“Assalamualaikum!” teriak Fikhri, melepaskan geram melalui ucapan salam.
“Waalaikumsalam” tegas Datin Wahiza menjawab salam anaknya. Dia begitu
kurang selesa dengan tindakan Fikhri yang seperti mahu merobohkan pintu.
Jawapan Datin Wahiza tidak didengari Fikhri yang masih sibuk menjerit-jerit
memberi salam. Kesabarannya sudah sampai ke kemuncak. Selesai salamnya yang
kelima, pintu terkuak mempamerkan sesusuk tubuh Datin Wahiza diiringi wajah
yang masam mencuka.
“Fik ni kenapa? Tak reti nak sabar? Kalau mama lambat lagi tadi agaknya dah
runtuh dah pintu tu” Datin Wahiza meninggikan suaranya. Geram. Anaknya itu
sudahpun berada di pertengahan usia 20-an. Sudah dewasa. Hairannya, sikap
kurang matangnya masih gemar dipraktikkan.
Dari atas ke bawah dan ke atas lagi Datin Wahiza perhatikan penampilan
anaknya. Selekeh. Kemejanya yang dipakainya hanya berbutang separuh jalan.
Rambut jangan cakaplah… Wajahnya yang kebiasaannya berkumis halus tampak tebal
dari selalu. Entah apalah yang memberi tekanan kepada Fikhri.
‘Putus cinta agaknya’ Datin Wahiza terdetik dalam hati. Namun, dia malas
bertanya. Kalau benarpun, apa salahnya. Dia memang tidak sukakan teman wanita
Fikhri yang bernama Afrina itu.
“Kunci Fik patah. Tak dapat buka pintu” ringkas sahaja alasan Fikhri. Dia
melangkah masuk ke dalam rumah tanpa perlu dijemput ibunya. Tangan orang tuanya
itu diraih dan dicium. Adab terhadap ibubapa tetap dia jaga.
“Pintu tak berkunci. Yang gatal tangan nak pakai kunci tu pasal apa?”
“Mana Fik tahu pintu tak berkunci”
“Tak pandai nak check dulu? Habis
rosak satu tombol pintu”
Fikhri menjungkitkan bahu seolah-olah dirinya tidak bersalah. Lalu, dia
menoleh. Sasarannya adalah pada anak tangga yang menyambungkan tingkat satu
dengan tingkat dua rumah itu. Tidak sabar rasanya mahu merebahkan dirinya ke
atas katil nan empuk di biliknya. Tubuhnya terasa letih selepas beberapa jam memandu.
Mindanya bercelaru. Jiwanya kacau. Dia memerlukan masa bersendirian. Leteran
mama adalah perkara yang paling mahu dielakkan. Kalau tak dapat dielakpun,
sekurang-kurangnya tangguhlah sehingga esok.
“Fik nak ke mana tu? Dah buat malu mama depan tetamu lepas tu ada hati nak
cabut je?” tingkah Datin Wahiza apabila Fikhri memperlihatkan gaya untuk
melarikan diri.
“Habis tu mama nak Fik buat apa?”
“Pergilah bertegur sapa dulu dengan Pak Cik Rosman kamu tu. Jangan tunjuk
biadap. Malu mama tau” ngomel Datin Wahiza dalam nada yang agak perlahan tetapi
cukup kuat untuk didengari Fikhri.
Mujur terdapat sebuah ruang yang memisahkan pintu masuk dengan ruang tamu.
Andai tidak, tambah segan Datin Wahiza kalau perlu mempertontonkan drama antara
dia dan Fikhri di hadapan tetamu.
“Malam-malam buta macam ni orang tua tu tak reti nak balik ke?” Fikhri
merungut. Serta-merta, satu cubitan hinggap di telinga kanannya.
“Malam buta apanya? Baru pukul lapan. Jangan nak biadap, ye!”
“Adeh, adeh… okay. Fik pergi jumpa dia kejap” Fikhri mengalah. Dia
mengusap-usap telinganya yang kemerahan akibat dipulas tadi. Jejaka muda itu
mengeluh lembut.
Dia berjalan beriringan dengan Datin Wahiza ke ruang tamu. Di situ, ayahnya
sedang rancak berbual dengan Tan Sri Rosman dan isterinya Puan Sri Hanifah.
Seorang gadis yang tidak dikenalinya yang duduk bersebelahan dengan Tan Sri
Rosman hanya mendiamkan diri.
Apa yang diperintahkan emaknya tadi dia laksanakan dengan separuh hati,
sekadar memenuhi syarat. Dia bersalaman dengan Tan Sri Rosman, seorang peguam
yang juga merupakan rakan seperjuangan ayahnya. Dengan isteri Tan Sri Rosman
pula, mereka sekadar berbalas senyuman. Tan Sri Rosman sekeluarga bukannya
orang asing bagi Fikhri. Sepanjang hidupnya, dia sudah mengenali rakan ayahnya
yang paling akrab itu.
“Ini anak saudara kami. Zhila namanya” Tan Sri Rosman memperkenalkan
seorang gadis yang duduk bersebelahan dengannya kepada Fikhri tanpa dipinta
sesiapa.
‘Tak tanya pun’ ngomel Fikhri dalam hati. Cepat-cepat dia beristigfar.
Buruk betul pengaruh Afrina terhadapnya. Sungguh, dia tidak berniat untuk
biadap walau ucapan itu hanya di ucapkan dalam hati.
Agak berkali-kali juga dalam hari itu, segala perbuatan buruk yang dia
lakukan dia salahkan Afrina. Segalanya yang dia nampak, dia teringatkan Afrina.
Patutkah? Fikhri cepat-cepat menghapuskan angannya. Nyata, melupakan Afrina
akan menjadi sesuatu yang sukar baginya.
Fikhri menjeling ke arah Zhila. Senyuman yang dihadiahkan gadis itu padanya
langsung tidak dia hargai. Dari atas ke bawah dia telitikan gadis tinggi lampai
yang tidak dikenalinya itu. Bentuk mukanya bujur sirih. Kulitnya putih gebu
bertitahkan sepasang mata bundar berwarna gelap. Hidungnya terletak walau tidak
tinggi. Bibirnya penuh dan berona merah semulajadi. Penampilannya agak bergaya
walau kesopanan dititikberatkan. Fikhri enggan mengakui kejelitaan gadis itu.
Bukan citarasanya!
Zhila bukannya anak Tan Sri Rosman.
Setahunya, Tan Sri Rosman tiada anak perempuan. Siapa dia? Rasanya baru tadi
Tan Sri Rosman beritahu. Menantu saudara, cucu saudara atau sepupu…Fikhri tiada
masa untuk mengambil peduli. Dia segera meminta diri untuk beredar.
‘Buat apa dia kenalkan perempuan tu pada aku? Dia tahu tak aku tak suka
perempuan macam tu. Decent and modest.
Bertudung. Lembik. Really not my type.
Macam tau-tau je aku tengah sakit hati dengan Afrina. But, hello… Afrina is wayyy better than her’ Fikhri mengata dalam
hati.
‘Kenalkan la perempuan tu dekat Fakhri. Baru kena! Abangkan suka perempuan
macam tu’ hatinya berleter lagi. Tanpa perlu mengambil masa yang lama, dia
menghilang ke tingkat atas dengan hentakan kaki yang kuat dalam setiap langkah.
“I’m sorry. He’s a bit… off colour”
Datin Wahiza pantas memberikan alasan bagi pihak Fikhri.
Dia terasa berdosa dengan sikap Fikhri yang kurang mesra. Geram pun ada.
Tahulah perasaan Fikhri bercelaru, tak perlulah membuat tayangan perasaan itu
secara awam. Memalukan dirinya dan suami sahaja. Mahu dipukul, sudah besar
panjang. Fikhri oh Fikhri…
“Tak apa. Dia baru balik outstation.
Letihlah tu” balas Tan Sri Rosman.
“Macam mana dengan perbincangan kita tadi?” Datin Wahiza cuba menyingkap
kembali apa yang dia ketinggalan sewaktu meninggalkan perbincangan mereka bagi
menyambut kepulangan Fikhri.
“Oh, itu selesai dah! Macam yang kita rancangkan. Alhamdulillah, setakat
ini semuanya lancar” Tan Sri Rosman menjelaskan dengan nada yang amat gembira.
Isterinya juga tersenyum simpul.
Bercahaya wajah Datin Wahiza. Padanlah Datuk Fakhrul nampak gembira
semacam. Bagaikan tidak percaya, dengan mudah Zhila bersetuju untuk dijodohkan
dengan anak sulung mereka, Fakhri. Naluri Datin Wahiza tepat. Dari pertemuan
pertama lagi, hatinya berkenan dengan Zhila. Hari ini, dia dapat menyingkap
mengapa dia tertarik pada gadis itu. Sikap optimistik ada pada Zhila.
Datin Wahiza terasa sungguh bersyukur. Urusannya untuk menjodohkan anaknya
dengan anak saudara Tan Sri Rosman dipermudahkan Yang Maha Berkuasa. Fakhri
tidak membantah. Zhila turut bersetuju. Semuanya berlaku tanpa sebarang
paksaan, pujuk rayu atau syarat. Jauh di lubuk hati, Datin Wahiza bangga
memiliki seorang anak seperti Fakhri.
Sejak kecil lagi, Fakhri sudah menampakkan ciri-ciri seorang yang
berkaliber. Sikap kepimpinannya terserlah sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Dia kapten pasukan bola sepak, pengawas sekolah dan pelajar terbaik UPSR di
sekolahnya. Masuk sekolah menengah, dia meneruskan kecemerlangannya sehingga
dia menamatkan zaman persekolahannya dengan pengiktirafan sebagai seorang ketua
pengawas, olahragawan sekolah dan pelajar terbaik sekolah. Dia seorang yang seimbang
dari segi akademik, dan kokurikulum.
Rohaninya juga teguh. Dia jarang buat perkara-perkara nakal yang kurang
menyenangkan. Sikapnya itu terbawa-bawa sehingga dia dewasa. Fakhri jarang
sekali menyangkal permintaan ibubapanya jika ianya mampu mendatangkan kebaikan
pada dirinya. Setakat ini, Fakhri belum pernah mengecewakan Datuk Fakhrul dan
Datin Wahiza. Itulah yang menjadi kebanggaan mereka berdua.
Berbeza dengan abangnya, Fikhri mempunyai sifat yang sebaliknya. Kebanyakan
masa dia berdegil. Waktu sekolah rendah, dialah ketua budak nakal. Dia tidak
membuli murid lain sebaliknya dia mengarahkan murid lain membuli murid yang
lainnya. Dengan cara itu, dia jarang dipersalahkan. Kalau tertangkap pun,
dengan mulutnya yang bijak berkata-kata, dia biasanya terlepas dari hukuman.
Kadang-kala Fakhri berjaya memberkas kesalahannya lalu dia dijatuhkan hukuman
rotan oleh guru disiplin.Waktu itu, Fakhri menjadi saingannya. Dia budak nakal,
Fakhri pengawas. Kedua-duanya bagaikan memainkan peranan polis dan ketua mafia.
Masuk sekolah menengah, perangainya semakin menjadi-jadi. Permainan polis
dan perompak waktu sekolah rendah sudah ditinggalkan. Waktu ini, dia sudah
boleh bertolak ansur dengan Fakhri. Bahkan, mereka berdua berada dalam pasukan
bola sepak sekolah, terpilih menjadi sebelas pemain utama. Fikhri pemain
pertahanan. Pun begitu, dia bijak menjaringkan gol. Jurulatih memanggilnya
sebagai senjata rahsia.
Disebabkan riak dengan kebolehannya, Fikhri mempunyai satu tabiat buruk
apabila dia berjaya menjaringkan gol. Selaku pemain pertahanan, dia jarang
berpeluang menjaringkan bola. Namun apabila dia berjaya, dia gemar membuka baju
dan menghayun-hayunkannya di tangan sebagai gaya meraikan jaringan. Bajet
Cristiano Ronaldo! Sedangkan pemain professional pun dilarang bertindak
sedemikian.
Ada satu ketika, Fikhri tidak puas hati Fakhri dipilih menjadi ketua
pasukan bagi menggantikan ketua pasukan asal yang patah kaki. Asalkan ayat yang
dipertuturkan datang dari mulut Fakhri, dia enggan menadah telinga. Larangan
keras Fakhri akan tabiat buruknya dia persetankan. Sikapnya itu menjadikannya
seorang legenda bola sepak sekolahnya tetapi dari sudut yang negatif. Ianya
berlaku sewaktu satu perlawanan persahabatan antara sekolahnya dengan sebuah
sekolah menengah teknik dari negeri Perak.
Fakhri berdoa-doa dalam hati agar Fikhri tidak menjaringkan gol. Benar, dia
hanya mampu berdoa kerana setiap apa yang dia perkatakan, Fikhri akan menutup
telinga atau mengajuk percakapannya sebagai tanda tidak mahu mengikut arahan.
Mujur, sepanjang sembilan puluh minit bermain, Fikhri gagal menjaringkan bola.
Masa bermain sudah hampir tamat. Pasukan sekolahnya bakal memenangi
perlawanan dengan mata 1 berbalas 0. Sayangnya, langit tidak selalunya cerah.
Kemenangan yang disangka akan menjadi milik mereka hancur lebur apabila Fikhri
melakukan sesuatu di luar jangkaan. Fikhri menjaringkan gol sendiri secara
sengaja pada minit kecederaan! Sudahlah menjaringkan gol sendiri, dia meraikan
pula jaringan dengan cara yang tak sepatutnya pula tu! Dia yang sudahpun
dilayangkan kad kuning sebelum itu diberikan pula kad kuning kedua, sekaligus
dibuang padang. Tak semena-mena perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri
1-1.
Dia nyata telah menjatuhkan reputasi pasukan. Malah, memalukan diri
sendiri. Habis satu pasukan berang dengan tindakan Fikhri. Lebih-lebih lagi
jurulatih. Akibatnya, Fikhri disingkirkan terus dari menjadi ahli pasukan dan
sama sekali tidak akan diberi peluang untuk menyertai kelab itu lagi. Fikhri
sudah menjangka akibat itu dan dia tidak menyesal, juga tidak peduli. Yang
penting, dia puas dapat meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Susulan dari
pembuangannya dari pasukan bola sepak, dia berhijrah ke negeri Perak dan
berpindah ke sekolah menengah teknik yang telah dia bantu dalam perlawanan persahabatan
itu.
Apa yang pernah dia lakukan itu, menjadi perbualan pelajar-pelajar sekolah
lamanya. Kisahnya menjadi cerita tauladan buat ahli-ahli pasukan bola sepak
yang baru menyertai kelab. Tanpa dijangka, dia menjadi seorang legenda. Apapun,
niatnya untuk membalas dendam tetap kesampaian. Fikhri ketawa dalam hati. Dia
tidak pernah kekurangan cara untuk mencari pasal. Biarlah seluruh pasukan
terkorban sekalipun, asalkan dirinya ‘menang!’.
Kerana sikapnya yang degil sebegitu, Fikhri tegar untuk bersaing dengan
Fakhri. Dia sanggup memilih bidang arkitek demi mengambil hati ayahnya. Begitu,
dia bakal mewarisi dan menerajui empayar yang ditubuhkan Datuk Fakhrul.
Datin Wahiza tersenyum sendirian. Entah mengapalah waktu-waktu begini dia
terkenangkan kisah anak-anaknya ketika dulu. Mungkin sedikit sebanyak, dia
rindukan gelagat kanak-kanak mereka. Walau kedua-dua mereka mempunyai karakter
yang cukup berbeza, Fakhri dan Fikhri menceriakan hidupnya dan suami dengan
penuh warna-warni. Masing-masing kini sudah dewasa, ada kerjaya masing-masing.
Tidak lama lagi, salah seorang dari mereka akan berumah tangga. Segalanya akan
berubah, tidak seperti dahulu lagi. Harapannya, perubahan itu akan membawa lagi
seribu satu warna dalam perjalanan hidupnya.
Mujur perbezaan sifat antara mereka dua beradik akhirnya mencetuskan sebuah
persaingan positif. Datuk Fakhrul dan isterinya tidaklah terlalu risau. Cuma
kadang-kala, sifat kebudakan yang ditonjolkan Fikhri mampu mengganggu
ketenangan hati. Lelaki itu sukar dijangka. Kalau dia mahu memberontak, dia
akan meragam tak kira masa. Itu merupakan antara faktor utama mengapa Datin
Wahiza dan Datuk Fakhrul tidak memilih Fikhri untuk dijodohkan dengan Zhila.
Tidak dia sedari berapa lama telah dia ambil untuk mengisi mindanya dengan
kenangan waktu dulu. Sedar-sedar sahaja, Datuk Fakhrul, Tan Sri Rosman dan Puan
Sri Hanifah sudahpun meneruskan perbualan mereka. Datin Wahiza tidak betah lagi
untuk masuk campur. Dia memberikan perhatian pada Zhila.
“Mama ingat kamu. Kita pernah berjumpa waktu Zhila kecil dulu. Ingat tak?”
Datin Wahiza memulakan bicaranya dengan Zhila yang lama mendiamkan diri.
Zhila tersenyum simpul. Dia mengangguk perlahan. Kedudukannya
diperbetulkan, menghadap Datin Wahiza. Dia turut menunjukkan minat untuk
berbual.
“Ingat tapi tak ingat sangatlah. Saya cuma ingat saya datang tu waktu raya.
Ada open house” ujar Zhila. jauh di
sudut hati, dia berharap agar Datin Wahiza tidak mengingati apa yang berlaku
padanya ketika itu.
“Yelah. Memang pun waktu tu raya. Mama ingat lagi Zhila pakai baju t-shirt warna putih yang habis merah
kena air sirap”
‘Alamak, dia ingat la pula. Malunya’ Zhila mengomel dalam hati. Luarannya,
dia tersengih-sengih sumbing.
“Yelah, lepas tu saya mandi dan pakai gaun yang makcik bagi”
“Budak-budak… macam-macam kerenah. Waktu raya yang itu jugalah mama buat
keputusan nak robohkan kolam ikan depan tu”
“Oh, ya. Depan tu dulu ada kolam ikan ek?”
“Ada. Tapi, anak mama sorang tu pula pergi berenang dalam kolam tu waktu
orang datang raya beramai-ramai. Buat malu aje. Geram mama!” cerita Datin
Wahiza sambil ketawa.
“Budak-budak. Biasalah” Zhila turut tertawa.
Kasihan anak Datin Wahiza seorang tu. Tak pasal-pasal dia dituduh berenang
secara sengaja dalam kolam itu. Hakikatnya, Zhila yang menolak budak lelaki itu
ke dalam kolam ikan tersebut. Mana tidaknya, budak nakal itu mencurahkan
segelas penuh air sirap ke atas kepalanya. Habis belengas satu badan! Mujur umi
tak marah…
“Ya Allah! Apa kamu buat dekat dalam tu?!” teriak Datin Wahiza sebaik
sahaja melihat anaknya terjatuh ke dalam kolam. Zhila ingat lagi. Sangkaannya
anaknya itu sengaja terjun ke dalam.
“Orang tengah berenang ni, mama. Esok-esok boleh menang medal Olimpik”
budak lelaki itu menjawab. Tangannya dikuak-kuak menandakan sedang berenang.
Zhila ingat dia tersenyum ketika itu. Masih menjadi tanda tanya padanya
mengapa budak lelaki itu tidak menyalahkan dirinya yang secara terang-terangan
sengaja menolak budak itu ke dalam kolam ikan.
‘Anak dia tu agaknya yang mana satu ek? Yang nak jadi suami aku ni ke yang
tadi tu?’ Zhila tersenyum sendiri.
“Zhila dekat Itali berapa tahun ye?”
Belum sempatpun Zhila menjawab, Tan Sri Rosman dan Puan Sri Hanifah sudah
bingkas seperti mahu meminta diri. Cepatnya masa berlalu. Rasanya baru sahaja
dia mahu memulakan perbualan dengan Datin Wahiza. Datin Wahiza juga tampak agak
kecewa.
“Zhila. Kamu sibuk ke esok? Kalau tidak, marilah bermalam di sini. Mama nak
berkenalan dengan kamu dengan lebih dekat” pelawa Datin Wahiza.
“Oh, boleh. Dia baru habis belajar. Kerja pun belum dapat lagi. Mana ada
sibuknya” Puan Sri Hanifah menyambut pelawaan Datin Wahiza sebelum sempat Zhila
membuka mulutnya.
Zhila
tersenyum tawar, terpaksa akur dengan pelawaan Datin Wahiza. Tetapi,
sekurang-kurangnya, dia diterima baik di situ.
No comments:
Post a Comment