AZLAN
berbaring di lantai dengan beralaskan tilam nipis yang sudah buruk. Bilik kecil
di ceruk rumah bersebelahan dengan dapur itu menjadi tempat untuk dia tidur.
Bilik yang tidak berpintu itu hanya ditutupi oleh kain langsir. Hanya ada tilam
nipis buruk dan rak meletak kain baju sahaja di bilik itu.
Sejak pulang dari petang tadi, Azlan
tidak keluar-keluar dari bilik. Malas dia nak menghadap wajah ibu, ayah tiri
dan adik-adiknya. Kalau dia ada pun, mesti ada sahaja perkara yang tak kena di
mata mereka. Jadi, lebih baik dia menyendiri. Mata dibawa menengadah bumbung
bilik beratapkan zink itu. Waktu balik tadi, bimbang juga dia kalau akan
dimarah lagi oleh emak dan ayah tirinya. Namun, mujurlah tidak ada apa-apa yang
berlaku. Cuma sindiran pedih sahaja yang keluar daripada mulut ayah tirinya
itu. Sindiran yang cukup menyakitkan telinga.
“Eh, ingatkan kau dah
lari jauh tadi? Buat apa balik? Pergi mampus lagi bagus!”
Kata-kata
berbisa dari ayah tirinya itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Cukup
pedih terasa. Namun dia tidak berani untuk melawan. Cukuplah dengan apa yang
terjadi siang tadi. Tak sanggup lagi rasanya nak menghadapi buat kali yang
kedua.
Azlan
menghela nafas panjang. Wajah ahli keluarganya kembali bermain-main di ruang
mata. Bagi dia, kewujudan mereka tidak memberikan apa-apa makna dalam hidupnya.
Ibunya Jamilah berkahwin dengan Hasan selepas ayah kandungnya meninggal dunia
akibat kemalangan di tempat kerja. Ketika itu usianya baru sahaja dua tahun.
Dia juga mempunyai dua orang adik iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan
hasil perkahwinan ibu dan ayah tirinya.
Dia
mula mengetahui bahawa ayahnya sekarang hanyalah ayah tiri adalah pada usia
tujuh tahun. Neneknyalah yang telah menceritakan hal yang sebenar. Usianya
terlalu muda ketika itu untuk memahami apakah itu ayah tiri dan apakah itu ayah
kandung. Namun apa yang dia pasti, dia tidak pernah mendapat kasih-sayang
seorang ayah apatah lagi ibu. Hanya pada neneknya sahajalah tempat dia
menumpang kasih dan bermanja.
Ketika
usianya dua tahun iaitu selepas ayahnya meninggal dunia, ibunya telah
menyerahkan dia kepada neneknya untuk dijaga. Tetapi selepas neneknya meninggal
dunia ketika usianya sembilan tahun, ibunya kembali mengambil-alih tugas untuk
menjaganya. Dia masih ingat lagi saat itu dia menangis dan mengamuk kerana
tidak mahu tinggal di rumah ibunya.
Ingatan
tentang masa lalu terhenti tatkala perutnya mula berbunyi minta diisi. Azlan
bangun menuju ke ruang dapur mencari kemungkinan ada sesuatu yang boleh
dimakan. Dia berasa hampa apabila yang kelihatan di meja makan hanyalah
sisa-sisa ikan dan sedikit sayur kacang panjang. Dia kemudian membuka periuk
nasi. Mata memandang sayu ke arah kerak-kerak nasi yang masih tinggal. Akibat
kelaparan yang dah tak tertahan, dia makan juga apa yang ada. Jadilah buat
mengalas perut daripada terus kebulur malam tu.
Selesai
makan, Azlan masuk semula ke dalam bilik. Dia ingin menyendiri. Menenangkan
hati dan jiwa yang tengah berkecamuk itu. Tubuh disandarkan ke dinding sambil
mata merenung kosong ke langsir lusuh bercorak bunga yang tergantung di ruang
pintu. Ingatan pada peristiwa siang tadi kembali menjengah minda.
Ibu
dan ayah tirinya tidak pernah menghiraukan dia. Hidupnya bagaikan anak terbuang
di rumah sendiri. Dia disisihkan ibu kandung sendiri dengan alasan yang sukar
untuk diterima olehnya. Ibunya tidak dapat menerima dia yang lahir daripada
benih seorang lelaki yang tidak dicintai. Menurut cerita orang kampung, ibu dan
ayah kandungnya dahulu kena kahwin paksa. Jadi mungkin itulah sebab ibunya itu
tidak dapat menerima kelahirannya.
Dia
sering sahaja menjadi mangsa kemarahan kedua orang tuanya. Apa sahaja yang dia
lakukan, pasti nampak tidak kena di mata mereka seperti apa yang terjadi siang
tadi. Dia dimarah kerana lambat memberikan wang hasil pekerjaannya di warung.
“Kau
ni sama macam bapak kau! Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku. Kau ingat
aku ni kaya sangat nak menampung hidup kau?” tempik Jamilah dengan hati yang
meradang marah.
“Apa
salah ayah dekat mak? Mak tak habis-habis nak marahkan arwah ayah. Besar sangat
ke dosa dia dekat emak?”
“Kau
tahu kan yang aku kena kahwin paksa dengan ayah kau. Lelaki jahanam tu
perangkap aku supaya kami kena tangkap khalwat. Lepas tu, aku kena paksa kahwin
dengan dia. Jadi ayah kau dengan seluruh keturunan dia aku tak suka!”
Jamilah
mengungkit cerita lapan belas tahun lalu. Terkedu Azlan seketika. Tergamak
ibunya menceritakan dan mengungkit hal tersebut. Buruk macam mana sekalipun
arwah ayahnya, lelaki itu tetap darah dagingnya. Tanpa lelaki itu, mana mungkin
dia dapat lahir ke dunia.
“Jadi
mak tak mengaku la yang Azlan ni anak mak? Kalau mak benci sangat dekat Lan,
kenapa mak tak bunuh je Lan masa Lan
kecil dulu?” Mata terasa berkaca-kaca. Bergetar suaranya menahan rasa marah
yang sedang melanda.
“Kalau
tak kerana ayah kau, memang dah lama aku bunuh kau. Kalau ikutkan hati, aku
gugurkan je masa kau dalam perut lagi!”
Api kemarahan Jamilah semakin marak. Dia bagaikan dirasuk. Dendam lapan belas
tahun lalu tak pernah padam. Kini dendam itu dibalas pula pada Azlan. Anak yang
tak berdosa itu.
Azlan
tersentak tatkala mendengar kata-kata yang dia tidak pernah duga akan keluar
daripada mulut ibunya sendiri. Sungguhlah, ibunya memang tidak dapat menerima
dia sebagai anak akibat dari rasa dendam dan benci pada ayahnya sendiri. Terasa
air hangat mula mengalir perlahan menuruni pipi.
“Kau
jangan nak kurang ajar! Berani kau tinggikan suara dekat emak kau!” Hasan yang
tadinya sekadar memerhati kini mula membuka mulut. Lelaki itu mencapai sebatang
penyapu yang terletak di tepi pintu lalu melibas penyapu tersebut ke belakang
tubuh Azlan.
Azlan
menjerit menahan sakit. Dia merayu dalam esak tangisnya agar tidak terus
diperlakukan sedemikian rupa. Penyapu yang dianggap hina dan membawa sial di
kalangan masyarakat Melayu itu dengan sewenang-wenang dihayunkan ke tubuhnya.
Lalu apakah nilai harga dirinya di sisi mereka? Dia merasa cukup terhina.
Lantaran
tidak tahan dipukul bertalu-talu dengan kuat, dia melarikan diri keluar dari
rumah itu. Mujurlah Hasan tidak mengejarnya. Dia membawa diri ke sungai yang
seringkali menjadi tempat untuk dia menghiburkan hati dikala jiwa dilanda
resah.
Memang
berat ujian yang terpaksa dia dihadapi. Sejak kematian arwah nenek yang
menjaganya sejak kecil, dia hilang tempat bergantung. Makan pakainya langsung
tidak dijaga. Sakit peningnya tidak pernah dihiraukan. Jika hendak duit belanja
pun, dia terpaksa mencari sendiri.
“Azlan!”
Tiba-tiba
kedengaran namanya dilaung oleh ibunya dari ruang tamu. Habis bertebaran pergi
segala lamunannya. Azlan merengus perlahan. Dengan malas, dia mengangkat tubuh
lalu menghayun langkah ke ruang tamu. Apa pulak
la kali ini? Hatinya dah mula diserang resah.
********
“MAK,
orang kesian la dengan Azlan tu.” Liyana memecahkan kesunyian yang tercipta di
dapur itu sambil tangannya laju menceduk kuah asam tumis di dalam periuk masuk
ke dalam mangkuk.
“Kenapa?”
Hasnah bertanya tanpa menoleh ke arah anaknya. Tangannya ligat memotong timun
untuk dibuat ulam.
“Hari-hari
orang tengok dia asyik termenung je.
Kesian orang tengok dia. Mak tahu la kan Mak Ngah tu, tak habis-habis nak dera
dia.”
“Mak
pun tak tahulah nak buat macam mana dengan dua beranak tu. Kau pun tahu kan
macam mana bencinya Mak Ngah kau dengan budak Lan tu. Bapa tiri dia lagi la,
sampai sekarang tak boleh nak terima budak tu.”
“Kenapa
masa arwah nenek meninggal dulu, mak tak jaga Azlan? Ajak dia tinggal dengan
kita. Kalau tak, tak adalah nasib dia jadi macam ni." Liyana membawa
mangkuk yang dah berisi kuah itu menuju ke meja makan.
“Ini
wasiat arwah nenek. Nak tak nak Mak Ngah kau kena jugaklah bela si Azlan tu. Dah memang anak dia.” Hasnah melangkah
ke singki untuk membasuh pisau yang digunakannya tadi.
“Tapi
waktu tu kan semua orang tahu yang Mak Ngah tu benci sangat dekat Lan. Dia yang
serahkan Lan pada nenek masa arwah Pak Ngah meninggal.” Liyana berdiri di tepi
meja sambil memandang ibunya.
Hasnah
menapak ke meja makan lalu melabuhkan duduk di kerusi. “Entahlah Liya. Mak pun
tak tahu macam mana nak cakap. Benda dah lepas. Ada jugak dulu mak bincang dengan ayah kau untuk jaga Azlan. Tapi bila
fikir balik wasiat arwah nenek kau tu, terus kami rasa berat hati. Lagipun
waktu tu beria-ia benar Mak Ngah kau kata nak jaga Azlan balik. Ingatkan dia
memang betul-betul dah insaf. Itu yang kami tak kisah serahkan Azlan pada dia.
Lagipun dah itu memang anak dia.”
Liyana
tekun mendengar cerita ibunya. Cerita yang sebenarnya dah berulang kali
didengar. Bukan setakat keluarganya sahaja yang mengetahui cerita tersebut,
bahkan jiran terdekat dan sebahagian daripada orang kampung juga turut
mengetahui kisah Mak Ngahnya itu. Mulut orang biasalah. Bukannya boleh ditutup.
Dari seorang ke seorang cerita itu dijaja sehingga lama-kelamaan boleh tersebar
ke seluruh kampung.
“Hai,
apalah yang dibincangkan anak-beranak ni? Makanan dah siap ke belum? Saya dah
lapar ni.” Zaidil muncul di dapur sambil memegang perut.
“Dah
siap bang. Abang duduklah dulu." Lembut suara Hasnah mempersilakan
suaminya itu duduk. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung.
Tanpa
disuruh, Liyana segera menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Dia kemudiannya
melabuhkan duduk di kerusi. Zaidi menadah tangan membaca doa makan sambil
diaminkan oleh Hasnah dan Liyana. Setelah itu mereka mula menikmati hidangan makan
malam sambil berbual-bual.
Tak semua orang
dilahirkan dalam keluarga yang bahagia. Tapi tak semestinya bahagia tu tak
boleh nak dicari.
BAB 5
TUBUH
dihempaskan ke tilam. Badan terasa lesu selepas seharian bekerja di warung
Zaidi. Dia sudah bekerja di warung milik ayah saudaranya itu sejak sebelum SPM
lagi. Hidup sebagai anak terbuang memaksa dia untuk berdikari. Dia terpaksa
bekerja untuk mengumpulkan duit bagi membayar yuran sekolah, yuran peperiksaan
SPM dan juga mencari duit poket.
Azlan
membawa tangan menutup mulut yang dah beberapa kali menguap. Sudahnya, dia
tertidur sehingga ke Asar. Mata kembali terbuka apabila mendengarkan bunyi
bising dari ruang tamu. Kedengaran suara adiknya iaitu Amira Syahida dan Amir
Fakhri sedang bergaduh. Entah apa yang digaduhkan mereka pun dia tak tahu. Dia
menekup bantal ke telinga bagi mengurangkan bunyi bising. Malas dia nak ambil
tahu hal mereka. Lagipun selama ini hubungan mereka tak pernah baik dan mesra.
Dia seperti orang asing bagi mereka. Memang dari kecil lagi ibu dan ayahnya
tidak membenarkan dia rapat dengan adik-adiknya.
“Membuta
aje kerja kau! Apa kau ingat boleh duduk rumah ni free-free aje? Kau bangun
sekarang!” Entah dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja Jamilah muncul di muka
pintu.
Azlan
mengeluh perlahan. Dia segera bangun lalu duduk sambil memandang ibunya. Kepala
terasa pening tiba-tiba akibat disergah sedemikian rupa.
“Kau
jangan nak jadi pemalas. Kau ingat kau putera raja dalam rumah ni? Pergi basuh
kain baju dekat dapur tu sekarang! Lepas tu aku nak kau pergi siram bunga dan
bakar sampah dekat belakang rumah tu. Bangun! Cepat!” Telinga Azlan ditarik
oleh Jamilah dengan sekuat hatinya.
Azlan
bingkas bangun kerana tak tahan dibebel dan dimaki hamun. Cakap baik-baik tak
boleh ke? Aku bukannya hamba dalam rumah ni. Semua kerja aku kena buat. Mira
dengan Amir tu tak ada pula kena buat kerja. Takkanlah tak tahu aku penat balik
sekolah lepas tu sambung kerja dekat warung! Azlan memprotes di dalam hati.
Dirasakan tindakan ibunya itu sangat tak adil.
Dia tahu sebagai seorang anak, dia harus akur
dan taat pada segala suruhan ibunya selagi tidak bercanggah dengan larangan
Allah. Namun dia juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Hati mana yang
tak sakit andai diri diperlakukan seperti seorang hamba.
Dia
juga tahu syurga tu terletak di bawah telapak kaki ibu. Jadi sebagai seorang
anak, dia wajar menghormati ibunya. Tapi macam mana pulak dengan keadaan dirinya yang terang-terang dibenci oleh ibu
sendiri. Ada lagi ke syurga buat dia di bawah telapak kaki wanita yang bergelar
ibu itu?
Azlan
menuju ke bilik air lalu mencapai longgokan kain baju yang belum dibasuh.
Baju-baju itu dimasukkan ke dalam mesin basuh. Nasib baik la rumah ni ada mesin
basuh. Kalau tak, dera aku nak membasuh pakai tangan baju-baju ni semua. Dah
ada mesin pun malas lagi ke? Suruh ajelah si Amir dengan Amira tu buat.
Bukannya dia orang tu budak kecil lagi. Ini aku jugak yang kena. Nak jadikan aku orang gaji pun agak-agaklah. Kalau
bayar gaji aku tiap-tiap bulan tak apalah jugak.
Ini duit poket pun haram nak bagi!
Sementara menunggu mesin habis berpusing,
Azlan keluar ke laman untuk menyiram bunga-bunga yang ada di sekeliling rumah.
Banyak juga bunga yang perlu disiram memandangkan emaknya gemar menanam bunga.
Tanam bunga bukan main rajin, tapi nak siram malas! Bentak Azlan di dalam hati.
Geram pula dia dengan sikap emaknya yang sesedap rasa sahaja menyuruhnya
membuat kerja itu dan ini.
Bukannya dia tak mahu menolong, tapi
kadang-kadang apa yang disuruh emaknya itu melebihi apa yang sepatutnya. Paling
dia terasa hati adalah disebabkan hanya dia seorang sahaja yang disuruh membuat
itu dan ini. Kedua orang adiknya itu hanya duduk goyang kaki. Tak ubah macam dongeng
Cinderella dengan ibu tirinya. Cuma bezanya dia adalah Cinderella versi lelaki
yang didera oleh ibu kandung sendiri. Kalau lelaki orang panggil Cinderalla lah
kot! Ke Cinderolla? Entah! Bibir mengukir senyum tanpa sedar.
Selesai
menyiram bunga, Azlan melangkah ke rumah Liyana bertujuan untuk meredakan
tekanan yang tengah dirasai. Memang biasanya sepupunya itulah yang sering
menjadi pendengar setia dan penghiburnya di kala dia dirundung duka. Dari jauh,
dia dapat melihat kelibat Liyana yang sedang leka menyapu daun-daun kering di
halaman rumah.
“Woi
anak dara! Buat apa tu?” Azlan melaung dari jauh.
“Aku
tengah berenang ni. Meh la join sekali,” jawab Liyana selamba
sambil meneruskan kerja-kerjanya menyapu laman.
“Berenang?
Kau ni gila ke sewel?” Azlan semakin menghampiri Liyana.
“Kau
tu yang sewel. Dah terang-terang nampak aku tengah menyapu, lagi mau tanya.” Liyana menayang riak
bersahaja.
“Sombonglah
kau ni. Menyampah aku.” Azlan buat muka merajuk lalu melangkah ke pangkin yang
terletak di bawah pokok.
“Apa
hal kau datang ni?” Liyana mengekori Azlan menuju ke pangkin tersebut.
Azlan
menghenyakkan tubuh di atas pangkin. “Saja buat lawatan sambil belajar.
Bosanlah duduk rumah tu. Tak habis-habis dengar mak aku membebel. Suruh buat
itulah, buat inilah. Tension aku.”
Dia mengadu perihal emaknya dengan muka yang berkerut-kerut.
Liyana
mengoyak ketawa kecil. Penyapu lidi yang sedang dipegangnya disandarkan di tepi
dahan pokok. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di sebelah Azlan.
“Apa
pasal kau gelak?” Wajah Liyana dipandang tajam.
“Tak
ada apa. Cuma kelakar tengok muka kau tu. Sedih bukan main." Liyana
mengajuk riak wajah Azlan.
“Mestilah
sedih. Hari-hari macam ni boleh jadi gila jugak
aku satu hari nanti.”
“Eh,
tak payahlah sampai nak jadi gila! Nanti kesian aku kena kawan dengan orang
gila.”
“Alah,
kau pun sama dua kali lima gila!”
“Baik
kau diam gila, sebelum cubitan maut aku ni hinggap dekat peha kau."
"Baiklah
gila!"
Serentak
itu juga ketawa pecah dari mulut mereka berdua.
"Dahlah.
Lagi lama aku layan kau nanti boleh jadi sewel otak aku ni. Jom masuk! Mak aku
ada buat pisang goreng tu." Liyana melompat turun dari pangkin.
“Fuyyo, pisang goreng! Memang langkah
kanan aku datang rumah kau ni.” Azlan menyungging senyum sambil membuntuti
langkah Liyana masuk ke dalam rumah.
Setibanya
di dapur, kelihatan kelibat Hasnah yang baru sahaja selesai menggoreng pisang.
“Mak
long!” Azlan menyapa ibu saudaranya itu sambil mengukir senyum.
“Ha,
Lan! Mari duduk makan pisang goreng ni ha. Panas lagi. Mak long baru goreng.”
Hasnah menapak ke arah meja makan sambil membawa pinggan yang berisi pisang
goreng.
“Lan
datang ni memang nak makan pisang goreng mak longlah. Terbau-bau sampai ke
luar. Pak long mana?” Azlan melabuhkan punggung di kerusi menghadap pisang
goreng tersebut.
“Dia
ke kedai pergi beli barang. Sekejap lagi baliklah tu. Makanlah dulu.”
“Mak
long tak makan sekali?”
“Mak
long dah makan beberapa ketul tadi. Kamu makanlah. Pak long kamu punya mak long
dah asingkan. Mak long nak ke depan sekejap.” Hasnah melangkah pergi
meninggalkan Azlan dan Liyana di dapur.
Azlan
mencapai seketul pisang goreng lalu disuapkan ke dalam mulut. Perlahan-lahan
dia mengunyah pisang goreng yang masih lagi panas berasap itu.
“Kau
tak basuh tangan dulu ke?” tanya Liyana yang baru sahaja selesai membasuh
tangan di singki.
“Basuh
tangan? Dah dekat rumah tadi." Azlan menutur selamba. Dia terus menyuap
pisang goreng ke dalam mulut dengan penuh berselera.
“Huh,
pengotor!” Selamba Liyana mengata.
“Yalah,
yalah. Aku pergi basuh la ni.” Azlan tarik muka lalu bangun menuju ke singki.
“Ha,
macam itulah! Bagus-bagus!” Liyana menarik senyum segaris.
Azlan
kembali duduk setelah membasuh tangannya. Dia kembali menikmati pisang goreng
sambil berbual-bual kosong dengan Liyana.
“Alamak!”
Wajah Azlan berubah riak dengan tiba-tiba. Macam orang ternampak hantu sahaja
gayanya.
“Kau
ni dah kenapa?” Bulat biji mata Liyana memandang Azlan.
“Dah
pukul berapa sekarang?” Pertanyaan Liyana dijawab dengan pertanyaan juga oleh
Azlan.
“Jam
punya la besar tu kau tak nampak ke?” tutur Liyana sambil melirikkan mata ke
arah jam yang tergantung di dinding dapur rumahnya itu.
Mata
Azlan turut melirik ke arah jam tersebut. “Dah pukul 6.40 petang rupanya!
Matilah aku!”
“Mati?
Siapa pulak yang nak bunuh kau?” Dahi
Liyana dah semakin berkerut.
“Bukanlah.
Tadi mak aku suruh aku basuh baju, siram bunga dengan bakar sampah. Aku lupa
yang baju tu tak habis basuh lagi. Sampah pun tak bakar lagi ni. Ingat nak
lepak sekejap je dengan kau lepas
siram bunga tadi. Layan pisang goreng mak kau punya pasal sampai terlupa semua
kerja-kerja aku tu. Alamatnya membebel lagilah mak aku nanti. Sembahyang Asar
pun tak lagi ni.”
“Dah
tu pergilah balik cepat. Yang kau tunggu lagi dekat sini buat apa?”
“Yalah,
nak baliklah ni!” Azlan segera melangkah bangun lalu meluru keluar dari rumah
Liyana dengan tergopoh-gapah. Namun sebelum itu tangannya sempat mencapai
seketul pisang goreng.
"Sempat
lagi tu." Liyana menggeleng kepala sambil tersenyum melihat gelagat Azlan.
Hai, nasib kaulah dapat emak macam singa!