Thursday, 21 November 2013

Sekaki Payung Merah Jambu (Bab 3): Orked V.


BOSAN. Setiap hari dengar bebelan yang sama. Rungutan yang sama. Rasa seperti mahu berhenti kerja saja. Seksalah dapat lady boss seperti ini. Mentang-mentanglah dia orang baru.
“Jaja, jahitan awak ni tak kemas lagi.”
“Jaja, manik-manik yang awak  jahit untuk baju bertunang anak Datuk Razali itu kena tambah lagi. Kan saya dah pesan banyak kali yang baju tu kena ada banyak manik.”
“Mana ukuran badan Datin Maziah ni, Jaja. Awak letak ceruk mana ni sampai satu butik saya cari tak jumpa.”
Jaja itu, Jaja ini. Asyik-asyik Jaja.
Uh! Bosannya!  
Namun dia buat juga kerja-kerjanya walaupun hatinya berdongkol memberontak kerana tidak puas hati dengan layanan yang diterimanya.
Malam semalam hujan lebat benar. Ada guruh dan petir juga yang menyertainya. Dia terjaga malam tadi kerana terdengar bilah-bilah hujan yang gugur mengenai tingkap biliknya. Serta merta dia teringat bajunya yang dijemur dan digantung di ampaian beranda. Cepat-cepat dia bangkit dan berlari-lari kecil ke beranda kerana tidak mahu bajunya basah terkena percikan hujan. Apabila dia membuka pintu beranda, dilihatnya semua pakaiannya telah tiada. Sejurus itulah dia teringat bahawa dia telah pun mengambilnya petang tadi. Inilah akibatnya jika bangun dari tidur dengan tergesa-gesa. Otak pun tidak dapat berfungsi secara cekap. Selepas itu, dia tidak dapat melelapkan mata lagi. Dia tidak pasti pukul berapa dia terlena kembali tetapi pastinya malam telah menghampiri fajar. Sebab itulah dari pagi tadi dia sudah berasa letih.
Dia menguap untuk sekian kalinya. Mata masih lagi mengantuk kerana tidak cukup tidur. Lagipun membuat perincian seperti ini sejak beberapa hari lalu benar-benar menjemput kantuknya pada waktu-waktu petang begini. Mujur juga hujan daripada malam semalam sudah berhenti sepenuhya sekitar tengahari tadi. Jika petang pun masih hujan, pasti dia akan semakin culas dan mengantuk.
Jaja meletakkan sebentar jahitan manik pada busana untuk pertunangan anak Datuk Razali tersebut di atas meja. Lenguh rasanya apabila terlalu menumpukan jahitan perincian. Busana dengan fesyen kebaya pendek yang telah diubah suai menjadi lebih moden itu menggunakan fabrik jenis satin berwarna merah jambu pudar dan renda Perancis. Busana itu akan menjadi lebih menawan dengan adanya taburan dan perincian manik di bahagian hujung baju dan kain. Kain layahnya pula masih belum siap. Sudahlah meleret sepanjang dua meter, anak gadis Datuk Razali mahu kain layahnya juga dibuat perincian manik. Tugas Jajalah untuk memperindahkan busana itu dengan sentuhan jahitannya.
Ini baru bertunang. Kalau mahu berkahwin, bagaimana agaknya perincian dan reka bentuk busananya nanti. Dua kali ganda lebih rumit daripada ini? Atau lebih?
Jaja bangkit dan merenggangkan tubuh. Dia kemudian pergi ke pantri untuk membasahkan tekak. Dia letih dan dahaga. Selain itu, bolehlah dia menghalau rasa mengantuk yang asyik bergayutan di matanya ini sejak pagi tadi. Dia menguap lagi.
Dia rasa ingin saja melelapkan seminit dua di atas meja kecil di dalam pantri ini dengan berbantalkan lengannya. Namun, mengingatkan yang kemungkian dia akan ditangkap curi tulang oleh bosnya, baiklah dia tahankan saja. Dia membelek-belek bekas yang berisi jenis minuman segera yang menepati citarasanya.
“Nescafe pun okey juga ni,” katanya sendirian. Dia kemudian mengambil sebuah mug dan mula membancuh Nescafe 3 dalam 1.
Sebenarnya, kalau ikutkan standard kerja di Che’ Putih ini, kerja yang sedang dilakukannya itu baru sedikit. Tapi bila selalu dibebeli tentang itu dan ini, dia menjadi letih. Butik itu memiliki label yang sedang meningkat naik. Ramai golongan pertengahan yang mendapatkan khidmat membuat pakaian di situ. Malah ada juga wanita yang berpangkat datin yang turut mendapatkan khidmat di situ kerana mutu jahitan yang berkualiti serta harga yang berpatutan.
“Hoi, patutlah aku cari tak ada, rupanya menyorok dekat sini.”
Tersedak Jaja yang sedang menghirup Nescafe itu apabila ditegur secara tiba-tiba dari belakang. Dia menoleh. Kelihatan Jamie berdiri di muka pintu sambil tersenyum sumbing.
“Sibuklah kau. Nak masuk tu bagilah salam ke ketuk pintu ke. Ini main hoi-hoi saja,” Jaja menghadiahkan jelingan padanya. Gadis yang mempunyai nama asal sebagai Jamilah itu mencebik dengan reaksi Jaja.
“Rilekslah. Sikit-sikit nak marah. Aku gurau manjalah. Aku tahulah kau tengah tension. Kau janganlah nak ambil hati dekat Cik Kira tu. Biasalah kalau dia bising-bising tu. Kau tadah telinga ajelah,” Jamie menghampirinya dan mengeluarkan mug dari rak. Dia menuang air kosong ke dalam mug dan kemudian meneguknya.
“Kau ingat telinga aku ni macam bekas besen ke boleh nak tadah-tadah macam tu saja. Rasa macam tak laratlah telinga aku ni nak dengar bebelan dia tu. Boleh tak time dia bising-bising tu, aku cabut telinga aku dan sorok dalam laci?”
Mendengar kata-kata Jaja, Jamie spontan ketawa sambil menahan perut.
“Kau ni, lawaklah. Geli usus aku tau tak,” kata Jamie sambil menghabiskan sisa ketawanya. Jaja mencebik.
Dia pun sama buat personifikasi yang pelik-pelik, fikir Jaja.
“Ala, bukan kau tak tau yang Cik Kira tu kekurangan kasih sayang,” tambah Jamie sambil menghabiskan sisa tawanya.
“Dia anak yatim ke?” Jaja bodoh-bodoh bertanya.
“Bukanlah. Dia tu kekurangan kasih sayang seorang lelakilah. Patut dalam umur dia tu dia dah sepatutnya beranak pinak. Kalau dia kahwin, aman sikit kot butik ni.”
“Pandai-pandai aje kau ni. Kau mengata dia ni, tak pasal-pasal dia dengar, tahulah kau. Tak pasal-pasal dengan aku sekali pun kena nanti.”
“Dahlah. Jom keluar. Kau pun banyak lagi manik nak jahit, kan?”
Jaja angguk. Ketika mereka melangkah keluar daripada pantri, Cik Kira sudah berpeluk tubuh di hadapan pintu pantri yang terbuka luas. Air wajahnya kelihatan biasa saja tetapi mereka tahu pasti Cik Kira akan mengamuk nanti.
Alamak, kantoi! Jaja pandang Jamie, Jamie pandang Jaja. Dua-dua nganga.
“Dah siap?” Cik Kira bertanya selamba. Daripada pengalaman pekerja-pekerja yang lepas, Cik Kira paling pantang jika hal peribadinya disebut-sebut. Lebih-lebih lagi tentang gelaran andartu yang sudah melekat padanya kerana belum lagi berkahwin walaupun usia sudah lebih 40 tahun.
“Err... sorry Cik Kira,” ucap Jamie takut-takut.
Cik Kira mencerun pandang.
Aduh! Sekali dia sound, baik punya. Serius! Jaja rasa hendak cabut telinga dan sorok dalam laci. Walaupun Jamie pun kena sembur juga, namun dia yang paling terasa. Entahlah, ada saja kesalahan Jaja yang diungkit kembali oleh Cik Kira. Jaja begitu, Jaja begini. Jaja menahan perasaan di dalam hati. Jamie di sebelah tidak disentuh sedikit pun kesalahannya. Besar sangatkah kesalahannya? Atau sebenarnya Cik Kira memang pilih kasih?
Ini yang rasa seperti hendak berhenti kerja saja.
“Macam nak meletup aje bilik bos tadi?” Kak Ana mendapatkan Jaja dan Jamie sebaik saja Cik Kira keluar untuk janji temunya dengan pihak pembekal petang itu. Pekerja-pekerja lain tidak berani masuk campur. Sengaja buat-buat bisu. Sengaja buat-buat tuli.
“Dahlah tu,” Kak Ana mengusap bahunya. Jaja gigit bibir. Rasa mahu menangis saja.
“Kak Ana, dia suruh Jaja siapkan baju pertunangan anak Datuk Razali tu by tomorrow. Gila ke tak gila namanya tu. Jaja baru siapkan separuh jahitan manik tu. Tu pun tiga hari Jaja buat,” Jaja mengeluh.
“Jangan risau, aku tolong kau,” Jamie menawarkan diri.
“Tapi, kau kan ada baju yang kau nak kena siapkan juga,” ujar Jaja. Tidak sampai hati dia membiarkan Jamie yang sudah sedia mempunyai banyak kerja itu terpaksa menolongnya pula.
“Tak apalah. Aku yang mulut celupar tadi. Sepatutnya cakap siang pandang-pandang, malam dengar-dengar. Salah aku,” kata Jamie pula.
“Akak pun boleh tolong juga,” Kak Ana turut menawarkan diri memberi pertolongan.
“Kak Ana kan sibuk juga. Kerja sendiri pun banyak. Tu, banyak kain tak bergunting lagi,” Jaja memuncung mulut ke arah meja kerja Kak Ana.
Kak Ana hanya tersenyum. “Tak apa. Kita kena buktikan pada Cik Kira yang Jaja boleh buat. Kita boleh buat.”
Jaja senyum. Jamie dan Kak Ana memang penyelamat.

No comments:

Post a Comment