Tuesday, 10 June 2014

Warkah Pengikat Hati (Bab 3): Aylanins

KHADIJAH. Dah dapat siapa yang nak bagi kursus tu?” Cikgu Masrip menghampiri meja Ustazah Khadijah. Bilik guru yang sederhana besar itu terasa agak membahang waktu tengah hari begitu walaupun kipas angin berputar ligat di siling.

Khadijah yang ketika itu sedang menulis sesuatu di dalam borang di hadapannya cepat-cepat mengangkat wajahnya. Pen diletak ke bawah.

“Dah… tapi bukan yang dari JAIS. Kita ambil dari masjid negeri. Yang dari JAIS dah kena booked tempat lain,” jawabnya.

Ustazah Maisarah yang duduk di hadapannya leka dengan ipad. Amboi, ajar tasmik pakai ipad ya, detik Khadijah dalam hati. Tasmik itu program membimbing dan merekod perkembangan bacaan al-Quran murid secara individu. Ustazah Maisarah itu lebih senang guna Al-Quran dalam ipadnya dari gunakan mushaf bercetak. Jadi murid-murid yang baca Quran di hadapannya cuma datang berlenggang sahaja ke bilik guru itu. Semua yang hendak dibaca ada dalam ipadnya.

“Ok. Tanya je. Guru Besar nak nama, nak beli cenderamata…” ujar Cikgu Masrip. Afiq dari Tahun 6 masuk sambil memegang kitab Al-Quran menuju meja Khadijah.

“Jiha mana? Tak ada kat kelas dia,” tanya Cikgu Masrip lagi. Dia sudah bergerak ke pintu, mahu keluar dari bilik guru. Murid-murid keluar masuk bilik guru untuk tasmik Al-Quran dengan guru-guru jQaf. “Dia yang buat buku program kan?”

“Balik kut. Tahun 3 tak ada Fardhu Ain hari ini,” sahut Khadijah.

“Oh… tak apalah…” sahut Cikgu Masrip.

Niat di hati hendak tanya perkembangan buku program kursus pengurusan jenazah itu pada Najiha. Kertas kerja program bacaton pun sepatutnya Najiha serahkan padanya. Tiba-tiba saja dia teringat dengan tujuan asalnya tengah hari ini. Dia yang hanya berseluar sukan dan berkemeja lengan pendek itu segera keluar dari bilik guru dan menuju ke taman herba. Petang ini dia mahu menyimen kolam ikan yang belum siap.



MENDENGAR Ustazah Rafidah mengiakan tidak ada kelas Fardhu Ain untuk Tahun 3, cepat sahaja Najiha mengemaskan komputer riba dan buku-buku yang mahu dibawa balik. Macam tidak cukup kaki dan tangan dia mahu keluar dari kelas. Riangnya hati dapat balik awal. Lutfi tentu sudah menunggu di perkarangan tempat letak kereta.

Kelas yang bersepah dia sudah tidak peduli, esok awal pagi, redha sajalah menyapu dan mengemas kelas yang macam kapal karam. Itulah, tadi siapa suruh buat aktiviti gunting dan tampal dengan murid-muridnya. Yang penting hari ini dapat balik awal.

Najiha terjengket-jengket lalu di hadapan pintu pejabat am sekolah. Nanti kalau Cikgu Masrip, Penolong Kanan 1 nampak, mesti kena tanya, awalnya baliklah, kertas kerja program bacaton dah siap ke, surat minta derma PIBG mana, buku program dah print ke belum. Dia bukan selalu balik awal begini. Meski waktu persekolahan sudah tamat, dia tetap jadi penunggu setia di sekolah sebab terpaksa tunggu Lutfi habiskan kelas Fardhu Ain saban petang.

“Haip… terhendap-hendap. Nak ke mana?” tegur Ustaz Wan yang lalu di hadapan kereta Najiha.

“Bising ah… nanti Cikgu Masrip nampak. Dia asyik tanya pasal kertas kerja program bacaton,” kata Najiha perlahan.

“Ya… Cikgu Masrip, sini haa…” laung Ustaz Wan sambil tersengih-sengih sambil melambai-lambai entah siapa.    

“Dengki... Kita bukan selalu dapat balik awal. Dah dekat 3 tahun asyik balik lewat je… haha…” Najiha menjawab. Suka. Siapa tak suka. Balik rumah, beli nasi bungkus, lepas tu boleh tidur petang, wah seronoknya.

“Eh… orang dah 10 tahun hampir setiap hari balik lewat petang tau tak…” ujar Ustaz Wan. “Takde nak complaint macam-macam.”

Ustaz Wan mengajar kelas Fardhu Ain petang-petang, belum campur dengan melatih pasukan bola sepak dan futsal sekolah lagi. Boleh dikatakan memang setiap petang kecuali petang Jumaat dia memang berada di sekolah.

“Hahaha… itulah siapa suruh ambil major Pendidikan Islam. Kan dah kena ajar Fardhu Ain petang-petang…” selamba Najiha membalas, tersengih-sengih nakal. Tangannya membuka pintu kereta, enjin kereta dihidupkan dan dia masih tersengih suka di tepi pintu kereta. Haba panas dari dalam kereta menyebabkan dia belum mahu masuk ke dalam kereta.

“Eh.. sekejap.. dah baca yang saya tag dalam Facebook?” tahan Ustaz Wan. Masih mahu mengusik Najiha.

“Yang mana?” Tak jadi kaki Najiha melangkah masuk ke dalam kereta. Lutfi yang tadinya bermain di tepi tiang bendera sekolah dengan kawannya sudah berjalan menghampiri keretanya.

“Yang ayat dari Surah Yassin tu… ayat jodoh, ayat jodoh… jumpa tak?”

“Ah… balik-balik yang itu,” balas Najiha geram. Dia tahulah dia belum kahwin, tak payahlah Ustaz Wan menyibuk pukul canang dalam laman muka buku itu letak nama dia pada setiap info pasal jodoh.

“Orang prihatinkan awak. Saya ni jenis yang prihatin pada mereka yang masih single… hehee…”

“Eleh, prihatin… kenapa tak tag Suhana? Tag Maisarah juga… hahaa… Ustaz takut mereka marah ya…” Najiha gelak-gelak. “Bye Ustaz… fighting…” dia buat stail tangan bersemangat dalam cerita Korea. “Fardhu Ain lagi 3 jam nak habis hehe…” 

Ustaz Wan senyum, mati kutu mahu menjawab. Dia selalu mati akal kalau dengar jawapan balas dari Najiha. Tapi berbalas kata dengan Najiha memang seronok sebab Najiha memang jarang ambil hati dengan kata-katanya. Kalau Puan Harisah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, dibawa bergurau keras, cepat saja terasa hati. 

Tahun lepas, dia padankan Najiha dengan tukang kebun sekolah, Alang yang masih bujang, muda 5 tahun dari Najiha. Tak juga Najiha marah. Melenting jauh sekali. Terkekeh-kekeh ketawa pula apabila dia giatkan Najiha dengan Alang depan guru-guru yang lain.

Pandai saja Najiha membalas kata-katanya, bertanya kenapa tak padankan Alang dengan Ustazah Suhana yang sebaya dengan Alang. Ustazah Suhana pun solo juga. Atau dengan Cikgu Laila yang juga belum kahwin. Tak pun dengan Ustazah Maisarah yang cantik ayu bertudung labuh. Sah-sah Ustaz Wan takut mereka itu marah. Najihakan tak pandai marah.



UMAR mencari-cari antara helaian kertas. Surat yang Doktor Hasbi serahkan pada dia tadi entah di mana dia letak. Dia mahu pastikan tarikh dan masa dia harus berada di tempat itu. Tapi tadi ada murid yang tolong hantar buku latihan ke mejanya, kemudian Tuan Haji Siraj, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mengirim sebeban fail data maklumat murid ke mejanya. Jadi mejanya sekarang penuh dengan fail-fail yang dihempap pula dengan buku-buku kerja murid.

Bekas air teh yang separuh penuh dia letak ke tepi. Buku-buku rujukan guru dia angkat satu persatu dan susun elok-elok atas kerusi. Plastik besar yang berisi baju-baju taekwondo murid dia angkat dan letak di lantai. Tapi meja gurunya masih bersepah. Penat mencari, Umar menghela nafas panjang. Lebih baik ke pejabat pentadbiran am cari Hasmah. Surat itu pasti ada salinan asalnya. Dia menuju ke pintu.



SEBELUM sampai di rumah, Najiha membeli nasi ayam 3 bungkus. Dua bungkus untuk Lutfi. Lutfi kalau makan tidak cukup sebungkus. Sebungkus lagi untuk Rafiq petang nanti. Untuk makan malam sekeluarga, dia sudah perap kepak ayam dengan tepung goreng berempah. Lewat petang nanti barulah dia akan goreng ayam itu. Ayah balik kerja makan tidak cerewet. Emak pun sama. Makan apa saja yang anak daranya hidangkan. Rafiq dan Lutfi usah cakap. Ayam goreng memang makanan kesukaan mereka berdua.

Hendak masak kari, sup atau buat gulai, badan sudah tidak larat. Mata ini bagai ditarik-tarik mahu terkatup. Lutfi yang sedang enak menghadap nasi ayam bungkus di hadapan TV sudah tidak dipedulikannya. Najiha terus terlena di ruang tamu.



MAK USU! Mak Usu bangun!” suara itu beberapa kali kedengaran, sayup-sayup dari jauh.

Najiha membuka mata. Nampak wajah Lutfi di hadapannya. Finn dan Jack sedang berbual dengan Flame Princess di kaca televisyen.

“Jam dah pukul 4. Nak ambil Rafiq tak?” Tanya Lutfi tapi matanya tidak beralih dari skrin televisyen. “Mak Usu cakap nak pergi awal…”

“Oh ya… a-a. Pergi awal. Nak tanya pasal baju renang,” Najiha bangkit. Mahu cuci muka dahulu. 



ASSALAMUALAIKUM…” Najiha menolak daun pintu pejabat pentadbiran am masjid negeri. Dia senyum. Ya, senyum itu kan satu sedekah. Lutfi mengekori di belakang lalu duduk di sofa berdekatan. Dia seronok bermain game pada ipad di tangannya.

“Waalaikumsalam… mak Rafiq kan?” seru seorang staf di situ. Najiha cuma mengangguk, senyum sahaja. Sudah selalu orang ingat dia ibu Rafiq. Redha sajalah. Rafiq pun comel. Tentu orang kata Rafiq comel macam maknya, Najihalah tu haha, suka.

“Nak tanya, semalam Rafiq ada tertinggal baju renang. Tapi tak tahu tinggal kat mana, kat swimming pool kot.”

“Warna apa ye kak?” Tanya kerani yang bertugas. Dia kenal wajah Najiha. “Kak Bibah.. Kak Bibah…” dia melambai pada seseorang.

Hasmah, detik Najiha dalam hati melihat tag nama di tudungnya.

“Kak Bibah ni yang selalu simpan baju renang budak-budak yang tertinggal,” terang Hasmah sambil tersenyum, mengunjuk pada seorang wanita, berpakaian seragam bertulis Ikhlas Bersih Sdn. Bhd.,  yang memegang penyapu di tangannya.

“Biru. Lengan panjang, kaki pun panjang. Ada zip di depan baju.”

“Rasanya macam ada. Kejap ya, Kak Bibah carikan…” Kak Bibah menyandarkan penyapunya di tepi dinding. Dia masuk ke bilik stor di belakang sana.

Nasib baik baju renang Rafiq ada dalam simpanan pihak sekolah. Rafiq selalu terlupa pakaian sekolahnya terutama kalau hari itu kena tukar ke pakaian Pendidikan Jasmani atau renang. Dulu awal tahun memang pihak sekolah sudah pesan, mesti tulis nama pada baju anak-anak, senang hendak cam kalau terlupa, tapi Najiha beria-ia hendak sulamkan nama dengan benang. Sulam tangannya sendiri. Sudahnya sulaman tangannya hodoh sangat.

Nasib baik ayah jumpa kedai sulam yang jahit sulam pakai mesin sulam. Jadi semua pakaian seragam Rafiq sudah disulam dengan namanya. Cuma baju renang ini saja belum disulam sebab baru dibeli minggu lepas. Hendak hantar ke kedai sulam itu tidak sempat.

Baju renang yang dibeli awal tahun memang sudah disulam, tapi tiba-tiba saja Rafiq meragam tidak mahu pakai sebab katanya, Cikgu Siraj marah sebab tak tutup aurat. Oh, patut pun. Baju renang yang lama itu jenis romper tapi setakat atas lutut. Yang baru ini, romper juga, tapi lengannya panjang dan kakinya pun panjang.

Selepas mengucapkan terima kasih, Najiha bingkas bangun. Daun pintu  pejabat ditolak dari luar. Dia mengangkat muka dan memandang ke pintu.

Seraut wajah tenang melangkah masuk. Jubah putih lengkap berseluar. Kopiah putih. Janggut sejemput elok tersusun rapi. Raut wajah itu yang teramat tenang. Mata yang redup dan teduh menawan. Tapi mata itu memandang ke hadapan. Tidak perasan pun Najiha yang berdiri di hadapannya.

Ya, orang yang beriman ini bukankah sentiasa menjaga pandangannya, tidak macam Najiha ini yang kalau nampak muka teduh menawan begini rasa mahu tenung lama-lama. Najiha cepat-cepat mengalih pandangan matanya ke arah lain tanpa sempat menyalin wajah itu ke dalam memori ingatannya. Masjid, Jiha, ini masjid. Fuh, kawal mata, kawal mata.

“Ustaz Umar. Ini salinan surat tu,” Hasmah menghulurkan helaian kertas. “Minggu depan tahu…”

“Ya… terima kasih. Maaf… tak tahu mana letak tadi. Bersepah meja tu…” Umar tersenyum lega melihat salinan surat yang diberi oleh Hasmah. Sebelum ke sini tadi, dia sudah menelefon Hasmah minta buatkan satu lagi salinan. Tidaklah lama dia menunggu-nunggu di pejabat itu.

“Eh sekejap… mak Rafiq, mak Rafiq,” Hasmah menahan Najiha yang sudah menolak pintu. Najiha menoleh.

Goggle ini Rafiq punya juga?” Hasmah menayang-nayang goggle renang warna hitam di tangannya.

Najiha mengamati goggle hitam itu. Goggle Rafiq biru, dia ingat sangat-sangat.

“Bukan. Goggle Rafiq, biru. Ada saya tulis nama dengan pen marker.”

Aduhai, kenapa panggil saya mak Rafiq, detik hatinya lirih. Sedihnya hati, dia yang masih anak dara itu selalu saja disangka emak orang. Depan ustaz tampan pula itu. Kan saham solonya boleh jatuh 50 peratus. Tapi melihat wajah Lutfi yang ralit bermain ipad membuat dia tersenyum sendiri. Ya, bertahun-tahun dia menata hati untuk Lutfi dan Rafiq yang comel itu membuatkan dia kalis digelar emak orang.

“Oh, tak apalah.. orang lain punya agaknya,” Hasmah mengangguk. Goggle hitam itu dimasukkan semula ke dalam beg plastik.



“MAK Rafiq ke?” Tanya Umar pada Hasmah ketika Najiha sudah di luar pintu pejabat pentadbiran am.

“Ya… comel kan. Macam muda lagi. Anak dua tu ustaz…” kata Hasmah sambil berjalan menuju ke mejanya. Plastik berisi goggle tadi dia letak atas mejanya. Nanti Kak Bibah lalu, dia bagilah. Kak Bibah yang simpan barang-barang budak yang selalu tertinggal di sekolah itu.

“Iya? Kak Hasmah kenal ke?” Umar meneliti surat di tangannya. Minggu depan, hari Sabtu dia  dijemput untuk bagi ceramah pasal pengurusan jenazah. Sekolah mana ni ya?

“Taklah kenal… cam muka je sebab dia selalu datang sini tiap bulan bayar yuran. Selalu datang dengan abang Rafiq, yang besar sedikit tadi tu,” cerita Hasmah. Bukannya ramai orang yang menjengah pejabat pentadbiran am masjid negeri ini. Kalau ada pun cuma ibu bapa murid-murid tahfiz sahaja. Murid-murid di sini bukan ramai mana pun, tak sampai 200 orang.

“Ustaz tak balik lagi ke?” tanya Hasmah. Selalunya kalau cikgu tahfiz, tengah hari tadi dah balik ke rumah. Sekolah tahfiz ini sebelah pagi diperuntukkan untuk kelas hafazan, petang pula akademik.

“Tak… ada kerja sikit lagi nak siapkan. Bawak balik ke rumah bukan siap pun,” jawab Umar seadanya masih lagi membaca isi surat di tangannya.

“Kosong ofis ni Kak Hasmah? Mana yang lain?” tanya Umar. Matanya mengitari sekeliling pejabat am itu. Kak Bibah saja yang sibuk menyapu di sudut sana.

“Ada. Mana entah… ada kat pantri, ada kat tandas, ada yang sembahyang Asar kat atas,” kata Hasmah memandang Ustaz Umar sekilas.


Ustaz Umar itu segak orangnya, tapi sayang belum ada yang punya. Dia pernah usik-usik mahu padankan Ustaz Umar dengan cikgu-cikgu perempuan di sekolah tahfiz ini, tapi tidak pernah ada yang jadi. Entah Ustaz Umar ini memilih sangat, tapi cikgu-cikgu perempuan di sini hampir semua dah kena cup orang. Kalau tak dah kahwin, dah bertunang, paling tidak pun dah ada teman lelaki istimewa. 

No comments:

Post a Comment