SEINGATKU, kami benar-benar bahagia untuk 60 hari.
Selepas itu, hari-hari yang berlalu adalah medan peperangan kata. Peperangan
rasa.
Sepatutnya kami boleh saja
berbahagia. Kahwin dalam usia muda, kemudian hidup berdua jauh di tanah Eropah
kami hanya ada antara satu sama lain.
Tapi sungguhlah tuhan itu yang
menentukan perancangan manusia. Walau sehebat mana perancangan kita, pada
akhirnya segala keputusan terletak pada-Nya jua.
Jadual kuliah di sebelah siang
kalau pun ia tidak upaya menemukan kami, di sebelah malam boleh saja kami
duduk-duduk berdua.
Tapi tidak, kami sibuk entah apa
yang dikejar. Hingga ada kala berpapasan di pintu perpustakaan utama kami hanya
berbalas senyum atau menjelir lidah manja sesama kami. Tanda mesra kononnya!
Atau hanya melambai dari jauh,
hanya menyapa hai dan hoi lalu pergi. Ada kala hanya bagai rakan senegara bukan
suami isteri.
Perkenalan kami sebenarnya bermula
dalam satu pertemuan di rumah Mak Som, jiran sebelah rumah. Jiran yang sangat
akrab dan ada kala lebih dianggap sebagai emak saudara bukan sebagai jiran.
Dan perkenalan aku dan Ali Syukri
sebenarnya sangat manis dan mengamit aura romantis. Perkenalan pada bulan
Januari.
Seingatku, ia terjadi waktu usia
masih remaja, ketika baharu berusia belasan tahun. Aku masih dalam kelas
persediaan ke seberang laut dan sedang menghitung-hitung hari keberangkatan.
Aku memejamkan mata. Dalam gelap
pandang, kenangan itu datang. Sungguh, kenangan itu tidak upaya dilupa walau
sekelumit pun. Malah waktu ini, kenangan itu terlalu jelas terbayang,
terpampang, terkenang. Kerap. Terlalu kerap. Rindukah aku pada Ali Syukri ?
“Dah sampai pun anak dara orang
sebelah ni,”
Aku masih ingat senyum Mak Som yang
lebar. Terlihat-lihat susunan giginya yang tidak lurus, bergigi taring tetapi
menyerlah manis pada wajah itu.
Aku terkenang hangatnya dakapan Mak
Som waktu itu. Terasa-rasa kasih sayang
dan seluruh keikhlasan Mak Som mengalir ke urat saraf lewat pelukan itu,
walau ia sudah bertahun-tahun berlalu.
Aduhai, Mak Som itu jiran yang baik dan sejak dulu pun selalu saja dianggap bagai darah daging
sendiri.
“Jadi, apa khabar?,” mata Mak Som
besar bersinar waktu memandang. Senyumnya tak surut. Manis dan menenangkan.
Kedua-dua tangannya masih memegang bahuku, mesra.
“Alhamdulillah..,”
“KL Ipoh tak jauh, tak penat pun naik keretapi kan?,” senyum Mak Som
masih belum surut, makin merekah malah. Penat perjalanan dari Kuala Lumpur
untuk dibawa balik semuanya ke Ipoh terasa hilang begitu sahaja dengan
kemesraan Mak Som.
Tadi, sebaik tiba di rumah abah
menyambut dengan senyum. Kata abah, emak ada di rumah sebelah, rumah Mak Som.
Mak Som membuat kenduri kesyukuran kerana suaminya Pak Abbas sudah mendapat
kerakyatan Malaysia minggu lalu.
Seingat ku, Pak Abbas adalah lelaki
Mesir yang jatuh hati dengan Mak Som ketika mereka sama-sama menuntut di
Kaherah. Santun gadis Melayu memikat hati Pak Abbas sejak 30 tahun lalu. Cinta
dan kasih gadis Melayu membuat Pak Abbas akur untuk meninggalkan tanah tumpah
darahnya untuk bersama Mak Som.
Untuk aku, Pak Abbas dan Mak Som
adalah kisah cinta klasik yang sangat romantis. Meskipun keduanya tidak
dikurniakan anak tetapi cinta antara mereka segar dan mewangi bagai dulu-dulu.
“Mak Laila di sana,”
Mak Som menunding jari pada emak
yang sibuk membentang seprah di tengah ruang tamu. Ada piring kecil gulai dalam
talam yang menanti untuk disusun atas seprah itu. Aku angguk dan berlalu.
“Mak,”
“Laila, bila sampai?,”
“Baru sekejap tadi,” aku cepat
mendakap emak, menyalami dan mencium tangan emak. Kemudian, piring kecil gulai
dan mangkuk nasi diatur atas seprah yang sudah dibentang emak.
“Siapa nak makan ni mak?,”
“Kitalah..,”
“Kalau kita, buat nasi kandar dah
la.. apa nak teruk beno nak bentang seprah?,”
Emak menyengih.
Kemudian, aku terdengar suara derai
tawa Mak Som di hadapan pintu. Sambil duduk bersila menghadap hidangan yang
tersedia, aku memandang ke arah Mak Som.
Mak Som sedang memegang kedua-dua
tangan seorang perempuan yang jauh lebih bergaya daripadanya. Perempuan
bertudung krim dengan baju sedondon dan berantai labuh dengan gaya ala-ala
datin itu pun kelihatan mesra dan sibuk ketawa bersulam-sulam bicara.
Agaknya kawan lama Mak Som. Agaknya
saudara Mak Som. Atau kakak Mak Som. Eh, lantaklah bukan ada kena mengena
dengan aku pun. Aku pantas terus
menceduk nasi.
Bau masak lemak daging salai
membuka selera. Ulam pegaga, ulam kacang botol dengan sambung nyawa yang
tersusun kemas dalam piring sudah memanggil-manggil. Bau sambal belacan dan
ikan masin menusuk-nusuk hidung. Hai, mana boleh tahan!
Waktu nasi panas sudah masuk ke
pinggan, emak mencuit dari belakang.
“Hoi anak dara, cer sabo sikit…
tunggu le orang lain. Tadi bukan main cakap nak buat nasi kando… ni orang dah
hidang pandai pulak bukak sila ya,”
Aku
tersengih-sengih. Bau nasi panas menggoda-goda selera.
“Kejap, ajak kakak Mak Som tu makan sekali,” mak tunding jari
pada perempuan ala-ala mak datin di hadapan pintu. Betullah tu, kakak Mak Som!
Hati separuh bersorak.
Lama menunggu, borak Mak Som dan
kakaknya itu tidak pun bernoktah. Emak pun tumpang bercerita sama, bagai sudah
lama saling mengenal.
Aku jadi malas menunggu. Perut pun sudah berbunyi-bunyi. Bau nasi
panas dan gulai lemak daging salai aduh.. menusuk masuk ke hidung. Tidak boleh
jadi ni!
Aku tidak peduli tentang Mak Som
dan kakaknya itu lagi.Dengan bismillah aku khusyuk menikmati nasi panas dengan
ikan masin berulam kacang botol. Walau pedas
sambal belacan tidak terkira, aku bedal juga.
Nikmatnya tuhan saja yang tahu!
“Amboi, sedap pulun nasi sampai
tak sempat nak ngajak orang,” Mak Som menyapa. Aku spontan angkat kepala.
Mulut masih mengunyah nasi, pipi
kembung macam ikan buntal. Namun waktu itu, mataku bertembung pandang dengan
seorang remaja lelaki yang hampir sebaya di belakang Mak Som, yang sedang
tersengih-sengih memandang ke arah aku.
“Anak dara buruk kelaku,” mak
sempat mencubit peha, hanya untuk membuat aku tersedak. Bersembur nasi dari
dalam mulut. Ya Allah, mata sudah berair.
aku cepat-cepat capai gelas air di di hadapan.
Dalam kalut tersedak dan menahan
malu, aku terdengar suara orang ketawa. Suara orang itulah bercampur-campur
dengan tawa kecil kakak Mak Som.
Emak berwajah masam. Tentu saja
menahan marah, anak perempuannya ini tidak beradab. Mak Som hanya senyum.
Selera makan mati. Rasa malu
menerpa tiba-tiba. Si budak lelaki itu
tidak habis-habis ketawanya.
Malunya aku ! Terasa pipi sudah
luruh.
Emak pun, kalau hendak marah,
kalau hendak cubit janganlah waktu mulut penuh. Lebih parah, budak lelaki itu
dan emaknya – kakak Mak Som duduk bersila pula berdekatan aku pula. Menarik pinggan, selamba menceduk nasi.
Aduhai, aku pula yang terasa malu
sungguh-sungguh! Perlahan-lahan aku
bangun dari sila. Pinggan porselin putih bunga kangkung yang masih berbaki
dengan nasi diangkatnya di bawa ke dapur. Sumpah, aku masih lapar. Lapar
sungguh. Tetapi kerana malu, aku perlu pergi dari situ.
Ketika kaki melangkah ke dapur, aku
masih terdengar sisa tawa si lelaki itu sambil ada suara melarangnya ketawa
lagi.
‘Malu dia… dia tu anak dara tak
baik ketawakan begitu,”
Malunya tuhan saja yang tahu!
Eiii… kalau boleh aku tidak ingin
lagi bertembung dengan kakak Mak Som dan anak lelakinya itu.
Aku sudah berjanji dengan diri
sendiri, aku tidak mahu lagi ke rumah Mak Som selagi majlis belum langsai.
Tapi apakan daya, emak langsung
tidak mahu faham! Emak minta pula aku tolong Mak Som basuh pinggan di bahagian
dapur kering di rumah Mak Som.
Alahai mak, nanti-nantilah orang
tolong!
Sekarang Laila!
Emak guna kuasa veto. Aku tiada
hujah hendak melawan. Walau wajah kelat, arahan emak bagai arahan jeneral
angkatan perang. Mesti buat!
Alahai, Mak Som ni pun satu bukan
hendak buat catering! Kan senang, lepas kenduri semua siap,” sempat aku membebel. Emak menjeling tajam membuat aku
terdiam.
“Kalau buat catering tiada semangat ukhwah dan persaudaraannya, tak ada sesi
gelak dan usik mengusiknya,” emak membalas sesudah jeling tajamnya mendiamkan
aku.
Dan sudahnya, aku terperuk di dapur menghadap timbunan pinggan
mangkuk kotor.
Nasib baik ada Kak Dayana, jiran
di hadapan rumah. Kak Dayana orangnya cekap membuat kerja dapur. Pantas dan
cepat. Selalu saja emak memuji Kak Dayana.
Sambil bersembang-sembang dan usik
mengusik dengan Kak Dayana, tidak sedar pinggan kotor yang bertimbun langsai
dibasuh.
“Pinggan ni nak letak mana?,” tawa
ku terhenti tiba-tiba. Remaja lelaki yang sakan mentertawakannya tadi berdiri tegak menghadapnya. Tangan
kanannya kotor dengan sisa makanan, tangan kirinya menghulurkan pinggan kotor.
Ya Allah.. sungguh.. aku terasa seluruh dirinya cair waktu lelaki itu
tersenyum, waktu mata bertentang. Malu sungguh-sungguh!
Ketawanya tadi terngiang-ngiang
lagi. Kerja-kerja membasuh pinggan terhenti tiba-tiba. Aku bakai terpukau, asyik memandang buih-buih sabun dalam besen.
“Bagi pada akak,” suara Kak Dayana
menusuk ke telinga. Dan kemudian aku melihat dari bayang air yang sedikit
kelam, pinggan kotor dihulur dan dia melangkah pergi.
“Amboi macam dilanggar garuda kan?
Senyap sunyi..,” Kak Dayana tergelak-gelak. aku masih terdiam. Rasa malu masih
belum mahu pergi.
No comments:
Post a Comment