Monday 28 September 2015

Dona Karan Penang (Bab 4) ~ Fatihah Pauzihal

                “Mana Farah?” Bali mengjongketkan bahu menandakan dia tidak tahu.
            “Tadi dia kata nak balik dah,” Kak Jah duduk di atas kerusi bulat di ruang dapur, memerhatikan sahaja Bali mencicah biskut kering ke dalam mug yang berisi milo panas.
                “Nape kak?” Kak Jah diam. Dia tidak menjawab soalan yang diutarakan Bali namun mindanya sedang memikirkan sesuatu.
                “Camana exam results dia? Okay?” Bali mengangguk-angguk perlahan.
                “Okaylah pada kita orang ni. Dia kan ada otak ala-ala genius, walaupun dia tak pernah buat ulangkaji seteruk kita orang.” Bali memandang wajah Kak Jah yang seolah sedang memikirkan masalah negara itu.
Kenapa ni? Masalah apa pulak? Ish, ada masalah ke dengan budak Farah tu. Bali terfikirkan sesuatu. Kena buang Universiti ke budak Farah ni? Dia bertumbuk ke? Atau dia ada ciplak assignment mana-mana student, lepas tu kantoi kena tangkap, ke? Tapi rasanya, kasar-kasar dia pun, tak adalah sampai nak buat semua benda tu. Ke, kena tangkap khalwat? Dengan jantan mana pulak? Ish, merapu dah aku ni. Tiba-tiba dia teringatkan kenalannya sama satu kursus yang di tangkap khalwat dengan teman lelakinya juga dari kursus yang sama di kafetaria Indah, semester lepas. Kenalannya tu, dari luaran nampak baik sangat, lemah lembut dan ayu. Sentiasa memakai baju kurung dan memakai cekak rambut warna senada baju. Semua orang respect couple tu, sebab, tak pernah di lihat berdua-duaan walaupun satu kuliah. Semua orang tahu mereka tu ‘couple’ pun sebab terdengar ura-ura mereka nak bertunang. Apa lagi, satu semester di gantung pengajian! Itu tak di kira betapa malunya mereka sebab semua orang tahu bagaimana keadaan mereka semasa di tangkap! Astagfirullahalazim, minta simpanglah....
                “Tak... mmm tak apalah. Kak Jah nak mandi dulu. Kalau Farah balik cakap kat dia, akak nak cakap dengan dia sikit ya,” Bali mengangguk lagi dan memandang lenggok Kak Jah yang berjalan masuk ke biliknya.
Sekeping lagi biskut diambil lalu di cecah ke dalam milo susu yang masih berasap. Sekeping demi sekeping hinggakan dia mula sendawa, barulah dia berhenti menyuap. Tak tahulah dekat mana dia sumbat semua makanan-makanan yang masuk ke dalam perutnya. Tubuh dia kecil saja, berat badan pun tak sampai 45 kg, tapi, dia asyik makan sahaja, tak kira masa. Itu yang membuatkan kawan-kawan serumah yang lain cemburu dengannya. Walhal, kalau nak dikatakan dia bersukan, baiklah si Zurin yang hantu tidur tu, adalah juga nak berjoging sekali seminggu. Dia... huh, berjalan kaki dari tempat meletak motosikal ke dewan kuliah, dan berjalan kaki dari tempat meletak motosikal ke lif apartmen mereka. Itu sajalah senaman yang dia buat!
                “Woi,”
Bali mendongak. Apalah main sergah-sergah. Bagilah salam.
                Farah duduk di kerusi yang di tinggalkan kak Jah beberapa minit yang lalu. Tanpa bertanya dia mengambil mug di hadapan Bali dan meneguknya perlahan.
                “Fuh, kau buat milo campur nestum ke?”
                “Tak, itu serdak dari biskut yang aku cecah tadi,” Oooo...  Farah kembali meneguknya hingga habis. Sedap juga, walaupun berserdak!
                “Kau dari mana ni?” Farah membuka tudung warna hitam kegemarannya dan mengemaskan ikatan rambutnya yang sudah hampir terlerai.
                “Dari tasik,” Tasik? Mimpi apa Farah pergi tasik di belakang Desasiswa Harapan tu?
                “Buat apa?”
                “Dating sambil bagi tung tung makan!” Selamba saja dia menjawab, kemudian dia bangun dan berjalan menuju ke arah biliknya. Dating? Dengan siapa? Takkan dengan Jandur kot!
                Bali bangun, mengambil mug yang ditinggalkan kosong oleh Farah tadi, kemudian menuju ke sinki.
                “Bali!” Hampir terlepas mug dari tangannya bila satu tangan memegang bahunya secara tiba-tiba.
                “Apa? Kau ni kalau tak bagi aku terkejut monkey macam ni, tak boleh?” Farah ketawa besar. Aik? Farah ketawa terkekeh kekeh? Rasanya dah enam bulan Farah tak ketawa besar macam ni lepas peristiwa dia di tipu oleh Jandur. Sejak semester baru ni, lain macam ceria si Farah. Mungkin cuti yang panjang di kampung dapat menenangkan jiwanya.
                “Monkey terkejut macam kau ni ke?” Soal Farah. Bali mencebikkan bibirnya lalu menyangkut mug yang baru di basuhnya ke rak pinggan mangkuk.
                “Tadi aku jumpa dengan ‘Gajah Gila’!” Gajah Gila?
                “Kat mana? Terlepas dari zoo ke?” Dengan wajah terkejut yang dibuat-buat, Bali membuntangkan matanya. Malas dia nak melayan sangat karenah perempuan ni.
                “Kat tasik lah beb! Memang betullah macam gajah, tapi tak adalah gila, crazy sikit-sikit je,” Apa yang dimerepekkan oleh Farah ni?
            “Kau cakap apa ni?”
Farah ketawa lagi, kemudian dia berjalan pantas menuju ke biliknya dengan tawa yang masih bersisa. Bali mengelengkan kepala perlahan tanda dia tidak faham dengan perangai sahabat baiknya itu. Kemudian, dia menepuk dahinya sendiri.
Dia lupa nak memberitahu Farah yang kak Jah nak jumpa dia!
********************************************************************************************

                Farah melangkah laju menuju ke apartmen yang dihuninya bersama rakan-rakan seuniversiti.
                “Tak singgah ke hari ni?” Farah mendongak. Dia senyum dalam paksa.
                “Tak, dah beli bungkus nasi kat kafe tadi,”
Dia mengangkat sedikit plastik yang berisi nasi bungkus yang dibelinya di kafetaria desasiswa Cahaya tadi kearah tiga orang pemuda yang dikenali sebagai abang-abang ‘Ca’, sedang mengangkut kerusi dan meja. Sedang bersiap sedia untuk membuka gerai roti canai di hadapan apartmen Desa Universiti. Fini yang mula-mula menggelarkan mereka dengan nama abang ‘Ca’. Maksudnya, abang jual roti canai. Ringkas dari perkataan ‘Canai’. Arghhh... Fini, pandai sungguh dia kalau bab memberi gelaran  nih!
                “Tu, untuk petang. Malam nanti, datang lain, no!” Farah mengangguk sekadar mengambil hati dan dia meneruskan perjalanannya.
                Dia menyeka peluh di dahi. Hari ini dia terpaksa menapak sejauh lebih 3 kilometer naik turun bukit. Macamana motosikalnya  boleh rosak, dia pun tak tahu. Start tak nak hidup. Sakit habis betis keringnya menyentak pedal motosikal tadi. Mujur ada Shamir yang gila-gila bahasa tu. Boleh juga menolong hantarkan ke kedai. Ada gunanya juga ada saudara mara kat sini. Kalau dia tak mahu menolong tadi, siaplah dia menadah telinga,  bila Farah ceritakan pada kakak iparnya nanti.
                “Assalamualaikum!” Farah berpaling. Seorang lelaki dengan topi keledar masih menutup muka menyapanya sebelum sempat dia melangkah masuk ke dalam pintu pagar Desa Universiti.
                “Waalaikumussalam!”
                “Dik, student USM ke?” Farah diam. Dia berkira-kira seketika. Kalau dia mengatakan ya, tentulah mamat ni nak minta tolong panggilkan makwenya kat Apartmen Desa Universiti ni. Comfirm dah ni! Selalu je kes macam ni berlaku. Selalunya dia tolong juga, tapi hari ini dia tiada mood. Dia hanya memandang ke arah lelaki itu dengan wajah tanpa perasaan. Dia sangat letih jadi dia tiada rasa untuk beramah mesra.
                “Tak, saya kerja kilang!” Lelaki yang hanya kelihatan separuh dari wajahnya iaitu mata dan bahagian atas hidung itu hanya  terdiam, mungkin terkejut dengan kata-kata gadis di hadapannya.  Macam nak marah pun ada.
                “Saya tak kenal mana-mana budak USM kat sini. Maaf ye,” Sebelum sempat lelaki itu berkata lanjut, Farah sudah memintasnya, kemudian dia berjalan pantas masuk ke kawasan apartmen. Lelaki yang masih berada di atas motosikal besar itu hanya termangu-mangu di situ.
                Sampai sahaja di tingkat lapan, Farah menjengukkan kepala ke bawah. Lelaki itu masih di situ. Siapa ya? Tak pernah nampak pun sebelum ni.  
*******************************************************************************************

                “Kau dari mana ni Fini? Jumpa Ah Chong ke?”
Bali yang sedang mengunyah kacang dengan tangannya ligat menulis sesuatu di atas kertas kajang, menjeling sekilas kearah Fini yang baru saja menutup pintu bilik.
                “Tak, Ah Chong tak datang minggu ni. Dia kena out station.” Bali mengangguk-angguk perlahan namun tangannya sama ligat dengan mulutnya, bekerja!
                Ah Chong! Itu nama panggilan rakan serumah kepada tunang Fini. Jangan salah faham. Ah Chong tu bukannya berbangsa Cina. Muka pun tak ada iras-iras Cina. Apatah lagi tinggal di negeri Cina. Dia tiada jiran berbangsa Cina. Atau pun dia suka makan masakan Cina! Namanya menjadi Ah Chong sebab, dia berasal dari Puchong, Selangor!
Masa Fini mula-mula berkenalan dengan Ah Chong melalui laman sembang MIRC tu, selama tiga bulan mereka saling tak mengetahui nama masing-masing. Yang Fini tahu, budak tu berasal dari Puchong. Itu yang dia panggil Ah Chong. Sampai sekarang pun rakan serumah Fini tak tahu nama sebenar sebab asyik panggil Ah Chong saja! Allah temukan jodoh mereka di alam siber, maka sebaik saja mereka bertemu muka sebanyak dua kali, terus Ah Chong menghantar rombongan meminang. Risau jika Fini terlepas ke tangan orang lain. Tak tahulah macamana Ah Chong tu boleh jatuh hati dengan Fini yang suka buat perkara yang tak pernah terfikir untuk di buat. Contohnya seperti memberi gelaran pada orang-orang tertentu. Atau pun suka menegur orang-orang tertentu tanpa sebab. Atau pun juga suka mencari pasal dengan orang-orang tertentu tanpa sebab! Tapi... ada beberapa  perangai dia yang payah sikit nak jumpa pada zaman ni. Dia suka tolong kawan. Dia juga berterus terang. Kadang-kadang terlalu berterus terang!--
                “Habis tu kau jumpa siapa tadi?”
Fini merebahkan badannya ke lantai marmar yang dingin.
                “Paksu aku. Dia kata berapa kali dia round kawasan rumah kita nak cari orang tolong panggilkan aku. Tapi semua orang buat tak endah saja. Ada sorang Minah tu, siap tipu kata dia kerja kilang, bukannya student. Mana ada orang kerja kilang kat apartmen kita ni kan?” Bali mengangguk lagi. Ye lah apartmen berhampiran Universiti tentu sekali mahal harganya. Kebanyakan tuan punya apartmen meletakkan harga sewa antara RM800 hingga RM1000 bagi setiap unit. Penyewa kebanyakannya terdiri dari pelajar universiti, pensyarah dan ada juga beberapa orang jurutera kilang. Tuan punya apartmen pula adalah terdiri daripada tauke-tauke perniagaan yang biasanya membeli hartanah dan bangunan untuk dijadikan sebagai aset mereka.
                “Naper dia tak telefon?” Fini mencebikkan bibirnya ke arah Bali yang semakin khusyuk mengunyah kacang.
                “La, kan telefon rumah kita rosak!”
                “Handphone kaulah. Kan Ah Chong ada bagi handphone kat kau ari tu?”
                “Dah rosak. Jatuh kat tangga belakang Desa Fajar tu. Kan tangga tu curam. Aku pulak kalut nak pergi makmal kat PP Sciences Maths (Pusat pengajian Sains Matematik) tu, ada disscussion pasal project work final year. Walaupun doktor Ahmad Majid tu baik, tapi aku segan kalau asyik lambat je. Kau bukan tak tahu kalau dia bagi senyuman ajaibnya tu. Dia tak bagitahu pun aku faham, dia senyum perli dan penuh bermakna!” Terang Fini panjang lebar.
                “Tapi, kau jangan gatal-gatal mulut bagitahu Ah Chong. Aku dah tipu tahap A tambah tambah, kata aku tertinggal kat kampung handphone tu,” Bali angkat tangan kanan, seolah mengangkat sumpah untuk tidak membocorkan rahsia.  Bali kembali menulis sesuatu di kertas. Sesekali dia menekan kalkulator di sisinya.
                “Kau buat apa tu?” Fini yang rasa terganggu bila melihat Bali sedang khusyuk, mula bangun dan merapati sahabatnya.
                “Tutorial Aljabar Linear II, ni. Yang Doktor Koh bagi tiga empat hari lepas. Peninglah kepala aku. Jawapan yang aku dapat tak sama langsung dengan jawapan sebenar. Iras-iras pun tak dak.”
                “Susah apa, kau  jikplak  je yang Farah punya. Aku rasa dia dah siap. Semalam aku nampak dia letak kat atas komputer dia kat depan,” Selamba saja Fini menjawab. Sebenarnya, dia pun sudah siap menyalin a.k.a meniru penyelesaian tutorial yang diberi oleh Doktor Koh itu, pagi tadi. Aljabar Linear II, adalah subjek wajib untuk pelajar yang mengambil jurusan Sains Matematik, Matematik Gunaan, Sains  Pendidikan Matematik dan apa sajalah jurusan yang ada nama ‘Matematik’!
                Mereka mengambil aliran yang sama, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Matematik. Yang berbeza hanya kursus major dan minor. Bali dan Fini dalam Statistik manakala Farah dan Zurin dalam Pemodelan Matematik dan Pemodelan Komputer. Itu nama baru bagi kursus major mereka. Kalau dulu, ianya dikenali sebagai Reka Bentuk Grafik Berkomputer (RGBK) yang banyak menggunakan pendekatan matematik dan grafik komputer. Kursus minor pula mereka boleh memilih dari kursus-kursus major yang lain dalam bidang yang berkaitan dengan kursus major. Contohnya, Fini dan Bali mengambil ‘Pengurusan’ sebagai kursus minor, memandangkan mereka mungkin akan memulakan kerjaya di kilang-kilang. Zurin pula mengambil kursus minor dalam ‘komunikasi massa’. Kononnya dia bercita-cita untuk bekerja dengan TV3! Farah pula mengambil ‘Sains Komputer’ sebagai kursus minor kerana baginya Grafik tentu sekali berkaitan langsung dengan penggunaan komputer!
                “Tak mahulah. Aku dah berjanji dengan diri aku sendiri. Final year  ni, aku nak buat semua soalan tutorial sendiri,” Fini gelak kecil. Ye lah tu... paling lama, pagi esok sebelum mula kelas tutorial, pasti Bali akan kelam kabut menyalin jawapan dari dia! Confirm!  
                “Eh, jap! Tadi kau kata, Paksu kau datang. Pehal? Sapa budak pompuan kerja kilang yang dia cakap tu? Paksu kau dah kahwin ke belum? Handsome tak?”
Fini malas nak melayan soalan bertubi-tubi dari Bali lalu dia berpaling dan berjalan menuju ke tandas bilik utama yang dihuni mereka. Belum sempat dia membuka pintu tandas, ianya sudah terbuka sendiri. Mata Fini terbeliak, terkejut mungkin!
                “Kau tiru tutorial aku? Dah lama buat kerja macam ni?” Hah!
 Wajah Farah tersembul di balik pintu. Masam mencuka. Fini tersengih panjang, cuba menyembunyikan perasaan malu akibat ter’kantoi’ dengan Farah namun kemudian, dia teringatkan sesuatu.
                “Dah lama kau kerja kilang?” Farah mengerutkan dahinya. Kerja kilang?
Ish, ni mesti budak motosikal besar tadi beritahu? Siapa dia? Siapa dia dengan Fini?

Wednesday 23 September 2015

Lilin (Bab 4) ~ Ainul Farihah

2014.
ASRAMA PUTERA. 8.02 AM.
“Woi….”.
Seruan itu kedengaran di telinga. Serentak itu, dirasakan bantal mendarat di belakang badannya. Zuhair buat tidak tahu meskipun dia sudah dengar kekecohan yang terhasil kerana rakan-rakannya semuanya sudah bersiap untuk ke sekolah.
“Bangun la woi…” Suara Aliff  kedengaran betul-betul di sebelah telinganya.
Malas-malas, dia menoleh ke arah lain tanpa mencelikkan walau sebelah matanya. “Awal lagi, Pang….”.
“Kepala otak kau awal lagi,” Aliff kini sudah berdiri sambil tuala yang tadinya tersangkut di bahu kanan dilibaskan perlahan pada Zuhair.
“Kau ni…” Seseorang menyapa sambil memegang bahu Aliff, namun kemudiannya ketawa. Aliff cuma menjeling, tahu siapa yang hadir di belakangnya itu. Dia tunggu temannya itu menamatkan tawanya tanpa menyampuk.
“Pukul 8 tu memang la awal,” Acad ketawa lagi. “Awal bagi dia…”. Telunjuk dihalakan pada Zuhair yang langsung tidak bergerak sedari tadi.
Aliff sengih. “Aku ingat bertaubat dah dia ni lepas kena berdiri depan perhimpunan Isnin lepas,”.
“Macam kau tak kenal pula dia ni..” Pa’an pula melangkah masuk sambil mengeringkan rambutnya menggunakan tuala, baru sahaja selesai mandi. “Kau tu bacin la, pergi mandi sana,”.
“Kurang ajar, kau,” Aliff sengih sambil buat muka tidak bersalah. Dia memandang sekeliling dorm yang menjadi lubuk pelajar tingkatan 5 sepertinya. Tiga orang sudah selesai mandi, kini sedang bersiap memakai pakaian seragam sekolah. Hanya tinggal dirinya dan dua orang sahaja lagi yang masih malas-malas menghadap locker pakaian masing-masing.
…dan hanya Zuhair seorang sahaja yang masih belum bangun.
“Hari ni subjek pertama apa?”
“Kelas aku Bio… sebab tu aku lambat-lambat ni…”.
“Aku tanya budak kelas Rusyd la… Budak kelas Khawarizmi diam..”.
“Hoi…diam…diam…Aku nak tidur ni....” Suara Zuhair yang dibuat garau dan dikuatkan membuatkan mereka di situ memperlahankan suara masing-masing. Bicara mereka masih kedengaran, cuma kali ini semakin perlahan. Sama ada semakin perlahan atau Zuhair yang merasakan dirinya kembali mengantuk.
Hanya tiga saat yang diambil sebelum dia kembali terlelap selena-lenanya.
****



“Pang,”.
“Hmm…” Aliff mengangkat tangan malas-malas, menyahut seruan Hanif si ketua kelas yang sedang mengambil rekod kehadiran pelajar kelas 5 Razi tersebut. Sebelum pukul 9 pagi setiap hari, rekod kehadiran perlu dihantar segera ke pejabat.
“Umar,”. Hanif menjeling, memastikan Umar mengangkat tangan.
“Pa’an,”.
“Ada..”. Tangan yang diangkat segera diturunkan.
“Todak,”.
Diam.
“Ahmad Syafi’e…”. Hanif mengulang panggil nama orang yang sama, cuma kali ini diserunya nama sebenar Todak. “Belum datang?”
“Dia ada dekat kelas sebelah,” Seorang pelajar lelaki yang baru sahaja melangkah masuk terus bersuara. Hanif mengangguk, menanda kehadiran Todak yang dikira sebagai hadir. Senarai nama itu diperhatikan. Sudah hampir lengkap. Tinggal lagi satu nama sahaja. Satu nama diraguinya akan mencacatkan rekod kehadiran pada setiap hari.
“Zuhair,” serunya.
Sepi.
“Zuhair Amir…”.
“Bising la..” Umar lekas memotong. “Kejap lagi dia datang la tu, macam biasa. Tanda je kehadiran dia,”.
Hanif menghela nafas, menjulingkan mata. Saban hari begitulah kisahnya. Ada kalanya dia sendiri tidak akan menyebut nama itu, terus sahaja menanda. Setakat ini, jarang sekali Zuhair tidak ke sekolah. Kalau nak tahu ponteng tak ponteng, tengok geng dia. Kalau Pang, Pa’an, Acad dan lain-lain ada di sekolah waktu kehadiran diambil, itu bermakna Zuhair akan hadir ke sekolah.
Zahid Arrazin pula diam tanpa bersuara, memerhatikan suasana kelas yang agak meriah dek kebisingan yang melanda. Kelibat Cikgu Mazita yang sepatutnya masuk untuk mengajar subjek Sejarah di pagi hari itu masih belum kelihatan. Dia pun macam blur juga pagi-pagi macam ni. Malam tadi pun tidur agak lewat.
“Hui..” Afiq Hadri yang baru sahaja tiba menanggalkan beg silang jenama Converse, meletakkannya di atas meja. Tempat duduknya bersebelahan dengan Zahid.
“Dari mana?”.
“Bilik disiplin,” ujar Hadri.
“Ouh,” Zahid mengangguk. Hadri merupakan ketua pengawas asrama, dan dirinya sendiri juga merupakan ahli Majlis Tertinggi barisan kepimpinan pengawas sekolah. Kesibukan adalah perkara biasa. Urusan itu, urusan ini. Urusan sekolah mahupun asrama.
Tidak semena-mena Hadri membongkokkan badan ke arahnya dan berbisik, “Cikgu Norhayati dan Ustaz Rashid nak round asrama putera waktu rehat nanti,”.
Wajah Zahid langsung tidak menunjukkan sebarang respon melainkan kepalanya mengangguk. Waktu rehat memang waktu yang paling gemar pelajar asrama putera pulang ke asrama dengan sesuka hati. Walhal menjejaki kawasan asrama sewaktu sesi persekolahan adalah suatu kesalahan melainkan dengan izin atau alasan munasabah.
Dua guru merangkap warden nak round asrama…. Mujur bukan Cikgu Roha, si ketua warden.  Itu pun belum kira kalau kena heret dalam bilik disiplin lagi. Duo sang singa menanti. Teacher Mahani dan Cikgu Salwa. Zahid sengih memikirkan hal itu. Sengih yang menutup resah.
Seketika, matanya menjeling ke arah jam di dinding. Lepas subjek Sejarah adalah waktu rehat. Tiba-tiba hati mengharap agar Cikgu Mazita tak masuk kelas Sejarah hari itu. Tapi biasanya masuk….
****



ASRAMA PUTERA. 10.04 AM
“Aaauuh…” Zuhair menguap lebar. Mata dikesat beberapa kali. Tangan dijulurkan dari bawah selimut, mencapai jam tangan Casio miliknya. Melihatkan waktu tika itu adalah waktu biasa dia betul-betul bangkit dari lenanya, malas-malas posisi baring meniarapnya ditukar pada baring menelentang menghadap siling.
Kipas yang berputar betul-betul di atas kepala ditatap dengan minda dan fikiran yang kosong. Pendek cerita, baru bangun tidur memang terus masuk mood ‘blurr’ tahap giga. Anak matanya kemudian menjeling sekeliling dorm yang kini sudah sunyi sepi.
Semuanya telah menjadi kebiasaan sejak menjejakkan kaki alam tingkatan 5 ini. Bulan ini sahaja sudah bulan April, bererti sudah hampir empat bulan dia dan teman-temannya menjalani pagi mereka seperti pagi itu. Hanya sekali sekala mereka akan ke sekolah awal seperti pelajar lain.
Sama ada bila dikerah dengan bersungguh oleh pengawas ataupun setelah dikenakan tindakan disiplin. Itu pun bertahan seminggu. Pengawas pun dah jadi tak menang tangan nak melawan keliatan mereka dalam bersiap awal untuk ke sekolah. Itupun teman-temannya yang lain punya lambat ke sekolah tu kira boleh tahan. Setakat terlepas perhimpunan pagi dan subjek pertama tu kira okey lagi.
Dia? Lepas rehat pagi baru nampak muka di kelas.
Derap kaki yang kedengaran menyusuri koridor tersebut menarik perhatian Zuhair. Dahinya berkerut serta merta. Siapa lagi yang baru bangun seperti dirinya? Sewaktu terjaga pukul lapan tadi, serasanya semua rakan-rakannya telah pun bersiap.
Paling-paling yang biasa mengantuk terlebih dan bangun lambat seperti dirinya pun cuma Umar. Dalam kekecohan ‘awal’ pagi tadi, sempat juga dia mencuri pandang rakan-rakannya yang sedang bersiap. Umar pun dah siap pakai uniform sekolah.
Siapa pulak dah….
“Assalamu’alaikum…” Persoalannya terjawab saat satu suara memberi salam menyapa. Zahid melangkah masuk ke dalam dorm lalu berjalan menuju ke arahnya.
Haish…sibuk pulak dah pengawas seorang ni… Zuhair tepuk dahi, buat muka tidak senang. Zahid kini berdiri betul-betul di hadapannya. Zuhair pandang tempat lain, buat-buat tidak sedar akan kehadiran manusia yang satu.
“Baru bangun?”.
Dah tu?? Zuhair menjulingkan mata ke atas. “Nak ambil nama aku ambil je la, tak payah tanya soalan bodoh macam tu,”.
Nama dicatat pengawas bukan lagi perkara yang besar. Zuhair Amir bin Amran. Siapa yang tidak kenal dengan nama itu disarankan supaya semak balik nama pada pejabat sekolah, takut-takut tersalah masuk sekolah pagi tu sebab gelabah nak pergi sekolah.
“Aku bukan nak ambil nama kau lah,” Zahid menafikan. “Aku nak kau bangun bersiap pergi sekolah sekarang,”.
Aaaah…” Zuhair meningkah. “Semua pengawas macam tu,”. Agaknya memang Zahid bertugas untuk pantau asrama waktu rehat macam ni, sebab itu dia dihalau supaya ke sekolah sekarang. Eh? Tapi Zahid pengawas sekolah, apa kena mengena dia dengan asrama walaupun dia juga penghuni asrama?
Zuhair berkerut. Curi-curi dia pandang jam tangan. Belum waktu rehat….
“Aku serius, Zuhair. Siap sekarang,”.
Zuhair duduk sambil matanya memandang tajam tepat ke arah wajah Zahid.  “Kenapa tiba-tiba je ni?”. Walaupun sebelum ini dia sedar Zahid selalu sahaja memihak kepada dirinya jikalau dia disabitkan dengan apa-apa kesalahan disiplin yang kecil, kebaikan Zahid pada dirinya tetap dibuat tidak endah.
“Ustaz Rashid nak round asrama kejap lagi,” Zahid menyeluk tangan kanan ke dalam kocek seluar sementara matanya memandang ke arah jam tangan di pergelangan tangan kirinya. Dia hela nafas sambil membalas pandangan tajam Zuhair. Mata Zuhair jelas sedang memikirkan sama ada berita itu benar ataupun palsu.
“Kenapa aku perlu percaya?” Entah-entah saja nak buat aku siap pergi sekolah…. Suara dalam hati mula membuat sangkaan kotor. Suara jahat itu juga yang menafikan bahawa mata Zahid langsung tidak menunjukkan tanda-tanda berita yang dibawakan itu rekaan semata-mata.
“Sebab aku balik asrama untuk kejut kau semata-mata,”. Zahid berkata. Nasib juga menyebelahi dirinya apabila harapannya tercapai. Cikgu Mazita tak masuk kelas Sejarah. Dia pun lekas minta izin Hanif nak keluar sekejap dari kelas. Mujur juga Hadri tak tanya macam-macam. Kejap lagi kena tanya la tu…
Zuhair sengih mengejek secara automatik. “Itu pun aku kena percaya?”.
“Terpulang…”.
***



Malas-malas, dia melangkah masuk ke dalam kelas yang sunyi sepi. Sangkanya sunyi sepi itu bererti tiada orang dalam kelas sebab semuanya turun rehat. Maka dengan muka bangun tidur dia mengheret kaki melangkah masuk ke dalam kelas.
Langkahnya hampir mati tatkala melihat Teacher Sophia si guru kelas sedang asyik membaca sesuatu di meja guru. Namun riak wajahnya di kekalkan selamba tanpa mempamerkan sebarang riak. Dengan beg sandang yang dibawa dengan sebelah bahu dia melangkah menuju ke tempat duduknya.
Lepas ni subjek Bahasa Inggeriskah? Suara dalam hati bertanya. Teacher Sophia ni memang jenis suka masuk kelas awal kalau waktu sebelum subjeknya adalah waktu rehat. Mengendahkan persoalan itu, Zuhair menarik kerusi lalu duduk. Roti Custard yang berada dalam genggaman menjadi sarapannya pagi itu. Baru sahaja dibeli di koperasi.
Good morning, Zuhair,” sapa Teacher Sophia dengan senyuman, tanpa memandang ke arahnya.
“Hmmm…” jawab Zuhair dengan anggukan dua kali. Bungkusan roti di tangan dikoyakkan.
Sepi menyelubungi. Kunyahan roti itu pun dengan kadar yang lambat dan perlahan, semacam telah di-set-kan dengan pergerakan slow motion. Kepala otak ternyata masih kosong. Bukan kali pertama disapa seperti itu.
Itupun kira baik lagi. Kalau dengan cikgu lain, memang kena bebel habis-habis. Teacher Sophia waktu awal-awal tahun dulu bebel juga, tapi dalam bahasa inggeris. Sudahlah telinga Zuhair jenis kebal bebelan, lagi-lagi kalau kena dengan bahasa asing yang memang payah otak nak terjemah, memang laluan dari telinga kanan ke telinga kiri tu ibarat terowong lurus dan licin. Senang masuk, senang keluar balik.
I almost thought that you will be caught by Ustaz Rashid or Cikgu Norhayati, Zuhair,” Teacher Sophia bersuara lagi, kali ini memandangnya. Zuhair buat-buat tidak nampak, tapi mengangguk sebagai respon.
“Alhamdulillah…” Zuhair buat thumbs-up. “I save…” Amek kau…Bahasa inggeris kemalangan dia hentam.. tunggang langgang walaupun cuma dua patah perkataan. Sekali dengar macam ayat tergantung, tapi sungguhlah direct translate punya jawapan.
Teacher Sophia dengan sengih yang tertahan-tahan menggeleng.
Sunyi kembali menguasai. Dalam fikiran Zuhair, terbayang suasana ketika Zahid datang ke dorm semata-mata hendak menyelamatkannya dari ditangkap oleh guru-guru yang bertugas meronda kawasan asrama. Mujur juga dia tidak begitu degil nak ikut kepala sendiri, kalau tak memang nahas.
Nasib baik juga dia guna jalan belakang untuk keluar dari kawasan asrama menuju ke surau sekolah. Zahid pula terus menghilang setelah memastikan dirinya bangkit dari tidur, setelah memberinya pilihan sama ada hendak mempercayai amaran Zahid atau tidak. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke blok tingkatan lima, matanya menangkap kelibat Ustaz Rashid berjalan menuju ke kawasan asrama putera. Serentak itu, loceng yang menandakan waktu rehat berbunyi.
Begitulah kisahnya.
Baru sahaja fikiran mahu berbolak balik memikirkan kenapa Zahid selama ini kisah tentang dirinya, satu suara dalam kepala membentak keras supaya dia mempedulikan pengawas yang seorang itu. Bukannya pernah kenal rapat pun sejak masuk ke sekolah ini. Dia mula betul-betul kenal Zahid pun waktu di tingkatan empat, bila terjadinya perang besar antara barisan pengawas dengan Zuhair.
Zahid, pengawas. Tiada apa yang lebih lanjut yang dia tahu mengenainya. Malas nak ambil tahu.
****



BILIK GURU. 2.45 PM
“Apa nak jadi lah dengan si Zuhair ni…”. Suara keluhan itu menarik perhatian Teacher Sophia. Mula-mula dia buat tuli sebab dah biasa sangat nama Zuhair disebut-sebut dalam bilik guru itu. Sudah bertahun-tahun gamaknya. Tak payah sebut nama penuh, semua tahu kalau keluhan membabitkan nama Zuhair adalah merujuk pada Zuhair Amir.
Diikutkan, dia sendiri baru sahaja menjadi guru bahasa inggeris di sekolah itu tiga tahun lepas. Waktu mula-mula masuk dahulu, pernah juga dengar nama Zuhair Amir disebut-sebut, cuma disebabkan waktu itu Zuhair baru sahaja tingkatan dua, maka namanya tenggelam dengan nama senior-senior taraf taiko zaman itu.
Sewaktu Zuhair di tingkatan empat, barulah dia mengenali siapa Zuhair Amir kerana dia mengajar kelas 4 Razi ketika itu. Mengenali diri dan attitud pelajar tersebut. Tahun lepas dia akui dia sangatlah tidak betah melihat perangai Zuhair. Kerana itu dia tidak hairan nama Zuhair makin galak menjadi sebutan para guru di bilik guru.
Tahun ini, dia diamanahkan sebagai guru kelas 5 Razi, kelas Zuhair.
“Zuhair Amir?”.
“Zuhair mana lagi….”.
“Dia buat apa lagi?”.
“Kerja sekolah dia ni la… satu dua soalan je berjawab….”.
“Hari tu pun dia masuk kelas saya lambat, kak…Selamba je muka..”.
“Okey la tu dia masuk. Kelas saya pagi-pagi, memang susahlah nak tengok batang hidung budak tu..”.
Teacher Sophia buat tuli lagi sambil menghela nafas berat.
 Zuhair Amir…
Zuhair itu manusia yang cacat cela dalam peribadinya memang ramai sudah maklum. Itu silap dirinya sendiri. Hakikatnya, semua kini hampir lupa, guru juga manusia. Manusia yang dimuliakan kerana amanahnya.

Amanah…

Tuesday 22 September 2015

Fiy Square (Bab 5) ~ L

A-HA! Dia tengah online.
Hmm, nak tanya ke tak? Afiy sedang mengetuk-ngetuk meja belajar dengan jemari kanannya sehingga menghasilkan satu irama. Sejenak kemudian dia membuat keputusan untuk bertanya.

Inche_Fiy: Fiyya, aku nak tanya ni.
Cik_Fiy: Tanyalah. Macam kau tak biasa dengan aku pula sampai kena minta kebenaran nak bertanya.

Sambil itu, Fiyya sedang mencecah biskut kering yang dipatah dua ke dalam tea o panasnya. Kemudian disuap ke dalam mulut. Sambil studi, sambil melayan YM pada Acer, supper dicari, buat kunyah-kunyah di tengah malam.

Inche_Fiy: Siapa eh cinta pertama kau?

Membuntang mata Fiyya. Serta-merta dia tersedak biskut kering yang sedang dikunyah. Terbatuk-batuk dibuatnya. Cepat-cepat dia mengambil botol mineral besar di depan mata. Penutupnya dibuka kalut. Air mineral diteguk laju bagi melegakan tekak yang terasa perit.
Dalam masa yang sama, ada mesej lagi daripada Afiy.

Inche_Fiy: Lamanya kau ambil masa nak jawab soalan cepumas aku tu. Kenapa? Aku ke jejaka itu? *sengih sambil angkat kening*

Fiyya sudah ternganga lagi, terlopong, terbeliak dan seangkatan dengannya. Kedua-dua pipi mula bertukar rona. Hangat! Seiring dengan jantung yang berdetak hebat. Dia terbatuk-batuk lagi. Dada ditepuk-tepuk. Lampu amaran mayday! mayday! dah bernyala di atas kepala. Entah-entah dia cinta pertama kau? Tak pun, kau pun cinta pertama dia. Kata-kata Nysa tempoh hari. Kan ada yang dah beri kenyataan tak rasmi tu.
Apabila sudah reda sedikit batuknya, baru dia melancarkan serangan balas semula. Apa hal?! Hari tu Nysa. Ni Afiy pulak! Semua orang dah salah makan ubat ke???

Cik_Fiy: Weh! Kau dah salah makan ubat ke apa ni???! Tiba-tiba tanya soalan luar syllabus! Soalan macam ni dalam exam tak masuk laaa! :-/

Membaca mesej Fiyya itu membuatkan Afiy ketawa terkekek-kekek. Fiyya, Fiyya. Sememangnya dia gemar mengusik teman baiknya itu. Sehari tak usik, memang tak sah. Jujur dia bahagia buat begitu. Kata Fiyya pula, Afiy ini penyakat nombor satu yang seharusnya diberi anugerah penyakat of the year.

Inche_Fiy: Eleh. Tak nak mengaku pulak. Mengaku jelah Fiyya bahawa akulah cinta pertama kau. Hehe.
Cik_Fiy: Muhammad Hafiyyy *cekak pinggang*

Kalau dah penuh Fiyya sebut nama Afiy, siap dengan harakatnya sekali, maknanya dia tak suka Afiy usik dia begitu. Dan ini bukan kali pertama Afiy mengusik dia sebegitu rupa. Sudah acap kali sahabatnya itu berbuat seperti itu.

Inche_Fiy: Aku acah jelah. Tu pun nak sentap. Saja je aku nak tahu. Hey, we’re best buddies, remember? Dah macam kembar. Takkan tak nak kongsi cerita dengan kembar kau ni? Kata kawan sampai bila-bila.

Nak merajuklah tu. Aku tahu sangat dah. Buruk betul lelaki merajuk. Fiyya mencebik.

Cik_Fiy: Wahai kembar-tak-rasmiku, Afiy, kau juga tau kan selama ni aku mana nak ada kawan lelaki. Dah balik-balik kau aje yang bertepek depan muka aku. Kau aje kawan lelaki aku. Jadi, bila masa pulak aku nak ada cinta pertama? Itu pun tarak tau lagi ke?

Ha! Ambik kau! Panjang lebar aku explain.

Inche_Fiy: Hehe. Aku tahu tu. Saja je tu namanya.
Cik_Fiyya: Pfft!!! :-/

Ya, aku tahu tu, Fiyya. Afiy tersengih. Belakang kepala digaru-garu. Aduhai, Fiyya. Susah betul aku nak tahu tentang isi hati kau. Walaupun hampir berbelas tahun membesar bersama, namun sukar sekali bagi dia untuk menyelami hati seorang gadis yang bernama Nur Safiyya Sumayyah ini. Kerana sahabatnya itu sering kali mengelak apabila ditanya dengan soalan berkaitan hati dan perasaan.


ESOKNYA...

Inche_Fiy: Weh! Fiyya!
Cik_Fiy: Weh, weh. Bukan nak bagi salam.
Inche_Fiy: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh *sengih*

“Amboi! Perli aku ke apa ni bagi salam penuh.” Fiyya mengomel sendirian di hadapan skrin Acer.

Cik_Fiyya: Wa’alaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh. Ada apa hal sampai tak sempat nak bagi salam?
Inche_Fiy: Kau ingat lagi tak masa aku nak minta lead pensel mekanikal kau dulu? Hehe. *angkat-angkat kening*

Seperti semalam, Fiyya terlopong lagi. Apa hal Afiy nak ungkit fasal hal tu lagi??? Kenapa sejak-sejak akhir ni, Afiy suka usik aku macam ni? Terasa jantung berdegup kencang. Allah, jantung aku buat hal la pulak. Mujur la Afiy takde depan mata sekarang. Mahu dia perasan muka aku yang dah panas semacam ni. Sungguh Fiyya tidak dapat mengelak untuk tidak merasa sesuatu apabila diusik begitu. Dan ini bukan kali pertama Afiy mengungkit fasal ‘kenangan’ mereka yang satu itu.
Automatik, benaknya kembali mengingati kenangan mereka sewaktu mereka di darjah dua. Semasa semua orang masih keliru dengan panggilan mereka sebab dua-dua dipanggil Fiy. Sewaktu mereka masih belum bergelar sahabat.

Zaman kanak-kanak Ribena. Darjah 2.
“Alah, bolehlah Fiy. Bolehlah eh?” rayu Afiy bersungguh-sungguh.
“Ish! Kacaulah awak ni! Nah!” Sebatang mata pensel mekanikal Pilot dikeluarkan daripada bekasnya sebelum dihulur kepada budak lelaki itu.
Afiy menyeringai menampakkan barisan gigi susunya yang kekurangan satu gigi di depan. “Terima kasih, Fiy!” Chup!
“Ish! Apa ni?!” Pipi kiri disapu kasar dengan belakang tangan. “Cikguuu!!!” Fiyya bingkas berdiri. Kedua-dua tangan dah standby bercekak di pinggang.
“Apa?” Cikgu Badrol yang sedang menulis sesuatu pada papan hitam pusing menghadap anak muridnya.
“Tengok Fiy, cikgu!” marah Fiyya.
Cikgu Badrol membetulkan cermin mata bingkai tebalnya. “Laa, kenapa cikgu kena tengok kamu?”
Grrr! Mata menengadah siling. Susah betul bila nama dah dekat. “Bukan kita lah cikgu. Fiy tu.” Telunjuk kanan Fiyya menuding ke arah Afiy yang masih tersengih nakal di tempat duduknya.
Cikgu Badrol memandang serius anak muridnya yang satu lagi. “Hafiyyy.”
“Ya cikgu.” Afiy menyahut dengan senang hati.
“Apa yang kamu dah buat lagi?”
“Dia cium pipi kita cikgu!” Fiyya dengan muka tidak berpuas hati pantas mencelah sebelum Afiy sempat menjawab.
Allah... budak-budak ni bikin aku pening kepala. Cikgu Badrol menggeleng-geleng. “Muhammad Hafiyyy, berdiri atas kerusi. Sekarang!”
Fiyya menjelir lidah kepada Afiy. Ibu jari kanan dinaikkan.
Afiy pula hanya tersengih lagi.

Lamunan Fiyya mati apabila ada mesej baru daripada Afiy.

Inche_Fiy: Tengah ingat semulalah tu, kan, kan? *sengih-sengih angkat kening lagi*

Eeee! Dia nilah kan. Memang nak kena! Terjegil mata Fiyya membaca mesej yang mengusik jiwa raganya itu.

Cik_Fiy: Kau nak aku merajuk selama setahun ke baru kau nak berhenti sakat aku?
Inche_Fiy: Hehe. Mana aku boleh tahan kalau sehari tak berYM dengan kau.


Walaupun begitu, hati Fiyya tetap rasa sesuatu. Tanpa disedari tuan punya badan, sebuah senyuman terlukis di wajahnya. Bagi Fiyya, kenangan itu cukup mencuit hatinya. Nasib baik waktu itu mereka masih kecil. Kalau dah besar, Afiy buat seperti itu juga, mahu kena hambat dengan ibu bapa Fiyya dengan segala parang dan penyapu. Bukan setakat ibu bapa Fiyya, walid dengan umi Afiy sekali.