Lebuhraya KESAS.
APRIL menguatkan pegangan stereng
kereta. Dia memandang ke hadapan, ke arah perjalanan yang dia tidak pasti akan
membawanya ke mana. Sama seperti hidupnya yang tiba-tiba sahaja jadi tunggang
terbalik. Sesekali, dia melepaskan nafas berat. Masih tidak pasti dengan keputusan
yang dia buat. Yang dia tahu, hanya itu sahaja pilihan yang dia ada. Mujurlah Ti’ah
sudi temankan dia ke sini. Itupun setelah mendapat kebenaran dari Mek Ani.
Natrah yang dia panggil Ti’ah sejak kecil itu, memang sahabat setia yang sukar
dicari ganti. Sahabat Lima Bintang!
“ Ini Lebuhraya KESAS, kan!” Soal
Ti’ah mematikan lamunan April.
April angguk perlahan.
“ Kalau ikut peta google yang aku
tengok semalam… bila kita nampak bangunan Impian Meridian Condominium yang
tinggi tu, tandanya… kita dah sampai Subang Jaya.”
“ Kau nak risau apa, Ti’ah! Cewek
GPS kita kan boleh terus tunjuk jalan ke sana. Kita cuma ikut aje arahan dia,”
balas April sambil buat muka ‘boring tahap gaban’.
Ti’ah mencebek.
April geleng kepala. Tersungging
senyum di bibir. Ti’ah ini memang kepoh! Apa nak risau, teknologi zaman
sekarangkan, serba canggih. Senang saja mahu ke mana-mana walaupun tidak tahu
tempat. Masukkan alamat, cewek GPS (Global Positioning System) yang cakap orang
putih slanga British itu, terus beri kita arahnya.
April pula, malas mahu berfikir.
Kepala dia tengah berserabut. Hati pula asyik tidak tenteram. Kalau boleh, dia
mahu diam sahaja sepanjang perjalanan. Mahu tenangkan hati. Namun terpaksa juga
mendengar Ti’ah yang asyik ‘pok pek pok pek’ tidak berhenti semenjak memulakan
perjalanan tadi.
“ Pendapat aku la… kita tak boleh
bergantung sangat dengan teknologi. Ada juga kes yang orang sesat berhari-hari
sebab terlalu bergantung pada GPS. Sebab tu aku google jugak peta Subang Jaya…”
Ti’ah tersengih.
“ Suka hati kaulah!”
“ Kau ni… itu kira langkah
keselamatan tau!” Getus Ti’ah sambil kepalanya menjengah cermin depan melihat
keadaan langit yang kelihatan mendung.
“ Mendung aje cuaca ni. Kokni
cakap… GPS ni, kalau mendung kadang-kadang dia buat hal.” Mata Ti’ah tiba-tiba
dipincingkan ke depan.
“ Kalau tak silap aku, ikut imej
gambar yang aku tengok… tu lah bangunan kondominium Impian Meridian.” Ti’ah
sudah jadi tak senang duduk. Sekejap-sekejap, dia memfokus pandangannya ke arah
bangunan yang nampak semakin jelas.
Melihat aksi Ti’ah, April pun, ikut
tak senang duduk. Bukannya apa… sejak tadi, Cewek GPS sudah mula mendiamkan
diri. Entah apa yang tidak kena, April pun tidak tahu. Yang saspensnya, mereka semakin menghampiri
bangunan yang dikatakan Ti’ah tadi.
“ Ti’ah! Cuba kau cek GPS tu,
senyap jer…”
“ Biar betul.. kan aku dah cakap,
GPS ni… bukan boleh pakai sangat,” bebel Ti’ah menjeling April. Pantas
tangannya dihalakan ke arah telefon yang melekat kepada pemegang di papan
pemuka kereta. Jarinya menekan beberapa butang, kemudian menunggu sebentar
dengan muka pucat penuh keresahan.
‘Recalculating! Recalculating!’
Perkataan itu kedengaran berulang
beberapa kali. April telan air liur. Bahagian yang tak bagusnya, mereka kini
dalam jarak tak sampai 200 meter dari kondominium Impian Meridian. Dengan
kelajuan kereta mereka sekarang, tak sampai 5 minit, mereka akan melepasi
bangunan yang Ti’ah maksudkan.
“ Kalau ikut google, kita kena
ambil susur kiri, naik ke atas… lepas tu, ambil arah kanan pula. Macam mana ni
April?”
Kondominium Impian Meridian
semakin dekat. Susur ke kiri tu pula terletak selepas bangunan kondominium itu.
Alahai! Cewek GPS pula asyik duk ‘recalculating’ tak berenti sejak tadi.
“ Aku nak buat apa?” Tanya April.
Mereka semakin menghampiri susur ke kiri.
Dia sudah keliru. Dia kini berada
di lorong paling tepi sebelah kanan. Tentu sukar kalau tiba-tiba saja mahu bergerak ke lorong paling kiri dalam
jeda masa dan jarak sesingkat itu. Tapi, kalau teruskan juga, mereka akan terus
sampai ke Shah Alam. Itu lagilah kes berat!
Tangan April sudah keras di
stereng. Muka berubah pucat.
“ Ambil kiri! Cepat!” Ti’ah
tiba-tiba memberi ultimatum.
Seperti gaya pemandu professional
F1, April membuat gerakan garisan condong 45 darjah, merentasi dua lorong.
Mulutnya tidak berhenti membaca ‘Bismillah’ dan segala ayat yang dia ingat.
Mata pulak bergerak dari cermin pandang belakang ke cermin sisi bersilih ganti.
Bimbang jika menerima hentaman dari belakang.
Ti’ah sudah keras di kerusi
sebelah. Mulutnya asyik beristighfar sejak tadi. Sesekali terdengar dia
mengucap syahadah.
“ Fuhh!!!”April melepaskan nafas
lega. Ti’ah buat aksi sapu peluh di dahi.
Mereka hampir berjaya sampai ke
lorong yang paling kiri. Mujur tak ada insiden yang tak diingini. Dia perlu
memintas sebuah kereta waja untuk segera masuk ke susur keluar. Mujur sempat!
Walaupun terlalu dekat dan menerima bunyi hon bertalu-talu dari pemandunya.
Namun kelegaan itu tidak kekal lama, kerana tiba-, dia ternampak kelibat hitam
muncul dari sebelah kiri kereta yang dipotongnya…
“ Motor! Elak! Elak!” Jerit
Ti’ah.
April kejang kaku. Tidak mampu
berbuat apa-apa.
‘ Dam! Sreeettt… Dam!’
Bahagian belakang sebelah kiri
Honda Citynya dihentam oleh sebuah
motosikal yang memotong kereta waja tadi dari sebelah kiri. Impak perlanggaran
itu menyebabkan motosikal itu terjatuh lalu terseret memasuki laluan susur lalu
menghentam benteng di bahagian tepi jalan. Penunggangnya jatuh bergolek di atas
jalan. Mujur April sempat menekan brek, dia berhenti hanya beberapa meter dari
lokasi penunggang itu terbaring.
April dan Ti’ah berpandangan.
“ Mati aku! Aku langgar orang
ke?” April sudah mahu menangis.
“ Kalau ikut bunyi tadi tu…
memanglah! Jomlah keluar! Tengok keadaan dia tu!”
“ Aku dah macam nak pengsan ni!
Jantung aku dah macam orang lari pecut. Kaki aku dah terketar-ketar, nak
berdiripun tak larat. Tolong aku!”
“ Habis tu, kau nak biarkan dia
terbaring kat situ… sampai petang nanti?”
“ Isy! Tak adalah macam tu! Aku takut. Kalau mati orang tu, macam
mana?”
“ Ceh! Cabul betul mulut kau!” Ti’ah
buka pintu tanpa menunggu April. Kalau tunggu April, pakai matilah orang tu
kalau masih hidup lagi. Kalau tidak pun, pakai pengsan sampai ke petanglah nampak
gayanya. Apabila melihat Ti’ah keluar, April segera menurut. Terkocoh-kocoh dia
berlari sambil bersembunyi di belakang Ti’ah.
Arghhh!!! Bunyi erangan yang kuat
menyambut mereka.
Lelaki itu sedang berusaha sedaya
upaya untuk bangun. Nampaknya, macam taklah teruk sangat. Tetapi motosikal yang
sedang ‘landing’ di tepi benteng jalan tu, nampak teruklah juga. Makan ribu
juga kalau nak dibaiki.
Masih bertopi keledar ‘fullface’,
lelaki itu akhirnya berjaya berdiri. Namun masih perlu menampung badannya pada
penghadang jalan.
Entah dari mana datangnya
keberanian, cepat saja mulut April memohon maaf.
“ Encik okay ke? Maaflah! Saya
betul-betul tak nampak encik!”
“ Ya encik! Betul tu… kami tak
biasa jalan kat sini. Kami tak sengaja.” Ti’ah pula menyampuk.
Lelaki itu menoleh ke arah
motosikalnya. Dia berdengus. Kedua-dua tangan dikepalkan tanda menahan marah.
Dia menundukkan muka. Dengan perlahan, dia menanggalkan topi keledar yang
dipakainya. Perkara pertama yang tertangkap dek pandangan mata April adalah
‘sideburn’ di pipi kanannya. Rambut di depan dahi jatuh berjurai sebaik topi
keledar itu dibuang dari atas kepala. Jatuh dan panjangnya sekadar menutup
sebahagian dari mata kirinya. Orangnya berkulit putih. Tinggi! Tegap. Macam
model.
Oh! Oh! Muka itu! Wajah itu!
Mulut April separuh ternganga.
“ Macam yang selalu aku
bayangkan…” bisiknya antara dengar dan tidak di telinga Ti’ah.
Lelaki itu pula, kini dalam
kedudukan sedang bercekak pinggang memandang April. Dia menunding jari ke arah
April. Baru hendak menunding jari sebenarnya. Niatnya terhenti apabila melihat
April yang tiba-tiba menjadi lembik macam kain buruk dan terus pengsan di
hadapannya.
“ April!” Jerit Ti’ah. Terus
mendapatkan April yang sudah terjelepuk di atas jalan.
“ Aik! Belum marah dah pengsan!”
Ucap lelaki itu perlahan sambil kehairanan membelek jari telunjuknya.
“ Dia langgar aku, aku yang
teruk… dia pulak yang pengsan?” Lelaki itu bercakap sendiri sambil geleng
kepala lagi.
Ti’ah pula… sedaya upaya sedang
menyembunyikan senyumnya.
Pengsan konon! Pengsan sebab
nampak lelaki yang wajah dan penampilannya… ada ‘aura kursani’. Lelaki dengan
ciri-ciri idaman hati April selama ini.
AKMAL FIRDAUS memerhati proses memuat-naik Mat Top ke dalam lori. Sedih melihat
keadaan Mat Top, memang patah riuk. Sesekali, dia menjeling ke arah April. Geram
benar dia. Sudah langgar orang… pura-pura pengsan pula. Dia ingat dia boleh
lepas agaknya? Nantilah kau wahai April! Dia menjongket senyum. Pertama kali
dia berjumpa orang dengan nama April. Nasib baik bukan Ogos atau September.
Tiba-tiba, dia garu kepala. Dia
teringatkan sesuatu. Terus telan air liur. Diapun salah juga. Kenapalah dia tak
gunakan lorong motosikal? Aduh! Macam mana boleh bawa motor sampai tidak sedar
ambil lorong kereta. Nampaknya kena buat bodoh ajelah.
Mula-mula tadi, dia ingat dia
sudah nampak bidadari. Mana tidaknya, perempuan secantik April muncul dengan baju
kurung putih sebaik sahaja dia kemalangan. Ingatkan, dia sudah selamat masuk
syurga! Walaupun dia tidaklah alim sangat, sebagai orang Islam, dia tetap mahu
masuk syurga. Dia tersenyum sinis pada diri sendiri.
Geram juga apabila memikirkan insiden tadi.
Tak pasal-pasal ‘buah hati’ kesayangannya kena masuk bengkel. Lepas itu, kena
fikirkan pula bagaimana mahu ke tempat kerja sementara Mat Top okay. Mula-mula
macam mahu herdik aja perempuan itu. Tapi… baru angkat jari telunjuk saja… terus
pengsan. Terus dia batalkan niat mahu menghamburkan kemarahan. Apabila sudah
sedar yang dia juga bersalah, dia pendamkan saja. Cuma, dia hairan sungguh!
Orang kena langgar tidak pengsan. Orang yang melanggar pula yang pengsan? Adakah
itu akal mahu melepaskan diri?
Awalnya tadi, dia risau jugak. Bimbang
jika dia benar-benar tersilap mengeeluarkan pistol. Itu yang lama benar dia
membelek jari telunjuk. Manalah tahu, dalam pening-pening, dia buat kesilapan
bodoh begitu. Mujur lepas itu dia teringat yang pistolnya ditinggalkan di
tempat selamat di ofis kecilnya. Dan, dia menjadi lebih yakin, apabila melihat
gelagat kawan si April yang berbaju warna ceria itu, asyik tersenyum saja
gayanya. Ada ke patut! Kawan dia pengsan, dia asyik senyum-senyum sejak dari
tadi…
Dia mengerling plat kereta Honda
City. Oh! Plat ‘D’. Orang Kelantanlah...
Kata kawan yang berdiri di
sebelahnya tadi, mereka pertama kali datang ke Selangor dengan berkereta.
Patutlah. Senasiblah dengan dia. Dia pun, baru sampai dari Pulau Pinang hampir
sebulan. Masih terkial-kial mencari jalan dan memilih lorong ketika di
lebuhraya. Dia mula faham situasi mereka. Faham tu satu hallah, dan sedar salah
sendiripun satu hal jugak. Cuma, siapa nak bayar kos baik-pulih Mat Top nanti?
Lagipun, dia macam tidak boleh menerima lakonan April tadi. Dia tidak mahu
tertipu. Perempuan sekarang gemar menggunakan wajah cantik mereka untuk
mengenakan lelaki. Maaflah ye! Dia tidak mudah terpengaruh dan tertipu, okay!
Yang makin membuatkan dia tidak
percaya, April itu pengsannya tidak lama. Lepas kena renjis air… bangunlah dia.
Selepas bangun… terus jadi bisu. Tapi matanya asyik pandang muka Akmal, pandang
arah Akmal. Entah kenapa, dia sendiri juga, asyik terasa mahu pandang perempuan
itu. Cantik!
Akmal berkalih dan menjengah
laluan lebuh raya. Dari jauh, dia nampak kereta Waja miliknya berhenti di bahu
jalan. Sebentar tadi, dia sudah menelefon Syuhada. Cepat sungguh Syuhada
sampai. Syuhada berlari-lari anak mendapatkan Akmal. Terus dibeleknya badan
Akmal dari atas sampai ke bawah dan berhenti di bahagian betis yang cedera
akibat terseret.
“ Ouch! Adeh… adeh…” Akmal
mengaduh bila bahagian luka itu disentuh Syuhada. “Sakitlah Dada!”
“ Abang okay ke? Mak dah duk teriak kat rumah bila dengaq abang accident. Tu lah! Sapa
suruh doa benda pelik-pelik pagi tadi? Haa… kan dah jadi!” Dia bercakap dalam
loghat Pulau Pinang.
“ Abang okay. Sikit saja lukanya.
Tu… buah hati abang tu yang teruk…” Akmal buat muka sedih. Memohon simpati.
“ Orang risau kat dia, dia pulak
duk risau kat Mat Top dia!” Rajuk Syuhada.
Akmal tersengih. Dia menyentuh
lembut pipi Syuhada. Rasa terharu sebab adik kesayangan nampak sangat risaukan
keadaannya.
“ Tak dak apa aih! Abang okay!” Dia naikkan tangan
menunjukkan otot lengannya.
“ Sapa langgaq abang? Mai adik
nak pi haria dia! Perempuan?” ‘Haria’
itu maksudnya marah teruk-teruk dalam bahasa Pulau Pinang.
“ Isy! Kan tadi abang doa minta
terlanggar marka! Tu… markalah yang abang dapat.” Akmal
memuncungkan mulut ke arah April dan Natrah yang terduduk di bahu jalan. Muka
April nampak sedih sungguh!
“ Oh! Ya ka? Kira doa pagi tadi,
makhbullah?”
“ Tau tak per!” Akmal tersengih.
“Tapi, macam tak boleh percaya je. Dia siap berlakon pengsan! Ingat abang nak
kesian kat dia? Salah dia tadi tu!”
“ Jangan nak dera budak tu pulak!
Lagi satu, kalau nak menyakat tu… jaga sikit bahasa abang. Orang utara ni
kasar. Kadang-kadang melawak bagi kita… orang dengar macam kasar dan
menyakitkan hati. Faham!”
“ Mana ada nak sakat, nak marah
lagi ada…” Akmal memaut bahu Syuhada. “ Kesian kat Mat Top. Sah-sah kena masuk
ICU.” Dia buat suara sedih melihat motosikalnya sudah siap dimuat-naik. Motosikal
itu akan dihantar ke mekanik di seksyen 16. Tak adalah jauh sangat dari tempat
dia tinggal.
“ Jom! Kita jumpa budak berdua tu
sebelum balik.” Ajak Akmal.
Syuhada mengangguk. Membontoti
Akmal yang sudah mula bergerak ke arah kereta Honda City yang sudah kemek
bahagian belakangnya. Kedua-dua perempuan itu, bangun sebaik melihat Akmal
bergerak mendekat.
“ Macam mana? Dah okay?” Soal
Akmal pada April.
April senyum sedikit sebelum
kemutkan hidung. Tiada jawapan.
Hisy! Comel pula Akmal tengok. Tetapi dia tidak mahu tertipu dengan
lakonan untuk melepaskan diri. “ Okay ke pengsan awak tu?” Soalnya lagi sekali.
Dia menyebut perkataan pengsan dengan menggerakkan kedua-dua jari telunjuk dan
jari hantu, dua kali seperti menulis tanda koma.
Riak muka April berubah. Dari
bajet comel tadi, sudah ada aura mahu bertukar menjadi singa. Dia bercekak
pinggang. Sedang menahan marah. Mengherotkan mulut ke sebelah kanan sehingga
menampakkan lesung pipit dalam terbenam. Cantik! Walaupun sedang mengawal marah,
dia masih kelihatan cantik. Jantung Akmal tiba-tiba terasa seperti tersentak. Libang-libu
pula getarannya.
“ Maksud awak… saya pura-pura
pengsan?”
Akmal angkat bahu. Tersenyum
sinis sambil mata melilau ke arah lain. Menggambarkan yang dia sedang ‘boring
tahap gaban’. Terasa jari Syuhada sedang mencuit pinggangnya. Mesti adik
kesayangannya itu tidak bersetuju dengan tindakannya.
“ Awak ingat, saya ni miskin
sangat ke sampai nak lari dari menanggung kesalahan yang saya buat? Awak ingat…
motor cabuk awak tu, kalau saya baiki boleh buat saya jatuh miskin ke? Eh!
Kapal terbangpun saya boleh baiki tau! Awak ingat…” dia terhenti di situ
apabila sahabat di sebelahnya menarik tangan bajunya sekaligus menggeleng.
Huh! Sekali bercakap, macam rifel
memuntahkan peluru. Hek eleh! Kaya
sangatlah sampai ada duit mahu baiki kapal terbang. Dia ingat… dia tu kaum
kerabat Sultan Brunai kut?
“ Isy! Saya berlanggar dengan
anak jutawan rupanya. Baguslah kalau macam tu. Jadi, saya harap… jangan hanya cakap
saja.”
April mahu membuka mulut, namun
ditahan oleh sahabatnya, dia menarik April ke belakang dan dia sendiri bergerak
ke depan.
“ Saya Natrah. Pembantu April.
Jangan risau! Kami akan bayar. Encik tinggalkan nombor telefon atau kad.
Ataupun…” namun sebelum dia sempat habis bercakap, Akmal sudah meningkah.
“ Saya yang perlu beri nombor
telefon?” Akmal menyoal.
Natrah mengangguk.
“ Lepas saya beri, awak balik
rumah awak, lepas tu… hilang. Awak ingat saya nak percaya. Pikiaq pakai otak sikit la.
Senang hangpa nak laghi, kan!” Dia bercakap dalam loghat
Pulau Pinang pekat. Sengaja menekan sesetengah perkataan sambil mengikut cara
Mami Saira Banu menggerakkan dagunya.
“ Pulak!” Natrah geleng kepala.
April menghela nafas. “Wey la...geraenyo aku dge mung ni. Bakpo yae
payoh bbaso gak? Mung ingat kito nih jenih ggapo? Nah...ambik kad ni. Ado
alamat tepat nego denge numbo telefon skali. Ghoyatlah bilo muto mung nih doh
siap. Tok soh runsing la...aku bayar dari A sapa Z. Kalu mung tok cayo, mung gi
ler puko gamba keto aku skali. Puah hati?” Dia membalas dalam loghat
Kelantan. Maksudnya, ‘Wey la… geram betul dengan kau ni. Apa yang payah sangat?
Kau ingat, kami ni orang jenis apa? Nah! Ambil kad ni. Ada alamat perniagaan
dan nombor telefon sekali. Hubungi bila motor awak tu dah selesai. Jangan
risau! Kami akan bayar dari A sampai Z. Kalau tak percaya, encik boleh ambil
gambar kereta saya. Puas hati?’, dan jawapan itu buat Akmal menelan air
liurnya.
Kini giliran Akmal pula
ternganga. Minah cantik ini, beri jawapan dalam loghat Kelantan? Dia faham suku
ayat aja, yang selebihnya kedengaran seperti bahasa siam. Padan muka sendiri!
Nak ajak orang bergaduh sangat.“ Korang cakap siam ke?” Tingkahnya. Di waktu
yang sama, kad yang dihulur, disambut dan dimasukkan ke dalam kocek belakang.
“ Abang, sudahlah tu. Settle elok-elok.” Celah Syuhada setelah
lama diam menjadi pemerhati. “ Maaf ye! Jangan gaduh-gaduh. Kita selesai
baik-baik.” Syuhada memandang April. Tersenyum.
“ Tak apalah… saya bukan nak
bergaduh sangat. Suami puan ni yang mula dulu. Nanti puan contactlah saya. Saya akan bayar kos baik-pulih motor suami puan
tu” balas April. Dia mengelak dari memandang Akmal.
Akmal pandang Syuhada. Syuhada
hanya mengangkat bahu.
“ Tak apa, jangan risau. Saya akan call. Kalau tidak… rugilah saya,” celah
Akmal cepat-cepat sebelum sempat Syuhada meneruskan kata-kata.
“ Lagi satu, saya harap… suami puan tak
payahlah buat repot polis, nanti NCB saya kena potong. Lagipun, saya baru kat
sini, susah pulak nak ke sana sini untuk segala urusan kalau tak tahu jalan. ”
Sehabis bercakap, April memaksa diri untuk tersenyum pada Syuhada.
Aiseh! Manisnya senyuman walaupun
kelihatan terpaksa. Manisnya macam madu lebah.
“ Hmm… Lain kali, hati-hati sikit. Itu mujurlah saya tak perlu masuk
hospital. Awak pandu kereta macam Formula
One. Mengalah Formula One
sebenarnya. Ini pertama kali saya jumpa Micheal
Schumacher versi perempuan. Ganas betul!” Selamba Akmal menuturkan ayat itu.
Namun ia telah mengundang riak masam kembali di wajah April.
Syuhada cuit pinggang Akmal.
“ Encik tak patah riuk atau
apa-apa kan! Janganlah nak panjang-panjangkan pula. Nak gelar-gelar saya pula.”
Balas April dengan tona suara yang mula berubah.
Hek eleh! Tiba-tiba Akmal rasa, perempuan cantik di hadapannya ini…
dah kerek semacamlah pulak. Memang
benar apa yang dia kata tu! Nak marah apa pulak? Memanglah April bawa kereta
tadi, ganas tahap tak hengat!
“ Kami minta diri dululah, cik berdua ni… nak
ke mana? ” Syuhada berbasa basi. Mungkin dia cuba menyelamatkan keadaan. Akmal
pula berpusing ke arah belakang kereta. Melihat kemek yang terhasil. Dia
mengeluarkan telefon dan merakamkan gambar. Sempat lagi menjeling ke arah April
yang semakin masam wajahnya. Sambil bergerak kembali ke sebelah Syuhada, dia
mencebir bibir. “ Sekadar kemek, tak akan mengganggu keadaan enjin rasanya.”
Syuhada senggong pinggang Akmal
lagi sekali. “ Minta diri dululah,” ucap Syuhada segera menarik tangan Akmal.
April angguk. Menjeling ke arah
Akmal. Mukanya masih kekal masam…
Akmal sengaja sumbingkan senyum.
Harus dia mengaku, dalam masam wajah April tu, tetap ada manisnya!
Dan getar di hati semakin laju tiba-tiba…