TAUFIK mengemaskan ikatan
kasutnya. Kemudian dia menuju ke salah satu treadmill
di sudut yang terlindung. Setelah memanaskan badan selama lima minit, Taufik
mula berlari perlahan. Hari ini hari ketiga dia di sini. Sudah sebulan dia
tidak bersenam, semenjak dia mula ditukarkan di daerah ini. Lalu apabila dia
terasa badannya mula terasa berat, cepat-cepat dia mendaftar di pusat
kecergasan yang jaraknya hanya lima minit dengan memandu dari pejabat.
Rumah yang baru Taufik sewa juga masih belum siap berkemas. Ada
barang-barang yang masih di dalam kotak. Yang sudah dipunggah cuma
barang-barang penting seperti pakaian dan buku-buku sahaja. Alangkah bagusnya
kalau mama ada. Terasa menyesal pula menolak pelawaan ketika mama menawarkan diri untuk meminjamkan
pembantu rumah. Bukan Taufik nak jual
mahal, dia cuma tak mahu mama susah payah kerana dia. Cukuplah apa yang mama
lalui kebelakangan ini, Taufik tak mahu tambah apa-apa lagi.
Liana. Nama itu Taufik sebut dalam hati. Nama tunangannya. Oh, Taufik
hampir terlupa pula. Liana sudah pun menjadi bekas tunangannya. Sebab itu dia
membawa hatinya ke sini. Kisah yang telah hampir setahun berlalu itu masih
meninggalkan kesan dalam hatinya.
Dua bulan sebelum bernikah, Liana tiba-tiba minta putus. Tiada angin tiada
ribut, itulah keputusan yang Liana ambil. Lebih teruk lagi, Liana langsung tak
mahu duduk berbincang lagi. Liana sudah nekad untuk meninggalkannya. Tanpa
alasan yang kukuh, Liana hantar keluarganya untuk memutuskan pertunangan
mereka.
Saat itu, Taufik terasa seperti orang bodoh. Dia kehilangan arah. Memang
dia lelaki, tapi kalau lelaki dia tak
boleh rasa kecewa ke? Tak adil bukan? Berbulan jugalah dia bermuram durja.
Berduka nestapa. Yang buat Taufik sakit hati ialah, mama jatuh sakit sejak
pertunangannya terbatal. Mamanya menghidapi kemurungan. Sampainya hati Liana,
menghancurkan hatinya dan memalukan keluarganya.
Tiga bulan selepas pertunangan mereka putus, Taufik dengar cerita yang
Liana telah bernikah dengan mat salih. Kerja pilot katanya. Hati Taufik terluka sungguh masa berita itu
tersebar. Mudahnya Liana berubah hati. Bertahun-tahun berkasih sayang dan
kemudian mengikat janji rupanya belum cukup untuk merantai hati seorang
perempuan.
Sejak itu Taufik berjanji pada dirinya sendiri, dia akan kahwin dengan
siapa sahaja yang suka dengan dia. Dia tidak mahu letak syarat atau apa-apa
kriteria pun. Asalkan perempuan tu daripada keluarga yang baik-baik, elok paras
rupa, ada budi bahasa dia akan kata ya kalau perempuan tu ajak dia kahwin. Ya,
sungguh. Taufik akan kata YA pada perempuan yang berani melamarnya!
“Hai. Baru kat sini ke?”
Taufik terperanjat. Tiba-tiba sahaja ada perempuan menegurnya.
“Ya.” Taufik siap angguk kepala lagi walaupun dia dah beri jawapan pada
soalan perempuan yang berpakaian sukan warna hijau pucuk pisang ni.
“Dah berapa lama daftar kat sini?”
“Tiga hari.”
“Oh. Nama I Ruby.” Perempuan tadi memperkenalkan diri.
“Taufik.” Taufik tersenyum malu-malu.
“Kalau ada nak tanya apa-apa, jangan segan-segan ye?”
“Baik.” Kemudian Ruby mula berjalan di atas treadmill. Tanpa menoleh pun Taufik tahu Ruby asyik pandang-pandang
dan jeling-jeling kat dia. Taufik mula terasa seram. Cepatnya doa dia
dimakbulkan? Janganlah Ruby cuba-cuba menguratnya, doa Taufik dalam hati.
No comments:
Post a Comment