Haninah sudah pun
serba-sedikit berkemas barang-barang yang mana perlu dibawa ke Boston. Satu beg
pakaiannya sudah penuh dan disorong ke bawah katil buat sementara waktu.
Passport dan visa sudah diperolehi, tersemat kemas di dalam beg sandangnya –
digantungkan di tepi dinding. Kapal terbangnya akan berlepas pada hari Rabu
minggu depan. Hari itu hari Sabtu. Ibu
dan abahnya masih belum tahu, namun dia bercadang untuk memberitahu abahnya
petang nanti, selepas dia pulang dari bendang.
Kini dia berasa sedikit teruja untuk melawat negara asing
itu bersama Ainun. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian membayangkan Boston
sepertimana yang diceritakan oleh Ainun dan seperti yang dilihatnya di
gambar-gambar dalam internet. Mungkin benar kata Ainun, berada di tempat yang
asing buat seketika mungkin mampu menghembuskan sedikit semangat untuknya. Dia
lantas membisikkan doa ke hadrat Ilahi agar harapannya itu dimakbulkan.
Kedengaran di luar motosikal buruk abahnya sudah menjerit
di halaman rumah. Baru pukul 12, menandakan abahnya sengaja pulang awal hari
ini untuk makan tengahari bersama-sama. Lebih senang kalau memberitahu mereka
semasa makan nanti, fikir Haninah. Haninah bergegas ke dapur, membantu emaknya
menghidangkan makanan.
Dia duduk bersetentangan dengan abahnya di meja makan.
Lelaki tua berumur lebih 60 tahun itu sedang bersemangat menceritakan bagaimana
tanah kebun kelapa sawitnya yang satu ini mencatat jualan rekod berbanding
bulan-bulan lain.
“Dekat 3 tan bulan ni.
Cuaca hujan panas macam ni lah yang baik sekali. Kalau dah masuk musim hujan
nanti dah tak dapat macam ni.” sambil makan, dia sibuk mengomel.
Haninah menambahkan
sesenduk lagi nasi ke dalam pinggan Pak Ngah Hamdan sambil dia masih lagi asyik
bercerita tentang kebun kelapa sawitnya itu.
“Abah,” potong Haninah
untuk memulakan bicara.
Ayahnya mengangkat
muka. “Hmm… kenapa?” tanyanya sambil mulut masih lagi perlahan-lahan mengunyah
makanan.
“Ninah nak minta
kebenaran abah ni. Si Ainun, dia nak berjumpa dengan tunangnya Umar. Jadi dia
mengajak saya untuk menemankan dia. Sekarang ni si Umar masih di –”
Sedang
Haninah berkata-kata, kedengaran bunyi deruman kereta di luar rumah. Kuat dan
jelas. Setiap kepala memaling ke arah bunyi itu. Kereta itu kedengarannya
diletak benar-benar di hadapan rumah.
“Biar abah tengok
sekejap.” kata abahnya yang sudahpun selesai makan dan membasuh tangannya.
Haninah mengeluh kecewa. Hampir benar dia hendak memberitahu, ada pula yang
mengganggu.
Tidak
lama ayahnya keluar kedengaran bunyi riuh rendah dengan suara-suara yang sangat
dikenali Haninah. Suara kanak-kanak kecil bercakap kuat dan satu suara lelaki
dewasa yang memang sangat dikenalinya.
Abang sulongnya, Azam
yang tinggal di Terengganu.
Dan benar seperti yang
dijangka, muka abang sulungnya muncul di hadapan pintu dapur disusuli tiga
orang anaknya yang kelihatan lebih kurang sebaya, serta isterinya Latifah.
Kenapa pula balik waktu begini? Leter Haninah di
dalam benaknya. Sekarang bukannya Deepavali, atau Raya Cina, atau Raya Puasa.
Biasanya mereka tak akan balik hujung minggu begini. Terengganu bukannya dekat,
fikirnya lagi.
Ketiga-tiga
anak Azam yang masing-masing berumur 3, 6, dan 8 tahun meluru ke arah nenek
mereka di meja makan, menjerit “Nenek! Nenek!”. Mak Ngah Rafidah kelihatan
terkejut bercampur gembira menerima tubuh-tubuh kecil itu di dalam dakapannya.
Diusap-usapnya kepala cucu-cucunya sambil dia tersenyum lebar.
Kak Latifah yang bertudung biru muda dan berbaju kurung
merah menghulurkan tangannya dan disambut oleh Haninah. Dia tidak berkata
apa-apa, dan wajah biasa yang ditunjukkan tiap kali datang ke sini. Suram dan tidak
teruja. Bahkan lebih sugul dari biasa. Begitu juga ekspresi wajahnya bila dia
bersalam dengan ibu mertuanya.
“Mak.”
sapanya, seperti terpaksa. Tidak pun bertanya khabar walau sepatah. Kelihatan
jelas riak jauh hati di wajah Mak Ngah Rafidah. Membuatkan Haninah juga
mempunyai perasaan yang sama setiap kali dia melihat kakak iparnya itu.
Tersinggung.
Latifah kemudian terus duduk di salah satu kerusi di meja
makan itu, hanya memandang ke arah suaminya dan bapa mertuanya yang masih lagi
berbual-bual.
Itu jugalah sebabnya mengapa Haninah merasa pelik kenapa
tiba-tiba sahaja mereka terjenguk di sini tanpa diduga; memberitahu terlebih
dahulu pun tidak. Kakak iparnya itu seperti selalu, suam-suam kuku sahaja.
Biasanya mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak perlu pulang menjenguk.
Kadang-kadang bila ada cuti panjang pun mereka akan mengelak dengan berbagai
alasan.
Abang
Longnya itu pun sama, dua kali lima. Jarang sekali hendak memikirkan tentang
orang tua. Melainkan kalau ada pertolongan yang diperlukannya. Sudah berapa
kali pulang semata-mata hendak meminjam wang dari abahnya. Tiada maksud lain.
Satu perkara yang
mengecewakan Haninah ialah betapa senangnya abahnya ‘membeli’ apa sahaja yang ‘dijual’
oleh abang sulungnya itu. Tidak kiralah apa pun cerita dari abang Long yang
sampai, mudah sangat percaya. Jika tidak percaya pun, mudah sangat kasihan,
mudah sangat akur untuk membantu.
Maka
abangnya itu tidak pernah mendapat balasan dan pengajaran. Tidak pernah
mengenal erti susah yang sebenar-benarnya. Oleh itu tidak pernah hendak belajar
untuk berdikari. Setiap kali dia terhantuk dan terngadah, ada sahaja tangan
yang sedia memangkunya. Memikirkan
tentang itu, hati Haninah mendidih geram.
Namun
bila difikirkan semula, itulah lumrahnya hati seorang ayah. Seburuk-buruk mana
pun, tetap anaknya juga. Takkan sampai hatinya membiarkan anak sendiri
tercungap-cungap dan tergapai-gapai, tiada haluan.
Setelah bersalam dengannya dan ibunya, abang Longnya
duduk di meja makan. Di situ jelas kelihatan wajahnya kusut, letih dan tidak
bermaya. Mesti ada sesuatu yang tak
kena lagi, fikir Haninah di dalam benaknya. Dia bingkas bangun membuatkan
air minuman untuk tetamu yang baru sampai itu.
“Sebenarnya abah, emak,
saya sudah lama dibuang kerja. Sudah masuk tiga bulan.” Azam membuka cerita.
Wajahnya ditundukkan ke meja makan. Haninah tidak terkejut mendengar kata-katanya.
Mak Ngah Rafidah
beristighfar.
“Kenapa Long?” dia
bertanya kepada anaknya.
“Susah saya nak
jelaskan, Mak. Panjang ceritanya. Senang cerita, saya dikhianat di tempat
kerja.” jelas Azam dengan perlahan dan teragak-agak. Isterinya hanya
memandangnya dengan wajah kosong dan muram. Pak Ngah Hamdan
menggeleng-gelengkan kepala. Keluhan panjang dilepaskannya.
Haninah
menjeling ke arah abangnya, cuba membaca air muka lelaki itu. Mungkin ada
benarnya abangnya itu dikhianat. Tetapi kalau difikirkan akan sikap panas baran
abangnya itu yang kadang-kadang boleh membawa kepada konflik dan salah faham,
masalah selalunya berpunca darinya sendiri.
Haninah menghidangkan
air minuman di atas meja sambil telinganya peka mendengar.
“Saya juga ada masalah
nak membayar sewa rumah di Paka tu. Mana nak membayar kereta lagi, api air.
Anak sekolah lagi. Jadi, nak minta kebenaran abah dan emak buat sementara waktu
ni supaya kami dapat tinggal di sini, sampai saya dapat kerja yang lain.”
sambung Azam, tunduk. Isterinya
kelihatan tidak senang duduk di atas kerusinya. Anak-anak mereka sudah pun riuh
rendah bermain di luar rumah, tidak menyedari segala masalah yang menimpa
ibubapa mereka.
Suasana di dalam dapur
hening buat seketika.
“Banyak sangat masalah kau ni Azam. Lepas satu, satu yang
aku dengar.” Pak Ngah Hamdan bersuara. Jelas yang dia sendiri sudah penat
dibebani oleh masalah anak sulungnya itu. Azam mendengar dengan wajah mencuka.
“Aku dengar dari orang
kampung ni, kau ada berhutang dengan dua tiga orang lagi di sini. Masih belum
langsai. Betul ke?” tambah Pak Ngah Hamdan lagi.
Azam terkedu dengan pertanyaan itu. Mulutnya terbuka
seperti hendak mengatakan sesuatu. Tetapi dibatalkan niatnya, terpaksa membenarkan
apa yang dikatakan oleh abahnya itu.
Pak Ngah Hamdan
menggeleng kepala. Mak Ngah Rafidah kelihatan seperti hendak menangis.
“Macam inilah.” sambung
Pak Ngah Hamdan setelah beberapa lama berfikir.
“Kamu dan keluarga kamu
boleh tinggal di sini, dengan syarat kamu tolong aku bekerja di kebun sawit dan
sawah padi yang ada beberapa petak lagi tu. Upah yang aku berikan pada kamu,
kamu gunakan untuk keluarga kamu dan beransur-ansur kamu bayar hutang-hutang
lapuk kamu tu.”
Mendengar kata putus
abahnya itu, Azam mengangguk-angguk perlahan.
Begitulah
kalau sudah terdesak, detik hati Haninah. Akhirnya sanggup juga memegang tanah
dan lumpur. Kalau sebelum ini cakap dan lagaknya sentiasa gah. Kalau tidak
memakai tali leher dan baju kemeja, bukan kerja namanya. Begitulah kalau Tuhan
mahu mengajar, tidak perlu menunggu lama.
Haninah
juga dapat melihat wajah terdesak dan keterpaksaan kakak iparnya. Mungkin kakak
iparnya itulah yang paling merasa tersepit dengan masalah ini. Masakan tidak,
terpaksa menumpang ihsan daripada orang-orang ‘asing’ yang tidak pernah
digemarinya.
Haninah yakin, sudah tentu abang Long dan kak Latifah
sudah pun cuba meminta tolong daripada keluarga sebelah kakak iparnya. Cuma
setakat yang dia tahu, keluarga kak Latifah itu pun bukan orang-orang senang.
Rumah pun hanya rumah papan kecil, tidak mampu menampung kedatangan orang baru.
Namun terdetik di hati Haninah simpati akan anak-anak
saudaranya yang masih kecil itu. Memikirkan mereka, Haninah cuba bersikap
redha.
Setelah beberapa ketika, Haninah tersedar daripada
gelumang masalah yang dibawa oleh abangnya dan menyedari masalahnya sendiri
kini yang semakin terbeban. Lantas dia bergegas meminta diri masuk ke bilik
tidur. Tanpa bertangguh dia menyambar telefon bimbit yang terletak di atas
katil dan mula mendail.
“Wa”alaikumussalam.”
dia menjawab salam yang sudah pun diberikan menerusi corong telefon itu.
“Ainun, aku ada masalah
besar ni.”
“Apa dia?” Ainun
bertanya.
“Abang Long aku, ada di
sini.”
“Bila pula dia balik?
Kenapa kau tak cakap dengan abah kau awal-awal?”
“Aku sedang bercakap
dengan abah akulah tadi tu, tiba-tiba sahaja dia sampai. Tak sempat nak
bagitau.”
“Bila dia balik semula
ke Paka?”
“Dia takkan balik.”
“Hah!?”
Lantas Haninah
menceritakan berita terbaru tentang abangnya itu.
“Macammana ni Ainun?”
tanyanya lagi meminta nasihat.
“Aku
pun pening kepala juga Ninah. Walaupun aku tak duduk serumah dengan kau, faham
benar aku dengan abang Azam tu. Dari kecil aku kenal perangai dia. Suka sangat
dia mencari pasal dengan kau. Ingat lagi aku masa arwah Zahid mula-mula datang
beraya dulu, disoal-siasatnya arwah tu bagaikan pegawai polis menyoal
penjenayah. Minta maaflah, terus-terang aku sendiri memang tak berkenan dengan
sikap abang Azam tu.” kata Ainun dengan sedikit rasa bersalah.
“Itu engkau. Aku ni?
Setiap kali dia di sini aku rasa nak menjinjit beg keluar dari rumah ni, kau
tau!” balas Haninah, panas hati. Hatinya bergolak resah.
Haninah memang tidak pernah serasi dengan abangnya yang
sulung itu. Azam sentiasa mahu menimbulkan kemarahan hatinya. Sangat suka
mengambil tahu dan masuk campur perihal peribadinya lebih dari yang perlu.
Mentang-mentang dia abang yang paling tua. Memikirkan yang dia akan tinggal di
rumah ini membuatkan Haninah berasa lebih tidak senang hati.
Selain
Azam, Haninah mempunyai dua orang lagi abang yang masing-masing sudah berkerja
dan berkeluarga – Abang Langnya, Hasbi berada di hujung semenanjung, di Gua
Musang, Kelantan. Abang Ngahnya, Khairul pula tinggal nun jauh di Singapura,
kerana peluang bekerja sebagai pensyarah di sebuah Universiti di sana tidak
dapat ditolaknya.
Jarang kedua-dua abangnya itu pulang ke
kampung atas alasan jarak yang jauh itu. Tambahan pula abang Longnya kini sudah
tinggal di sini, Haninah yakin mereka bertambah gembira kerana tidak perlu
pulang selalu.
Walaupun hubungan Haninah dengan dua lagi
abangnya itu tidaklah serapat mana, dan kadang-kadang dia sendiri berasa kecil
hati melihat sikap endah tak endah mereka dalam mengambil berat soal orang tua,
namun tidaklah sampai dia mempunyai perasaan yang sama seperti perasaannya
terhadap Azam. Azam memang seolah-olah tidak pernah menganggap dirinya sebagai
adik. Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, bagi Azam Haninah
terlalu dimanjakan oleh kedua-dua ibubapa mereka.
Pada
masa yang sama, Haninah merasakan yang dia akan mempunyai masalah untuk
mendapatkan izin abahnya supaya dia boleh ke Boston. Abangnya mungkin akan
masuk campur. Sudah menjadi fitrah Azam untuk sentiasa membuat orang lain
mendengar pendapatnya, dan jika tidak diterima, naik anginlah dia. Bagi
abangnya itu, Haninah perlu patuh mendengar cakapnya sama seperti dia perlu
patuh kepada kedua-dua orang tuanya.
“Emm.. aku tak suka nak
menghasut kau, tapi bagaimana kalau kau menipu sikit?” cadang Ainun secara
tiba-tiba. Haninah tersentak, tetapi tidak dinafikan yang dia ada juga
memikirkan perkara yang sama.
“Maksud kau?”
“Kau cakaplah yang kau
hendak menemankan aku ke KL saja selama beberapa hari, tak perlu cakap yang
kita hendak ke Amerika…” jelas Ainun.
“Kalau dia bertanya
bagaimana? Aku tak mahu menipu abah dan emak aku, Ainun. Tak tenang hati aku di
sana nanti. Lagipun bayangkan kalau apa-apa jadi. Masalah besar nanti..” jawab
Haninah. Dia merasa serba salah.
“Aku faham, betul juga
tu. Susah macam ni...” keluh Ainun. Masing-masing terdiam sebentar di gagang
telefon. Kedengaran suara riuh-rendah anak-anak saudaranya yang masih lagi
belum berhenti bermain.
“Beginilah, kau cakap sajalah pada abah
kau. Tak perlu nak mereka-reka cerita. Kalau dia bagi, bagilah. Kalau kau tak
dapat pergi, aku tak marah. Jangan risau semua tu. Yang penting, hati kita
senang.” sambung Ainun.
“Betul ke ni?” tanya
Haninah kepada sahabat baiknya itu. Terfikir dia akan passport dan visa yang
sudah pun dibuat dan dibayar oleh tunang sahabatnya itu.
“Betul. Aku tak kisah.
Kau cuba je dulu, minta kebenaran dari abah kau. Baca doa banyak-banyak sebelum
tu.” nasihat Ainun.
“Baiklah.” jawab
Haninah perlahan.
Di suatu petang di luar rumah, Azam sedang duduk di atas
kerusi rotan sambil melihat anak-anaknya berkejar-kejaran di atas tanah halaman
yang lapang dan tidak berumput. Kelihatan beberapa ekor ayam jiran sedang
mematuk-matuk di tanah, mencari makan.
Pak Ngah Hamdan sedang duduk di gigi tangga,
membersihkan tapak kasut berkebunnya yang dilekati lumpur tebal lebih seinci.
Dia mahu ke kebun lagi, menjenguk pekerja-pekerja yang sedang menguruskan
tandan-tandan sawitnya.
“Macam mana dengan si
Haninah tu bah? Dah habis sedihnya?” tanya Azam tiba-tiba, kepada Pak Ngah
Hamdan.
“Entahlah, macam itu
juga.” jawab Pak Ngah Hamdan pendek sambil dia meneruskan kerjanya.
“Tak mahu kahwin ke
dia?” tanya Azam lagi.
“Tak mahu katanya. Dah
jenuh aku dan mak kau mencarikan calon. Dia memang tak nak. Menangis dia kalau
dipaksa sangat.” Pak Ngah Hamdan mengeluh. “Biarlah dia. Kalau dipaksa-paksa
pun dia tak mahu, nak buat apa. Kalau sampai masanya nanti, kahwinlah dia.”
tambahnya lagi sambil dia menyarungkan kasuh getah ke kaki. Tongkat motosikal
dinaikkannya, sudah bersedia untuk pergi.
“Mengada-ngada si
Haninah tu.” bisik Azam kepada dirinya sendiri.
Matanya masih lagi memandang ke arah anak-anaknya yang
sedang bermain. Pak Ngah Hamdan menghidupkan enjin motosikalnya lalu bergerak
pergi ke kebun. Asap berkepul-kepul tinggal terawang-awang di tengah laman.
Memang sudah rutinnya pergi ke kebun waktu-waktu begini dan pulang semula
sebelum waktu makan tengahari.
“Naufal!” tiba-tiba
Azam melaung nama anaknya yang paling tua. Tanpa membuang masa anak yang
berumur 8 tahun itu berlari ke arah bapanya, patuh.
“Pergi panggil Ucu
Ninah di dalam bilik.” Azam menyuruh sambil memandang anaknya itu dengan
pandangan yang tajam.
Naufal pun terus
berlari masuk menuju ke bilik Haninah dan mengetuk-ngetuk pintu.
Sejurus Haninah membuka
pintu, melihat anak saudaranya tercegat, mendongak dan memandang ke arahnya.
“Kenapa, Naufal?”
tanyanya lembut.
“Ucu Ninah, ayah
panggil.” sampainya ringkas, selaku utusan.
Haninah mengerutkan
dahi. “Ayah nak apa?” dia bertanya, dengan sedikit nada jengkel.
“Tak tahu.” jawab
Naufal sambil mengangkat bahu, lantas berlari pergi. Dia tidak sabar hendak
menyambung mainnya yang tergendala.
Haninah menarik nafas
panjang dan kuat. Betapa dia malas untuk bersemuka dengan abangnya itu.
Apalah yang dia nak kali ni,
fikirnya. Dia mengenakan tudung kepalanya dengan
malas lalu berjalan keluar, menutup pintu biliknya lalu menuju ke beranda.
Azam masih lagi duduk di tempat yang sama dengan
sepuntung rokok ditangannya yang sudah separuh jalan dihisap. Haninah datang
dan melabuhkan punggung di bahagian paling hujung kerusi rotan itu. Tidak
langsung memandang ke arah abangnya, ditetapkan wajahnya ke hadapan melihat
tiga anak saudaranya yang sedang bermain kejar-kejar.
“Ada apa Long?”
tanyanya dengan nada serius.
“Along dengar abah dan
emak banyak kali cuba mencarikan kau jodoh.”
Haninah hanya diam
membisu. Bibirnya digetap, menahan marah yang tiba-tiba membuak. Isu itu
baginya tiada orang lain di rumah ini yang layak membincangkan dengannya
melainkan emak dan abahnya.
“Along bukannya apa,
sudah lama dah rasanya arwah kawan kau tu meninggal dunia. Kesian dekat emak
dan abah tu, ke hulu ke hilir mencarikan calon yang sesuai buat kau.
Fikirkanlah perasaan mereka.” kata Azam. Nada suaranya, bagi Haninah, hanyalah
nada mengambil berat yang palsu, dibuat-buat. Hanya untuk menyakitkan hatinya.
Memang dasar tak
sedar diri, kutuk Haninah di dalam hati. Kalau abangnya itu benar-benar
mengambil berat tentang perasaan ibu dan bapa mereka, sudah tentu dia tak akan
berada di sini, meminta abahnya menampung hidup dia dan keluarganya. Sampai tua
dan beranak-pinak pun masih mengharapkan kudrat ibubapa. Hutang yang keliling
pinggang itu pun mengharapkan orang tua juga yang melangsaikan. Apakah itu
kalau bukan sikap hipokrit!
“Bang Long, soal jodoh
saya biarlah saya fikirkan sendiri dan bincangkan bersama emak dan abah. Orang
lain tak perlulah risau. Saya bukan berniat sedikit pun nak menyusahkan hati
emak dan abah. Namun setahun peninggalan arwah bagi saya tak sama dengan
setahun bagi orang lain.” Haninah membalas, walaupun niat dihatinya mahu
menyumpah seranah abangnya itu. Marahnya itu hampir tidak tertahan lagi;
abangnya itu tidak menunggu lama untuk cuba menyakitkan hatinya.
“Sebelum bang Long
hendak memberikan pendapat, saya harap bang Long memikirkan juga tentang
perasaan saya.” tambah Ninah, jelas dan tegas.
Azam berganjak sedikit
di tempat duduknya, menampakkan yang dia tersinggung dengan jawapan dari
Haninah itu. Puntung rokok di tangannya didekatkan lagi ke mulut dan disedut
dalam-dalam.
Haninah
sedar benar akan sebab mengapa abangnya itu begitu membencikannya. Ini kerana
dalam hidup Azam, hanya Haninah seorang sahaja selain bapanya yang berani
bercanggah pendapat dengannya. Haninah seorang sahaja yang sanggup bertegang
leher mempertahankan hak-haknya sekiranya dia mendapati Azam cuba menggunakan
kuasanya sebagai abang yang paling tua untuk masuk campur.
Isteri
dan anak-anaknya terpaksa patuh sentiasa dek kerana sikapnya yang suka mengugut
dan membentak itu. Haninah merasakan kelebihan yang dimilikinya pada waktu itu
hanyalah kerana dia perempuan – ada sedikit rasa malu abangnya untuk berkeras,
dan ibubapanya masih ada untuk membela. Jika dia lelaki, sudah lama penampar
sulung abangnya itu hinggap di pipinya berkali-kali.
Abang
Ngah dan abang Langnya sendiri pun sentiasa mengelak dari bersanggah dengan
Along mereka. Pendek kata, mereka lebih senang terus sahaja mengelak dari
bertemu dengannya. Makin jaranglah abang-abangnya itu balik ke kampung nanti,
fikir Haninah.
“Aku tak kisah. Cuma
nanti yang susah kamu, Ninah. Membujang sampai ke tua. Dipandang serong oleh
orang kampung. Takkan kamu nak mengharapkan emak dan abah menampung kamu sampai
mati?” sambung Azam pula, pedas.
Telinga Haninah
berdesing. Kata-kata abangnya itu baginya sungguh biadap.
“Agaknya bang Long
lupa, yang selepas saya habis belajar nanti, saya boleh mencari kerja dan hidup
sendiri.” Haninah memandang Azam tepat dimukanya buat pertama kali. Dadanya
berombak kencang.
“Rezeki datang dari
Allah - bukan bang Long atau orang lain yang tentukan. Bahkan rezeki bang Long
sekarang ni pun saya lihat sudah semakin sempit. Mungkin bang Long perlu
muhasabah diri dulu, jangan risau soal saya. Insya-Allah saya mampu berdikari
dan membayar hutang saya sendiri.” dia menangkis lagi dengan jawapan yang
sinis. Diselitkannya juga sindiran dengan harapan abangnya itu dapat menyedari.
Senang benar habis sabarnya bila terpaksa berhadapan dengan manusia yang kurang
akal sebegini.
Azam menegakkan
badannya seperti ular tedung selar yang sedia mematuk mangsa.
“Memanglah kau ni adik
yang kurang ajar!” selar Azam. Puntung rokok di tangannya yang sudah pendek
dilenyek-lenyekkan di dalam bekas abu rokok di hadapannya.
“Walau saya berpangkat
adik, tak semestinya saya yang kurang ajar.” balas Haninah pula.
“Aku cuma nak
menasihatkan kau. Bukannya nak mendengar kau mengutuk dan menyindir aku pula!”
“Kalau nasihat itu
sendiri dalam bentuk kutukan dan sindiran, bang Long ingat saya nak mendengar
saja, menerima?” bangkang Haninah.
“Biadap!” bentak
Alongnya, pada satu ketika tangannya menggenggam penumbuk. Namun tanpa berbuat
apa-apa, dia terus meninggalkan Haninah menuju ke dalam rumah, masuk ke dalam
bilik tidurnya dan menghempaskan pintu. Mungkin hendak melepaskan pula rasa
marah dan tidak puas hatinya di hadapan isterinya pula.
Haninah menggigil geram. Tangannya sendiri sedang berbuku
seperti sedia untuk membalas serangan abangnya sekiranya ia terjadi. Air
matanya bergenang dek kerana marah.
Dia
juga bangun dan berjalan laju menuju balik ke ke biliknya. Hampir-hampir dia
menghempaskan pintu bilik ketika menutupnya. Namun mengenangkan ibunya yang
berada di dapur mungkin terkejut, dia menahan diri.
Dia
ingat aku ni hamba abdinya, boleh diteriak, dibentak sesuka hati? Dengan bini
dan anak-anaknya bolehlah! Haninah membentak di dalam hati. Telefon bimbit
yang sebelum itu di dalam genggamannya dibaling ke atas katil. Dia duduk di
hujung katil dan mula menangis. Cuba menenangkan semula hatinya yang telah
terkacau oleh kezaliman abangnya sendiri.
Setelah
tangisnya reda, dia mengangkat muka. Sekarang nekadnya bertambah kuat untuk
mengikut Ainun pergi ke Boston. Seribu kali lebih baik daripada terperangkap di
dalam rumah ini bersama dengan abangnya. Apa yang perlu dilakukannya kini
hanyalah menunggu abahnya pulang dari bekerja.
*
Haninah
sengaja menunggu masa di mana Azam ada bersama sekali dengan abahnya di ruang
tamu itu, selepas semua selesai makan malam. Tujuannya supaya nanti ketika dia
sedang sibuk berkemas dan hendak pergi, Azam tidak sibuk mengambil tahu dan
mempersoalkannya.
“Abah, Insyaallah hari Rabu ni, Ninah akan pergi
menemankan Ainun, ada program cuti untuk budak-budak Universiti selama dua minggu.”
Haninah membuka bicara. Ibu jari kanannya berlaga dengan ibu jari kirinya,
mengawal gemuruh.
“Di mana?” tanya
ayahnya sambil menyapu-nyapu perutnya yang sudah kenyang.
“Di KL, di kampus.”
jawab Haninah. Rasa bersalah kerana terpaksa menipu abahnya menyengat tajam di
sanubari. Berat untuk dia melakukannya tetapi telahpun dinekadkan di dalam hati.
Dirinya berasa berdosa, namun dia sanggup melakukannya semata-mata tidak mahu
memandang muka abang sulungnya terlalu lama.
Azam memasang telinga tetapi tidak sekali pun
menoleh ke arahnya – berkat pertelingkahan tadi.
“Abah jangan risau,
ayah Ainun akan menghantar kami nanti terus ke KL.” tambah Haninah lagi,
sedikit teragak-agak.
Abahnya menganggukkan
kepala, setuju. Azam diam sahaja membatu sambil matanya melekat di kaca
televisyen yang sedang menyiarkan berita.
“Nak duit belanja ke?”
tanya abahnya tiba-tiba.
“Err, boleh juga
sedikit.” jawab Haninah.
Pak Ngah Hamdan mengeluarkan beberapa keping wang kertas
50 ringgit dan menghulurkannya kepada Haninah. Azam melihat dengan ekor
matanya.
“Terima kasih, bah.”
ucap Haninah sambil mencium tangan abahnya, terharu.