Wednesday 4 September 2013

Sungguh, Aku Jatuh Hati (Bab 3): Zarra Zuyyin


KELUAR SAJA daripada bilik air, tangan ligat mencapai botol minyak gamat. Penutup aku buka. Bau minyak gamat yang agak kurang menyelerakan itu membuatkan kepalaku pinar seketika. Aku baring semula atas katil. Kain cadar yang sudah berkedut seribu. Selimut yang entah ke mana bergumpal. Berselerak. Dah bukan macam bilik anak dara. Sekali pandang bilik anak teruna pun lagi kemas dan teratur. Aku bukan pemalas yer. Sangat tidak signifikan okey. Aku ni dah macam pesakit yang boleh diletakkan dalam tahap kritikal tahu. Sakit perut yang bukan main-main lagi. Cubaan pun bukan. Dengan keadaan macam sekarang, niat untuk menjadi dara pingitan harus aku tolak ke tepi dulu.
Dengan tangan yang terketar-ketar, hidung yang kembang kempis menahan bau, gagah jugak menuang lalu menyapu minyak gamat yang berwarna hitam ini atas perutku. Mengurut entah pusing mana-mana, janji minyak rata. Sesekali aku mengaduh kesakitan. Terus teringat dekat mak.
Huwaa…Mak, Yang sakit!
Telefon Nokia 6020 bergegar-gegar di atas meja solek. Serasa mahu terbalik botol-botol bedak. Telefon yang bakal mengisi borang arkib Negara, bak kata bos aku tuan insiyur. Gasaklah. Kesayangan aku kut. Kata bos aku tu, telefon tu orang bagi percuma pun tak nak. Haih, biarlah buruk rupanya pun. Janji kredit ada! Harapkan pakai telefon yang canggih sentuh sana sini, tapi bil tetap kena potong, tak guna jugak! Makan cili hantu sekali aku bersuara.
Skrin terus berkelip-kelip, gegar-gegar makin galak, mohon untuk dijawab. Aku pandang, lama. Malasnya lah! Aku yang sedang baring terasa payah benar untuk bangun. Karang kalau tak jawab, mana tahu ada urgent ker, kan dah menyesal. Okeylah, aku bangun. Baru membetulkan kaki yang sedang elok mengerekot, sudah senyap. Aku pandang telefon , tak bunyi pulak. Okey. Baru hendak letakkan kepala di atas bantal, bunyi lagi. Baru kaki jejak lantai, senyap. Okey, aku duduk saja di atas katil. Dua minit, senyap saja. Aku tepuk-tepuk bantal, kemudian baru hendak baringkan kepala. Gegar lagi!
Aiseh, berasap aku. Main-mainkan aku yer. Aku campak kau karang. Biar bercerai talak 10. Kali ini aku biarkan lama. Aik, tak berhenti pulak. Cepat-cepat slippers yang ada muka Kitty aku sarung dan dua langkah sahaja, telefon itu sudah aku tekan butang on.
Hello sayang.” Aku la, alergi betul kalau orang telefon tak bagi salam. Main terjah je ikut sukahati dia.
“Assalamualaikum....” datar.
Ada tawa di hujung talian. Aku ni dah makin berasap.
“Yang...”. Dah datang angin senget dia tu.
“Apa yang-yang?” tanyaku laju-laju.
“Ish, datang bulan ke Yang?”
Aiseh, main-main dengan pulak hal keperempuanan ni. “Yeop nak mende ni?” tanyaku. Nada suara makin tidak terkawal.
Tangan mula memegang perut. Dah sakit balik ni. Kulepaskan nafas yang tertahan-tahan. kerut-kerut sudah muka menahan sakit. Kulabuhkan duduk di birai katil. Untuk terus berdiri rasanya tidak mampu.
“Kamu ni Yang, garang bebenor. Lari orang nak mengorat kamu tau.” Aku sengih. Tu keluar dah gen sakat keji galak dia.
“Ala Yeop. Luar je garang, dalam hati ada taman tau.” Aku pun sudah terbias gen yang sama. Anak-anak Pak Haji Mad kan memang waris kuat gen sakat keji ni.
“Kamu ni bila nak kawen?” Diam. Tangan kanan menekan perut, tangan kiri memintal-mintal rambut yang kuikat tocang satu.
“Kamu dengor ke idak ni?” Naik satu oktaf. Haish, aku ni amatlah tak gemor nak buka cerita bab nikah kawen ni. Ngeri aje rasa.
“Ker kamu tunggu orang jauh ni?” Ceh, Yeop aku ni memang betullah. Buat apa buka hikayat cerita tu.
“Mana ada Yeop. Yang ada banyak lagi tujuan hidup ni. Bab kahwin Yang letak nombor yang last.
“Haaa, kamu kaborlah macam tu dengan mak. Tahulah nasib kamu. Silap haribulan, mak terima aje sapa-sapa jadi menantu dia.” Gelak jahat kamu ni Yeop.
Badanku tegak. Rambutku sudah kusut. Yeop ni memanglah, kuat benor gen sakat keji tu.
“Takkan orang gila pun mak nak terima. Mak tak sayang Yang le tu namanya...” ujarku lirih. Kalau betul cakap Yeop, memang masak aku sampai rentung.
“Yeop, kalau mak pakse Yang kawen, Yang lari.“ aku buat-buat suara serius.
“Mana kamu nak lari? Kamu jangan cari hee…”aku pula kena ugut balik.
Apa kena la dengan hidup aku seminggu dua ni. Baru semalam mak telefon, bangkit isu yang sama jugak. Macam udah tak de cerita lain gamaknya. Cuba le tanya berapa rega saham dekat Bursa Saham KL tu ke, tanya minyak Ron 97 bila nak turun rega ke. Paling takpun, bila kebau Pak Seman nak beranak lagi. Ada jugak faedahnya tu.
Ini, cerita bab nikah kahwin. Bab munakahat masa tingkatan lima pun aku tak habis khatam lagi. Semalam mak, hari ni Yeop, esok Nyah, lusa jangan kate abah pula. Memang lah…komplot satu keluarga nak gulingkan prinsip hidup aku!
Perut makin bergelojak. Serasa macam usus-usus aku sedang bersimpul dengan jayanya. Adeh..
“Yeop..yeop...” putus-putus sudah cakapku sambil menahan sakit.
“Haaah, naper nyer?”
“Yang nak letak dulu lah..”
“Kamu tu memang...” Haiya.
“Yeop, Yang sakit perut ni...” gumamku perlahan.
Tanpa sempat aku dengar apa yang Yeop nak bebelkan aku, terus sahaja aku lemparkan telefon atas katil lalu memecut ke bilik air. Orang sakit perut, sudah 7 kali masuk keluar bilik ayor ni. Silap haribulan aku angkut je bantal dengan selimut masuk bilik ayor.
Ini semua sebab cicah roti dhoom dengan kari kambing! Agak-agak kalau aku nak saman orang yang menyebabkan aku makan macam tak cukup mangkuk semalam aci tak? Ngee. Ini semua tuan insiyur punya pasal. Sahih! Sengaja aje dia. Tak cukup di pejabat mendera aku, dekat luar pejabat pun sama. Apalah dosa aku pada dia? Sudahlah kawan-kawan serumah sedang elok berdating, tinggallah aku seorang diri melayan sengsaranya sakit perut. Nasib badanlah. Sudahlah tiada orang yang sudi nak dating dengan aku, sakit perut pula. Memang betullah kome ni Nani.
Nampak gayanya memang tak boleh jadi kalau macam ni. Badan memang totally lembik. Serupa orang Somalia yang tak makan seminggu. Aku duduk meleper atas sofa. Kipas angin kulajukan dengan remote control. Nak bangun pun tak larat, kata nak bangun nak angkat kaki pun terasa payah amat.
Larat ke tak larat ke, aku kena larat jugak untuk ke klinik. Kena jugak. Kalau tak memang mati kering aku dalam rumah. Asyik ulang alik masuk bilik ayor. Tak menahan lah! Lambat-lambat aku capai cardigan hitam labuh sintak ke paha, menutup tshirt lengan pendek yang tersarung sejak semalam. Kemudian, tudung hitam sarung siap atas kepala. Stokin aku capai lalu aku sarungkan di kaki. Sakit, sakit juga, aurat tetap kena jaga. Prinsip dan ajaran Pak Haji Mad wajib aku ingat. Perlahan-lahan aku bangun. Sampai dekat meja makan, aku duduk semula. Letihnya!
Letihnya nak mengatur langkah. Kepala sudah terasa berpinar-pinar. Aku gagah juga berjalan sampai ke muka pintu, membuka pintu, menyarung selipar kemudian kunci semula gril rumah. Masa ini kepala memang sudah berpinar-pinar.
Nampak kabur-kabur jiran depan rumah. Dia senyum? Entah. Kabur. Ahh, pedulikan. Cahaya matahari yang menyilau menambahkan rasa tidak selesa. Aku tekan butang on pada remote kunci, belum sempat aku capai pemegang pintu, mata aku sudah kian kelam. Tak lama, akhirnya rasa kelam terus. Langsung tak nampak apa-apa.
“Eh..awak…” aku dengar suara itu dan aku tahu ada yang memaut badan aku. Kelam!

Bau ubat yang semakin mengasak deria hiduku. Ini bukan bau minyak gamat. Ini bau macam dekat hospital. Hospital?! Aku telan air liur. Mata terasa payah untuk aku buka. Macam ada gam aje.
“Lepas siap masuk air ni, dia dah boleh balik.” Sayup-sayup aku dengar orang bercakap.
“Dia pun tak call Dijah. Budak ni ketegaq sungguh. Kami suruh dia pi klinik malam tadi, 1001 alasan dia bagi.” Tiba-tiba telinga rasa panas semacam. Terasa denyut-denyut dekat tangan kananku. Mataku buka perlahan-lahan. Aku mengeluh. Selamat terbaring atas katil hospital rupanya aku. Cuba untuk gerakkan tangan kanan, terasa perit dan aku nampak ada drip yang dipasang bagi mengalirkan air ke dalam badanku. Mataku tala ke botol air yang tergantung. Sudah tinggal separuh. Dah berapa lama aku pun tak pasti.
Eh, bukan tadi aku nak masuk ke dalam kereta ker?
Lemah, lesu, lemau. Semua ada. “Dijah…”panggilku perlahan. Dijah dengan seorang lelaki berkot putih berpaling serentak. Lama mataku menatap wajah itu. Erk, jiran depan rumahku!
“Tengahari buta yang hang pergi baring depan rumah awat?” soal Dijah padaku sambil menapak mendekati katilku. Baring? Buang tebiat ker apa, tengahari buta pergi baring dekat laman.
“Aah..saja nak test. Best tak baring kat depan rumah atas rumput kapet tu.” Sahutku geram. Baring mendenya aku pengsan separuh mati tau tak. Ni yang rasa nak meraung, nak menangis. Yang paling sekali, rasa nak balik rumah dekat kampung aje!
“Nasib baik, Am ada tau.” Gumam Dijah perlahan. Aku dengar tu. Nak mencebik sebenarnya tapi cepat-cepat aku batalkan niat. Aku diam.
“Dah, takkan tak reti-reti nak ucap terima kasih..” Wah, kena sound direct dengan Dijah! Sempat aku menjeling pada Dijah. “Err…” kelu pulak lidah aku. Aku telan air liur. Tekak kering ceritanya.
“Handle with care lagi…” Gulp! Ingat aku barang yang ditampal dengan sticker ‘Fragile’. Kepala masih terasa pusing-pusing lagi. Apa hal sampai kena terminalogi  handle with care pulak.
“Am.. ni pakaian rasmi baru doctor ke?” masuk tiga yang lain juga yang memakai lab coat berwarna putih. Puas aku amati, ohhh jiran depan rumahku jugak. Bahu Doktor Am ditepuk, sambil wajahnya sedang menyembunyikan senyum. Eleh, aku nampaklah.
“Ini mahu Menteri Kesihatan saman kau..”pecah tawa mereka semua. Wah, wah sukanya hati. Aku mendengus geram. Dijah boleh join sekali pulak tu. Hangin…hangin…
“Mana sempat aku nak tukar seluar. Gaya orang tu macam nazak sangat dah.” Jawab si Am sambil matanya jelas menjeling padaku. Zap… terpanah dekat hati! Erk… Ni sebab pengsan tadi kut. Kesan sampinganlah tu.
“Nani…” aku tampal senyum plastik.
“Kau tahu, Am siap dukung kau masuk dalam kereta tau, bawak datang sini. Berkain pelekat lagi tu.” Dan-dan aku pandang bawah. Haaa, baru aku perasan. Pakai lab coat dengan kain pelekat. Nice sut! Eh jap. Ayat yang Dijah sebut tadi aku ingat-ingat balik semula. Am dukung aku masuk dalam kereta? Handle with care! Haah! Aku dah rasa macam nak pengsan balik ni. Malu pun iyer jugak. Kena berdukung bagai. Muka dah naik warna-warna pelangi.
“Memang gaya suami mithali…” sahut Adli. Makin galak mereka menggiat.
Am, Adli, Asri dan Noh. Semuanya doktor pelatih yang duduk depan rumahku. Kiranya memang jiran aku. Dah dibuat geng dengan budak-budak serumah. Aku saja kut yang paling tidak peramah dengan mereka. Entahlah, kalau pangkal nama depan Doktor, aku pangkah awal-awal! Jahatnya aku… Bukan semua doktor perangai macam orang tu. Tak tahulah nak cakap. Apa yang pasti, aku bukan jenis mesra alam sangat dengan yang berlainan gender. Ada sempadan yang melangkau tinggi lagi luas untuk diterjah. Muktamad!
Kepala terasa berpinar-pinar. “Dahi awak tercium bonet kereta sebelum jatuh pengsan..” Terang tuan doktor sambil matanya melirik padaku. Tercium? Aku raba dahiku. Terasa macam ada benjol kecil. Patut kepala aku rasa macam bergegar je sebelum pengsan.
“Kalau awak cium orang ada jugak faedahnya, ini cium kereta…” gaya tu sinis memerli aku. Pecah ketawa Dijah. Nak cium orang? Kirim salam ajelah.
“Okey tak kepala dia tu..mana la tau…” Dijah bertanya entah pada siapa, ramai sangat tuan-tuan doktor.
“Okey kut. Paling tak pun, hilang ingatan je..” hilang ingatan je? Mukaku sudah cuak. Liur sudah tidak tertelan. Biar betul. Tapi, elok aje aku kenal dengan Dijah, dengan jiran-jiran depan rumahku semua. Celah mana pulak aku boleh hilang ingatan ni.
“Mana tau kan, kut kut lepas ni dia jadi peramah dengan kami semua..Itu mungkin effect major.” Adeh! Aku mendengus geram. Main-mainkan aku rupanya. Sah, melanggar etika profesion kedoktoran. 
“Dahlah, kesian aku tengok si Nani ni. Jum. Tak baik kacau orang sakit.” Ujar si Asri. Ada jugak yang simpati dengan aku.
Yang lain pakat-pakat mengangguk. “Lain kali bila nak makan tu baca bismillah dulu tau!” sempat lagi tuan doktor bername tag Dr. Naufal Ikram memberikan khidmat nasihat percuma dengan kenyitan mata. Aku dah rasa aura nak membunuh. Aku kalih pandang Dijah. Perempuan tu boleh pulak buat-buat pandang ke lain. Tahu, bocor dah rahsia aku makan roti dhoom cicah kari kambing. Penyebab aku terlantar lembik atas katil hospital ni. Kau nayakan kawan kau yer Dijah!

1 comment:

  1. boleh buat permintaan tak kat sini?.... :D ...hehehehe TOLONG LA CEPAT2 PRINT CITE NI ....tak sabar dah ni

    yg benar
    SZanariah \0/

    ReplyDelete