Wednesday, 27 November 2013

Lelaki Januari (Bab 3): Hafizah Iszahanid

SEINGATKU, genap dua minggu selepas pertemuan di rumah Mak Som dulu, Mak Ngah datang lagi. Kali ini Mak Ngah datang terus ke rumah. Mak Ngah datang dengan Mak Som dan Pak Abbas. Suami Mak Ngah yang mesra membahasakan dirinya Pak Ngah kelihatan berseri-seri wajahnya.
Kedatangan rombongan Mak Ngah itu mengundang gelisah bukan kepalang di hati aku.
Sungguh, aku  tidak upaya lupa waktu Pak Ngah membuka bicara. Membuka kata dengan pantun yang indah sekali.
  
Kapal belayar dari Juddah
Hendak menuju ke negeri china
Siang malam berhati gundah
Hendak memetik setangkai bunga (zainal Abidin  Bakar 1984:257)

Dan itulah pantun yang memulakan segala-galanya.   Dengan latar belakang keluarga Ali Syukri dan Mak Som yang sudah lama dikenali, emak dan abah senang hati melepaskan aku kepada Ali Syukri .
Cuma Kak Jun, sedikit terkilan. Kata Kak Jun, Laila masih muda mengapa perlu terkejar-kejar hendak berkahwin.
Nazir, adik bongsu yang masih di bangku sekolah itu pun pandai menyindir, katanya walaupun Kak Laila yang dikenalnya lasak dan kelihatan berdikari tetapi cepat sangat hendak menyerah hati pada lelaki.
Namun, bila mabuk bercinta mana hendak mendengar pendapat orang? Cita-cita hendak menjadi wartawan lasak seperti Cal McAffery,  cepat terhakis dari hati. 
“Cal McAffrey ?,” aku ingat kedut pada dahi Kak Jun waktu mereka duduk berdua bercerita tentang cita-cita.
Dulu, aku pernah bercita-cita hendak menjadi seperti Cal McAffery seperti watak dalam filem State of Play.  Teruja benar aku dengan filem  political thriller itu.
Konspirasi ahli kongres dan taat setia kawan lama selain etika kewartawanan dalam State of Play seakan mendominasi seluruh jiwa usai menonton filem itu.
Lalu, aku becita-cita apabila tamat pengajian nanti, aku mahu terus memohon jawatan sebagai wartawan. Kononnya mahu jadi sehebat Rusell Crowe dalam State of Play!
Ialah, watak Cal McAffery itu adalah watak wartawan ideal yang mengorek kebenaran tanpa gentar. Dalam diam, aku sungguh mengidamkan menjadi wartawan yang sebegitu!
“Emmm… baru nak masuk 19 tahun dah nak kahwin…Cal McAffery-lah sangat!,” aku ingat juga pada sengih Kak Jun saat itu.
Emak sebenarnya tidak begitu setuju dengan peminangan itu apatah lagi dengan Kak Jun yang tidak habis-habis menyindir membuatkan aku termalu-malu juga sesekali.
Namun mungkin mengenangkan aku akan kembara ke Nottingham tidak lama lagi dan tidak jauh pula dari Ali Syukri nanti, emak merelakan. Lebih dari itu, emak bagai tahu apa yang ada jauh dalam hati ku.
“Emak tahu Laila sukakan Ali Syukri bukan?,” emak lembut sahaja suaranya waktu kami sama-sama mengemas dapur. Membersihkan sinki dan menyusun pinggan mangkuk.
Setiap satu pinggan itu emak lap bagi kering dan emak susun di lantai. Aku yang akan menyusunnya rapi dalam almari. Pinggan porselin bunga kangkung warna merah hijau itu sudah puluhan tahun usianya. Pinggan yang diwarisi dari opah.
Lalu, emak teliti sungguh dengan setiap satu koleksi pinggan bunga kangkung itu. Dari koleksi pinggan, mangkuk nasi, mangkuk gulai, sudu, teko malah hingga acuan kuih lompang milik emak semuanya dari koleksi corak bunga kangkung.
Aku masih terdiam dengan soalan emak. Pinggan yang disusun emak di lantai disusun teliti dalam almari. Setiap satunya disusun penuh berhati-hati.
“Delaila…,” suara emak membuatkan ada letupan letupan kecil meletus dalam dada ku. Aduhai, aku jadi malu sungguh!
Usia ku baharu hendak mencecah 19 tahun dan sesungguhnya aku boleh memahami jika emak belum sedia melepaskan anak daranya yang seorang ini kepada Ali Syukri yang berusia 20 tahun.
Kak Jun pun belum apa-apa lagi! Belum ada calon boyfriend pun ketika itu.
“Ralat sebenarnya hendak serahkan anak dara kita yang bijak dan cantik pada orang awal-awal sangat,” emak melafazkan kata-kata itu sebelum lama terjeda. Sungguh, waktu emak diam begitu, aku menjadi sangat resah.
“Tapi mak tahu, Laila sukakan dia bukan?,”
Emak sambung ayat. Resah yang bergumpal dalam dada hilang seketika, namun aku masih diam.  Diamnya aku bagai alam sunyi sepi. Macam dilanggar garuda, seperti kata Kak Dayana dulu.
Aku malu sungguh bila tiba bab-bab cerita soal hati ini. Tapi ialah, kalau dengan emak sendiri pun malu dengan siapa lagi hendak cerita ? Silap hari bulan, emak ingat aku tidak setuju pula dengan pinangan Ali Syukri.
Amboi Laila, gedik ya ! hati bagai mentertawa.
“Laila cakaplah jangan malu dengan emak. Kalau tidak mahu, boleh diberitahu tidak mahu pada Mak Ngah,”
Alamak, mahu cakap apa ya? Mahu ke tidak? Mahu ke tidak ? Hati ku bergetar. Aku tersengih-sengih sendiri. Apa nak cakap ni?
Tidak lama dulu selepas kenduri di rumah Mak Som, ada juga Ali Syukri bertandang. Datang sendiri naik bas, naik keretapi dan memandu sendiri.
Kerap sangat bertandang ke rumah Mak Som, emak upaya meneka bukan sebenarnya Mak Som yang ingin dilawat!
Mak Som pun setiap kali Ali Syukri berkunjung, suka benar dia memasak itu ini. Dan suka juga menyuruh Ali Syukri yang menghantar. Kalau menjelang tengahari menghantar lauk pauk, menjelang petang disuruhnya Ali Syukri menghantar kuih muih. Kuih ketayap lah, seri muka lah, tepung talam lah.
Emak dan abah boleh meneka taktik anak beranak itu. Masakan tidak, berbelas tahun berjiran, Mak Som hanya rajin menghantar juadah menjelang Ramadan. Sedangkan kini, Rejab pun belum tapi rajinnya Mak Som memasak bagai memasang jerat.
Aku pun terlebih rajin juga. Ada sahaja hendak dimasak, hendak dihantar ke rumah Mak Som ! Sampaikan bubur gandum masak hangit pun hendak juga disedekah. Ishh.. kalau diingat-ingatkan malu sungguh. Tapi waktu itu memang perasaan menenggelamkan akal.
“Mahu ya?,” emak mencuit pinggangku. Ketawa kecil membubarkan resah dan debar dalam dada.  Menerbangkan kenangan.
Ya, perkenalan di rumah Mak Som meskipun tidak lama namun ia bukan sebab untuk  menidakkan keinginan dalam hati kami. Kenal sekejap tidak maksudnya tidak serius tidak maksudnya tidak ikhlas. 
“Laila sungguh-sungguh mahu bernikah dengan Ali Syukri?,” usai tawa, emak bertanya lagi. Kali ini mata emak besar memandang. Aku pula tidak berani mengangkat muka, bertentang mata dengan emak.  Rasa malu, gusar dan sedikit-sedikit gentar masuk ke hati, ke urat nadi.
“Gatal sangat nak kahwin, kecik lagi awak tu..,” Kak Jun yang lalu lalang sempat ‘melepaskan’ bom  katanya.  Tapi aku masih diam. Masih tidak tahu apa jawapan sebenarnya.
Kalau ditanya sukakah aku pada Ali Syukri, aku perlu jujur pada diri sendiri. Ya, aku sukakan dia.
Jika Ali Syukri itu bertandang ke rumah Mak Som, dia gemar sekali berjogging di hadapan tasik yang menghadap belakang rumah ku. Dan aku pula menjadi ‘pengendap’ paling setia.
Di belakang rumahku dan rumah Mak Som juga, ada tasik dengan hijaunya air dek biasan pokok-pokok yang menyeluruhi bukit bukau di Tambun.  Dan bayang-bayang pokok itu terbias pada permukaan tasik. Memang tasik itu tempat kebanyakan warga taman ini berjogging.
Bukan hanya pagi, tapi petang dan ada kala malam juga.
Dan pagi itu, waktu aku membuka jendela, di bawah sinar matahari jam 9 aku terlihat Ali Syukri di laman belakang. Dia berlari anak sebelum berhenti seketika membuat regangan. Aku tidak pasti sudah berada lama dia di laman belakang, menghadap tasik.
Tapi aku melihat baju T putihnya kuyup dengan peluh dan wajahnya juga basah dengan peluh mengalir. Ali Syukri di wajah pagi sungguh mempersonakan. Dan saat itu, dadaku bergetar hebat. 
Aku termanggu di jendela asyik melihatnya. Dia, lelaki dengan mata sedikit sepet tetapi berhidung mancung, berkulit sawo matang dengan rambut pendek lurus terjaga. Dia manis dipandang dan dia membuat dadaku berdegup kencang walau sesekali terkenang.
“Laila, bagaimana?,” emak menegur, menarik  aku keluar dari kenangan. Aku senyum, malu. Kalaulah emak tahu apa yang ada dalam ingatan ku saat itu!
“Fikir baik-baik, Laila  masih muda. Emak atau abah jauh sekali hendak memaksa. Fikir yang terbaik untuk diri sebab Laila ni budak lagi. Kalau Laila boleh janji dengan mak pengajian Laila tidak terganggu dengan perkahwinan itu nanti, emak sudah rasa lega Laila,”
Aku masih diam.
“Jangan diam Laila, emak hendak tahu apa yang ada dalam hati Laila” emak bersuara tegas, mencuit paha ku.
Jeda.  Memikir yang patut dilafaz. Jeda lagi.
“Delaila..,”
Aku tarik nafas panjang. Wajah Ali Syukri terbayang.
“Kalau emak dan abah izinkan, tentu saja peminangan itu perlu diterima,” aku lafaz perlahan. Aku malu dengan kata-kata sendiri, tapi aku perlu luahkan apa yang ada dalam hati.
“Laila benar-benar suka Ali Syukri?,”
Angguk.
“Sungguh benar suka?,”
Angguk lagi.
Ya, aku sukakan Ali Syukri. Dan aku juga sayangkan agama dan cintakan tuhan yang satu. Sebab antara kami saling menyukai dan menyintai, Ali Syukri mencadangkan kami bernikah saja.
Kebetulan kami satu universiti nanti. Kami duduk berdua duduk jauh dari keluarga.  Kami mahu yang terbaik untuk semua.
“Semoga Ali Syukri yang mampu memberi bahagia,” emak mengucapkan perlahan. Hatiku tersentuh. Dalam.
Terima kasih emak.
Begitulah kalau sudah tertulis jodoh. Keluarga aku tidak menolak. Aku sebenarnya yang tidak menolak. Aku akui sukakan Ali Syukri  itu. Aku jatuh hati pada tenang di wajahnya dan sinar matanya yang memancar terang.
Aku ingat ketika itu, aku mengharapkan bintang-bintang di langit akan selalu bersinar terang untuk kami dan bulan akan jatuh ke riba untuk kami.
Namun ya, harapan itu hanya harapan. Realitinya, hidup berdua bermaksud mencantumkan dua pemikiran menjadi sealiran, mengabungkan dua manusia menjadi satu jiwa. 
Dan untuk ku, ia bukan sangat mudah!

No comments:

Post a Comment