Monday, 2 December 2013

Lelaki Januari (Bab 5): Hafizah Iszahanid


CAMERON HIGHLAND hujan lebat petang itu. Selebat air mata dan esak tangis Wairah. Dia ikut bermalam di The Smokeold House. Dan sudahnya, Ali Syukri lebih banyak masa bersamanya. Mendengar ceritanya dari restoran hingga ke lobi hotel.
Mulanya aku ikut serta, tapi lama kelamaan aku jadi muak. Aku hanya tunggul dalam perbualan itu. Jika aku cuba mencelah, baik Ali Syukri atau pun Wairah tidak langsung menyambut.
Hatiku jadi panas. Apa sebenarnya dimahu Wairah? Ya, dia putus cinta, dia sedang merana tetapi tidakkah dia mahu menghormati kedudukan Ali Syukri sebagai suami? Suami kepada Delaila Ahmad Lokman? Tidakkah dia mahu menghormati aku sebagai isteri?
“Saya rasa cukup-cukuplah sesi meluahkan perasaan dan masalah. Mungkin lebih baik Wairah masuk ke bilik dan tidur saja. Esok kita sambung cerita,” aku mencelah.
Wairah tersentak. Ali Syukri juga. Wairah mengesat air mata.
“Syuk ? ,” dia memandang Ali Syukri seolah-olah ingin mendapatkan kepastian.
“Ya, esok saja kita sambung. Lelaki bukan seorang .. jangan sedih sangat. Awak pasti dapat pengganti yang lebih baik,”
Aku duduk di sebelah Ali Syukri. Memaut lengannya dan mengajaknya pergi. Tapi langkah kami terhenti waktu Wairah memanggil.
“Syuk, boleh saya nak berbual lagi? Sekejap saja… kalau tidak sudi tak apalah.. saya balik KL malam ni,” Wairah, suaranya lembut tapi berbaur ugutan
Di luar sana, gelap malam dengan lebat hujan. Kalau aku, mahu saja aku katakan, ha .. pergilah kalau kau berani. Tapi kerana Ali Syukri itu lembut dan sopan orangnya dia memandangku sebelum memandang Wairah dan berkata,
“Insya allah, saya rasa Wairah perempuan bijak dan cantik tidak akan berfikiran singkat sebegitu. Saya masuk dulu, jumpa pagi esok,”
Dan kami berlalu. Dalam hatiku melonjak riang. Yeahh !!
Waktu aku berpaling, Wairah berwajah masam. Entah, aku tidak tahu apa yang ada jauh dalam sudut hatinya.
Hujan di Cameron membawa hingga ke pagi. Langit mendung saja, rintik hujan masih bersisa. Tanah basah dan ada lopak-lopak air di  halaman.
Kami perlu pulang ke Kuala Lumpur petang ini. Itu janji dengan emak Ali Syukri. Kerja kahwin Mak Cu Athirah bermula petang ini.
Tapi hujan masih mencurah. Aku mula resah. Seribu satu rasa datang menyinggah, perjalanan turun dari Cameron Highland dengan jalan basah dan hujan yang masih mencurah sedikit menyeramkan.
Wairah entah di mana, aku tidak pasti. Keretanya tiada di halaman. Mungkin dia redah pulang ke Kuala Lumpur malam tadi juga. Hati meneka-neka sendiri.
“Hujan, tapi kita balik juga ya ?,” Ali Syukri memandangku. Aku angguk dan kami meredah hujan masuk ke kereta.
Rupanya, bahana hujan menyebabkan aku demam, batuk dan selesema yang silih berganti. Hingga pulang ke Nottingham, aku berasa tidak sihat. Sudah banyak ubat ku ambil tapi masih juga begitu.
Majlis kahwin Mak Cu Athirah hanya tinggal majlis untukku. Selebihnya aku hanya berbaring dalam bilik.  Ali Syukri pun sibuk melayan tetamu, jadi biarlah aku memilih untuk bersendiri.
Mak Cu Athirah cantik sungguh. Dengan tudung ungu lembut dan songket ungu kuat, dia sangat sepadan dengan suaminya, Jeffri Hidayat itu. Mak Cu Athirah berusia 33 tahun, jauh sungguh jaraknya dengan umurku.  Tapi ialah, jodoh itu ketentuan tuhan!
Duduk melayan diri sendiri di bilik, aku jadi makin letih dan lesu. Terbaring di katil tanpa tenaga. Kadang kala terasa air mata mengalir sendiri panas mengelunyur ke pipi. Bukan sedih bukan menangis, tapi mungkin panas.
Dan saat aku lesu terbaring tidak bermaya, aku tersentuh dengan keprihatinan Ali Syukri. Dia menjagaku sebaiknya. Dia berada di sebelah, mententeramkan saat aku terbangun dan meracau di tengah malam.
Dia menyuapkan makanan dan minuman. Dia mengelap tubuh dengan tuala basah. Dia juga akan duduk di sebelah membacakan ayat suci Al Quran. Dia mendukung ku masuk ke kereta untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Saat itu aku hanya ada dia. Dan jujur aku katakan, saat itu seluruh kemarahan ku mencair.
“Ini tanggungjawab suami Laila ,” selalu Ali Syukri mengulang-ulangkan ayat itu apabila aku memohon maaf atas semua salah silapku. Betapa aku malu dengan tingkah lakuku. Betapa aku malu dengan kasih sayangnya.
Dan sungguh, aku jatuh cinta lagi dengan dia. Dengan Ali Syukri, dengan lelaki yang bergelar suami.
Satu ketika, aku teringat-ingat sabda baginda Rasulullah SAW maksudnya, “ sampaikanlah kepada wanita-wanita yang kamu jumpa bahawa taat kepada suami dengan penuh kesedaran maka pahalanya seimbang dengan pahala perang membela agama Allah tetapi sedikit sekali daripada kamu sekalian yang menjalankannya,’
Perkahwinan adalah jalan terbaik menuju syurga. Dan kerana semua itu, aku turut saja apa yang Ali Syukri mahukan. Ali Syukri itu mahukan rumah kami berseri dengan suara bayi.
Kali ini aku belajar memahami, menuruti dan mematuhi. Untuk dia, Ali Syukri.

No comments:

Post a Comment