Wednesday 6 January 2016

Balang Cinta (Bab 6) ~ Wizana Emilia

Jam di pergelangan tangannya menunjukkan pukul 8.15 malam. Malam ini Shamsul pulang agak lewat. Sebelah petang tadi, dia ke Nilai berjumpa pelanggannya. Bidang hartanah yang diceburinya menyebabkan waktu kerjanya tidak menentu. Urusan kerjanya bergantung kepada kelapangan masa bakal-bakal pelanggan berpotensi, bukan bergantung kepada kelapangan dirinya sendiri.
            Lebih 10 tahun Shamsul berkecimpung dalam industri hartanah negara. Telah banyak rumah-rumah yang berjaya dijual olehnya. Shamsul punya nama baik dalam industri ini. Tambahan pula, dia bernaung di bawah Quest Realtor, syarikat ejen hartanah yang berkredibiliti di Malaysia. 
            Mujurlah juga pasaran hartanah negara berada dalam kedudukan yang stabil. Tidak seperti zaman kegawatan dulu, ramai ejen hartanah yang terpaksa gulung tikar. Zaman itu dia masih berada di bangku sekolah. Cerita-cerita menakutkan tersebut menjadi epik yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh rakan-rakannya dalam industri ini.
            Tangannya membelok stering pacuan empat roda Honda CRV ke dalam pagar rumah semi D miliknya. Rumah ini dibelinya tiga tahun yang lalu, dua bulan selepas dia melafazkan akad nikahnya dengan Ernieza.
Honda CRV berwarna hitam itu diparkir bersebelahan dengan kereta Myvi milik isterinya. Sudah menjadi kelaziman, Ernieza akan sampai dulu di rumah memandangkan tugas hariannya sebagai seorang guru sekolah kebangsaan. Shamsul pula hanya sesekali sahaja mendahului isterinya. Itu pun sekiranya dia benar-benar tidak ada temu janji, tidak sihat atau pun terlalu penat.
Pintu masuk utama yang diperbuat dari kayu dan bercat putih itu ditolak perlahan. Kepalanya menjenguk ke dalam rumah. Dilihat isterinya duduk bersimpuh di atas sofa, sedang tekun menulis sesuatu.
"Darl, you buat apa tu?" Shamsul menegur Ernieza, apabila isterinya seakan-akan tidak menyedari kehadirannya.
"I tengah ada banyak idea ni. Kejap ye, sayang," jawab Ernieza. Isteri kesayangannya semakin laju menulis dan tidak menoleh langsung ke arahnya.
"Apa yang you buat ni, darl?" kali ini Shamsul menghampiri Ernieza. Lehernya dipanjangkan untuk membaca tulisan yang tertera pada kepingan kertas di atas riba isterinya. Dahinya berkerut. "Awak suka makan apa? Kalau jawapannya ayam goreng, sila jawab: Samalah. Saya pun suka ayam goreng. Apa ni, darl?! You tengah buat skrip untuk drama ke?" soal Shamsul, hairan.
Ernieza ketawa dan berhenti menulis.
"Bukanlah sayang. I tengah buat skrip untuk Firas."
Wajah Shamsul semakin berkerut. Bibirnya dimuncungkan ke depan.
"Untuk apa? Pelik benar ni."
Ernieza tersenyum.
"Ini je cara kita nak tolong."
"Tolong Firas?"
Isterinya mengangguk.
"Ha’ah."
"I don’t get you, darl," berkerut wajah Shamsul memikirkan kata-kata Ernieza.
`Tolong buat skrip?! Untuk apa?!' soalan-soalan bermain dalam fikiran Shamsul.
"Khyra minta Firas telefon dia," balas Ernieza.
"Then?"
"Sayang... Dalam hidup ni, peluang cuma datang beberapa kali sahaja. Ini adalah peluang terakhir untuk satukan Firas dan Khyra."
"Then?" Shamsul masih tidak faham. Penjelasan Ernieza mengelirukannya.
"Kalau harapkan Firas, dia mesti tak tahu apa nak cakap. Jadi, I buatkan skrip untuk dia," ujar Ernieza, tersengih.
"Skrip?"
"Ha'ah. Skrip dialog untuk Firas hafal. Talah gagap nanti Firas bila bercakap dengan Khyra!" nada teruja keluar dari bibir Ernieza.
Mata Shamsul membuntang.
"Woohoo! Sekarang baru I faham. Dahsyatnya you ni, sampai buat skrip!" balas Shamsul, teruja.
"Terpaksa! Kalau tak buat macam ni, memang kayulah dua-dua tu," kata Ernieza.
Shamsul ketawa.
"Bukan kayu, darl. Hati batu gitu." 
"Lebih kuranglah tu, batu dan kayu," Ernieza juga ketawa.
"Skrip ni untuk Firaslah ye?" soal Shamsul.
"Yup."
"Jadi, Khyra pun sukakan Firas?" .
"Ya. Tapi dia pun buat andaian yang sama. Katanya, Firas yang tak suka dia."
"Hah, dorang memang sehati sejiwa," senyum terukir di bibir Shamsul.
"Yup. Kata Khyra lagi, masa date night kelmarin, Firas langsung tak senyum kat dia," tambah Ernieza.
Semakin bulat mata Shamsul membuntang!
"Disaster betullah Firas tu! Memang patut pun you buatkan skrip ni untuk dia! Nasib baik esok weekend. Darling, apa kata kita ajak Firas lunch kat rumah? Tengah hari esok?" cadang Shamsul.
"Bukan dorang je sehati sejiwa... Kita pun sama, sayang! I baru je nak cakap benda yang sama! Tadi balik dari jumpa Khyra, I pergi beli barang sikit. Esok lunch I nak masak nasi briyani," ujar Ernieza, tersenyum.
"I love it! Love you, darl and love your nasi briyani. Eh, you buat nasi briyani ayam atau kambing?" soal Shamsul, gembira.  
"Mestilah kambing! Kan last week you kata, dah lama tak makan briyani kambing?"
"Ini yang I sayang you sangat! You selalu buat mimpi I jadi realiti," ujar Shamsul, ketawa. "Nanti I call Firas, minta dia datang esok. Harap-harap dia tak ada apa-apalah esok," sambungnya lagi, tersenyum meleret.

*****************
         
            "Banyaknya!" keluh Firas.
            "Have to. Kau nak ke tak nak?" soal Shamsul, tegas.
            Firas mengeluh lagi.
            "Macam susah je?" 
            "Apa yang susahnya? Kau tinggal berlatih dan baca je pun!"
            "Siap nak kena berlatih ke?"
            "Yelah! Nanti nampak sangat kau baca skrip. Kau kena biasakan dan guna tone suara yang betul."
            "Huh, leceh! Malas betul..." rungut Firas lagi dengan suara yang ditekan-tekan meluahkan ketidakpuasan hatinya.
            "Kau bukan malas, tapi sengal!" marah Shamsul. "Aku dan Kak Ernie nak tolong kau. Bukannya nak menyusahkan kau! Cuba kau tengok soalan-soalan tu, biasa je kan? Tak ada yang merapu atau mengada-ngada. Kalau kami tak buat macam ni, kau bukannya reti nak berbual nanti!" bebel abangnya lagi.
            Firas terdiam. Matanya merenung 10 soalan yang ditulis cantik pada dua helai kertas bersaiz A4 yang berada di tangannya. Kata-kata Shamsul memang ada benarnya. Soalan-soalan yang ditulis itu adalah soalan-soalan lazim dalam perbualan. Bukan soalan merapu yang boleh memalukannya.
            "Tapi nak mulakan ni bukannya senang," rungut Firas lagi.
            Shamsul merenung Firas dengan ekspresi marah.
            "Itu sebab kakak kau dah siap tulis dialog permulaan! Please la bro... Kau kena buat ni semua. Apa-apa pun kau kena minta maaf dulu kat Khyra. Date night hari tu kau yang spoilkan! Kalau kau tak mengaku salah, nampak sangatlah yang kau ni memang ego dan sengal," leter Shamsul.
            "Betul ke dia suka aku?" soal Firas, enggan percaya.
            "Betul.. Dia kata kau yang tak suka dia." 
            "Kenapa pula dia rasa macam tu?"
            Wajah Shamsul berkerut.
            "Sepatutnya aku yang tanya kau soalan tu! Sebab kau yang dating dengan dia! Kalau aku yang dating dengan dia, bolehlah aku yang beritahu kau. Haih, apalah kau ni," sungut Shamsul. "Hah, aku ada ingat something. Dia kata kau tak senyum pun kat dia sepanjang dinner tu."
            Berkerut dahi Firas.
            "Aku tak senyum?! Gila! Aku dah senyum! Takkan nak tersengih sepanjang masa?" 
            "Jangan nak angin kat aku! Manalah aku tahu? Kot senyuman kau kurang manis. Baik kau berlatih senyum depan cermin. Jangan buat muka ketat je sepanjang masa," ujar Shamsul mematahkan marah Firas.
            Hati Firas terasa bengang dan sebal.
            "Bila aku nak kena call dia?"
            "Lagi cepat lagi bagus."
            "Huh!"
            "Kau nak call ke tak?" nada suara abangnya kedengaran seperti mengugut. Firas bertambah bengang.
            "Iya... Nanti aku call."
            "Bila?"
            Terasa mahu sahaja Firas menumbuk muka Shamsul!
            "Kau juga yang kata kena berlatih intonasi yang betul! Bagi aku masa sikit. Biar aku bersedia dulu," amarahnya tadi dapat juga dikawal baik.  
            Shamsul tersengih.
            "Jangan ambil masa lama sangat. Khyra memang tengah tunggu kau."
            Firas mengangguk lemah.
            "Lepas ni, apa lagi aku nak kena buat?"
            Abangnya ketawa.
            "Kita tengoklah macam mana dulu. Tak sangka kau tanya aku soalan tu. Memang betullah kata Ernie, harapkan korang memang tak jalanlah."
            Firas merenung marah.
            "Guys, jangan stress. Apa kata kalau minum kopi dulu?" tegur Ernieza yang menghampiri mereka berdua dengan menatang dulang di tangan.
            Dua mug kopi diletakkan di atas meja. Aroma harum dari mug kopi berkenaan menusuk ke rongga hidung Firas.
            "Terima kasih kak," ucap Firas.
            "Sama-sama," balas Ernieza. "Firas faham tak tulisan Kak Ernie tu?" 
            Firas mengangguk.
            "Insya-Allah faham."
            "Itu je yang kami mampu nak tolong Firas. Selebihnya terpulang pada Firas dan Khyra sendiri. You all kena berusaha untuk ambil hati masing-masing," ujar kakak iparnya, tersenyum.
            "Saya cuba kak," jawab Firas.
            Kopi itu diteguknya perlahan.
            `Jika ini caranya, aku kena cuba,’ hati Firas berbisik.

Di kelopak matanya, terbayang wajah polos perempuan bernama Khyra yang sedang tersenyum manis kepadanya. Suatu perasan aneh terdetik indah.