Friday 24 June 2016

Vehaen II: Rif'at (Bab 3) ~ Ainul Farihah

MESIR.
“Rafah, Khan Younis, Deir Al Balah, Gaza City dan terakhir, Jabaliya,” Mu’tasim mengulangi satu persatu destinasi yang akan menjadi persinggahan pasukan paramedik dari Malaysia. Mereka dijangka akan tiba di sempadan Rafah beberapa jam lagi.
“Dua pasukan, lima destinasi, lapan hari,” Najdat bersuara perlahan, membuat kesimpulan, namun cukup untuk didengari mereka-mereka di sekelilingnya.
“Ayuh,”. Firdaus muncul di muka pintu dengan sebuah beg panjang di tangannya. Berisi senjata panjang seperti mesingan atau pelancar roket agaknya. Miqdad mengangguk sambil memberi isyarat kepada yang lainnya. Semua yang berada di situ keluar meninggalkan Najdat dan empat orang temannya. Fida’, ‘Asim, Solah, dan Ahmad.
Miqdad yang menjadi orang terakhir keluar, berpaling sambil merenung tepat ke arah Najdat.
“Aku tinggalkan Beit Lahiya pada kau, Najdat. Apa-apa yang berlaku di Jabaliya, kau perlu turun membantu juga. Mereka sedang kekurangan tenaga dan senjata di sana,”.
Najdat angguk, cuba mengukir senyuman dan Miqdad pula, cukup yakin dengan wajah itu.
                                                            ***
SEMPADAN RAFAH.
“Kau cakap kau dah hafal,” Arif bersuara.
Mus’ab sengih, buat muka tidak bersalah. “Tengok muka kau je, aku pun jadi lupa la ayat tu,”.
“Siapa suruh pandang aku,”.
“Kau la..”.
Arif menahan tawa. “Saja nak provok kau. Setakat menghafal pejam-pejam mata, apa kelas, bro. Tak mencabar,” Bahu Mus’ab ditolak. “Baru surah Al-Hasyr, kejap lagi kau jumpa budak Gaza tau. Petik jari je kalau nak ‘tebuk’ hafazan diorang,”.
“Haa…itu mencabar,” Mus’ab menggeleng kepala. “Tak boleh jadi ni..”.
“Macam-macam la, budak dua orang ni,” Yusuf sengih sambil memandang Rif’at yang sedari tadi terhibur dengan kerenah dua sahabat yang bagaikan kembar itu. “Kenapa suka perhatikan diorang?”.
“Eh..” Rif’at tersentak. La… Yusuf ni perasan rupanya. Malu aku.. “Mana ada selalu,”.
“Kau ingat aku tak nampak?”.
Pertanyaan yang lebih kepada penyataan itu cuma disambut dengan senyuman.
“Kau debar tak ni, nak balik negeri sendiri?”. Yusuf menyiku.
Rif’at mengangguk perlahan. Jujur. “Kau? Tak takut apa-apa jadi kat kau? Aku tak apa, apa-apa jadi, aku memang dah tekad nak syahid dekat sini,”.
“Punya la syahid tu orang rebutkan, apa yang aku nak takutkan?”.
“Isteri kau..? Keluarga..”.
“Rugi la orang yang terikat dengan dunia sampai abaikan ganjaran syahid,” Selamba Yusuf menjawab. “Ganjaran syahid tu bukan calang-calang,”.
“Fuh,” Rif’at kagum. Muka toya Yusuf tetap tidak menunjukkan penyataan itu main-main. “Jawapan mantap punya,”.
Yusuf sengih. “Ada rezeki syahid, ada la. Ada rezeki balik, aku balik la Malaysia. Isteri tunggu,”.
Tawa berderai.
Rif’at memerhatikan Yusuf. Pemuda pertama yang dikenalinya dalam ekspedisi ini, juga merangkap antara peserta yang muda dalam  kalangan mereka. Apa yang buat Rif’at kagum, Yusuf ini kisahnya seperti Handzalah, sahabat Rasulullah. Baru sahaja bernikah minggu lepas. Ditakdirkan, tarikh keberangkatannya ke Gaza jatuh tidak jauh daripada tarikh majlis perkahwinannya itu. Tanpa rasa berat hati (Yusuf yang cakap), amanah itu dilaksanakan jua. Isterinya juga redha dan memahami.
Tak sempat pula aku nak tengok kau berdua walimah nanti, Am, Im… Jiwa nakal mula menyentuh isu itu, mengaitkan pula dengan Amrullah dan Imran membuatkannya terasa ingin ketawa. Aduh…tak seronoknya nak ketawa sorang-sorang pun. Dulu waktu ada dengan mereka, isu kahwin ini jarang sekali disentuh, sebab semua fokus belajar. Sekarang bila dah bergaul dengan orang-orang macam Yusuf ini, mana la dia tak terfikirkan hal itu.
Am.
Baru terfikir bahawa sebaik sahaja masuk ke sempadan Rafah nanti, talian komunikasi belum tentu dapat berjalan seperti biasa. Awal-awal lagi Haqqa dah ingatkan kerana pernah suatu ketika, Dr. Abdel Moula membawa pasukan paramedik dari Turki dua minggu lepas dan selama seminggu ekspedisi itu, Haqqa tidak dapat menghubungi ayahnya. Keluarga mereka sudah resah jikalau sesuatu buruk telah menimpa pasukan itu termasuk Dr. Abdel yang menjadi pengiring, namun seminggu selepas itu, Dr. Abdel muncul secara mengejut di rumah mereka.
Ketika itu baru Dr. Abdel mengatakan bahawa Israel ada kalanya sengaja merosakkan serta menganggu segala talian dan sistem telekomunikasi yang ada. Hatta pernah ada pasukan media yang masuk ke kawasan Gaza itu juga langsung tidak dapat melakukan lintas langsung apatah lagi menghantar berita sepanjang keberadaan mereka di situ.
Zionis. Tak pernah aman tengok hidup orang lain aman.
Am, aku dah nak masuk Gaza. Doakan aku. Kalau aku dapat, nanti aku cuba contact kau lagi bila dah masuk Gaza.
Mesej ringkas dihantar.
Inshaa Allah semua baik-baik sahaja, Rif. Doakan aku dan Im juga. Selamat pulang ke tanah air kau.
Senyum. Rif’at pejam mata. Perasaan bercampur baur tiba lagi.
***
BEIT LAHIYA, GAZA
Dua orang budak perempuan yang berjalan pulang dari sekolah ditemani si ayah meniti jalan itu dengan gembira. Budak perempuan yang lebih rendah daripada yang seorang lagi girang bercerita pada ayahnya tentang persekolahan pada hari itu. Tidak jauh dari situ, seorang wanita separuh umur dibantu oleh anaknya jelas sekali baru pulang dari pekan. Kira-kira sepuluh orang budak lelaki di kawasan lapang itu sedang bermain bola sepak dengan girang.
Semua itu menghiasi  ruang pandangan Najdat sejak awal dia menjejakkan kaki ke situ.
Sudah lama tidak ke kawasan itu. Tiada sebab untuk ke situ. Hari ini juga tiada sebab tetapi ada rasa yang mendorongnya untuk berdiri di hadapan rumah yang separa runtuh itu. Hanya bahagian kiri rumah sudah runtuh seakan dilenyek jentolak separuh jalan yang kemudiannya berundur. Tinggallah bahagian kanan rumah yang masih lagi elok, sama ada bahagian dalam atau luarnya.
Rumah lamanya.
Rumah ketika abang dan kakaknya masih hidup. Rumah yang menyaksikan kelahiran abang sulung yang tidak pernah ditemui Najdat seumur hidup, disusuli kakaknya dan Nabil, diakhiri dengan dirinya sebagai penutup dalam adik beradik. Rumah yang dibina ayah dengan titik peluhnya, tanda cinta ayah pada ibu ketika baru sahaja mendirikan rumah tangga. Kerana rumah itu punya banyak kenangan manis yang Najdat hanya sempat merasakan separuh daripadanya, dia sekali sekala hadir menjenguk. Kerana rumah itu juga punya kenangan pahit yang jika tidak dikenang sekalipun tetap akan menghantui, dia tidak berlama-lama jika berada di situ.
Kawasan sekeliling dipandang. Ada rumah yang runtuh habis, ada yang separa hancur seperti rumahnya, ada juga yang tidak terusik. Namun kebanyakan seperti sudah dilanggar jentolak zionis tanpa belas. Hari peristiwa yang menyebabkan semua itu berlaku masih lagi segar di ingatannya.
Dia masih ingat bagaimana abang berlari mencarinya kerana mendapat tahu ada sepasukan tentera zionis akan menyerang kawasan tempatnya bermain ketika itu. Akhirnya abang yang dibedil peluru tepat di dada kiri kerana tidak sempat melarikan diri. Disebabkan kehilangan darah yang banyak, abang syahid di situ. Pada mulanya, dia sendiri tidak mahu meninggalkan jasad abang di situ, namun sempat abang mengingatkan tentang keselamatan kakak di rumah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Teringatkan kakak, dia pecut laju pulang ke rumah.
Namun sudah terlambat. Roh kakak juga sudah diangkat ke langit, pulang bertemu Ilahi sedang jasadnya terbenam dalam runtuhan rumah itu. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana dia berasa amat-amat kehilangan segala yang ada di dunia ketika itu. Ahli keluarganya, satu demi satu Tuhan panggil pulang.
Hanya Tuhan yang tahu betapa terpananya dia ketika itu, hilang arah tuju melainkan mampu sujud sahaja.
Hanya Tuhan yang mengerti betapa sejak hari itu, terpercik api membara dalam jiwanya untuk membalas perbuatan zionis durjana jika diizinkanNya. Selama ini dia melihat dan memahami sahaja setiap kali melihatkan mereka-mereka yang kehilangan semua ahli keluarga. Kali ini, dia merasai.
***
RAFAH CROSSING POINT.
THUMP.
Jip baru sahaja berhenti dan jantungnya berdetak laju serta merta. Diri sendiri dia tidak boleh tipu bahawa ada juga debaran dalam hatinya. Debaran itu disebabkan apa dia juga tidak pasti. Tapi tidak lama kerana peribadi Rif’at memang tenang dan sentiasa menenangkan.
“Siapkan apa yang perlu. Kalau ada kumpulan, pecah siap-siap. Kalau ada perubahan dari segi destinasi, tarikh dan sebagainya, putuskan awal-awal,” laung Elyas, sahabat kepada Dr. Abdel Moula yang akan mengiringi mereka sehingga melepasi sempadan. Di sana nanti, akan ada orang Gaza yang bertanggungjawab mengiringi mereka sehingga hari terakhir ekspedisi.
Hari terakhir.
Hakikatnya hari terakhir itu yang akan menjadi hari pertama sekali gus permulaan kehidupan baru buat Rif’at. Dengan misi yang paling nyatanya adalah untuk mencari keluarga kandungnya semampu habis, berbekalkan sekecil-kecil petunjuk yang ada, dibekalkan oleh umi dan abi.
Rif’at tarik nafas dalam-dalam. Hembusannya diiringi basmallah, tanda dia bersedia untuk semua itu.
“Gerak…gerak…” Laungan Elyas membuatkan Dr. Irham selaku ketua pasukan mula membahagikan mereka kepada dua kumpulan kecil seperti yang sudah ditetapkan.
“Kumpulan B, gerak ke sini,” Dr. Irham melaung. Rif’at menyusuli Yusuf, diikuti Mus’ab, Arif, Irfan Halim, Azhan Asyraf, dan beberapa orang lagi termasuk dua orang paramedik wanita. Selebihnya berkumpul mendekati Dr. Nazif.  Masing-masing mengeluarkan passport siap-siap tanpa perlu menunggu arahan.
Rif’at menoleh ke kiri. Pandangannya jelas menghala ke arah pintu masuk sempadan. Gah tersergam binaan pintu masuknya itu. Kelihatan beberapa orang tentera Mesir sedang berkawal dengan raifal di tangan. Ada juga antara tentera-tentera yang berkawal itu sudah memandang ke arah mereka yang jelas sekali akan melalui sempadan itu sebentar lagi.
“Ayuh,” Teriak Elyas sambil mengetuai mereka. Dalam kumpulan, mereka bergerak ke arah pintu sempadan tersebut. Kelihatan Elyas berkomunikasi dengan seorang tentera Mesir di situ sambil kemudiannya memberikan isyarat agar mereka semua menyerahkan passport kepada ketua kumpulan untuk diserahkan terus kepadanya.
Pintu sempadan pertama merupakan pintu sempadan Mesir di mana mereka melepasi pintu itu tanpa sebarang masalah. Tidak jauh dari situ, terdapat pula pintu sempadan Rafah kedua yang dikawal oleh tentera Israel. Seperti sebelumnya, mereka semua bersedia dengan passport masing-masing.
Satu persatu nama dipanggil oleh Elyas menurut isyarat tentera Israel yang memeriksa passport mereka. Mereka yang disebut namanya mara ke hadapan untuk diperiksa tubuh serta barangan yang dibawa. Prosedurnya serupa, cuma layanan yang diberi jelas sekali berbeza. Sememangnya dengan sikap bak anjing yang rakus, barang-barang mereka dipunggah tentera Israel begitu kasar sehingga terjatuh
“Irfan Halim,”.
“Khairul Afiq,”.
Dr. Abdel Moula sendiri ada mengingatkan ketika memberi pengisian selepas Subuh tadi agar mereka banyak-banyak berdoa ketika menghadapi fasa saringan untuk melepasi sempadan ini, terutamanya pintu sempadan kawalan tentera Israel ini. Secara umumnya, memang benar mereka datang bukanlah untuk menimbulkan huru-hara, apatah lagi membawa senjata atau masuk dengan tujuan lain selain menyalurkan bantuan makanan dan perubatan. Namun tentera Israel akan ada sahaja mencari silap kecil untuk dibesar-besarkan, lantas kerana sebab tidak munasabah itu menjadi alasan yang menghalang mereka untuk melepasi sempadan itu.
Di posisi ini, kata Dr. Abdel Moula, tiada hakim, tiada peguam, dan bukan mahkamah. Sekali Israel dah hala muncung raifal ke arah mereka, itu tandanya perkara akan jadi rumit. Rumit itu payah, bukannya tidak dapat diselesaikan. Namun sebolehnya, kerumitan seperti itu mahu dielakkan. Kerana itu, mereka perlu tidak putus-putus berdoa pada Yang Maha Membolak-Balikkan hati.
“Muhammad Yusuf Qaradhawi,”.
Rif’at awal-awal lagi sudah mengagak selepas nama Yusuf, giliran dirinya pula akan dipanggil. Mereka yang sudah selamat diperiksa kini diasingkan, berada di bahagian sebelah sana. Di situ, terdapat dua orang lelaki berjambang, pengiring mereka barangkali, sabar menanti semua peserta selesai diperiksa.
Sekilas, Rif’at mencuri pandang ke arah pegawai Israel yang dia amat pasti sedang memeriksa passportnya. Kelihatan pegawai itu kini berbisik dengan pegawai di sebelahnya, dipanggil pula pegawai yang berada di dalam pejabat. Kerutan dahi yang cuba dikawal oleh Elyas sempat Rif’at pandang.
“Muhammad Aamir Rif’at,”.
Rif’at tanpa lengah berjalan ke arah pegawai tentera yang memeriksa.
“Rif’at,” Kali ini Elyas pula memanggil dari arah yang berbeza. Dia memberikan isyarat supaya Rif’at bergerak ke arah pondok pegawai yang memeriksa passport. Apa yang dia pasti, perkara yang berlaku ke atas dirinya ketika itu ternyata menjadi titik permulaan kepada impresi peserta yang lainnya. Pun begitu, Rif’at tetap dengan wajah tenangnya.
Tatkala melepasi Elyas, dia mendengar bisikan perlahan, “Tenang sahaja,”.
Angguk.
Seorang pegawai bermisai putih dengan topi kini dikepit di celah ketiaknya turun dari pondok tersebut. Rif’at dihampiri. Beberapa saat, waktu seakan terhenti. Pegawai itu merenung tajam dirinya sebelum tangan kiri menyambut huluran passport daripada pegawai yang memeriksa.
“Masuk ke dalam sana,”. Arahnya sambil menunjukkan sebuah pintu bersebelahan pondok yang menjadi teduhan tentera Israel yang lainnya.
“Kenapa?”.
Terpacul keluar soalan tersebut dari mulut Rif’at, dengan wajah tenangnya. Namun situasi itu bagi tentera Israel seakan mencabar kredibiliti mereka dalam mengeluarkan arahan veto. Elyas juga sudah menarik nafas dalam-dalam. Ini bukan kali pertama situasi ini terjadi. Dia tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Rif’at akan disoal di dalam bilik itu, barangkali jika dia berkeras atau jawapannya tidak memuaskan kehendak tentera Israel yang bertugas, dia akan dibelasah.
Apa yang berlaku padanya juga berkemungkinan menjadi penentu ekspedisi mereka.
Namun bagi Elyas, kali pertama serasanya melihat keberanian sebegitu di hadapan Israel. Dalam hati dia mengakui, mungkin juga tindakan Rif’at itu akan menambahkan kesulitan keadaan. Namun rasa kagum yang hadir tidak dapat dia nafikan.
“Ikut sahaja,” Sudah mula kedengaran kekasaran pada suara pegawai itu tadi.
***
“Jihad,” Rakan di sebelahnya bersuara perlahan.
Jihad sekadar angguk, mengiakan apa yang bermain di fikirannya dan rakan-rakannya.
“Nampaknya keadaan tak semudah yang disangka,” Rakannya itu meluahkan jua. Di balik pokok dan semak itu, tiga orang manusia itu menahan nafas sambil membuat intipan. Segala yang berlaku di bahagian pagar besar sempadan itu jelas kelihatan walaupun jaraknya tidaklah begitu dekat. Namun, apa yang kelihatan juga sudah cukup untuk memberitahu mereka bertiga apa yang terjadi.
Jihad dan rakan-rakannya bukan kali pertama melakukan tugas ini.
“Aku memang tak pernah sangka semuanya akan jadi mudah pun,” Jihad tersengih sumbing. “Sebab tu aku sediakan pasukan Afnan tidak jauh dari sini. Miqdad dari Beit Lahiya pun akan turun ke kawasan yang sepatutnya,”.
Si rakan tersengih mendengarkan bicara Jihad yang penuh keyakinan itu.
“Jadi..?”.
“Kita tunggu sekejap…”.
Mereka patuh.
***
“Moga baik-baik sahaja Rif’at di dalam itu,” Kedengaran Mus’ab berbicara. Arif di sebelahnya mengangguk. Yusuf yang turut terdengar bicara itu mengaminkan, malahan dalam hatinya turut tidak berhenti mendoakan sahabatnya itu. Sementara Rif’at dibawa masuk ke dalam sebuah bilik tidak jauh dari situ, pemeriksaan passport dan barang tetap berjalan seperti biasa.
“Kau rasa kenapa Rif’at kena tahan?” Satu suara bertanyakan soalan itu kepada Yusuf. Yusuf sendiri tidak sedar akan kehadiran senior yang dua tahun lebih tua daripadanya itu lantaran terlalu memikirkan perihal Rif’at. Hakikatnya, semua di situ turut merisaukan keadaan Rif’at itu. Meskipun Rif’at ini hanya menumpang sahaja dalam pasukan mereka, perkara yang berlaku tetap dianggap mereka bahawa Rif’at kini sebagai satu bebanan buat ekspedisi mereka.
Dahi Yusuf berkerut. “Barangkali kerana tertulis dalam passportnya itu, dia ini anak kelahiran Gaza,”.

***

Thursday 23 June 2016

Re: Kau Ilhamku (Bab 1) ~ Amany

“So you nak I buat apa ni? Congratulate you?”
Dia angkat muka pada lelaki di depannya ini. “I ajak you makan sama malam ni sebab nak raikan kemenangan I.” Lurus dia menjawab.
“Walaupun you tahu apa yang sedang terjadi pada hubungan kita sekarang ni?” Kening lelaki itu terangkat tinggi.
“Hasif, kenapa you marah sangat I dapat kes tu?” Entah kali ke berapa dia bertanya soalan itu tetapi lelaki di depannya ini masih lagi mahu main tarik tali dengannya.
Sampai sekarang dia tak faham kenapa Hasif nak marah sangat dia dapat kes baru yang nilainya agak besar walaupun berita Banie menang kes RM10 juta masih lagi hangat diperkatakan.
“Sebab kes tu dapat perhatian banyak pihak media?” Dia menyambung apabila tiada jawapan daripada lelaki itu. “Atau sebab ia melibatkan amaun yang banyak jadi you rasa I tak layak untuk uruskan kes tu memandangkan I ni junior you kat law firm tu?” Lagi satu soalan keluar.
Hasif masih lagi diam. Masih lagi tidak memandang mukanya.
“Seriously, you left me with all these unanswered questions for God knows why! And now could you please answer me?” Nadanya berubah perlahan.
“Are you sure you don’t know the answer?”
Bahunya jatuh mendengarkan jawapan Hasif. Lama dia menunggu jawapan, akhirnya soalannya dibalas soalan?
“Hasif, kalau I tahu, I tak ada tanya you.” Itu yang mampu dibalasnya. Dah memang dia tak tahu. Takkan nak menipu bahawa dia tahu?
“Apa yang kita berdua perlukan sekarang ialah masa. I don’t think this is the right time for me to answer to all your questions.” Tegang aje suara itu berlalu di telinganya.
“Selama ni you okey aje bila I dapat kes? You yang sentiasa sokong I. Even masa I dapat kes RM10 juta tu, you selalu bagi semangat pada I. Tapi sekarang ni, I….” Dia masih lagi mahu tahu jawapan kepada hubungan dingin dia dan Hasif yang dah berlanjutan selama beberapa bulan ini.
“By now you should know the answer, Ilham.” Hasif menjawab dengan mata masih lagi memandang tempat lain selain muka wanita di depannya ini. Ilham. Ilham Nurbaini. Betapa lamanya dia tidak menyebut nama hadapan gadis ini. Bila mereka di pejabat, dia lebih selesa memanggil gadis ini sebagai Banie. Nama Ilham itu hanya apabila mereka berdua sahaja.
“I really don’t know and do you mind to explain it to me?” Dahinya berkerut.
“You akan terluka.” Senada suara itu menjawab.
“I don’t care. I wanna hear the reason.” Dia menyuap satu potong stik ke dalam mulut bagi meredakan resah yang memalu jantungnya.
“Yes, memang I cemburu you dapat kes lebih besar daripada I.” Hasif mengaku juga.
“Tapi bukan I….” Belum sempat Banie membela diri, kata-katanya sudah dicantas dek peguam lelaki ini.
“I tahu bukan you yang minta kes tu. Tapi I tetap cemburu dan perasaan ni tak boleh dikawal.” Dia bukan tak mahu menyokong wanita ini. Dia tahu pentingnya untuk seorang peguam menguruskan banyak kes, supaya dikenali. Tetapi sebagai seorang lelaki, dia rasa tercabar apabila wanita ini lebih daripadanya.
Banie terus diam. Sungguh otaknya tidak boleh mencerna sebab lelaki ini melancarkan perang dingin dengannya. Hanya kerana dia lebih, jadi lelaki ini melayannya dingin begitu? Dia tahu lelaki punya ego dan ego itu setinggi Gunung Everest. Tetapi, siapa aje pun yang nak bandingkan antara kejayaannya dan kejayaan Hasif? Tak ada seorang pun di ofis tu yang tahu hubungan mereka, jadi tak ada siapa pun yang akan bandingkan mereka berdua. Dia pun bukannya kisah jika Hasif dapat kes kurang daripadanya. Gaji Hasif tetap lebih tinggi daripadanya.
Sepotong kecil beef steak masuk lagi ke dalam mulut. Lama mereka diam begitu, seolah-olah menikmati makanan di hadapan mereka, walhal tak ada siapa yang tahu apa yang berperang di dalam fikiran mereka!
“Kita dah couple berapa lama?”
Soalan mengejut daripada Hasif buat kunyahannya terhenti. Lama dia berfikir. Beef steak tadi ditelannya perlahan.
“Lebih setahun I….” Belum sempat dia habis bersuara, sekali lagi Hasif sudah memotongnya dulu.
“Are you sure dah lebih setahun?” Tajam renungan mata lelaki itu menusuk ke jantungnya.
“Sebab….” Sekali lagi kata-katanya dicantas lelaki itu.
“Dan you tak ingat hari ni hari apa?” Lagi sekali, soalan mengejut daripada Hasif buat dia terkaku.
Dia pandang tepat ke muka Hasif. “Hasif….”
“I tak sangka you macam ni, Ilham. I kecewa dengan you.” Terus Hasif bangun daripada duduknya.
“You nak ke mana?” Dia angkat muka memandang Hasif yang dah berdiri.
“I’ve got tons of cases to be handled. Yalah, entah berapa banyak kes I kena handle untuk samakan dengan satu kes you yang bernilai RM5 juta tu.” Sinis suara itu kedengaran di telinga Banie.
Kes RM5 juta? Kes yang dia baru dapat kelmarin tu ke? Macam mana Hasif boleh tahu?
“Hasif, kes tu sebenarnya bukan untuk I. But Datuk refers me to them. So I have to take it.”
“Same difference. Ilham, I don’t give a damn to any of your excuses.” Merah muka Hasif menahan marah.
“Tapi you dah janji….” Kata-katanya mati di situ.
“You yang berkeras nak ajak I keluar. Jadi tak baik I menolak kan?” Dan terus berlalu.
Banie kaku memandang pinggan stik daging lembu miliknya. Perlahan-lahan matanya digenangi air sebelum ia turun perlahan-lahan. Dan dia hanya membiarkan.



******
“Isyraf? You dengar tak apa I cakap?” Dia yang seolah-olah baru tersedar segera memaku pandangan ke arah Rita; wanita yang sedang duduk di depannya ini.
“Hmm? Where’re we just now?” Dia bertanya bagi menutupi kekalutannya.
“I tanya, next weekend you free tak?” Rita mengulang soalan yang sama.
“Ohh sorry, I akan sangat-sangat sibuk sebulan dua ni.” Dia membalas tapi dalam fikirannya masih pada wajah seorang wanita di meja belakangnya ini. Dia tahu wanita itu menangis. Dia sengaja menoleh sekilas tadi dan dia nampak wanita itu mengesat air matanya yang tumpah.
“Dah sebulan kita tak keluar hujung minggu. You asyik sibuk dengan kerja je.” Rita mula mengadu. Dia hanya senyum tawar.
“Bukan I sengaja. You pun tahukan kerja I.” Kerjaya sebagai CEO syarikat perisian banyak menuntutnya untuk selalu sibuk tidak kira masa lebih-lebih lagi jika ada projek baru masuk. Dia juga akan selalu terbang ke luar daerah tidak kiralah di dalam mahupun di luar negara.
“Tak habis-habis dengan kerja you. Nak ajak keluar pun susah.” Rita masih lagi tak puas hati.
“Rita, you kata you faham nature kerja I?” Dia tak faham kenapa sejak kebelakangan ini Rita sering sahaja cari pasal dengan Isyraf tentang kerja Isyraf.
“Kalau I faham pun, tapi you tetap sibuk macam tu jugak, I tak boleh nak buat apa kan?” Rita membalas dengan nada mahu menang.
“Rita, what is wrong with you? Kebelakangan ni you asyik bangkitkan isu kerja I je kenapa?” Terluah juga soalannya itu.
Rita letak garfu dan pisau pemotong stik di tepi pinggan. “Isyraf, kalau you tak boleh bagi komitmen pada hubungan kita, ada baiknya kita putus aje.”
“And why the heck suddenly you nak putus pulak?” Dia bertanya dengan nada terkejut.
“I nak you pilih, I atau kerja you?” Rita berpeluk tubuh.
Dia pandang Rita dengan muka tak percaya.
Lama dia diam sebelum menjawab, “And you know the answer.”
Setelah mendengar jawapannya, terus Rita bangun, capai beg tangan dan berlalu dari situ. Isyraf mengeluh. Tiada selera mahu makan lagi, dia terus angkat tangan memanggil pelayan. Selesai bayar bil, dia segera keluar.
Dalam dia berjalan perlahan-lahan menuju ke keretanya, dia nampak wanita yang menangis tadi berdiri tegak seperti mahu menyanyikan lagu Negaraku. Dia berdiri di sebelah wanita yang masih lagi khyusuk menatap langit malam yang kelam. Kepalanya turut didongakkan ke arah langit yang gelap.
“Malam ni tak ada bintang.” Dua minit suasana sunyi antara mereka, dia mula bersuara.
Wanita itu nyata terkejut dan menoleh ke kiri. Wajahnya yang terkejut masih lagi tak pudar.
“Saya bukan orang jahat.” Kedua tangannya digerakkan ke kiri dan ke kanan bagi meyakinkan wanita itu dia bukan orang jahat.
Berkelip-kelip mata wanita itu sebelum melarikan diri dari situ, kelam-kabut masuk kereta dan memecut laju.
Isyraf ketawa perlahan sebelum berjalan menuju ke keretanya. She’s so amusing!



******
Sebaik sahaja keretanya melepasi pagar pengawal, dia menarik nafas lega. Huh kus semangat aku tadi tiba-tiba ada mamat gila mana entah berdiri sebelah aku! Lepas tu mengaku bukan orang jahat. Perghh mana ada orang gila mengaku dia gila! Nasib baik dulu masa kat sekolah aku juara lari pecut! Laju jugak aku lari tadi. Hehehe.
Dia keluar dari kereta. Langkahnya dibawa lambat-lambat menuju ke lif. Ditekannya butang naik dan lif terus terbuka. Masuk ke dalam lif, dia tekan butang enam, tingkat atas sekali. Di situlah dia dan kawan-kawannya tinggal.
Elok aje dia tutup pintu kondo, kakinya diseret menuju ke ruang tamu. Tubuh badannya dijatuhkan ke atas sofa. Huwarghh penatnya! Nak buat apa-apa pun tak larat ni.
“Banie, mandi!” Kedengaran suara Hana menjerit dari dapur.
“Malas!” Banie menjawab sepatah.
“Weh, kau dah pakai baju tu lebih 12 jam tau tak? Tak berlengas ke badan?” Hana membebel sambil berjalan ke arah Banie. Di tangannya ada segelas air soya sejuk. Hana duduk di bean bag miliknya. Dia meneguk soya di dalam gelas tapi matanya tunak memerhati Banie yang melepek di atas sofa.
‘Hmmm something is wrong with her. Definitely.’ Hana berkata di dalam hati.
“Kau dah makan?” Hana bertanya sebaik air soya satu gelas itu dihabiskannya.
Banie angguk dengan bersusah-payah.
“Aku ingatkan kau tak dinner lagi. Tu ada kita orang simpan lauk untuk kau kat dapur. Kalau tiba-tiba kau lapar, panaskan je la.” Hana letak gelas yang dah kosong di atas meja kopi.
Banie usap-usap perutnya. “Aku kenyang lagi. Nantilah kalau lapar balik, aku makan.” Selalunya dia memang begitu, bila dah malam-malam buta, dia akan lapar balik.
“Okey.” Hana terus bangun dan bawa gelasnya ke dapur. Selesai, dia terus ke biliknya. Sebelum pintu bilik dibuka, Hana menoleh ke belakang atau lebih tepat lagi ke arah ruang tamu. “Jangan lupa mandi!” Suaranya dikuatkan sedikit.
“Hmmmmmm.” Banie menjawab malas.



******
Hujan yang turun mencurah-mencurah diperhatinya dengan penuh minat dari balik tingkap yang bertutup. Lama dia berkeadaan begitu; berdiri tegak tanpa buat apa-apa selain memerhati hujan yang masih lagi lebat turun menyimbah bumi.
Nafas berat dihela perlahan. Dia tak tahu apa yang silapnya dalam hubungan dia dan Hasif. Dia peguam, Hasif juga peguam. Masing-masing faham kesibukan yang melanda setiap kali mereka dapat kes. Dia perasan Hasif semakin menjarakkan diri sejak dia dapat kes bernilai RM10 juta tu. Dia tahu ramai peguam di firmanya ambil berat akan kes tu kerana selain melibatkan amaun yang tersangat banyak, kes itu juga mendapat liputan meluas kerana ia melibatkan seorang ahli perniagaan yang terkenal.
Dia juga tahu, Hasif sangat-sangat berminat untuk handle kes tu. Tapi sebaliknya dia yang dipilih. Walaupun dia rasa dia masih tak layak untuk handle kes sebesar itu, tapi Hasif harus tahu, kes saman fitnah merupakan specialty Ilham Nurbaini. Sampai ke hari ini, dah berpuluh kes saman fitnah yang diuruskan oleh Banie. Apabila dia cuba terangkan pada Hasif, Hasif menolak penerangannya itu.
Selama ini Hasif tak pernah begitu. Hasif sentiasa menyokongnya tak kiralah betapa kecil pun kes yang dia dapat. Dia pun begitu, tak pernah ‘cemburu’ setiap kali Hasif dapat kes besar-besar.
Tapi tadi kenapa bila dia cuba mencari jawapan kepada hubungan dingin mereka, Hasif membalas, “Are you sure you don’t know the answer?” Sumpah dia memang tak tahu apa, bagaimana dan kenapa hubungannya dan Hasif boleh jadi begini. Jika dia tahu, ingat dia nak biarkan aje hubungan ini dingin terus-menerus?
Sekali lagi dia menghela nafas berat. Dah berbulan dia dan Hasif dingin begini. Sejak hari pertama dia dapat kes tu, sehinggalah semalam selepas dia menang kes tu. Mujur hubungan mereka belum dapat dihidu rakan-rakan sekerja. Jadi dia bolehlah buat biasa-biasa saja setiap kali berdepan dengan Hasif.
Banie baring di atas katil. Kedua belah tangannya didepangkan luas. Matanya menengadah siling. Hasif, what is wrong with us? Adakah tadi petanda tamatnya hubungan kita? Hasif….
Sekejap, tadi Hasif tanya, dah berapa lama kita orang couple. Banie capai telefon bimbit di atas meja di sisi katil. Dia buka kalendar tahun lepas. Kalau dah setahun lebih, maksudnya….. Eh tapi tak ada? Bukan setahun lebih? Ah sudah! Dia jadi teringat pada soalan Hasif tadi, “Dan you tak ingat hari ni hari apa?” Shoooooot jangan cakap….! Dia terus buka ke bulan yang betul-betul setahun lepas. Ada satu tarikh bertulis, ‘Me *heart* Hasif’ Dahinya ditepuk berulang kali. Sengallah kau Banie!
Nama Hasif dicarinya di dalam telefon bimbit itu sebelum didail. Satu deringan, dua deringan, tak diangkat dan ia berkesudahan dengan suara operator yang menjawab panggilannya. Dia matikan panggilan tadi. Jemarinya lincah mendail nombor yang sama. Sekali lagi suara operator yang menjawab.
Dengan hati yang nekad, dia tinggalkan pesanan suara.
“I’m sorry. I yang salah tapi I masih persoalkan kenapa hubungan kita dingin.” Dan terus dihantarnya.
Sungguh dia terasa seperti orang bodoh saat ini!
Lama dia berbaring begitu, menengadah siling dalam bilik yang kelam ditemani hujan yang masih lagi turun mencurah-curah. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Buru-buru dia capai. Sebaik melihat nama pemanggil, terus dia slide butang menjawab panggilan.
“Hasif….” Sayu nada suaranya.
“I’m sorry.” Serentak mereka minta maaf.
“I tak patut buat you tertanya-tanya begitu. Sepatutnya bila you tak tahu, I beritahu. Dan I tak patut cemburu dengan you.” Hasif dah menyambung dulu.
“I sangat-sangat tak ingat. I minta maaf. Dan I tahu ini bukan pertama kali.” Banie mudah lupa pada tarikh jika dia terlalu sibuk dengan sesuatu. Dia akui itu. Dia pernah lupa pada tarikh lahir Hasif, dia lupa pada temu janji untuk sambut hari lahir Hasif, dia juga selalu lupa pada tarikh-tarikh penting orang lain. Tarikh lahir sendiri pun dia selalu lupa, janganlah berharap dia akan ingat tarikh lahir orang lain!
 “Tentang makan malam tadi, I tahu I tak patut cakap macam tu pada you. I tahu you berniat baik nak raikan kemenangan you dengan I, tapi I masih tak boleh.”
“I minta maaf.” Sekali lagi kata maaf itu diucapnya.
“I pun bersalah juga dalam hal ni, Ilham.”
“Hasif?”
“Hmm?”
“Are we okay?”
Lama tiada balasan dari talian sebelah sana tetapi dia masih menunggu dengan penuh sabar.
“Yes.”

Terus melebar senyuman Banie.

Tuesday 21 June 2016

Re: Kau Ilhamku (Prolog) ~ Amany

n.) : “Anything that makes you happy or brightens your day from the smallest thing to someone who means a lot to you”

“Kau kat mana?”
“CAC.” Cultural Activity Centre.
“Oh, tak pergi library?”
“Rajin la sangat aku nak mengulang library-CAC macam jiran sebelah kan.”
Diha ketawa.
“Aku ingat kau pergi library. Aku nak minta tolong fotostatkan kes. Tapi tak apa la, aku cari online je.”
“Sorry la weh aku memang seharian kat CAC dowh. Rasanya aku dah hafal setiap inci CAC ni.”
Diha di talian sebelah sana ketawa lagi.
“Kau tengah buat apa tu?”
“Ni ada break sebelum dinner. Aku tengah taip WS terchenta ni haa.”
“Weiii relaks je kau?”
“Casts baru buat operasi mengejar wardrobe team beramai-ramai. Hampir aje aku nak baling Dell terchenta ni tau. Dah la baru lepas full dress rehearsal. Mau mati terduduk kita orang.” Dah la pakai selipar je, dapat pulak kena berlari ke sana ke sini sebab mengejar casts, mujur tak ada yang tersungkur patah riuk.
“Yalah Banie. Aku tau kau sibuk, sorry ganggu. Sambung la kerja WS tu.”
“Ya, Diha. Kirim salam sayang kat Ijah. Cakap kat dia, rajin-rajin la membakar lemak tu.”
Kahkah. Sakan Diha ketawa. “Kau ni, kan Ijah tengah gila MASUM tu. Kau pulak yang dia bakar karang.”
“She won’t. Ijah sayang aku okkey.” Betullah Ijah sayangkan Banie, sebab entah dah berapa kali Banie ‘kutuk’ Ijah, tapi Ijah masih lagi boleh gelak-gelak dan terima ‘kutukan’ Banie tu.
Diha mencebik walaupun dia tahu Banie tak nampak. “Aku hang up dulu.”
“Okey.”
“Salam.”
“Waalaikumussalam.”
“Siapa?” Mimi bertanya. Dia pun sedang sibuk menaip WS di dalam komputer ribanya.
“Diha. Dia ingatkan kita kat library.”
“Urgh. Aku dah tak larat nak menghadap jurnal segala bagai kat Law Section tu.” Mimi menggeleng kepala membayangkan dia memang tak larat betul.
“Tapi balik bilik ni ada orang tu kena baca kes.” Dania yang baru tiba dengan sebotol air minuman menggiat Banie dan Hana. Dania dan Mimi tak perlu baca kes untuk tutorial kerana mereka berlainan tutorial dengan Banie dan Hana, jadi pensyarah pun berlainan. Pensyarah Banie dan Hana memang suka bagi satu set kes (lebih daripada 5 kes yang pastinya) yang perlu mereka baca dan kemudian mereka akan bincangkan di dalam tutorial.
Tetapi lain pula halnya dengan tutorial Dania dan Mimi. Pensyarah mereka hanya berikan soalan-soalan yang kemudiannya akan dibincangkan di dalam tutorial. Well, kena jawab soalan lebih mudah berbanding baca kes-kes yang tengok nama kes sahaja dah boleh buat mereka terlelap. Hahaha!
Banie menyikunya. “Hantu la kau.”
“Boleh tak sehari je please, sehari je tolong jangan ingatkan aku pasal Criminal cases. Pretty please?” Hana dah muka mengharap.
“Weh Hana, oh Banie pun, balik ni kau orang kena baca kes Criminal, jangan lupa.” Dan terus berlari ke tangga besar.
“Dona, you stop right there! Stop sebelum aku baling selipar ni kat kau!” Banie dah mengugut dan buat gaya nak cabut-selipar-di-kaki.
Dania menjelir lidah sebelum ‘mendaki’ lebih jauh sambil ketawa.
Banie bercekak pinggang. Bibirnya diketap kuat. Dia baru sahaja mahu menjerit apabila tiba-tiba kedengaran bunyi gitar di belakangnya. Atau lebih tepat lagi dari hujung sana pentas utama.
Dia berpaling ke belakang.



******
Dia sedang duduk menjulur kaki di hujung pentas utama sambil memangku gitar kesayangannya. Rehat sekejap sebelum makan malam. Kakinya digoyang ke depan dan ke belakang. Memang ini tempat lepak dia pun setiap kali waktu rehat. Nak borak dengan orang lain pun, dia bukanlah kenal sangat pun dengan budak-budak ni kecuali budak-budak band dia.
Dia bukanlah pelajar universiti ni. Dia datang ke sini pun atas jemputan Ayem, bandmate-nya ketika di kolej dulu yang mengatakan, “Zephyr will be performing for IPAC or Islamic Performing Arts Concert, but we are short of a guitarist. Kau boleh tolong cover tak, bro?” Itu maksudnya dia kena balik Malaysia dan kena punggah semula barang-barang lamanya demi mencari gitar yang entah di mana dia simpan. Dia sengaja beralasan, “Boleh ke budak luar main untuk program uni kau?” Ayem balas, “Boleh je. Aku dah tanya Mr. Director, dia bagi aje. Lagipun kan kau dah biasa dengan program besar-besar macam ni. So macam mana?”
Jeda seketika. Tak lama lepas tu terus dia balas, “Bila aku kena touchdown Malaysia?” Dan dia dapat agak, Ayem dah tersengih-sengih di talian di hujung sana.
Dia memandang ke depan atau lebih tepat lagi ke tengah CAC. Ada dua orang pelajar perempuan sedang sibuk menaip di laptop. Lagi seorang sedang sibuk berbual apa entah dalam telefon. Manakala yang lagi seorang baru tiba dengan sebotol air minuman. Dia tahu dia orang tu wardrobe team. Sebab dia pernah nampak dia orang masuk melalui salah satu pintu CAC ni sambil kedua tangan kiri dan kanan sibuk memegang baju-baju yang bergantungan di penyangkut baju. Ada juga yang menyeret beg tarik besar gedabak.
Lepas tu dia pernah jugak nampak dari atas pentas utama ni, beberapa orang casts teater ke hulu ke hilir mencari dia orang berempat. Even Director dan Assisstant Director (AD) pun cari dia orang. Seronoknya jadi casts, ada orang jaga pakaian. Dah macam artis la pulak ye!
Dia baru nak tuning gitarnya apabila tiba-tiba dia terdengar orang menjerit. Atau lebih tepat lagi orang perempuan menjerit.
“Dona, you stop right there! Stop sebelum aku baling selipar ni kat kau!”
Dia ketawa kecil melihat aksi dua orang pelajar perempuan itu. Tapi entah kenapa, tingkah pelajar perempuan yang dah angkat kaki kanan gaya macam nak cabut selipar di kaki menarik perhatiannya.
Tanpa dia sedari, jemarinya dah sedia memetik gitar. Man Bai - Kau Ilhamku berlagu di bibir.
“Wow! Kau ilhamku!” Ayem menyapanya.
Dia hanya tunduk tanda acknowledge sementara jari-jemarinya masih lagi berlari di atas tali gitar.
Habis sahaja lagu, kedengaran tepukan gemuruh di sana sini. Ada yang bersiul bagai. Dia hanya ketawa. Pandangannya dibawa kepada seseorang yang dah berjaya ‘dipakukannya’. Dia senyum manis sebelum mock salute.

Mata Banie membuntang. He....he’s smiling at me?? Oh. My. God!

Monday 20 June 2016

Vehaen II: Rif'at (Bab 2) ~ Ainul Farihah

  BEIT LAHIYA, SEMENANJUNG GAZA
            Terik mentari tengahari itu membuatkan tubuhnya bermandi peluh, lencun membasahi bajunya. Ditambah lagi dengan dirinya berlari-lari anak menyusup masuk ke kawasan bangunan kosong itu. Rutin hariannya sebaik sahaja pulang dari sekolah.
“Bagaimana kau di sekolah hari ini, Najdat?” Tanya si kakak.
Najdat tidak terus menjawab  dalam kepalanya sedang menyusun ayat. Nabil, abangnya turut memandangnya mendengarkan pertanyaan kakak. Sedari tadi dia tidak bersuara, sehinggalah pertanyaan kakak mengalihkan perhatian mereka kepadanya.
“Kau macam nak berkata sesuatu..” Nabil mengagak. Naluri seorang abang.
Diam.
“Katakan,”. Lembut kakak menggesa.
“Aku mahu berhenti sekolah,” Najdat berkata seraya mengangkat muka. Penyataan berbunyi permintaan ringkas itu mengundang kerutan pada dahi abang dan kakaknya.
Kakak tersenyum. “Tapi kenapa?”.
“Aku mahu kerja macam abang, sara keluarga kita,”. 
Kedengaran bunyi hembusan nafas berat daripada abang. “Kau belajar, Najdat. Biar abang sahaja yang sara keluarga kita. Belajar itu juga satu jihad,”.
Dan usul si abang disokong oleh kakak.
Najdat gigit bibir. Bayangan memori ketika kakak dan abang masih hidup ditepis jauh. Itu pun ketika itu, ayah baru sahaja meninggalkan mereka. Pemergian seorang demi seorang ahli keluarganya sedikit demi sedikit mengubah perwatakan Najdat. Daripada seorang yang selalu tersenyum dan banyak menceriakan suasana berubah menjadi seorang yang lebih banyak mendiamkan diri. Senyum juga jarang sekali. Gelak tawa apatah lagi.
Kerana pesan abang dan kakak itu lah, dia masih bersekolah sehingga hari ini. Mahu bekerja, hanya diri sendiri yang perlu dia sara. Itu pun dia secara rasminya diletakkan di bawah pusat penjagaan anak yatim, bersekolah juga bawah tanggungan mereka. Sewaktu abang dan kakak masih ada, mereka turut ditawarkan untuk berlindung di bawah pusat anak yatim itu.
Namun abang menolak. Katanya, masih ramai anak yatim yang harus dijaga oleh pusat penjagaan anak yatim itu. Pusat penjagaan seperti itu sudah tidak lagi banyak di Gaza ini, tapi anak yatim saban hari bertambah dek tindakan zionis yang rakus membunuh sesiapa sahaja sesuka hati mereka. Kerana itu abang bersungguh menyara kehidupan seharian mereka.
Aaah… abang Nabil dan kakak sudah selamat sampai di sana. Sana yang jauh lagi aman dari sini.
                                                                                                ***
Zaman sudah menjangkau era modenisasi, namun seakan era itu tidak wujud di bumi Palestin. Beberapa tahun lepas, tekanan dahsyat telah diberikan ke atas Gaza dan Tebing Barat oleh pihak Israel, dengan sokongan padu Amerika Syarikat dan beberapa negara barat  yang lain. Tidak ketinggalan yang menyumbang sokongan moral terhadap Israel ketika itu adalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tunduk pada kuasa-kuasa veto, barangkali. Negara-negara lain? Diam seakan takut terhadap kuasa besar Amerika. Hanya beberapa negara sahaja yang berani bersuara, mengatakan pendirian.
Kerana itu kata orang, diam itu lebih membunuh.
Sejak itu lah Israel mengganas melebihi kebiasaannya. Lelaki dewasa semuanya ditangkap dan ada yang dibunuh tanpa sebab. Hanya sedikit sahaja yang tinggal, seperti para peniaga, guru, dan ‘tidak dicurigai’ mengikut definisi Israel sendiri. Sebarang pergerakan ketenteraan dan parti politik semuanya diharamkan seratus peratus, seakan-akan Gaza dan Tebing Barat sudah rasmi diisytiharkan sebagai kawasan Israel menyebabkan zionis seakan-akan melakukan ‘pembersihan’ terhadap kawasan mereka.
Kerana itu, Palestin kini seakan terumbang-ambing tanpa pemerintahan mahupun sebarang pergerakan. Sekejam-kejam dan seganas-ganas zionis, ada satu perkara yang membuatkan zionis tidak mampu menakluk Palestin secara penuh.
Semangat anak mudanya.
Dalam diam, zionis sebenarnya gentar dengan semangat juang anak muda Palestin. Sejak akhir-akhir ini, sering sahaja memberi kejutan kepada mereka dengan serangan balas atau serangan mengejut. Namun pergerakan remaja-remaja Palestin ini amat halus sehingga tidak dapat dikesan. Tambahan, kebanyakan mereka disibukkan dengan persekolahan.
Kerana itu, liciknya zionis ini sehingga pernah suatu ketika, mereka mengebom sebuah sekolah yang penuh dengan pelajarnya. Alasannya, ada gerakan ketenteraan bersembunyi di sekolah itu. Dalam banyak-banyak kawasan, sekolah adalah kawasan yang paling sensitif selain hospital untuk ‘disentuh’ oleh zionis, apatah lagi jika sekolah itu penuh dengan pelajar.
Maka dengan perbuatan itu, ada la juga suara-suara daripada negara lain mengecam tindakan itu. Pun begitu, tatkala zionis menerima kecaman dahsyat, Palestin merasai sedikit keredaan serangan daripada pihak zionis itu. Sejak daripada itu juga, zionis seakan menunjukkan sikap ‘tolak ansur’nya dengan membenarkan mana-mana pihak yang mahu menghantar tidak lebih dari sekadar bantuan perubatan dan makanan sahaja. Sungguhpun begitu, peristiwa pengeboman itu tetap memberi kesan kepada seluruh warga Palestin, di Semenanjung Gaza terutamanya. Seakan hidup mereka sudah tiada jaminan lagi.
Jaminan yang ada cumalah keimanan bersauh kukuh dalam hati mereka, meyakini janji Ilahi terhadap orang yang dizalimi. Juga zionis mungkin lupa, jiwa pemuda Palestin ini tidak sama dengan jiwa anak muda di luar sana.
Dikira tersilap langkah bila mana zionis hakikatnya ‘mengambil’ lelaki-lelaki dewasa Palestin, dan meninggalkan anak-anak muda berjiwa besar ini.
Silap.
***
“Si kecil Najdat kita sudah tiba,” Sapaan Suhaib membuatkan semua yang berada di dalam ruangan itu menumpukan pandangan ke arah pintu masuk. Najdat seperti biasa, mengangkat tangan seakan membalas sapaan itu. Beg sandang rabaknya diletakkan di tempat biasa. 
Kerusi berhampiran Suhaib ditarik. Suhaib dan kebanyakan mereka yang berada di situ berusia jauh lebih tua daripada dirinya. Dia pula baru menjangkau usia 14 tahun tiga minggu lepas. Pun begitu, Najdat ini sangat dikenali dalam kalangan mereka sebagai anak muda yang licik dan bijak dalam mengatur strategi, tangkas dalam pergerakan serta punya kematangan dan keyakinan yang tinggi dalam membuat keputusan. Kerana itu juga, Najdat mempunyai satu aura yang membuatkannya dihormati oleh kebanyakan pemuda-pemuda di situ.
Hanya sikap pendiamnya sahaja yang membuatkan Najdat kekal rendah diri dan tidak terlalu terkehadapan. Cuma apabila pendapatnya dipinta, dia bersikap professional. Mungkin kerana satu lagi faktor yang membuatkan Najdat dikenali adalah kerana senior-senior di situ kebanyakannya teman-teman arwah abangnya, Nabil. Kerana itu juga, mereka semua memahami perubahan sikap Najdat daripada mesra dan selalu tersenyum kepada tidak banyak bercakap dan jarang sekali tersenyum.
“Seorang sahaja?” Miqdad bertanya.
Najdat mengangguk sepi.
“Solah mana?”.
“Pulang ke rumah, adik perempuannya sakit,”.
“Ouh..”.
Jeda seketika. Najdat melontar pandangan ke arah luar tingkap yang tidak berkaca, memandang langit petang nan cerah. Untuk seketika, suasana sekelilingnya seakan bisu. Dia termenung sehinggalah batuk seseorang menarik perhatiannya. Lambat-lambat dia menoleh kepada seorang lelaki yang tegap tubuhnya, berjambang halus dan rapi yang kini berdiri tidak jauh dari situ. Miqdad namanya. 8 tahun lebih tua daripada dirinya, juga merupakan pemimpin bagi mereka di situ. Di kawasan Beit Lahiya.
“Ehem,” Miqdad tersenyum sambil anak matanya menatap satu persatu wajah manusia yang berada di situ, dan tatapannya terhenti pada Najdat. Senyuman tidak berbalas, seperti biasa.
“Berita terkini yang kita terima adalah mengenai satu pasukan perubatan yang dihantar daripada Malaysia akan tiba di sini lagi dua hari,” Tanpa membuang masa, Miqdad terus sahaja melompat ke topik utama. “Disebabkan sejak pengeboman sekolah minggu lepas, zionis  sudah kurang membuat serangan kepada kita. Maka, kita boleh tumpukan misi seterusnya untuk melindungi pasukan perubatan yang akan masuk ini. Ya, Ahmad?”.
Ahmad yang mengangkat tangan sebagai adab untuk mencelah kini menurunkan tangannya perlahan-lahan. “Mereka masuk secara sembunyi atau melalui pintu sempadan Rafah?”.
“Yang aku tahu, kedatangan mereka ini rasmi, berkemungkinan besar guna pintu sempadan Rafah. Tapi aku khuatir dengan zionis yang licik itu…” Miqdad menyuarakan keraguannya.
“Bila-bila masa sahaja mereka boleh haramkan kemasukan pasukan itu, dengan pelbagai alasan tak munasabah rekaan mereka,” Firdaus menyambung. Mereka yang lain turut mengangguk. Masak benar dengan perangai busuk zionis.
Sungguhlah, dalam Qur’an sahaja Allah sudah menyebut mengenai kelicikan kaum Yahudi ini.
“Aku sudah hubungi Jihad di Rafah sana, dan ternyata benar telahanku, dia perlukan juga bantuan kita di sini sebagai back up,” ujar Miqdad.
Rafah. Hanya kurang sejam dari Beit Lahiya tempat mereka berada ini. Gaza ini, dari hujung ke hujung, perjalanannya cumalah mengambil masa satu jam jika berkenderaan. Benar, kecil sahaja. Memang hakikatnya amat mudah sebenarnya untuk Israel dibantu lagi dengan Amerika dan negara lain untuk menghabiskan sahaja kawasan sekecil itu.
Namun ternyata tak semudah yang disangka.
Kalau Gaza sebesar itu juga tidak mampu lagi Israel lenyapkan sehingga hari ini dek kerana semangat warganya, apatah lagi Tebing Barat sana yang jauh lebih besar. Itupun, si kotor zionis sudah berani menawan Masjidil Aqsa dengan mengharamkan warga muslim Jerusalem menjejakkan kaki ke situ.
“Jadi untuk dua hari ini, selain mengawal keamanan kawasan kita, kita akan fokus juga pada pasukan perubatan ini…”.
Najdat, meskipun diam, fokusnya tetap dihalakan pada perbincangan mereka.
                                                                                                ***
SEMPADAN RAFAH, MESIR
Seingat Rif’at, bandar Rafah yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Gaza itu terbahagi dua ketika termeterainya Perjanjian Camp David pada tahun 1982. Rafah bahagian Gaza dan Mesir. Dengan jumlah penduduk yang kini kurang daripada 120 000 orang, terdapat banyak kem pelarian di Rafah. Bagi orang-orang yang pernah dengar mengenai Rafah, pasti akan dikaitkan dengan pintu sempadan yang menjadi pintu masuk ke dalam kawasan Semenanjung Gaza.
Pasukan perubatan dari Malaysia itu dipecahkan kepada dua petempatan sebelum mereka masuk ke Rafah, Gaza pada esok hari. Peserta perempuan yang cuma berlima menumpang di rumah lain manakala selebihnya di rumah Dr. Abdel Moula, seorang doktor warganegara Mesir yang bertanggungjawab menyediakan petempatan mereka buat sementara di Mesir.
Untuk hari pertama, kebanyakan mereka hanya berehat. Padah kena jet lag gamaknya. Pada malam hari, baru lah mereka berpeluang beramah mesra dengan Dr. Abdel Moula serta ahli keluarganya. Dr. Abdel ternyata amat mesra dan fasih berbahasa inggeris bersama mereka.
Namun tatkala matanya menangkap kelibat Rif’at yang agak tersembunyi ditambah lagi dengan diamnya dia, terus keluar bahasa arab ‘ammi Mesirnya.
“Kamu dari Malaysia juga?”.
Rif’at mengangguk sambil tersenyum.
“Macam anak arab.. Doktor juga?”.
Jawapan tersekat di kerongkong Rif’at yang ternyata tidak tahu mahu mengeluarkan apa sebagai jawapan. Bakal doktor… Kalau jawab bukan doktor mahupun paramedik, perlukah dia berterus terang mengenai penglibatannya dalam ekspedisi ini? Ah…kalau macam tu, panjang la cerita jadinya.
“Oh, ini la anak Dr. Abu Khairuddin dan Dr. Amina,” Dr. Irham selaku ketua rombongan bersuara melihatkan wajah Rif’at yang seakan ragu-ragu untuk menjawab. Mendengarkan penyataan ringkas itu sahaja sudah cukup untuk mengubah riak wajah Dr. Abdel yang kini tersenyum lebar sambil mengangguk penuh semangat.
“Oh… ini anak Gaza itu,” katanya. “Aamir Rif’at,”.
“Betul, doktor,” Yusuf menepuk bahu Rif’at yang duduk di sebelahnya itu.
Rif’at pula hanya sengih, tersipu-sipu. Nampak sangat umi dan abi bukan calang-calang orang.
Itu kisah malam tadi. Hari ini pula, selama seharian peserta ekspedisi semuanya melakukan persiapan akhir sebelum melepasi sempadan Rafah pada esok hari. Rif’at tidak ketinggalan, walaupun bukan tujuan utamanya menyertai paramedik ini untuk berbakti, namun ilmu kedoktoran yang dia pelajari sepanjang di Vehaen University tetap membolehkannya ikut campur untuk membantu mereka yang lain. Seperti selalu, perwatakan Rif’at amat menyenangkan semua orang.
Selesai solat isya’ berjemaah, kebanyakan mereka mengambil angin di kawasan luar rumah Dr. Abdel sambil melakukan persiapan di foyer rumah tersebut. Rif’at tidak ketinggalan, mengambil angin seketika sambil duduk di kerusi batu. Dia mendongak.
Langsung kelihatan bintang-bintang bertaburan di langit malam yang pekat. Seperti sebelum ini, bulan tidak kelihatan. Sekarang masih awal bulan. Kalau sudah masuk pertengahan nanti baru bulan penuh akan kelihatan agaknya. Aaah… bila bicara tentang bulan ini…
“Cari bulan, bang?”.
Mendengarkan suara yang tidak lagi asing di telinganya sejak tiba di Mesir dua hari lepas membuatkan Rif’at tersenyum. Dia memandang seorang pemuda yang lebih muda daripadanya, berusia dalam lingkungan 16 tahun barangkali, anak ketiga Dr. Abdel yang agak rapat dengannya. Haqqa. Mungkin atas faktor Rif’at mampu berkomunikasi dalam bahasa arab dengan lancar yang membuatkan Haqqa senang berbual dengannya. Meskipun ada tikanya Rif’at tidak dapat menangkap bahasa arab ‘ammi mesir yang digunakan Haqqa dek kerana terbiasakan mempelajari bahasa arab fushah. Bahasa arab ‘ammi yang paling dia mahir secara natural pun semestinya ‘ammi Palestin. Mesir, sedikit cuma.
Anggukan diberikan sebagai menjawab pertanyaan Haqqa. Sengaja dia beralih sedikit, memberikan ruang untuk Haqqa duduk bersama.
“Dua minggu lagi, ada la bulan penuh. Kalau waktu itu abang tengok dari Gaza sana, pasti lebih cantik,” kata Haqqa.
“Betul,” Rif’at mengiakan.
Jeda. Diselangi dengan tawa mereka-mereka yang lain di bawah bumbung perkarangan rumah kerana terhibur dengan gelagat Mus’ab dan Arif. Dua manusia yang turut menarik perhatian Rif’at sejak berkumpul tempoh hari. Mahu tidak mahu, gelagat mereka berdua ternyata mengingatkannya pada Amrullah dan Imran. Bertekak selalu, tapi tetap ‘kamceng’.
Aaah… atau aku yang terlebih rindu mereka? Rif’at sengih sendiri. Ukhuwah tidak pernah gagal membuatkannya terus tersenyum, hatta ketika berjauhan seperti itu.
“Untungnya abang,”.
“Huh?” Rif’at toleh pada Haqqa. “Kenapa cakap macam tu?”.
“Dapat kembali ke Palestin, berjihad menentang zionis di sana,” Haqqa tunduk memandang kaki yang menguis tanah. Tangan Rif’at lekas memaut bahu Haqqa. Baru sahaja mahu membalas kata-kata anak muda itu, Haqqa bersuara lagi.
“..dan aku terus berada di sini. Dengan pemerintah liberal yang cuma berbangga dengan bangsa arabnya, tapi langsung tak ambil peduli tentang jiran kami, Gaza. Bersekongkol pula dengan Israel itu. Belum kira lagi kalau dalam bab mengikut telunjuk Amerika Syarikat itu..”.
Haqqa kemudiannya diam manakala Rif’at menunggu beberapa ketika sebelum bersuara.
“Haqqa,” Damai sahaja suara Rif’at memanggil nama itu. “Kita berada di akhir zaman, di mana cabaran buat orang Islam ini semakin bertimpa-timpa. Tapi ini bukan pengakhiran. Jihad abang mungkin bermain dengan raifal, kereta kebal, dan bom zionis. Jihad kau mungkin untuk menjadikan Mesir ini satu negara Islam yang lebih baik dari hari ini. Usia kau baru belasan tahun, ternyata jihad kau itu dalam menuntut ilmu ketika ini. Dengan ilmu itu nanti kau mampu jadikan Mesir ini lebih baik daripada apa yang kau lihat hari ini,”.
“Mampukah?”.
“Kalau kau tak yakin dengan diri sendiri pun, sekurang-kurangnya yakinlah dengan ayat Allah,”.
“Dia kata pada kau macam tu?” Rif’at bertanya.
Imran semangat mengangguk. “Itu yang buat aku sentap, sebab ternyata betul pun apa yang dia cakap,”.
“Hebat kau,” Senyuman melebar di bibir Rif’at. “Ayat Allah ternyata tidak meragui apatah lagi diragui,”.
“Aku cuma warga Mesir marhaen. Aku tahu bukan aku seorang cemburu dengan anak-anak Gaza sana,”. Suara Haqqa menarik Rif’at keluar dari lamunannya.
“Kalau kamu tak yakin dengan apa yang abang cakap, sekurang-kurangnya yakinlah dengan ayat Allah,” Rif’at mengungkap. Haqqa memandangnya lalu mengangguk.
“Sampaikan salam dan cemburuku pada pemuda Gaza di sana nanti,”.
“Inshaa Allah,” Rif’at dalam diam, turut kagum dengan anak muda yang seorang ini.
                                                                                ***
BIRMINGHAM, UNITED KINGDOM
Kuliah pada hari itu tidak pula penuh seperti selalunya. Belum dikira lagi sesi kelas pada petang itu batal kerana pensyarahnya kemalangan. Dengar cerita, pensyarah itu baik-baik sahaja fizikalnya. Cuma kereta Vauxhall Astra baharunya remuk di bahagian depan bertembung dengan Ford Fiesta yang dibawa oleh seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.
Pendek cerita, hari ni kelasnya sedikit sahaja.
Tapi penatnya terasa semacam. Mungkin sebab pembatalan kelas itu digantikan dengan turun ke padang, main bola bersama Syafiq, Shah dan lain-lain. Setakat main macam biasa petang-petang, apa la sangat penatnya.
“Allah…” Amrullah raup wajah. Telefon pintar di sebelah kepalanya dipandang. Pagi tadi Rif’at sudah mesej. Seperti biasa sejak sepeninggalannya, dia bertanyakan khabar, bagaimana hari itu, dan menceritakan keadaannya. Sesak juga hatinya apabila Rif’at bertanyakan tentang Imran yang tidak menghubunginya langsung. Alasan yang sama dia kemukakan untuk mengelak daripada berbohong. Sungguhpun rasa bersalah hinggap di jiwa, namun dia bertekad, bila dia rasa masanya sudah tiba nanti barulah dia akan berterus terang pada Rif’at berkenaan kondisi Imran.
“Aargh…” Kenapa ni… Amrullah pejam mata. Seketika dia mula teringat. Rif’at akan melepasi sempadan Rafah tidak lama lagi. Hari ini. Rif’at juga memberitahunya, dia tidak memberi sebarang jaminan bahawa sebaik sahaja dia memasuki Gaza, apakah dia akan mendapat isyarat komunikasi ataupun tidak.
Moga baik-baik sahaja, Rif. Kau kan pejuang… Hati menembak doa.