Tuesday, 17 September 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 5): Normaslina Masri



JAM EMPAT lima puluh lima petang. Itu mengikut jam dinding yang terletak di tengah-tengah pejabat. Tapi jam kat komputer dah menunjukkan pukul lima. Irfan merenung kalendar. Hari ini hari Rabu. Sekejap lagi mesti Cinderella lalu. Irfan tersengih seorang diri.
Nah sekarang sudah tepat jam lima petang. Dari mejanya Irfan nampak Melissa berdiri. Irfan bangkit dan dia berdiri berhampiran dengan cermin bilik yang memisahkan dia dengan dunia luar.
Melissa sedang mengemaskan kertas-kertas yang bertabur. Kemudian dia menyusun pen, pensel, stapler ke dalam bekas kaca empat segi yang berwarna ungu terang. Setelah komputernya ditutup, dia nampak Melissa bergegas meninggalkan meja.
“Mel.” Ifran dengar suara Mimi memanggil nama Melissa dari pintu bilik yang tidak tertutup rapat.
“Cakap esok jelah. Aku nak cepat ni.”
“Eh, sekejaplah. Aku nak tanya fasal ni.” Mimi menunjukkan kertas di tangannya.
“Hari ni hari Rabu kan? Aku ada Spinning Class.”
“Tak boleh harap la kau ni.” Mimi sudah mahu naik angin. Sementara itu Melissa menunjukkan isyarat bagus kat Mimi. Irfan tersenyum. Melissa oh Melissa. Tak berubah langsung dia. Masih sama macam dulu, keras kepala dan buat apa sahaja yang dia suka. Anginnya juga tak boleh diramal langsung, silap hari bulan boleh terbang kita dibuatnya.
Kemudian dia nampak Mimi seperti mahu menuju ke biliknya. Cepat-cepat Irfan duduk di meja semula. Irfan tersengih, dah macam kartun pula rasanya.
Tuk. Tuk. Pintu diketuk.
“Bos.” Panggil Mimi. Irfan angkat muka dari kertas di hadapannya.
“Ya.”
“Saya tak dapat nak siapkan report yang bos nak tu.”
“Bukan kena hantar esok pagi ke?” tanya Irfan semula.
“Betul. Tapi…”
“Tapi apa?” potong Irfan.
“Mel tak mahu tolong saya.” Mimi pasang muka kasihan.
“Awak tak beritahu dia ke?”
“Dah.”
So?
“Dia kata dia ajar esok.”
“Dia dah balik?” Kura-kura dalam perahu betul Irfan ni.
“Ya. Dia kata dia ada Spinning Class.”
Call dia.” Arah Irfan
“Eh, nanti dia marah.” Mimi nampak terkejut apabila dengar arahan Irfan.
“Kenapa awak takut sangat?”
“Sebab saya suruh dia ajar masa dia dah angkat beg.”
“So?” Irfan angkat kening.
So…..”
“Jawapan dah tahu kan?” tanya Irfan.
“Dah.” Perlahan aja suara Mimi.
Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, Irfan menyambung sengihannya. Antara dia dengan Melissa ada rahsia yang tersimpan. Rahsia lama! Sebab itu, Melissa langsung tak mahu berbaik-baik dengannya. Dan sebab itu juga Irfan sengaja cari gaduh dengan Melissa.

No comments:

Post a Comment