Thursday 20 April 2017

Lapan Tahun Itu ~ (Bab 2) ~ Fizziany



FATIAH MERENUNG skrin telefon bimbitnya. Ada mesej dari applikasi Whatsapp yang masuk. Sejurus membaca mesej itu, Fatiah bingung sendirian. Ben, rakannya yang duduk di sebelahnya menoleh.
“Kau kenapa?” soal Ben. Mereka rakan sekelas di sekolah. Rumah mereka juga tidak jauh. Ada di flat yang sama. Flat DBKL yang terletak di Jalan Cheras.
“Lia...” ujar Fatiah perlahan sambil menunjukkan kepada Ben mesej yang diterimanya dari Adelia. Ben membaca mesej itu dengan penuh minat. Apa-apa saja yang bersangkut paut dengan Adelia, memang menarik minat Ben. Sudah lama dia menaruh hati pada Adelia yang dingin itu. Pada Ben, biarlah rahsia hatinya dipendam sebaik mungkin. Mungkin belum masanya untuk dia meluahkan isi hatinya pada  Adelia. Lagipun, dia bimbang jika Adelia akan berasa tidak selesa dengan hubungan persahabatan mereka selama ini.
“Macam mana ni?” soal Fatiah seraya menjungkit kening kepada Ben. Wajah keduanya berkerut. Ben menarik nafas payah. Dia bangun, sambil menyapu sisa-sisa kotoran yang melekat di punggungnya. Matanya meliar ke arah orang ramai. Fatiah juga turut bangun. Mereka mula mencari kelibat Adelia. Jam sudah hampir 9.30 malam. Mereka berdua sebenarnya mahu pulang. Bimbang jika lambat mengejar LRT, mereka akan ketinggalan LRT pula.
“Dia dah sampai ke?” soal Ben dengan leher yang dipanjangkan mencari kelibat Adelia.
“Dia cakap dah... Tapi..apahal dia tiba-tiba keluar malam? Dia tak pernah keluar malam macam ni sebelum ni...” rungut Fatiah.
“Kalau tak ada hal penting, dia takkan cari kita malam-malam macam ni..” ujar Ben perlahan. Fatiah menjungkit kening. Faham. Setuju.
“Hah! Tu dia!” laung Ben bila terpandangkan satu tubuh yang bergerak laju mencelah orang ramai yang masih berpeleseran di Bukit Bintang malam itu. Mata Fatiah segera memandang ke arah itu. Mereka berdua laju menapak menuju ke arah Adelia yang turut menghampiri mereka berdua. Dari jauh, Ben sudah tersenyum lebar.
“Hai!! “ Ben segera melaung bila mereka sudah berdiri rapat di celah-celah orang ramai. Nafas Adelia naik turun, tercungap-cungap berjalan laju sejak turun dari bas awam tadi.
“Korang dah nak balik ke?” soal Adelia dengan nafas yang tidak teratur.
“Lebih kuranglah...” Fatiah menelek jam di skrin telefon bimbitnya. Ben hanya tersenyum memandang keduanya.
“Kenapa?” Kau keluar malam ni, apa hal?” soal Fatiah bertalu-talu. Adelia memandang kedua wajah rakan karibnya. Sejak di tingkatan 3, mereka bertiga memang akrab di sekolah. Ke mana-mana saja bertiga. Kini, selepas habis peperiksaan SPM, Ben dan Fatiah banyak menghabiskan masa di sekitar Bukit Bintang. Lepak katanya. Sementara Adelia berperang dengan maut ibunya yang saban hari menunggu masa menjemput pulang. Setelah sebulan bertarung, akhirnya ibunya pergi dan Adelia baru menyedari bahawa dia masih punya dunia yang perlu diterjah likunya.
“Aku..aku..” Adelia meneguk air liur pekat. Dia memandang kedua wajah rakannya.
“Apa dia?” soal Ben yang sedari tadi asyik merenungnya. Adelia senyum kelat.
“Aku nak tumpang tidur rumah kau, malam ni boleh?” soal Adelia gugup kepada Fatiah. Fatiah yang mendengar, nyata terkeejut. Riak wajahnya berubah serta merta. Fatiah memandang Ben di sisinya. Fatiah meneguk air liur pekat.
Aku...” melihat Fatiah yang berwajah resah seperti itu, hati Adelia terasa sebal. Seakan menyesal pula dia meminta tolong tadi.
“Kalau tak boleh tak apa..” segera Adelia memintas. Dia tidak mahu Fatiah merasa bersalah.
“Bukan... bukan aku tak bagi.. Tapi, kau pun tahu aku cuma tinggal kat flat. Rumah aku ada 2 bilik je. Aku kongsi bilik dengan adik-adik aku. Kalau aku bawak kau, aku takut mak aku marah..” resah Fatiah memberi alasan. Dia tidak mahu diselar dengan tanggapan tidak mahu menolong kawan.
“Tak... it’s okay. Tak apa...” Adelia cuba meredakan rasa bersalah Fatiah.
“Kau kenapa? Kenapa tiba-tiba nak tidur luar malam ni?” soal Fatiah kalut. Ben menarik nafas resah. Dia berfikir sesuatu.
 “Aku... aku lari dari rumah tu..” keluh Adelia berterus terang. Ben dan Fatiah berpandangan. Masing-masing menarik nafas resah. Wajah Adelia yang murung dipandang lama. Ben menggaru kepalanya sambil membetulkan topinya.
“Beb...aku rasa, baik kita story dalam LRT. Aku takut nanti kita terlepas train...jom...” ajak Ben bila melihat Fatiah dan Adelia yang termangu di situ. Berdri lama-lama di tengah-tengah jalan itu pun tak selesa juga. Lagipun hari makin lewat.Kalau bercerita dalam LRT, koman-koman pun mereka boleh duduk.
Fatiah dan Adelia saling memandang Ben. Kata-kata Ben ada betulnya juga. Mereka angguk setuju.
“Jom...” dengan langkah perlahan, mereka bertiga bergerak seiringan menuju ke arah stesen LRT Bukit Bintang.

“DIA bertegas nak jugak geran tanah tu...Kalau dia tak dapat geran tanah tu, aku dia nak jual sebagai ganti...” keluh Adelia yang duduk di tengah-tengah di antara Ben dan Fatiah. Beg sandang birunya digenggam erat ke dada. Ben dan Fatiah merenungnya penuh empati. Sesekali badang mereka berhinggut bila LRT yang sedang bergerak laju berhenti di stesen-stesen yang tertera di dalam jadual perjalanan. Bunyi bising dari brek LRT dan bunyi mulut orang awam tidak dipedulikan.
“Dia nak buat apa jual rumah tu?” soal Fatiah. Adelia senyum kelat sebelum menjawap. Berat hatinya hendak bercerita tentang keburukan orang.
“Dia tu banyak berhutang... Dia bohong pada arwah mak aku, dia berhutang sebab nak dapatkan rawatan pakar untuk sakit kanser mak aku. Tapi, aku tak nampak duit tu pergi kepada rawatan mak aku pun...” keluh Adelia perlahan. Fatiah dan Ben terdiam. Masalah kawan mereka ini rumit juga. Tak tahu bagaimana nak tolong.
“Habis tu, malam ni, kat mana kau nak tidur ni?” soal Fatiah prihatin. Adelia diam tak berkutik. Dia buntu.
“Rumah kau Ben?” soal Fatiah sambil memandang Ben yang duduk di hujung. Ben mengetap bibir resah. Dipandangnya Adelia yang muram wajahnya.
“Aku memang nak tolong. Tapi rumah aku pun tak boleh...Tapi, aku ada kenal 1 mak cik ni... dia ada buat sewa bilik kat kawasan rumah kedai kat Taman Segar. Kita trylah pergi minta sewa bilik untuk 1 malam saja. Esok...kita fikir semula macam mana nak tolong Lia...” ujar Ben. Fatiah dan Adelia berpandangan.
“Kat mana aku nak cari duit nak sewa bilik?” soal Adelia susah hati. Fatiah terkebil-kebil berfikir. Ben menyeluk kocek jeansnya lalu mengeluarkan dompetnya. Beberapa not RM10 dikeluarkan.
“Aku ada RM30 saja. Kau?” soal Ben Fatiah dan Adelia memandang Ben terkebil-kebil. LRT terus bergerak laju menuju ke arah Cheras.

WAKTU mereka bertiga tiba di depan deretan bangunan kedai di Taman Segar, hari sudah lewat. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam. Ben melihat papan tanda yang tergantung di hadapan kedai.
“Haa...atas ni lah...” kata Ben yakin. Dia terus berjalan laju menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas rumah kedai itu. Adelia meliarkan pandangannya. Rumah kedai itu agak kotor. Dari sudut pandang waktu malam, bangunan rumah kedai itu memang agak suram. Tapi bila melihat langkah Ben yang laju, dia ikut saja. Beg sandangnya erat di dalam pelukan. Fatiah masih membuntuti di belakang. Bunyi anjing berteriakan sahut bersahutan di luar.
Sebaik sampai di tingkat satu bangunan itu, terus Ben menuju ke satu bilik. Adelia memerhati sekelilingnya. Aras itu ada beberapa bilik kecil. Catnya juga sudah pudar melalui lampu kalimantang yang terbias suram cahayanya.
Knok!Knok! Pintu sebuah bilik yang agak besar berbanding bilik lain diketuk oleh Ben. Adelia dan Fatiah berpandangan.
Aunty Kimah...” laung Ben bila ketukannya tidak mendapat reaksi dari penghuni di dalam bilik. Buat seketika, pintu bilik dikuak dari dalam. Tersembul wajah seorang perempuan tua yang hanya memakai baju kelawar separa lutut. Tubuhnya agak gempal. Bila dia berdiri di muka pintu, hampir keseluruhan bilik yang dihuninya dapat dilihat oleh Fatiah dan Adelia.
“Haa...Ben..apa kau mau?” soal Aunty Kimah. Cara dia bercakap, tak ubah macam orang Sarawak bercakap.
“Ini...yang mau sewa bilik 1 malam tu...” kata Ben lalu menunjukkan ke arah Adelia. Pantas Adelia tunduk hormat dan senyum segaris bila Aunty Kimah memandangnya.
“Satu malam saja? Mengapa tak mahu sebulan? Lagi lama lagi baik...Bilik itu pun sudah lama kosong...” kata Aunty Kimah. Dia masuk kembali ke dalam biliknya dan mengambil segugus kunci. Sesekali dia terbatuk-batuk sambil mengira kunci.
“Tak ada duit lagi mau sewa lama-lama aunty...” kata Ben pula sambil tersenyum.  Aunty Kimah memandang Adelia.
“Duitnya?” soal Aunty Kimah. Adelia dan Fatiah saling berpandangan. Serentak dengan itu, Adelia pantas mengeluarkan sejumlah wang RM50 yang dikongsi bersama Fatiah dan Ben sejak dalam LRT tadi. Wang RM60 itu terus diserahkan kepada Aunty Kimah. Kunci bertukar tangan.
“Mari...” Aunty Kimah memanggil mereka bertiga membuntuti langkahnya menuju ke arah satu bilik. Tiba di depan pintu bilik tersebut, langkah mereka berhenti.
“Ini biliknya...” kata Aunty Kimah kepada mereka bertiga. Dia merenung satu persatu wajah mereka bertiga.
“Sudah lewat sangat ni Ben... Kau tak mahu balikkah? Nanti mama kau bising?” soal Aunty Kimah. Loghat Sarawaknya agak pekat.
“Ya..ya...saya balik sekarang...” Ben tersengih-sengih. Aunty Kimah kemudian terus beredar dari situ dan masuk semula ke biliknya.
So...kitorang balik dulu. Dah lewat sangat ni...esok kita jumpa kat Leisure Mall...” kata Ben pada Adelia. Fatiah angguk.
“Eh...terima kasih ye korang...” sungguh terharu perasaan Adelia saat itu. Kebaikan kawan-kawan yang sudi menolongnya di saat dia benar-benar perlukan pertolongan amat dia hargai. Fatiah angguk dan menepuk bahunya. Ben cuma tersenyum sebagai tanda selamat tinggal. Selepas itu, terus Ben dan Fatiah bergegas pulang ke flat mereka yang terletak tidak jauh dari situ.
Bilik yang dihuninya itu, memang sangat kecil. Ia hanya muat satu katil saiz Queen dan sedikit ruang untuk solat. Bilik itu kosong. Langsung tidak ada apa-apa hatta sebiji bantal pun. Lantainya yang ada tikar getah cuma kelihatan sangat berhabuk. Dalam waktu-waktu lewat seperti ini, Adelia rasa ralat nak mengganggu Aunty Kimah lagi. Jadi, dia meletakkan beg sandangnya di hujung sudut dan Adelia keluar. Biliknya berdepan dengan sebuah bilik lagi. Bilk itu terletak di ruang hadapan yang menghadap bangunan luar.  Adelia menapak perlahan-lahan, memasang telinga dengan teliti. Dia takut jika kehadirannya disedari oleh penghuni lain aras itu. Adelia berjalan perlahan-lahan. Aras itu ada 5 bilik kesemuanya. Bilik Aunty Kimah letaknya di tengah-tengah. Di tengah ruang aras itu, ada sebuah bilik mandi, sebuah tandas dan dapur yang dikongsi oleh penghuni aras itu. Wah...dah macam Lodging Mak Limah dalam cerita P-Ramlee, Masam-Masam Manis tu...

Adelia mengetap bibir sambil dia menghendap sekelilingnya. Tapak kakinya diperlahankan. Takut jika dia mengganggu orang lain yang sedang lena tidur. Dia mahu mencari penyapu. Puas diperhatikan segenap ruang. Namun, sebiji batang penyapu pun dia tak jumpa. Aduh...bagaimana nak tidur dalam keadaan bilik yang kotor macam itu? Paling koman pun...kena mop dulu lantai bilik itu. Keluh Adelia. Adelia mengetap bibir. Dia masih mencari. Tanpa sedar, sepasang mata sedang memerhatikannya.

Wednesday 19 April 2017

Fir & Anne ~ (Bahagian I - 1) ~ RodieR



BAHAGIAN I

Hati itu misteri yang tak terungkap,
Menyukai tanpa sebab,
Membenci tanpa alasan,
Dan dia pergi jua,
Tanpa berpaling walau sekilas...


1

Dua tahun kemudian...

      Buku rujukan tebal berkulit hitam dengan gambar abstrak besi konkrit itu ditutup serentak dengan bunyi geseran kertas dan buku pelajar-pelajar lain yang juga sama sibuk dengan dia mengemas barang di akhir kuliah. Ini kali kedua dia mengikuti kuliah Civil Engineering Fundamentals itu. Semalam, secara rasmi sesi pembelajarannya bermula. Siap dekan yang bagi kuliah pertama sebagai pengenalan.

      Sekilas dia memandang seisi dewan sambil beg galas biru gelap yang setia menemaninya dari sejak zaman tingkatan enam itu digalas di sebelah bahu. Rata-rata yang dilihatnya pelajar lelaki. Perempuan yang ada pun tak sampai dua puluh orang agaknya. Kelas dia kali ini mungkin ada dalam seratus dua puluh orang.

Baru beberapa sesi kuliah yang dihadirinya. Subjek yang didaftarnya pun masih terasa kabur di fikiran. Ini kan pula nak berkenalan dengan rakan-rakan sekelas walaupun perempuan tak ramai, namun macam tadi, dia masuk agak lambat. Masih lagi tak dapat nak menyesuaikan diri dengan blok, bangunan dan letak duduk dewan. Sesat. Jadinya, dia duduk dalam dewan itu pun agak terasing daripada pelajar-pelajar perempuan yang lain.

      Perlahan-lahan dia menapak turun ke pintu utama. Dia cuba senyum pada seorang pelajar perempuan yang turut sama bersaing turun dengannya. Namun, baru dia nak berpaling menghulurkan salam perkenalan, bahunya tiba-tiba dirempuh kasar dari belakang, sampai terjatuh beg galasnya.

      “Hei!”
      “Shit! Sorry!” suara garau lelaki yang membalas.
      Laju dia mengangkat muka dan tepat memandang sepasang mata yang turut tajam merenungnya. Tergamam sekejap dia di situ.

      “Your bag.” Beg biru gelap yang dihulur lelaki itu lambat-lambat diambilnya. Sepasang kaki masih lagi terasa bagai terpaku di lantai. “Sorry again.”
      Dan laju kembali lelaki itu berjalan meninggalkannya. Dia membetulkan badan dan beg itu digalas di kedu-dua belah bahu kini. Satu patah kata pun tak dibalasnya pada lelaki itu. Kelibat lelaki itu hilang di sebalik pintu yang kini tertutup kembali. Lama dia renung pintu itu. Pelajar perempuan yang dia nak berkenalan tadi pun dah hilang entah ke mana. Dia pun dah lupa tujuan asalnya terhenti tadi. Sebab lelaki itu. Apa lelaki itu buat di sini?

      Soalan bodoh, Aina Insyirah. Kan ini dewan kuliah Fakulti Kejuruteraan Awam? Dia datang nak belajar la!
      Tapi... tapi kenapa kat sini?

      Setahu dia, Ahmad Firdaus itu memohon asasi persiapan ke Jepun lepas SPM dulu. Itu yang diberitahu oleh Nisa padanya tanpa ditanya. Biasalah, budak bijak. Dia yang waktu itu terasa nak memohon masuk asasi juga terus membantutkan niat dan bertukar pada matrikulasi. Apabila keputusan SPM keluar dan baginya tidak berapa memberangsangkan, dia ambil keputusan masuk tingkatan enam. Dua tahun mungkin boleh untuk dia perbetulkan langkah semula. Dan dia ingat, ada waktu itu Nisa bagitau, Haris dan Firdaus berjaya masuk ke asasi persiapan ke Jepun, yang mengambil masa dua tahun juga.

      Jadi... jadi apa dia buat di sini?
      Seingat dia pagi tadi, dia masih bangun tidur di Malaysia. Spesifiknya, di selatan semenanjung Malaysia. Takkanlah pula dewan kuliah ini boleh jadi teleport mengangkut dia ke Jepun?

      Ya Allah, apa yang kau mengarut ni, Anne??
      Muka diraup perlahan dan langkah diatur semula keluar dari dewan. Sedar tak sedar dah tinggal dia seorang yang terpacak di situ. Penangan lelaki itu lagi. Macam mana ni? Takkan dia salah orang. Dia tak rasa dia salah orang. Dia takkan lupa renungan tajam itu sampai bila-bila, dan tadi kali kedua dia menerima renungan yang sama.

      Kenapa dia belajar kat sini jugak? Kenapa? Kenapa sama dengan dia?
      Boleh tak dia nak tukar course sekarang? Ataupun tukar universiti terus?
      Jangan jadi pengecut, Anne! Lagipun dah lambat. Semuanya dah didaftar secara rasmi pun. Jangan nak buat benda tak masuk akal, menyusahkan mak abah lagi. Bukannya tempat ni kecik sangat, boleh bertembung dengan dia lagi. Entah-entah itulah kali pertama dan terakhir kau nampak dia kat sini. Abaikan saja.

      Abaikan? Abaikan?!
      Dia mengeluh perlahan.

      Macam mana dia nak abaikan. Dah tentu-tentu dia tak boleh nak tidur malam ni, teringat pada lelaki itu.
      Ahmad Firdaus Abdullah! Kenapa teruk sangat awak buat kat saya ni? Jampi apa yang awak pakai, tolonglah ambil balik sekarang! Dah dua tahun, okey? Dua tahun! Saya dah berjaya lupakan awak, tau! Sikit. Kadang-kadang aje teringat balik. Tapi, hari ni... kenapa awak muncul?? Kenapa awak langgar saya tadi dan buat saya tahu awak ada kat sini? Kenapa? Kenapa? Kenapa??

***

      Sungguh dia tak sengaja. Tak sengaja nak melanggar budak perempuan itu tadi. Dia cuma nak cepat. Pandai sangat berjanji dengan Aiman nak mencari basikal hari ini, tiba-tiba tak sedar dia dah salah janji masa. Kuliah tak sempat habis lagi, dia dah buat Aiman terpacak menunggu di depan kolej. Ampun la sahabat, dia pun masih kelam kabut lagi nak faham jadual dia yang berselirat dengan kuliah dan tutorial. Ek eleh, macam dia seorang yang sambung belajar. Orang lain pun macam tu la, Fir. Tak ada kelam kabut macam kau pun, sampai dirempuhnya anak dara orang.

      Dia.

      Rasanya dia kenal. Rasanya itu rakan sekampung. Oh, salah, rakan senegeri. Spesifik lagi, rakan satu sekolah. Dia masih ingat lagi gadis itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat wajah pucat terkejut yang sama macam suatu waktu dulu selepas SPM.

      Aina...
      Aina... er... Imtiyaz Irdina Istiqamah Istikharah?

      Okey, dia masih lagi lupa nama budak perempuan itu yang satu lagi.

      Tak apa, kalau jumpa lagi nanti, dia minta pilih mana yang berkenan daripada empat pilihan tu ye?
      Apa yang kau mengarut ni, Ahmad Firdaus?

      Kepala digeleng dengan kaki yang masih laju melangkah. Dah nampak kelibat Aiman yang dah serius semacam mukanya. Dia sengih serba salah. Alamatnya nak kena belanja kawannya itu makan tengah hari la nampaknya hari ini.

      “Dude, sor...”
      “Apasal lambat? Dekat sejam aku tunggu kau weh!”
      Tak sempat dia nak memenuhkan kata maaf yang hanya dua suku kata itu, Aiman sudah menyampuk dulu, siap menepuk bahunya, kuat.
      “Sorry.”
      “Kau buat apa tadi lambat ni?” berkerut-kerut dahi si sahabat, pelajar kejuruteraan kimia itu marah pada dia. Ataupun mungkin sebenarnya si Aiman sedang menahan silau matahari yang panas memancar, tegak di atas kepala.
      “Buat istikharah.” Selamba dia balas, bibir digigit menahan gelak.
      “Hah?”
      “Tanya la lagi soalan entah apa-apa. Aku kan dari kuliah ni. Nak buat apa lagi?” sarkastik dia tanya balik.
      “Kau cakap pukul satu. Aku dah tunggu sini dari pukul dua belas lima puluh lagi ni.”
      “Iye la, tau. Kuliah aku dragged. Petang ni kita free kan? Lunch dulu? Aku belanja.”
      Bersinar semula mata Aiman. “Kalau macam ni, kau lambat hari-hari pun aku sanggup tunggu.”
      “Banyak cikadak punya kawan. Nak belanja makan je tau.”
      “Jom! Jom!”
                Dan laju kembali langkah mereka mencari bangunan kafetaria.

Tuesday 18 April 2017

Dia, A ~ (Bab 2) ~ Ednin


SENYUMAN YANG tadinya menghiasi muka bujur sirih itu bertukar menjadi segaris sebaik saja lelaki berkemeja putih itu berpaling kepadanya. Sungguh dia terkedu, terkejut dengan pertemuan yang tak dijangka ini. Kalau dicongak-congak lebih kurang 10 tahun jugalah setelah pertemuan terakhir mereka. Pertemuan terakhir? Abiir menelan air liur. Tiba-tiba dia terasa kesal dengan apa yang terjadi dulu. Sungguh!

   Habis Aiman dikerjakan sebaik saja dia mengetahui cerita sebenar. Dipaksanya juga Aiman ke rumah Farhan untuk menjelaskan segalanya. Sungguh apa yang Aiman lakukan itu tak dapat dimaafkan. Mempermainkan perasaan orang adalah tidak patut dan jatuh hukum haram di dalam kamus hidup seorang Abiir.

   Dan walaupun 10 tahun sudah berlalu, dia masih lagi kesal dengan apa yang berlaku pada mereka. Abiir cuba mengkompos diri. Tak mahulah riak terkejut itu bermain lama di wajahnya. Dia melarit senyum tapi dia sendiri tahu yang senyumannya itu terasa pahit, terasa janggal.

   "Hai." Dia mengangkat tangan. Long time no see.
   Farhan berdehem. Membetulkan anak tekak.

   "Hai." Buku yang dipegangnya tadi dimasukkan ke dalam bakul. Dia berdiri menghadap Abiir yang berdiri di sebelahnya yang jelas sudah bertambah matang, bertambah cantik, bertambah ayu tapi kenapa senyuman itu tak seperti 10 tahun lalu?

   Tapi Farhan dah namanya masa berlalu. Sudah 10 tahun, 1 dekad. Masakan dia nak harapkan Abiir Humairah ni macam Abiir yang dulu. Dalam masa 10 tahun ni mungkin ada banyak benda yang berlaku, yang mencorakkan balik gadis yang sudah bertukar menjadi wanita ini? Setiap manusia itu kan akan berubah.

   "You buat apa kat sini? Cari buku?" Farhan tersenyum. Dia masih mengingati kegemaran Abiir yang suka membaca itu.

   Abiir menggeleng laju. "Ini sebenarnya kedai buku my mom. Lepas kerja I selalu datang sini. Lepak-lepak, menolong apa yang patut."
   Farhan mengangguk, faham.
   Keadaan di antara masih lagi janggal.
   "So cari buku apa? Kut-kut I boleh tolong cadangkan.”
   Farhan mengangkat buku biru di dalam bakul lalu ditunjukkan ke arah Abiir.

   Abiir membaca tajuk yang tertera di buku biru itu. Diet ibu mengandung? Dia mengangguk perlahan. Dia sudah berkahwin, dan bakal menjadi bapa. Getusnya dalam hati.
   "Ohhhh." Hanya itu saja yang terkeluar dari mulut Abiir.

   Farhan menjeling sedetik buku di tangannya. Diet ibu mengandung. Dia menepuk dahi. Matanya kembali kepada wajah bujur sirih di hadapannya. Ingin menerangkan hal sebenar.

   Tapi sebelum sempat dia membuka mulut. Abiir berbicara.
   "So you dah kahwin…"
   Tidak pasti sama ada tanda soal di hujung ayat itu atau titik noktah.
   Tetapi yang pastinya suara Abiir bunyinya lemah sekali di telinganya. Cemburukah dia? Terkilan kah Abiir bila 'mendapat' pengkhabaran yang Ahmad Farhan Ezri ini sudah berumah tangga. Tiba-tiba Farhan tersenyum. Entah kenapa dia rasa seronok.

   Soalan (atau ayat penyata) dari mulut Abiir dibiarkan sepi. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

   "Bagus ke buku ni?" Farhan bertanya.
   "Bagus tak bagus, saya tak pasti tapi ramai juga bakal-bakal ibu bapa yang beli."
   Farhan mengangguk faham. "Kalau macam tu I angkut je la. Lagi you nak rekomen apa?"

   Abiir memandang buku-buku di dalam bakul itu. Hampir penuh. "I rasa dah cukup dah kut tu. Dah penuh bakul tu."

   Farhan tersengih. Betul sangat dah tu. Naik sakit tangannya menjunjung bakul warna hijau mint itu.

   "First child?" Abiir bertanya bila mereka sama-sama berhenti di kaunter. Tangannya pantas mengskan barcode di belakang buku.

   Farhan lagi bertambah senyum. Tiba-tiba mode usik mengusik dihidupkan.
   Seraya dia menggeleng. "Nope. Dah nak masuk dua." Anak sedara. Sambungnya dalam hati.

   Abiir memberhentikan kerjanya. Dah dua anak rupanya…
   "Ohhh." Sekali lagi hanya itu yang dia mampu katakan.
   "You dah kahwin ke belum?"

   Abiir mengangkat muka. Lama dia memandang lelaki yang sudah bertukar status tu. Tapi akhirnya tanpa jawapan, dia kembali meneruskan kerjanya yang terbantut tadi. Riben yang digunakan untuk mengikat buku-buku itu ditariknya.

   Di Book’s Cottage, mereka tidak menggunakan plastik untuk pelanggan mereka. Sebaliknya buku-buku itu diikat dengan riben dan dimasukkan ke dalam beg kertas.

   "Err?” Farhan mengangkat kening, keliru dengan pandangan yang diberikan Abiir sebentar tadi. Ni dah kahwin ke tidak ni?

   Abiir hanya tersenyum menggantikan jawapannya. "Nah. Semua RM 98.00."
   Farhan mengeluarkan wallet dari kocek seluar. Dua keping not RM50 dikeluarkan.
   Abiir hanya diam melakukan kerjanya. "Nah baki. Do come again."
   Farhan tersenyum. "Definitely." Senyuman extra gula selamat dia tebarkan pada Abiir.
   There will be a next, next, next time.. again, Abiir Humairah.
   Sudah semestinya.



BUKU YANG terbuka itu tidak dihiraukannya. Kepalanya masih lagi teringat peristiwa yang berlaku petang tadi. Macam tak sangka pula mereka akan berjumpa lagi. Setelah hampir 10 tahun berlalu, akhirnya diorang berjumpa balik. Tapi dalam masa 10 tahun tu, banyak benda dah terjadi.Banyak sangat. He is now the father of two. Going two. Manakala dia pula...

   "Helllloooooooooooo.." Satu suara menyampuk. Abiir tersedar dari lamunannya. Abiir membetulkan duduk. Tangan menggaru kulit kepala yang tiba-tiba sakit. Ini mesti kerja Aiman ni! Suka sangat menarik rambut.

   Tangan Aiman melambai-lambai di hadapan matanya. "Hello kakak. Ni hao ma?”
   Tangan Aiman ditangkapnya. Kening dinaikkan menjawab pertanyaan Aiman.
   Aiman ketawa. Dia mengambil tempat di sebelah Abiir. “Ingat dah sampai China tadi. Macam jauh je mengelamun. Mengelamun pasal apa ni? Kalau ada apa-apa kat kepala tu, luahkan je pada Aiman. Aiman boleh je jadi pendengar setia.”

   Wajah serius dihadiahkan pada kakaknya yang sudah berusia 28 tahun itu. Dia bersungguh dengan ayat-ayatnya. Abiir itulah saja kakak yang dia ada. Kalau Abiir ada masalah, dia harapkan dialah yang boleh menjadi penyelesaiannya.

   Abiir mengeluarkan lidah. Mencebir. Ia-ia je kan Aiman ni. Bahu Aiman ditolak tepi.
   “Apa yang Aiman nak ni?”

   Aiman tersengih. Lantas dia menadah tangan. "Mana kunci pendua kereta Gen 2? Ibu cakap kakak ada simpan. Ibu terbawa sekali kunci keluar.”
   "Aik kereta abah mana?"

   Selalunya Aiman lebih rajin menggunakan Range Rover abah yang lebih bergaya dari Gen 2 lama milik ibu itu. Sanggup adik bujangnya itu menghantar dan mengambil abah di pejabat semata-mata untuk memandu kereta mewah. Reaksi abah pula, lagi suka adalah. Dapatlah merasa ada pemandu tak bertauliah macam bos besar.

   "Abah dengan ibu keluar malam ni.  Ala akak bolehlah kakak, Aiman nak pinjam. Please."
   "Pergi mana pulak ni?"

   Sesungguhnya dia berat hati nak berikan kereta itu pada Aiman. Mana taknya setiap kali Aiman memandu, setiap kali itulah mereka akan dapat surat chenta dari polis trafik di atas kesalahan memandu melebihi had laju.

   Mana tak risau? Ibu pun dah berkali-kali naik angin disebabkan perangai Aiman yang tak pernah berubah tu! Kang kalau dia bagi, dia pula yang kena bersoal jawab dengan ibu pulak nanti.

   Dan lagi satu, dia takut kalau apa-apa terjadi pada adik lelaki tunggalnya. Sudah acap kali dia mendengar kejadian-kejadian buruk akibat memandu laju ini dan ada antaranya mengundang maut.

   "Kan Aiman dah cakap yang Aiman ada reunion malam ni.” Mata dijulingkan.
   Apa bendalah yang kak Abiir ni berangan sampai tak ingat plan dia yang satu ni. Punyalah dia semangat dan sanggup turun dari Sabah semata-mata untuk menghadiri makan malam alumni sekolah lamanya. Boleh pulak kak Abiir lupa. Bukan dia ke yang tolong sumbang dana untuk misi-balik-ke-semenanjung tempoh hari?

   Abiir tersengih. “Sorry kakak lupa.”
   “And by the way, pleaselah, tengok baju ni sekali." Tinggi enam kaki itu berpusing ala-ala model di hadapannya.

   Abiir memandang sekilas adik lelaki di sebelah. Amboi, sakan betul Aiman ni. Siap berbaju melayu ungu, lengkap dengan bersampin bagai. Kening dinaikkan. "Ni nak pergi kawin ke nak pergi reunion?"

   “Theme kakak, theme. Takkan Melayu hilang di dunia. Aiman rasa ini mesti idea Pak Derawan ni but I like it." Pak Derawan tu cikgu BM sekolah mereka dahulu. Nama jolokan yang budak-budak bagi. Sebabnya dia kaki dera. Nama sebenar Ridhwan. Maka bila sambung, dah jadi DERA+WAN.

   “I like that as well. Semoga berjayalah cari puteri kayangan malam ni.” Lantas Abiir membuka laci biliknya. Sudah bertahun-tahun kunci pendua itu di dalam simpannya beserta dengan beberapa barang lain yang sudah lama dia tidak usik.

   "Nah! Jangan laju-laju. Safe drive okay...” Kunci pendua itu bertukar tangan.
Aiman tersengih. Tangan menunjukkan isyarat OKAY.
   "Thank you kakak!"
   "Yeappp. Have fun and remember...”
   “Yes kakak. No laju-laju, no cilok-cilok and safe drive. Aiman tahu.”

   Abiir  menggeleng. Dalam hati dia berdoa semoga orang yang dia sayang semuanya di dalam lindungan Allah.