Thursday 29 May 2014

Vice Versa (Bab 1): Ednin

HANDSOMENYA abangku!” Imej Hazirah yang sedang tersenyum kembali melayar di mindanya. Ketika itu mereka sedang duduk menolong ibu yang tengah menyediakan karipap yang ditempah oleh Ucu Kiah semalam. Irah tergelak mengekek sambil mencalitkan sedikit tepung di pipi Uzair.
                “Hoi! Apa ni? Ish kata nak tolong ibu. Ni dah kacau abang pulak. Cepat-cepat, sat gi ibu balik tengok karipap ni tak siap memang mampuih kita kena berletiaq tau dak.” Leter Uzair yang tengah mengelim tepi karipap. Masih tak kemas kalau mahu dibandingkan dengan karipap ibu tapi kemahirannya bolehlah lepas kalau mahu dibandingkan dengan kemahiran sesetengah orang lain.  
Irah hanya tersengih. Tangannya giat lagi mengacau Uzair di sebelahnya. Abangnya, Uzair memang begitu. Kalau boleh bercakap, memang tak boleh berhenti. Kalah emak-emak!
                “Irahhhh! Berhenti kacau abang.” Nada pada suara Uzair sudah dinaikkan bila Irah masih lagi rancak mengusiknya
                “Abang, Irah sayaaaaang abang!” Kata Irah sambil menghadiahkan pelukan kepada Uzair. Pelukan dieratkan lagi bila Uzair mahu meronta keluar.
                “Ni awat ni? Buang tebiat?”
                “Apa pun berlaku, abang kena ingat yang Irah sayang abang. Sangat-sangat.” Kata Irah sebelum lari keluar bila mendengar bunyi enjin motor di luar rumah mereka.
                Uzair termangu di lantai dapur. Pelik! Mendengar ayat dari adik perempuannya yang berjiwa ‘rockers’ itu.



“IRAHHHH.” Jerit Uzair dalam tidur yang tidak pernah lena. Dia terus terjaga dari tidurnya dengan nafas yang tidak teratur. Imej Irah yang tersenyum tadi di dalam mimpinya itu sudah hilang dan digantikan dengan imej bilik yang diterangi lampu. Sejak peristiwa itu memang dia lebih selesa untuk tidur di dalam keadaan cerah. Lebih tenang, dia rasa.
Uzair meraup mukanya sekilas. Dia mimpi lagi! Mimpi yang tidak pernah putus mengacaunya sejak sepuluh tahun yang dulu. Cuma kali ini sudah tidak sekerap dulu…
Fokus matanya diarahkan ke jam dinding. Pukul 4 pagi.
Gebar ditarik ke tepi. Kaki diturunkan ke lantai lalu dihalakan ke muka pintu bilik dengan helaan nafas yang masih tercungap laju.



“YA ALLAH, Uzair!” Puan Awa menjerit kecil bila melihat Uzair yang sedang duduk di atas kabinet dapur. Hampir terkeluar jantungnya bila melihat objek hitam itu. Tambah-tambah lagi dengan suasana yang gelap gelita yang hanya bertemankan lampu jalan di luar.
“Uzair…” Panggil Puan Awa lagi bila Uzair sedikit pun tidak bergerak bila dia terjerit kecil tadi. Kepalanya masih lagi tertunduk melihat lantai, tidak bergerak mahupun seinci… Tahulah Puan Awa yang fikiran Uzair bukannya di situ tetapi sebaliknya sudah terbang jauh, merentasi masa, merentasi tahun… Puan Awa tahu di manakah destinasi itu sebenarnya.
Destinasi sepuluh tahun lepas… Bisik hati Puan Awa. Tangannya pantas menekan suis lampu yang kebetulan terletak di sebelahnya.
Taaappp.
Seluruh dapur rumah separa kayu, separa batu itu sudah terang kembali dengan cahaya lampu. Uzair yang tadinya tidak perasan akan kehadiran ibunya di situ terus kembali ke alam realiti.
“Ibu..” Kata Uzair lemah. Terus dia melompat turun dari kabinet.
Puan Awa berjalan ke kabinet, mengambil segelas air masak lalu diserahkan kepada Uzair yang sudah mengambil tempat di meja makan.
“Mimpi lagi?” Tanya Puan Awa lalu duduk di hadapan Uzair. Matanya memandang lemah pada anak lelaki sulungnya yang kelihatan serabai itu.
Uzair mengangguk perlahan. Mana mungkin dia boleh menipu dengan ibu yang melahirkan dan membesarkannya selama 29 tahun ini? Ibu mesti tahu apa saja yang terlintas di kepalanya. Dari dia menipu, lebih dia mengaku saja. Lebih mudah.
Puan Awa menggelengkan kepala. Kasihan Uzair... Sejak Hazirah meninggal dunia akibat kemalangan, sejak itulah tidur Uzair tidak pernah lena, tidak pernah aman. Sering saja diganggu dengan imej bayangan Hazirah
“Sudah la Uzair.. lupakan pasal Irah. Dah bertahun dah arwah pergi. Biar arwah tenang di sana…” Nasihat Puan Awa. Dia tahu yang anaknya ini masih berdendam dengan Ezzaq disebabkan peristiwa hitam itu..
“Uzair tak boleh lupa ibu.. Tak mungkin.”
“Sampai bila Uzair?”
“Sampai Uzair boleh lupa keadaan Irah malam tu, ibu.” Uzair memejamkan matanya. Keadaan adiknya malam tu terlayar elok di mindanya. Masih jelas lagi badan yang penuh luka, darah yang masih mengalir dari lubang hidung. Imej itulah yang selalu menghantui dirinya. Agak-agaknya macam manalah perasaan adiknya malam tu. Sakitkah dia di saat nyawanya ditarik? Sekali lagi imej itu muncul di kepalanya.
Uzair pantas membuka mata. Bilalah dia boleh lupakan imej buruk ini?
“Uzair masih marahkan dia ye?”
Khali.
Dia faham siapa ‘dia’ yang dimaksudkan ibu itu. Wajah ibu yang sedang memandangnya itu dipandang seketika sebelum dia tunduk meneguk air. Lambat-lambat kepala digelengkan.
“Dia yang buat Irah macam tu. Sebab dia la Irah mati ibu.. Irah baru 14 tahun ibu masa tu..”
“Ya Allah, Uzair… itu Qada’ dan Qadar. Mana kita boleh pertikaikan…” Lemah Puan Awa bersuara. Apa yang Uzair tengah buat sekarang ni akan memakan dirinya pada suatu hari nanti.

“Ibu, please. Jangan…” Khali. “Sampai bila-bila Uzair tak akan maafkan dia.. Tak akan!” Kata Uzair lantang. Dia nekad. Itu janji dia pada Hazirah.

Warkah Pengikat Hati (Bab 2): Aylanins

“KAMU hendak yang macam mana Umar?” tanya Hajah Khairiyah malam itu dalam telefon. “Yang cantik, yang berpendidikan tinggi, jenis ustazah-ustazah ke, ada ijazah ke, ada diploma ke, atau kamu nak yang jenis jadi suri rumahtangga?”

“Mak…” Umar tergelak kecil.

Emak ini mentang-mentanglah abang Hakim itu baru kahwin tahun lepas, dia yang muda dua tahun dari Hakim itu emak hendak bereskan cepat-cepat. Padahal bukan emak tidak ada menantu. Masuk isteri abang Hakim itu, emak sudah ada tiga menantu.

Kakak sulung dan kakak keduanya masing-masing sudah kahwin dan ada anak, tambah pula dengan Kak Huda yang baru kahwin dengan Hakim tahun lepas, nah, menantu emak sudah tiga. Tapi begitulah, hati emak itu  sentiasa risau padanya yang masih menyendiri.

“Kamu nak pilih sendiri ke?” tanya emak lagi dalam telefon.

Hajah Khairiyah itu susah hati betul dengan anak terunanya itu. Sudah masuk usia 30 tahun, hati ibu mana yang tidak risau. Sudahlah jauh di rantau orang. Sepatutnya orang yang kerja ustaz macam Umar itu sudah awal-awal lagi kahwin.

“Mak… saya cuma nak orang yang faham saya, yang sanggup bersusah-payah sama-sama saya, sebab kalau boleh saya nak bakal anak-anak saya nanti bakal huffaz, Insya Allah. Mak doalah saya jumpa orang yang begitu ya,” kata Umar dengan nada memujuk.

Dia geli hati juga dengan emak itu, nanti lepas dia kahwin nanti tentu emak sibuk hendak kahwinkan Habib, adiknya yang muda tiga tahun darinya itu.

“Yalah… macam-macam kamu ni. Kahwin siapa-siapa pun sama Umar, kamu kan ‘hafiz’, kamu boleh didik sendiri anak-anak kamu nanti. Tak perlu tunggu isteri kamu pun,” komen Hajah Khairiyah di hujung talian.

“Iya… tapi hendak kekal jadi huffaz seumur hidup itu banyak cabarannya mak,” kata Umar pula. “Mak doakan saya ya, agar jumpa pilihan hati saya…”

“Iya... iya… mak doakan agar kamu jumpa pilihan hati kamu nanti. Ke dah ada? Orang sana ke?” tanya Hajah Khairiyah serkap jarang.

Sejak Umar itu memilih untuk jadi guru tahfiz di Kuching, Sarawak, dia jadi susah hati. Susah hati soal makan minum Umar, dan lebih-lebih lagi susah hati dengan Umar yang sampai sekarang masih belum ada pasangan hidup.

“Belum… belum jumpa. Dia tersalah naik flight kot mak, tu yang asyik tak berselisih hehe…” Umar tergelak.

“Macam-macam kamu ini,” Hajah Khairiyah sudah tersenyum-senyum di sebelah sana. Umar ini memang ada-ada saja.



SAMPAI di hadapan tangga besar masjid, Najiha parkir kereta betul-betul di hadapan tangga. Keluar dari kereta, dia mendongak memandang kamera CCTV yang dipasang di sudut tiang. Entah kenapa ada tabiat sebegitu. Sejak dia tahu ada banyak kamera CCTV dipasang di segenap penjuru masjid ini, dia jadi suka memandang kamera itu. Terasa selamat dan sentosa berada di masjid, wah… ayat kamu Najiha.

“Rafiq... mari. Dah sampai...” Najiha buka pintu kereta.

Rafiq ini memang manja. Kereta mesti diparkir betul-betul di hadapan tangga. Jadi dia tidak perlu berjalan jauh. Macam mana mahu jadi mujahid ni Rafiq? Awal-awal lagi sudah begitu manja malas berjalan jauh.

“Eh… kuncilah. Pintu tak buka…” kata Rafiq bila melangkah keluar dari kereta. Wajahnya melihat ke arah pintu aras bawah masjid yang bergril, selalunya memang dibuka. Oh, yalah. Najiha tak perasan. Selalunya kalau jam 8:20 pagi macam ini, sudah buka. Mungkin ada orang mandikan jenazah pagi ini, sebab itu pintu sebelah sini ditutup, padahal selalunya kalau ada jenazah pun, pintu itu tetap dibuka.

Mungkin pakcik pengawal lupa mahu buka. Kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik yang dikhususkan untuk mandikan jenazah.

“Kita pakai pintu satu lagi…” Najiha tarik tangan Rafiq lembut.

Anak ini comel betul. Wajahnya yang mulus dan tampan itu memang memikat. Bohonglah kalau orang kata Rafiq tidak tampan. Kecil-kecil lagi sudah nampak tampan dan berseri-seri. Mungkin orang yang menghafaz Al-Quran memang wajahnya berseri begitu.

Pintu satu lagi ialah di bahagian tengah. Yang ini agak meriah dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini. Lepas itu di atas perkarangan masjid itu ada apa ya? Ya, hari ini kan hari Jumaat. Oh, mungkin ada tazkirah pagi untuk staf masjid ini. Baru hari ini Najiha perasan ada sekumpulan lelaki di perkarangan masjid sebelah sini. Ada 3 orang lelaki sedang beri taklimat lagaknya di hadapan mereka. Mungkin bacaan Yasin awal pagi sebab macam ada buku kecil di tangan lelaki-lelaki itu.

Menyedari pandangannya ke sisi atas masjid itu mendapat perhatian seorang dua lelaki di situ, Najiha cepat-cepat memandang ke hadapan. Oh, malunya kalau ada yang perasan dia sengaja meninjau-ninjau ke atas tadi, dengan niat mahu meneropong wajah-wajah tenang di situ. Entah kenapa dia suka pandang wajah staf yang bekerja di masjid itu, semuanya tenang belaka. Bila waktu azan berkumandang, rata-rata mereka bergegas ambil wuduk untuk menunaikan solat di awal waktu. Rasa hendak berhenti kerja dan mohon masuk kerja di masjid ini. Biar hati setenang ini.



RAFIQ dihantar sehingga ke pintu kelas. Nampak beberapa orang lelaki keluar masuk dari bilik jenazah di sebelah kelas itu. Dulu bila dapat tahu kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik jenazah, Najiha terasa takut juga. Dia takut Rafiq ternampak benda yang bukan-bukan. Macam tahun lepas, ada seorang murid yang pernah belajar di kelas itu, mohon keluar dari sekolah itu sebab asyik ternampak sesuatu. Sesuatu yang tidak sepatutnya tidak dilihat dengan mata kasar. Entahlah, tapi budak-budak ada juga yang boleh nampak benda ghaib begitu.

Itu yang Najiha selalu guna pintu tengah masjid. Sekarang, dah biasa, dah masuk 3 bulan Rafiq di situ, dia lalu saja bilik jenazah itu macam biasa. Rafiq pun tak ada apa-apa masalah. Malah dia pandang bilik mandikan jenazah itu macam kelas-kelas yang lain juga.

Sebelum Rafiq dilepaskan masuk ke dalam kelas, harus dipeluk cium dulu budak berusia 6 tahun itu. Anak bongsu memang manja. Kalau tak dipeluk cium, muka semacam saja. Jadi semua yang lalu-lalang di situ mesti ingat Najiha ini ibunya, sedihnya selalu sahaja sahamnya merudum jatuh gara-gara selalu bawa Rafiq dan Lutfi ke sana-sini.

Tapi selepas itu tambah 10 markah sebab orang mesti akan cakap pada dia, comelnya anak-anak awak. Kembang hidung Najiha bila orang puji begitu walaupun dia cuma ibu saudara Rafiq. Nak kata Rafiq tu comel macam awaklah ya Najiha.  



KUNCI di tangan dipegang erat. Ustaz Umar berjalan pantas melewati pejabat pentadbiran am masjid dan kelas-kelas tahfiz menuju ke bilik jenazah. Ustaz Salleh menelefonnya tadi meminta bantuan untuk mandikan jenazah yang baru sampai awal pagi tadi. Kalau tidak kerana Affendi itu demam dan Fazli pula cuti dua minggu, kemudian ada pula waris jenazah di Taman Permata yang malam tadi sudah menelefon meminta bantuan staf mereka untuk uruskan, tentu Ustaz Salleh itu tidak kalut begitu. Staf tidak cukup, kata Ustaz Salleh. Terpaksa minta tolong cikgu tahfiz yang tidak ada kelas.

Taman Permata tidak ada surau sendiri, kalau ada pasti mereka ada staf sendiri yang menguruskan jenazah. Jadi staf bahagian jenazah yang tinggal di masjid, setelah dipinjam ke sana-sini, cuma tinggal 4 orang sahaja. Pagi ini pula ada dua jenazah yang menunggu giliran. Itu yang Ustaz Salleh terpaksa minta bantuan dia.

Walaupun dia ini bukannya staf bahagian urusan jenazah, dan cuma guru tahfiz di sini, tapi kadang-kadang khidmatnya diperlukan juga untuk urusan begini sekiranya keadaan betul-betul memerlukan. Tak apalah, detik Umar dalam hati. Fardhu kifayah. 

Pagi itu, usai saja tazkirah pagi tadi, nasib baiklah dia tidak ada kelas hafazan dengan pelajar tahfiz. Semua murid tahfiz yang berusia 4 dan 5 tahun ada lawatan sambil belajar di Kem Tentera. Yang tinggal cuma murid tahfiz yang berusia 6 tahun sahaja.

Dari jauh lagi Ustaz Umar nampak Rafiq dicium oleh seseorang di hadapan kelas Ibn Khaldun 6. Pasti ibunya. Dia menggeleng kepala. Memang dia kenal Rafiq yang kuat menangis itu. Siapa tidak kenal Rafiq. Anak muridnya itu, pantang dipaksa menghafaz secara solo, mesti menangis.

Itu belum lagi dengan kisah murid-murid yang berusia 4 tahun dan 5 tahun. Yang itu memang mencabar jiwa dan raga mengajarnya. Mujur rata-rata yang masuk ke sekolah ini terang hati belaka. Mungkin khasiat menghafaz ayat-ayat Al-Quran.

Bilik jenazah di hujung sekali, sebelah kelas Ibn Khaldun 6. Melewati Ibn Khaldun 6, Ustaz Umar menjeling sekilas pada ibu Rafiq yang masih berdiri di hadapan pintu kelas. Padanlah hari ini Rafiq tidak menangis pagi-pagi, ada ibunya menghantar sampai ke pintu, siap peluk cium berkali-kali.

Rafiq pula tersenyum-senyum suka. Kalau tidak dipeluk cium begitu oleh Najiha, nanti dia menangis. Mujur ada kawannya di dalam kelas itu sudah menggamit Rafiq supaya cepat-cepat masuk ke dalam kelas. Najiha terasa cuak juga, takut kalau-kalau Rafiq itu buat hal lagi. Selalunya, kalau dia yang hantar Rafiq ke sekolah, mesti Rafiq yang terlebih dos manja itu menangis meraung-raung hendak ikut Mak Usunya ini balik macam tahun lepas. Ini sudah masuk  tiga bulan di taska untuk budak-budak usia 6 tahun, jarang Rafiq buat perangai tak senonoh begitu lagi.

“Assalamualaikum Ustaz…” tegur Rafiq ceria ketika Ustaz Umar lalu di hadapan pintu kelas.

“Ya… waalaikumsalam…” senyum Ustaz Umar gembira. Memang murid-murid di situ sudah dilatih agar sentiasa memberi salam ketika berjumpa dengan guru-guru mereka.

Najiha mengangkat muka memandang Ustaz Umar sekilas. Amboi Rafiq, sukanya kamu pagi ini ya. Ada Mak Usu kesayangan kamu menghantar sampai ke pintu. Kalau Tok Man yang hantar, muka Rafiq asyik masam mencuka.

Yalah, Tok Man mana pandai sangat nak peluk cium budak-budak. Tok Man kan peguam. Tentulah tegas memanjang dengan misai melintang yang bikin tambah wajahnya jadi garang. Tersenyum Najiha mengingatkan ayahnya itu. Hari itu dia minta cuti, sebab itu dapat hantar Rafiq ke sekolah. Selalu ayahnya yang akan menghantar Rafiq ke sekolah. Tapi hari ini ayah ada urusan di luar daerah pula.

Ustaz Umar menghampiri pintu bilik jenazah yang tertutup. Mudanya ibu Rafiq, detik hatinya bila terpandang wajah manis itu sekilas. Kahwin muda agaknya.

Ustaz Umar menguak pintu bilik jenazah.


“Assalamualaikum Salleh…” serunya. "Saya buka pintu sebelah sini dulu ya. Van jenazah nak sampaikan?"

Tuesday 27 May 2014

Warkah Pengikat Hati (Bab 1): Aylanins

KALAU di rumah orang, kepala udang ini kena buang,” pesan Puan Maimon, menunjuk pada udang di dalam singki.
“Yalah… tadi nak cepat. Lagi pun udang ni besar, otak udang kan sedap… sayang nak buang,” jawab Najiha lirih.
Dia bukannya tak tahu yang kepala udang itu harus dibuang, tapi sayanglah sebab nanti kalau kupas kulit kepala udang tu, mesti kadang-kadang akan terbuang tanpa sengaja kepala dengan otaknya sekali. Oh, sedap sungguh udang masak lemak cili api. Pesan emak dengan frasa ‘rumah orang’ itu macam lain saja. Rumah siapa tu emak. Rumah emak mentua ya haha, Najiha mengusik di dalam hati.
Kalau cuti sekolah begini apa lagi yang harus dibuat kecuali mengikut kelas memasak anjuran emak tersayang. Selepas itu ada kursus mengemas rumah, kursus jahit-menjahit, pendek kata kursus mengurus hal ehwal rumah tanggalah. Hendak membaca buku cerita dan menonton drama Korea kegemarannya itu pun hampir tiada masa.
“Serius nak masukkan Rafiq ke sekolah tu?” tanya Puan Maimon yang muncul kembali di pintu dapur sambil membawa seplastik besar bawang.
“Sayanglah mak kalau tak masukkan. Ni dah dekat nak habis juzuk Amma dia hafal. Duit tu boleh diusahakan,” jawab Najiha sambil tangannya ligat membuang kepala udang.
Dah penat membuang kepala udang ini, malas pula mahu memasaknya. Alih-alih nanti dia cuma tumis bawang, masukkan udang, campur Secukup Rasa Maggi sudah. Itu resepi menipu, kalau emak tahu memang kena leter. Emak kalau masak mesti cukup segala rencah. Ada rupa, ada rasa.
“Cukup tak budget tu? Siapa yang nak bayar?” soal Puan Maimon sambil tangannya. “Berniaga butik ni bukan selalu ada pelanggan yang meriah Jiha. Ikut musim. Musim raya ramailah yang datang membeli. Takut nanti mak tak mampu nak tolong bayar bulan-bulan.”
“Jiha bayarlah mak. Jiha dah kira belanja bulan-bulan. Biasiswa pinjaman Jiha dulu dah nak habis bayar, ada baki duit gaji sikit. Bolehlah…” Najiha ambil pula kuali dan letak atas dapur. Betullah tu dia dah malas nak masak yang remeh, alih-alih udang ni tumis goreng saja.
“Mak tak nak cucu mak jadi golongan huffaz? Budak kecil macam Rafiq tu mudah nak menghafaz mak…” pancing Najiha lagi.
“Ikut kamulah. Mak cuma takut kita tak mampu nak bayar yuran saja. Mahal betul yuran sekolah tu, macam nak masuk universiti,” jawab Puan Maimon.
“Jiha ada simpan bulan-bulan dalam Tabung Haji, potong gaji. Boleh buat backing yuran Rafiq.” Sambungnya lagi. Rencah sudah ditumis di dalam kuali. Bau bawang, halia dan cili kering yang dilumatkan harum semerbak menguasai dapur.



NAJIHA mengisi borang pendaftaran ke taska tahfiz dengan hati-hati. Borang itu cuma satu, tidak ada salinan, dan untuk dapatkan borang itu kena beratur panjang. Ramai rupanya ibu bapa hendak hantar anak-anak masuk ke taska tahfiz itu, detik hatinya. Syukur Alhamdulillah dia dapat juga ambil borang untuk Rafiq.
Taska tahfiz itu adalah sebuah taska yang menjadikan hafazan Al-Quran sebagai asas kurikulum mereka. Pengambilan bermula seawal usia 4 tahun, dilanjutkan sehingga 5 dan 6 tahun. Darjah 1 sudah ada, tapi cuma 2 buah kelas sahaja. Dan sekolah tahfiz itu sudah didaftar dan diiktiraf sebagai sebuah sekolah swasta di sini. Rafiq itu memang sekolah di situ tahun ini, kelas untuk yang berusia 5 tahun. Tahun depan Insya Allah, Rafiq yang comel itu masuk usia 6 tahun, tapi kemasukan tidak secara automatik. Kena isi borang juga sebab ramai sangat yang hendak daftar masuk.
Butir-butir peribadi Rafiq dia isi ke dalam borang itu. Kalau Rafiq dapat teruskan pembelajaran di sekolah ini, tidaklah susah kerjanya hendak meng’hafiz’kan Rafiq sebab ada bantuan secara tidak langsung dari sekolah tahfiz itu. Lainlah Lutfi. Lutfi sekolah kerajaan biasa. Terpaksa Najiha ini sendiri yang usaha untuk meng’hafiz’kan Lutfi. Hendak masukkan Lutfi ke sekolah yang sama macam sekolah Rafiq, sekolah Rafiq itu kohort paling tua ialah Darjah 2 sedangkan Lutfi sekarang Darjah 3.
“Jiha…” tiba-tiba terdengar suara Kak Mirah di muka pintu kelas.
Najiha mendongak. Terhenti seketika kerja mengisi borang itu. Sesi persekolahan hari itu sudah tamat, dan sementara menunggu Rafiq habis kelas Fardhu Ainnya, dia habiskan masa dengan meneliti borang itu.
“Ya kak. Masuklah…” pelawanya.
Kak Mirah sudah tanggalkan kasutnya dan melangkah masuk ke dalam kelas Najiha. Kak Mirah itu kerani sekolah, kalau dia datang ke tingkat tiga ini mesti ada surat rasmi yang hendak diberi pada Najiha ini. Bukan senang dia hendak terhegeh-hegeh panjat anak tangga sampai ke tingkat tiga bangunan sekolah ini kalau tidak kerana ada urusan penting.
“Jiha jadi tak masukkan Rafiq ke pra sekolah sini tahun depan? Puan Harisah nak hantar nama-nama budak yang masuk senarai lewat ke PPD,” kata Kak Mirah mengambil tempat duduk di hadapan Najiha.
“Tak jadilah kak. Saya dah nak daftar nama dia masuk taska tahfiz. Ni baru dapat borang. Tak cukup 25 orang lagi ke?” tanyanya pada Kak Mirah.
Hari itu, dia ada isi borang hendak masukkan Rafiq itu ke pra sekolah di sini untuk kemasukan tahun hadapan, tapi Kak Mirah kata semua borang sudah dihantar ke PPD. Kena tunggu tarikh kemasukan kedua iaitu pendaftaran terlewat. Tunggu punya tunggu, borang taska tahfiz ini sudah keluar. Selepas beberapa kali dia solat istikharah, hatinya kuat menyatakan dia harus isi borang ini dan bukannya menunggu kemasukan ke pra sekolah.
“Tak apalah. Nak confirm. Ada lagi kosong tiga tempat. Ini ada surat dari PPD. Minggu depan Jiha ada taklimat guru data…” kata Kak Mirah sambil hulur sekeping surat rasmi berlogo Pejabat Pelajaran Daerah Kuching.
“Ok… terima kasih kak,” Najiha sambut surat itu.
Dia membaca surat itu sekilas, minggu depan hari Selasa, jam 2:30 petang taklimat di PPD. Harap-harap taklimat habis awal, sebab nanti nak ambil Rafiq dari sekolah tidak boleh lewat barang seminit dua sebab Rafiq itu manja sangat. Ambil lewat wajahnya mesti tercebik-cebik hendak menangis. Senyum sendiri dia mengingatkan anak saudara kesayangannya itu.

Cooper-K (Bab 3): RodieR

Ha! Buat apa tu?!”
“Terkejut aku makcik kau terbalik, ish!” bulat matanya merenung si sahabat yang dah terkekeh-kekeh ketawa di belakangnya. “Boleh tak lain kali bagi salam dulu ke apa greeting dulu ke, Cik Arina oi!”
Awatnya kau ni kalut sangat?”
“Dah kau pergi tergezutkan aku macam tu siapa suruh?”
Ina sengih lagi. “Aku bermasalah ni.”
“Apanya?” Earphone MP3  yang tadi terlucut ke bahu bahana disergah tepuk dek Ina ditarik dan MP3 itu diletakkan di atas meja. Idler’s Dream, Oasis berlagu pada nota Communication and Psychology.
“Nota aku tertinggal kat library petang tadi.”
“Ina, dah dekat pukul sembilan dah ni.” Mia mengeluh.
Ina angguk. “Tau. Tapi nota penting tu. Untuk test esok. Mati aku nanti tak boleh jawab apa. Teman aku pergi ambik jap, Mia, puhleeaassee...”
Mia menjulingkan mata. “Kau tau tak kolej ni ke library tu pusing-pusing ada dekat dua kilometer jaraknya? Aku yang cekeding ni lepas ni jadi lidi je la. Orang nak simpan kalori, dia suruh bakar pulak tak tentu fasal.”
Ek eleh, ada je alasan kau. Takut terjumpa Mini Cooper eh?”
Ei, ke situ pulak budak ni sorang. “Siapa kata aku takut?”
“Kau tak yah kata pun dah boleh nampak. Cuak semacam je bila aku sebut nak pergi library. Padahal sebelum ni, takkan keluar dari library tu kalau tak gelap lagi.” Ina sengih. “Malam-malam macam ni takkan la dia ada kut. Mesti kat bilik, tak pun melepak mana-mana. Guys macam tu ada ke nak static study kat library?”
Who knows? Kut-kut typical nerdy medical student? “Bukannya aku takut nak jumpa dia la.” Eish, Amilia Aisya, masih tak nak mengaku.
Okay, then, jom la teman aku jap, please, tolong, por favor?” Ina dah buat muka kesian.
“Buat muka cute macam tu lagi!” Mia merengus. “Asal nak mintak tolong, buat muka cute. Buat muka sposen tak laku. Buat muka orang mintak sedekah...” dalam duk membebel dia tetap bangun mencapai tudung dan sweater di tempat penyangkut baju. “Cepat la, nak pergi tak?”



“Banyak la kau punya tak static study kat library. Tu ha apa? Madame Tussauds ada buat patung replika dia ke letak kat library ni?” tajam bisikan itu ditutur sambil dia kelam-kabut nak melarikan diri. Kawan di sebelah diberi jelingan maut sedas. Memang la kau nak kena bungkus balik ni, Ina! Cet, mamat tu dah nampak aku la pulak!
Cooper bangun dari duduknya, melambai ke arah mereka.
Aiyo! Guana gamak aku ni?
“Mia, dia panggil tu.”
Ha, apa dia? Aku jadi buta sekejap.” Hilang segala deria rasa tatkala melihat lelaki itu tercongok selamba membaca suratkhabar di meja depan, betul-betul setentang pintu masuk. Memang confirm la dia nampak. Tak perlu pakai spotlight pun.
Lambat dia melangkah.
Cooper mengangguk senyum ke arah Ina. Dibalasnya dengan kenyitan kecil. Cooper tergelak.
“Aku pergi cari buku kejap.” Cepat minah tu meminta diri.
Ek... ei!” bertuah punya little missy, witchy, flirty... “Damn you…” perlahan ayat itu dituturkan.
“Mia.” Panggilan itu mematikan sumpahannya pada seorang sahabat.
Er... hai.” Mia sengih kelat. “Malam-malam datang library jugak ke?” Ni namanya skill berbasa-basi. Cepat la Ina oi!
Cooper senyum nipis. “Tadi ada discussion kejap kat fakulti lepas balik hospital. Singgah sini kejap baca paper.”
“Oh.” Apakah lagi perkataan yang perlu kuutarakan saat ini?
“Tak nak duduk ke?” senyum nipis itu masih tak beralih.
“Tak pe la. Kejap je Ina tu. Dia tertinggal buku tadi.” Ina oi! Kau terasa nak cetak buku nota baru pulak ke?
“Oh.” Senyap.
Mata Cooper masih merenungnya. Matanya pula dah melilau ke segenap ruang perpustakaan. La, kat situ rupanya bahagian rujukan jurnal, tak pernah perasan pun sebelum ni. Eh, sejak bila ada komputer kat tiang tu? Em...
“Mia.”
“Iye?” dia masih tak berpaling. Oh, tu bahagian engine. Ada jugak satu row ye. Ingatkan ni library untuk health science je.
“Ada jodoh jugak kita ni ye?” soalan itu membuatkan dia berpaling kembali ke arah Cooper. Tajam mata lelaki itu direnungnya.
Cooper senyum nipis lagi. “Just repeating what you said, no offense.”
Ye la sangat. Saja je ingatkan aku benda yang aku dah tak nak ingat. Dia senyum sedikit, cuba nak mengawal diri. Kenapa la aku nak tercegat kat sini je? Padahal boleh je mintak excuse nak pergi cetak buku jugak. Ei, kenapa la tak terfikir tu dari tadi? “Em, excuse me, nak pergi...”
“Cari buku?” laju Cooper mencelah. “Med pharmacology ke?” diangkatnya suratkhabar dari atas meja dan terpampang buku teks Medical Pharmacology di situ.
Mia menggigit bibir. Terasa nak tergelak. Mamat ni betul la. “Read my mind, doc?”
Cooper tergelak kecil. “A guy can at least hope, can he not?”

Mia ketawa akhirnya. Bagi la dia ni can, Amilia Aisya, bersungguh sangat nampaknya ni. Apa salahnya buat kawan medical student? Boleh tambah ilmu. Si Ina ni pun dah tambah kerjaya jadi editor buku teks dah kut, tak ternampak bayang lagi ni. “Okey la, you win.” Dia melabuhkan punggung juga di kerusi setentang dengan lelaki itu. “Mana satu nak masuk test next week ni?”

Tuesday 20 May 2014

Kutunggu Pinanganmu (Bab 4): Fisha

Keadaan dirumah riuh dengan kedatangan Mak Long sekeluarga. Masing-masing sibuk bercerita pelbagai kisah. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Pak Long, abang mama yang berkahwin dengan orang Pahang dan tinggal di Perak sekarang agak kerap bertandang ke rumah mereka. Cuma dua tiga bulan ni pak long sibuk hingga tak sempat berkunjung ke rumah mereka.
“Tak kerja kamu hari ni Fawwaz?”
Pak long Amin memandang anak saudaranya yang santai menonton Tv. Nampak macam tak ke mana-mana hari ini. Kebiasaannya, jika mereka bertandang Fawwaz jarang ada dirumah. Kalau tunggu sehingga solat Isya barulah boleh bersua muka dan berbual dengan Fawwaz.
“Nak kena bising dengan mama kalau Fawwaz keluar ke ladang hari ni.” Perlahan dia menjawab. Bimbang kalau-kalau Puan Fazilah mendengar. Nanti kena lagi dengar tazkirah ‘pentingnya mengeratkan silatulrahim antara kaum keluarga’ kalau tak bercuti hari ini. Pedih telinga.
Tergelak Encik Amin dengan jawapan anak saudaranya yang jujur. Takut benar dengan adiknya itu.
“Sejak bila Fawwaz takut dengan mama ni? Selalu tak kisah langsung kalau mama tu membebel pasal kamu.”
“Bukan takut pak long, tapi malas nak dengar kuliah tak ada waktu ni. Pedih telinga berhari-hari kalau sekali kena.”
Rasa serik nak mendengar bebelan Puan Fazilah kalau dia tidak mendengar kata. Kadang-kadang dia dilayan macam budak 10 tahun oleh ibunya itu. Tapi dilayan juga bila teringat siapa lagi anak yang Puan Fazilah ada selain dia.
“Kahwinlah, mesti dia tak membebel dekat kamu dah. Silap-silap dekat kamu pun dia lupa bila dah dapat menantu.” Cadangan Encik Amin, faham yang adiknya sunyi dan teringin punya anak perempuan.
Berkerut Fawwaz mendengar cadangan pak longnya. Senang betul bercakap. Dia yang sememangnya tak ada kawan dengan mana-mana perempuan yang boleh dijadikan calon yang sakit kepala nak fikir walaupun cadangan itu agak bernas.
“Kalau ada calon dah lama Fawwaz kawin pak long.”
“Kalau nak ada calon kenalah cari, bukannya dia boleh datang bergolek. Ini asyik sangat dengan lembu, bilanya nak berdua.”
Fawwaz hanya tersenyum dengan komen itu. tak ada jawapan yang sesuai untuk diberikan pak paklongnya.
“Along, nak pinjam laptop.” Amir yang tadi senyap didalam biliknya sudah berdiri ditepi sofa. Pelik bila Amir mahu menggunakan komputer ribanya.
“Dah kenapa pulak? Ipad yang along bagi tadi mana?” ketika sampai tadi Amir meminta Ipad miliknya, sekarang mahukan komputer pula.
“Tak selesa la nak guna. Boleh tak?”
“Ambil sendiri atas meja dalam bilik tu.”
Senyum lebar Amir dengan jawapan Fawwaz. Along ni memang yang terbaiklah, langsung tak berkira barang-barang. Memang dia dah nampak komputer riba Fawwaz, sebab tu dia berani minta.
“Password?”
“Takdak.”
“Ok, thank you.”
Seronok Amir mendengar jawapan Fawwaz. Selamba sungguh sampai komputer pun tak ada kata laluan. Entah apa barang yang Fawwaz sayang pun dia tak tahu. Langkah kembali diatur ke bilik bila Fawwaz sudah memberi izin.
 “Ladang ternak tu macam mana?”
Encik Amin kembali bertanya bila anak bujangnya berlalu. Suka betul berbual dengan anak saudara yang rajin dan kuat berkerja macam Fawwaz. Berpandangan jauh pun ia jugak, sentiasa berdaya saing untuk maju.
 “Alhamdullilah. Dah berkembang sikit. Bolehlah nak tampung hidup Fawwaz sorang diri. Kenapa? Pak long nak lembu ke?”
Faham benar dengan sikap pak long ni, takkan bertanya kalau tak ada hal. Pasti ada yang hendak dibeli jika sudah bertanya begitu.
“Pak long nak dua ekor untuk korban nanti, boleh?”
“Ada rasanya, nak buat dimana?”
“Satu disini, lagi satu kamu kena hantar ke Peraklah. Kawan-kawan pak long nak berkongsi korban tahun ni.”
“Tak ada masalah. Nanti Fawwaz uruskan.”
Setiap tahu memang dia akan asingkan lapan hingga sepuluh ekor lembu untuk keluarga. Senang kalau ada yang tiba-tiba hendak mencari lembu korban atau kenduri. Malulah dia sebagai pengembala lembu kalau dengan saudara sendiripun tak boleh nak tolong.


“Nak pak long tolong carikan?”
Tercengang Fawwaz dengan soalan Encik Amin. Nak tolong carikan apa pulak. Rasanya dia tak ada hilang apa-apa.
“Cari apa pak long?”
“Jodoh.”
Pak long ni kadang-kadang boleh tahan juga merapunya. Nak tolong carikan jodoh macam nak pergi beli ikan dipasar. Mudah sungguh. Ingatkan dah habis cerita pasal jodoh ni. Rupanya Pak long masih berminat meneruskan perbincangan.
“Amboi pak long, dah mengalahkan mama dah ni. Sejak bila bula agensi cari jodoh ni?”
“Mana ada, taste pak long lagi A dari mama kamu tu. Dia punya taste mana masuk dengan selera kita. Cuba cakap Fawwaz nak cari yang macam mana. Senang pak long nak tolong screen test untuk kamu.”
“Pak long ni.”
“Sungguh la, kamu tu dah tua, dah kena kahwin. Takkan nak duduk bawah ketiak mama lagi. Waktu sekarang waktu bermanja dengan isteri bukan dengan mak. Kena faham dan ingat tu. Penting!”
“Nantilah Pak long. Ada jodoh nanti Fawwaz kahwin la.”
“Tak boleh berserah macam tu. Dekat kementerian tu berlambak anak dara Fawwaz. Tunggu pilih saja. Kalau dengan kamu ni banyak yang mahu. Kamu boleh pilih macam pilih baju.”
Fawwaz hanya mengiakan. Pak long bekerja dalam sektor yang ramai perempuan, jadi tak hairanlah kalau kenal ramai anak dara dan mak-mak dara. Tapi sungguh, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang jodoh.
“Nantilah.”
“Kalau nak nanti telefon pak long. Pak long carikan yang terbaik untuk Fawwaz.”
“Untuk Amir pak long tak carikan?” sengaja dia mengusik Encik Amir. Cukup-cukuplah bercakap tentang dia.
“Bagi dia belajar dulu. Jangan nak berangan nak kahwin selagi tak ada kerja tetap nak bela anak dara orang. Pak long tak mahu bela dia sekali dengan bini dia.”
Fawwaz hanya mengangguk. Bersetuju dengan pendapat paklongnya.
“Tak nak tidur sini ke Pak long?”
“Tak boleh la, ada kenduri sebelah rumah esok. Tak patutlah pulak nak tinggal macam tu. Kalau tidak memang nak lepak juga di sini, boleh ikut kamu ke ladang esok.”
“Tak sempat jumpa dengan abah la kalau macam tu. Abah pagi esok baru sampai sini. Fawwaz nak kena pergi ambil dekat pejabat abah.”
“Bukan rezeki nak jumpa dengan dia hari ni. Lain kali kami datang lagi tak pun kamu sajalah yang bawa dia orang ke sana. Bila lagi nak berjalan makan angin ke Perak.”
“InsyaAllah.”
“Along, tolong chat dengan kawan Mir kejap. Kesian dia bosan tak ada kawan nak sembang. Along pun bukannya ada benda nak buatkan.”
Amir sudah menghulur komputer riba pada Fawwaz. Sebelah tangan lagi sibuk memasukkan telefon bimbit ke dalam poket. Bimbang andai tertinggal nanti. Jangan harap abahnya nak berpatah balik kalau setakat tertinggal benda yang kurang penting tu.
“Tak naklah. Kawan Amir tu semua budak-budak. Mana masuk dengan kepala along yang dah tua ni.”
Tolak Fawwaz, apa barang sembang dengan budak-budak.
“Mana ada, yang ni confirm terbaik dari ladang. Kalau tak sebab abah dah nak balik mesti Mir nak sembang dengan dia lagi. Tolong eh.” Pujuk Amir. Masih berharap Fawwaz akan membantunya.
“Lelaki ke perempuan?” celah Encik Amin. Sejak tadi asyik mendengar tolak menolak antara Fawwaz dan Amir.
“Confirmlah perempuan. Kalau lelaki tak adanya Mir nak suruh along layan. Mana tau ada jodoh ke. ”
Menggeleng Fawwaz dengan gabungan dua beranak itu mengenakannya. Apa teruk sangat ke kalau masih membujang pada umur 33 tahun. Rasanya macam tak ada masalah sangat. Asalkan dia tak kacau orang cukuplah.
“Layan ajelah Fawwaz. Boleh juga dibuat kawan berbual daripada kamu duduk melangut depan tv tu.”
“Yelah, nanti along sambung.”
Fawwaz mengiakan juga. Malas nak dengar paduan pujuk memujuk anak beranak tu. Kalau tak masuk dengan hati nanti dia berhenti sajalah.
“Thanks.”
“Pergi panggil umi kamu Amir, kalau dibiarkan bersembang dengan mak cik kamu sampai ke subuh kita kat sini lagi.” Suruh Encik Amin bila melihat jam sudah semakin lewat.
“Baik bos.”
Lima minit kemudian Puan Fazilah beriringan keluar dengan Mak long Suria. Masih lagi bercerita entah apa. Nampak macam tak jumpa lagi titik noktah.
“Sudah-sudah la tu, nanti kita datang lagi. Jom cepat, makin lewat kita sampai ke rumah nanti.” Bebel Encik Amin bila isterinya masih bersoal jawab dengan Puan Fazilah. Banyak pula ceritanya malam ni.
“Balik dululah adik, bising betul mulut abang Amin kau ni. Tak boleh tengok kita sembang lama sikit.”
“Yelah, baik-baik memandu abang long.”
Kereta sudah melepasi pagar rumah bila kepala Amir terjengul dari tingkap. “Along, jangan lupa sembang dengan kawan Mir tu.” Pesan Amir, bimbang andainya Fawwaz terlupa dengan kakak Qisya yang masih ditalian.
“Yelah.”

Puan Fazilah hanya menggeleng melihat telatah Amir walaupun tidak faham apa yang dipesan pada Fawwaz. Macam-macam budak berdua ni.

Detak Jantung Dia (Bab 3): Aidah Bakri

Terukir indah wajahmu dewi
Meski sesat di hujung jalan
Gelap hari dibuai sepi
Sepi malam mimpikan bulan

“Perkataan silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi nikmat-nikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan.” Suara Abi Daud yang menerangkan asas maksud silat pada murid-murid baru hanya sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Titik tumpuannya saat ini tidak pada butir penerangan abi tapi pada sekujur tubuh yang terlihat jauh di hujung mata.
         “Hoi... resah saja malam ni, pasal?” tersentak dia dengan tepukan Firdaus dibahunya.
        “Okey saja. Macam biasa. Mana ada resah.”
        “Dengan aku jangan temberanglah. Apa yang menarik di hujung sana. Ada mahluk asing ke kat pondok tu?” soal Firdaus tanpa selindung. Bukan dia tidak perasan gerak anak mata Samir yang asyik terarah ke hujung sebelah sana. Sepertinya ada daya penarik yang telah mencuri tumpuan Samir.
            Samir ketawa perlahan. Firdaus begitulah selalunya. Tahu sahaja apa yang ada di benaknya. Sekilas anak mata bergerak pun dia tahu apa mahunya. Memang tak jalan kalau saja-saja bagi alasan.
            “Fokus kat abi... nanti tak fasal-fasal kena sembur.” Samir mengelak.
            Perbualan mereka terhenti bila abi mula menyambung penerangannya.
            “Seni silat ialah satu seni yang terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Pemulaan pelajaran seni silat dalam masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dalam kekuatan yang termampu.”
            Suasana sepi seketika. Ahli baru dalam gelanggang abi adalah seramai tiga puluh orang. Terdiri dari sembilan belas orang lelaki dan selebihnya perempuan. Rata-rata berusia antara sembilan belas hingga duapuluhlima tahun. Firdaus dan Samir sendiri sudah diangkat sebagai pembantu abi.
            “Kau nak kenal tak, aku boleh kenalkan.” Tanya Firdaus berbisik.
            Samir berdehem perlahan. Dirinya ditegakkan. Kedua belah tangannya saling bertindih, diletakkan di atas dadanya... selesa berpeluk tubuh. Nafas yang agak tersekat dengan ‘niat baik’ Firdaus, diatur kembali.
            “Ada-ada sahaja kau ni.”
            Hati mahu tapi mulut ditahan oleh rasa malu. Masakan mahu terus setuju dengan ‘niat baik’ sahabatnya itu. Harus pura-pura menolak terlebih dahulu.
            “Daripada kau curi-curi tengok macam tu, baiklah kenal-kenal. Manalah tahu dua-dua tersangkut... love  in a first sight. Aku mudahkan saja jalannya.” Usik Firdaus bersungguh. Jika mata sudah mencuri pandang begitu, pasti dalam hati ada rasa ingin. Apa salahnya dia menjadi orang tengah. Andai tersangkut... senang benar hatinya. Tidak jatuh ke mana adiknya itu nanti. Samir mempunyai pakej lengkap untuk menjadi calon ‘adik iparnya’. Beriman... dari keluarga baik-baik... mempunyai punca pendapatan yang baik dan bukan suami orang. Sesuai sangat dengan adiknya. Sesuai dengan adiknya yang tersembunyi malunya.
            “Samir... apa motto silat seni gayong kita?”
            Samir terpinga bila terasa rusuk kirinya disiku. Pantas dia menoleh ke arah Firdaus.
            “Abi tanya kau tu.”
            “Apa dia?” memang titik tumpuannya hilang diusik sesuatu.
            “Motto silat.”
           “Ooo... motto silat seni gayong ini adik-adik ya, ‘kata bersahut, gayong bersambut’... jangan lupa tu.”
          Anak matanya berpindah dari seorang ke seorang murid baru abi yang sedang berdiri dalam keadaan senang diri.
            “Murid gayong tidak mencari musuh tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh... berpantang mengundur walau selangkah.” Sambung Samir lagi.
            Abi melangkah menghampiri Samir lalu menepuk bahu kanan anak muda itu.
            “Bagus Samir. Masih merah apa yang telah dipelajari.” Puji abi.
            “Terima kasih abi.”
            “Baik. Gelanggang akan bermula sebentar lagi. Dengar sini baik-baik. Dalam gelanggang pun ada adabnya. Antara perkara yang perlu kamu patuhi semasa berada di gelanggang:
1. Tidak meludah
2. Tidak memakai alas kaki
3. Tidak bergurau senda
4. Meminta izin daripada guru gelanggang jika ingin keluar dari gelanggang
5. Menghormati rakan-rakan dalam latihan
6. Tidak makan dan minum ... dan semasa makan atau minum, bengkong, tengkolok dan sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok. Faham semua?” suara abi tegas memberi peringatan sesuai dengan ilmu persilatan yang ada didadanya.
            “Faham!” Sahut mereka serentak.
            Mereka mula bergerak mengikut arah yang diberi. Malam itu mereka akan belajar peringkat Tapak Gayong sahaja iaitu terdiri dari segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga senaman anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati di mana ada duapuluh satu buah tapak kunci mati bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.
            “Siapa?” sempat juga Samir membisik tanya sambil mengawasi pergerakan anak-anak murid abi. Firdaus ketawa perlahan. Faham sangat dengan jati diri sahabatnya. Jual mahal konon... hati mahu tapi malu.
            “Ingatkan tak berminat?”
            “Tanya saja.”
            “Bermula dari merisik khabar kan.” Sengaja menduga.
            “Kau ni, imaginasi tinggilah Firr. Tanya kadangkala tidak berserta tujuan. Tanya saja. Dah kau sendiri yang bukak cerita... aku layan ajelah.”
            Firdaus berdehem. “Adik aku.” Samir dijeling.
            Samir mengerutkan dahi. Kalau tidak silap dia, anak abi dan umi cumalah Firdaus seorang. Yang ramai itu hanyalah anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka. Dari mana datangnya adik Firdaus.
            “Sejak bila pulak ada adik?”
            “Ada. Memang ada.”
            “Tak pernah nampak pun sebelum ini.”
            “Jodoh dah dekatlah tu. Sebab tu baru hari ini kau nampak dia.”
            “Iyelah sangat. Macamlah aku teringin sangat berabang iparkan kau.”
            Firdaus melepas ketawa. Bahu Samir yang sudah berumur tigapuluh tahun namun belum pernah kedengaran ada teman wanita itu dipeluk mesra.
            “Mmm... memang tak boleh. Kau kan lebih tua dari aku. Mana boleh kau panggil aku abang. Abang Firr yang macam adik aku panggil.”
            Samir menyiku perut Firdaus sehingga temannya itu terdorong ke belakang.
            “Betul ke adik kau? Entah-entah....”
            “Betul adik aku.”
            “Okey.”
            “Tak nak tanya lagi?”
            “Malas. Lagipun belum ada kepentingan.”
            Sekali lagi Firdaus ketawa.
            “Cepat sangat give up. Sebab tu jadi bujang terlajak.” Selamba sahaja Firdaus mengutuk.
            “Weii... belum terlajak lagi. Kita ni lelaki... lagi matang lagi tinggi saham tau. Lagipun dua saja tahun lebih tua dari kau.”
Samir turut ketawa. Tidak terasa sedikit pun dengan kutukan Firdaus. Tahu sangat dengan perangai Firdaus. Mulutnya memang ‘busuk’ tapi hatinya ‘wangi’. Memang Firdaus dari keturunan yang ‘wangi’ hatinya. Lihat sahaja abi dan umi. Membina Darul Hannan semata-mata untuk menolong anak-anak yatim piatu yang tiada tempat berlindung. Tanpa biaya dari mana-mana pihak pulak tu. Abi dan umi hanyalah pesara pegawai kerajaan kumpulan sokongan. Kalau ada yang lebih pun, hanyalah beberapa ekar tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Kata abi, rezeki yang ada perlulah diagih dan dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Tidak ada yang menjadi papa kedana dengan memelihara anak-anak yatim.
            “Dia Afra.” Beritahu Firdaus tiba-tiba.
            “Afra? Siapa?”
            “Kita sedang bercakap tentang amoi yang kau bedah siasat tengahari tadi ke?”
            Firdaus meluru menghantar serangan namun tangkas dielak oleh Samir. Tangan kanan Firdaus ditangkap lantas dipulas ke belakang.
            “Afra.” Tubuh Firdaus ditolak ke hadapan.
            “Ya, Afra.”
            “Unik. Jarang dengar.” Renungan dari kejauhan sana pun unik... sambung hatinya.
            “Kau masih tangkas walaupun dah lama tak masuk gelanggang.”
            “Gerak langkah musuh dah sebati dalam diri aku. Setiap gerak dapat aku baca. Kau pukul curi pun... Insya-Allah dapat aku pangkas.
            “Dahlah... abi dah nak tutup gelanggang.”
            Mereka kembali ke kedudukan asal. Abi sedang memberi kata-kata penutup kepada murid-murid silatnya. Diselit juga kata-kata nasihat. Memang abi tak pernah jemu memberi nasihat. Pernah abi kata... sebarkanlah ilmu yang ada walau sedikit. Ia akan menjadi saham buat kita di alam sana nanti. Jangan tamak dan lokek dengan kelebihan yang DIA pinjamkan pada kita.  Mereka bersurai beberapa ketika selepas itu.
            “Tidur sini Samir? Sudah lama kamu tak bermalam di pondok abi.” Abi duduk di pangkin yang ada di bawah pokok manggis. Tempat kegemaran mereka untuk berkumpul selalunya. Duduk di atas pangkin sambil dipayungi rimbunan dedaun pokok manggis... sentiasa memberi nyaman buat mereka.
        “Eh, taklah abi. Dah janji dengan ibu nak keluar sama-sama esok.”
        “Iyelah. Pandu kereta tu baik-baik. Dah jauh malam ni.” Pesan abi.
        “Minta diri dulu abi. Salam saya buat umi ya. Assalamualaikum.”
        Samir bergerak ke keretanya selepas bersalam dengan Abi Daud. Firdaus mengekorinya dari belakang. Selalunya begitulah. Dia akan menemani Samir sehingga bayang kereta sahabatnya itu hilang dari pandangan mata.
            “Bila datang lagi?” tanya Firdaus sebaik sahaja pintu kereta dibuka Samir.
            “Kalau tak ada kes... hujung minggu ni.”
            Samir berjeda. Ada sesuatu di perdu hati, namun terasa malu untuk diluah dalam bentuk perkataan. Tapi kalau tak bertanya pada Firdaus... dari mana harus merisik khabar? Kata orang tua-tua... malu bertanya, jangan menyesal andai sesat di hujung jalan.
            “Afra.” Sebutnya tanpa diduga.
            “Malam tigabelas purnama.” Firdaus tergeleng-geleng.
Memang dasyat penangan adiknya. Baru nampak kelibat sudah tersebut-sebut. Yang lebih dasyat... disebut-sebut pula oleh Samir. Lelaki yang belum pernah membuka pintu hatinya untuk mana-mana perempuan. Lelaki yang kaku dan beku bila berhadapan dengan perempuan. Lelaki yang mengaku dadanya belum pernah bergetar bila dipandang oleh mana-mana perempuan.
            “Nak aku panggil dia?”
            “Janganlah ingat aku terdesak sangat.” Terasa malu pula.
            “Ooo... tak ye?” Firdaus sudah tersengih-sengih.
            “Ada jodoh... malam tigabelas purnama.” Samir berkata perlahan.

            Ya, malam tigabelas purnama... bisik hati Samir sambil menghidupkan enjin keretanya. Sebentar kemudian keretanya bergerak meninggalkan Darul Hannan. Firdaus ditinggalkan dengan dahi berkerut.