Keteng! Keteng!
Keteng!
"Oiii,
bisinglah, kak! Nak abah marah lagi ke?" Sergah Ayu dengan bisikan keras,
menyebabkan terhentinya bunyi hentakan yang mendesing di lubang telinganya
sejak dari tadi. Sedikit terjegil
matanya merenung Ona yang sedang berdiri di depan dapur gas dengan muka ronyok
seribu. Sudah dirasuk hantu agaknya
tiba-tiba mengamuk ketika memasak. Habis
periuk yang tidak bersalah itu Ona ketuk dengan senduk besi berkali-kali. Nasib baiklah kalau periuk yang diketuk itu
tidak bocor. Kalau rencah yang sedang
ditumis di dalam periuk terpercik ke tangan dan muka nanti, tidak fasal-fasal
pula tangan dan muka yang putih dan gebu itu akan bertanda dengan parut bekas
lecur. Ona kalau sudah marah, selalu
ikutkan perasaan. Sesedap hatinya sahaja
mengamuk dengan apa sahaja barang yang ada di tangan. Sebab itulah harta benda abah banyak yang
jahanam di tangan Ona.
Ona
pamerkan muka masam. Sejak kena marah
dengan abah tadi tampangnya sudah begitu.
Sampai tidak berani Ayu hendak membantah apabila disuruh membuang ekor
tauge di meja makan. Padahal kalau ikut
perjanjian sejak dulu lagi tugas Ayu cuma mengemas rumah sahaja. Lagi pun ruang depan dan bilik tidur belum
sempat dia kemas lagi tetapi sudah dipanggil ke dapur untuk membantu Ona.
Ayu
fikir, tidak mengapalah hari ini dia mengalah pada Ona asalkan hati Ona kembali
sejuk. Tetapi siapa sangka dalam diam
Ona melepaskan protes terhadap abah. Itu
yang sampai mengetuk periuk gulai berkali-kali dengan senduk besi. Bingit betul Ayu dengar!
Suasana
di ruang dapur menjadi senyap seketika. Yang
terdengar hanya desir rencah yang ditumis Ona semakin garing dimamah minyak
panas di dalam periuk. Sejurus harum
gulai asam pedas mulai merata ke seluruh ruang.
Ona meletakkan senduk di atas piring sebelum datang dan duduk di depan
Ayu di meja makan.
"Kakak
tak puas hati, tau!"
Terangkat
lagi mata Ayu mengerling Ona.
"Tak
puas hati fasal apa lagi?" Ayu sedikit jengkel. Sejujurnya dia rimas kerana Ona tidak habis
berdendam. Pantang kena marah sedikit
dengan abah, mulalah Ona buat perangai. Padahal
salah Ona juga kerana tidak habis bisingkan anak-anak kucing itu sampai berani
bergaduh dengan Makcik Senah.
"Abah
itulah, kan kakak dah minta maaf dengan Makcik Senah. Tapi abah tetap marahkan kakak juga macamlah
kakak yang bersalah. Padahal Makcik
Senah sendiri dah kata tadi, dia yang letakkan anak-anak kucing tu di tempat
kita. Kucing-kucing tu dah kotorkan
tempat kita dan jahanamkan pokok-pokok kita.
Kalau kakak marah pun memang patut, kan?"
Setelah
apa berlaku, Ona mengharapkan abah faham dengan alasannya. Bukanlah dia jenis yang suka mencari fasal
dengan orang. Sudah Makcik Senah yang
mulakan dahulu mengganggu ketenteraman hidup mereka sekeluarga dengan
kucing-kucing itu. Takkan dia hendak
diamkan.
"Abah
kan tak suka kita biadab dengan orang tua.
Lagi pun Makcik Senah tu jiran kita.
Tak elok kan bergaduh sesama jiran.
Dan kakak pun satu… yang kakak pergi gertak Makcik Senah nak telefon
polis tu buat apa? Kan orang tua tu dah panik.
Macam besarlah sangat perkara sampai nak panggil polis. Buat gelak orang saja tau kalau dengar."
Terlepas
juga gelak Ayu. Lucu apabila
mengenangkan gelagat Ona yang kalut pagi-pagi hari tadi. Hanya kerana kucing, Ona sampai hendak
menelefon polis. Apakah Ona fikir polis
hendak layan ke aduan seperti itu?
Jelingan
Ona menyapu tajam wajah Ayu yang sedang terkekeh-kekeh geli hati.
"Bagus
juga kakak gertak nak telefon polis. Kalau
tak, sampai sekaranglah kucing-kucing tu masih bersepah di luar sana. Dahlah besok kakak kerja. Macam mana nak keluar rumah kalau
binatang-binatang tu terus bergayut di pintu pagar rumah kita? Entahkan baru saja buka pintu, semua dah
menderu masuk ke dalam rumah. Siapa nak
tolong tangkapkan nanti? Ayu
berani?"
"Alah,
takut sangat dengan kucing. Macamlah
kucing-kucing tu makan orang." Ayu sedikit menjeling kakaknya.
"Memang
tak makan orang, tapi boleh cakar orang.
Ayu belum pernah kena cakar dengan kucing lagi, kan? Jadi, jangan nak gelakkan kakak sesuka hati
Ayu, okey? Kalau dah kena, baru tahu
sakitnya macam mana."
Terketap
bibir Ona melihat senyum sinis Ayu mengejeknya.
Pantas dia bangun dari kerusi lalu mematikan api dapur gas. Gulai asam pedas yang sudah siap dimasak itu
ditutup dengan tudung periuk. Senduk dan
piring kotor dibawa ke singki untuk dicuci.
"Kasihan
Ayu dengan Lela, tau. Nak sangat dia
bela kucing." Terluah juga nada kesal Ayu yang dipendam sejak tadi. Sehingga kini dia masih terkilan dengan apa
yang berlaku. Sepatutnya Lela dibenarkan
membela seekor daripada anak-anak kucing itu.
Tidaklah Lela sedih sangat seperti tadi.
"Yalah,
nak bela kucing, belalah di tempat sendiri.
Ni yang campak ke rumah orang, apa ke jadahnya? Kalau tempat kita kotor, ada dia nak tolong
bersihkan? Kalau ada jiran kompelin kucing kotorkan tempat mereka, siapa yang
mereka cari? Tak fasal-fasal kita pula
kena saman dengan majlis bandaran nanti kerana mereka ingat kucing-kucing tu
kita yang punya."Ona tidak mahu kalah dengan hujahnya.
Ayu
bingkas dari kerusi seraya mencampakkan segenggam tauge yang sudah dibuang ekor
ke dalam besen hijau di hadapannya. Malas
dia hendak berdebat dengan Ona yang kalau sudah bercakap, tidak pernah mahu
kalah. Cakap dia sahaja yang betul, yang
dia hendak orang lain dengar. Sebab itu
jugalah Ona selalu kena marah dengan abah.
Abah tahulah anak abah yang mana satu yang terlebih-lebih degil dan suka
sangat melawan cakap-cakap abah selama ini.
"Dahlah. Ayu nak kemas bilik pula." Bertindan
rasa kesal memenuhi dada Ayu. Setelah
ketiadaan kucing-kucing itu kini, tidak ada peluang lagilah untuk dia
bermain-main dengan Lela dan Izam seperti dulu.
Kedua-dua
anak kecil itu sudah mendapat tempat di hatinya semenjak dia ikut bermain
dengan kucing-kucing itu bersama mereka.
Lela yang berumur lapan tahun, ternyata seorang yang bijak serta petah
berkata-kata. Sementara Izam yang
berumur lima tahun itu pula, sungguhlah montel budaknya. Kalau tidak ingat yang Izam itu anak orang,
mahu sahaja Ayu peluk-peluk macam dia peluk patung beruangnya yang dia namakan
Popcorn. Tetapi Lela pernah berkata, adiknya
yang bernama Izzul lagi montel daripada Izam.
Kalau Kak Ayu lihat, mesti Kak Ayu suka.
Namun
sehingga kini Ayu belum pernah lagi nampak adik Lela yang bernama Izzul itu. Ada tidak ada, seekor anak kucing yang
berbulu putih itu telah Lela namakan Izzul.
Lela kata sempena nama adiknya yang dia sayang itu.
Sebenarnya,
banyak lagi yang Ayu tidak tahu tentang keluarga Makcik Senah. Menurut Makcik Fauziah, Makcik Senah
sekeluarga jenis yang tidak campur orang.
Sebab itu Ayu tidak pernah nampak Lela dan Izam bermain-main dengan
anak-anak jiran yang lain, hatta yang duduk satu deret dengan mereka. Hanya sekali dua sahaja Ayu ternampak Lela
dan Izam bermain 'kuti-kuti' di ruangan depan tangga antara tingkat lima dan
tingkat empat. Itu pun kerana rumah
Makcik Senah di tingkat lima, betul-betul di sebelah tangga itu. Dan rumah mereka pula di tingkat empat,
betul-betul di bawah rumah Makcik Senah di sebelah tangga yang sama itu.
Sehingga
kini Ayu belum pernah lagi nampak kelibat ibu bapa Lela dan Izam. Lela pernah bercerita yang ayahnya seorang
guru. Lela kata, ayahnya boleh menjadi
garang sekiranya dia dan Izam tidak mendengar kata. Sehingga kini Lela belum pernah lagi menyebut
fasal ibunya.
Baru
melangkah setapak ke beranda belakang untuk mengambil penyapu dan penyodok sampah,
loceng rumah tiba-tiba berbunyi. Ayu
menoleh dan bertembung pandang dengan Ona.
Ona mengetap bibir.
"Orang
jualanlah tu." Ona berpaling dan mula membersihkan dapur gas semula. Malas hendak melayan orang yang datang
berjualan itu.
Memang
sudah menjadi kebiasaan pada setiap hujung minggu akan ada sahaja orang yang
datang berjualan dari rumah ke rumah di blok mereka ini seperti menjual kurma
walaupun bukan bulan Ramadan. Atau yang
datang berjualan segala macam produk makanan ringan untuk tujuan amal. Tidak ketinggalan juga yang datang memungut
derma untuk rumah-rumah kebajikan, baik untuk rumah kebajikan di dalam negeri
mahupun yang di seberang tambak sana nun.
Yang
dari seberang tambak itulah kadang-kadang buat Ayu ragu-ragu hendak percaya. Tetapi seperti abah selalu berpesan, kalau
orang sudah datang meminta, berikanlah sahaja.
Atau yang datang berjualan itu, sekiranya kita tidak mahu membeli
barangan mereka sekalipun, sekurang-kurangnya sedekahlah sedolar dua untuk duit
penat mereka menapak dari tingkat ke tingkat membawa barang jualan mereka. Sama ada mereka jujur atau tidak, menipu atau
tidak, itu urusan mereka dengan Tuhan. Diri
kita ini, kata abah lagi, biarlah selalu bersangka baik pada orang. Kerana hidup akan terasa aman bahagia sekiranya
hati kita bersih.
"Tengok
dulu… jangan buka sembarang. Manalah
tahu kalau ada kucing panjat lagi pintu pagar rumah kita."
Ucapan
Ona itu mematikan langkah Ayu di muka pintu dapur. Pantas Ayu menoleh. Dahinya berkerut sedikit dan bibirnya
terherot seperti hendak melepaskan tawa.
"Kucing
tekan loceng pintu rumah kita ke?
Merepek sajalah Kak Ona tu." Terlepas juga gelak sinis Ayu. Memang sahlah Ona sudah fobia dengan
anak-anak kucing itu. Janganlah tidur
malam Ona nanti sampai mengigaukan anak-anak kucing yang dia aniaya itu.
Ayu
melanjutkan langkah ke ruang tamu. Sampai
di depan pintu, mata sebelah dilekapkan ke lubang intip. Sejurus tangannya memulas tombol pintu. Pintu dibuka lebar. Senyumnya menyapa Lela yang sedang tercegat
di luar bersama Izam.
"Nenek
kasi."
Bulat
mata Ayu memandang kuih lompang yang tersusun cantik di dalam pinggan yang
diunjuk Ayu kepadanya. Amboi! Meriahnya warna. Merah.
Putih. Hijau. Kuning.
Biru. Dan ungu. Hanya kelabu asap sahaja yang tidak ada.
Ayu
tersengih suka.
"Nenek
ke yang buat ni?"
"Haah."
Seingat
Ayu, inilah pertama kali Makcik Senah menghantar juadah ke rumah mereka. Mungkinkah kerana Makcik Senah ingin berdamai
setelah berselisih faham dengan Ona tidak sudah-sudah?
"Apa
nama kuih ni?" Sengajalah Ayu ingin menduga Lela.
"Lompang."
"Lompang?
Kenapa diberi nama lompang?"
"Sebab
ada lubang di tengahnya. Macam kolam
untuk itik berenang."
Terkekeh-kekeh
Lela ketawa. Dia yang buat lawak, dia
juga yang geli hati sendiri. Ayu pun
ikut ketawa. Terhibur melihat Lela
gembira. Barangkali Lela sudah melupakan
kesedihannya tadi kerana kehilangan anak-anak kucing itu. Barangkali Makcik Senah buat kuih lompang ini
pun untuk menghiburkan hati Lela juga.
"Beritahu
nenek Lela… Kak Ayu kata terima kasih banyak-banyak. Nanti Kak Ayu pulangkan pinggannya, ya?"
"Sama-sama."
Lela membalas perlahan. Tangan Izam
diraih dan sama-sama mereka mendaki anak tangga ke tingkat atas. Ayu memerhatikan Lela dan Izam sejenak
sebelum kembali menutup pintu. Pinggan
berisi kuih lompang pemberian Makcik Senah itu ditatang ke dapur. Ona yang sedang menggoreng tauge spontan
menoleh ke belakang sebaik dia datang.
"Kuih
apa yang Makcik Fauziah beri tu?" Sempat lagi Ona menjenguk ke dalam
pinggan yang Ayu letakkan di atas meja makan.
Kelihatan isi pinggan beraneka warna dengan taburan kelapa parut di
atasnya. Kuih lompang agaknya.
Memang
Makcik Fauziah rajin membuat kuih-muih tradisional. Selain menerima tempahan daripada jiran tetangga
untuk majlis kenduri-kendara, Makcik Fauziah juga ada membuka kelas memasak di
rumahnya. Nanti ramailah suri rumah
serta wanita muda yang berkerjaya, datang belajar dengan Makcik Fauziah pada
setiap hari Sabtu.
Oleh
sebab mereka sahaja jiran Melayu yang tinggal sama tingkat dengan Makcik
Fauziah, maka dapat jugalah mereka merasa kuih-muih yang dimasak oleh Makcik
Fauziah. Tahu jugalah mereka rupa dan
rasa talam banjar, dangai pulut, badak berendam dan lompat tikam macam mana.
"Bukan
Makcik Fauziah bagilah, kak." Kata
Ayu seraya duduk di kerusi.
"Habis
tu siapa?"
"Cubalah
teka." Meleret senyum Ayu mengusik
kakaknya, Ona.
"Makcik
Tiah?"
"Salah."
"Kak
Syaza?"
"Juga
salah."
"Kalau
bukan mereka berdua, siapa yang bagi?"
Seingat
Ona, hanya Makcik Fauziah sahaja jiran yang rajin menghantar juadah ke rumah
mereka. Makcik Fauziah memang terkenal
sebagai juara memasak di blok mereka. Tidak
seperti jiran mereka yang lain, yang kebanyakan mereka ibu-ibu muda yang
bekerja. Manalah mereka ada masa hendak
memasak yang enak-enak, kemudian berkongsi juadah yang mereka masak itu dengan
jiran tetangga. Banyak ketika pula
mereka lebih suka makan di luar daripada memasak sendiri untuk keluarga.
“Kawan
baik kakaklah. Kawan yang selalu kakak
ajak bertekak tu."
Ayu
sudah ketawa. Ona yang tercengang
seperti orang tidak percaya itu betul-betul kelihatan lucu di matanya.
"Makcik
Senah?" Kening Ona terangkat.
"Siapa
lagi?" Ayu tidak habis ketawa lagi.
Ona
segera mematikan api dapur gas sebelum datang dekat ke meja makan. Kuih lompang dalam pinggan Pyrex putih dengan
motif mawar merah hati di pinggirnya, dipandang dengan penuh minat. Biar betul Makcik Senah hantar juadah ini ke
rumah mereka. Setelah banyak kali
menyakitkan hatinya, hari ini Makcik Senah berlagak baiklah pula. Macam ada muslihat sahaja. Macam hendak beli jiwa Onalah sahaja.
"Dia
nak berdamai dengan kakaklah tu. Dia tahu dia yang bersalah."
Macam
tahu-tahu sahaja Ayu apa yang sedang Ona fikirkan. Pada masa yang sama dia berharap Ona akan
sejuk hati dengan pemberian Makcik Senah ini.
Setelah apa berlaku, Ona patut bersyukur yang Makcik Senah tidak simpan
dendam atau marah dengannya.
Ona
mendengus. Walaupun hatinya sedikit
terpujuk dengan pemberian Makcik Senah ini, namun tidak pula dia mahu tunjukkan
perasaan sebenarnya kepada Ayu. Dibelek
serta diperhatikan sahaja kuih lompang itu seperti membelek sesuatu yang aneh,
yang belum pernah dia lihat sebelum ini.
Ayu sudah tergelak lagi. Geli
hati melihat gelagat kakaknya yang serupa orang jakun.
"Kuih
lompanglah, kak. Macamlah kakak tak
pernah makan. Ke kakak takut nak
makan? Takut Makcik Senah bubuh racun
dalam kuih tu ke?"
Usikan
Ayu itu tidak dibalas Ona. Dengan rasa
teruja diambil sebiji kuih lompang yang berwarna merah jambu dari pinggan. Setelah melafazkan bismillah, kuih lompang
itu dibawa ke mulut. Selepas dua tiga
kali kunyah, kepalanya mulai terangguk-angguk.
Hmm...
boleh tahan sedap. Pandai juga Makcik
Senah memasaknya. Pandai juga Makcik
Senah melancarkan strategi berkesan untuk mengambil hati Ona. Ini yang buat Ona terlebih suka dan terasa
sejuk hati mahu memaafkan Makcik Senah. Baiklah
Makcik Senah. Mulai hari ini berdamailah
kita sesama jiran. Dan terima kasih daun
keladi. Lain kali, bolehlah hulur-hulur
lagi juadah sesedap ini!