KELUAR SAJA daripada bilik air, tangan ligat mencapai botol minyak gamat. Penutup aku buka. Bau minyak gamat yang agak kurang menyelerakan itu membuatkan kepalaku pinar seketika. Aku baring semula atas katil. Kain cadar yang sudah berkedut seribu. Selimut yang entah ke mana bergumpal. Berselerak. Dah bukan macam bilik anak dara. Sekali pandang bilik anak teruna pun lagi kemas dan teratur. Aku bukan pemalas yer. Sangat tidak signifikan okey. Aku ni dah macam pesakit yang boleh diletakkan dalam tahap kritikal tahu. Sakit perut yang bukan main-main lagi. Cubaan pun bukan. Dengan keadaan macam sekarang, niat untuk menjadi dara pingitan harus aku tolak ke tepi dulu.
Dengan
tangan yang terketar-ketar, hidung yang kembang kempis menahan bau, gagah jugak
menuang lalu menyapu minyak gamat yang berwarna hitam ini atas perutku.
Mengurut entah pusing mana-mana, janji minyak rata. Sesekali aku mengaduh
kesakitan. Terus teringat dekat mak.
Huwaa…Mak, Yang
sakit!
Telefon
Nokia 6020 bergegar-gegar di atas meja solek. Serasa mahu terbalik botol-botol
bedak. Telefon yang bakal mengisi borang arkib Negara, bak kata bos aku tuan
insiyur. Gasaklah. Kesayangan aku kut. Kata bos aku tu, telefon tu orang bagi
percuma pun tak nak. Haih, biarlah buruk rupanya pun. Janji kredit ada! Harapkan
pakai telefon yang canggih sentuh sana sini, tapi bil tetap kena potong, tak
guna jugak! Makan cili hantu sekali aku bersuara.
Skrin
terus berkelip-kelip, gegar-gegar makin galak, mohon untuk dijawab. Aku
pandang, lama. Malasnya lah! Aku yang sedang baring terasa payah benar untuk
bangun. Karang kalau tak jawab, mana tahu ada urgent ker, kan dah menyesal. Okeylah, aku bangun. Baru membetulkan
kaki yang sedang elok mengerekot, sudah senyap. Aku pandang telefon , tak bunyi
pulak. Okey. Baru hendak letakkan kepala di atas bantal, bunyi lagi. Baru kaki
jejak lantai, senyap. Okey, aku duduk saja di atas katil. Dua minit, senyap
saja. Aku tepuk-tepuk bantal, kemudian baru hendak baringkan kepala. Gegar
lagi!
Aiseh,
berasap aku. Main-mainkan aku yer. Aku campak kau karang. Biar bercerai talak
10. Kali ini aku biarkan lama. Aik, tak berhenti pulak. Cepat-cepat slippers yang ada muka Kitty aku sarung
dan dua langkah sahaja, telefon itu sudah aku tekan butang on.
“Hello sayang.” Aku la, alergi betul
kalau orang telefon tak bagi salam. Main terjah je ikut sukahati dia.
“Assalamualaikum....”
datar.
Ada
tawa di hujung talian. Aku ni dah makin berasap.
“Yang...”.
Dah datang angin senget dia tu.
“Apa
yang-yang?” tanyaku laju-laju.
“Ish,
datang bulan ke Yang?”
Aiseh,
main-main dengan pulak hal keperempuanan ni. “Yeop nak mende ni?” tanyaku. Nada
suara makin tidak terkawal.
Tangan
mula memegang perut. Dah sakit balik ni. Kulepaskan nafas yang tertahan-tahan.
kerut-kerut sudah muka menahan sakit. Kulabuhkan duduk di birai katil. Untuk
terus berdiri rasanya tidak mampu.
“Kamu
ni Yang, garang bebenor. Lari orang nak mengorat kamu tau.” Aku sengih. Tu
keluar dah gen sakat keji galak dia.
“Ala
Yeop. Luar je garang, dalam hati ada taman tau.” Aku pun sudah terbias gen yang
sama. Anak-anak Pak Haji Mad kan memang waris kuat gen sakat keji ni.
“Kamu
ni bila nak kawen?” Diam. Tangan kanan menekan perut, tangan kiri
memintal-mintal rambut yang kuikat tocang satu.
“Kamu
dengor ke idak ni?” Naik satu oktaf. Haish, aku ni amatlah tak gemor nak buka
cerita bab nikah kawen ni. Ngeri aje rasa.
“Ker
kamu tunggu orang jauh ni?” Ceh, Yeop aku ni memang betullah. Buat apa buka
hikayat cerita tu.
“Mana
ada Yeop. Yang ada banyak lagi tujuan hidup ni. Bab kahwin Yang letak nombor
yang last.”
“Haaa,
kamu kaborlah macam tu dengan mak. Tahulah nasib kamu. Silap haribulan, mak
terima aje sapa-sapa jadi menantu dia.” Gelak jahat kamu ni Yeop.
Badanku
tegak. Rambutku sudah kusut. Yeop ni memanglah, kuat benor gen sakat keji tu.
“Takkan
orang gila pun mak nak terima. Mak tak sayang Yang le tu namanya...” ujarku
lirih. Kalau betul cakap Yeop, memang masak aku sampai rentung.
“Yeop,
kalau mak pakse Yang kawen, Yang lari.“ aku buat-buat suara serius.
“Mana
kamu nak lari? Kamu jangan cari hee…”aku pula kena ugut balik.
Apa
kena la dengan hidup aku seminggu dua ni. Baru semalam mak telefon, bangkit isu
yang sama jugak. Macam udah tak de cerita lain gamaknya. Cuba le tanya berapa
rega saham dekat Bursa Saham KL tu ke, tanya minyak Ron 97 bila nak turun rega
ke. Paling takpun, bila kebau Pak Seman nak beranak lagi. Ada jugak faedahnya
tu.
Ini,
cerita bab nikah kahwin. Bab munakahat masa tingkatan lima pun aku tak habis
khatam lagi. Semalam mak, hari ni Yeop, esok Nyah, lusa jangan kate abah pula.
Memang lah…komplot satu keluarga nak gulingkan prinsip hidup aku!
Perut
makin bergelojak. Serasa macam usus-usus aku sedang bersimpul dengan jayanya.
Adeh..
“Yeop..yeop...”
putus-putus sudah cakapku sambil menahan sakit.
“Haaah,
naper nyer?”
“Yang
nak letak dulu lah..”
“Kamu
tu memang...” Haiya.
“Yeop,
Yang sakit perut ni...” gumamku perlahan.
Tanpa
sempat aku dengar apa yang Yeop nak bebelkan aku, terus sahaja aku lemparkan
telefon atas katil lalu memecut ke bilik air. Orang sakit perut, sudah 7 kali
masuk keluar bilik ayor ni. Silap haribulan aku angkut je bantal dengan selimut
masuk bilik ayor.
Ini
semua sebab cicah roti dhoom dengan kari kambing! Agak-agak kalau aku nak saman
orang yang menyebabkan aku makan macam tak cukup mangkuk semalam aci tak? Ngee. Ini semua tuan insiyur punya
pasal. Sahih! Sengaja aje dia. Tak cukup di pejabat mendera aku, dekat luar
pejabat pun sama. Apalah dosa aku pada dia? Sudahlah kawan-kawan serumah sedang
elok berdating, tinggallah aku seorang diri melayan sengsaranya sakit perut.
Nasib badanlah. Sudahlah tiada orang yang sudi nak dating dengan aku, sakit
perut pula. Memang betullah kome ni Nani.
Nampak
gayanya memang tak boleh jadi kalau macam ni. Badan memang totally lembik.
Serupa orang Somalia yang tak makan seminggu. Aku duduk meleper atas sofa.
Kipas angin kulajukan dengan remote control. Nak bangun pun tak larat, kata nak
bangun nak angkat kaki pun terasa payah amat.
Larat
ke tak larat ke, aku kena larat jugak untuk ke klinik. Kena jugak. Kalau tak
memang mati kering aku dalam rumah. Asyik ulang alik masuk bilik ayor. Tak
menahan lah! Lambat-lambat aku capai cardigan hitam labuh sintak ke paha,
menutup tshirt lengan pendek yang tersarung sejak semalam. Kemudian, tudung
hitam sarung siap atas kepala. Stokin aku capai lalu aku sarungkan di kaki.
Sakit, sakit juga, aurat tetap kena jaga. Prinsip dan ajaran Pak Haji Mad wajib
aku ingat. Perlahan-lahan aku bangun. Sampai dekat meja makan, aku duduk
semula. Letihnya!
Letihnya
nak mengatur langkah. Kepala sudah terasa berpinar-pinar. Aku gagah juga
berjalan sampai ke muka pintu, membuka pintu, menyarung selipar kemudian kunci
semula gril rumah. Masa ini kepala memang sudah berpinar-pinar.
Nampak
kabur-kabur jiran depan rumah. Dia senyum? Entah. Kabur. Ahh, pedulikan. Cahaya
matahari yang menyilau menambahkan rasa tidak selesa. Aku tekan butang on pada remote kunci, belum sempat aku capai pemegang pintu, mata aku sudah
kian kelam. Tak lama, akhirnya rasa kelam terus. Langsung tak nampak apa-apa.
“Eh..awak…”
aku dengar suara itu dan aku tahu ada yang memaut badan aku. Kelam!
Bau
ubat yang semakin mengasak deria hiduku. Ini bukan bau minyak gamat. Ini bau
macam dekat hospital. Hospital?! Aku telan air liur. Mata terasa payah untuk
aku buka. Macam ada gam aje.
“Lepas
siap masuk air ni, dia dah boleh balik.” Sayup-sayup aku dengar orang bercakap.
“Dia
pun tak call Dijah. Budak ni ketegaq
sungguh. Kami suruh dia pi klinik malam tadi, 1001 alasan dia bagi.” Tiba-tiba
telinga rasa panas semacam. Terasa denyut-denyut dekat tangan kananku. Mataku
buka perlahan-lahan. Aku mengeluh. Selamat terbaring atas katil hospital
rupanya aku. Cuba untuk gerakkan tangan kanan, terasa perit dan aku nampak ada
drip yang dipasang bagi mengalirkan air ke dalam badanku. Mataku tala ke botol
air yang tergantung. Sudah tinggal separuh. Dah berapa lama aku pun tak pasti.
Eh,
bukan tadi aku nak masuk ke dalam kereta ker?
Lemah,
lesu, lemau. Semua ada. “Dijah…”panggilku perlahan. Dijah dengan seorang lelaki
berkot putih berpaling serentak. Lama mataku menatap wajah itu. Erk, jiran
depan rumahku!
“Tengahari
buta yang hang pergi baring depan rumah awat?” soal Dijah padaku sambil menapak
mendekati katilku. Baring? Buang tebiat ker apa, tengahari buta pergi baring
dekat laman.
“Aah..saja
nak test. Best tak baring kat depan
rumah atas rumput kapet tu.” Sahutku geram. Baring mendenya aku pengsan separuh
mati tau tak. Ni yang rasa nak meraung, nak menangis. Yang paling sekali, rasa
nak balik rumah dekat kampung aje!
“Nasib
baik, Am ada tau.” Gumam Dijah perlahan. Aku dengar tu. Nak mencebik sebenarnya
tapi cepat-cepat aku batalkan niat. Aku diam.
“Dah,
takkan tak reti-reti nak ucap terima kasih..” Wah, kena sound direct dengan Dijah! Sempat aku menjeling pada Dijah. “Err…”
kelu pulak lidah aku. Aku telan air liur. Tekak kering ceritanya.
“Handle with care lagi…” Gulp!
Ingat aku barang yang ditampal dengan sticker
‘Fragile’. Kepala masih terasa pusing-pusing lagi. Apa hal sampai kena
terminalogi handle with care pulak.
“Am..
ni pakaian rasmi baru doctor ke?”
masuk tiga yang lain juga yang memakai lab
coat berwarna putih. Puas aku amati, ohhh jiran depan rumahku jugak. Bahu
Doktor Am ditepuk, sambil wajahnya sedang menyembunyikan senyum. Eleh, aku
nampaklah.
“Ini
mahu Menteri Kesihatan saman kau..”pecah tawa mereka semua. Wah, wah sukanya
hati. Aku mendengus geram. Dijah boleh join
sekali pulak tu. Hangin…hangin…
“Mana
sempat aku nak tukar seluar. Gaya orang tu macam nazak sangat dah.” Jawab si Am
sambil matanya jelas menjeling padaku. Zap… terpanah dekat hati! Erk… Ni sebab
pengsan tadi kut. Kesan sampinganlah tu.
“Nani…”
aku tampal senyum plastik.
“Kau
tahu, Am siap dukung kau masuk dalam kereta tau, bawak datang sini. Berkain
pelekat lagi tu.” Dan-dan aku pandang bawah. Haaa, baru aku perasan. Pakai lab coat dengan kain pelekat. Nice sut! Eh jap. Ayat yang Dijah sebut
tadi aku ingat-ingat balik semula. Am dukung aku masuk dalam kereta? Handle with care! Haah! Aku dah rasa
macam nak pengsan balik ni. Malu pun iyer jugak. Kena berdukung bagai. Muka dah
naik warna-warna pelangi.
“Memang
gaya suami mithali…” sahut Adli. Makin galak mereka menggiat.
Am,
Adli, Asri dan Noh. Semuanya doktor pelatih yang duduk depan rumahku. Kiranya
memang jiran aku. Dah dibuat geng dengan budak-budak serumah. Aku saja kut yang
paling tidak peramah dengan mereka. Entahlah, kalau pangkal nama depan Doktor,
aku pangkah awal-awal! Jahatnya aku… Bukan semua doktor perangai macam orang
tu. Tak tahulah nak cakap. Apa yang pasti, aku bukan jenis mesra alam sangat
dengan yang berlainan gender. Ada sempadan yang melangkau tinggi lagi luas
untuk diterjah. Muktamad!
Kepala
terasa berpinar-pinar. “Dahi awak tercium bonet kereta sebelum jatuh pengsan..”
Terang tuan doktor sambil matanya melirik padaku. Tercium? Aku raba dahiku.
Terasa macam ada benjol kecil. Patut kepala aku rasa macam bergegar je sebelum
pengsan.
“Kalau
awak cium orang ada jugak faedahnya, ini cium kereta…” gaya tu sinis memerli
aku. Pecah ketawa Dijah. Nak cium orang? Kirim salam ajelah.
“Okey
tak kepala dia tu..mana la tau…” Dijah bertanya entah pada siapa, ramai sangat
tuan-tuan doktor.
“Okey
kut. Paling tak pun, hilang ingatan je..” hilang ingatan je? Mukaku sudah cuak.
Liur sudah tidak tertelan. Biar betul. Tapi, elok aje aku kenal dengan Dijah,
dengan jiran-jiran depan rumahku semua. Celah mana pulak aku boleh hilang
ingatan ni.
“Mana
tau kan, kut kut lepas ni dia jadi peramah dengan kami semua..Itu mungkin effect major.” Adeh! Aku mendengus
geram. Main-mainkan aku rupanya. Sah, melanggar etika profesion
kedoktoran.
“Dahlah,
kesian aku tengok si Nani ni. Jum. Tak baik kacau orang sakit.” Ujar si Asri.
Ada jugak yang simpati dengan aku.
Yang
lain pakat-pakat mengangguk. “Lain kali bila nak makan tu baca bismillah dulu
tau!” sempat lagi tuan doktor bername tag
Dr. Naufal Ikram memberikan khidmat nasihat percuma dengan kenyitan mata. Aku
dah rasa aura nak membunuh. Aku kalih pandang Dijah. Perempuan tu boleh pulak
buat-buat pandang ke lain. Tahu, bocor dah rahsia aku makan roti dhoom cicah
kari kambing. Penyebab aku terlantar lembik atas katil hospital ni. Kau nayakan
kawan kau yer Dijah!
boleh buat permintaan tak kat sini?.... :D ...hehehehe TOLONG LA CEPAT2 PRINT CITE NI ....tak sabar dah ni
ReplyDeleteyg benar
SZanariah \0/