Wednesday, 27 November 2013

Sekaki Payung Merah Jambu (Bab 4): Orked V.


“UIH, tension aku dengan orang tua tu,” kata Daisy sebaik saja dia menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Kumar dan Aim pada waktu rehat pertama hari itu. Rehat pertama memang waktu rehat paling ramai orang. Kebanyakannya mereka memang pekerja-pekerja daripada bangunan yang berdekatan.
“Kenapa?” tanya Kumar. Dia baru menghabiskan suapan terakhir nasi lemaknya manakala Aim sudah pun selesai menikmati roti canainya.
“Entah? Aku tahulah ayam aku lambat sampai. Tapi ada saja benda yang tak kena dekat tempat aku. Itulah, inilah. Aku nak buat kerja pun susah, lambat jadinya. Bila lambat dia bising pula. Uih, tension!” Daisy merungut. Pertuturan gadis berbangsa Cina itu memang cepat hinggakan Kumar kadangkala sukar menangkap butir percakapannya.
“Apa-yang-susahnya?” tanya Kumar lagi. Dia sengaja menyebut perkataannya sepatah demi sepatah supaya lebih jelas. Aim tahu Kumar itu sedikit menyindir Daisy supaya bercakap dengan perlahan-lahan dan tenang.
“Dah dia asyik panggil aku suruh tengok itu ini, macam mana aku nak siapkan kerja aku dengan cepat,” katanya dengan nada tidak puas hati. Agaknya Daisy masih belum memahami maksud Kumar kerana gayanya bercakap masih seperti keretapi laju yang pantas mengejar waktu perjalanan. Dia juga bukan saja pantas dari segi pertuturan, tetapi juga dari segi perbuatan kerana sebaik sahaja menghabiskan ayatnya tadi, dia terus memanggil seorang pekerja kedai mamak tersebut.
“Bang, nak teh tarik!” laungnya.
“Makan?” tanya pekerja dengan nama Rahmat tersebut. Man, rakan sekerja mereka selalu berkata bahawa Rahmat di luar ini sangat baik berbanding Rahmat yang di dalam. Rahmat di luar merujuk kepada pekerja restoran mamak yang ramah ini manakala Rahmat di dalam merujuk kepada Rahmat, rakan sekerja mereka di bahagian appliance department yang susah hendak senyum dan sentiasa mahu menjadi pekerja contoh itu.
“Nak roti bakar,” pinta Daisy.
“Okey, siap!”
Memang balasan yang sama setiap kali mereka makan di situ. Belum siap pun mereka akan jawab siap. Sebaik saja Rahmat memusing tubuh, Daisy bersuara lagi.
“Bang, cancel order tadi. Nak nasi lemaklah, boleh?”
“Fikiran dia pun cepat bertukar,” bebel Aim kepada Kumar.
“Boleh, boleh,” Rahmat memusing tubuh mengadap Daisy semula. “Nasi lemak daun atau nasi lemak biasa?”
“Nasi lemak daun dengan telur mata satu. Setengah masak, ya,” jawab Daisy.
“Okey, siap!” jawabnya. Rahmat kemudian meneriakkan pesanan Daisy kepada rakan-rakannya di belakang.
“Laju, macam bertih jagung,” komen Kumar. Kagum mungkin dengan kepetahan Daisy.
“Apa?!” tempelak Daisy apabila melihat reaksi Aim dan Kumar.
“Tak ada apa-apa,” ujar Kumar sambil sengih.
“Ayam kau dah sampai ke?” tanya Aim, mengalih topik.
“Dah. Kalau kau berdua nak tahu, trak ayam yang accident tu okey. Tak accident teruk pun. Ada kereta langgar dari belakang masa berhenti dekat lampu isyarat.”
Pesanan teh tarik Daisy tiba.
“Apa jadi dekat kereta tu?”
“Kemek sikit dekat depan saja. Kereta itulah yang salah tapi nasib baik impak tak kuat. Ayam aku pun selamat.”
Nasi lemak berbungkus daun pisang dan telur mata kerbau separuh masak pula tiba dengan dengan piring yang berasingan. Kali ini Rahmat yang menghantar pesanan tersebut. Dia kemudian bergegas melayan pelanggan lain pula.
“Ayam tu macam mana?”
“Aku dapat balik ayam aku walaupun lambat,” katanya tersenyum sambil membuka nasi lemak daunnya.
“Jadi kau taklah rugi sangat hari ini,” ujar Kumar.
“Bolehlah,” Daisy angkat bahu sebelum mula menyudu nasi lemaknya.
“Dengan Daisy, tak ada pula Mr. Rajesh tu naik hantu. Dengan aku bukan main banyak lagi yang tak kena. Sekarang ni pula, tak fasal-fasal aku nak kena trace balik item-item lama yang ‘berkurun’ dekat dalam stor tu,” kata Aim.
“Kau janganlah putus asa. Ada juga kebaikannya. Nanti masa buat inventory, memudahkan kerja kau juga,” kata Kumar.
“Kau nak ke buat macam tu?” Aim membalas kata.
Kumar tersengih saja tanda dia pun tidak mahu kalau perlu melakukan perkara yang sama seperti Aim.
“Buat cycle count tu satu hal, yang kononnya nak hantar cycle count report tu dekat dia setiap hari apa kes? Nak ngadap dia hari-hari?”
“Dia raja dekat sini. Kenalah mengadap dia dengan tertibnya setiap hari. Kau menteri besar kot dekat sini. Tak ada grocery, tak ‘jalan’ tempat ni,” kata Kumar sambil tersenyum-senyum.
“Kau saja, kan!” marah Aim.
Beberapa minit kemudian, kelihatan Kak Mona keluar dari staff entrance dan kelihatan sedang menuju ke restoran tersebut. Melihat saja meja Aim, Kak Mona melambai sambil tersenyum.
“Makan apa?” tanya Kak Mona lalu duduk bertentangan dengan Daisy.
“Kami makan nasi lemak,” jawab Aim.
“Nasi lemak aje. Tak boring ke?” tanya Kak Mona lagi.
“Akak tak nak belanja kami. Kalau tak, boleh aje kami order yang best-best sikit,” kata Daisy.
“Eh, kau ni. Sepatutnya orang muda belanja orang tua. Bukan orang tua belanja orang muda,” tukas Kak Mona.
“Akak kan dah lama makan garam dari kami. Sebab itulah kami bagi penghormatan dekat akak untuk belanja kami pula,” kata Daisy lagi.
“Pandai kau loyar buruk sekarang ni, ya. Dulu masa mula-mula kau datang kerja sini, bukan main sopan santun lagi,” jeling Kak Mona.
Daisy tertawa mendengar kata-kata Kak Mona.
“Hah, ketawalah lagi. Nampak bos baru tahu,” usik Kak Mona.
“Buat apa pula saya nak takut. Ini waktu rehat saya,” tukas Daisy.
“Cakap pasal bos ni, kenapa pagi tadi mood dia semacam saja?” tanya Kumar.
“Entah. Memang macam itu gaya dia. Nak kata gaduh dengan bini, dia tak ada bini,” kata Kak Mona.
“Dia tak ada bini? Takkan umur macam dia tu tak kahwin lagi,” tanya Aim ingin tahu.
“Dia tu duda tanpa anak. Kau tak tahu ke?” jawab Kak Mona. Aim dan Kumar geleng kepala manakala Daisy khusyuk menghabiskan nasi lemaknya.
“Kau orang ni dah kerja sini bukan sebulan dua. Pasal bos sendiri pun tak tahu?” tanya Kak Mona tidak percaya. Ada sedikit rasa riak dalam nadanya apabila mereka tidak mengetahui apa yang diketahuinya.
“Kami bukan macam Kak Mona yang serba tahu. Kak Mona kan orang lama, lagi tahu hal ehwal dalaman dekat sini daripada kami,” puji Aim. Kak Mona nampaknya menyenangi pujian itu. Dia merapatkan kerusi dan mula berkata dengan perlahan supaya tidak didengari orang lain.
“Akak dengar bini dia tinggalkan dia sebab tak tahan perangai dia tu. Dengar kata pula, bos kita tu panas baran. Pernah pukul bini dia. Mana taknya kawan tu lari,” kata Kak Mona.
“Mana akak tahu?” tanya Kumar separuh berbisik.
“Aku tahulah,” jawab Kak Mona. “Aku ada sumber-sumber yang boleh dipercayai.”
“Tapi, kak. Kita tak boleh judge a book by its cover,” kata Daisy dengan nada sedikit tegang.
“Kau sendiri boleh tengok sikap dia macam mana dengan kita, kan?” ujar Kak Mona. “Apatah lagi dengan bini dia. Kalau akak, akak pun lari juga.”
“Mana akak tahu? Entah-entah, Mr. Rajesh tu kalau depan bini dia pijak semut pun tak mati,” sengaja Kumar menimbulkan keraguan.
“Tak, dia bukan orang yang macam tu. Akak percaya seratus peratus sumber terdekat akak tu,” bela Kak Mona.
 “Saya dah selesai makan,” kata Daisy tiba-tiba. Dia menghabiskan tegukan teh tarik terakhir sebelum bangkit.
“Pergi dulu,” kata Daisy lalu meninggalkan meja mereka dengan langkah yang cepat.
“Kenapa dengan budak Daisy tu?” tanya Kak Mona setelah Daisy jauh meninggalkan mereka.
“Dia memang nak cepat kak, sebab nak uruskan ayam-ayam dia yang lambat sampai tadi,” kata Aim.
Aim dan Kumar sebenarnya sudah sedia maklum yang Daisy memang kurang senang mendengar keburukan orang lain. Walaupun kadangkala sikap Mr. Rajesh menyakitkan hati mereka, namun mendengar keburukan orang tersebut pun bukan perkara yang menyeronokkan juga.
“Ooo, akak ada dengar trak yang bawa ayam dia tu accident, kan?” tanya Kak Mona.
Aim pandang Kumar yang senyum aku-dah-agak-dah, faham dengan sikap Kak Mona cepat mengetahui pelbagai perkara yang berlaku.
“Kak, kami pun nak gerak ni,” kata Kumar sambil bengkit dari kerusinya.
“Eh, akak baru nak makan ni,” kata Kak Mona tidak berpuas hati kerana ditinggalkan seorang diri.
“Maaf kak. Waktu rehat kami dah habis ni,” kata Aim pula. Memang benar, mereka sepatutnya masuk bekerja semula 5 minit yang lalu.
“Kau kalau dengan akak memang berkira, kan?” kata Kak Mona dengan nada merajuk.
“Eh, taklah. Apa pula berkira. Lain kali kalau nak makan, ajak saya. Saya belanja,” kata Aim cuba memujuk.
“Haa, yalah. Lain kali tau,” kata Kak Mona.
Sebaik tiba di staff entrance, masing-masing mengimbas kad semula.
“Lain kali? Lain kali tu bila. Waktu rehat kita dengan Kak Mona mana sama,” kata Kumar.
“Entah. Lain kalilah,” Aim jungkit bahu sambil tersengih.

No comments:

Post a Comment