BERBULAN selepas nikah, kami pulang bercuti di Kuala Lumpur yang menyambut dengan gerimis senja.
Sejak dari Heathrow lagi aku dan Ali Syukri terperangkap
dalam perang dingin. Pertengkaran kami bertali temali.
Mulanya aku marah dan cemburu tentunya
apabila Ali Syukri kerap menghabiskan hujung minggu bersantai dengan
kawan-kawan fakultinya dan meninggalkan aku sendirian di rumah.
Alasannya, dia perlu study group dan aku perlu memahami itu, ‘ aku bukan hanya suami
Laila, aku juga pelajar’.
Aku cuba memahami, cuba memaafkan. Benar,
kami bukan hanya ke sini sebagai suami isteri tetapi sebagai pelajar juga.
Namun, dua hari lalu kami bertengkar lagi.
Dan bahana pertengkaran itu memang
terbawa-bawa hingga ke kaki menjejak bumi Malaysia. Aku ingat masih, dua malam lalu, entah
bagaimana rahsia yang disimpan kemas diketahui Ali Syukri.
Waktu aku sedang leka menonton televisyen,
Ali Syukri tiba-tiba menghulurkan dua keping pil berwarna-warni dari belakang.
Aku tidak menyambut, hanya memandang. Tergamam.
Waktu itu aku terasa dahiku berpeluh. Aku memandang Ali Syukri dan itulah pertama
kali sejak perkahwinan kami, aku melihat wajah Ali Syukri yang penuh dengan
amarah.
Aku melihat mata Ali Syukri yang besar dan
wajahnya yang seakan berwarna merah menyinga.
“Ini apa Delaila?,” suara Ali Syukri keras
tetapi masih terkawal. Dia memandang tepat ke dua anak mata, seolah-olah sedang
menjerut seluruh rasa yang ada dalam diri ku. Lalu, aku terasa kaku dan bisu.
Dan sungguh waktu itu aku tiada alasan. Aku
tidak jumpa walau sepatah pun perkataan. Otak ligat memikirkan seribu satu
jawapan tapi tidak ada satu pun yang terlintas. Sebaliknya seluruh tubuh
tiba-tiba gementar.
Sebagai wanita moden lepas bebas, aku berhak
menentukan bila mahu hamil. Dan itu yang
aku tanamkan dalam diri setiap kali
menelan pil perancang keluarga setiap pagi.
Aku tidak mahu hamil. Aku mahu bebas dari
tanggungjawab beranak. Itu yang aku mahu waktu ini dan sekurang-kurangnya 10
tahun lagi.
Aku mahu mengecap nikmat lepas bebas sebagai pelajar dan membina
kerjaya. Aku mahu kembara ke seluruh dunia. Aku mahu mencatat sejarah peribadi.
Dan sudah banyak kali hal itu dibincangkan dengan Ali Syukri dan setiap kali
juga Ali Syukri menolak.
Untukku, bukan selama-lamanya aku tidak mahu
hamil. Cuma, masa itu bukan sekarang. Bukan dalam usia 20 tahun ini. Aku tidak mahu kehamilan dan tanggungjawab
pada anak membataskan pengajian. Lalu langsung membataskan peluang kerjaya
nanti.
Aku tidak mahu hanya duduk di rumah seperti
anak jiran di hadapan rumah di kampung, Kak Nana yang berkahwin pada usia 20
tahun beranak hampir setiap tahun.
Atau aku tidak mahu menjadi seperti ibu
saudara, Chek Zaza yang berkahwin ketika tahun dua pengajian. Berjaya
menamatkan pengajian tetapi tidak bekerjaya. Terperuk di dapur dan menguruskan
urusan rumahtangga yang tidak pernah berakhir. Dengan empat anak, payah sekali
Chek Zaza hendak menjadi wanita korporat.
Aku ingat semua itu. Aku tidak mahu semua
itu. Mengenang kawan sepengajian, Cindy Chew yang gagal pengajian sesudah setahun berkahwin kerana hamil dan
kerap pula cuti sakit kerana anak yang kerap demam dan sakit.
Aku tidak mahu semua itu. Aku tidak mahu anak
menyebabkan pengajian dan kemudiannya kerjayanya tersekat.
“Patutlah tidak hamil-hamil lagi, asyik
telan ubat. Kalau macam tu baik jangan kahwin!,’ Suara Ali Syukri keras.
Dua keping pil yang sesetengahnya sudah
dimakan dicampak ke mukaku. Hujung kepingan ubat yang tajam singgah di pipiku,
membuatnya tercalar dan pedih. Tangan cepat menekap muka. Rasa pedih menjalar.
Ali Syukri tahu, tapi dia tiada belas! Hatiku panas.
“Kita baru kahwin Syuk. Kita masih muda.
Tunggulah selesai pengajian atau sekurang-kurangnya di tahun akhir. Saya baru
di tahun pertama,” aku cuba berhujah. Hujah yang sama dan terlalu kerap ku
utarakan setiap kali isu yang satu ini timbul.
Dan seperti biasa, Ali Syukri tidak mahu
menerimanya. Dia berlalu begitu saja.
Hatiku panas. Mendidih. Dan itulah mulanya.
Dia tidak pernah mahu memahami. Sebaliknya
dia hanya mahu aku turut, angguk dan setuju untuk setiap kata-katanya.
Ali Syukri, aku tidak mampu dan tidak sedia
untuk itu!
“Kalau tak mahu kahwin cerai!,” suara aku
kuat. Sengaja dikuatkan.
“Senangnya nak cerai. Oh, itulah yang hendak
sangat sampai tak nak anak?,” Langkah Ali Syukri terhenti. Dia berpusing ke
belakang. Menghadapku. Bersiap untuk berperang kata. Hati aku kecut sebenarnya,
tapi dikuat-kuatkan juga.
“Awak yang nak, saya tak nak,”
“Kahwin mesti hendak anak. Apa guna kahwin
tak nak anak? Baik bujang sampai tua,”
“Saya tak mahu anak. Tunggu lagi 10 tahun
saya hendak habiskan pengajian, saya mahu kerja, saya sudah beritahu lama dulu
..,”
“Sepuluh tahun lagi umur pun dah nak masuk
30. Tak payah, waktu itu orang nak timang cucu dah awak baru nak kelek anak.
Kerja sampai tua pun tak habis.. anak itulah aset kita dunia akhirat,”
“Awak nak sangat anak awaklah beranak,”
“Kalau saya boleh beranak, saya tak payah
kahwin dengan awak!,”
“Ha pergilah kawin dengan jururawat yang
banyak kat hospital awak tu. Pilih siapa awak nak.. kahwinlah saya tak
hairan..,”
Ali Syukri menarik nafas panjang. Dia berdiri
menghadap ku. Matanya merenung dalam.
“Laila, cakap guna akal dan rasional. Saya
tidak kisah kalau awak sakit dan tidak mampu untuk beranak. Tapi bukan dengan
menafikan hak saya menjadi bapa dengan mengambil pil. Awak tidak pernah berbincang
apa-apa dengan saya dalam hal ini. Apa yang awak mahu dalam perkahwinan ini
Laila? Tanya diri awak dan kemudian
beritahu saya. Kalau kita tidak sehaluan, saya tidak mahu terus memaksa awak
kekal bersama saya hingga ke akhir hayat,”
Aku diam. Ali Syukri membuatkan amarah dalam
dada makin menyala-nyala. Diamnya aku membuat Ali Syukri perlahan-lahan
mengambil kunci kereta yang digantung pada dinding belakang pintu. Dan
perlahan-lahan dia keluar dari rumah tanpa menoleh kepadaku walau sedikit pun.
Dan malam itu, aku tidur sendiri dengan air
mata. Aku tidak tahu jam berapa Ali Syukri pulang. Cuma waktu dia terjaga jam 6
pagi, aku melihat Ali Syukri di tepi bucu katil sedang solat subuh. Dan waktu
itulah aku masuk ke dalam bilik air dan mandi dengan baju tidur sekali.
“Duduk la lama-lama dalam bilik air.. lepas
tu terlepas flight” Ali Syukri
menjerit dari dalam bilik. Aku pejam mata rapat. Hati merusuh.
Kami perlu pulang ke Malaysia. Adik bongsu
emak Ali Syukri, Mak Cu Athirah bakal berkahwin. Dan Ali Syukri sudah menempah
tiket penerbangan pulang sejak tiga bulan lalu.
Kalau boleh aku tidak mahu pulang. Namun, aku
tidak ada alasan berbuat demikian. Rasanya, kalau tidak boleh akan menimbulkan
lebih banyak konflik.
Dan sepanjang penerbangan hinggalah tiba di
Kuala Lumpur, ruang antara kami sunyi dan sepi. Bercakap hanya sepatah dan
menjawab hanya emm dan aahh..
Aku ingat emak mentua tersenyum dengan penuh
rindu sebaik sahaja melihatnya di balai ketibaan. Di hadapan keluarga mentua
dan keluargaku juga, aku dan Ali Syukri tanpa persetujuan, tiba-tiba menjadi
pasangan yang romantis.
Duduk kami rapat-rapat, cakapnya berbisik dan
kelihatan penuh kasih. Waktu itu walau ada amarah dalam hati yang menyala, aku
pendamkan saja. Aku tidak mahu memanjangkan pertelingkahan kami. Aku tidak mahu
ada sesiapa yang upaya menduga ada gelisah dalam dada.
Ada dua hari berbaki sementara Mak Cu
Athirah melangsungkan perkahwinan. Dan emak mentua dengan cukup sporting menghalang aku dan Ali Syukri
membantu sebarang proses persiapan majlis. Katanya semua sudah diuruskan
perancang perkahwinan, jadi kami boleh duduk goyang kaki sementara menunggu
tarikh nikah.
“Emak sudah tempahkan menempah The Smoke Old House, pergilah
berehat di sana,”
Aku ingat mak mentua ku yang baik hati itu
tersenyum memandang kami silih berganti.
“Err…,”
“Ok mak.. terima kasih,” Ali Syukri cepat
memotong dalam ayatku yang teragak-agak.
Dan
hari ini, kami di sini, menuju ke rumah penginapan ala Inggeris sentuhan zaman Tudor.
Ada lori tangki Petronas di hadapan. Justeru
pendakian bermula simpang Tapah menuju ke Cameron Highland menjadi sangat perlahan.
Kereta berderetan di belakang. Aku dapat melihatnya dari cermin sisi sebelah
penumpang.
Jalan naik ke Cameron Highland ini kecil,
berliku-liku dan sempit. Sesekali, pada ruang yang terbatas, Ali Syukri perlu
memperlahankan kereta, memberi laluan kereta lain di laluan bersebelahan untuk
meneruskan perjalanan ke Tapah.
Aku sudah bosan. Bosan dalam perjalanan
mendaki yang perlahan. Bosan dengan perjalanan kenderaan yang sebenarnya sangat
perlahan berbanding dengan berjalan kaki. Bosan dengan deretan kereta yang
panjang di hadapan dan di belakang. Bosan kerana dipaksa untuk ke Tanah Tinggi
Cameron oleh Ali Syukri. Bosan dengan Ali Syukri! Hati marah-marah sejak tadi.
Aku tidak sakit pun secara fizikalnya. Tiada
luka, tiada darah, tidak demam tidak cirit-birit tidak apa-apa pun ada
sakitnya. Namun aneh aku merasa sakit bahana pertengkaran dengan Ali Syukri.
Bukan pertengkaran, tetapi perselisihan
faham, percanggahan idea yang menyaksikan kepala sangat berat pagi ini lalu aku tidak upaya pun mengerah
diri bangun dari katil.
Sejak semalam, sejak Ali Syukri bersetuju
untuk ke Cameron Highland, sejak itulah jiwaku jadi kacau. Aku seakan tidak
berupaya untuk bangun tidur pun.
Pagi tadi, hanya sesudah hampir 40 minit
mencuba untuk bangun dari katil barulah aku berjaya. Hanya setelah 40 minit
mencuba, aku upaya memaksa diri masuk ke
kamar mandi dan membasahkan seluruh tubuh yang masih berbaju tidur dengan air
pancuran.
“Ni kenapa ni? Dah tak sempat nak buka baju
nak mandi sangat? Memang tabiat!,”
Aku masih duduk dengan kedua-dua lutut
dipeluk. Separuh badan disandarkan di dinding. Air pancuran yang tadi ganas
menyiram tubuh sudah terhenti. Dihentikan Ali Syukri yang tiba-tiba masuk
menceroboh ke bilik air dan menutup air pancuran. Wajahnya masam mencuka.
Waktu Ali Syukri berlalu, aku terlihat tempias air pancuran sudah
membasahi pelapik kaki di hadapan pintu kamar mandi. Oh, mungkin.. mungkin
kerana itu Ali Syukri pantas menceroboh kamar mandi, menutup pancuran air yang
laju, menyedarkan aku yang terkaku.
“Kita pergi Cameron sekarang..,” suara Ali
Syukri masuk ke telinga, masuk ke dada, masuk ke jantung rasa.
Itu bukan pelawaan. Itu arahan. Dan itulah
permulaan perjalanan kembara pendek dari Kuala Lumpur ke Tanah Tinggi Cameron jam
10 pagi. Pagi penuh barakah, pagi
dengan angin dari hutan simpan yang membelai-belai wajah. Pagi yang untukku
sangat menghiris diri sendiri.
Kereta Honda putih yang Ali Syukri pandu
masih setia di belakang lori tangki Petronas.
Ali Syukri sudah mematikan pendingin hawa sejak tadi. Tingkap kereta
terbuka luas. Angin Tanah Tinggi Cameron menyapa rambutku yang
perang bersulam-sulam hitam menampar-nampar pipi manja.
Dengan angin sejuk menerpa pipi, dengan
kereta mendaki perlahan dan dengan Ali Syukri duduk di kerusi pemandu diam
sunyi dan sepi, Aku terfikir apa sebenarnya yang membawa kami sejauh ini? Bukan
sejauh ini – KL menuju Cameron – tapi sejauh ini sebagai suami isteri?
Cintakah yang bersembunyi dalam rahsia dan
berdegup laju membuat kami sentiasa ingin berdua? Kasihkah yang mercup dalam
jiwa dan berada di tengah-tengah tiap tarikan nafas ? Atau sayangkah yang
terbaja, terbela dan tumbuh hijau rimbun dalam sukma?
Atau hanya terpesona ?
Dan usia muda – yang sinonim selalu dengan
adrenalin pantas, ganas dan mahu sentiasa apa yang dihajat menjadi milik
peribadi maka cinta dipaksa tumbuh, kasih dipaksa lahir dan sayang pun
dipaksakan hadir?
Aku tidak tahu. Aku sungguh tidak tahu.
Sehingga kini kami sudah bergelar suami isteri selama enam bulan. Dan mampukah
kami bertahan untuk enam tahun lagi? Atau 16 tahun atau 60 tahun?
Entah.. entah.. aku tiada jawabnya.
Bunyi unggas sepanjang perjalanan dibuai-buai
angin sejuk tanah tinggi Cameron menjadi kawan bicara. Ali Syukri sejak tadi
jadi dingin dan kaku di kerusi pemandu.
Dan waktu
lori tangki minyak Petronas memberi laluan Ali Syukri memotong, kereta
tiba-tiba laju dan aku seakan tertolak ke hadapan. Hatiku sedikit merusuh. Aku
menjeling Ali Syukri, tajam, sengaja.
Ali Syukri tersengih di sisi, tahu aku memandangnya.
“Maaf,” kata itu meluncur dari bibir Ali
Syukri. Namun ia tidak punya magis mententeramkan kecamuk rasa dalam dadaku.
Matahari sudah terik waktu kami tiba di Tanah
Rata. Ali Syukri mencari masjid, mahu menunaikan solat Jumaat sementara aku
hanya menunggu dalam kereta. Waktu
diajak Ali Syukri masuk ke masjid, Aku menggeleng perlahan. Kalau bukan Ali
Syukri yang mengajak, dia pasti hendak masuk ke sana, membuat solat sunat
tahiyatul masjid. Namun kerana Ali Syukri yang mempelawa, hatinya keras
menolak.
“Nak jadi apa tak mahu solat?,” Ali Syukri
sempat menyindir.
Suka hati akulah! Aku membalas – Cuma dalam
hati. Sebaik saja Ali Syukri hilang dari pandangan, aku cepat keluar dari
kereta dan berjalan laju ke ruang solat wanita. Aku mahu solat dan aku mahu
menyelesaikan solat sebelum Ali Syukri kembali semula ke kereta.
Semoga Allah menerima ibadahku, hatiku
berdoa cepat. Langkah pantas ke kereta. Aku belum sampai ke kereta saat menoleh
ke belakang dan melihat Ali Syukri ada di situ.
“Solat?,” wajahnya manis.
Aku tidak membalas. Mencuka dan sengaja
memasamkan muka.
Kami tiba di The Smokeold House hampir jam 3
petang. Suasana persekitaran yang indah dan tenang cepat mengimbas rumah kecil
sewaan kami di Nottingham.
Setahu aku, hotel butik ini dibuka pada
1937. Dahulu ketika zaman British, pernah aku mendengar cerita hotel ini tempat
tentera British bersantai. Namun hanya orang British sajalah yang boleh masuk
ke sini. Kalau orang Asia jangan harap!
Kemudian, ketika Perang Dunia Kedua ia jadi
tempat bersantai tentera Jepun pula. Perang tamat, bangunan sejarah ini
bertukar tuan dari seorang mat saleh kepada seorang lagi.
Entah ya entah tidak, aku tidak pasti. Itu
semua pengetahuan yang aku ceduk dari buku-buku lama dan artikel akhbar.
Semuanya bercampur baur dan sukar dipastikan kebenarannya.
Aku membontoti Ali Syukri ke meja pendaftaran.
Semasa dia sibuk dengan urusan pendaftaran aku capai risalah di hujung meja.
Aku baca sekali lalu. Eh, betullah apa yang
aku tahu ! Aku sengih sendiri. Ingatanku tidaklah teruk sangat.
Oh rupanya, hanya pada 1977
hotel butik ini menjadi milik orang Malaysia. Wah, wah.. bangganya aku.
“Dah jum..,” Ali Syukri memanggil. Aku
letakkan risalah tentang hotel butik itu ditempatnya semula.
Ketika kami baharu saja sampai di bilik,
telefon Ali Syukri berbunyi. Aku biarkan saja dia bersembang di talian. Entah
siapa-siapalah yang menelefonnya. Aku sibuk berkemas baju dan membersihkan
diri.
Namun, hingga aku selesai berpakaian Ali
Syukri masih melekat dengan telefon. Hatiku jadi panas. Sudahlah perut
berbunyi, dia sibuk pula dengan telefon! Hati mula menyumpah.
Ali Syukri memandangku dengan riak cemas.
Dia kemudiannya mematikan talian.
“Wairah bergaduh dengan Saiful. She needs me now,” suara Ali Syukri
perlahan saja. Lambat-lambat pula menyusun kata.
Wairah? Oh, aku teringat gadis bertudung
dengan kulit hitam manis dan wajah sukar senyum itu. Aku kenal Wairah itu, dia antara kawan baik
Ali Syukri sejak zaman sekolah hinggalah ke zaman kampus. Bukan rakan sefakulti
tetapi kawan baik.
Mungkin kerana akrabnya mereka, hari pertama
sampai ke Notthingham, dialah manusia pertama yang Ali Syukri kenalkan padaku.
Dan aku sangat mengingati riak wajahnya yang
‘macam bagus’ itu waktu Ali Syukri memperkenalkan aku ini sebagai isterinya
yang sah.
“So,
I don’t need you?,”
Ali
Syukri diam. Tidak membalas. Dia kemudiannya membersihkan diri berjanji untuk
memandu ke kedai makan berhampiran.
Tapi sayang, sebaik sahaja kami keluar ke
kereta, Wairah sudah ada di situ dengan mata sembam dan sisa tangisan.
Rupanya, ketika mereka berbual Wairah sudah
dalam perjalanan ke Cameron Highland. Rupanya Ali Syukri memberitahu Wairah dia
akan ke Cameron Highland hari ini.
Hatiku jadi rusuh. Ya, aku cemburu. Bukankah
saat ini seharusnya diambil oleh Ali Syukri untuk berdamai denganku?
Berbaik-baik denganku? Bukan meluangkan masa dengan Wairah?
Wairah meluru datang ke arah kami dengan
esak tangisnya.
“Saiful curang. Aku tak tahan lagi.. apa aku
perlu buat Syuk,” Wairah menangis. Menangis semahunya. Dan Ali Syukri memujuk
tenang.
Tuhan, sabarkan hatiku. Tentu saja aku sangat
terusik saat ini. Tuturnya pada Wairah lembut dan sopan saja, memujuk penuh
kelembutan. Dengan aku ? Huh!
“Sabar Wairah… kita duduk bincang cakap
baik-baik ya,” suara Ali Syukri lembut saja. Tidak meninggi atau menengking
seperti dia bercakap denganku.
Kemudian, sesi makan malam kami menjadi
sesi Wairah meluahkan perasaan. Dan aku hanya jadi tunggal dalam perbualan
mereka.
Sungguh, sebagai isteri hatiku dibakar
cemburu!
No comments:
Post a Comment