Wednesday, 25 September 2013

Sungguh, Aku Jatuh Hati (Bab 6): Zarra Zuyyin


"YANG, Yeop Apez dah balik. Dekat seminggu dah pun.” Suara mak yang ceria menerjah lubang telingaku. Aku telan air liur. Sungguh, kesat! Malam-malam aman dan damai terus rasa macam bakal ada bencana yang bakal menimpa hidup aku. Yeop Apez. Nama yang hanya tinggal bekas dan sejarah kelam dalam hidup seorang Nuradelia Hanani. Takkan aku lupa sampai mati! Cerita cinta yang berkubur tanpa nesan lagikan bertanda. Dasyat betul ayat kome yer Nani.
      “Ohh…” hanya itu sahaja respon aku. Takkanlah pula aku nak melompat sampai ke bumbung rumah dengan alasan bekas calon suami tak jadi dah jejak Malaya. Terkena kejutan litar pintas sampaikan neuronpun jadi beku.
      Telefon Nokia 6020 yang tersepit di telinga kanan hampir jatuh. Cepat-cepat tangan kiri menyambut. Kalau jatuh memang sah akan berkecai entah kali ke berapa. Tangan kananku yang sedang berhempas pulas membuka botol sekaya terhenti. Suara mak masih lagi ada di talian. Aku ni kalau bab nak multifunction memang fail je memanjang.
“Yang...” panggil mak lembut bila suara aku tidak terkeluar. Aku tarik kerusi di meja makan. Duduk dan mata masih memaku ke arah roti bakar yang belum lagi bersapu dengan inti sekaya.
“Erm...” mug berisi air milo aku capai dengan tangan kanan.
“Dia dah jadi doktor tau.” Okey, mak buat pemberitahuan. Anak jiran selang dua buah rumah dekat kampung dah jadi tuan doktor.  Yelah, orang tu pergi belajar pegang jarum, pegang pisau, bedah orang sana sini, takkan tiba-tiba balik jadi engineer pulak. Nak suruh dia bedah enjin kereta ke apa. Mak ohh mak. Biarlah mak tengah nak membangga anak jiran sebelah jadi doktor. Aku geleng kepala. Bibir menarik senyum kelat.
“Yang...” kali ni enam harkat mak seru nama aku. Meleret kemain suara mak. Hatiku sudah tak sedap, macam ada malapetaka yang bakal berlaku. Macam terdengar-dengar tanda amaran tsunami perasaan tengah menyala. Perasaan aje tu. Kome dengan metafora kehidupan bukankah serasi. Mug terisi dengan air milo aku suakan ke mulut.
“Yang... Yeop Apez tu kan…kalau jadi menantu mak...” tersembur air milo yang baru sahaja nak cecah alur tekak aku. Kalau jadi menantu mak? Huh, usah katakan jadi menantu, jadi hantu pun aku tak hinginlah!
“Yang...bunyi apa tu?” cepat-cepat aku capai tisu atas meja makan, lalu aku lap mulut. Mak ni, wrong timing lah cakap benda macam tu. Ayat yang mengandungi harapan yang bakal dipunahkan oleh anaknya sendiri. Ngeri petala versi anak derhakakah? Si Tanggang moden? Aku? Nauzubillah.
 “Yang tersembur air milo tadi.” Jawabku tanpa selindung. Sebab dengar ayat mak bab menantu hantu tu, sambungku dalam hati.
Aku menengadah ke siling. “Ayor milo ...Minum pun boleh tersembur-sembur.” Mak sudah start enjin membebel. Tadah telinga kome tu.
Otak mentafsir setiap ayat mak tadi. Menantu? Bibir sudah senyum herot. Menantu nak celah mana pulak. Takkan Cik Husna tak bagitahu mak yang anak dia dah menikah dekat dua tahun dah. Mak ngigau ni. Ikut logik agama memang boleh jadi menantu mak jika dan kalau anak mak jadi isteri kedua atau ketiga atau juga keempat. Belum sempat mak suruh, agaknya dah sampai Eskimo Antartika aku menyorok.
“Si Yeop Apez tu kan…” okey, mak sambung cerita. Tadah telinga. Rasa hati kian membara bila mak asyik sebut nama calon suami tak jadi tu.
“Udah bercerai…” Diam. Jadi? Kosong rasanya macam lagu Najwa Latif-Kosong. Sekarang versi dia sudah bercerai, ada kaitan ker dengan aku?
“Dua tiga hari lepas, dia ada datang…merisik kamu..” rahang sikit lagi nak cecah lantai. Betullah, memang ada kaitan! Kejutan tahap giga! Badan serta merta menggigil.Mencanak rasanya suhu amarah dalam diri.
“Mak… Yang sakit perut. Nanti Yang call mak balik. Okey mak, assalamualaikum.”
Talian terputus sebab telefonku sudah berkecai terhempas atas lantai. Terkejut sampai telefon terlepas! Aku meraup wajah. Kipas angin yang berputar dengan kelajuan maksima tetap tidak mampu nak sejukkan suhu badan aku yang dah cecah paras bahaya.
Otak sedang mencerna setiap ayat mak. Hafez Nubhan dah balik Malaysia. Dah bercerai. Kemudian datang merisik aku? Untuk siapa? Mak tak cakap. Takkan untuk ayah dia kut. Dia sorang aje anak lelaki dalam keluarga. Tentu-tentu untuk diri dia sendiri. Aku telan liur. Kesat! Merisik kemudian bertunang akhir sekali menikah. Aku dengan Yeop Apez? Takkan mungkin tercatat dalam sejarah alam!
Nafas yang tersekat-sekat sejak tadi tadi aku helakan perlahan. Dah dapat title duda, baru nak cari aku balik?!
Yeop Apez, jangan buat kerja gila!
Dan aku takkan buat kerja gila nak terima dia balik!
      Kawan-kawan sejagat sekelian…
Cerita mudah. Kau dah jadi duda, baru kau datang cari perempuan yang kau tinggalkan dulu. Sekarang ni nak tanya siapa bodoh? Duda atau perempuan tu?
Lepas masukkan entri, terus aku sign out. Mata menengadah ke siling. Komputer riba aku letak sebelah. Kaki aku lunjurkan. Nafas sejak siang tadi asyik semput tak memasal. Sejak mak suarakan hasrat mak tu. Nak bermenantukan jiran selang dua buah rumah. Adus… Mulalah nak masuk hikayat cinta bersepai, memulakan cerita dengan frasa suatu masa dahulu…
Cerita empat tahun lepas…
Sejuk dingin dekat dalam perpustakaan membuatkan aku mengemaskan sweater yang tersarung di badan. Helaian nota yang bertabur atas meja aku pandang sekali imbas. Rasanya dah tepu. Dah tak boleh nak terima apa dah. Bila aku panggung kepala, ada beberapa orang lagi yang senasib dengan aku agaknya. Headphone yang bergantung di leher sedang elok berdentum Betterman-Robbie William. Kalau spesis yang mendayu macam Isabella-Search memang sah aku akan pacak kepala dekat meja belajar ni.
Mataku meliar mencari orang yang berjanji mahu berjumpa. Katanya hal serius amat sampaikan aku suruh tunggu dekat asrama pun tak boleh. Sudahnya aku jadi sang pertapa dekat perpustakaan ni. Mujur kelas baru habis. Langsung aku ada dekat sini dah dua jam.
Dari jauh aku sudah nampak kelibat orang yang ditunggu. Riak wajah yang serius. Apa hal pulak si Iyan ni. Budak yang murah dengan senyuman tiba-tiba boleh jadi serius macam baru lepas baca cerita skandal Arnold Schwarzenegger aje. Ketat tanpa segaris senyuman. betul-betul angin lintang berhembus.
Kerusi di sebelah aku ditarik kasar. Mengah nafasnya. Beg galasnya dicampak ke bawah. Dia duduk dan matanya tuju tepat ke arah aku. Aku letakkan pensil mekanikal. Bila Iyan pandang wajahku dengan sesuatu yang sukar untuk aku tafsirkan. Nampak aura seperti dia tengah menahan perasaan.
Aku duduk bersandar. Menantikan dia relaks sepenuhnya biarpun kala ini aku nampak dia serba tak kena. “Yang, ni Iyan nak bagi tau...” kaki aku silangkan di bawah meja. Headphone aku sangkut di leher sahaja.
“Yang…” putus kata Iyan. Sejak bila Pemidato Terbaik Universiti boleh jadi gagap pula. “Yang… Yeop Apez... dia...” dah macam tak cukup oksigen pulak si Iyan.
Dia menghela nafas berat. Matanya layu memandang aku. Ada yang tak kena!
 “Dia... dah nikah…”
Zapp... Terasa dunia terhenti putarannya. Berita yang dibawa Iyan menyentap segala deria rasa. Rasa kosong fikiran tiba-tiba.
“Dah seminggu.” Sambungnya rendah namun sampai juga ke gegendang telinga aku. Aku gigit bibir. Tubuh aku bawa bersandar ke kerusi.
Aku pandang wajah serius tanpa senyum Iyan, budak Finance. Riakku beku seketika. “Jadi?” aku cuba ukir senyum plastik. Hati ni dah rasa macam kena tarah dengan pisau lipat.
Iyan buat muka pelik. “Kome, idak kecewa?”
“Dah jodoh Yeop kan..” aku telan air liur. Pecah hati aku sembilan puluh sembilan kali dah ni. Tangan dah terketar-ketar menyusun nota-nota Fluid Mechanic. Hati rasa sebak. Mata dah berat menakung beban. Aku tak boleh lama lagi dekat sini. Hilang waras nanti jenuh pulak. Headphone kembali di tempatnya. Tangan mencari lagu. The Strokes - The End Has No End mengasak deria dengar!
Aku masukkan semua nota dalam beg. Bangun dan aku kalih pada Iyan. “Yang doakan dia bahagia selamanya.” Cepat-cepat aku atur langkah menuju ke tempat parking motosikal. Sambil hati memujuk mata. Tahan Nani..tahan… Mata tetap berkaca juga. Sampai sahaja di motosikal, berjurai dah air mata. Laju aku seka dengan hujung tudung. Sepanjang jalan menuju ke asrama, bumi basah dengan hujan. Dan aku juga basah dengan air mata yang menderu bak air terjun Niagara.
Memanglah dah jodoh dia. Patutlah senyap aje sunyi sepi enam bulan lepas. Email yang aku hantar langsung tiada balasan. Ingatkan sibuk dengan barrier exam sebab sebelum tu Yeop Apez pernah cakap barrier exam susah tahap giga. Jadi, aku pun diam ajelah. Rupa-rupanya…
Epal dah jadi lemon!
Bujang dah jadi suami orang.
Badi sastera sampuk budak engine. Rosak bahasa!
Esoknya, ponteng kuliah. Sebab aku demam. Demam terkejut tambah demam kena hujan. Semingu jadi macam orang hilang akal. Payah jugak nak pulihkan semangat balik. Cinta pertama? Nak dikatakan cinta pun idak ler jugak, tapi kalau dah saling memberi harapan lama-lama cair jugaklah kan.
Tiba-tiba telefon aku bergegar, tanda kantung mesej sudah bertamu. Aku buka dan baca;
Yeop Adwa - Buka blog!
Lamanya aku merentas masa. Aku tarik sengih. Terus aku tarik komputer riba dan klik talian internet.
Membuntang mata bila melihat kotak komen yang sesak dengan 35 comments waiting for moderation. Huisy, satu persatu aku baca sebelum tanda published. Mulalah senyum sorang-sorang.
Yang bodoh ialah duda!-salina
Dua-dua bodoh. Yang duda tu bodoh sebab dah dapat title duda baru nak rujuk kekasih lama. Yang perempuan pulak bakal bodoh kalau sudi terima duda tu.-maya
Perempuan tu bodoh kalau masih lagi ada hati dekat duda tu. Ramai lagi lelaki di dunia ni.-ajo
Tetingkap sembang mukabuku muncul. Aku sengih sendiri. Siapa pula ni?
      doc apez : Nani...                   
Sengihku mati. Laju tangan melarikan cursor. Pangkah!
Komputer riba aku matikan. Sama macam aku matikan nama Hafez Nubhan dekat dalam hati aku!
Yang pasti, aku bukan perempuan yang bodoh!

No comments:

Post a Comment