Thursday, 12 September 2013

Busana Nana (Bab 1): Saidatul Saffaa



“JADI... apa pendapat Nana?”
Dia sengih pada aiskrim dalam bekas. Semalam dia berjanji nak jumpa Kak Zatil di Tutti Frutti Kuantan. Haih... berdebar nak jumpa Kak Zatil sampai termimpi-mimpi makan aiskrim dah malam tadi. Lepas tu, terbabas subuh terus. Sepatutnya dia kena jumpa Kak Zatil pukul 9 pagi di sini, tapi sebab dah termimpi kemudian terbabas cap kari ikan Babas... sampailah dia pukul 10 pagi. Nasib baik Kak Zatil ni jenis tak kisah sangat. Hari pertama ‘temu duga’ dah lambat Nana ni. Haih... apa nak jadilah dengan budak ni seorang.
Err... sebenarnya kalau kakak nak tahu, Nana ni tak ada bakat terpendam pun.”
Tawa kecil Kak Zatil meletus. “Nana, kakak bukan nak cungkil bakat. Bakat tu boleh diasah. Tak ada masalah bab tu.”
Kening Nana terangkat. “Nak asah apa, bakat pun tak jumpa.” Bibir dicebik.
Sekali lagi tawa Kak Zatil meletus. Kali ini lebih kuat. Kak Zatil menyuap sesudu yogurt beku ke dalam mulut. Sisa yang melekat di bibir dia jilat biar lebih terasa nikmatnya makan aiskrim-yogurt beku yang sedap itu (dan mahal juga untuk dia telan hari-hari). “Macam ni, Nana anggap saja ini proses belajar. Bukan kerja. Cuma belajar kali ni... Nana dapat gaji.” Jeda. “Ataupun... elaun. Okey?”
Kepala terasa gatal. Tangan mula menggaru kulit kepala belah kiri yang terselindung dalam tudung kotak-kotak biru-hijau yang dipakai senada dengan baju kurung tanah hijau bunga ros biru. Dalam telinga kanan pula rasa gatal. Nanti... kalau dia tolak tawaran Kak Zatil, Mami marah pula. Haih... mampu ke dia nak buat semua ni? Bermula dari kosong... err... negatif kut kalau tahap dia ni.
“Nana... zaman sekarang ni jangan memilih kerja sangat. Sekarang ni ramai orang ambil bidang lain masa belajar, kerja bidang lain. Apa salahnya kalau tolong Kak Zatil kat kedai dia tu. Kan lagi elok daripada Nana duduk membuta, ternak lemak aje di rumah.”
Lemak dah berkilo-kilo dia ternak, sama banyak kilonya dengan bebelan Mami padanya. Rasanyalah. Heee....
Perlahan-lahan dia angkat kepala. Bertentang mata dengan Kak Zatil semula. Kalaulah dia terima... “Kakak nak Nana mula bila?”
Sengih lebar memekar di bibir Kak Zatil. Akhirnya! Jawapan yang ditunggu selama tiga minggu. Mata yang bercahaya itu memang tak dapat dia sembunyikan lagi. Fuhhh! Hasil sabarnya dia sudah boleh tuai nampaknya. “Esok... boleh?”



“ASSALAMUALAIKUM...”
Suara kanak-kanak memberi salam di luar menyebabkan dia mengangkat punggung dari sofa warna coklat gelap corak bunga melati. Alat kawalan jauh televisyen dia capai, diperlahankan sedikit bunyinya.
Langsir pintu gelangsar diselak sedikit. Dia senyum melihat kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang terpacak di luar pintu. Daun pintu berbunyi seperti dua permukaan kesat bergeser bila dia tarik, membukanya seluas badan.
“Wa’alaikumsalam. Kenapa Ilyaa?”
Ilyaa sengih menayang gigi kacip atasnya yang rongak sebatang. “Kak Nana! Kita nak beli aiskrim Milo tiga.”
Nana mengerut dahi. “Aiskrim apa?”
Alaa... aiskrim yang Mak Adah jual tu...”
Sejak bila mami jual aiskrim? Kenapa dia tak tahu? “Kejap ya.”
Nana masuk semula ke dalam rumah. Langkahnya singgah ke bilik mami yang pintunya terbuka separuh. Dia nampak mami sedang sujud. Alah... mami solat asar pula. Tak boleh dia nak tanya. Terus dia melangkah ke dapur. Pintu peti sejuk bahagian bawah dia buka. Oh ya, peti ais rumah Nana ni terbalik. Peti sejuk beku di bawah, peti sejuk biasa di atas. Laci ditarik.
Eh! Memang ada aiskrimlah! Kenapa dia tak tahu selama ni? Terus tangannya mencapai tiga batang aiskrim Milo. Cepat-cepat dia berjalan ke arah pintu yang sedang terbuka itu.
“Nah Ilyaa!”
Hulurannya bersambut.
“Terima kasih Kak Nana.” Ilyaa menghulurkan duit pada Nana.
“Sama-sama.” Bibirnya mengukir senyum. Namun senyumnya mati melihat duit tiga puluh sen atas tapak tangan.
Eh? Tiga puluh sen aje ke?
“Siapa datang Nana?” Soalan Mami di belakang menyebabkan dia terus berpusing.
“Ilyaa, anak Kak Islah beli aiskrim.” Dia melontarkan pandangan pada Ilyaa yang sudah berjalan riang dengan aiskrim di tangannya menari mengikut rentak. “Seposen sebatang?”
Mami angguk. “A’ah. Jual saja-saja.”
Kerutan di dahinya bertambah. “Balik modal ke?”
“Seronok tengok budak-budak ni. Bukan jual nak untung pun. Mami nak isi masa lapang aje.” Sejurus selepas ayat itu dituturkan, mami terus menghilang masuk bilik semula.
Ada ya orang meniaga untuk isi masa lapang aje?



HARI INI... genap 91 hari dia menternak lemak, menghabiskan beras(mengikut kata Mami). Tudung diletakkan atas kepala. Kerongsang digagau atas meja, dipinkan ke bawah dagu.
Okey. Selamat memasuki alam pekerjaan ya Cik Nana. Tamatlah sudah status ‘penanam anggur tak berbuah’ awak tu ya mulai hari ini.
“Mami rasa, Nana ni lepas ke nak buat kerja-kerja suri rumah tangga tu semua?”
“Kalau nak, semua pun jadi. Kalau dah tak mahu, Mami heret macam mana pun Nana tak reti sampai ke sudah jugalah jawabnya.” Suara Mami semalam terngiang-ngiang di telinga.
Sesampainya saja di rumah selepas pertemuannya dengan Kak Zatil semalam. Terus Mami hantar ‘torpedo’ soalan pada dia bertubi-tubi. Satu soalan Mami tanya, satu ayat dia jawab. Sebelum soalan seterusnya, Mami selit pula dengan kata nasihat(tapi bagi Nana, bebelan) berpuluh-puluh ayat.
“Nana! Nanti Kak Zatil datang jemput, dia baru nak bersiap. Cepat sarapan dulu ni.” Suara Mami yang tak perlukan mikrofon tu masuk melalui celah-celah pintu bilik yang tidak ditutup rapat.
“Dah siap dah!”

No comments:

Post a Comment