ZHILA menggenggam cawan yang
berisi teh O panas dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Hangat yang
dirasakan pada cawan berjenama Corelle itu dibiarkan berpindah ke kulit. Terasa
selesa pula berbuat demikian pada pagi yang dingin akibat daripada hujan lebat
yang turun semalaman.
Dia duduk di meja makan tanpa
sebarang kata. Pelawaan Datin Wahiza untuk menjamah sarapan belum lagi
diturutkan. Dia susah hati. Manakan tidak, dia bakal dikahwinkan dengan seorang
lelaki yang belum dia kenali hati budinya. Bertemupun cuma sekali sahaja
setakat ini. Perasaannya sukar ditafsir. Mahu kata tak sedap hati, mungkin dia
gemuruh sahaja. Mahu kata gemuruh, hatinya macam tidak tenang. Mungkin perasaan
gemuruh itu sahaja sudah boleh diungkapkan sebagai tidak senang hati. Entahlah…
"Kenapa termenung aje,
Zhila? Tak sedap ke masakan mama?” tak semena-mena Datin Wahiza menegurnya.
Mujur tidak tergugur jantung Zhila.
Mama? Mesranya dia menggelarkan
dirinya. Sejak semalam lagi dia menggelarkan dirinya begitu. Perasaan haru
tercalit lagi di sanubari Zhila. Terasa sejuk hati apabila mengetahui dirinya
diterima dengan hati yang terbuka.
“Tak adalah. Nasi goreng tu
panas lagi. Nak tunggu dia sejuk sikit” ujar Zhila sambil tersenyum. Pinggan
yang berisi nasi goreng itu ditarik mendekatinya. Haruman masakan bakal emak
mertuanya memang menaikkan selera.
Datin Wahiza memandang lembut
wajah Zhila. Dia tahu gadis itu cuma menyelindungkan perasaannya yang gusar.
Dari matanya, tercermin perasaan yang dipendam di hati. Mungkinkah Zhila
menerima pinangannya bersama hati yang tidak rela? Mungkinkah dia merasa
terpaksa? Saat itu, baru Datin Wahiza terfikirkan kebarangkalian itu.
“Zhila tak suka ke dijodohkan
dengan Fakhri? Mama tak nak Zhila rasa terpaksa. Nanti hati Zhila menyumpah
kami. Mama tak nak macam tu” lemah lembut Datin Wahiza menyuarakan pendapatnya.
Zhila lantas mengulumkan sebaris senyuman ikhlas.
“Eh, tak adalah. Saya tak rasa
terpaksa. Baba thinks it’s for my own
good and I trust him. Tapi, tipulah kalau saya kata saya tak nervous. Fakhri tu bukan saya kenal
sangat” Zhila turut terasa senang meluahkan perasaannya. Baba, gelarannya untuk
Tan Sri Rosman.
Datin Wahiza tersenyum lega.
Digenggamnya tangan Zhila, cuba memujuk perasaan gundahnya agar segera hilang.
Untuk beberapa ketika, dia merenung dalam-dalam wajah Zhila. Gadis itu masih
tersenyum, menampakkan lesung pipit di pipinya nan putih menggebu.
“Jangan risau, sayang. Fakhri
balik hari ni. Kalau ada rezeki, bolehlah kamu berjumpa dia lagi”
Zhila mengangguk faham. Barangkali itu juga yang terbaik. Mungkin selepas
dia berkenalan dengan Fakhri dengan lebih dekat, perasaan gusarnya akan hilang.
Dia juga berharap begitu. Sesak nafas juga menahan gemuruh…
“Marilah kita bersarapan
sama-sama” pelawa Zhila, mengharapkan Datin Wahiza tidak terus memandangnya.
Segan.
“Kamu makanlah. Mama tak selera
makan pagi-pagi. Maklumlah, orang tua” santun Datin Wahiza menolak. Zhila akur.
Dia tidak mahu mendesak.
“Mama nak pergi pasar sekejap.
Balik nanti, kita sembang lagi, ya”
“Okay. Jalan baik-baik”. Sempat dia bersalaman dengan Datin Wahiza sebelum
wanita itu melangkah ke dapur untuk keluar melalui pintu belakang.
Zhila mengiringi pemergian Datin
Wahiza dengan ekor matanya. Sesudah bacaan doa, sesudu nasi disuapkan ke mulut.
Acapkali, dia terkenangkan nasibnya meski dia tahu, dirinya tidaklah semalang
anak yatim piatu yang lain. Dia manusia biasa. Dia juga punya hati dan perasaan
juga akal dan jiwa. Perih yang dia rasakan mungkin tidak sama dengan orang lain
tetapi pengalaman itulah yang membina dirinya, yang membentuk dirinya yang
wujud hari ini.
Sejak ibubapanya meninggal sewaktu dia dibangku sekolah rendah, Tan Sri
Rosmanlah yang menjadi penjaganya. Bapa saudaranya itu berbesar hati
menerimanya. Dia sanggup menjaganya seperti anak sendiri. Malangnya, isteri Tan
Sri Rosman mempunyai pendapat yang berlainan. Dahulu, Puan Sri Hanifah tidak
sebegitu. Suatu ketika dahulu, Puan Sri Hanifah juga rajin memanjakan Zhila.
Seperti sewaktu dia disimbah dengan air sirap waktu raya dulu, umilah yang
memandikannya. Tidakpun umi memarahinya.
Tetapi, atas sebab yang Zhila tidak dapat fikirkan,
uminya bagaikan menolak kehadirannya. Sejak bila umi berkelakuan begitu? Dia
tidak pasti… Sebelum atas selepas ibubapanya meninggal? Sungguh, dia tidak
tahu. Dia terlalu mentah untuk meneliti perubahan sikap umi ketika itu.
Walau berkali-kali suaminya
memberitahu bahawa Zhila adalah sebuah amanat yang ditinggalkan adiknya, Puan
Sri Hanifah tetap dengan egonya. Dia enggan menerima Zhila sebagai penghuni di
rumahnya. Seboleh-bolehnya dia mahu Zhila menjauh. Wajah Zhila langsung tidak
boleh direnungnya lama-lama. Lebih-lebih lagi apabila Zhila kian menjangkau
usia remaja.
Pelbagai cadangan diusulkan agar
Zhila terus tidak berada di rumah mereka. Semua cadangan itu ditolak
mentah-mentah oleh suaminya. Kadangkala, mereka cenderung kepada perbalahan.
Seringkali kerana itu, Zhila rasa bersalah.
“BABA. Zhila rasa nak masuklah
sekolah asrama dekat Langkawi tu” ujar Zhila pada suatu hari. Sudah dua tahun
dia tinggal di rumah Tan Sri Rosman. Sudah
dua tahun juga ayah dan ibunya kembali ke Rahmatullah akibat kemalangan
jalan raya.
Terbeliak biji mata Tan Sri Rosman mendengarnya. Darahnya terus mendidih.
Tidak lain, isterinyalah yang memujuk Zhila untuk pergi. Sudahlah wanita itu
memohonkan sekolah asrama tanpa pengetahuannya dahulu, dihalaunya pula gadis
itu secara halus.
“Tak boleh. Baba tahu ni bukan kemahuan Zhila” Tan Sri Rosman membantah.
Dia bingkas dari tempat duduknya untuk berhadapan dengan Zhila.
Tan Sri Rosman duduk di atas meja pejabatnya. Zhila yang sedang duduk di
hadapannya tampak gemuruh. Namun, gadis sunti itu mengagahkan diri untuk
meluahkan hasrat hatinya. Memujuk bapa saudaranya jika perlu.
“Tak. Memang ini keputusan saya. Tak ada sesiapa yang suruh saya pergi”
jelasnya secara jujur.
“Baba tak percaya. Sebab bukan kamu yang mohon untuk masuk sekolah tu. Umi
yang mohonkan untuk kamu” lelaki berusia lewat empat puluhan itu tetap
berkeras.
Zhila mengetap bibir. Benar. Emak saudaranya yang mohonkan sekolah asrama
untuknya tanpa pengetahuan sesiapa. Apabila surat tawaran sampai ke rumah,
barulah terbongkar segala rahsia. Dia sedar niat emak saudaranya yang tidak
mahu dia terus tinggal di bawah bumbung itu. Hatinya terasa sayu kerana
diperlakukan begitu.
Jauh di sudut hati, dia berterima kasih kerana umi menghalaunya dengan cara
yang baik. Kadang kala dia merasa umi kejam kerana tidak menyukai dirinya yang
tidak bersalah. Tetapi, kebanyakan masa dia merasa tidak wajar kiranya dia
membenci umi. Umi tidak pernah meninggikan suara padanya. Kalau umi bercakap,
pertuturannya baik-baik sahaja. Cuma umi tidak mahu dia berada dekat. Sebabnya?
Masih menjadi tanda tanya kepada Zhila.
Apapun, dia sedar diri. Dia orang luar. Jika kehadirannya tidak
dialu-alukan, dia sedia mengundurkan diri.
“Saya yang minta umi mohonkan. Sebab saya tahu kalau saya yang mohon, baba
tak bagi” Zhila terpaksa berbohong. Dia tidak mahu sebabkan dirinya, baba dan
umi berbalah lagi. Biarlah kali ini dia mengalah dengan umi.
“Memanglah baba tak bagi. Kamu tu baru habis UPSR. Baru nak belajar hidup”
“Keputusan peperiksaan saya baik. Biarlah saya belajar hidup berdikari.
Bukannya saya tinggal sana selamanya. Cuti sekolah saya baliklah” pujuk Zhila
dengan lemah lembut menyebabkan bapa saudaranya berat hati untuk menolak.
“Tapi, sekolah tu jauh sangat. Kita minta tukar yang lebih dekat ye…” Tan
Sri Rosman gagal memikirkan alasan lain untuk mengubah fikiran Zhila.
“Tak payahlah, baba. Saya tak nak susahkan baba lagi…”
Tan Sri Rosman terus merasa terpukul dengan kenyataan itu. Tidak pernah pun
dia merasa susah menerima kehadiran Zhila disampingnya. Zhila juga tidak
seharusnya berasa begitu. Takkan Zhila sudah mula merasa jauh hati dengan sikap
umi?
“Nanti baba kena tulis surat semua…” Zhila menyambung kenyataannya. Dia
tidak mahu bapa saudaranya itu tersalah faham.
Sedikit sebanyak, Tan Sri Rosman mengagumi ketabahan anak saudaranya itu.
Tetapi, dia pasti. Gadis sunti itu pastinya merasa terguris dengan sikap umi
yang enggan menerima kehadirannya. Kadang kala, dia keliru dengan sikap isterinya.
Sebelum ini Zhila boleh dia layan dengan baik. Tetapi, mengapa selepas ibubapa
Zhila meninggal, layanannya terhadap gadis itu terus berubah? Takkan selama ini
dia hipokrit? Takkanlah… Arwah emak Zhila kawan baik dengan isterinya…
Lagipun, rumahnya sunyi.
Anak-anaknya semua sudah berkerjaya. Tinggal di rumah masing-masing. Balik pun
jarang-jarang. Apa salahnya jika kediaman itu dihiasi dengan seorang lagi
penyeri rumah tangga?
“Okaylah. Kalau Zhila nak macam tu, Baba ikutkan aje. Tapi, Zhila janganlah
rasa macam orang asing dekat rumah ni” Tan Sri Rosman memujuk.
“Tak adalah. Semua orang layan Zhila baik aje” Zhila tersenyum lalu berlalu
pergi dari bilik pejabat guaman Tan Sri Rosman.
Melihatkan senyuman itu, Tan Sri Rosman terasa sayu. Terasa seperti dia
baru sahaja melepaskan seorang anak untuk pergi berperang. Pergi dengan
kebarangkalian bahawa anak itu tidak akan pulang. Jika pulang pun, keadaan
antara mereka tidak akan sama seperti dahulu.
Jangkaannya tepat. Sejak dia menjejakkan kaki ke sekolah berasrama itu,
Zhila jarang sekali pulang ke rumah bapa saudaranya. Hatinya tidak sedap untuk
berkunjung ke sana lagi. Lebih-lebih lagi apabila orang rumah itu tidak
mengalu-alukan kehadirannya. Dia tahu Tan Sri Rosman akan berkecil hati.
Tetapi, apakan daya. Dia tidak mampu menjaga hati semua orang. Mahu atau tidak,
ada perasaan yang pasti akan terguris. Itu bukannya pilihan.
Mujur Tan Sri Rosman seorang yang memahami. Dia tahu Zhila berjauh hati.
Jika Zhila tidak mahu datang padanya, dia akan datang pada Zhila. Itu janjinya
sebaik dia menerima surat wasiat dari bapa Zhila. Dia nekad menjalankan
tanggungjawab sebagai seorang bapa walau dia tahu tiada siapa yang layak
menggantikan tempat adiknya. Dia akan pastikan Zhila tidak kekurangan kasih
sayang. Jika bukan dari seorang ibu, sekurang-kurangnya dia mendapat cukup
kasih dari seorang bapa.
Seringkali Tan Sri Rosman mengingatkan Zhila tentang itu. Sedikit demi
sedikit, rasa jauh hati yang bertapak di jiwa Zhila hilang walaupun dirinya
masih enggan diterima baik oleh umi. Zhila meneka, ada sesuatu pada umi yang
sukar difahami orang lain. Baginya, umi tidak jahat. Walaupun umi mahu Zhila
berada jauh dan umi tidak pernah langsung datang bersama baba untuk
menjenguknya, umi tidak pernah menghalang suaminya untuk pergi melawat Zhila.
Zhila tidak menyalahkan emak saudaranya itu. Dia berhak ke atas
perasaannya. Sikapnya yang menolak itu Zhila terima sebagai satu kelemahan umi
yang menjadikannya seorang manusia. Tiada manusia yang bersifat sempurna.
Dengan berpegang pada prinsip itu, Zhila tidak lagi berkecil hati.
Lima tahun Zhila hidup berjauhan dari bapa saudaranya. Gadis itu membesar
dengan matang. Dia gembira Tan Sri Rosman sentiasa berada di sisi untuk
menyokongnya. Baginya, itupun sudah memadai. Tan Sri Rosman melayannya dengan
terlalu baik. Tidak tergamak Zhila untuk mengecewakan bapa saudaranya itu sama
sekali.
Tamat sahaja zaman persekolahan, sekali lagi Zhila dinafikan peluang untuk
terus tinggal bersama Tan Sri Rosman. Kali ini, Puan Sri Hanifah memujuknya
untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Walau tidak dapat menerima
kehadiran Zhila, Puan Sri Hanifah rela suaminya berbelanja besar untuk gadis
itu. Asalkan Zhila tidak tinggal di bawah bumbung yang sama dengannya. Itulah
kebaikan terbesar umi terhadapnya yang dapat dikesan Zhila.
Zhila tersenyum sahaja semasa umi memujuknya untuk ke luar negara. Dengan
hati yang terbuka, dia rela turutkan kemahuan umi. Dia masih tidak faham
mengapa umi tidak dapat menerima dirinya tetapi dia berdoa, satu hari nanti
kehadirannya akan dialu-alukan umi. Maka, tidak lama selepas dia mengambil
keputusan peperiksaan SPM, Zhila terbang ke luar negara. Melanjutkan pelajaran
dalam bidang seni di Itali.
Enam tahun dia berada di Eropah. Selama dia berada di sana, dia berjaya meraih
Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sejarah Kesenian. Ada
baiknya umi asyik menghalaunya. Banyak pula perkara dia berpeluang untuk
pelajari semasa di sana. Sempat juga dia mengambil kursus lifeguard sehingga mendapat sijil peringkat perak.
Setiap kali cuti, dia jarang pulang ke Malaysia. Kalau balikpun sekejap
sahaja. Sekadar meluangkan sedikit masa berjumpa dengan baba. Waktu cutilah
selalunya dia akan merancang dengan kawan-kawannya untuk pergi melancong
beramai-ramai. Pengembaraan dimulakan dengan menjelajah ke seluruh negara di
benua Eropah. Cuti yang lainnya, lain pula destinasi mereka. Ke benua Amerika
Selatan pun Zhila pernah sampai. Baba selalu sahaja tidak bersetuju dia
melancong begitu tetapi apa lagi yang dia boleh lakukan? Nak balik lama-lama ke
Malaysia, dia berat hati susahkan umi…
Dia tidak gembira hidup sebegitu sebenarnya. Terutamanya apabila tiba musim
perayaan. Hatinya akan terasa sayu. Dia terasa keseorangan…
Kalau boleh, umi mahu dia berada lama lagi di sana. Ambil PhD terus pun tak
apa. Atau bekerja di sana. Kalau boleh jangan balik. Bukan dia tidak pernah
cuba turutkan lagi permintaan umi. Dia pernah memohon dan diterima bekerja
sebagai kurator di sebuah galeri seni. Tetapi, walau sekuat mana dia cuba,
hatinya tidak terletak di sana. Zhila mempunyai pendirian sendiri. Dia tidak
mahu terus berada di negara orang. Dia mahu pulang.
Sudah dijangkakan bahawa Puan Sri Hanifah akan terus cuba menghalaunya dari
terus menumpang di rumah mereka. Baru sehari dua dia kembali dari Itali, umi
sudah tanya macam-macam. Nak cari kerja dekat mana? Bila nak cari kerja? Nak
cari kerja yang dekat ke jauh? Malah, umi memberi cadangan untuk tempat
tinggalnya. Kalau diminta carikan pun dia sudi. Dalam tempoh singkat itupun
ketegangan sudah dapat dirasakan. Umi memang tidak senang duduk dengan
kewujudannya di situ.
Zhila tidak kisah. Dia sudah cukup dewasa untuk tinggal di rumahnya
sendiri. Malang, bapa saudaranya tidak sebulu dengannya. Drama seperti yang
pernah berlaku ketika dia baru habis UPSR dulu bagaikan berulang kembali.
Tetapi waktu dahulu, dia boleh terima. Dia baru berusia dua belas tahun. Sukar
juga difahami mengapa baba masih melayannya seperti seorang kanak-kanak.
Baba berpegang pada amanatnya. Kata baba, selama bertahun-tahun Zhila
berjauhan seorang diri, selama itu jugalah dia sentiasa kerisauan. Kalau lama
lagi Zhila pergi, boleh lemah jantung dibuatnya. Zhila faham. Jika boleh, Tan
Sri Rosman mahu dia tinggal di situ untuk beberapa lama. Dia cuma mahu memberi
Zhila sebuah tempat yang boleh dia berpaut.
“Baba. Saya dah dewasalah. Dah reti jaga diri. Lebih sepuluh tahun dah saya
hidup berdikari. Biarlah saya cari tempat tinggal sendiri” Zhila memujuk Tan
Sri Rosman apabila niat yang disampaikan dibantah mentah-mentah.
“Baba dah agak Zhila akan cakap macam tu. Sebab tu dari awal lagi baba tak
benarkan Zhila tinggalkan rumah ni” Tan Sri Rosman sedikit berkecil hati. Zhila
mengetap bibirnya, menundukkan wajah tanda bersalah.
“Tapi, baba. Zhila tak sedap hati kalau terus tinggal dekat rumah ni. Umi
tak suka Zhila dekat sini. Zhila tak salahkan dia. Ini rumah dia juga. Dia
berhak. Zhila tidak”
“Baba susah hati kalau Zhila duduk sorang-sorang. Tak ada siapa yang jaga
Zhila”
“Siapa kata tak ada? Zhila jaga diri sendiri apa?”
“Tak cukup”
“Baba jaga Zhila apa?”
“Dari jauh aje. Baba sebenarnya rasa bersalah buat macam tu. Baba tak nak
macam tu lagi. Kalau Zhila nak tinggal berasingan, baba nak ada orang yang
boleh jaga Zhila”
Terharu Zhila dengan sikap mengambil berat yang ditonjolkan Tan Sri Rosman.
Mungkin kerana bapa saudaranya itu tiada anak perempuan, jadi dia terdorong
untuk menyayangi dirinya seperti itu. Sayang, Zhila kurang memahami apa yang
disampaikan Tan Sri Rosman. Tetapi, jika bapa saudaranya berdegil tidak mahu
dia tinggal berseorangan, tidak menjadi masalah baginya. Dia boleh cari rakan
serumah untuk tinggal bersamanya.
“Okey. Macam nilah… Zhila ajak kawan Zhila tinggal serumah dengan Zhila. That way, we can take care of each other”
“Tapi, Zhila tak kerja lagi. Macam mana nak bayar sewa semua? Zhila tinggal
ajelah dekat sini dulu”
“Tak nak. Zhila tak syok tinggal dekat sini kalau umi tak suka”
“Tak pe. Bagilah alasan Zhila tak dapat kerja lagi”
“Baba main tipu! Cadangan orang baba tak jawab pun setuju ke tidak” ngomel
Zhila apabila menyedari Tan sri Rosman telah menukarkan topik perbualan mereka.
“Tak nak. Baba nak orang berkemampuan menjaga Zhila”
“Bagi Zhila bela harimaulah kalau macam tu. Mesti boleh jaga Zhila punya.
Gerenti tak ada siapa berani dekat” Zhila mula bergurau. Dia letih dengan
perbualan yang tidak membawa ke mana.
“Baba nak oranglah. Bukan binatang” Tan Sri Rosman membalas gurauan anak
saudaranya. Namun, dia serius.
“Asalkan boleh jaga bolehkan ajelah…”
“Tak boleh. Tak sama”
“Penatlah cakap dengan baba…” ngomel Zhila.
“Baba nak juga apa yang baba nak untuk Zhila”
Zhila mengerutkan dahi dan menjungkitkan bahu. Sungguh, dia tidak faham
kemahuan baba. Dia sudah malas mahu bertelagah. Biarlah apapun yang difikirkan
baba kali ini, dia akan pujuk diri untuk bersetuju. Tidak sampai hati pula
asyik membantah kata Tan Sri Rosman.
“Jadi, pendek kata… baba tak
benarkan Zhila pergi?” Zhila cuba meneka.
“Baba akan fikirkan jalan…” ringkas ucapan Tan Sri Rosman.
“Zhila tahu siapa yang boleh jaga Zhila” ucap gadis itu sekadar untuk
memeriahkan suasana.
“Siapa?”
“Allah” Zhila tertawa kecil. Satu cubitan manja hinggap di pipinya.
‘Betul apa!’
No comments:
Post a Comment