Telahan
Yusuf ternyata benar. Di dalam bilik di mana Rif’at kini ditahan, terdapat
hanya sebuah meja yang agak besar dengan dua buah kerusi yang terletak
bertentangan. Rif’at duduk di sebuah kerusi dengan seorang tentera berdiri di
belakangnya manakala lelaki bermisai tadi kini duduk bertentangan dengannya. Di
meja yang besar itu hanya ada passport Rif’at yang kini terbuka, lantas
mempamerkan butiran tentang dirinya.
“Kau
lahir di Beit Lahiya?”. Dalam bahasa inggeris pegawai itu bertanya.
Rif’at
angguk.
“Untuk
apa kau datang ke sini?”.
Untuk pulang ke tanah air aku la…
Dan jawapan itu dia hanya biarkan bergema di dalam hati. Semestinya, fikirannya
lebih kuat untuk menjadi rasional tika ini, memandangkan dia sendiri merasakan
apa yang bakal berlaku pada pasukan paramedik ini kini terletak pada nasibnya
juga.
“Kerana
mahu berbakti dengan pasukan paramedik yang aku sertai ini,” jawab Rif’at
dengan tenang, mengharapkan pada nada suaranya juga kedengaran keyakinan yang
akan membunuh segala prasangka dalam kepala si zionis di hadapannya itu.
“Aku
pelajar perubatan, ayah dan ibuku doktor. Dulu mereka juga pernah sertai
pasukan paramedik di Gaza,” tambah Rif’at dengan segera.
Sememangnya
tentera Israel tidak akan melepaskannya dengan begitu mudah. Pelbagai lagi
persoalan ditujukan kepadanya, adakalanya dengan cara provokasi seperti mahu
marah, hentak meja, acah-acah tarik picu revolver dan macam-macam lagi. Ketenangan Rif’at yang
ternyata lebih mencabar kredibiliti pegawai Israel tersebut.
Rif’at
ketika itu merasakan masa berlalu begitu perlahan. Sempat lagi dia membayangkan
kalau Imran dan Amrullah bersamanya ketika itu. Agak-agak Imran akan guna
lengan ‘sado’nya itu atau tidak kerana soalan-soalan yang dilontarkan pegawai
di hadapannya itu pasti menguji kesabaran seorang Imran yang Rif’at kenali.
Mujur Rif’at sedar bahawa dia kini berada dalam situasi genting, maka tiadalah
dia tersengih mahupun tersenyum seorang diri dek terhibur membayangkan kerenah Imran
dan Amrullah.
Keadaan
yang sama berlanjutan sehingga beberapa ketika, pintu terbuka dan seorang
tentera Israel yang tinggi lampai berjalan masuk terus menuju ke arah pegawai
bermisai itu. Dia membisikkan sesuatu. Rif’at mengagak bahawa berita yang
dibawakan oleh tentera itu bukanlah berita yang baik.
Allahu…
Moga mereka-mereka di luar sana tiada masalah seperti aku. Baru Rif’at teringat
akan sahabat-sahabatnya di luar sana. Seketika tadi, fikirannya sangatlah
tertumpu untuk menjawab soalan si pegawai bermisai itu agar tidak tersalah
jawab yang mungkin mengundang kesulitan.
Seketika,
kedua-dua manusia tersebut berbincang sesuatu dalam bahasa Hebrew sambil
sesekali menuding ke arah Rif’at. Daripada apa yang Rif’at faham, sesuatu telah
berlaku yang memerlukan mereka untuk membuat keputusan segera, sama ada ingin
melepaskan mereka ini atau sebaliknya. Rif’at tahu dia kini menjadi kunci, sama
ada perjalanan pasukan paramedik itu terhenti di setakat di sempadan Rafah itu,
atau mungkin dirinya sahaja yang tidak dibenarkan melepasi sempadan itu.
Satu…
Dua…
Tiga…
Sekali
lagi detik yang berlalu terasa begitu lambat dan nafasnya seakan tertahan-tahan.
Allah…mudahkanlah…
Hati meratib asma’ yang Esa, dengan doa sesungguh mungkin meski cuma sepatah.
Pegawai
bermisai itu kembali memandang ke arahnya. Lama, sebelum kembali memandang
butirannya yang terpapar di dalam passport berwarna merah itu.
“Keluar,”.
***
BEIT LAHIYA, GAZA
Selesai
membantu Solah dan Fida’ menyusun raifal mengikut jenis yang masih berbaki,
Najdat turut sama melabuhkan punggung di batuan besar yang kini seakan menjadi
kerusi untuk mereka duduk. Seketika, masing-masing menggerakkan bahu dan lengan
dek kelenguhan mengangkat raifal dan senjata berat yang lain. Disebabkan pada
hari itu mereka tidak bersekolah, Fida’ mencadangkan agar mereka mengemaskini
bilik yang menjadi tempat persembunyian senjata rampasan mereka.
“Adik
kau dah sihat?” Fida’ bertanya, menoleh ke arah Solah.
Solahuddin
Ayyubi atau lebih gemar dipanggil Solah mengangguk sambil tersenyum lebar.
“Alhamdulillah, sudah. Gigih ayah aku ke hospital mencari ubat. Sesak juga
katanya,”.
Hospital
dan kesesakan. Bukanlah satu perkara baru. Najdat hanya menjadi pendengar tanpa
sepatah bicara, seperti biasa.
“Hari
ini pasukan paramedik itu sudah bergerak ke kem pelarian Khan Younis. Mereka
berpecah kepada dua pasukan, satu pasukan lagi terus ke Deir Al-Balah,” Fida’
melaporkan. Matanya tidak lari dari menatap skrin telefon bimbitnya. Dalam
kalangan mereka, hanya Fida’ dan beberapa orang sahaja yang mempunyai telefon
bimbit. Kebiasaannya, jika mereka berpecah kepada pasukan kecil seperti itu, Fida’
akan menjadi pelapor kepada pasukannya memandangkan dia adalah sumber
komunikasi.
“Pecah
dua? Mereka ada ramaikah?” Solah melompat turun dari batuan tempat mereka duduk
itu.
“Dalam
dua puluh orang juga,”.
“Semua
lelaki?”.
“Ada
perempuan. Dalam dua atau tiga orang sahaja setiap pasukan,” Fida’ angkat muka.
“Pasukan Miqdad akan beransur-ansur pulang sehinggalah salah satu pasukan
paramedik itu selamat sampai ke Gaza City,”.
Najdat
hela nafas.
Ada
juga yang masih mahu membantu mereka. Kerana itu bagi mereka, setiap bantuan
yang tiba itu adalah salah satu rahmat Tuhan dalam meringankan apa yang mereka
hadapi. Kerana itu juga, mereka sebolehnya bersungguh mahu memastikan setiap
pasukan yang dihantar ke Gaza itu selamat masuk dan pulang. Mereka tahu, hakikatnya,
bukan semua manusia yang hidup di muka bumi ini kejam.
Ada
yang ingin membantu, namun tidak berpeluang. Maka apabila ada yang mendapat
peluang untuk menyumbang bakti terhadap mereka di Gaza ini, warga Gaza sendiri
teramatlah menghargai kedatangan mereka. Mereka tahu manusia-manusia yang
datang ini datang dengan kesungguhan, kerana peluang seperti ini, pada zaman
ini terutamanya, amatlah susah diperolehi.
“Aku
mahu meronda hari ini,” ujar Najdat. Solah dan Fida’ memandang ke arahnya.
Tanpa perlu bertanya, mereka tahu apa yang membuatkan Najdat memutuskan
sedemikian tiba-tiba sedangkan sejak awal tadi tiada dalam perancangan pun apa
yang mahu dilakukan pada hari ini. Semalam sahaja, seorang lelaki ditembak
sehingga dua puluh butir peluru menembusi badannya. Situasi itu diceritakan
oleh seorang perempuan yang menjadi saksi kejadian, mengatakan bahawa tentera
Israel mendapati lelaki tersebut membawa sebilah pisau bersamanya walhal lelaki tersebut langsung
tidak menggunakan pisau tersebut untuk mempertahankan dirinya.
Dasar
zionis pengecut. Sebilah pisau yang tidak digunakan berbalas 20 das tembakan.
Rasa
bersalah ternyata menyelubungi Najdat dan rakan-rakannya. Senjata yang mereka
ada terhad, juga sebenarnya adalah hasil rampasan daripada mana-mana tentera Israel
yang berjaya ditewaskan. Ada juga yang sempat diselamatkan sebelum gudang
senjata tentera Gaza disita Israel. Para pemuda yang mempunyai kemahiran dalam
menggunakan senjata di kawasan Beit Lahiya itu secara tidak langsung merasakan
segala apa yang berlaku terletak di bahu mereka.
“Ayuh,
ajak yang lain juga. Aku pasti mereka juga kebosanan,” kata Najdat.
Israel
tak pernah lama dalam membiarkan suasana aman seperti kebelakangan ini. Ini
semua propaganda…dan rakyat Gaza ini sudah masak benar dengan perangai zionis
laknatullah itu.
Najdat
memandang langit tatkala Solah dan Fida’ berlari masuk ke dalam bilik senjata.
Sejak
misi melindungi pasukan paramedik dari Malaysia bermula, hatinya sebenarnya
sudah terasa seperti ada sesuatu yang akan berlaku. Sesuatu yang bakal mengubah
hidupnya tidak lama lagi. Tetapi apa, dia sendiri tidak tahu dan tidak pasti.
Mungkin Tuhan hanya menghantar rasa, supaya dirinya bersedia mengakhiri
peribadi sepinya yang sekarang ini.
Sudah
lama kasih sayang keluarga tidak membuatkannya tersenyum.
Mana ada yang hidup lagi dah…
***
KHAN YOUNIS, GAZA
Seperti
rancangan yang telah diatur, sebaik sahaja mereka melepasi sempadan Rafah,
pasukan mereka terus sahaja berpecah kepada dua. Pasukan pertama terus menuju
ke Deir Al Balah yang terletak sedikit jauh berbanding dengan pasukan kedua
yang akan berkampung di kem pelarian Khan Younis.
“Punya
la aku bayangkan kau kena tumbuk tampar macam dalam cerita orang putih tu…”
Semangat Irfan Halim berkata kepada Rif’at. “Macam scene kalau kena soal siasat dalam bilik tahanan tu,”.
“Banyak
sangat tengok movie la kau ni,”
Rif’at membalas.
“Agak
la..” Irfan mengakui sambil sengih sumbing.
Rif’at
dan yang lainnya turut tersengih. Tengok gaya Irfan sahaja dia sudah tahu dia
ini bukan setakat kaki movie, tapi
juga minat dalam videografi dan fotografi. Mana tidaknya, sejak tiba di Mesir
tempoh hari, hanya dia seorang yang tidak lekang dengan handicam jenama Olympus di tangan.
“Haa…sembang
la sementara boleh. Sekali dah mula medical
check up kejap lagi, lagi 8 hari la korang
dapat rehat,” Dr. Irham selaku ketua pasukan mengingatkan mereka yang galak
bercerita. Kali ini mereka menaiki sebuah van menuju ke kem pelarian di Khan
Younis.
“8
hari yang belum tentu lagi boleh dapat lain kali, biarlah tidak rehat pun,” Mus’ab
mengangkat kening dua kali.
Yusuf
sengih sambil geleng-geleng kepala. “Betul la tu. Tapi kalau tak penat fizikal,
bukan manusia la kita ni,”.
Tawa
pecah hingga reda sedikit demi sedikit.
Lantas
jeda seketika suasana di belakang van tersebut.
***
Tugas
Rif’at hakikatnya lebih kepada pembantu perubatan, berbanding dengan mereka
yang lain kebanyakannya sudah mencapai kelayakan seorang doktor. Mujur juga dia
ini pelajar perubatan walaupun tidak sempat menghabiskan pengajian. Selainnya,
ada juga beberapa orang seperti Yusuf yang juga masih lagi seorang pelajar
seperti dirinya, namun mereka telah lebih awal mendapat latihan sebaik sahaja
terpilih untuk menyertai ekspedisi di Gaza ini.
Kali
pertama berada sendiri di sebuah kem pelarian seperti yang selalu didengari dan
dibaca, Rif’at kini melihat dan merasa sendiri keadaannya. Melihat wajah-wajah
warga Gaza membuatkan Rif’at kali pertama benar-benar merasakan dirinya pulang
ke kampung halaman walau tidak seorang pun tidak dikenalinya di situ.
Kalau
bukan kerana dia turut memakai topeng muka dan berpenampilan kemas, pasti dia juga dianggap sebagai penghuni kem
pelarian tersebut. Keadaan pasukan tersebut jadi mudah dengan kehadiran Rif’at.
Bukan setakat pembantu perubatan, siap boleh jadi penterjemah lagi bagi
teman-temannya.
“Bagaimana,
hari pertama?” Sengaja Yusuf melanggar perlahan bahunya tatkala berjalan
melepasinya.
“Alhamdulillah…
macam pulang ke kampung halaman pula aku rasa,” Rif’at membalas. Biarpun
‘kepulangannya’ tidak bersambut, namun mendengarkan bicara-bicara warga kem
pelarian itu sahaja sudah cukup membuatkan Rif’at terasa seperti di kampung
halaman. Selama 12 tahun berada di Malaysia, abi tidak pernah membiasakan
dirinya tidak berbahasa arab, apatah lagi arab ‘ammi Palestin. Di Vehaen,
Rif’at lebih berpeluang melancarkan kembali Bahasa arabnya apabila bertemu
dengan pelajar-pelajar dari timur tengah, sekali gus mempelajari dialek Bahasa
arab negara-negara lain.
Botol air di sisi dicapai, mencuci sisa darah
di telapak tangan. Sedari tadi membantu Asyraf membaluti bahu seorang lelaki
separuh umur yang mengalami pendarahan teruk akibat luka tembakan. Dia
memandang sekeliling. Ternyata di kem pelarian Khan Younis ini, apa yang lebih
diperlukan adalah bekalan makanan dan ubat berbanding sumbangan tenaga
paramedik seperti mereka kerana doktor-doktor yang dihantar daripada hospital
berdekatan sudah mencukupi.
Mungkin
mencukupi buat masa sekarang.
Ketangkasan
seorang manusia menarik perhatian Rif’at sejak kali pertama mengenalinya di kem
ini. Sedari tadi tidak berhenti ke hulu ke hilir bertanyakan khabar penghuni di
kem ini. Bagaikan dia sudah mengenali semua yang berada di situ dan begitu juga
sebaliknya. Mungkin sudah lama
berkhidmat di sini.
“Menung
apa, anak muda?” Manusia itu lantas menegur mesra, menyedari dirinya
diperhatikan.
“Kagum
dengan doktor,” jujur Rif’at menjawab.
Dr
Rashed ketawa sambil menepuk bahu Rif’at. “Aku lagi kagum dengan anak muda
macam kau ni, Rif’at. Kadang anak muda zaman ini selalu berfikir, tempat
sebegini bukan untuk mereka,”. Ringkas, tapi padu. Kemudian, dia berlalu pergi.
Namanya,
Zain Ar-Rashed atau dikenali ramai di situ dengan panggilan Dr Rashed. Melihat
ketangkasan dan aktifnya manusia itu jika mahu dibandingkan dengan orang lain
sudah cukup membuatkan Rif’at cukup kagum dengan semangat yang terzahir pada
perbuatannya itu, apatah lagi bila sudah mengetahui kisah hidupnya.
Badannya
berangka besar, seperti orang arab kebanyakannya. Jambangnya tebal,
mengingatkan Rif’at pada abi di Malaysia sana. Seorang hafiz al-quran, dengan
senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya. Satu perkara yang membuatkan
Rif’at amat tertarik dengan manusia ini adalah kelulusan kedoktorannya.
Doktor
falsafah, atau nama lainnya PhD. Bukan kerana susuk tubuh hebat ini mampu
memperolehi kelulusan itu dalam masa yang singkat. Ringkasnya adalah kerana Dr
Rashed itu menyelesaikan pengajian kedoktorannya dan disambung pula dengan
Master, seterusnya PhD di tempat yang sama dengan dirinya.
Vehaen
University.
Dr
Rashed mengahwini isterinya ketika baru sahaja menamatkan pengajian manakala
isterinya ketika itu berada dalam tahun akhir pengajian dalam bidang yang sama.
Kedua-duanya adalah kelahiran Gaza atau lebih tepat, Khan Younis dan
sememangnya bertekad untuk meneruskan pengajian dalam bidang tersebut.
Kedua-duanya punya cita-cita untuk berkhidmat sekembalinya mereka ke Gaza
nanti.
Mereka berdua kemudiannya terus menetap di
Birmingham sementara menanti Dr Rashed menyudahkan Master dan PhDnya dalam
tempoh yang dikira agak singkat daripada kebiasaan. Sepanjang di Birmingham, Dr
Rashed dan pasangannya dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak
perempuan. Ditakdirkan, pada saat-saat akhir Dr Rashed akan menyudahkan PhDnya
itu, berlaku satu rusuhan dan
demonstrasi disebabkan kes pengeboman di Chelsea. Suasana ketika itu dipanggil
‘Dark Days’ bagi semua warga muslim
yang berada di seluruh pelosok United Kingdom. Keselamatan warga muslim
walaupun ramai di kawasan Birmingham itu tidak lagi terjamin apabila kelompok
anti-muslim bertindak di luar kawalan dan keadaan itu langsung tidak mendapat perlindungan
daripada polis tempatan.
Berkenaan
Dark Days itu pernah Rif’at sendiri dengar ketika berada di zaman persekolahan
rendah. Abi juga berkata peristiwa itu meninggalkan kesan sehingga
bertahun-tahun lamanya untuk meredakan kemarahan anti-muslim di UK seperti mana
peristiwa 9/11 (World Trade Center dihentam pesawat) yang berlaku pada tahun
2001. Tatkala Rif’at menerima surat tawaran untuk menyambung pelajaran di
Vehaen, suasana ketika itu sudah pun boleh dikatakan agak stabil. Kerana itu
sepanjang keberadaannya di Birmingham, tidak pula berlaku diskriminasi terhadap
warga muslim. Lebih-lebih lagi apabila Vehaen University sendiri menyediakan
masjid sendiri untuk pelajar-pelajarnya yang beragama Islam.
Ditakdirkan,
ketika Dr Rashed berada di Vehaen University, rumah yang disewanya telah
dipecah masuk oleh sekumpulan anti-muslim. Sekembalinya Dr Rashed dari
universiti, dia mendapati isteri dan anak-anaknya semuanya mati ditikam secara
kejam oleh penjenayah-penjenayah yang berkenaan. Kes tersebut pada awalnya mahu
diklasifikasikan sebagai kes pecah rumah, namun setelah Dr Rashed mengesahkan
tiada barang yang hilang, konklusi dibuat bahawa ini adalah salah satu kes
susulan daripada kemarahan kelompok anti-muslim.
Pihak
polis pula ternyata memburukkan keadaan apabila membiarkan kes tersebut dengan
alasan tiada bukti dan sebarang petunjuk untuk digunakan bagi menjejaki
penjenayah. Dr Rashed pula yang disiasat mengalahkan penjenayah dengan
soalan-soalan yang menunjukkan seakan-akan dia inilah pengganas muslim yang
melakukan huru hara di Chelsea itu. Dr Rashed hampir sahaja berputus asa dengan
situasi yang menekannya ketika itu, namun lekas dia bermuhasabah sehingga
diberikan kekuatan untuk menghabiskan pengajiannya dan pulang ke Khan Younis.
Kepulangan
yang membawa azam serta tekad yang pernah sama-sama dibulatkan dengan isterinya
yang tercinta. Sehingga hari ini, azam dan tekad itu yang membuatkan dia terus
tersenyum dan bersemangat menabur bakti pada kampung halamannya ini.
“Alhamdulillah…”
Hamdalah mencuri keluar perlahan dari bibir Rif’at, mengenangkan segala apa
yang dilalui bersama sahabatnya sepanjang di Birmingham jauh sekali lebih
ringan berbanding dengan apa yang menimpa keluarga Dr Rashed. Melihatkan
semangat manusia itu sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya untuk
semangat sentiasa.
“Abang…”.
Suara
kanak-kanak yang menyapa itu lekas membuatkan Rif’at tunduk, memandang seorang
kanak-kanak perempuan yang kini menghulurkan kedua-dua tangannya untuk minta
didukung. Dari posisi Rif’at berdiri sahaja dia mampu melihat bahagian kepala
kanak-kanak itu yang berjahit, sehingga membuatkan satu bahagian kepalanya
botak tanpa rambut.
Rif’at
senyum sebelum mendukung kanak-kanak perempuan itu.
Ketika
itu, muncul pula di hadapannya seorang budak lelaki berusia sekitar 11 atau 12
tahun yang dikenali Rif’at sebagai abang kepada kanak-kanak yang kini berada
dalam dukungannya. “Ouh, maafkan saya. Dia memang suka merayau…” katanya dengan
sopan sambil tunduk ke bawah.
Melihatkan
perilaku budak lelaki itu, Rif’at jadi kagum. Beradab. Lantas Rif’at menapak
selangkah ke hadapan sambil meramas rambut budak lelaki tersebut. “Apa nama
kamu?”.
“Marwan…”.
Rif’at
mengambil nafas. “Tak apa Marwan, abang jaga adik kamu sebentar. Apa namanya?”.
“Fatima,”.
“Fatima….”
Rif’at mengulang.
Budak
lelaki itu tetap tunduk, diam tanpa sepatah kata.
“Dah
makan, Marwan?”.
Dia
menggeleng pula.