Syoh....” Aim cuba menghalau kucing tersebut buat kali terakhir. Namun kucing itu semakin mendekatinya, malah mengiau dengan manja. Spontan Aim membuka langkah besar dan cepat-cepat menjauhi kucing tersebut.
Dalam keadaan kelam kabut tersebut, entah bagaimana boleh terlanggar dengan seseorang. Cepat-cepat dia meminta maaf namun dia langsung tiada masa hendak melihat keadaan orang yang dilanggarnya kerana dia lebih memberi perhatian kepada kucing yang sedang mengekorinya.
Aim melepaskan lelah. Tahu-tahu sahaja dia sudah berada di taman rekreasi tidak jauh daripada rumahnya. Jauh benar dia melepaskan diri. Dia memerikasa makan malamnya. Mee goreng di dalam bekas polistrin tersebut sedikit terkeluar tetapi masih lagi selamat.
Malam itu, Aim duduk menikmati makan malamnya di bangku rehat di bawah langit yang dipenuhi berjuta bintang.

..............

Kenapa?
Nasib malang.
Kenapa?
Tidak berhati-hati.
Kenapa?
Pastilah Tuhan mahu tunjukkan sesuatu, bukan?
Tuk... tuk... tuk...
“Jaja! Lambat lagi ke?”
Kedengaran suara Nor di luar bilik air. Pintu kemudian diketuk lagi.
“Jaja, cepatlah. Kau sembelit ke, apa? Aku nak ‘memerut’ ni!”
Kali ini suara Betty pula kedengaran dengan nada yang sungguh terdesak.
“Kejap!” akhirnya Jaja menjawab juga. Sudah lima kali, itu sahajalah jawapan yang boleh diberikannya sejak sejam yang lalu. Betty dan Nor mungkin sudah beredar dari depan pintu bilik air kerana pintu sudah tidak diketuk lagi.
“Baju aku ....,” katanya sendirian. Baju itu diangkat tinggi dan Jaja memandangnya dengan wajah seribu penyesalan.
Baju kebaya untuk pertunangan anak Datuk Razali yang yang berwarna merah jambu  itu sudah dicemari dengan tanah basah. Sejak sejam lalu dia tidak berhenti-henti bertanya kepada diri sendiri kenapa perkara itu perlu berlaku. Dan kenapa dia tidak berhati-hati. Atau kenapa dia begitu bodoh kerana berani membawa keluar baju tempahan pelanggan keluar daripada butik tersebut.
Kenapa?!
“Baju aku, baju aku dah kotor,” katanya lagi. Air yang menitik daripada baju yang basah itu mengenainya tetapi dia langsung tidak menghiraukannya.
Dia mengeluh untuk kesekian kalinya.
Betul, Jaja. Baju yang kau jahit maniknya sebutir demi sebutir ini telah kotor. Semuanya salah kau.
“Tak guna. Lelaki yang langgar aku tadi memang tak guna.”
Sudah bayak kali dia mencuci dan menyental kesan kotoran yang terdapat di baju tersebut. Walaupun kotoran telah hilang, kesannya masih boleh dilihat. Sedihnya. Kenapa ianya tidak juga bersih-bersih?
“Argh!.....,” Jaja menjerit melepaskan geram. Kalau boleh, mahu saja dia bergulung-guling di atas lantai untuk melepaskan geramnya.
“Jaja, kau tak apa-apa ke?”
“Jaja, kenapa?”
Lambat-lambat Jaja membuka pintu. Nor, Betty dan Ann yang telah bergegas mendapatkannya melihatnya dari hujung kepala hingga ke hujung kaki dengan pandangan yang hairan.
“Apa kes?” tanya Ann.
“Baju tu, susah nak tanggal kesannya,” jawab Jaja sambil melangkah keluar daripada bilik air. Sebaik saja Jaja keluar, Betty cepat-cepat masuk ke dalam bilik air dan mengunci pintu. Jaja tidak ambil pusing dan tidak mahu berebut bilik air lagi. Dia kemudian melangkah ke ruang tamu dan mengheyakkan punggung ke atas sofa.
“Pakailah peluntur,” kata Ann memberi cadangan.
“Mana boleh. Nanti hilanglah warna baju tu,”
“Pakai peluntur yang tak akan tanggalkan warna,”
“Kita mana ada peluntur macam tu,”
 “Esok belilah,”
 “Bila pula aku nak basuh? Baju tu kena basuh tangan sebab banyak hiasan. Esok aku kena bawa baju tu datang kerja. Aku kena datang awal sebelum bos aku sampai. Nanti, tak pasal-pasal dia ‘bambu’ aku,” ujar Jaja. Dia kemudian memeluk kaki.
“Jadi?”
“Aku rasa, aku kena ubahsuai sikit corak manik tu untuk cover bahagian yang kena tu,”
“Jadi kau nak tambah maniklah, ni? Tambah kerja lagi?”
“That is sooooo correct,” jawab Jaja sinis.
“Itulah, lain kali jangan bawa keluar lagi baju-baju dalam butik tu. Elok-elok balik nak cepatkan kerja, sekarang jadi melambatkan pula,”
“Kalau tak ada orang langgar aku, benda ni takkan jadi,” Jaja membela diri.
“Masalahnya sekarang, kau yang bawa keluar baju tu. Benda ni tak akan jadi kalau kau tak keluarkan baju tu,”
“Yalah, semua salah aku,”
“Yalah, semua memang salah kau,” kata Ann sambil jungkit bahu dan senyum mengejek.
“Ann...,” Jaja merengek mahu meminta simpati.
“Betul kata Ann tu. Lain kali jangan buat lagi. Ini tentang kualiti dan keutamaan pelanggan kau juga. Ada sebabnya kenapa bos kau tu tetapkan peraturan yang macam tu. Sebabnya tak nak perkara macam ni berlaku,” Nor mencelah.
“Niaga tetap niaga,” sahut Ann pula.
“So, esok macam mana?” tanya Nor.
“Esok?” Jaja buat-buat fikir tidak faham.
“Mungkin akan berlaku drama sebabak dekat Che’ Puteh esok. Habislah kau,” kata Ann.
“Aku stay up malam ni,” ujar Jaja. Dia nekad mahu menyiapkan semampu yang boleh.
“Good luck!” ucap Ann. Jaja mencebik. Dia memandang Nor. Teman sebiliknya itu hanya jungkit bahu sahaja.

No comments:

Post a Comment