Wednesday, 27 November 2013

Tic Tac Toe (Bab 3): Jill Naura


HARI-HARI yang berlalu membuatkannya semakin tidak keruan. Entah sejak bila Zhila belajar berdegil, dia tidak sempat fikirkan. Ada perkara yang lebih penting yang perlu dia selesaikan. Zhila memberinya tempoh selama dua minggu untuk mencari jalan agar anak saudaranya itu sentiasa terjaga. Sekarang tinggal seminggu sahaja sebelum Zhila mengotakan katanya untuk pergi tidak kira sama ada dengan penjaga ataupun tidak.
‘Zhila tak tahu apa yang baba nak tapi Zhila tahu, Zhila nak tinggal sendiri juga. Zhila dah jumpa rumah sewa. Tuan rumah bagi masa dua minggu je untuk confirmkan. Tu tempoh paling lama. Jadi, apa yang baba tengah fikirkan untuk Zhila tu baik buat cepat’ terngiang-ngiang penjelasan tenang Zhila beberapa hari lepas.
Tan Sri Rosman semakin tidak keruan. Ingatan bahawa Zhila sudah pandai mengugut sedikit sebanyak mengganggu jiwa. Dia hampir mati akal. Mulanya dia mahu mengupah pengawal peribadi untuk Zhila namun dirasakan tidak praktikal.
‘Baik aku kahwinkan aje dia. Tapi, siapa calon yang sesuai?’
Mindanya mula berputar ligat mengingatkan diri pada kenalan-kenalannya yang mungkin berkelayakan untuk dia jodohkan dengan Zhila. Satu persatu wajah rakan-rakannya bertayangan di angan, dimulakan dengan wajah Encik Hafiz, seorang peniaga emas.
‘Hafiz bagus orangnya. Tapi, anaknya…’ kelu otak Tan Sri Rosman untuk meneruskan kata-kata. Dia kenal dengan anak lelaki Hafiz, Harif. Jejaka itu gemar memakai emas. Walau dilarang keras oleh bapanya kerana tuntutan agama, dia tidak peduli. Tahulah bapanya saudagar emas!
Tan Sri Rosman tidak boleh bertolak ansur dengan seseorang yang memperlekehkan soal agama. Jadi, Harif pasti bukan pilihannya. Fikirannya dialihkan pula kepada orang lain. Lepas satu-satu calon diimbas di fikiran, semuanya dia kurang berpuas hati.
‘Anak Mat kaki perempuan…’
‘Anak Hamdan pula semua perempuan…’
‘Anak Karim dah bertunang…’
‘Anak Suhana baru berkahwin…’
‘Anak lelaki Bariah baru berumur tujuh tahun…’
Tan Sri Rosman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. ‘Eh, takkan sorang pun kawan-kawan aku tak ada anak lelaki yang boleh dibuat calon?’
Angin sepoi-sepoi bahasa yang berlalu nyaman pada pagi itu tidak berjaya menenangkan fikirannya. Mengapalah hatinya tidak setenang cuaca? Dihenjut-henjutkan kerusi malasnya sambil memandang sekeliling. Surat khabar yang dipegangnya tidak terbaca. Setiap minit yang berlalu bagaikan mengejeknya.
Dia tidak mahu tewas dengan Zhila!
Tiba-tiba sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam meluncur masuk ke perkarangan rumah agamnya. Melihatkan kereta yang dikenalinya itu, resahnya terangkat sedikit. Apa yang difikirkan tadi terus terlupus dari ingatan.
Tanpa mematikan enjin, pemandu kereta itu keluar dan mendekati Tan Sri Rosman yang sedang bersantai di bawah bumbung serambi. Selepas sebaris ucapan salam yang diucapkan secara santun, lelaki itu meraih lalu mencium tangannya.
“Pakcik apa khabar? Sihat?” soal Fakhri, anak kepada teman akrabnya, Datuk Fakhrul Anuar.  
“Alhamdulillah. Sihat. Marilah kita masuk sembang dekat dalam” pelawa Tan Sri Rosman. Dia bingkas dari duduknya namun Fakhri segera menghalangnya dari terus melangkah masuk ke rumah.
“Eh, tak apalah, pakcik. Saya datang ni sekejap je. Singgah sekejap je sebab abah suruh bagi kad jemputan kahwin ni dekat pakcik” terang Fakhri penuh hemah. Kad berwarna biru dalam genggamannya dia hulurkan pada orang tua itu.
Tan Sri Rosman menyambut pemberiannya.
“Kamu ke yang nak kahwin ni?” soalan yang terlintas tiba-tiba di minda Tan Sri Rosman diluahkan.
“Tak adalah. Kalau saya yang nak kahwin, sebelum pakcik dapat kad jemputan lagi pakcik dah tahu” Fakhri berseloroh.
Tan Sri Rosman tertawa kecil. Apa yang dikatakan Fakhri tiada salahnya. Kalau ada apa-apa, Datuk Fakhrul pasti menghubunginya terlebih dahulu.
“Habis, bila pula giliran kamu?” Tan Sri Rosman bertanya tidak berapa serius, sekadar merisik-risik halus seperti bertanya kahabar.
“Tak boleh nak cakap bila. Ada rezeki saya esok… adalah”
“Harap-harap tak lama lagilah tu”
“Amin… Pakcik, saya minta diri dulu”
“Nak ke mana ni?”
“Saya nak balik ke Sepang. Cuti dah habis” ujar Fakhri sambil tersenyum.
Permintaan Fakhri untuk mengundurkan diri diterima dengan baik oleh Tan Sri Rosman. Dia maklum benar dengan kerjaya Fakhri sebagai seorang juruterbang. Dia menyenangi Fakhri. Lelaki itu beradab, berkerjaya, bertanggungjawab. Dia boleh menyimpulkan begitu kerana dia mengenali Fakhri sejak dia kecil lagi.
Tan Sri Rosman tersentak sendiri. Macam mana dia boleh terlepas pandang? Dari tadi dia berfikir tentang kawan-kawannya, macam mana dia boleh tidak terfikirkan rakan yang paling akrab dengannya, Datuk Fakhrul. Keluarganya dan keluarga Datuk Fakhrul sudah seperti keluarga sebenar walaupun antara mereka tiada pertalian darah. Dia tersenyum sendiri. Nampaknya, buah catur yang bakal mematikan permainan Zhila sudah dia ketemu.
Mungkin sudah tiba masanya mereka merapatkan lagi hubungan sillaturrahim…
     
***

Tan Sri Rosman akhirnya mendapat satu akal iaitu mengahwinkan Zhila dengan anak lelaki Datuk Fakhrul Anuar. Anak sulung teman baiknya yang bernama Fakhri dirasakan sangat sesuai dijodohkan dengan Zhila. Dia arif benar terhadap personaliti jejaka berusia lewat dua puluhan itu. Jika mereka berdua disatukan, dia yakin akan berasa lega. Dia yakin Zhila akan dijaga baik oleh Fakhri.
Cadangannya untuk menyatukan anak saudaranya dengan Fakhri dipersetujui oleh isterinya. Ianya juga terima baik oleh keluarga Datuk Fakhrul. Fakhri juga tidak membantah. Dia dapat menerima cadangan itu dengan hati yang terbuka. Zhila juga akur. Tidak betah dia membantah bapa saudaranya yang telah banyak berkorban. Inilah yang terbaik buat dirinya.
Dia mengaku kalah. Ugutannya kepada Tan Sri Rosman rupanya telah memberi semangat kepada orang tua itu untuk mengotakan katanya. Pun begitu, tiada sesiapa yang menyangka Tan Sri Rosman akan terlintas untuk menjodohkannya.
Selepas pertemuan pertamanya dengan Fakhri, dia berbesar hati kerana bakal disatukan dengan seorang lelaki yang lengkap serba-serbi. Berkerjaya dan tampan. Pertuturannya santun. Semuanya kelihatan baik di mata Zhila. Dia akui, Tan Sri Rosman sentiasa tahu apa yang baik untuk dirinya.
Malam tadi, dia beradu di bilik tetamu di kediaman Datuk Fakhrul. Tidak lama lagi dia akan dinikahkan. Biarlah tujuan untuk mengenali keluarga bakal mertuanya dijadikan alasan bagi mengaburi niat sebenar Puan Sri Hanifah. Umi sanggup membiarkan dia bermalam di rumah orang yang masih lagi asing bagi dirinya asalkan dia dapat dijauhkan dari kediaman umi. Ai, sudah nasib badan… Lagipun, ini bukannya perkara yang luar biasa. Dia membesar sebegini.
“Kau orang gaji baru ke?” satu suara garau tiba-tiba menegurnya. Mujur pinggan yang baru dibasuh tidak terhempas ke lantai. Zhila betul-betul terkejut.
Dia menoleh, memerhatikan lelaki yang diperkenalkan padanya semalam. Berbanding semalam, hari ini dia dapat melihat wajah anak kedua Datuk Fakhrul dan Datin Wahiza dengan lebih jelas. Zhila akui jejaka di hadapannya tampan. Raut wajahnya hampir sama dengan Fakhri: sepasang mata yang galak, hidung yang mancung terletak dan kumis nipis yang menyerlahkan ciri-ciri kelakiannya. Tubuhnya terbina tegap dan tinggi. Kulitnya yang cerah tampak keperangan. Mungkin kerana dia rajin berjemur di luar.
 Singlet kelabu yang tersarung di tubuh jejaka itu dibasahi peluh. Baru balik dari beriadah barangkali. Namanya? Zhila tidak pasti. Semalam hanya dirinya sahaja yang diperkenalkan oleh baba kepada jejaka itu. Lelaki itu tidak pula memperkenalkan diri. Zhila pun malas mengambil pusing.
“Ayah aku ni dah tak ada tempat lain ke dia bazirkan duit? Belikanlah aku kereta baru ke… ni tidak, upah orang gaji juga yang dia suka” Fikhri mengomel sendirian. Segelas air sejuk diteguknya laju.
“Aku bukan orang gajilah!” Zhila meningkah. Panas hati pula rasanya dituduh begitu. Pinggan yang dibasuhnya tadi diletakkan di atas rak pinggan mangkuk dengan kasar.
Sekilas, dia terpandangkan cermin yang terletak di ruang makan yang bertentangan dengan dapur. Dirinya diteliti. Sehelai blaus kemeja dan sehelai tudung bawal tersarung kemas di tubuhnya. Tidak pula nampak macam orang gaji!
Serentak, kedengaran bunyi seseorang sedang melangkah menuruni anak tangga dari tingkat atas. Fikhri terkedu. Matanya pantas merenung wajah Zhila yang juga sedang memandang ke arahnya. Fikhri menghabiskan minuman di gelasnya dengan segera. Gelas itu diletakkan di atas meja.
“Tolong basuh ni, wahai orang gaji baru. I got to run” perintah Fikhri lalu menghilangkan diri melalui pintu yang terletak berhampiran dengan ruang makan. Zhila menggelengkan kepala.
“Zhila, kamu buat apa sorang-sorang dekat sini?” Datuk Fakhrul menyapa. Dia yang sudah siap berpakaian kemas sudah pastinya ingin menuju ke pejabat. Kata Datin Wahiza, Datuk sudah bersarapan awal pagi tadi selepas berjogging. Sudah menjadi rutinnya.
‘Lelaki tadi tu takut dengan ayah dia ke?’ sempat hatinya membisikkan sebaris kata.
“Tak ada apa. Saya baru aje lepas bersarapan” ujar Zhila malu-malu alah.
“Mama kamu mana?” Datuk Fakhrul bertanya lagi.
“Dia pergi ke pasar sekejap” Zhila menjawab ringkas.
“Kamu nak tak ikut abah ke pejabat sekejap? Just for a quick tour around my company’s building” Datuk Fakhrul memperlawa. Zhila terkesima. Ikutkan hati, dia segan hendak menurut. Tapi, tidak mampu juga untuk dia menolak pelawaan itu.
“Jangan risau. Sekejap je” Datuk Fakhrul memujuk.
“Tak mengganggu kerja abah ke?”
“Abah cuti sebenarnya hari ini. Tapi, biasalah. Ada urusan sikit dekat pejabat tu. Marilah ikut”
“Okay”
**************************************

Zhila akui. Dia berasa sungguh terhibur dengan lawatan ke syarikat seni bina milik Datuk Fakhrul. Banyak perkara yang berjaya menarik perhatiannya terutama dari segi unsur-unsur dan pengaruh yang diterapkan dalam sesebuah binaan. Semuanya berkait rapat dengan sejarah kesenian yang dia pelajari di luar negara dulu. Tambah lagi dengan sifat humor Datuk Fakhrul, dia langsung tidak bosan. Mudah sahaja mereka mesra. Padanlah Datuk Fakhrul disenangi ramai orang.
“Mesti kamu penatkan. Duduklah dulu” Datuk Fakhrul mempelawa Zhila ke dalam pejabatnya nan luas lagi mewah. Lawatannya ke sekitar bangunan itu sudahpun berakhir.
Zhila yang dalam perjalanannya ke sofa ternampak sebuah model rumah banglo yang masih belum siap. Lantas, dia membatalkan niatnya untuk duduk. Model rumah itu lebih menarik perhatiannya. Perkara-perkara halus sebegini memang menjadi minatnya. Dia mendekati meja tempat model itu diletakkan lalu setiap inci binaan itu diperhatikan.
“Cantik rekaan rumah ni” spontan Zhila memuji apabila Datuk Fakhrul mendekatinya dengan membawa segelas minuman lemon.
“Apa yang cantiknya? Model ni pun baru sepuluh peratus siap”
Well, I can still see the exquisite design. Banyak landskap. Dalam bathroom pun ada. Saya suka. Saya teka perekanya mesti mesra alam” mata Zhila masih enggan berganjak dari model rumah tersebut.
Exquisite? Jangan puji lebih-lebih. Nanti kembang pula si Fikhri tu” senda Datuk Fakhrul sambil meleraikan tawa. Zhila turut tersengih sumbing.
Perlahan-lahan, tawa Datuk Fakhrul pudar.. Sebut tentang Fikhri, dia teringat sesuatu. Lalu, dia meminta diri, membiarkan Zhila melayan minatnya meneliti model banglo genit itu.
Dia mengerling ke arah jam di tangannya. Sudah hampir waktu rehat. Langkahnya diatur ke ruang yang menempatkan punch card di pejabatnya. Kad yang tertera nama Fikhri diteleknya. Sakit mata melihat kad yang kebanyakan ruangnya rompong-rompong. Tetapi, itu bukan perkara yang ingin dia lihat.
Matanya meliar mencari nombor yang menunjukkan tarikh hari ini. Jumpa sahaja, darahnya terus berderau. Walaupun segalanya dalam jangkaan, namun dia tidak boleh lagi bertoleransi. Lantas, nombor telefon Fikhri didail. Seperti yang diduga, tiada jawapan. Didail pula nombor telefon rumah. Selepas tiga deringan, suara Puan Wahiza menyambut panggilannya di hujung talian.
“Fikhri ada dekat rumah lagi ke?” soal Datuk Fakhrul. Nadanya berbaur geram.
“Pagi tadi saya check, dia tak ada dekat bilik. Saya ingat dia dah pergi kerja”
“Saya tengah tengok punch card dia ni. Mana ada dia punch in hari ni”             
“Ya Allah. Budak tu buat perangai lagikah? Abang tunggu sekejap. Saya periksa bilik dia lagi sekali”
Datin Wahiza pantas melangkah ke tingkat atas. Tanpa mengetuk pintu, dia menerjah masuk ke dalam bilik Fikhri. Pancaindera matanya menjamah pemandangan yang sungguh tidak menyenangkan. Bilik yang bersepah seperti sarang tikus dan kelibat anaknya yang masih enak melayan mimpi.
Datin Wahiza beristigfar panjang, cuba memenangkan hatinya. Seperti suaminya, dia sendiripun terasa geram. Matahari sudahpun berada tegak di ufuk hari. Fikhri masih lagi bergelumang di atas katil, menurutkan lena yang bagai tiada penghujungnya.
“Fikhri! What are you thinking? Tahu tak hari ni kau kerja? Kau ni kenapa, hah? Asyik ponteng kerja! Kau ingat company tu bapak kau punya?” Datin Wahiza terus melenting. Selimut yang menyelubungi Fikhri ditarik jauh-jauh. Tubuh anaknya itu digoncang-goncang.
“Memang company abah Fikhri pun” ngomel Fikhri dalam mamainya.
“Bangun! Mama kira sampai tiga. Kalau kau tak bangun juga mama simbah air!” garang Datin Wahiza menggertak.
“Satu!” Fikhri gagah membuka matanya.
“Dua!” Fikhri terus terjun dari katilnya lalu meluru masuk ke dalam bilik air. Datin Wahiza terasa puas. Baru sahaja dia berniat untuk menyimbah sebaldi ais pada Fikhri seperti suatu masa dulu. Mujur Fikhri masih ingat akan kejadian lampau itu. Sekurang-kurangnya, sekarang dia sudah serik.
“Baik kau mandi, siap-siap, terus pergi kerja! Kalau tak, tahulah mama apa nak buat dengan kau” Datin Wahiza menggertak geram di hadapan pintu bilik air yang dimasuki Fikhri tadi. Usai memberi amaran, dia menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Telefon disambutnya semula.
“Saya dah kejut dia abang. Nanti lepas waktu rehat kang datanglah dia ke pejabat” Datin Wahiza menyampaikan berita.
Well, he better
Datuk Fakhrul mematikan talian. Dia kesal benar dengan sikap yang ditunjukkan Fikhri. Entah apalah yang difikirkan anaknya itu. Keadaannya sungguh meresahkan. Bulan ini sahaja, boleh dikira dengan jari berapa hari dia datang bekerja. Ikutkan hati, mahu sahaja dia pecat Fikhri. Tetapi, dia sedar. Memecat Fikhri bukanlah cara yang terbaik untuk memajukan anaknya itu. Kalau dipecat sekalipun, dia tidak pasti sama ada Fikhri akan insaf.
Datuk Fakhrul termenung, cuba menyelami pemikiran Fikhri. Mindanya sukar dijangka. Ada sahaja cara yang dapat difikirkan demi menyelesaikan masalah. Bukannya itu satu perkara buruk, tetapi kadangkala cara dia menyelesaikan masalah mendatangkan keburukan kepada orang lain. Dia tidak peduli. Janji dia dapat apa yang dia nak.
Masih segar dalam ingatan ketika Fikhri berada di bangku sekolah menengah. Dia bersekolah di sebuah sekolah menengah teknik di Ipoh waktu itu. Asrama menjadi kediamannya. Fikhri nakal. Dia gemar curi keluar asrama. Ada sahaja aktiviti malam yang dibuatnya. Berkaraoke, lepak di kedai mamak, pergi menonton bola sepak di stadium…Ada sahaja benda nakal yang difikirnya. Pendek kata, dia memang pelajar nakal yang tegar.
Berkali-kali dia ditangkap atas kesalahan yang sama. Buntu, Datuk Fakhrul akhirnya memutuskan bahawa satu-satunya cara untuk mengelakkan Fikhri berjalan adalah dengan menyekat perbelanjaannya. Mulanya ianya tampak berkesan. Fikhri tidak lagi ditangkap di luar kawasan sekolah. Namun, keadaan itu tidak kekal. Beberapa minggu selepas itu, Fikhri ditangkap lagi. Kali ini kerana melakukan kesalahan memukul pelajar junior…
Datuk Fakhrul mengeluh berat. Dia tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi. Benar, waktu itu Fikhri masih terlalu muda. Tetapi, dengan sikapnya yang masih sama apabila meningkat usia dewasa, siapa tahu jika dia akan melakukan perkara yang lebih ekstrim?
Minda Datuk Fakhrul menimbang-nimbang keputusannya. Kalau Fikhri dipecat, makannya tetap cukup. Tetap dia ada tempat tinggal. Nak halau, kejam sangat pula. Nak suruh dia bekerja di tempat lain, pasti tak sampai seminggu dia akan dibuang kerja. Kalau dibuang kerjapun, bukan dia peduli. Datuk Fakhrul mengeluh lagi. Kepalanya yang mula berpinar diurutnya perlahan.
“Abah… Abah okey ke?” Zhila datang padanya apabila menyedari bakal bapa mertuanya itu sudah lama menghilang dari bilik pejabat.
“Abah okey. Mari kita balik. Kejap lagi waktu rehat” Datuk Fakhrul memaksakan senyuman. Dia tidak mahu Zhila menghidu masalah yang dialaminya.
“Abah, Zhila minta maaf. Zhila nak balik ke rumah baba. Biadap rasanya tinggal dekat rumah abah lama-lama” Zhila merungkaikan kata yang terbaik untuk tidak mengecilkan hati Datuk Fakhrul.
Dia sedar Datuk Fakhrul sedang runsing. Dan dia tidak mahu menambahkan beban orang tua itu. Biarlah adanya dia di rumah Tan Sri Rosman tidak dialu-alukan. Dia rela dari terus menjadi beban Datuk Fakhrul. Dia tidak sampai hati. Lagipun, mahu atau tidak, Puan Sri Hanifah perlu merelakan kehadirannya. Sekurang-kurangnya selama sebulan sahaja lagi. Dia akan dinikahkan bulan depan.
“Janganlah cakap macam tu. Lagipun tak lama lagi kita jadi keluarga” Datuk Fakhrul tegar memujuk.
“Betul. Lepas saya kahwin nanti, saya wajib datang rumah abah lagi. Tak boleh bagi alasan dah” ujar Zhila serius walau nadanya berbaur senda.
Datuk Fakhrul tersenyum. Dia akhirnya akur dengan permintaan Zhila.

No comments:

Post a Comment