Friday, 15 November 2013

Vehaen: Satu Cerita (Bab 2): Ainul Farihah


Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala 
[Sebuah Pertemuan – UNIC]

Rif’at mengekalkan senyumannya meskipun Imran masih lagi dengan muka toyanya, seperti kali pertama dia menghulurkan senyuman pada malam itu.
“Aku Rif’at,” tangannya dihulur.
Pergi main jauh-jauh laa..Imran memandang sepi huluran tangan tersebut. “Kau nak apa?”
“Aku nak duduk di sini, boleh?” Dengan sopan, Rif’at bertanya.
Imran mengalih pandangan matanya. “Ada tulisan ‘dilarang duduk’ eh kat situ?”
Rif’at ketawa kecil, langsung tidak terasa dengan ayat kasar yang terkeluar dari bibir Imran. Lantas dia melabuhkan punggungnya di buaian yang kosong itu. Imran menyambut kasar buku di tangan Rif’at itu.
“Ini mesti kes malas belajar, kan?”
Imran mengangkat muka, memandang Rif’at dengan wajah tidak senang. E’eh, kau.. Suka hati akulah…
“Okay, aku faham. Kau tak suka,” Dengan suara yang bersahaja, Rif’at mengalih pandangan.
Sengih kecil menghiasi wajah Imran. Automatik. Bukan sengaja dia nak sengih. Sumpah. Tak dapat dinafi, dirinya sedikit terhibur dengan gaya selamba Rif’at. Hatinya senang, tak tahu mengapa. Okay, you lose. Kalah dengan apa?
“Tapi betul pun, lagi-lagi tahun ini PMR,” Imran membalas. Cuba sekali sekala jadi sikit punya baik laa…
Rif’at mengangguk. “Betul. Tapi kita kena ingat, belajar bukan untuk periksa sahaja. Ilmu itu, untuk amalkan dalam kehidupan…”
“Kau…jangan buat ceramah free tengah-tengah taman ini,” Imran melenting kecil sambil matanya menjeling tajam ke arah Rif’at. Sengih terus  hilang. Itu juga automatik.
Ketawa kecil meledak lagi. “Ok…ok..aku tahu,”. Rif’at sendiri sedia maklum bahawa Imran pastinya sudah lali mendengar peringatan sebegitu daripada ayahnya. Mana tidaknya, kadang-kala dia turut merasa tempias ceramah ayah Imran. Ceramah free itu diadakan tidak tentu masa, tapi lokasi biasanya adalah bilik Imran. Tak hairan jikalau dia berada di biliknya, ceramah Ustaz Azhar Idrus pun dia boleh tutup kejap untuk dengar ceramah Pak Cik Rosli.
“Tapi aku cakap betul apa…”
“Aku tak cakap salah,” Imran memandang rumput.
Suasana hening seketika. Tiada yang bersuara.
“Oh, ya. Kau tak bagi tahu lagi nama kau siapa?” Rif’at mengingatkan.
Imran menatap Rif’at. “Kau dah tahu, kan?”
                                                                  ^_^
“Ish, tepilah,” Imran menolak Afiq.
“Oi, mana pergi rukun negara kelima kau, hah? Kesopanan dan kesusilaan,” Afiq memerli.
Imran mendengus, “Ingat panggil orang ‘Oi’ tu sopan sangatlah?”.
“It’s a thousand times better than tolak orang tak tentu pasal,”. Afiq ketawa. Malas mahu melayan kerenah Imran yang semakin menjadi-jadi apabila diusik. Sendiri juga sedia maklum dengan sikap adiknya yang panas baran itu.
“Tadi, jiran sebelah tu tanya nama kau,” Afiq berkata. Tangannya ligat membancuh  teh’ O panas.
Imran mengangkat kening. “Sibuk je…”
“Baik kau kawan dengan dia…” ujar Afiq.
“Kejap..” Imran laju memotong. Nafas ditarik dan dihela. Telinga digosok. Afiq hanya memerhati dengan riak wajah pelik.
“Kau buat apa?”
Imran sudah bersedia menadah telinganya bagi mendengar ceramah yang bakal keluar dari mulut abangnya. Fitrah keluarganya barangkali, hebat benar dalam menyampaikan ceramah. Kecuali dirinya. Imran tersenyum nakal memandang abangnya. “Tadah telinga untuk ceramah Al-Fadhil Al-Marhum Ustaz Afiq Hafiz bin Rosli…” Ambik kau, semua gelaran ustaz yang pernah sekali dua bergema di telinga disebut. Lantaklah apa maksudnya…
“Al Marhum kau, aku belum mati,” Afiq mengacah penumbuk.
Imran ketawa kecil. “Dipersilakan ustaz untuk menyambung ceramah, dengan segala hormatnya..”
“…. daripada kau kawan dengan mamat-mamat motor yang tak ada akhlak itu. Rif’at itu baik akhlaknya, mesra pulak tu,” Afiq menyambung. Sekali sekala melayan ‘kecacatan’ perangai si adik.
Imran mengangkat muka, merapati abangnya. “Apa nama dia tadi?”
“Pergi tanya sendirilah,” Afiq menolak tubuh Imran agar menjauhinya.
“Jahat,”.
“Kau lah jahat,” Afiq menghirup teh’ O panas buatannya. Beberapa saat kemudian, mimik mukanya berubah sebelum dia tersedak. Lidah dijelir keluar. Bukan kerana melecur kepanasan, tapi kerana rasa yang mencemarkan deria rasanya bagi secawan teh’ O.
Masin?
Ketawa Imran berderai. “Kau tak pandai buat teh’ O,”.
“Cis, siap kau Imran,” Afiq mengepal penumbuk setelah menyedari sesuatu. Bekas garam yang terbuka dan sudu kecil kedua yang berada di sebelah sudu kecil yang digunakan untuk mengacau airnya.
Imran ketawa lagi. “Garam, resepi baru teh ‘O,”.
“IM!!”
Langkah seribu dibuka. Imran berlari keluar ke halaman rumah sambil memandang muka Afiq yang kelat akibat menghirup teh’ O masin. Dia berhenti. Nafas tercungap-cungap. Dia merebahkan diri di atas rumput, menghadap langit.
Dadanya masih berombak, lalu nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Penyakit asthmanya sudah lama tidak menyerangnya.
“Rif’at…” nama itu terkeluar dari bibirnya. Hakikatnya, nama itu benar-benar menarik perhatiannya.
                                                                  ^_^
“Hei, termenung..” Suara Rif’at yang memecah suasana hening menghentikan lamunannya.
Imran sengih, mengenangkan kenakalannya itu. Nakal…natural laa tu.
“Sengih sorang-sorang pula,” Rif’at hanya memerhati.
“Sibuklah,” Imran berkata. Nafas dihela sebaik sahaja buku sains di tangannya menghiasi pandangan. “Lagi-lagi belajar. Ayah aku ‘gantung’ keyboard Casio kesayangan aku, sampailah aku cemerlang dalam PMR nanti,”.
“Ouh,” hanya itu yang terkeluar dari mulut Rif’at. Patutlaa…
“Kenapa?”  Imran memandang kehairanan. Rif’at hanya menggeleng.
Nafas dihela. “Serabut aku,”.
Rif’at di sebelah seolah-olah rakan yang sudah lama dikenali. Automatik lagi. Tiada rasa kekok meluahkan rasa padanya.
Rif’at hanya senyum.. “Nak berjaya, memang kena usaha lebih. Tapi, kalau kau betul-betul serabut dengan pelajaran ni, aku boleh tolong,”.
“Heh, orang macam aku ini, kalau dah tak minat belajar, mana ada harapan dah,” Imran mencebik. “Nak top up form 1 dan form 2 punya 9 subjek? Jangan haraplah…”
“Siapa kata?”.
“Akulah…kau ada supernatural ke sixth sense yang buat kau boleh nampak dan dengar orang lain bercakap selain aku yang ada kat sini?”
“Pap!”
Satu tamparan lembut hinggap di bahu Imran.
Loyar buruk lagi,” Rif’at memandangnya. Kerek jugak mamat sorang ni…
“Apa pukul-pukul?” Sensitif.
Rif’at ketawa kecil. Mesranya mereka terbina tanpa sedar. Serius auto... “Aku serius nak tolong kau, Imran Fatih,”.
Imran mencebik lagi. “Tengoklah macam mana,”. Diri sendiri masih berkira-kira. Ikutkan hati, mestilah reject awal-awal kalau bab belajar ni. Tapi kalau macam tu, sama gayanya macam reject keyboard  kesayangan sendiri.
Rif’at berdiri. “Dah nak maghrib, aku nak balik,”. Tangan dihulur.
Kali ini hulurannya bersambut.
“Jangan kacau hidup aku lagi,” Imran sengih memandang Rif’at. Main je bro…Hakikatnya perasaan serabut ketika Rif’at mula-mula mendekatinya tadi  hilang entah ke mana. Berganti dengan rasa senang. Kebiasaannya, budak baik macam ni masuk dalam kategori alim yang dirinya sendiri allergic dengan budak macam tu, tapi yang ini macam lain. Lain baginya, mungkin.
Baru sahaja beberapa langkah pergi meninggalkan Imran, Rif’at berhenti lalu berpaling.
“Kau tahu…” Bagai tercekik, Rif’at terhenti. “…sejak alunan melodi dari keyboard kau berhenti, aku… macam hilang inspirasi untuk siapkan homework  tiap-tiap malam…”.
Imran kaku, namun riak muka toyanya dikawal. Wajib control, bro. Kening sebelah terangkat, menanti Rif’at menghabiskan ayatnya yang kedengaran tergantung.
“Jadi cepat-cepatlah dapatkan balik keyboard Casio kau tu, ya..” Rif’at menyudahkan ayatnya sambil melontar senyuman ke arahnya. Salam diungkap sebelum langkah menuju ke rumah diteruskan.
Imran terpempan. Salam berjawab hanya di dalam hati. Langkahan Rif’at yang semakin jauh meninggalkan dirinya hanya dipandang sepi.
“Rif!”
Rif’at berpaling.
“Esok pagi, datang rumah aku,” Imran berteriak, malas mahu bangkit dari buaian.
Giliran Rif’at pula mengangkat sebelah kening, sebagai tanda tanya.
“Ajari aku,” Skema giler.. Entah macam mana tajuk lagu Ajari Aku- Anuar Zain pula terkeluar. Imran sengih. “Aku nak keluar dari keserabutan ni,”. Biar skema, peluang tetap peluang.
Ayat terakhir Imran benar-benar membuatkan bibir Rif’at mengukir senyum. Bukan sebarang senyum,  malahan senyum yang mengundang bahagia di hati yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.
Salam ukhuwah, Imran Fatih. Hati mengungkap riang.
                                                                  ^_^
SABTU.
 Sabtu yang sama seperti sebelumnya, cerah dan awan-awan pula berarak seperti biasa. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa, langsung tidak membawa perkhabaran bahawa hari itu akan hujan, tenang sahaja.
Cuma yang menjadi perbezaan untuk hari itu adalah wujudnya dua hati yang bahagia dalam sepi masing-masing. Dua hati yang telah terikat tanpa sedar atas aturanNya yang cukup sempurna.
“Pap!”
Rif’at menjeling Imran. Entah kali ini sudah kali ke berapa Imran menghempas buku ke meja.
Haih…“Apa lagi?”
Imran menyembamkan mukanya ke meja. Jari telunjuknya menunjuk ke arah satu muka surat dalam buku  yang dihempasnya tadi.
“Aku tak faham bahagian ni. Dari tadi aku baca, tak masuk-masuk dalam otak,” keluhan Imran mengundang gelengan spontan Rif’at. Pelbagai gelagat Imran ketika belajar sudah dihadapinya sejak awal sesi pembelajaran mereka.
Tangan Rif’at menggenggam bahu Imran lalu menolaknya agar duduk tegak. Imran menepis tangan Rif’at.
“Jangan pegang aku lah. Haram,” ujar Imran.
Rif’at segera menarik tangannya menjauhi Imran sebelum apa-apa tindakan refleksi Imran hinggap di tangannya. “Suka hati kau, lah. Sekarang tutup buku,”.
Pantas sahaja riak gembira menghiasi  wajah Imran. “Dah boleh rehat?”
“Banyaklah, kau. Sekarang tarik nafas perlahan-lahan…”
Kata-katanya dipotong. “Buatlah sorang-sorang,”.
Rif’at mengukir sengih. “Kalau kau nak balik keyboard kesayangan kau tu, ikut apa aku suruh,”.
Cess…main ugut-ugut,” Imran akhirnya mengalah. Nafas dihela dan dihembus perlahan mengikut rentak Rif’at.
“Alhamdulillah..” ujar Rif’at perlahan. Imran menjeling. Rif’at nampaknya sangat menghayati setiap nafas yang dihela dan dihembus, juga ketenangan dan kesyukuran terpancar di wajah putihnya saat kalimah ‘alhamdulillah’ dilafazkan.
“Itupun aku kena ikut?” Pertanyaan Imran mematikan konsentrasi Rif’at terhadap penghayatannya.
“Ikut je lah, tak salah pun,” ujar Rif’at. Perlahan kalimah tahmid keluar dari mulut Imran.
Buku kembali diselak. “Kau tahu…” Kata-kata Imran terhenti.
“Hmmm?”
“Aku dah lama tak ucap ‘alhamdulillah’. Macam tadi..” perlahan sahaja suara Imran berkata-kata.
“Baguslah. Nampak tak?”
“Apa?” Ke kanan dan ke kiri kepalanya menoleh.
 “Allah sayang pada kau lagi. Dia bagi kau peluang untuk ucap syukur hari ini,” Rif’at menjawab sambil matanya fokus terhadap bahan bacaan di hadapan matanya itu.
Ingatkan apa..Imran mengangguk. Dalam hati, dia membenarkan kata-kata Rif’at. “Tapi, kenapa kau nampak macam sangat…umm…” Perkataan yang sesuai dicari. Maklumlah, tatabahasa tak sehebat mana.
“Menghayati?”
Imran memetik jari. “Yeah, that’s it..feeling habis lah kata lainnya,”.
Rif’at mengangkat wajah. “Setiap perkara yang kita buat, Imran, kalau tiada penghayatan, tak guna juga. Kau nak tahu apa yang dorong aku untuk terus menghayati rasa syukur aku pada Allah?”
Imran hanya diam, tidak menjawab. Mestilah nak tahu…
“Setiap kali aku tarik dan hela nafas, aku selalu teringat pada saudara-saudara kita di Palestin sana, Imran. Kadang-kadang, aku rasa bertuah. Nasib aku tidak  serupa mereka, yang kadang-kadang tak ada masa pun untuk tarik nafas,” Rif’at menghela nafas.
Imran mencebik. “Takkanlah tak ada masa langsung,”.
“Ye lah. Cuba bayangkan, baru sahaja kebumikan ahli keluarga yang meninggal, dapat pula perkhabaran saudara lain pula ditembak mati zionis. Tak cukup dengan tu,  rumah kena bom, sekolah kena hancurkan…” Rif’at berkata.
“Tak semua mereka macam tu kan?”
Haih..budak sorang nih.. “Itu perumpamaanlah!”
Imran ketawa.  Senang dengan nasihat yang diberi Rif’at. Tidak pula dirasakan nasihat kali ini sebagai ceramah seperti yang selalu membuatnya lali untuk terus mendengar.
Masih berdiri di sebalik benteng keegoan, Imran dengan muka toyanya berlagak tidak mendengar. “Ada lagi?”.
Rif’at hanya tersengih. “Ada,”. Tanpa menanti respons Imran, bicara diteruskan. “Bagi budak di Palestin sana, muka mereka hanya boleh tersembam ke tanah apabila perjuangan mereka mempertahankan tanah suci itu berakhir. Yakni tersembam dalam syahid fi sabilillah,”.
Terpukul.
Itu yang Imran rasa ketika itu. Rif’at tersenyum sinis, menyembunyikan wajahnya di balik buku yang dipegangnya.
Segera dia menggeleng. “Bahasa yang aku faham, please?”
“Mati di jalan Allah,” Tawanya pecah juga akhirnya. “Esok belajar bahasa arablah,”.
“Jahat, kau, Rif’at,” Imran mengacah hendak membaling buku teks sains ke arah Rif’at. Tawa mereka berderai.
Di kejauhan, Afiq memerhati dengan dada yang penuh lapang. Syukur, adiknya sudah menemui seorang sahabat yang perlahan-lahan akan mengheretnya keluar dari lembah kegelapan dunianya sendiri.
Sepenuh kepercayaan dan harapan diletakkan pada Aamir Rif’at.

No comments:

Post a Comment