Thursday 17 April 2014

Semusim di Divonne (Deux - 2): Ika Madera

Di kota Malaya, dia jatuh cinta. Ada sahaja kawan-kawannya yang pulang membawa cinta hati, isteri yang nampak eksotik. Dibandingkan gadis Melayu dengan yang di Perancis, memang ada perbezaannya tapi bila sampai sana ada yang lupa agama dan budaya. Kalau di Malaysia, semuanya Melayu sampai ke akar umbi, tiba di Perancis, ada yang macam dilahirkan disini. Terus lupakan apa yang sepatutnya sudah sebati dengan diri sendiri sedari kecil. Untuk menjadi Parisien, mestilah ikut adat dan budaya mereka, baru ada gaya dan kelas.
Tapi dia, dia bukan pulang dengan cinta hati tetapi dengan sesuatu yang hakiki. Mengenali Islam, membuka dunia yang baru buat dia. Mempelajari bukan sekadar agama tetapi sejarahnya. Indahnya Islam, sayang sekali selalu disalah erti. Agama yang penuh toleransi lebih dikenali sebagai agama yang ganas. Media yang negatif tidak begitu membantu imej Islam.
Tatkala mengenali Islam, dibuka hatinya hanya untuk agama itu. Hidup yang kosong terasa lebih terisi. Lebih membahagiakan dari perasaan cinta yang pernah dirasakan suatu ketika dahulu. Tidak pernah terbayang, Islam dapat mengisi ruang hatinya.
Dan kini, hatinya terbuka lagi buat perempuan di dalam gambar itu. Baru dia tahu erti jatuh cinta pandangan pertama bila bertentangan mata dengan si empunya badan.
Kalaulah hati ini mampu dikeluarkan dari dalam badannya, mahu sahaja diberi pada si dia. Ambillah! Ambil hati ini dan jaga ianya dengan baik. Hati ini bukan lagi milik saya tetapi milik kamu. Kamu, yang sangat manis!
Ah! Lambatnya matahari mahu naik, tidak sabar mahu bertegur sapa sekali lagi dengan si dia.



Roti kirai, kata orang Singapura. Kalau ke seberang tambak, namanya roti jala tapi bukan jala emas, ya! Jala emas itu kuih lain!
Tersenyum-senyum Mira keseorangan di dapur, dari tadi gigih mengirai untuk Aliah dan Jeremy. Tak sia-sia dia beli botol acuan untuk mengirai, mudah! Kalau umi nampak dia laju saja mengirai dengan cantik, mesti bangga. Dulu, umi selalu bising, bunganya tak cantiklah, lubangnya besarlah. Alah..apa kisah, yang penting bila sudah dilipat, tiada siapa nampak bunganya ke, lubangnya ke, semuanya sedap masuk mulut. Itu yang penting tapi pada umi, mengirai juga satu seni. Harus dibuat dengan halus, bila dihidangkan juga nampak cantik.
Sepeket daging cincang sudah dikorbankan buat kari yang pekat likat. Kari kalau tak pekat, haih memang tak sedap makan dengan roti kirai! Kari yang pedas-pedas masam, dengan daging cincang sudah jadi macam keema untuk makan dengan capati pula. Nampak saja sama tapi rasanya berbeza. Kari yang pekat ini, selalu membuat mereka dua beradik makan sehingga menjilat jari kalau umi yang masak.
Usai mengirai, disusun cantik-cantik roti kirai atas piring. Dibongkar peti sejuk mencari-cari kalau ada daun salad tapi yang dijumpai hanya lebihan ‘corgette’. Ah tak apalah, ini pun boleh! Dihiris nipis, diatur sekeliling piring. Sebiji tomato dibelah bahagian atasnya, berlekuk-lekuk seumpama mangkuk, di letakkan di tengah-tengah susunan roti kirai. Tidak mahu membazir, sebahagian tomato yang dipotong tadi, didadukan lalu di masukkan kembali dalam tomato tadi. Ecewah! Ini sudah boleh jadi macam cef! Puji Mira, dalam hatinya sendiri.
Buku resipi umi dibersihkan dari debu tepung ketika menyukat adunan roti kirai. Kertas-kertasnya sudah berwarna kekuning-kuningan. Tulisan jawinya masih jelas untuk dibaca oleh Mira cuma masalahnya, umi menulis dengan ‘shorthand’. Kadang-kadang merangkak-rangkak juga membaca buku resipi uminya itu. Apakan tidak, sin dengan shin, kalau ditulis tak dapat dibezakan. Umi menulis adakala menulis huruf-huruf jawi, tidak bergigi, hanya bertitik. Kenalah eja berulang kali untuk membezakan huruf.
“Bonjour!”
Terkejut Mira bila di depan pintu dapur, tercegat lelaki semalam yang dikatakan Jeremy jiran depan rumah mereka. Haih, macam penduduk rumah ni saja, bukannya jiran! Macam penunggu pun ya juga kalau asyik timbul macam ni. Tersenyum menyeringai pada Mira yang sedang menyumpah di dalam hati, nasib baiklah saat ini, kepalanya disarung dengan skaf kecil. Taklah kelam kabut macam semalam lagi. Bonjo..bonjo..apa dia ingat ini dalam cerita P Ramlee ke?
“Mira right?” lelaki itu bertanya, dengan matanya tepat pada Mira. Macam tak pernah nampak perempuan pula, fikir Mira dalam hati.
Mira mengangguk. Mesti abang iparnya memberitahu lelaki ini bila mereka berborak semalam selepas sesi berkenalan secara terkejut. Tak ada pula Jeremy memberitahunya siapa nama penunggu rumah mereka ni.
“I am Marc Francois. Selamat datang ke Divonne Les Bains.” Marc menghulurkan tangan untuk bersalaman tapi Mira tidak menyambutnya. Lelaki itu menarik kembali tangannya bila tidak bersambut, terus diselukkan ke dalam kedua-dua kocek.
Si Marc Francois ni, sama-sama belajar bahasa melayu dengan si Jeremy ke? Aliah dah sampuk orang kampung sini untuk belajar bahasa melayu ke? Ke…dia buka kelas mengajar bahasa melayu dekat sini? Tak ada pula dia bercerita buat kerja amal jariah sebegitu tapi… berbanding dengan si muslim celup tuh, pertuturan lelaki ini lagi fasih. Yang membezakan, adalah nada Perancis yang pekat. Bukan macam Jeremy yang berasal dari London. Berbeza nada percakapan mereka berdua.
“Terima kasih..” jawab Mira, acuh tak acuh. Senyum lebar memuji diri sendiri tadi sudah hilang sebaik sahaja penunggu itu muncul depan mata. Kalaulah muncul malam-malam macam gini, harus Mira jerit kasi satu ‘compound’ ini dengar.
Piring berisi roti kirai di bawa ke ruang makan, hantu mi suah yang sedang meninjau-ninjau lauk kari di dalam periuk  membuat Mira rasa kurang senang.
“This smells nice! Curry?” soalnya lagi pada Mira, langsung tak faham, orang itu tak sudi nak melayan lelaki yang tak dikenali.
“Hmm..” Kita masak untuk kakak kita, si deknie pula yang menyibuk, bebel Mira di dalam hati lagi. Mahu sahaja disinggul lelaki itu ketepi agar boleh disenduk lauk itu ke dalam mangkuk. Mira tersenyum bila kedengaran suara kakak dan Jeremy. Kejap lagi mesti muncul di dapur kedua-duanya itu. Bolehlah sarapan ala-ala Singapura!
“Bonjour à tous!” suara Jeremy bergema di dapur melihat sudah ada dua orang di situ. Isterinya terlindung di belakang Jeremy. Nampak saja muka Jeremy, panjang cerita si Marc Francois.
Votre invite est snob.. même as sourire!” bebelnya, keningnya terangkat-angkat dengan mata memberi signal pada Jeremy tentang tetamunya yang sombong, senyum pun tidak!
“Elle est comme ca a des  étranger.” Balas Jeremy dengan tawa. Adik iparnya itu, kalau tak kenal orang memang tak banyak berbual, apatah lagi dengan lelaki yang tak dikenali.
 “Kak, cakap belit-belit apa dorang ni?” soal Mira pada Aliah yang sedang mengeluarkan sekotak susu dari peti sejuk.
“Entah.”
“Tak baik kan dia cakap bahasa dia depan kita?”
“Awak pun sama, Mira.”
Mira mengerutkan hidung, benci betul bila Aliah menyangkal kata-katanya. Tak boleh menang kalau dengan Aliah tapi Mira harus mengalah. Bukan umi juga selalu kata, mengalah bukan bererti kita kalah?
“Mira buat roti kirai dengan kari umi.”
“Wah..Mira macam tahu-tahu saja kakak memang teringin nak makan roti kirai tau?”
“Mestilah, ini kan kegemaran kita berdua.” Kakak teringin! Tak sia-sia dia mengikut gerak hatinya untuk membuat roti kirai. Melihat senyuman Aliah, Mira rasa gembira. Tiada apa yang mahu dilakukan selagi dia berada di sini tetapi untuk menyenangkan hati Aliah.  Sebelum kena berpantang larang nanti, baik makan yang sedap-sedap dulu!
“Guys, mari makan.” Aliah mengajak suami dan jirannya yang masih lagi rancak berbual di tengah-tengah dapur ke ruang tamu.
“Oui!” serentak Jeremy dan Marc Francois bersuara. Makan. Bahasa melayu yang paling mudah untuk diingati, difahami dan disukai.
“Kak, orang sini, sebut nama deknie macam mi suah kan?” bisik Mira pada kakaknya sambil menatang mangkuk kuah kari ke depan.
“Mira ni..tak baik tau.”
“Betul! Tadi dia sebut nama dia, Marc Fransuah! Hah, suah tuh kena sebut betul-betul.Kalau mengaji ni, mesti mak guru suka dengar kita sebut ikut sebutan yang pekat gitu.”
“Dia baik tau. Kalau Mira kenal dia, you will like him.”
“Hah? Macam hantu asyik timbul depan kita. Takut Mira!” Mira meletakkan mangkuk kari ditengah-tengah meja. Sukakan si hantu mi suah ni? Tak apalah..terima kasih sahaja!



“Marc, pernah rasa roti kirai di Malaysia dulu?” Pinggan Aliah sudah banjir dengan kuah kari di atas dua keping roti kirai. Orang lain mungkin suka makan roti prata banjir tapi buat Aliah, roti kirai banjir lagi sedap! Nikmat dunia!
“Pernah tapi yang ini lagi sedap!” Marc menjawab soalan Aliah dengan senyum lebar, belum sesuap masuk ke mulut, pujiannya sudah melambung.
“Amboi, belum makan dah memuji! Kalau Mira nak tau, Marc ni pernah berkerja di Malaysia lebih kurang 5 tahun. Dia baru saja balik ke sini tahun lepas.”
“Yup, yup. Beautiful country, colourful. Banyak manusia dari sini.”
Mira hampir tercekik roti kirai yang sedang ditelan. Banyak manusia dari sini? Apa punya penerangan tuh? Matanya mengerling pada kakaknya yang macam tak perasan pula apa si Marc Francois tuh cakap. Ke Mira yang salah dengar sebab asyik sangat makan roti kirai dengan kuah karinya yang maha sedap itu? Hai umi..tak sia-sia Mira menuntut ilmu dengan buku resipi umi. Terima kasihlah kerana menulis segala sukatan dengan betul, agar anak umi ni, tak tersalah menyukat. Walaupun tak sama seperti masakan umi, namun tetap sedap untuk dimakan!
“Mira nak pergi Geneva? Jeremy can drop you off. Nak balik nanti, tunggu saja depan bangunan UN. Nanti Jeremy ambil.”
 “Tak nak, Mira nak rehat saja niari, masih terasa penat! Nak kemas barang-barang Mira dulu.” Dan nak qada’ tidur! Rasa penat berbelas-belas jam dalam kapal terbang masih belum hilang, nak meronda negeri orang? Tak larat!
“Saya pun boleh bawa Mira jalan-jalan.”
“No, thanks.” Pantas saja Mira menolak tawaran si Marc Francois. Kenal pun tidak, nak jadi tukang tunjuk jalan pula.
“Okaylah tuh Mira, Marc pun selalu keluar masuk ke Geneva. You could bring her along anytime Marc. Dapat Mira tengok tempat-tempat lain di sini.”
Mira berdiam diri, kakak ni. Senang sahaja dia menerima tawaran si Marc Francois. Kalaulah dia bawa lari adik kakak yang satu-satunya ini, menangis tak berlagu karang!
“Be careful Marc. Mira. Garang!” usikan si Jeremy, mengundang jelingan maut dari Mira. Patut tadi roti kirai untuk kakaknya saja. Dua-dua tuh, sepatutnya sarapan saja dengan roti sapu jem ke, mentega ke. Dah dapat makan sedap-sedap, lagi nak mengusik orang. Yang satu tuh, belajar bahasa melayu yang mengutuk orang saja agaknya. Yang berfaedah mesti tak ada dalam otak si Jeremy tuh!
Mira memerhatikan Jeremy ke dapur untuk mencuci tangan sebelum kembali ke ruang tamu. Sekeping sahaja roti kirai yang dimakan. Tak sedap ke?
“Is that it? You only ate one?” soal Mira, penat-penat dia mengirai, makan satu sahaja? Tetamu yang tak diundang tuh sudah makan tiga keping! Makan salah, tak makan salah wahai Cik Mira!
“I am on diet!” jawapan Jeremy membuat Mira tertawa. Bukannya gemuk sangat, nak menguruskan badan pula. Kalah perempuan!
“Aliah, I’m off. If anything, call.”
Melihat Jeremy mengucup kepala isterinya, Mira terasa iri hati. Hidupnya sendiri selama umi tiada, hendak bermanja dengan Aliah, jauh dari dirinya. Sedangkan Aliah sudah punya keluarga, Mira hanya bersandar pada memori lama. Entah bila jodohnya akan sampai, ada seseorang untuk menjaganya seperti abang iparnya kepada Aliah. Ya Tuhan, bilalah hendak kau kurniakan Fahrin Ahmad sebagai jodoh aku?


+orang Perancis sarapan apa hari ini?
-roti kirai dengan kari beriani!
+wah, kalah dengan menu orang sini.
-mestilah!


Seinfeld. Friends. West Wing. Tajuk-tajuk dvd drama bersiri yang bersusun di rak kecil tepi televisyen dibelek. Mahu menonton sesuatu sambil mengemas kain baju ke dalam almari. Salah satu dvd Seinfeld di pasang, lalu sesi mengemas pun bermula. Demi keselamatan, separuh bahagian ‘metal sliding door’ diturunkan. Separuh bahagian lagi, membenarkan cahaya di luar sana menerangi biliknya. Susah juga macam ni, Mira sukakan cahaya matahari yang menyinar ke dalam rumah tetapi rumah itu terlalu ‘terbuka’. Bukan macam rumah flat, kita di dalam rumah, buka segala tingkap tiada yang nampak penghuni di dalamnya.
“Mira..rimas tau duduk dalam gelap ni?” tegur Aliah sambil menyusun bantal untuk bersandar. Mahu berehat sambil menemani Mira mengemas.
“Alah..ini macam tengok movie gitu. Ada cahaya sikit tuh kan? Kalau buka semua, nanti silau dengan matahari. Kalau gelap-gelap gini kakak nak lelap pun selesa.” Pandai sahaja Mira memberi alasan, walhal sudah seriau kalau hantu mi suah tuh tiba-tiba menjengul saja. Takkan nak cakap, nanti Mira yang rimas asyik nak bertudunglah pula kalau dibuka pintu biar orang luar semua nampak ke dalam. Mira pula yang susah tak fasal-fasal tapi alasan itu juga akan membuat Aliah merajuk lagi. Orang mengandung ni memang hormone sensitif sangat agaknya.
“Kak, orang tua-tua kata kalau mengandung malas-malas nanti anaknya malas.”
“Eh..mana ada malas-malas? Tadi kakak dah kemaskan dapur tau?”
“Itu tadi..sekarang ni apa kata kakak tolong lipat kain baju ni..lebih afdhal gitu dari terbaring je macam paus tau?”
Satu bantal kecil dicampak ke arah Mira, bukan main lagi dipanggil kakaknya macam paus.
“Nanti Mira macam ni, baru tau!”
“Eh..kalau Mira nanti, mestilah nampak bergaya. Berseri-seri!”
“Eleh..awak tak tahu..ada orang mengandung nampak cantik..Ada yang kalau boleh nak sembunyi je dalam rumah.”
“Jangan risau, walaupun macam paus, kakak tetap nampak cantik. Jeremy belum lari lagi maknanya masih cantiklah tuh.”
“Eiii mulut tak ada insuranskan? Bak sini baju-baju tuh, kakak lipatkan. Yang bawa buku banyak-banyak buat berat beg ni kenapa?”
“Tak banyak pun. Just a few.”
Buku-buku diaturkan diruang bawah meja kecil yang terletak di tepi katil. Kalau diperhatikan bilik ini, lebih kurang macam biliknya sendiri juga. Sebuah meja kecil di tepi katil, televisyen di depan katil tapi kalau di rumah, dvd semua teratur di rak di bawah televisyen. Yang ini, rak dvd di tepi tembok,atas televisyen pula ada sepasu bunga kecil.
“Kak, bilik ni sikit lebih kurang macam bilik Mira kan?” Mira mengamati biliknya sekali lagi, bezanya, bilik ini lebih kecil sahaja dan punya kamar mandi.
“Ya..Jeremy memang kalau boleh nak siapkan macam bilik Mira. Siapa tahu, mungkin Mira tukar fikiran, nak duduk sini lama. So you will feel like home.”
“Baik betul Jeremy tuh. Ingat pula bilik Mira macam mana. Baik hati walaupun mulut tuh macam nak kena cili-cili je.”
“Sama je dua-dua.”
“Kakak ni..satu je kurang dalam bilik ni.”
“Apa?”
“Ni!”
Mira mengangkat bingkai gambar mereka berdua ketika kecil di taman permainan. Kedua-dua sedang duduk di ‘enjut-enjut’. Banyak-banyak gambar ketika mereka kecil, yang ini juga Mira paling suka. Aliah tersenyum melihat apa yang Mira tunjukkan.
“Gambar ni pun kakak ada, cuba Mira tengok kat atas, dekat rak-rak buku besar di ruang tamu. Di tengah-tengah Jeremy susun segala bingkai gambar dengan keluarga kami. Gambar ni pun ada.”
“Iya ke?”
“Iya! Tak caya pergi tengok sekarang.”
Berlari Mira naik ke atas, baru dua hari di sini masih belum sempat untuk melihat seluruh rumah ini. Semalam pun, ketika menonton televisyen di atas, tidak perasan pula bingkai-bingkai gambar bersusun seperti yang kakak cakap. Mira tersengih melihat gambar yang serupa dengan yang dibawanya terletak ditengah-tengah susunan yang lain.
“Beautiful girls.”
Meremang bulu roma Mira bila siapa lagi kalau bukan suara hantu mi suah dari belakangnya. Terasa meremang bulu roma!
“Kakak!!!!!!!!!” Jeritnya sekuat hati dan terus berlari kembali ke bawah, meninggalkan si Marc Francois mengekek ketawa sendirian.
“Kenapa jerit-jerit ni?” terkejut Aliah mendengar suara Mira menjerit-jerit macam nampak hantu.
“Kakak! Si hantu mi suah tuh, betul ke dia jiran kakak? Ke dia tinggal kat rumah ni? Tiba-tiba je ada kat atas.” Walau termengah-mengah, panjang lebar soalannya pada Aliah sambil mengurut dada. Aduh, memanglah! Hantu mi suah tuh boleh buat dia sakit jantung kalau hari-hari begini.
“Ahh..Marc memang selalu saja keluar masuk sini. Lebih-lebih lagi kalau dia sedang kerjakan pokok-pokok bunga sekeliling rumah ni.”
“Dia tak ada kerja ke?” Kerja apa keluar masuk rumah orang? Kakak ni, tak tahu ke kalau lelaki yang bukan muhrim dalam rumah dengan kita, hah, akan ada orang ketiga. Orang ketiga yang bertanduk, yang ada niat buruk!
“Tuh kerja dia..tukang kebun.”
“Tukang kebun?” Mira menahan tawa. Muka sikit punya lawa, jadi tukang kebun? Kalau model ke, pembaca berita ke, takpun penulis buku ke..Mira percayalah tapi tukang kebun?
“Hmm..mana dia?”
“Kat ataslah agaknya. Hai..susahlah gini. Tak boleh tau. Ketuklah pintu ke, tekan lonceng ke. Hantu betul!”

Aliah meninggalkan adiknya membebel-bebel seorang diri dan perlahan-lahan naik ke atas mencari Marc. Nak kena pesan juga pada si Marc, adiknya itu lemah semangat. Mahu hilang suara kalau asyik terjerit-jerit saja. Yang di rumah pun boleh sakit jantung kalau asyik mendengar si Mira terjerit-jerit. Silap haribulan, ada yang terberanak dalam rumah ini pun ya juga!

Dari Mata Turun ke Hati (Bab 2): Naurah Iman

“Macam mana nak sambung belajar kalau macam ni? Boleh ke nak capai semua impian kalau exam pun tak pernah lulus! Haih!
Gerutu Zaara sambil mengeluh dan memandang slip keputusan sijil pelajaran Malaysia (SPM) yang di ambilnya dari sekolah pukul 10 pagi tadi. Menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Harapan dia untuk membanggakan Salman tidak kesampaian sehinggalah hari ini. Harapan tinggal harapan!
Telinganya sudah lali dengan suara abah yang memarahinya setiap kali Zaara menunjukkan keputusan peperiksaan. Setiap kali juga abah akan beri reaksi yang sama. Picit dahi sendiri. Sorry abah!
Jangan abah suruh kahwin sudah. Teruklah dia kalau ianya benar. Bukan Zaara tak tahu tentang ‘tunang’ masa kecil dia tu! Hmm… yang pasti dia belum bersedia. Dia ada cita-cita yang hendak dicapai.
Masih memandang slip tersebut dengan harapan ia akan berubah. Macam mana ni? Belajar teruk-teruk pun macam ni jugak keputusannya. Lagi teruk adalah. Lagi sakit hati apabila mengingatkan tawa besar Aisy tadi.
Gelak tak ingat dunia. Hantu punya adik! Bukan nak bagi kata-kata dorongan ke apa ke? Bikin hati panas je. Debik sebijik nanti baru dia tahu. Tanpa sedar slip keputusan itu dikeronyok. Membayangkan rupa si adik semasa melakukannya.
Wei… baklah balik!” Zaara cuba menggapai kertas tersebut. Namun disebabkan Aisy yang tinggi macam tiang bendera tu memang tak dapatlah nak ambil balik kertas tersebut.
Cubaan gagal beberapa kali membuatkan Zaara berputus asa. Hmm! Malas dah! Zaara lepas satu nafas panjang. Dia akhirnya duduk di pangkin luar rumah.
Asal akak balik cepat sangat? Tak sempat Aisy nak tahu keputusan akak!” Aisy sudah mula memerhatikan slip tersebut. Zaara yang pada mulanya hendak sangat menyembunyikan perkara tersebut akhirnya hanya membiarkan Aisy melihatnya. Lambat laun Aisy akan tahu juga.
“Gilalah kak!” itu ucapan pertama yang keluar dari mulut Aisy. Mulutnya terbuka. Tapi tak lama kerana selepas itu dia ketawa bersungguh-sungguh. Sakit perut! Hujung mata yang berair segera di kesat. Dia menyerahkan semula kertas tersebut. Zaara capai dan terus sembunyikan bawah punggung dia.
“Ya… akak tahu! Akak ni bukannya pandai macam Aisy.” meleret jawapan Zaara. Dahlah tengah sedih. Budak Aisy ni bantai gelak pula. Huhu!
 Aisy sudah mula melabuhkan punggungnya di sisi Zaara. Wajah Zaara muram. Aisy pula serba salah. Salah sebab ketawakan saudaranya itu. Tapi dah nama pun Aisy. Serba salahnya itu hanya sekejap sahaja. Dia garu kepala. Harap-harap dapat keluar idea bagaimana mahu memujuk Zaara.
“Akak!” Aisy panggil Zaara sambil menolak bahunya kepada bahu Zaara. Cubaan untuk memujuk. Zaara senyap. Tidak melawan. Zaara mengesot sedikit. Menjauhkan jarak mereka berdua yang berada di atas pangkin depan itu.
Aisy tidak putus asa. Mahukan respons Zaara. Merapatkan jurang tersebut. Tolak lagi bahu Zaara dengan bahunya. Beberapa kali perkara itu diulang sehingga Zaara naik bosan. Naik rimas.
“Apa?” Zaara jeling. Malas nak melayan. Lama-lama duk main laga bahu dan mengesot mahu terduduk atas tanah dibuatnya Zaara nanti. Bukan kira budak Aisy ni. Sudahlah tubuh Aisy ni lagi besar daripada dia.
Sorry? pinta Aisy. Matanya dikecilkan.
Strawberry dalam peti, bawa bersama pisang berangan, boleh jalanlah kau punya sori. Huh! Kau tu bukannya makan saman. Nak sori-sori konon.” Zaara tahu ucapan maaf itu tidak ikhlas pun daripada Aisy. Dah terlalu biasa.
Pantun empat kerat itu mengundang tawa Aisy sekali lagi. Kan? Zaara dah agak dah. Perkataan maaf tu tiada makna pun untuk dituturkan. Zaara sekadar mencemik. Terkekeh-kekeh Aisy ketawa.
Kalau bab berbahasa, bermadah puisi ini bagi sahajalah pada Nur Zaara Aimy binti Salman. Tapi yang peliknya, walaupun Zaara begitu, Bahasa Melayunya tetap gagal. Kalau setakat lulus boleh terima lagi.
Ini tidak, sudah tiga kali dia ambil SPM, keputusannya tetap begitu juga. Daripada sekadar lulus pada dua peperiksaan yang lalu kali ini dia dapat enam pening pula. SEMBILAN. Kus semangat!
Tak ke bebal namanya. Memang tak dapat nak masuk universitilah jawabnya. Syarat utama untuk kemasukkan adalah kelulusan bahasa Melayu sekurang-kurangnya kena C6. Bercakap hari-hari bahasa kebangsaan itu, siap boleh berpantun segala, tapi tengoklah, tetap gagal.
Siapakah yang salah? Salah guru yang mengajar kah atau salah ibu yang mengandung kah? Eh! Apa kes ibu mengandung pula terbabit sama?
“Dengar ya. Aisy beli pantun akak!” Aisy berdeham-deham terlebih dahulu. Tangan kanannya diletakkan di hadapan mulutnya. Seperti mikrofon pula.
Testing-testing… cubaan suara… Ha! Okey pun. Akak dengar eh!…” Aisy tarik nafas.
“Punyalah tinggi terbang si gagak, singgah nak tengok orang bersilat, Macam mana aku tak gelak, result kau tu ‘bagus’ sangat!” Aisy berfikir sejenak sebelum membeli pantun Zaara. Tidak kisahlah walau bagaimana bunyinya. Janji terbalas. Dia ketawa lagi. Dia tahu Zaara pasti membalas.
“Anak itik anak puyu, sedap dimakan dengan budu, wah, wah, wah! Sedapnya kau mengutuk aku, debik sekali kang baru tahu.” Zaara acu penumbuk.
Aisy tahan tangan pada muka.
“Gagak datang beramai-ramai, bertengek tengok orang bersilat, aku bukan gelak mengilai-ngilai, aku tanya sebab ambik berat!” berkerut dahi Zaara mendengar jawapan bersahaja Aisy. Eleh! Ya ke?
“Tak payahlah nak berpantun. Asyik gagak je dari tadi. Tak ada binatang lain ke? Berbulu telinga akak ni dengar. Aisy punya macam mana?” soal Zaara. Malas nak berpantun-pantun sudah.
Dia dan Aisy sama-sama mengambil SPM. Aisy kali pertama dia kali ketiga. Kalau tak ditanya pun memang Zaara dah tahu. Aisy lulus! Tadi terserempak dengan kawan adiknya semasa nak balik tadi. Bertembung dekat simpang rumah. Sahabat adiknya itulah yang memberitahunya.
“Kejap!” badan Aisy sudah senget ke kanan. Mengambil sesuatu daripada kocek belakang seluar jeansnya dengan tangan kiri.
Jeng, jeng, jeng eh!… nanti dulu! Akak janji jangan koyak tau!” Aisy tarik tangannya semula apabila Zaara hendak mengambil kertas putih itu daripada tangan kirinya.
“Ya!” Zaara pandang atas. Macam tak percaya pada dia pula. Takkanlah dia nak buat macam tu. Tak baikkan? Bukannya dia tak kenal adiknya ini. Satu sekolah tahu fasal dia. Popularlah katakan.
Akademik bagus, sukan pun bagus. Tentulah orang sayang. Nak-nak pulak ada rupa. Tang mana handsomenya pun dia tak tahu. Macam kurang seposen je Zaara tengok. Belum tengok budak Aisy ni tidur lagi dengan bantal busuk dia.
 Mahu ada yang pengsan tengok peta dunia kat bantal dia. Tak ada sarung pulak tu! Isy! Tak senonoh.
Mengingatkan perangai adiknya ini, pasti Zaara mencemikkaan mukanya. Bukannya apa, setiap kali pun mesti ada sahaja kiriman salam yang harus dia sampaikan apabila pulang daripada sekolah.
Tak adalah Zaara nak dengki, cuma dia sudah naik muak. Asyik-asyik kirim salam, bagi hadiah. Huh! Kut ada imbuhan mahu juga dia menyampaikan. Ini jadi posmen tak bergaji. Sungguhlah Zaara tak rela.
Setiap tahun sejak daripada tadika lagi Aisy menggondol gelaran pelajar terbaik. Tiap-tiap tahun mesti muka dia jugalah yang naik ke pentas. Mak dan abah bukan main bangga lagi. Zaara kalau dia naik ke pentas pula semata-mata untuk jadi emcee.
Sebab suara dia yang lunak itu, sesuai untuk mengacara majlis. Itu cikgulah yang kata. Bukan dia yang kata. Dah orang kata sedap dia iakan sahaja.
Setiap kali nama Aisy atau Aryan dipanggil naik ke pentas, setiap kali itulah dia akan memandang wajah Salman dan Zaitun. Nampak riak gembira di wajah mereka. Sedangkan dia, tidak pernah sekali pun memberikan rasa itu kepada mereka.
Setiap kali itu juga, Zaara akan pegang dada kiri. Rasa sedih, terkilan semua pun ada. Tidak tahu bila dia akan memberikan sinar itu kepada mak dan abahnya. Harap-harapnya sebelum dia menutup mata.
Zaara pernah sekali sahaja naik atas pentas. Itu pun sebab dia menang pertandingan melukis potret. Bangga tak terkata. Senyum tak lekang dari bibirnya yang mungil itu selama beberapa hari.
Namun, perasaan terkilan bertandang apabila ibu dan bapanya tidak hadir untuk majlis itu. Tak apalah! Zaara pujuk hati sendiri. Abah cuma kata hmm sahaja tatkala Zaara tunjuk hadiah yang dia dapat. Sebuah buku nota dan juga peralatan melukis. Tak ada sebarang komen.
Tapi Zaara tetap tersenyum bangga dengan pencapaiannya. Nasib baik tak riak! Lukisan tu pun masih ada dalam simpanan Zaara. Tempat pertama tu! Tak sempat nak gantung! Tak sempat nak gantung ke atau kau tu yang mencari alasan Zaara?
“Janji?” soal Aisy sekali lagi.
“Tak ada maknanya aku nak dengki dekat adik sendiri! Bak sini, akak nak tengok.” itu benar. Setiap kali nama adiknya, Aisy Zahil dilaung naik ke pentas, dialah manusia yang paling gembira.
Yang paling bahagia kerana dia dilahirkan untuk menjadi kakak kepada manusia yang sangat dia kagumi. Berbangga kerana adiknya dianugerahkan otak yang cerdas walaupun mereka dilahirkan daripada rahim yang sama. Tak macam dia. Susah sangat nak faham pelajaran di sekolah. Macam belajar dalam bahasa Uganda pula.
Tidak pernah sekelumit pun dia ada rasa hasad kepada adiknya itu. Allah dah tetapkan itu bahagian Aisy. Bahagian dia mesti ada kan? Kan Allah dah janji masa di alam rahim lagi. Tak mungkinlah Allah nak kecewakan hamba Dia kan?
Rezeki dia macam mana, umur dia macam mana, jodoh dia dan segala-galanya sudah ditentukan di Loh Mahfuz lagi. Cuma mungkin rezeki dia bukan dalam bidang akademik. Dalam bidang lain rasanya. Dia perlu bersabar.
Ya, seperti kata adiknya juga… sabar dan solat! Itulah yang dia lakukan sekarang ini. Tidak mahu melihat wajah duka kedua orang tuanya. Rasa itu, dia tidak pernah kongsi. Rasa itu, dia simpan dalam buku catatan bergelar diari.
Aisy gigit bibir bawah. Menanti reaksi kakaknya membuka lipatan keputusan peperiksaan tersebut. Mak dan abahnya pun belum tahu lagi. Zaara orang pertama. Dia dan Zaara sangat rapat. Kawan-kawan dia pun tak tahu. Katanya tunggu dulu.
Dia nak kongsi kegembiraan ini dengan kakaknya. Tadi, bila tak nampak kelibat Zaara di sekolah, dia dah tahu keputusan Zaara macam mana. Bukan nak tunggu dia pun, balik sama-sama walhal mereka datang bersama tadi.
Dia tahu Zaara sedih. Tapi tadi memang tak sengaja nak gelakkan Zaara. Terkeluar sendiri. Serius tak tipu! Aisy sanggup kerat rambut dan kerat kuku! Cis!
“10A1!” terpekik Zaara di situ. Daripada duduk dia terus berdiri. Kedua-dua pipi adiknya itu dipegang. Aisy hanya sengih-sengih melihat Zaara yang berair mata. Kalau tak kena gaya mahu dia juga menangis sama. Al-maklumlah jiwa sensitif. Aisy hanya mengangguk.
Tadi Bakhtiar kata Aisy hanya lulus. Tak sangka pula adiknya lulus dengan cemerlang. Bangga ni! Kemudian rambut pendek potongan ala tentera adiknya itu digosok berkali-kali. Sayangnya dia pada Aisy hanya Tuhan yang tahu.
Aisy pula serba tak kena melihat genangan airmata Zaara. Bersalah kerana mentertawakan kegagalan kakaknya sebentar tadi. Maaf kak! Aisy tak sengaja.
Zaara kemudiannya ketawa. Dipeluknya Aisy Zahil. Dahi Aisy dicium. Gembira sangat-sangat. Keputusan dia yang teruk itu pun tak mampu menyembunyikan perasaan gembiranya pada si adik.
“Tahniah Aisy! Akak tumpang gembira!” ucap Zaara setelah reda perasaan terujanya. Nampaknya impian Aisy untuk menjadi seorang arkitek hebat bakal tercapai. Entah-entah lebih daripada itupun Aisy boleh dapat. Sebelah kakinya sudah terjamin.
Aisy mengangguk.
“Aisy mintak maaf. Tak sengaja nak gelak macam tu!” Aisy berubah nada suara. Kali ini ucapan itu lahir dari hatinya.
Zaara sekadar beri isyarat tangan. Angkat bahu. Tanda dia tidak kisah. Kena beritahu pada keluarga dia ni. Mesti buat kenduri doa selamat! Tanda kesyukuran. Tiba-tiba Zaara mencerlung memandang Aisy sehingga Aisy jadi pelik. Sedikit gerun dengan pandangan tersebut.
“Dah buat sujud syukur?” soal Zaara.
Aisy pamer reaksi muka supaya tak kena marah. Letak satu tangan dekat belakang kepala. Belum buatlah tu! Tukas Zaara dalam hati.
“Belum! Tak sempat lagi.”
“Dah tu yang Aisy tunggu lagi buat apa? Pergi buat cepat. Akak pun nak buat juga ni!” ketika ini mereka berdua sudah beriringan menaiki tangga kayu menuju ke atas rumah. Rumah mereka yang senyap sunyi itu.
Mak dan abah belum balik lagi. Dua-dua sedang ‘mengajar’ sekarang. ‘Anak murid’ mereka terdiri daripada 150 batang pokok getah yang terletak kira-kira dua kilometer daripada rumah. Aryan, adik mereka yang darjah enam itu masih belum pulang lagi. Mungkin balik selepas jam lima nanti. Katanya ada latihan badminton di sekolah.
“Eh!... tapi keputusan akak kan!… tak kan nak buat jugak!” Aisy bertanya. Tak sampai hati nak sebut perkataan GAGAL. Yang lulus hanya Pendidikan Seni dan Pendidikan Agama Islam. Yang lain haih… hampas!
Ewah-ewah! Sedapnya mulut nak mengutuk aku. Perkataan gagal tu tak ada dalam kamus hidup aku ni tau. Kita ni patut bersyukur walau apa pun yang mendatang. Apa yang kita dapat.
“… Jangan sampai kufur nikmat pulak. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Lupa pada Pencipta. Heh! Ni kira baguslah ada dua yang lulus.” Zaara tunjuk dua jari. Menyembunyikan rasa kecewa.
“… Okeylah ni. Buatnya enam pening semua. Tak haru ke? Tapi tak pe, tahun-tahun depan akak cuba lagi.” Zaara cekak pinggang. Dia tiada sebarang kesalan.
Dia dah belajar bersungguh-sungguh sampaikan budak Aisy ni yang dipaksanya menjadi guru terhebatnya. GTO. Great Teacher Onizuka… eh! Salah! GTAZ…Great Teacher Aisy Zahil. Namun dia tidak bernasib baik. Masih gagal juga walaupun sudah belajar dan bertapa daripada cikgu paling hebat; Aisy Zahil bin Salman.
Cuma yang dibimbangkan bagaimana dia harus menjawab dengan mak dan abahnya. Kali pertama mungkin tidak apa. Tapi ini sudah tiga kali. Macam mana ya? Alah! Seperti biasalah Zaara. Macam tak faham.
Huhu! Siapalah yang tak sedih. Nasib baik bukan tujuh kali seperti kata-kata seniman Samsudin dalam cerita Seniman Bujang Lapok ketika menghadiri screen test untuk bergelar pelakon.
Kesian Ahmad Nisfu. Sampai masuk hospital. Apalah nasib! Alah, terima sahajalah Zaara. Bukannya kau tak pernah kena marah bila gagal. Dah banyak kali pun kan. Sudah mangli.
Lepas ini maknanya dia kena menumpukan perhatian pada perniagaannya yang baru hendak menjadi itu. Haih! Entahlah! Boleh berjaya ke tak? Zaara pun tak tahu.
Rasa nak menitik air mata Aisy mendengar ucapan Zaara. Saudaranya ini tidak pernah menoleh ke belakang pun. Tidak pernah fikir yang buruk-buruk walaupun teruk kena kutuk. Kena gelak. Pedih telinga kena sindir. Selalu berfikiran positif dan jauh dan ke depan. Zaara terus berjalan ke hadapan.
Dia sentiasa tenang. Sentiasa ceria. Macam tak ada masalah. Zaara selalu cakap pada dia. Allah mengikut persangkaan hamba-hamba-Nya. Baginya, yang lepas itu sudahlah. Ambil iktibar! Kita kena bergerak ke hadapan.
Sudah jatuh beberapa kali pun, kena bangun semula. Jangan terus meratapi nasib. Semua yang berlaku itu adalah proses untuk mematangkan diri. Cuma kita ni sedar atau tidak sahaja. Ujar Zaara pada suatu ketika dahulu.
Semoga Kau memberikan rahmat-Mu kepada kakakku ini. Berilah dia kebahagiaan Ya Allah. Biarlah senyuman manis dibibir kakakku ini sentiasa terukir. Aisy senyum.
Lepas ni apa agaknya rencana Zaara? Satu impian paling besar hidup dia dan ditulis dekat pintu bilik dia tak ada lain. Dari kecik sampai dah besar. AKU JUTAWAN. Tapi bagaimana?
Mak dan abah pun, sampai dah naik pening dengan perangai Zaara yang satu itu. Macam mana nak jadi kaya kalau akademik pun tak pernah lulus! Tak pernah dengar Zaara melawan kata, tapi dia pun memang maklum Zaara ni, kuat semangat.
Senyap sahaja Zaara mendengar leteran Salman. Tidak berkutik walau sedikit pun sampailah abah suruh dia masuk bilik. Sudah bosan mengasak telinga Zaara ini.
Walaupun tidak bersuara tetapi kadang-kadang dia nampak tangan Zaara akan mengelap airmata yang jatuh menitis. Dia sebagai adik akan sentiasa menjadi tulang belakang untuk Zaara yang sedari dulu amat berminat dengan dunia perniagaan.
“… lagipun aku nak buat untuk kau sekali. Syukur sebab dapat adik macam Aisy ni. Buatkan mak dan abah bangga sentiasa.” Ish! Zaara mengacah hendak menampar muka Aisy. Bukan macam aku ni. Sambung Zaara dalam hati.
Pantas Aisy mengelak. Hadang muka dengan tangan. Dia tersengih sambil geleng kepala. Macam-macamlah Zaara ni. Kecoh! Macam mak nenek kalau aura kepoh dia dah datang.
Setelah selesai melakukan sujud syukur yang tak sampai beberapa saat itu, Aisy kata dia nak menjejak mak dan abah di kebun untuk memberitahu akan hal tersebut. Sudah tidak boleh bersabar lagi beritahunya. Sedangkan Zaara pula sedang bercekak pinggang sebelah tangan sambil mengacau gulai.
Bau wangi menusuk hidung. Masakan tengah hari mereka, ikan kembung bakar. Sayur kampung; cendawan busut dan pucuk salang masak air campur daun kunyit dan buah keras untuk menaikkan bau dan selera.
Cendawan dan pucuk salang tu Zaara cari semalam. Meredah hutan kecil di kebun. Adalah dua tiga ekor pacat gigit betis dia sampai gemuk. Selamba sahaja Zaara tarik pacat-pacat tersebut.
Darah yang meleleh tu ditampal dengan daun senduduk yang sudah dikunyah lumat. Sekejap sahaja sudah berhenti.
Kemudian Zaara tumbuk sambal belacan campur belimbing buluh segera dibuat. Lawan untuk dua juadah tersebut. Mahu menambah dua tiga pinggan nasi ni. Slurp! Air liur Zaara tiba-tiba masam.
Sudah terasa lauk pauk itu semua dalam mulutnya. Tapi dia kena tunggu. Kena sabar. Tunggu mem besar dan suaminya pulang dahulu. Baru seronok makan ramai-ramai kan.
Sedang seronok melayan bau yang enak itu, hidung Zaara tercium sesuatu. Kembang kempis hidungnya menahan bau. Zaara pekup hidung. Ni mesti kerja budak bulu-bulu tu! Mana dia? Zaara mencari. Panas hati dibuatnya.
“Toddd!!!!” panjang Zaara menjerit. Zaara lihat kakinya. Melihat ‘hasil’ lebihan budak bulu-bulu itu yang kini melekat pada ibu jari kaki kanannya. Terdengkut-dengkut Zaara masuk bilik air. Segera dibuang najis dan dimop tempat tersebut.
Nanti kau! Selalu tak buat perangai macam ni. Zaara keluar sambil capai penyapu lidi yang terletak belakang pintu. Seketika kemudian kedengaran suara Tod berbunyi dan suara Zaara berpadu. Mereka main kejar-kejar dalam rumah!


Zaara termenung berdiri merenung carta impian atau vision board yang bertampal di balik pintu. Sudah bertahun lamanya. Gambar-gambar kesukaan Zaara yang dikumpul dan ditampalkan daripada majalah dan suratkhabar. Sudah ada yang berwarna kuning pun. Hmm…
Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Benar-benar buntu. Masih ada masa hadapankah untuk orang sepertinya? Bolehkah tercapai semua impian yang dia inginkan. Satu keluhan kasar dilepaskan.
Dia tidak tahu tapi dia percaya. Tidak selamanya awan akan mendung. Tidak selamanya bumi akan sentiasa basah. Manalah tahu, tiba-tiba datang pelangi. Kan cantik tu?
Ketukan di muka pintu mematikan lamunan Zaara. Dibukanya sedikit. Nampak sengihan Aisy Zahil. Apa jugaklah budak ni nak? Aku baru nak layan jiwa.
“Hah! Nak apa?” lemah Zaara bersuara.
“Lepak jom?” ajaknya.
“Dah malam ni Aisy. Akak letihlah. Tak reti nak tido ke?
“Tak boleh tidolah kak! Alah! Kita lepak kat pangkin depan tu je.” ajak Aisy. Memujuk. Dia tahu Zaara sedang bermuram. Manakan tidak, sudah berkali-kali ambil SPM pun masih gagal lagi. Lepas tu kena marah pula.
After you!” ujar Zaara. Menyuruhnya bergerak dahulu. Kemudian dia melangkah longlai.
“Akak okey ke?” Aisy terus bertanya sebaik sahaja punggung dilabuhkan di atas pangkin.
“Okey je! Kenapa tanya?”
“Akak sedih eh?” tebak Aisy. Sedikit sebanyak dia juga simpati. Tadi pun mak dan abah bising apabila tahu keputusan Zaara. Teruk kena basuh. Kakaknya seperti biasa, hanya senyap sahaja. Membisu.
“Mana ada!” Zaara menafikan. Wajah Aisy sekilas dipandang.
“Akak senyap je masa makan malam tadi. Tengah hari pun sama. Selalu akak tak macam tu pun!”
Zaara lepaskan satu nafas panjang. Entahlah! Bohonglah kalau dia tidak rasa perasaan kecewa itu.
“Akak malulah Aisy! Asyik gagal je. Mak dan abah marah. Kawan–kawan pun kutuk. Kawan-kawan akak semuanya belajar tinggi-tinggi. Akak je yang duduk terceruk kat sini. Macam akak tak ada masa depan pulak.” Sedihnya hati hanya Tuhan yang tahu. Bukannya dia tidak usaha. Puas dah. Menelaah bila ada masa terluang. Sepanjang masa.
Kismis, kacang bijak dan air penerang hati usah cakaplah. Sudah beribu-ribu dikunyah dan bergelen-gelen air tersebut melepasi tekaknya, namun takdir Tuhan siapa yang tahu. Entah apa yang Allah telah aturkan untuk hambanya yang bernama Zaara ini.
“Sabarlah kak. Aisy percaya rezeki akak ada.” Faham dengan luahan rasa Zaara yang tidak terluah. Dia memeluk bahu Zaara. Zaara melentokkan kepala di bahu adiknya. Kedua tangannya diletakkan diribaan. Menumpang agar beban rasa terkilan itu tidak berat sangat untuk dipikul.
Tak guna kau belajar Zaara. Macam tu jugaklah nasib kau. Tak berubah. Baik kau kahwin dengan aku ajalah. Sikit lagi dapat kerja bagus. Aku suruh mak ayah aku masuk meminang eh? Nasib baik kau ni cantik! Dia bercerita. Teringat perbualan dia dengan kawan sekolahnya yang datang ke gerainya petang tadi.
“Apa kak?...” tinggi suara Aisy. Wajah saudaranya ditenung dengan perasaan marah yang mula membenih. Terkejut Zaara dibuatnya. Lebih-lebih pula reaksi budak Aisy ni. Aku okey je pun. Daripada bersandar di bahu Aisy, wajah adiknya itu pula ditenung. Aku sekadar berkongsi cerita sahaja. Yang dia emosi terlebih ni kenapa?
“Itu bukan kawan-kawan namanya kak. Ada cakap macam tu pulak!” dah puas mengutuk, lepas tu ada hati nak kahwin dengan kakak aku ni. Kirim salamlah! Aisy mendengus marah.
Suara Aisy mula mengendur setelah mengambil nafas beberapa kali.
“…At least you tried sis. You never give up.” Aisy sedikit berang apabila ada yang memperlekehkan Zaara.
Zaara tersenyum mendengar perkataan itu. Hanya Aisy yang faham cita-citanya. Sentiasa menyokongnya daripada belakang. Memberi tunjuk ajar. Zaara tidak pernah malu untuk mengutip ilmu daripada adiknya yang muda itu.
Aisy selalu sahaja memberinya buku untuk di baca. Dan dia banyak belajar daripada membaca. Harta dia yang paling berharga sekarang ini adalah buku. Bilik dia sudah penuh dengan buku. Kalau dia mati esok, dia nak wakafkan semua buku yang dia ada dekat perpustakaan desa yang ada di kampung ini. Itu janjinya.
“…Mana kakak Aisy yang bercita-cita tinggi. Nak jadi jutawan tu. Akak ingat semua orang yang kaya raya tu semuanya mesti bijak pandai ke? Ada yang tak tahu membaca pun, school dropped out, tak sekolah. Belajar sekerat jalan. Jangan cetekkan fikiranlah kak.” Aisy beri nasihat pada Zaara yang senyap.
Aisy sambung lagi kemudiannya.
 “...kakak Aisy bukan macam ni.”
“Entahlah Aisy!” itu sahaja respons Zaara.
“Ada dalam kitab ke yang sebut kalau nak berjaya tu kena lulus SPM, masuk universiti.” Aisy berhenti untuk melihat reaksi Zaara yang dari tadi hanya senyap.
Zaara geleng. Dia tahu fasal itu. Memang tak pernah sebut. Yang dituntut adalah mencari ilmu. Surah pertama yang diturunkan pun maksud dia ‘baca’.
“…universiti, kolej, itu hanya salah satu cara nak dapatkan ilmu je kak. Ilmu Allah ni luas. Banyak! Boleh kutip kat mana-mana. Aisy tak nak dengar lagi akak cakap macam tu tau. Sakit hati Aisy. Janji dengan Aisy boleh?” soal Aisy sambil tumbuk dada sendiri. Menggambarkan rasa sakit itu.
Tolonglah kak Zaara Allah.Tolonglah dia! Kasihanilah dia. Mohon Aisy dengan matanya menghadap Zaara yang sedang menekur memandang tanah. Jelas raut wajah yang kecewa.
“Okey… akak janji!” akhirnya Zaara pandang pada Aisy dengan senyuman tawar.
 “Akak kena kuat tau. Jangan cakap macam tu lagi. Bila akak cakap macam tu, macam akak tak percaya pada Tuhan pulak. Dia kan pemberi rezeki.” Itu dia, Ustaz Aisy Zahil sudah bercakap.
“Tapi macam mana Aisy? Boleh ke? Akak ni bukannya pandai pun.” masih ada ragu-ragu dalam hati Zaara.
“Bisnes laksa akak tu. Akak ingat tak boleh maju ke? Akak ingat tak boleh jadi jutawan walau hanya jual benda simple tu.”
“Boleh ke?” macam tak percaya sahaja. Bulat mata Zaara. Buat duit dengan jual laksa. Macam mustahil sahaja.
“Fasal apa tak boleh? Cuba sebut pada Aisy sebab apa tak boleh?” Aisy cabar Zaara. Keningnya terangkat.
“Aaa…” mulut Zaara terbuka hendak menjawab, tapi dia tiada jawapan. Terkatup kembali mulutnya. Betul jugak cakap budak ni.
“Cuba akak perhatikan dan faham dalam azan yang dilaungkan lima hari sekali semalam tu.”
Zaara renung muka Aisy. Meminta penjelasan.
“…Haiya’Alla Solah, Haiya’Alla Fallah. Maksudnya. Solat didahulukan baharulah boleh berjaya. Itu janji Dia kak. Aisy tengok, akak jaga solat, jaga hak Dia sepanjang yang Aisy tengok.” Adiknya tersenyum sewaktu menuturkan kata-kata itu. Dia nampak Zaara boleh pergi jauh.
“…tak mustahil kak! Tak mustahil. Bila Dia kata kun, semua pun boleh jadi. Sekelip mata sahaja. Akak sabar sikit je lagi. Mana tahu, mungkin tinggal tiga langkah sahaja lagi untuk akak gapai impian tu!” Aisy memberikan bahasa simbolik. Dia tahu Zaara faham maksudnya.
“…Lagipun, akak tahu ke takdir hidup kita ni. Tak siapa pun tahu kak. Hidup, mati, jodoh pertemuan dan rezeki, itu semua rahsia Dia. Kita sabar dan redha sahaja dengan apa yang Dia bagi tanpa sesalan. Kerana apa yang Dia bagi itu, menjadikan siapa diri kita hari ini.” Aisy angkat bahu. Tanda dia sudah selesai. Panjang lebar Aisy bersuara.
Zaara senang faham. Kalau dia diam, maknanya dia sedang mengkumuhkan apa yang dia dengar. Sedang fikir dengan mata hati.
Hampir menitis airmata Zaara dibuatnya mendengar perkataan-perkataan itu. Aisy benar.
“Setiap manusia yang Allah cipta, ada kekuatan dan bakat yang Allah beri padanya. Yang tak ada pada orang lain. Tak ada sesuatu pun yang Dia cipta itu sia-sia tau kak.” Aisy sambung sedikit lagi. Mendengarkan kata-kata Aisy macam tak padan dengan umur. Matang cara dia berfikir.
“Betul ke ini adik akak yang sedang bercakap?” Zaara bertanya. Sudah tersengih.
“Akak?!!” Ditamparnya lengan kakaknya itu. Menyampah betul kalau Zaara main-main macam ni. Orang tengah serius ni.
Uit… pedihnya! Zaara gosok perlahan lengannya itu.
“Nanti akak dah kaya jangan lupakan Aisy pulak! Bawa Aisy dengan Aryan pergi umrah tau.”
“…lagi satu… zakat jangan lupa! Itu rukun tahu.” mengingatkan Zaara pada perkara masa hadapan. Dia senyum. Kaki yang tergantung itu dihayun perlahan-lahan.
“Mestilah!”Jawab Zaara. Mula membayangkan yang seronok-seronok. Kedua beradik itu kemudiannya rancak berborak sehingga tidak sedar hari sudah larut malam. Gelak tawa mereka berdua mengejutkan Salman. Ayah mereka yang sedang menonton rancangan gusti.
 “Apahalnya tu Zaara, Aisy!” Salman bergegas ke pelantar apabila mendengar kedua-dua anak mereka yang tiba-tiba menjerit. Ingatkan ada perkara kecemasan sebentar tadi. Rupa-rupanya anak-anak sendiri sedang mengusik sesama sendiri.
“…dah pukul berapa dah ni? Mata tu tak reti-reti nak pejam!” Salman sudah bersuara.
Zaara dan Aisy saling berpandangan. Mencemik sebelum ketawa bersama-sama. Itupun sambil tutup mulut. Hihi. Kalau tak nanti Salman marah lagi.


Seperti biasa, setiap hari Zaara akan berjualan di hadapan kedai Haji Harun. Semua hasil jualan direkodkan ke dalam buku. Ada juga buku untuk nama pelanggannya. Lelaki separuh abad itu memberikan Zaara sedikit ruang.
Dia melihat Zaara sebagai seorang gadis kampung yang berjiwa besar, cekal dan mempunyai matlamat hidup. Bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib.
Dia percaya Zaara boleh berjaya. Dan ternyata telahannya itu benar setelah lima tahun berlalu.

Segala puji bagi Allah!