Monday 18 April 2016

Vignette (Bab 3) ~ Syud

Jun 2013

Pagi itu, (seperti biasa) mama membebel lagi.
Perkara ini sudah jadi rutin bagi dirinya. Dia celik mata sahaja suara mama lah yang dia dengar dulu. Mama memang handal bab-bab membebel ni. Semua benda dalam rumah ini boleh aje jadi topik. Benda hidup ke, benda tak hidup ke, semua tak terlepas daripada bebelan mama.
Dan hari ini topik mama adalah….
“Ini Along la ni. Cat dah merajuk sebab Along tak bela dia elok-elok. Kan lari dah dia.”
Kucingnya yang hilang sejak petang semalam. Cat pula topik mama pagi ini. Padahal Cat selalu sahaja lari dari rumah sebelum ni, tapi yang pastinya kucingnya itu pasti akan balik juga. Nanti dia lapar, dia akan balik juga. Mama juga yang cakap macam tu dulu.
Lagipun Cat tu mama yang beria nak bela. Memang dia yang jumpa Cat dalam enam bulan yang lepas – masa tu Cat masih lagi anak kucing. Dia sedang buka pagar rumah – rutinnya setiap pagi – dan mendapati ada anak kucing di hadapan pagar itu. Basah kuyup pula, sebab sebelum Subuh hujan. Bila dia beritahu mama, mama terus suruh dia bawa anak kucing itu masuk ke dalam rumah.
Dan bila dia pulang dari pejabat malamnya, dia tengok anak kucing itu dah sedap duduk atas sofa. Mama beritahu yang dia kesian pada anak kucing itu, dan mama ambil keputusan untuk bela sahaja. Elok bela kucing, mama kata. Dia pun angguk sahaja.
Cuma… mama suka nak cakap Cat itu sebagai kucingnya. Sikit-sikit kucing Along. Kalau orang tanya, mama memang akan cakap;
“Oh, tu kucing Along.”
Mungkin sebab dia yang jumpa Cat, jadinya mama anggap Cat tu adalah kucingnya. Walhal, wataknya setakat itu sahaja – orang yang jumpa Cat. Sedangkan nama Cat pun bukan dia yang beri.
Okey, mungkin dia yang tak sengaja menamakan Cat sebagai… Cat.
“Kucing ni nak letak nama apa?”
“Mama la letak nama.”
“Kan Along yang jumpa. Ni mama bagi penghargaan. Cepat! Fikir nama untuk kucing ni.”
“Letak aje la nama apa-apa… Cat ke… apa ke.”
Dia tak sangka yang mama mengambil serius cadangannya itu. Bila Farha tahu, adiknya itu bantai gelak. Langsung tak ada nilai estetika, kata Farha.
Semalam mama membebel fasal salah satu pasu bunga yang tergolek. Mungkin dilanggar Cat. Masalahnya mama tak sebut pun nama Cat, sebaliknya nama dia juga yang mama sebut.
Dan hari ini Cat hilang, nama dia juga yang mama sebut!
“Along…-“
“Mama, Cat hilang bukan sebab Along tak kahwin lagi ma.”
“Mama bukan nak sebut fasal tu! Paranoid.” Mama menyindir, lengkap dengan senyum sinis sekali.
Dia diam sahaja. Malas nak membalas kata-kata mama. Kalau dia balas pun, dia yang bakal lambat. Jadinya, baik diam sahaja.
“Cat ni kurang kasih sayang agaknya. Asyik nak lari dari rumah aje.”
“Biar la mama… dia kan kucing. Suka hati dia la nak pergi mana.” Firdaus menyahut malas. Dia membuka pintu kereta. Lepas tu dia hulur tangan pada mama, untuk bersalam.
“Bila Along terbang lagi?”
Firdaus ketawa. “Sejak bila Along jadi Superman?”
“Perasan la tu. Bila Along pergi Singapore lagi? Ke pergi mana pulak lepas ni?”
“Singapore je. Entah la. Rasanya bulan depan kut. Bos Along tengah plan next lockdown. Sama ada pergi Singapore atau pergi jumpa dia.”
“Pergi Vienna?”
“Ha ye la.”
Mama menggeleng. “Kamu ni tua dalam kapal terbang aje nanti. Ingat dah kerja tempat baru kurang la sikit sibuk dia tu... rupa-rupanya lagi teruk.”
Firdaus hanya ketawa. Dia tahu mama kurang senang dengan kerjanya yang asyik ke sana ke mari ini. Dulu semasa di Accenture, dia asyik pulang lewat dan hujung minggu pun dia masuk ofis. Tempat baru ni (bukannya baru sangat pun, dia di Bristol Technology sejak Februari tahun ni), tak ada lah pulang lewat tapi asyik terbang ke sana ke mari. Nak buat macam mana, memang dah skop kerjanya macam ini. Dia menerima tawaran kerja ini yang terang-terang menyatakan: travel requirement: 30% - 40%.
Entah kenapa dia lebih suka macam ni. Padanya kerjanya sekarang ni kurang sikit tertekan daripada kerja di tempat lama dulu. Walaupun dia banyak menghabiskan masanya ke sana ke mari, tapi dia rasa dia lebih tenang.
Betul lah kata orang, bila banyak benda yang nak kena fikir, benda-benda lain yang tak ada kena mengena akan hilang perlahan-lahan.

---------------------

Dia baru mahu mematikan enjin bila telefonnya yang elok terletak di kerusi penumpang di sebelah berbunyi. Siapa pulak yang telefon pagi-pagi nih?
Nama di skrin dilihat sekilas sebelum dia menekan butang hijau.
“Ha.”
Hanya suara orang tergelak membalas ‘sapaannya’ itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
“Cik Yam baru lepas membebel ke apa? Stress je suara kau.”
Dia tarik nafas. Kemudian dia baru tersedar yang dia belum menanggalkan tali pinggang keledar. “Kau tau la mama aku tu macam mana...” dengan nada separuh bersemangat dia menyambung. Tangannya yang bebas menanggalkan tali pinggang keledar.
Dia dengar Usamah ketawa membalas kata-katanya.
“Ni kenapa telefon pagi-pagi ni?” Firdaus menyoal apabila Usamah tak cakap apa-apa.
“Aku baru sampai KLIA ni.”
“Ha. Kau baru balik dari mana?”
“Kau lunch pukul berapa? 12 kan?” Usamah terus bertanya, langsung tak menjawab soalannya. Firdaus tersenyum sendiri. Sepupunya yang seorang ni memang. Benda-benda yang dia rasa tak payah nak jawab, dia memang tak jawab.
“Ha.”
“Okey. Nanti aku telefon lagi la nak confirm kan. Eh, Ilham dah balik kan?”
“Dah. Minggu lepas.”
“Dia dah mula kerja ke?”
“Aku rasa belum. Minggu lepas, dia jet lag. Minggu ni aku rasa biology clock dia dah okey. Kau telefon la dia.”
“Hish. Aku jugak.”
Terus dia ketawa. “Dah kau yang suggest kan. Kau la arrange.” Enjin kereta dimatikan selepas dia mematikan radio dan suis penghawa dingin. “Dah. Jumpa nanti.”
Dia terus mematikan talian sebelum sempat Usamah membalas kata-katanya. Dia dah lama tak jumpa Usamah. Rasanya kali terakhir dia bertemu muka dengan Usamah... bila ya? Tahuna lepas? Sepanjang dia berulang-alik ke Singapura dia langsung tak sempat nak jumpa Usamah, walhal Usamah sekadar di seberang tambak sahaja pun.
Elok dia keluar awal hari ni – sebelum jalan mula sesak. Begitupun lambat juga dia sampai – dalam pukul 7.45 pagi. Dia memang berniat nak datang awal hari ni sebab petang nanti dia nak ke Puchong, ada customer nak datang buat validation. Dia tak adalah terlibat pun, cuma Steve ingatkan agar ada wakil dari IT stand by kalau-kalau ada masalah nanti. Lagipun orang yang ada akses admin pada sistem kualiti tu hanya dia dan Zack sahaja. Maka selalunya dia atau Zack la yang kena jadi penunggu setia.
Satu lagi sebab dia nak datang awal – dia nak baca e-mel yang setambun dalam inbox. Dia baru pulang dari Singapura selepas ‘bertapa’ (bak kata Izzat) di Seattle hampir tiga minggu – langsung tak sempat nak tengok e-mel yang tak letak tanda high important. Ralf – ketuanya ada menyebut fasal team building dalam e-melnya semalam, tapi dia tak tau apa yang Ralf maksudkan.
Kad akses dikenakan pada reader, dan penghalang kaca itu terbuka untuk memberi laluan padanya.  Sebab masih lagi awal, tak ramai orang yang sedang menunggu lif. Dia angguk pada Fei yang spontan tersenyum bila perasan akannya.
Elok dia berjalan melepasi halangan kaca itu, dia dengar bunyi dentingan yang menandakan pintu lif terbuka.
“Firdaus!”
Satu suara memanggil, pada waktu yang sama dia mahu mempercepat langkahnya untuk masuk ke dalam lif. Terus tak jadi dia nak ikut masuk ke dalam lif yang sudah separuh penuh itu,
“You nak masuk ke?” soal Fei, sebelah kakinya di luar lif. Sebelah tangannya pula menahan pintu lif – sambil menunggu jawapan daripada Firdaus.
Firdaus menggeleng. “Go ahead. I tunggu next one.”
“Okey!”
Lif yang separa penuh itu tertutup pintunya, dan Firdaus teringat sesuatu yang dia belum buat. Terus dia seluk poket mencari telefon. Dia lupa nak telefon mama untuk memberitahu dia dah sampai pejabat.
“Oi. Sombongnya.”
Firdaus tak terus menjawab sebab dia masih lagi menyeluk poket jeans untuk mengeluarkan telefon. Khairul yang sudah berdiri di sebelahnya dipandang sekilas. “Sorry la. Kepala aku ada satu aje. Banyak tempat nak kena toleh.” Telefon di tangan sekadar di pandang kosong. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
“Eh, tahniah. Sorry sebab tak dapat nak datang.”
Khairul sengih. “Thanks. Azue kata majlis nanti kalau kau tak datang dia kejar kau dengan lesung.”
Terus terbayang Azue yang kecil molek tu lari bawak lesung. Tunang Khairul itu memang baik dengannya – walhal mereka hanya pernah dua kali berjumpa. Mungkin sebab perwatakan Azue yang peramah itu, agaknya.
Dia sebenarnya memang dah berjanji nak datang, cuma saat-saat akhir dia kena terbang ke Singapura pula. Iya aje Azue ni. Padahal masa dia tak jadi datang dulu dia dah telefon Khairul, dan Khairul kata Azue tak kisah. Lagipun majlis bertunang sahaja – nanti dah kenduri kahwin wajib datang.
Jemarinya mencari nombor telefon rumah mama, tapi dia terhenti.
Eh. Tapi pagi-pagi macam ni mama mana ada kat rumah. Mama selalu keluar ke pasar atau ada kelas mengaji.
Kejap nanti la.
“Pagi!” satu lagi suara menegur. Kali ini Firdaus menoleh, dan sekadar mengangguk pada Zack yang sedang melangkah menghampiri mereka berdua.
“Akhirnya kau wujud juga. Lepas hilang beberapa lama.” Zack menepuk bahunya menggunakan surat khabar.
“Mana ada aku hilang.” Firdaus membalas. “Aku ada aje. Kan meeting setiap dua minggu aku tak pernah miss.”
“Hilang la. Orang e-mel tak balas, MSN tak online, Lync asyik away aje. Kau hilang dari radar macam tu aje.” Khairul pula menyibuk. Sempat dia menarik The Star yang dipegang Zack, membaca tajuk utama hari ini. Tekun Khairul meneliti berita yang tercatat pada dada akhbar percuma itu.
“Kau reply work related emel aje. Yang tak work related semua kau ignore eh?” Zack menekan butang lif walaupun butang lif itu sudah sedia menyala. Firdaus mengerutkan dahinya, tanda kurang senang. Zack sekadar tersengih.
“Lambat.” Zack menutur sepatah.
“Sabar.” Firdaus membalas, juga sepatah.
Telefon di tangan kembali digenggam. Memang betul pun kata Zack, dia hanya membalas emel yang berkaitan kerja sahaja. Yang tak berkaitan kerja macam newsletter ke... organization announcement ke dia biarkan sahaja.
Rasanya ada dalam dua ratus emel yang masih belum di baca dalam inbox Outlook dia.
“Ada apa-apa terjadi ke sepanjang aku tak ada? Meja aku ada lagi kan kat situ?”
Zack tak terus menjawab. “Sebenarnya... aku pun baru balik dua hari lepas. Hari ni aku baru masuk ofis ni hah. Cuba tanya Khairul. Dia tak pergi mana-mana melainkan cuti dua hari minggu lepas.”
“Hah?” Khairul angkat muka. Kemudian dia menggeleng. “Tak ada apalah. Macam tu aje. Oh ha-“
Khairul tak sempat nak habiskan ayatnya, sebab pintu lif sudah terbuka. Mereka yang memang berdri di hadapan lif terus sahaja masuk. Cepat-cepat Firdaus menekan butang 21 dan terus bersandar pada dinding lif.
Sekejap sahaja lif yang agak kosong ini dipenuhi manusia. Firdaus lihat sekilas jam di pergelangan tangannya. Patutlah, sudah tepat  jam lapan pagi. Waktu orang berpusu-pusu, berebut-rebut nak masuk pejabat.
Dia menunduk, membelek field boot Timberland miliknya yang sudah lusuh. Bila nak beli kasut baru ni? Dia sayang sangat pada but ini. Sudah serata dunia dia bawa but ni. Cukup empat musim pun rasanya. Dia ada dua pasang but Timberland, kedua-duanya dia beli semasa dia ada kerja di US tapi satu ini yang selalu dia pakai. Lagi satu tu high cut... takkan nak pakai kat KL yang panas ni. Pergi negara sejuk elok la. High cut boot tu jadi tempat tidur Cat semasa Cat masih lagi anak kucing. Sekarang ni tak muat dah Cat nak masuk dalam tu, sebab Cat dah jadi kucing obese. Mama la, sayang sangat dengan Cat tu. Sampai gemuk Cat dibuatnya.
Dia menepuk poket jeans, dan terasa telefonnya. Terus dia membuat nota pada diri sendiri – sampai atas nanti telefon mama. Harus.
Lif mula berhenti, menandakan mereka sudah sampai ke tingkat 18 sekurang-kurangnya. Firdaus mengerling ke arah pintu, untuk memastikan mereka tidak terlepas tingkat 21.
Tingkat 19. Tingkat 21 lepas ni.
“Siapa yang pergi jadi pak pacak petang ni? Kau ke Zack?” Khairul tiba-tiba bersuara.
“Tak. Aku dah pergi bulan lepas. Kali ni turn Firdaus.”
Sekali lagi lif berdenting, menandakan mereka sudah tiba ke tingkat 21. Rupa-rupanya seramai-ramai umat manusia tadi, semua turun kat tingkat 19. Hanya tinggal mereka bertiga dalam lif.
“Eh korang nak naik atas ke?” soal Firdaus apabila perasan hanya dia sahaja yang melangkah merapati pintu lif yang sudah terbuka.
“Ha. Nak jumpa orang finance kejap.” Zack memberitahu. Mendengarkan itu Firdaus sekadar mengangguk.
“Okey. Jalan dulu.”
Firdaus mengenakan kad aksesnya pada reader di tepi pintu kaca, dan pintu itu ditolak. Dia belok kanan, menuju ke tempat duduknya. Terasa janggal pula menjejakkan kaki ke ofis selepas empat bulan menumpang ofis orang.
Tiba di mejanya, dia terus meletakkan akses kad dan juga telefon bimbit di atas meja. Beg komputer bimbit yang digalas juga diletakkan di atas beg. Zip ditarik, dan komputer bimbitnya dikeluarkan.
Partition tempat mejanya terletak ini Zack gelar sebagai bat cave sebab tersangatlah strategik... sebab membelakangkan dinding. Zack kata dia boleh sesedap rasa tengok movie sebab orang tak akan nampak apa dia buat. Suka hati aje. Macam la dia ada masa nak tengok movie segala.
Hari ni dia tak ada apa nak dibuat, cuma dia kena baca emel-emel yang dia tak baca sebelum ni. Sehari untuk dua ratus emel... okey kut.
Telefon bimbitnya dicapai, dan dia terus menuju ke pantri.
Buat kopi. Dan juga telefon mama.

-------------------------------------

Pensel-pensel kayu yang digenggam tadi diletakkan di dalam balang pensel di tepi komputer riba yang sudah sedia dihidupkan. Seketika dia tenung pensel-pensel itu, sebelum mengukir senyum puas hati. Panggillah dia old fashion, dia tak kisah – dia suka pensel kayu. Dia rasa macam ada kepuasan tiap kali dia asah pensel-pensel itu... sampai la pensel-pensel ini tajam kembali. Fei kata dia pelik, Afra kata dia tak sukakan teknologi, Lynn kata dia terlalu banyak masa dan Dina pula sekadar menggeleng.
Masa dia mula-mula bekerja di sini, itulah yang mereka berempat kata padanya. Tapi selepas hampir enam bulan, tabiat Jiji yang satu itu dah jadi sesuatu yang normal. Mereka berempat akhirnya menerima kenyataan bahawa Nurul Najiha memang suka asah pensel. Sampaikan masa hari lahirnya bulan lepas, Lynn bagi dia mesin asah pensel.
Sebatang pensel dicapai, sambil dia duduk. Sekeping kertas bersaiz A4 ditarik keluar daripada dalam tray, dan dia menggerakkan tetikus. Jam di penjuru kanan skrin komputernya dilihat sekilas.
Baru jam 8.05 pagi. Awal lagi. Fei dan Afra dah sampai tadi, manakala Lynn dan Dina belum lagi. Dina selalunya masuk selepas pukul sembilan, manakala Lynn selalunya sampai jam 8.30 pagi. Selepas Dina sampai, mereka akan turun sama-sama cari sarapan. 9.45 pagi mereka kembali ke pejabat dan kembali sambung buat kerja. Itu adalah rutin mereka berlima setiap hari. Rutin yang tak terganggu melainkan ada di antara mereka ada meeting/call pagi-pagi.
Begitupun dia mengaku yang kerjanya sekarang menjadikan dia kurang sibuk daripada dulu. Sekarang ni dia rasa dia banyak uruskan orang dan barang, dulu dia banyak tercatuk di hadapan komputer riba. Sekarang ni dia banyak berjalan ke sana ke mari – dan dia suka sebab dia boleh bersenam. Tak payah la Wir nak membebel yang dia kurang bersenam dah.
Matanya membaca satu persatu e-mel dalam inbox. Atau lebih tepat lagi, membaca tajuk e-mel. Kira ada berapa e-mel bertanda High Importance, dan kira berapa e-mel yang kena follow up. Tadi dia periksa e-mel melalui telefon, rasanya tak ada e-mel yang memerlukan dia balas dalam kadar segera.
Lepas tu dia catat apa yang dia perlu buat hari ini, dan selesai mencatat, dia akan bangun dan pergi buat kopi.
“Morning Ji!” Afra menyapa sebaik sahaja dia keluar dari bilik pejabat. Tadi dia nampak Afra masuk kocoh-kocoh, tak sempat cakap good morning pun.
“Morning Afra. Busy ke hari ni? I nampak you macam kena kejar dengan hantu aje tadi.”
Afra terus ketawa. “Tak la. I sakit perut. And tadi I bangun lambat jadinya I tak sempat pakai make up.” Pouch alat soleknya yang berwarna hitam itu diletak atas meja. “You tau la kan. I kalau tak pakai eyeliner nanti I rasa I macam sakit.”
Jiji ketawa, dan kemudian dia menjengilkan matanya. “Alasan. Cuba jadi au naturale sehari.”
Kata-katanya sekadar dibalas dengan Afra menjelir lidah kepadanya. Jiji sambung ketawa, dan terus menyambung langkah menuju ke pantri.
Pintu kabinet dibuka, dan matanya mencari mug putih miliknya. Dia mengeluh bila nampak mug miliknya terletak di baris belakang. Mujur la ketinggiannya membolehkan dia sampai untuk capai mug itu. Itupun kena bertinjit. Dia rasa siapa yang design pantri ni ada dendam kesumat pada orang yang tak cukup tinggi.
Suara orang ketawa di luar pintu pantri membuatkan dia tertoleh. Dia lihat Zulkarnain (orang panggil Zack) dan Khairul sedang bergelak ketawa dengan Fei. Two stooges (Fei yang gelarkan mereka berdua ini two stooges, sebab ke mana-mana sahaja pasti berdua) ini selalu sahaja naik atas. Uruskan claim mereka yang tak berkesudahan.
Meminjam kata-kata Fei;
“Dia orang berdua ni kan, kalau ada kat KL aje mesti menyusahkan hidup I.”
Jiji pun baru sahaja dikenalkan kepada mereka berdua, itupun sebab team building. Team mereka – solution architect adalah team yang orangnya tak lekat dalam pejabat. Setahu Jiji, melalui carta organisasi yang dia dah hafal – ada 4 orang solution architect dalam pejabat ini, atau lebih tepat lagi di Asia.
Tapi yang dia pernah terjumpa, cuma mereka berdua ni la. Lagi seorang tu – Izzat – pernah la dia bertegur sapa. Izzat tu peramah orangnya, dan suka menyibuk tak tentu fasal. Cuma seorang lagi tu dia tak pernah jumpa. Lagipun mereka tu duduk di tingkat 21, dan dia di tingkat 22.
Di North Tower ini, Bristol Technology mengambil dua tingkat. Tingkat 21 ada bahagian IT, infrastruktur dan juga korporat dan juga bahagian kejuruteraan. Tingkat 22 ni pula ada bahagian kewangan, HR dan juga separuh lagi bahagian kejuruteraan.
Fasal team building ni pun, dia sampai kena emel bos kedua mereka yang ada di Althofen sebab umat empat orang tu jenis yang tak membalas emel. Akhirnya Susan suruh dia emel sahaja bos mereka, atas sebab “Ralf is very helpful. Maybe he knows where these missing guys are.”
Tepat sekali. Sekali sahaja dia emel, Ralf yang baik itu terus balas lengkap dengan jadual empat lelaki itu. Senang terus kerjanya. Ralf juga ada memberitahunya (dengan nada bergurau) untuk memastikan yang keempat-empat anak buahnya itu turut serta dalam acara team building, tidak boleh tidak.
Haruslah. KPI aku tu.
Dengan pertolongan Ralf, berjaya juga dia mengatasi masalah utamanya ini. Minggu lepas Zack dan Khairul sudah memberitahu yang mereka akan akan turut serta. Lagi dua orang, Izzat dan Hans akan turut serta, cuma mereka tak sempat nak balas emel (menurut kata Ralf). Ralf kata mungkin mereka duduk di hotel yang tak ada wi-fi agaknya.
Elok la tu. Ceruk mana diorang berdua ni pergi gamaknya.
Mujur mereka ini ada mailing list, jadi tak payah dia susah-susah nak cari nama seorang demi seorang. Minggu lepas juga Khairul dan Zack masuk ofis, dan mereka berdua turut menyatakan yang angka empat itu takkan berubah.
“Semua join, Jiji.” Beritahu Zack semasa dia pertama kali berjumpa dengan two stooges itu. Zack dah mengikut memanggilnya Jiji, macam mana semua orang panggil dia Jiji.
“Jiji! Mana kopi untuk I?” tegur Zack sebaik sahaja dia meletakkan mugnya yang masih lagi berasap nipis ke atas meja. Jiji mencebik main-main.
“Buat sendiri la. Eh bukan korang berdua suka lepak kat World Coffee bawah tu ke? Nasi lemak sedap la... apa la... kan ke mahal situ.”
“Ala, sesekali.” Khairul menyibuk. “Apa salahnya kan.”
“Jiji, hari ni nak breakfast tak?” Fei pula bersuara. “Kita tunggu Dina macam biasa kan? I macam terlebih lapar la hari ni....”
“You nak sarap dulu ke? Kalau nak jom la. I teman. Nanti Dina boleh pergi dengan Afra... Lynn sekali.” Cadang Jiji. Dia tahu Fei memang cepat lapar. Pagi-pagi macam ni selalunya dia yang sibuk ajak semua orang pergi sarapan.
“Jom la ikut kitorang breakfast.” Pelawa Zack. “Jom Fei. Jom Jiji.”
Jiji kerut dahi. “World Coffee? Ala I dah buat kopi.”
“Bawak aje mug you tu turun bawah.”
“Ada pulak!”
“Eh boleh la. Asalkan you order makan.” Zack terus mengajak. “Diorang tak kisah.”
“Hmm.” Jiji mengangguk ke arah Fei. “Nak sekarang ke nanti? I tak kisah.”
“Tunggu Dina aje la. Tak best la pulak sarapan tak cukup korum.”
Jiji mahu menjawab, namun telefon yang dia pegang berbunyi. Ada mesej masuk. Dia jeling skrin. Bukan mesej, tapi e-mel.
Cepat sahaja dia membuka e-mel tersebut. Sekadar membaca sekali lalu.
Tapi apa yang dia baca membuatkan dia terus membaca keseluruhan e-mel itu.

From: Firdaus Hadi Mohd Hisham
To: Nurul Najiha Kamarulzaman
Cc: ## Solution Architect MY-ASIA
Re: Team Building – attendance confirmation

Dahinya dikerutkan, siapa pulak ni? Tapi beberapa milisaat lepas tu otaknya mencerna maklumat – ini adalah salah seorang daripada team Zack... dan Khairul.
Matanya laju membaca isi kandungan e-mel yang hanya sebaris itu dan ditulis dalam bahasa Inggeris itu.

I’m not attending. I have promised a duty of being best man at my friend’s wedding.

Dia tidak dapat menahan diri daripada terjerit kecil sebaik sahaja dia selesai membaca e-mel itu.
“INI ANAK SIAPA PULAK YANG TAK JADI DATANG NI?????”

-----------------------------------------------

Selesai dia membalas e-mel terakhir, dia terus meluruskan tangannya yang terasa lenguh. Mug di sisi komputer dicapai, namun dia mengeluh bila mendapati mug itu sudah kosong. Tak perasan pula dia dah meneguk kopi yang dia buat setengah jam tadi hingga ke titisan terakhir.
Lehernya dipanjangkan. Mana Khairul dengan Zack ni? Lamanya pergi jumpa orang finance.
Jual minyak la ni. Bukan dia tak tahu finance tu orangnya manis-manis, cantik-cantik belaka. Dia tahu yang team membernya memang banyak berurusan dengan finance sebab mereka kerap travel ke sana ke mari. Macam dia ni... hari ni patutnya dia dah hantar resit-resit untuk dia claim pada Dina, tapi dia tak hantar lagi. Dina sudah menghantar e-mel peringatan padanya agar hantar cepat sikit sebab dua hari lagi cut-off date. Malam tadi dia bersengkang mata lekatkan segala resit pada kertas A4 sampai mama tegur kenapa dia tak tidur lagi. Ada ke patut mama kata dia jet lag.
Macam la Singapura tu letak duduknya dekat Budapest, sampai dia nak kena jet lag.
Beg komputer ribanya yang dia letak di bawah meja dicapai. Sebab Khairul dengan Zack tak turun-turun lagi, baik dia naik atas kejap. Zip beg itu ditarik, dan seberkas kertas A4 yang bertampal dengan segala macam resit dikeluarkan.
“Weh, kau nak pergi sarap ke?” satu suara menegur. Dia tak terus menoleh sebab sedang sibuk membetulkan hujung kertas yang sedikit terlipat.
“Ha? Tak, nak pergi hantar benda ni pada Dina kejap.” Firdaus mengunjuk kertas di tangan pada Izzat yang baru sampai. “Nanti aku turun kita pergi sama la. Zack dengan Khairul pun kat atas. Kau tunggu eh.”
Izzat sekadar mengangguk. Firdaus mencapai kad akses, dan telefonnya sebelum cepat dia melangkah keluar daripada kubikelnya.
Tapi sebelum dia berpaling, matanya menangkap sesuatu nun di hujung mejanya ini. Dia tertoleh sekilas.
“Izzat.” Dia memanggil, sambil matanya merenung tiga pokok kaktus yang kecil – disusun elok di hujung meja. Dia pun tak pasti kenapa dia tak perasan kewujudan kaktus-kaktus itu tadi.
“Ha.”
“Kenapa atas meja aku ada pokok kaktus?”
Izzat berdiri, dan menjengah ke arah meja Firdaus. Matanya menurut pandangan Firdaus yang sedang merenung tiga pokok kaktus itu dengan dahi berkerut-kerut. Serius sahaja, macam lah kaktus-kaktus itu ada buat salah dengannya.
“Oh... ni.” Akhirnya Izzat menuturkan selepas dia menyedari dari mana datangnya kaktus-kaktus ini. Minggu lepas, Najiha – konsultan HR yang baru tu ada buat pertandingan meja cantik. Sehari sebelum hari terakhir pertandingan tu Najiha ada turun bawah. Nak ambil markah agaknya.
“Izzat, meja ni ada orang?” soal Najiha sambil mengunjuk pada meja Firdaus. Tadi dia tanya fasal meja Zack.
“Ada.”
“Kosongnya.”
Izzat dengar Najiha menggumam. Siap geleng-geleng kepala. Dia suka Najiha – dia rasa Najiha ni lebih mengambil berat akan kebajikan staf daripada HR yang dulu tu. Lepas tu selalu sahaja tersenyum, dan juga ketawa. Kita tengok dia pun rasa gembira sahaja.
“Ni apa?” soalan Firdaus membuat lamunannya cepat-cepat pergi. Izzat sengih. “Berangan pulak. Aku tanya sepatah sempat kau berangan eh?”
Sengih lagi. Izzat garu dahi sambil menunjuk ke arah kaktus itu.
“Aku rasa Najiha yang letak. Minggu lepas ada pertandingan meja paling kemas ke paling cantik entah. Lepas tu dia kata tak aci la kalau korang berdua tak ada dalam ofis sebab tak sempat nak kemas meja. Dia belikan la kaktus letas atas meja kau... dengan Zack.” Panjang lebar Izzat menerangkan.
Memang betul pun, tengah hari selepas Najiha buat lawatan mengejut tu, Najiha datang dan meletakkan sesuatu atas meja Zack dan Firdaus. Izzat tak ambil pusing dia letak apa – tapi rasanya kaktus-kaktus ini la.
Firdaus memanjangkan leher, untuk menjengah atas meja Zack. Ada satu pokok ala-ala bonsai di situ – berbunga kuning.
“Kenapa Zack dapat pokok bunga aku dapat pokok kaktus?” dia terus-terusan menyoal. Kemudian dia teringat sesuatu.
Nama yang disebut Izzat tadi.
“Najiha tu siapa?”
Dia lihat Izzat tepuk dahi. “Kau ni dah berapa bulan tak masuk ofis sini? Najiha tu HR yang baru... gantikan Naomi yang seksi tu.”
Firdaus kerut dahi. “Oh. Aku tak pernah jumpa dia eh?”
“Tak la kut. Kau tak kenal dia.” Selamba Izzat menjawab.
Firdaus menggaru kening yang tidak gatal. Kemudian dia baru teringat akan e-mel-emel yang dia baca dan balas mana yang patut tadi – mungkin ada dari Najiha yang Izzat duk sebut-sebut ni. Dia main balas sahaja – tak tengok siapa pengirimnya. Ada lah dua tiga e-mel yang macam tu tadi.
Lagipun dia jarang ada urusan dengan HR. Urusannya dengan HR selalunya tak memerlukan dia jumpa face to face dengan HR consultant – urusannya selalu berkaitan dengan travel request. Dia submit travel request, mereka approve, dan advise itinerary. Lepas tu dia akan pilih mana itinerary yang sesuai, dan submit lagi. Itu sahaja.
Lain dengan finance, dia memang selalu jumpa budak-budak finance sebab claim. Dia tahu, bilik pejabat wakil HR tu dalam bilik kewangan itu juga tapi dia tak pernah la menjengah dan bersembang.
Dia pun... bukan reti nak bersembang. Dengan Naomi yang Izzat sebut tadi tu pun dia rasa dia pernah jumpa dalam lima kali kut. Tak tahu pulak ada orang baru. Dan dia rasa dia tak pernah pun ternampak wajah yang dia tak pernah nampak sebelum ni – sebab dia adalah orang yang boleh ingat semua orang yang dia pernah jumpa.
Ingat muka sajalah, nama tak ingat pun. Kadang-kadang sahaja ingatannya lengkap berpakej – ingat sekali nama kepada tuan punya wajah.

“Okey lah, aku nak ke atas dulu. Kalau budak berdua tu turun, suruh dia tunggu aku.” Firdaus memesan sebelum melangkah meninggalkan kubikelnya. Izzat sekadar angkat tangan tanda faham.

Thursday 14 April 2016

Vignette (Bab 2) ~ Syud

Julai 2012

Bila dia ingat balik apa yang dia cakap tadi, dia berharap yang lantai marmar yang dia pijak ini terbuka dan menelan dia bulat-bulat. Biar dia boleh hilang terus daripada pandangan mata orang di hadapannya ini.
Eh, tercakap sebenarnya. Dia tak sengaja, sumpah!
Tapi macam mana dia nak tarik balik kata-katanya tadi? Orang kata terlajak perahu boleh diundur tapi kalau terlajak kata?
Kalau terlajak kata, mungkin Reza kena belanja dia makan sebab ada risiko dia angkat kaki dan berjalan pantas keluar daripada Madam Kwan ini. Walaupun tadi dia yang nak belanja Reza, tapi....
ARGHHHHHH.
(Dia tahu sambungan peribahasa itu – ‘terlajak kata, buruk padahnya’ – tapi suka hati dia nak tukar ikut keadaan)
Pinggan kosong di hadapannya kini jadi sasaran mata, sebab dia tak tahu nak tengok mana dah.
Orang di hadapannya tak bersuara langsung pun.
Sejak dia tersebut ayat yang sudah lama tertanam kemas dalam mindanya ini. Reza langsung tak cakap apa. Riak wajahnya pula Jiji tak tahu la gaya macam mana sebab dia tak berani nak angkat muka. Mungkin Reza tak dapat tangkap apa yang dia cakap tadi? Dia kan selalu cakap dengan gaya nak kejar kapal terbang Concorde. Jadi mungkin Reza dengar sipi-sipi sahaja....
“You cakap apa Jiji?”
Concorde ke hapa. Dia dengar! Darn it.
Dia beranikan diri untuk mengangkat muka, dan juga pandangannya. Dia berharap orang di hadapannya ini sedang tersenyum-nak-ketawa, macam selalu. Atau sedang tersenyum, seperti selalu.
Tapi... hatinya sedikit resah bila dia lihat wajah Reza yang serius. Seriously no joke. Wajah serius yang lagi dua tiga inci membawa maksud Reza sedang... kurang senang,
“Hei... chill la.” Jiji cuba ketawa, cuba meleraikan suasana yang dia rasa tepu ini. Dia mula rasa suffocated. Dia nak lari daripada keadaan ini.
Reza tak membalas tawanya, dan menutur kembali soalannya tadi. “You cakap apa Jiji?”
Jiji diam tak membalas. Seketika dia memaling wajah ke kanan, dan tak semena-mena terasa matanya panas. Nafasnya dihela lama, sebelum kembali memandang ke hadapan. Dia mengambil keputusan untuk berterus terang sahaja. Tak guna nak tarik balik apa yang dia dah tercakap tadi, sebab... Reza pun dah dengar.
“I cakap I rasa I suka pada you. You ni kenapa? Itu la dengar lagu kuat-kuat lagi. Sennheiser tu dah ada noise canceling function, tau?” dia menutur dengan nada bergurau, dengan harapan Reza akan ketawa. Dia sangat berharap yang Reza sekurang-kurangnya akan tersenyum. Play it off as a joke.
It’s a joke, Reza, dia mahu menutur begitu tetapi tak terkeluar pula. Mungkin sebab dia tahu apa yang dia cakap tadi bukan perkara lawak – itu adalah fakta dan kebenaran. Dek kerana mulutnya yang lebih pantas daripada akal logiknya ini dia sudah terperangkap dalam satu situasi yang dia rasa dia dah elak selama bertahun-tahun.
Empat tahun, lebih tepat lagi.
“Jiji... what is happening? You suka I, you cakap tadi? Sejak bila? Why? Kenapa... you boleh suka dekat I?”
Jiji ketap bibir. Entah kenapa dia rasa matanya yang tadi dah kembali ke suhu normal jadi panas kembali. Juga hatinya, yang tadi dilanda rasa macam kena gelek dengan jentolak kini sedang mengalami aftermath dari gelekan jentolak itu – rasa sakit pula.
“Look. Can we just forget about this?” ungkap Jiji perlahan, dan cepat sahaja tangannya melambai pelayan yang memang berdiri tak jauh daripada meja mereka. Dia bagi isyarat agar mereka diberi bil, sebab dia nak cepat bangun daripada suasana yang memalukan ini.
Apa yang dia harap? Dia sendiri tak tahu. Dia tak pernah terfikir yang dia akan terlepas cakap pada Reza akan rahsianya yang paling dalam ini maka dia tak tahu apa yang dia patut buat sekarang ni. Dia tak ada back up plan. Dia tak ada fallback plan.
Yang dia tahu, dia cuma nak balik ofis dan mengunci diri dalam bilik pejabatnya. Mungkin taip surat berhenti kerja sebab dia rasa dia tak boleh nak tengok muka Reza lagi lepas ni.
Atau mungkin dia tak payah buat macam tu, sebab semalam Reza beritahu yang dia dah tender resignation letter. Sebulan daripada semalam, dia takkan jumpa Reza lagi.
Mungkin sebab itu agaknya dia jadi spontan hari ni. Dia tak terfikirkan pun fasal rahsia hatinya yang satu ini, dia rasa tadi dia tengah ketawa sebab sesuatu yang Reza cakap, dan tiba-tiba...

“I suka pada you.”

Pelayan yang dia panggil tadi meletakkan pengalas bil di hadapan Reza, tapi cepat sahaja disambar Jiji. Dia melihat sekilas jumlah dan terus meletakkan dua keping not RM50 pada pengalas bil itu. Lepas itu dia terus mencapai beg duit dan telefon, bangun dari duduk, menutur “Keep the change” dengan senyuman lebar pada pelayan itu dan terus melangkah laju keluar daripada situ.
Dia tak pedulikan panggilan Reza – dia tak menoleh langsung. Dia tahu dia bukannya boleh lari dari Reza pun, sebab nanti mereka akan jumpa juga di ofis tapi buat masa sekarang ni dia rasa dia tak mahu tengok muka Reza. Dia perlukan ketenangan untuk fikirkan apa yang dia patut buat selepas ini.
“Jiji!” suara itu makin dekat – dia rasa Reza kurang dua meter di belakangnya. Ah sudah. Jiji mula panik, dan matanya cuba mencari sesuatu untuk dia berlindung buat seketika. Waktu itu dia ternampak sesuatu yang dia rasa boleh membantunya menghilangkan diri buat seketika waktu.
“Jiji! Nanti. Tolong dengar cakap I dulu.”
Suara Reza yang makin hampir di belakangnya membuat langkahnya lebih cepat menuju ke pintu masuk tandas perempuan. Selangkah kakinya masuk dia terasa yang lengannya ditarik – dia terkejut sebab Reza bukanlah orang yang sesuka hati tarik tangan perempuan macam apa yang dia buat sekarang.
Dia menarik lengannya kembali, dan menonong masuk ke dalam tandas perempuan itu. Dia langsung tak toleh.
Tak boleh toleh, sebab waktu itu Jiji dah rasa matanya panas. Dia kena cepat-cepat ‘lari dan selamatkan diri’ daripada situasi ini.
Walaupun lari itu bermakna dia kena duduk dalam tandas ini sampai waktu lunch tamat.

---------------------------

“Boleh tak kau tolong jangan tengok aku macam tu? Kau buat aku rasa aku ni alien.”
“Aku tengah cuba bayangkan kau confess pada Reza out of the blue.”
“Hentikan la Wir. Please. Aku tak habis lagi rasa malu tu tau tak.” Jiji menutur sambil menarik Tupperware yang berisi Planters Trail Mix. Dia mengambil segenggam kacang dan kismis dan lain-lain itu, sebelum menuding jarinya yang bebas ke arah Wir. “The humiliation is too great.”
“Come on Jiji! Sekurang-kurangnya kau cakap yang kau suka dia. Sekurang-kurangnya, dia tahu. Sekurang-kurangnya, kau dah terkeluar daripada kategori unrequited love.”
Sebiji kismis dikunyah, sebelum dia membalas ayat Wir. Dia perlukan semua ayat yang sesuai untuk suruh Wir diam. “Memang la bukan unrequited love. Ni dah jadi one sided love la pulak.”
“Well that’s an improvement Jiji! You should be proud of yourself.”
“That’s rich coming from you Wir.”
“Sebab tu la, aku bangga dengan kau.” Wir sengih. “Habis tu lepas kau sembunyi dalam toilet tu, kau balik ofis dia tak cari kau?”
Jiji tak terus menjawab. Satu kerana mulutnya sedang mengunyah kacang, dan dua kerana dia terasa kembali rasa ngilu yang dia rasa tengah hari tadi.
“Tak. Aku rasa dia faham kut yang aku tak nak jumpa dia buat masa sekarang. In the end, he’s the nice guy. Apa orang cakap dia akan ikut.”
Wir merenungnya tanpa kata. Sesaat, dua saat. “...yang berkesudahan, aku parah....-“
“Diam, Wir!!!”
“Itu lagu tema kau.” Ujar Wir sambil ketawa. Jiji sekadar menjeling sekilas, sebelum kembali menumpukan perhatian ke kaca televisyen.
Dia hanya boleh nampak sahaja, tapi tak dengar pun apa yang dituturkan oleh Hugh Grant dalam cerita Four Weddings and A Funeral yang dipasang Wir tadi. Mereka memang begini, Jumaat malam Sabtu adalah waktu mereka berdua menonton filem lama atau baharu. Tak kiralah cerita apa, kerana ini sudah menjadi tradisi mereka berdua sejak dua bulan yang lepas. Atau lebih tepat lagi, sejak Wir berpindah masuk ke rumah ini. Dia dapat kunci rumah ni dah lama dah, sejak hujung tahun lepas. Cuma dia mula duduk sini bila keluarganya yang sebelum ini menetap di Kajang pindah ke Kuala Pilah. Balik kampung. Ayah buat rumah di sebelah rumah pusaka atuk.
Ibu serahkan amanat menjaga Adawiyah kepadanya. Adah yang sedang menuntut di UKM duduk di hostel, dan kerap ke mari. Makan percuma katanya. Macamlah kakaknya yang seorang ini rajin memasak. Dia pun kalau Adah di rumah selalunya akan bawa Adah keluar makan.
“Arghhhh nasib baik dia nak berhenti dah.” Jiji mengeluh tiba-tiba, membuatkan Wir yang sedang tekun menonton Four Weddings and A Funeral itu tertoleh ke arahnya.
“Aik, tak habis lagi?”
“Tak.” Jiji mengungkap dengan nada rendah. “Setahun pun tak habis, kau tau? Mulut ni, mulut....” mulutnya ditepuk sekali. “Lancar sangat bercakap. Tak ada alat penapis.”
“Ala, tak sampai sebulan kan kau nampak muka dia.” Wir memujuk. “Anggap dia tu... batu, dinding dan yang sewaktu dengannya. Atau bila kau nampak dia, pusing arah lain.”
“Senang cakap.” Jiji mencebik.
“Senang la. Sebab itu yang aku buat. Terus pindah rumah bila anak jiran sebelah aku tu kahwin.”
“Itu namanya lari dari masalah.”
“Bukan. Tu bukan lari...” Wir meletakkan bekas Tupperware biru itu kembali ke atas meja kopi. Alat kawalan jauh untuk pemain media itu dicapai. Jiji sekadar memerhati Wir menukar Four Weddings and A Funeral ke Pretty Little Liars yang entah episod berapa, Jiji tak pasti. Dia tahu Wir pun tengok lompat-lompat sahaja sebab dia selalu kata, kalaulah Jenna tu tak buta – Jenna pun tahu siapa yang jahat dalam cerita ni.
“Diorang berempat ni harap aje lawa tapi tak ada sifat cepat tangkap hints. Geram aku tengok.”
Tapi Wir tengok juga. Itulah masalah Wir. Setia tak bertempat. Setianya pada abang Haikal, daripada Wir mula kenal rasa cinta sampai lah dia dapat kad jemputan daripada abang Haikal. Dan Jiji rasa, rasa setia suka Wir itu masih lagi bersisa.
Jiji arif tentang ini. Bukan mudah kita nak buang rasa suka yang dah bertumbuh mekar dalam hati. Rasa suka tu bukan macam pokok yang boleh dicabut dengan akar-akarnya sekali. Rasa suka tu... kita pun tak tahu dia duduk kat mana dalam diri ni.
Sebab kalau Jiji tahu, dia adalah orang pertama yang akan cabut rasa sukanya pada Reza sejak daripada kejadian semalam.
“Kadang-kadang kita rasa benda tu masalah. Ibarat macam batu besar duduk tengah jalan. Padahalnya batu tu tak wujud pun at the first place. Kita yang susah payah tarik batu lepas tu tinggal kat tengah-tengah jalan sebab kita rasa batu tu, tempatnya kat situ.”
“Jadi kau rasa abang Haikal tu... macam batu tu la?”
“Tepat sekali.”
Jiji tarik nafas. “Kau rasa aku sengaja anggap Reza tu... masalah?”
“Bukan. Kau tak anggap dia masalah. Tapi bila dah jadi macam ni, kau rasa dia tu masalah. Betul tak? Dulu masa kau kawan baik dengan dia, kau tak rasa dia tu masalah pun. Kan?”
Dia diam. Tak menjawab. Sebab dia rasa, apa yang Wir cakap tu, betul. Benda ni semua bukan masalah asalnya... tapi bila ada elemen lain mengganggu maka jadilah masalah.
“It’s not a problem if you didn’t treat it as a problem.”
Wir tepuk tangan. “Betul! Siapa yang bijak cakap macam tu?”
“Aku la.” Datar sahaja Jiji membalas. “Aku kan... tak ingat benda yang tak baik. Ingat benda yang baik aje.”
“Jadi buat la macam tu sekarang ni. Kau padam apa yang jadi masa petang Khamis tu, lepas tu buat macam biasa. Aku rasa bila kau buat macam tu mesti Reza tak boleh nak cakap apa.”
Mendengarkan kata-kata Wir, ada benarnya. Wir memang begitu, kata-katanya senang dicerna. Wir ada bakat menuturkan benda yang kita memang nak dengar – mungkin sebab utamanya adalah Wir seorang penulis. Dia ada bakat dengan perkataan, Jiji memang mengaku hal itu. Tapi macam orang kata, cakap memang senang, tapi bila nak buat tu... payah.
Sebenarnya dia dah rasa sesak dengan keadaan sekarang ni. Memang la tak ada siapa tahu pun apa yang berlaku (maksudnya orang lain di pejabat) tapi dia rasa bila dia ada di situ, dia akan teringat-ingat. Ya, Reza pun tak lama dah di situ tapi ada jaminan ke bila lelaki itu tak ada, dia pun dah tak teringat?
“Arghhhh benda ni la aku paling menyampah sekali....” terluah kata-kata itu secara spontan. “Benda apa yang kau paling menyampah sekali Wir?”
Wir memberi isyarat ‘tunggu sekejap’ sebelum mencapai alat kawalan jauh.
“Jiji, aku dah tau benda apa yang aku paling menyampah sekali.” Wir tekan pause, dan wajah Troian Bellisario itu beku di skrin computer.
“Apa dia?”
“Hope.” Wir siap berdeham, cuba nak tukar suara ala2 Spencer Hastings; “Well you know what they say about hope. It bleeds eternal misery.”
Lama Jiji merenung sahabat baiknya itu. Dia tak tahu nak gelak ke nak menangis.
“Okey Wir. Please stop watching Pretty Little Liars.”
Wir ketawa besar sebelum menekan ‘resume’ pada alat kawalan jauh. “Aku rasa kau boleh aje buat tak peduli kat Reza tu Jiji... tapi ingat, aku memang benci pada orang yang bagi harapan. Ingat tu.”
Jiji melontar pandangan tanpa perasaannya pada skrin televisyen itu. Sekali lagi, dia hanya boleh tengok sahaja sebab telinganya ni langsung tak dapat menangkap apa yang ditutur dek watak dalam Pretty Little Liars itu.
Harapan.
Selepas kejadian hari Khamis itu, Jiji cuba untuk cari sebab kenapa mulutnya boleh jadi ringan sekali. Mustahil sebab dia keluar makan dengan Reza (itupun dia memang ada niat nak belanja Reza, tanpa motif tersembunyi). Dia rasa sebab itu tak cukup kuat. Tapi selepas berfikir sepanjang siang – dia tak keluar makan pun tadi – dia rasa dia tahu sebabnya. Sebab kenapa dia macam yakin dengan telahan sendiri.
Sebab; dia rasa Reza pun kalau tidak banyak, sedikit menaruh hati padanya. Bukan nak kata dia perasan atau apa, tapi dia rasa macam tu. Selama intuisinya jarang tersasar jauh, tapi dia tak tahu kenapa bila tiba hal Reza, dia terbabas sampai macam ni sekali. Dan oleh sebab dia adalah manusia yang hanya ingat perkara-perkara yang menggembirakan sahaja maka apa yang dia ingat tentang Reza, tentang apa yang Reza pernah lakukan untuknya memang terpahat kemas dalam ingatannya.
Bagaimana kalau Reza ditugaskan keluar negeri/negara, pasti ada oleh-oleh untuknya. Dan cenderahati yang dibelikan untuknya berbeza dengan orang lain, siap bagi by hand lagi. Atau Reza selalu belikan sarapan untuknya. Telefon bertanya khabar. Dan kerap sahaja lelaki itu belanja makan tengah hari.
Dan macam-macam lagi. Macam-macam perkara yang boleh buat hatinya tersentuh.
Salah dia kah merasakan yang dia sedikit istimewa di mata Reza?
Bila dah jadi macam ni, dia tak putus-putus menyoal diri sendiri. Tak henti-henti menyalahkan dirinya yang terlalu cepat ‘terasa’ bila ada orang buat baik lebih sikit. Mungkin selepas ini, bila ada lelaki buat baik lebih sikit padanya, dia tak patut rasa apa-apa.
Kan?
Arghhhh tapi nak buat macam mana ni? Terus dia rasa sesak nafas dan nak ambil cuti seminggu.... Dan dia tiba-tiba terfikir. Satu idea muncul, umpama lampu yang baru hidup sebab dari tadi dia duk cari suis tak jumpa.
“Aku rasa… aku nak lari la Wir.”
“Kenapa? Nak lari pergi mana? Kau nak ikut aku hiking ke?”
Jiji tak mengendahkan nada mengusik Wir. Sungguh, dia rasa ideanya kali ini bernas sekali. Spontan dan mungkin merugikan, tapi dia rasa bernas.
“Kau pernah tak rasa macam kena cekik dengan tangan yang kau tak nampak? Atau… kau just rasa… stuffy and you need to get away?”
“Hmm.” Sepatah sahaja Wir menjawab. Jiji adalah manusia yang sensitif. Nampak sahaja dia duk suka hoo haa hoo haa dan asyik ketawa sahaja, tapi sahabat yang dia kenal sejak dia sekolah rendah ini cepat tersentuh hatinya. Kalau baca novel pantang ada adegan yang sedih, pasti berjurai-jurai air matanya tumpah. Belum lagi tengok filem sedih. Merambu air mata macam apa saja. Wir ingat lagi waktu mereka sekolah menengah dulu, mereka suka menonton drama Charmed yang berkisar tentang tiga adik beradik ahli sihir itu. Bila tiba episod terakhir untuk musim pertama yang berakhir dengan kematian salah satu watak yang bernama Andy itu, Jiji menangis tak henti. Lepas tu bersumpah tak nak sambung tengok Charmed lagi.
Cuma sumpah Jiji tu tahan beberapa bulan sahaja. Bila musim baru mula, dia tengok juga.
Jiji melepaskan keluhan berat. Kemudian dia menutur perlahan. “Aku rasa aku nak resign.”

“Apa????”