Pagi yang sibuk.
Hujan yang sudah turun sejak pukul 3.00 pagi tadi masih
belum reda lagi. Cuma pagi ini, bilah-bilah hujan yang gugur ke bumi bertukar
menjadi rintik-rintik gerimis yang semakin menipis. Langit sudah tidak mendung
lagi. Namun, suasana yang kelihatan kelam itu tetap riuh dengan deruan enjin
dan hon kenderaaan di atas jalan raya yang tidak pernah surut.
Satu lagi pagi yang sibuk pada bulan ini.
Aliran trafik sesak teruk terutamanya di selekoh untuk ke
tempat kerjanya. Mujur juga dia menunggang motosikal. Dapat juga menyelit di
antara kenderaan yang bertali arus. Ketika mahu membelok ke tempat meletak motosikal
di ruang tingkat bawah premis tempat kerjanya, sempat dia mengelak seekor
kucing berwarna hitam yang tiba-tiba melintas. Kucing itu kelihatan basah
lencun dan kelihatan kebingungan. Mungkin ia mahu mencari teduh di dalam
bangunan ini namun ketakutan dengan kenderaan yang semakin banyak muncul mencari
tempat parkir.
Jantungnya berdegup kencang. Pasti dia sudah melanggar mati
kucing tersebut jika dia tidak sempat mengelak tadi. Buat seketika, dia
beristigfar menenangkan debaran dadanya.
Kucing hitam melintas pada waktu pagi-pagi begini? Petanda
apakah?
Loker no 45 di bilik rehat staf di buka dan beg galas yang
disandang dibahu dihumban ke dalamnya. Sebuah buku nota kecil dan sebatang pen
diambil dari dalam beg galas dan
diselit ke dalam saku belakang jeans hitam yang dipakainya. Jam tangan
dikerling. Masih ada 15 minit sebelum pukul 7.00 pagi. Namun, dia tidak mahu
berlama-lama lagi di sini dengan kucing hitam yang tidak tahu ke mana ia telah
menyembunyikan diri. Dia tidak mahu terserempak dengan kucing hitam itu lagi.
Segera dia memanjat tangga untuk ke staff
entrance.
“Awal sampai hari ni, Aim?”
Kak Mona yang bertugas merekod kedatangan kakitangan di
pintu masuk pada hari itu menyapa dengan senyum lebar. Tangan kanannya mencari
kad ID milik Aim yang tergantung di dinding belakangnya lalu merekodnya ke
dalam sistem.
“Musim promosilah, kak. Kenalah datang awal. Datang lambat
nanti tak sempat nak setting tempat
pula,” Aim tersengih.
Kad ID kemudian bertukar tangan.
“Bos awal-awal lagi
dah datang. Log in sama dengan akak
tadi. Agaknya banyak benda yang dia nak check
tu,” beritahu Kak Mona. Aim angkat kening.
Bos datang awal? Ada mesyuarat tergemparkah hari ini?
Entah-entah hendak buat spot check
mengejut setiap department.
Enggan memberi komen lebih lanjut tentang informasi daripada
Kak Mona yang berbadan besar dengan tahi lalat di tepi bibir kanan itu, Aim
memeriksa jadual bertugas bagi setiap department
yang ditampal di papan kenyataan berhampiran pintu masuk. Hatinya sedikit rusuh
mengingatkan kebarangkalian spot check
akan dilakukan oleh Mr. Rajesh. Bosnya itu memang sukar diterka tindak
tanduknya.
“Aim nak pakai walkie-talkie
tak?” tanya Kak Mona. Dia sudah bersedia dengan rekod penggunaan walkie talkie di hadapannya. Aim
mengangguk lalu mencapai sebuah walkie
talkie yang dihulur oleh Kak Mona. Dia kemudian menandatangani rekod
pengambilan alat tersebut.
“Kalau bos datang
awal, adalah tu benda yang dia tak puas hati,” komen Kak Mona. Kak Mona itu
boleh tahan juga kalau mengkritik dan bergosip.
Uh! Pagi-pagi begini sudah mahu membuka gosip hangat. Kak
Mona itu tajam juga ‘telinganya’. Hampir semua skandal dan gosip yang berlaku
di premis itu diketahuinya.
“Biasalah tu, kak. Bos tu kan teliti mengalahkan kita semua.
Okeylah kak. Saya masuk dulu,” Aim sengaja tidak mahu mengulas apa-apa lagi.
Ada beberapa orang staf lagi yang sudah datang dan sedang merekod kedatangan
mereka. Bergosip di situ hanya akan menyesakkan laluan staf dan yang paling haru
kalau ditangkap oleh bos sedang berlengah-lengah masa pada waktu pagi yang
sibuk seperti itu.
Namun, belum ada selangkah, Aim memusing tubuh kembali. Dia
teringat pertembungannya dengan kucing hitam tadi dan tergerak hati untuk
bertanya tentangnya kepada Kak Mona.
“Kak, nak tanya sikit,” ujar Aim.
“Ada apa?” soal Kak Mona.
“Err, kalau kita terserempak dengan kucing hitam, akak rasa ada
bawa petanda apa-apa tak?” tanya Aim. Kak Mona mengerut muka.
“Saya cuma tanya aje,” Aim jungkit bahu sebaik melihat reaksi
Kak Mona.
“Sekarang dah zaman moden, dik oii. Kita ni duduk di KL. Kau
pula masih percaya benda-benda tu semua?”
Aim sengih. “Tak rugi bertanya, kan?”
“Kau tu selalu cemas. Jangan fikir bukan-bukan. Itu semua
karut aje. Kalau Tuhan dah kata begini, beginilah jadinya. Kalau Tuhan kata
begitu, begitulah jadinya. Bukan kucing yang akan tentukan nasib baik buruk kau
tu,” kata Kak Mona tegas.
Masuk akal juga.
“Ya , mungkin saya yang terlalu fikir sangat. Okeylah, kak.”
Aim meningggalkan Kak Mona dan terus menuju ke bahagian pemunggahan barang.
Barang-barang yang dipesan untuk hari tersebut tiba hampir
lima belas minit yang lalu ketika Aim sampai untuk memulakan tugas awal pagi itu.
Staf di bahagian pemunggahan barang sedang sibuk merekod dan memeriksa serta
mendokumenkan barangan yang tiba mengikut bahagian tugas masing-masing. Satu pallet beras wangi sebuah jenama
terkenal sudah siap di punggah ke atas handtruck
dan bersedia untuk diambil dan diletakkan di ruang niaga. Sebentar tadi, Aim
sudah memeriksa beberapa dokumen bagi penerimaan barang-barang yang tiba.
Beberapa minit di situ, walkie
talkie Aim berbunyi.
“All
manager in duty, please gather at the information counter in five minutes for
the morning briefing, over.”
Suara garau Mr. Rajesh kedengaran memberi arahan melalui walkie talkie. Panggilan taklimat pagi
setiap hari bagi staf yang bertugas.
“Grocery, copy,”
Aim memberi maklum balas. Langkahnya diatur untuk ke kaunter informasi.
Ben tiba sambil memanjangkan leher menjenguk barangan yang
sudah tiba.
“Hah, baru nampak batang hidung!” pekik Aim sambil melajukan
langkah ke arah Ben sebaik sahaja ternampak kelibat Ben.
Ben sengih mengetahui Aim tiba awal daripadanya. Tanpa
berlengah, Aim menyerahkan beberapa helai kertas bercetak kepadanya.
“Nah. Kira yang selebihnya.”
“Hah?” Ben buat muka kelam.
“Aku ada briefing
ni. Kau tolong handle dekat sini.”
Ben ternganga melihat item-item yang perlu diperiksanya.
“Barang penting aku dah check.
Nanti kau ambil sekali.”
Ben ternganga lagi.
“Banyaknya barang kita,” katanya sambil melihat beberapa
buah pallet yang tinggi dan penuh
dengan pelbagai kotak jenama barang-barang niaga yang ada di kawasan tersebut. Separuh
tempat pemunggahan barang tersebut terdiri daripada barang-barang department mereka mereka sahaja.
“Kau ni macam tak biasa pula. Biasalah musim promosi,
banyaklah item,” kata Aim.
“Hoi, cepatlah. Banyak lagi barang nak masuk ni!”
Aim dan Ben serentak menoleh. Seorang staf dari bahagian
pemunggahan barang sudah bercekak pinggang dengan reaksi kurang sabar melihat mereka
berdua. Aim menepuk-nepuk bahu Ben dan mengenyit mata sebelum meninggalkannya.
..................
Staf yang bertugas dari pelbagai department tiba di kaunter informasi dengan wajah yang pelbagai.
Joey dari security department dengan
muka mengantuk, Su dari textile
department dengan sikapnya yang kalut menanda barang-barang promosi di atas
senaskah leaflet, Ucop dari bevareage department dengan mukanya yang
sentiasa tenang. Kumar pula daripada tadi asyik tergaru-garu kepala. Maklumlah,
rakan sekerjanya Man shif petang hari ini. Kumar dan Man bertugas di baazar department yang merupakan satu-satunya
department dalam premis tersebut yang memiliki dua orang pengurus. Rahmat pula dari
appliance department yang berwajah
serius sedia berdiri seperti seorang kadet. Manakala Daisy dari fresh department masih lagi dalam
keadaan termengah-mengah. Dia orang paling akhir tiba.
“Tiba-tiba hari ni, boleh pula trak ayam tu accident dalam perjalanan ke sini.
Susahlah aku hari ni,” ujar Daisy dengan muka sedikit cuak. Mana tidaknya, fresh department adalah sangat penting.
Nadi utama premis kerana pagi-pagi orang datang cari barang-barang basah
dahulu.
“Wow, bukan berita baik untuk didengar hari ini,” Ucop
bersuara dengan nada bimbang.
“Eh, promosi bulan ni termasuk department kau juga, kan?” tanya Su. Dia melihat-lihat naskah leaflet yang dipegangya tadi.
“Mestilah. Ayam ada promosi,” jawab Daisy yang masih lagi
berusaha mengatur nafas.
“Jadi, macam mana?” tanya Kumar.
“Aku dah call supplier.
Mereka kata nak hantar yang lain, tapi tak banyaklah sebab mereka pun dah ada
pembeli lain. Rugilah aku hari ni,” Daisy bercekak pinggang sambil
menggeleng-geleng kepala.
“Bukan salah kau, Daisy. Nak buat macam mana,” kata Aim.
“Mr. Rajesh tu bukan kira, yang penting bussines is bussines. Kau tergolek macam mana pun, bisnes tetap
jalan,” kata Kumar pula. Masing-masing menghela nafas. Walaupun simpati, mereka
tidak dapat berbuat apa-apa.
Dari jauh sudah kelihatan Mr. Rajesh berjalan ke arah mereka
dengan Pak Cik Adam, antara orang kuat security
department. Mukanya, sangat sukar ditafsirkan.
Morning briefing pagi itu Aim rasakan agak tegang sedikit. Aim
merasakan ini bukan seperti morning
briefing yang biasa tetapi seperti sesi post
mortem pula.
Alahai! Pagi-pagi begini sudah dileteri.
Su dan Ucop relaks bersahaja kerana department mereka tidak dikritik. Pak cik Adam dan Joey hanya
diingatkan supaya meningkatkan kawalan keselamatan. Rahmat dipuji kerana departmentnya sentiasa mencatat
pertambahan margin walaupun tidak
banyak. Kumar pula hanya tunduk mendengar bebelan bos kerana pencapaian departmentnya tidak memberangsangkan. Nasib
baik Daisy tidak teruk dileteri Mr. Rajesh kerana pencapaian fresh department sentiasa
memberangsangkan. Hatinya sejuk sedikit apabila Daisy memberitahu bahawa
bekalan masih tetap ada walaupun sedikit. Namun, dalam ramai-ramai itu, Aimlah
yang paling terasa apabila dimarahi kerana walaupun department Aim mencatat keuntungan tetapi kerugian masih tetap
tinggi.
“Kalau tidak kerana promosi bulan lepas, agaknya deparment you paling banyak rugi,”
Mr. Rajesh bercekak pinggang. Matanya membulat.
Uh! Kenyataan membunuh! Ingin saja Aim memprotes.
“Saya akan cuba kurangkan losses. Saya sudah arahkan staf supaya handle barang dengan berhati-hati. Setiap minggu saya buat cycle count. Saya juga check setiap barang yang nak dibuang.”
“Then, I want you to do cycle count everyday. Please,
trace back where your item and make sure give me full record everyday,”
arah Mr. Rajesh.
Alamak, setiap hari? Serius?!
Masing-masing yang hadir memandang Aim. Dalam keadaan
seperti itu Aim hanya mampu mengangguk dengan arahan Mr. Rajesh. Mana tidaknya
Mr. Rajesh tidak puas hati. Department
Aim jarang naik peratus keuntungannya. Jika naik pun, sikit saja. Tidak seperti
department orang lain.
“Jangan tahu angguk saja. Mesti buat,” Mr Rajesh menekankan
perkataan ‘mesti buat’ dengan penuh serius. Kalau boleh, semua jenis bahasa
badan mahu digunakan untuk menekankan betapa pentingnya perkara itu perlu
dilaksanakan.
Aim perasan Rahmat tersenyum sinis kepadannya. Agaknya dia
puas hati apabila kemarahan Mr. Rajesh banyak tertumpah pada Aim berbanding
yang lain. Aim malas mahu berfikir apa-apa. Sesiapa pun bebas memikirkan apa
yang mahu difikirkan.
“Okey. I nak
ingatkan yang bulan ini paling penting berbanding sebelum ini. I akan monitor sales setiap department.
I tak mahu ada kerugian yang teruk lagi,” ketika menuturkannya, Mr. Rajesh
menjeling Aim. Tahulah Aim, ayat itu sebenarnya ditujukan kepadanya.
“Make
sure you achive your target. Remember you’ll get bonus for that achivement.
Okey? That’s all. Thank you. Keep up the hard work,” sambungnya lagi.
Taklimat itu bubar secara automatik setelah Joey meminta
kebenaran daripada Mr Rajesh untuk membuka premis perniagaan pada pagi itu.
Masing-masing bergegas ke tempat masing-masing untuk membuat persediaan akhir
sebelum kedatangan pelanggan.
“Bos memang macam tu. Just
keep the hard work, okey,” Rahmat mendekat dan menepuk bahunya sekali lalu.
Dia kemudian mengambil tempatnya dengan senyum sinis yang masih terukir
dibibirnya.
Sekali lagi Aim malas mahu ambil pusing kata-katanya. Kalau
ikut hati, mahu saja Am cilikan saja mulutnya yang celupar itu. Entah apalah
dendam lelaki itu padanya. Kalau mahu bersaing dari segi keuntungan margin pun, bersainglah secara sihat.
Bukannya menyakitkan hati rakan sekerja sendiri.
Tidak lama selepas itu, kedengaran suara Huda yang
serak-serak basah itu mengumumkan bahawa premis perniagaan akan dibuka dalam
masa lima minit lagi dan meminta semua department
supaya bersiap sedia untuk menerima kunjungan pelanggan. Aim dan semua orang
yang terlibat dalam morning briefing
tadi berkumpul dan mengambil tempat berhampiran pintu masuk premis untuk
memberi ucapan selamat pagi kepada pelanggan awal yang datang ke premis
tersebut. Aim lihat Mr. Rajesh sedang berjalan ke arah pintu masuk utama premis
dengan Pak cik Adam, ketua security
yang bertugas pada pagi itu sambil membincangkan sesuatu dengan kening yang
berkerut-kerut. Edry, ketua maintainance
department kemudian menyertai perbincangan mereka dan Aim lihat kening Mr.
Rajesh bertambah kerut dan kelihatan seperti sudah bersambung. Tapi bukankah Mr. Rajesh itu memang selalu
serius orangnya. Tidak hairanlah hal yang remeh-temeh pun mungkin sangat
diambil berat olehnya.
Orang kata kalau dapat bos perempuan akan selalu dileteri
atau kerap dimarahi. Lagipun, orang perempuan biasanya cerewet walau dalam hal
yang remeh-temeh sekalipun. Tapi karekter seperti itu sesuai benar dengan Mr.
Rajesh pula.
Aim kembali semula ke dalam department setelah berdiri selama 10 minit di pintu masuk untuk
mengucapkan selamat pagi pada pelanggan yang datang awal untuk membeli belah. Sesetengah
pelanggan tersenyum dan mengucapkan selamat pagi kembali namun ada juga yang
pelanggan yang langsung tidak memandang Aim atau staf bertugas yang lain. Ibarat angin saja kehadiran mereka di situ.
Aim sudah tidak kisah. Hati pelanggan perlu dijaga. Biarlah mereka berdiri di
situ ibarat angin sekalipun asalkan tiada aduan pelanggan yang tidak berpuas
hati terhadap mutu perkhidmatan mereka atau barangan mereka.
Aim menebar pandang mencari Ben. Beberapa lorong telah
diselidikinya namun Ben tidak ditemui. Aim mencari pula di bahagian beras. Dia
lihat Ben sedang menyusun beras wangi seorang diri.
“Dah siap semua?” tanyanya. Ben pandang sekilas.
“Mana sempat nak tengok semua. Aku tanda tangan semua item,”
jawabnya sambil menyusun beras wangi 5 kg itu supaya tidak senget.
Aim faham juga keadaan dia. Dia sendiri pun kadangkala tidak
sempat memeriksa semua item kerana kesuntukan masa. Bukan item department mereka saja yang sampai.
Kadangkala item department lain juga
tiba serentak dan perlu menunggu giliran. Mereka juga perlu bertimbang rasa
pada department lain juga walaupun
item department mereka paling banyak
yang tiba.
“Harga ni belum tukar lagi,” Aim menegur Ben ketika melihat
kalendar harga yang dipaparkan untuk harga beras wangi itu belum berubah
daripada harga asalnya.
“Yalah. Nanti aku ubah.”
“Ubah sekarang. Pelanggan dah masuk tu,” tegas Aim. Tanpa
berkata apa-apa, Ben menukar harga pada kalender harga tersebut. Bagaimanapun,
air mukanya jelas menunjukkan dia rimas disuruh-suruh begitu. Biarlah,
memanglah itu salah satu kerja Aim, memastikan staf department menurut arahan orang atasan.
Ben ini daripada dulu kurang sebulu dengannya. Memanglah dia
head department dan boleh dikatakan ‘otai’
di sini, namun jelas sekali yang dia tidak suka menerima arahan daripada orang
baru seperti Aim. Kalau dengan pengurusnya yang dulu, bolehlah dia curi-curi
tulang atau melambat-lambatkan kerja. Tapi kalau dengannya, kirim salamlah.
Biarlah kalau orang kata Aim terlalu skema, Aim tidak kisah. Asalkan dia telah
melaksanakan tugasnya. Dengarnya pengurus departmentnya yang dulu telah
bertukar ke cawangan lain dan berlaku
sedikit rombakan pada grocery department.
Ada staf yang ditukarkan ke department
lain. Staf yang ditukarkan itu pula kononnya sedang ‘berkawan’ dengan Ben. Hal
ini pun Aim ketahui daripada Kak Mona, sumber maklumat bergerak terkini. Kata
Kak Mona;
“Siap bertepuk tampar lagi kalau bergurau. Boleh tolong
hantar balik rumah lagi hampir setiap hari walaupun tak bertugas.”
“Salah ke bergurau dan hantar balik rumah, Kak Mona?” tanyanya.
“Memanglah orang dok mengata kalau lelaki perempuan rapat
semacam. Dia orang bercouplelah tu.”
Memang patutlah wajahnya agak kelat ketika pertama kali Aim
bertukar ke sini. Rupa-rupanya dipaksa berpisah department dengan teman wanita. Bukan jauh, masih di satu tempat
kerja juga. Dengarnya berpindah ke bahagian bazaar
department saja. Aim malas ambil pusing perkara-perkara dalaman yang tidak
mendatangkan faedah seperti ini.
Lagi satu, Ben lebih suka ber-aku-engkau dengan Aim walaupun
dia tahu Aim ini lebih tua daripadanya. Aim tidak kisah kisah walaupun Aim
lebih tinggi pangkat dan juga fizikal daripadanya. Asalkan dia bekerja dan
tidak menimbulkan masalah disiplin.
Bertugas pada pada hari promosi memerlukan Aim melakukan
pelbagai pemeriksaan berulangkali dan perlu sentiasa peka terutamanya harga
yang dipamerkan. Ia mestilah betul dan barangan yang dimaksudkan perlu sentiasa
ada di rak niaga. Selain itu, barangan yang dipromosi juga mestilah sentiasa ada.
Jika tidak, parahlah Aim mahu menjawab dengan Mr. Rajesh kalau bosnya itu
kebetulan meronda bahagian promosi. Barang promosi adalah barang penting yang
akan meningkatkan keuntungan kerana ianya pasti akan menjadi tumpuan pembeli. Pembelian
stok juga perlu seimbang dan cukup supaya barangan sentiasa tersedia sepanjang
promosi untuk menampung permintaan pembeli.
Aim meninggalkan Ben untuk memeriksa Black, salah seorang
daripada dua orang staf department
yang menguruskan bahagian makanan ringan. Black sedang leka menyusun makanan
ringan di rak tersebut dan tidak perasaan Aim sedang menghampirinya. Aim
perasan ada seorang stafnya yang tidak ada lagi.
“Mana Ijan?”
“Tak nampak lagilah, bang,” jawab Black separuh terkejut.
Aim menarik nafas. Musykil benar Aim dengan si Ijan ini.
“Dia tu kan selalu datang lambat,” katanya lagi. Kotak isian makanan ringan yang
telah kosong itu dibuka dan dilipat supaya mudah dikumpulkan dan dibuang nanti.
“Ada orang bakal dapat warning
letter ni,” Aim bercekak pinggang. “Dah check
barang promosi dekat depan?”
Black geleng kepala.
“Lain kali penuhkan barang promosi dekat depan dulu. Situ
laluan pelanggan yang pertama dan juga tempat pertama yang bos akan check dulu. Kau pergi replenish barang dekat depan. Sini
nanti-nanti boleh buat. Kau ambil handtruck
yang dah berisi dengan item kita dekat belakang dan bawa terus ke depan. Aku
tunggu kau dekat sana,” kata Aim.
Alahai, pagi-pagi begini sudah meleteri staf. Maklumlah,
baru kena marah dengan Mr. Rajesh sebentar tadi. Aim tidak suka dimarahi lagi
jika selepas ini Mr. Rajesh meronda lagi dan mengesan kelemahan departmentnya. Malas mahu menadah
telinga.
Rahmat pastilah orang yang paling gembira jika mendapat tahu
Aim dimarahi lagi. Aim tidak sanggup menerima kenyataan tersebut.
Salah Aim juga. Sepatutnya tempat promosi itu yang Aim
kendalikan dulu. Dia boleh saja suruh Black selesaikan dulu di situ. Alahai,
bukankah itu sepatutnya tugas Ijan. Ah, kalau pada waktu pagi-pagi begini,
semuanya mahu dilakukan dalam masa yang sama juga pastinya tidak sempat dengan
staf yang kurang berdisiplin begini. Tanpa membuang masa, Aim ke bahagian rak
promosi dan menyusun dan menyediakan ruang untuk barang yang akan ditambah
nanti. Dia juga memastikan tanda harga yang dipamerkan adalah betul.
“Bang!” Aim menoleh. Black menghampirinya sambil menarik hantruck yang penuh dengan kotak-kotak
berisi barang-barang niaga.
“Ijan baru SMS. Dia kata dia tak datang hari ni,” kata
Black. Dia kemudian memakir handtruck
itu di tepi rak supaya tidak menghalang laluan.
Aim membulatkan mata mendengarnya. “Hah? Kenapa tak datang
kerja?”
“Dia tak cakap
apa-apa pula,” Black jungkit bahu. Dia kemudian memunggah satu persatu kotak mee
segera jenama terkenal yang akan menjadi barang promosi bulan itu ke atas
lantai.
“Suka hati dia saja nak datang ke tak. Ingat ni kedai mak
dia agaknya. Habis tu, jadual kerja yang aku tampal dekat board tu buat perhiasan aje ke?” Aim merungut. Black angkat bahu.
Pandangan Aim kemudian menangkap kelibat Mr. Rajesh sedang
melihat-lihat fresh department sambil
membelek-belek kobis bunga yang masih lagi berbungkus dengan kertas
pembungkusannya. Kelihatan Mr. Rajesh sedang mengarahkan sesuatu kepada pekerja-pekerja
di sana. Kemudian Daisy menghampiri Mr. Rajesh dan berkata sesuatu. Dia
mengangguk-angguk tetapi Mr. Rajesh kelihatan masih tidak berpuas hati. Pasti
ada perkara yang tidak berkenan padanya menyebabkan dia kelihatan tidak senang
seperti itu.
“Black, cepat sikit buka kotak tu. Kita susun sebelum Mr. Rajesh check sini pula,” kata Aim.
No comments:
Post a Comment