“NANA AMBIL kertas mahjong dalam bilik tu. Ada tepi almari
kalau tak silap kakak.”
Nana cepat-cepat melangkah ke arah bilik yang dimaksudkan. Ada sebuah
almari kayu yang tertutup. Rasa ingin tahunya membuak-buak untuk mengetahui isi
almari. Tapi disebabkan oleh Kak Zatil tengah tunggu kertas mahjong, nanti-nanti ajelah dia buka
almari tu. Lagipun, tempat inikan bakal jadi tempat kerja dia pun nanti. Yang
pasti, Kak Zatil tak sorok harta karun dalam almari tu. Jadi, tak perlulah
tergopoh-gapah ya Cik Nana.
Kertas mahjong yang digulung
panjang berdiri di tepi almari dicapai. Kaki terus melangkah ke arah Kak Zatil
yang duduk bersila atas lantai jubin putih di ruang tengah.
“Nah kertasnya kakak!”
Huluran Nana disambut. Nana cepat-cepat melabuhkan punggung ke atas lantai
jubin putih tu. Rasa sejuk pula lantai jubin tu hari ni sebab dia tengah seram
sejuk nak belajar ni.
“Nana dulu dapat B masa kena jahit sarung kusyen untuk subjek Kemahiran
Hidup. Senget-senget Nana jahit. Terpaksalah pujuk rayu Mami beli reben cantik
untuk tutup buruknya sarung kusyen tu.”
Kak Zatil tersenyum memandangnya. “Nana, sekarang ni... Kak Zatil nak Nana
fokus.”
Nana memandang Kak Zatil semula, tepat menikam anak matanya.
“Macam ni... menjahit ni senang. Okey tak. Tipu.” Jari telunjuk Kak Zatil
menari di angin. “Sebenarnya... semua benda susah.”
Nana telan air liur. Kertas mahjong
bergilir dipandang dengan muka Kak Zatil. Dah tu nak suruh Nana belajar jugak ke kalau susah?
Kak Zatil mencapai gunting lagi satu daripada bekas plastik di sisinya dan
gunting itu diletakkan di depan Nana. “Susah tu pada awalnya. Kalau kita tak
rasa susah pada awal, tipulah kan? Lama-lama, bila kita makin belajar, makin
mahir, mudahlah jadinya.”
“Tapi... nanti kalau tersalah gunting baju orang ni macam mana kakak?”
“Tersalah kita ganti, atau bagi diskaun.”
Ek? Kening Nana terangkat sebelah. “Maksudnya kakak pun pernah tersalah?”
“Kalau tak salah tu... malaikatlah. Kita kan manusia!” Kak Zatil ketawa
tengok muka Nana yang kerisauan. “Okey... kita belajar gunting baju kurung
pesak dulu boleh? Sebab yang itu ramai orang tempah.”
Nana telan air liur yang rasa kelat bila nampak Kak Zatil mencapai sehelai
baju kurung pesak yang sudah siap-siap bergumpal di sisinya sejak tadi. Kak
Zatil membentang baju kurung itu di tengah-tengah mereka. Ah sudah! Jantung dah
tak reti nak memperlahankan diri. Dup dap dup dap. Tolonglah tekan breka wahai
Encik Jantung. Janganlah lari laju-laju macam ni.
“Semua benda tu ada pertama kali Nana. Dulu masa kita kecil-kecil, nak
bernafas pertama kali. Kemudian nak bertatih pun ada pertama kali. Nak belajar
pegang pensel pun ada pertama kali. Dan ini pertama kali Nana nak menggunting.”
Panjang lebar Kak Zatil memberi semangat. Gunting dihulurkan satu pada Nana,
satu di tangannya.
Nana tarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan.
Hendak seribu daya, Nana! Nana boleh!
“ASSALAMUALAIKUM...”
Suara orang memberi salam menyebabkan Nana dan Kak Zatil berkalih ke muka
pintu yang terbuka luas.
“Wa’alaikumsalam.” Serentak suara mereka menjawab.
Seorang makcik bertubuh gempal, berbaju kurung tanah coklat bunga merah
merlip merelap sampai silau Nana nak tengok dia berjalan tengah rembang
matahari pagi yang sudah segalah. Selendang nipis warna merah darah ikan
menutupi seluruh kepalanya kecuali jambul tinggi warna tembaga yang tersembul
(atau sengaja disembulkan, Nana tak tahulah). Keletak keletuk bunyi tapak kasut
tingginya menghentam lantai, sampailah dia tanggalkan kasutnya di muka pintu
kedai Kak Zatil.
Hari tu, Kak Zatil pernah cerita padanya tentang perancangan Kak Zatil nak
pasang pintu kaca di kedainya. Supaya taklah terbuka sangat bila orang lalu
lalang. Kalau macam sekarang ni, kedudukan dia dan Kak Zatil cuma terlindung
dek mesin jahit dua buah saja. Apabila mereka duduk di mesin jahit, memang
‘terbuka’ jadinya. Dan kalau ada pintu kaca itu, angin panas rembang tengah
hari taklah semudah itu masuk ke kedai. Sampai orang dalam kedai berasap-asap
rasanya dengan peluh merentik. Namun, kata Kak Zatil bajetnya belum cukup.
Mungkin dua tiga bulan lagi adalah agaknya pintu kaca tu.
Kak Zatil bingkas bangun, menapak laju untuk menyambut tetamunya (atau
pelanggannya mungkin). “Eh, Datin Mah. Jemputlah masuk.”
Oh... patutlah liplap merlip sekali. Mak Datin rupanya. Jambul pun gaya mak
Datin. Hesy! Nana ni. Sempat lagi dia mengutuk orang tu. Eh... bukan mengutuk.
Cuma mengklasifikasikan dan melabel berdasarkan bukti-bukti yang terang lagi
nyata saja.
“Minta maaflah kedai bersepah sikit.”
Nana cepat-cepat bangun menghulurkan tangan bersalam. Datin Mah memandang
Kak Zatil, seolah-olah meminta penjelasan.
“Ini sepupu saya, Nana. Baru aje mula kerja di sini.”
“Oh... baguslah. Bolehlah tempahan siap cepat sikit kalau dah ada pembantu
ni kan Zatil.” Datin Mah menepuk lembut lengan Kak Zatil.
Kak Zatil tersenyum memandangnya. Nana cuba membalas senyum itu tapi
senyumnya terasa senget sebelah. Dalam hati dia dah berperang dengan diri
sendiri. Cepat apanya... gunting kertas pun senget-benget.
“Datin nak tempah baju ya?”
Datin Mah angguk sambil menghulurkan satu bungkusan plastik. “Ada majlis
makan malam syarikat Dato’ bulan depan. Itu yang nak tempah baju baru ni. Baju
lama macam dah bosan saya pakai Zatil.”
“Oh... kain ni Datin nak buat baju kurung pesak ke?” Tangan Kak Zatil
menyelongkar isi kandungan beg plastik. Nampak macam kain sifon. Kain lapiknya
ada sekali ke tidak ni? Dia selongkar lagi plastik itu dan menarik nafas lega
bila kain lapiknya disertakan sekali.
“Saya teringin nak pakai kebaya kali ni. Boleh kan Zatil tolong buatkan?”
“Boleh Datin. Insya-Allah saya cuba siapkan secepat mungkin.”
“Pakai ukuran sama aje kan?” soal Datin Mah, memastikan.
Kak Zatil angguk. Nana dah bertukar jadi patung mannequin tak bernyawa. Tak retilah dia nak berborak-borak dengan
pelanggan. Dia kan baru hari pertama masuk kerja. Selama ini pun mulutnya berat
nak bercakap dengan orang yang dia kenal, inikan pula nak bercakap dengan orang
yang belum dia kenal lagi. Tambah pula pelanggan tu mak Datin. Haih, lagi kekok dibuatnya. Karang kena
bercakap pakai bahasa patik-beta karang buat aniaya saja!
“Err... Kak Zatil, Nana minta
izin masuk bilik sekejap ya. Nak solat duha sekejap.”
Datin Mah dan Kak Zatil memandangnya serentak. Tapi pandangan Datin Mah tu
rasa macam menyeramkan. Cepat-cepat dia pandang Kak Zatil semula, senyum dan
anggukan Kak Zatil dapat mengewapkan rasa seram tadi tu ke udara
“LA... tukar warna rambut lagi?”
“Cantik kan?” Kepala dipusing ke kiri kanan menebarkan rambut separas
bahunya itu seperti iklan syampu di kaca TV. “Semalam pergi jumpa Kieyra, dia
yang cadangkan rambut warna ni pada I.”
“Nanti bila kita dah kahwin nanti, kalau you nak ikut cadangan Kieyra tukar
warna rambut itu ini, minta Kieyra tu belanja ya. I tak larat nak bayar salon
mahal-mahal banyak kali.”
Anak matanya tajam menikam anak mata empunya ayat tak ‘berperikemanusiaan’
yang duduk betul-betul di hadapannya. Rasa nak aje garpu di tangan ni dia cucuk
ke mata tu. Tapi... makhluk di hadapannya sekarang ni tenang saja menikmati
stik daging lembu dengan sos lada hitam.
“Nanti masa majlis kahwin, I nak rambut you warna hitam aje. Tak payah
warna besi berkarat ke... warna tembaga ke... warna emas ke... pelangi ke....
Tak payah semua tu. Hitam original.” Stik yang dihiris nipis disuakan ke mulut.
Isabel mengherotkan bibir. “You ni... kalau I nak bercantik-cantik memang
berkira. Nanti, bila dah kahwin nanti agaknya I kena pakai kain batik berkemban
ajelah. Tak ada orang nak beli alat-alat mekap I nanti.”
Ketawa kecil meletus melihatkan riak tidak puas hati Isabel. “Isabel... you
tahu tak nama you ni sebenarnya nama ratu yang hebat di Sepanyol. Bila you
tarik muncung macam ni, macam tak padan.”
Isabel buat-buat pandang syiling. Malas nak ambil peduli orang macam ni.
“Isabel... seorang ratu tak perlu mekap banyak pun. Natural beauty.” Dan dia lebih suka seri ratu hatinya ini tanpa
calit mekap apa pun. Baginya... Isabel sudah cukup indah seadanya.
Satu rengusan geram terzahir.
Tangannya mencucuk cendawan panggang dalam pinggan dalam-dalam. Kalau ikutkan
hati... haaa macam inilah dia nak
cocok orang yang berada di hadapannya kini. Eee!
“Apa-apa ajelah!”
USAI SOLAT DUHA dan berdoa, Nana
duduk lama atas sejadah. Bunyi kipas siling berputar mengisi suasana. Suara Kak
Zatil dan Datin Mah masih sayup-sayup kedengaran. Yang banyak bercakapnya Datin
Mah. Kak Zatil pula lebih banyak ketawa kecil saja dengarnya.
Ya Allah... Nana tak tahulah keputusan yang Nana buat untuk membantu sekali
gus bekerja dengan Kak Zatil ni betul ke tidak. Dia ni dahlah jahil amat
bab-bab menjahit ni. Tahap kosong, negatif bawah paras beku. Mami pun, setahu
dia tak ada bakat menjahit ni. Takat jahit baju yang benangnya terbetas sikit
atau jahit butang baju yang tertanggal adalah. Jahit yang betul-betul menjahit
ni... tak pernah lagi dia tengok. Baju mereka pun selama ni memang tempah
dengan Kak Zatil. Kata Mami, dah ada saudara yang buka kedai jahit... kita
tolonglah dia majukan perniagaan dia dengan upah dia jahit baju.
Sebenarnya, dia takut buat salah. Dan bila dah buat salah, dia akan
memburukkan imej perniagaan Kak Zatil. Lepas tu, dia takut pelanggan Kak Zatil
lari sebab dia nanti. Nauzubillah!
Tok! Tok!
Pintu bilik diketuk dari luar.
“Ya?”
Wajah Kak Zatil muncul dari celah daun pintu yang terbuka. “Nak belajar
gunting kain susun belakang pula tak?”
Nana angguk laju. Padahal dalam hati, dia cuak sebenarnya. Baju kurung
pesak tadi pun dia duk salah gunting kertas. Inikan pula yang lebih mencabar.
“Jomlah!” Kak Zatil berlalu terlebih dahulu, membiarkan Nana melipat
telekung yang dipakai.
No comments:
Post a Comment