Wednesday 4 September 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 3): Normaslina Masri



PLANNER berwarna biru gelap Melissa ambil. Dia buka pada halaman ketiga. Disitu dia melihat pada satu tarikh yang dia bulatkan dengan pen berdakwat merah jambu. Hari kelima dalam bulan November, itu hari pertama dia mendaftar diri bekerja disini. Segala-galanya masih segar dalam ingatan Melissa walaupun telah hampir setahun berlalu. Melissa duduk menongkat dagu sambil mengimbau kenangan lalu......
“Hai.”
Melissa angkat muka. Dia tersenyum pada yang menegurnya.
“Saya Mimi.”
Melissa bangkit dari kerusi. Tangan yang dihulur disambut mesra oleh Melissa.
“Melissa.”
Melissa memperkenalkan dirinya.
“Tahu. Tuan Haji dah beritahu saya awal-awal.”
“Oh.”
“Ok, awak sambung isi borang tu dulu.”
Melissa angguk. Dia duduk kembali sambil mengisi borang yang diberikan oleh penyambut tetamu. Sepuluh minit kemudian Mimi datang semula dan membawanya bertemu dengan Tuan Haji Bakri.
“Jemput duduk.”
“Terima kasih.”
Melissa duduk dengan sopan.
“Selamat datang.”
Mereka bertukar-tukar senyuman. Memang benar seperti apa yang dikatakan oleh sepupunya tentang Tuan Haji Bakri. Lelaki awal lima puluhan ini memang penuh dengan karisma. Masih tegap dan kacak walaupun telah berusia.
“Saya harap Melissa gembira bekerja disini.”
“Insya Allah Tuan Haji.”
“Saya akan letak Melissa dibawah seliaan Mimi dalam masa sebulan. Apa sahaja yang Melissa tak pasti, boleh tanya pada Mimi atau datang terus pada saya.”
Melissa angguk. Mimi yang tadi tu ke? Kalau yang itu, baguslah sebab orangnya nampak peramah dan baik hati.
“Saya akan pastikan Melissa tidak akan menyesal kerana meletak jawatan dengan syarikat lama dan memilih untuk berkerja disini.” Tutur Haji Bakri sambil tersenyum. Lima minit kemudian Mimi masuk sambil menatang dulang.
“Mimi, ini saya kenalkan pembantu saya yang baru. Melissa.”
Seperti tadi, Melissa bangun dan bersalam dengan Mimi. Mimi tersenyum sehingga kedua belah pipinya naik.
“Tadi kami dah berkenalan.” Ujar Mimi. Namun dia masih menyambut tangan Melissa.
“Bagus. Nanti kamu tunjukkan Melissa apa yang perlu dia buat.”
“Baik.”
“Ajar semua sementara bos kamu masih bercuti.” Ujar Tuan Haji Bakri. Melissa terkedu disitu. Ada berapa banyak bos disini?


 
MELISSA membelek fail hitam yang diberi oleh Mimi sebentar tadi, matanya terasa letih membaca data-data yang tercatat disitu. Helai demi helai diselak, namun tiada satupun yang melekat dikepalanya. Sudah seminggu dia disini, ini sahaja kerjanya. Membaca, membaca dan terus membaca. Kalau baca tentang gossip tidak mengapa juga, ini tentang “sejarah” syarikat. Tak seronok dan mencabar langsung, bisik Melissa seorang diri.
“Awak baru kat sini ke?”
Suara lelaki yang menegur memeranjatkan Melissa.
“Yaaaa...” Sedikit tergagap suara yang keluar dari mulut Melissa.
Lelaki tadi merenung Melissa berminit-minit lamanya. Wajahnya berkerut seolah-olah sedang berfikir sesuatu yang amat penting. Kemudian dia tersenyum sinis sambil membetulkan letak cermin mata.
“Tak sangka pula Tuan Haji pilih pembantu yang macam ni. Tergagap-gagap bila ditanya.”
Melissa ternganga dimejanya. Matanya sahaja yang mengekori lelaki yang menegurnya tadi. Macam bagus, itu penilaian pertama buat lelaki yang berlagak tadi.
“Mimi.”
“Ya.”
“Siapa nama lelaki yang kat dalam bilik tu ye?” Tanya Melissa setelah setengah jam dia disergah oleh lelaki tadi.
“Oh. Dah berkenalan la ye?”
“Errr belum.”
“Tak apa. Kejap lagi aku kenalkan.” Setelah seminggu bekerja, Mimi dan Melissa sudah semakin mesra. Mereka lebih selesa menggunakan gantinama aku dan engkau, kalau guna perkataan awak dengan saya macam dekat asrama pula, itu kata Mimi.
“Eh, tak payahlah.”
“Kenapa pula tak payah. Aku bukan nak suruh kau mengurat dia pun.”
“Bbbbbuuujang lagi ke?” Lagi sekali Melissa tergagap.
“Ya. Anak orang kaya. Bapak dia ada syer dengan syarikat ni.” Terang Mimi.
“Oh...padanlah.” Kata Melissa.
“Padan apa?”
Padan pun berlagak, kata Melissa dalam hati. Dengan perasaan berbelah bahagi dia mengekori Mimi.
“Hai bos.” Tegur Mimi, suaranya ceria sungguh.
“Hai.” Bos Mimi tersenyum menyambut kedatangan mereka berdua.
“Bos, yang ini Melissa. Pembantu tuan haji yang baru.”
Melissa sekadar menganggukkan kepalanya sedikit, tanda hormat walaupun dia terasa sangatlah tidak ikhlas.
“Dah kahwin belum?” Tanya lelaki tadi dengan selamba. Mimi pula ketawa terkekeh-kekeh. Melissa memilih untuk diam, dia merenung lelaki dihadapannya.
“Oh, kalau tak jawab maknanya masih bujang la ni.” Dia masih tersengih sambil matanya memerhatikan Melissa dan Mimi yang masih berdiri. Wajah Melissa memerah menahan malu dan bengang bila diusik begini.           
“Saya Irfan. Irfan Suhaili.” Dia akhirnya memperkenalkan dirinya.
Irfan? Irfan Suhaili? Dia?????????????????????
“Awak memang suka berangan ye? Berkali saya panggil, awak masih tak dengar.” Melissa angkat muka, berkecai segala kenangan yang bermain difikirannya sebentar tadi.
“Tetamu dah balik. Tolong kemas meja saya.” Perintah Irfan. Melissa mencebik sebaik sahaja Irfan membelakanginya.

1 comment:

  1. Hoho...nama hero irfan suhaili ke?? Nama saya tu and I'm a girl..hihi

    ReplyDelete