Dikau hadir
Di kala aku memerlukan seorang teman
Dikau bawa secebis bahagia
Bila aku hampir berputus asa
[Kau Hadir – Dehearty]
Hari yang disukai semua insan yang bekerja, kerana
hari Ahad merupakan hari rasmi untuk sesiapa sahaja yang bekerja di pejabat
untuk berehat dari bebanan kerja yang menimbun. Namun, bagi umat Islam, hari
Jumaatlah merupakan hari yang sepatutnya dimuliakan, memandangkan pada hari
Jumaat itu terdapatnya keberkatan.
Tidak jemu dengan sesi yang dilalui semalam, Rif’at
pula mengajak Imran belajar di rumahnya. Beranda di tingkat dua menjadi lokasi
pilihan mereka untuk belajar, memandangkan tempat itu merupakan kawasan yang
terbuka. Angin yang bertiup menyapa wajah mereka.
“Mari minum,” suara Dr. Amina memecah sepi. Tangannya
menatang sedulang air teh panas.
“Terima kasih, umi,” Rif’at menyambut huluran secawan
teh tersebut.
Imran turut menyambut huluran tersebut, sambil
bibirnya mengungkap ucapan terima kasih dalam sedikit kegagapan.
“Kenapa?” tanya Rif’at sesudah ibunya beredar.
Imran hanya sengih. Lambat-lambat, dia menjawab, “Aku
tak ingat bila kali terakhir aku ucap terima kasih pada orang,”.
Rif’at hanya senyum. “Itulah…Allah bagi peluang,”.
Imran mengangguk. “Betul lah itu. Dah lama sangat
bergelumang dalam kenakalan dan ke..ja..hilan..(gagap), jadi budak tiada
akhlak,”.
“Dah, jangan diungkit,” Jari telunjuk diletakkan di
bibir Imran, membuat kalamnya tersekat di kerongkong. Jari Rif’at
perlahan-lahan diketepikan.
“Peluang paling besar yang aku rasa Allah pernah bagi
pada aku…” kalamnya terhenti lagi. Matanya menatap langit.
Rif’at menanti dengan penuh sabar. Tangannya ligat
menyelak helaian kertas latihan.
Dan dia terus menanti.
Menanti untuk Imran menghabiskan kata-katanya. Nafas yang tertahan-tahan, dihembus jua. “Kau
nak habiskan ayat, tak?”
Kebosanan menanti, matanya senyap-senyap menjeling
wajah Imran. Nampak tenang. Tenang yang tidak pernah dilihatnya pada seorang
Imran yang dikenali. Seakan-akan menghayati sesuatu.
“…peluang untuk kenal seorang sahabat bernama Aamir
Rif’at,” senyum bahagia terukir.
^_^
Imran.
Gembira hatinya mengenali jiran yang seorang itu.
Dengan muka toyanya, bicara
selambanya, gaya dan perangai yang kadang-kadang ‘cacat’. ‘Kecacatan’ yang
menghiburkan. Cuma hidupnya dan jiwanya tidak pernah diselami, menjadikan dia
senang berkawan dengan mereka-mereka yang…umm..macam tulah..
Sahabat.
Rif’at meniti perkataan yang cuma sepatah itu, namun dia pasti, maksudnya
amat mendalam.
Sahabat. Hatinya
kembali mengulang perkataan itu. Pandangan matanya berlari di atas barisan
buku-buku yang tersusun rapi di rak
buku. Pandangannya terhenti pada barisan buku yang menempatkan buku-buku karya
penulis kegemarannya, Hilal Asyraf. Buku-buku itu sudah lama, kepunyaan
ayahnya.
Takrifan sahabat...
Seorang yang setia menemani….seseorang yang berada di
sisi saat susah dan senang…seorang kawan yang memahami…seseorang yang mesra dan
rapat…sama dengan kawan.. dan bla..bla…Banyak, tapi semua istilah tu typical baginya.
Satu takrif sahabat yang paling digemarinya yang didapati dalam novel Sinergi
karya Hilal Asyraf adalah sahabat itu merupakan orang yang apabila kita ke
syurga, dia mengiringi kita, dan apabila kita ke neraka, sahabat kita itu akan
mencampakkan dirinya sendiri ke neraka untuk menarik dan membawa kita ke
syurgaNya bersama-sama. Lebih kurang macam tu lah bunyinya.
Begitu mudah
takrifannya, begitu indah bunyinya. Namun dia tahu, sahabat itu adalah
tanggungjawab bagi sahabatnya.
Imran Fatih. Menggelar dirinya sebagai seorang
sahabat.
Layakkah? Mampukah dia? hati
mempersoalkan.
Dia membiarkan persoalan itu berlalu pergi bersama
lenanya.
No comments:
Post a Comment