Wednesday, 11 June 2014

Kutunggu Pinanganmu (Bab 5): Fisha

Tubuh yang sudah terlalu letih dihempas ke sofa panjang diruang tamu. Sudah malas nak bergerak naik ke bilik sendiri yang tidak sejauh mana. Hari ni lambat betul dia bergerak balik dari ladang. Banyak kerja yang perlu dibuat bila anak-anak lembu yang dibeli sudah sampai ke ladang.
Minda kembali mencongak bilangan lembu yang boleh dijual untuk hari raya Aidil adha dan Aidilfitri nanti. Cukuplah menampung pesanan pelanggan tetap setiap tahun. Alhamdullilah, rezeki makin meningkat tahun demi tahun berkat dari kerja keras dan kerjasama dari semua yang terlibat.
“Fawwaz? Baru sampai?” Puan Fazilah yang baru selesai solat Isya memandang anak tunggal yang sudah terlelap disofa. Hujung jari kaki Fawwaz dicuit perlahan, mahu mengejutkan anak yang nampak lena benar. Langsung tidak terganggu dengan soalannya.
“Fawwaz!”
Agak tinggi nada menyeru nama anak bujangnya.
“Eh, ma” mata yang berat dibuka juga bila Puan Fazilah sudah duduk dihujung kakinya. Tubuh letih dipaksa bangun, duduk disebelah wanita yang sangat disayangi. Langsung tidak sedar bila dia terlelap diruang tamu ini.
“Letihnya mama tengok. Sibuk sangat ke hari ni?”
“Macam biasalah ma, nama pun kerja sendiri. Letih pun kena buat jugak. Lagipun hari ni anak-anak lembu dah sampai. Itu yang sibuk nak tagkan dan asingkan dulu.”
“Kerja, kerja jugak tapi janganlah seksa diri sendiri. Ini dah solat ke belum?”
Fawwaz dah tersengih mendengar soalan Puan Fazilah. “Maghrib dah, isyak belum lagi. Terus balik lepas semua siap tadi. Ma masak apa hari ni, laparlah.”
“Tak ada yang istimewa. Macam biasa, ada ikan dan sayur. Nak makan ke?” wajah Fawwaz ditatap menanti jawapan. Anak nan seorang ni memang jarang makan dirumah, tapi hari ni boleh pulak merengek lapar. Sibuk sangat la tu sampai tak sempat nak makan.
“Nak la. Lapar ni, rasa macam ada konsert rock tengah berlangsung dalam perut ni. Tak lena tidur kalau tak makan.”
“Pergi mandi, solat. Lepas tu boleh makan dengan abah. Sempatlah tunnggu abah balik dari surau sementara Fawwaz nak siap solat.”
“Fawwaz naik dulu ma”
“Jangan naik bilik tu tidur pulak.” pesan Puan Fazilah. Bukan boleh diharap sangat dengan anak bujangnya itu, kalau dah letih benar cepat betul terlena walaupun ditempat yang tak sepatutnya.
“Taklah, Fawwaz naik mandi dan solat je. Nanti Fawwaz turun makan.” Laju dia melangkah ke bilik. Nak mandi dan solat. Lepas tu boleh makan malam bersama keluarga tersayang. Perut dah tak boleh menahan lapar.


Fawwaz menadah tangan, menanti pinggan dari Puan Fazilah. Mama ni memanglah terbaik dari ladang. Masakan malam ni betul-betul kena dengan selera yang sudah dua hari tak dapat makan dengan betul.
“Lapar sungguh abah tengok ni.” tegur Encik Azhar bila Fawwaz makan dengan senyap dan bersungguh-sungguh. Langsung tak berbunyi mulutnya. Menganggkat muka pun tidak, asyik memandang pinggan nasi dan lauk.
“Sedaplah abah.”
“Biasa je abah rasa. Hari-hari macam inilah juga mama kamu masak sejak abah kahwin dulu. Apa yang berbezanya? Kamu tu yang jarang makan dirumah.”
“Ini namanya orang tak cukup makan sebab terlebih sibuk dengan kerja.” sampuk Puan Fazilah yang sejak tadi memandang dua lelaki dalam hidupnya berbalas cakap. Dia pun pelik tengok Fawwaz makan dengan nikmatnya hari ni. Tak adalah istimewa mana pun lauk malam ni tapi cara Fawwaz makan macam dia masak briani kambing.
Selalunya Fawwaz hanya akan memijak lantai rumah ketika mereka suami isteri sudah enak dibuai mimpi. Tapi hari ni boleh pula balik awal dan makan bersama.
“Mama ni, ada pula cakap dekat Fawwaz macam tu.”
“Dah betulkan, mama rasa dah lama kita tak makan sekali. Asyik muka mama dengan abah saja tiap-tiap kali waktu makan. Fawwaz mana ada masa nak makan dengan kami.”
Terkedu Fawwaz mendengar luahan perasaaan Puan Fazilah, sayu la pulak mama malam-malam ni.
Encik Azhar hanya tersenyum. Memang dia takkan campur perang mulut antara dua beranak tu. Susah nak pilih pihak mana yang hendak disokong. Jadi lebih baik dia diam dan menjadi pihak berkecuali. Dengar dan jangan menyampuk.
“Memang la abah selalu makan dengan ma, pukul enam abah dah sampai rumah. Orang kerja gomen la katakan. Lainlah anak mama yang kena perah peluh sendiri ni. Mana boleh balik awal. Haiwan tu semua dekat maghrib baru reti balik ke bangsal.”
“Salah siapa? Lembu pun reti balik ke rumah sebelum maghrib. Tapi anak mama, nak tengah malam baru sampai rumah. Rasanya lembu tu lagi baik dari Fawwaz.”
Fawwaz diam, kalau Puan Fazilah dah tanya macam tu dia takkan menjawab. Memang salah sendiri, apa yang terjadi sekarang kesan dari kedegilan dahulu. Jadi lebih baik berdiam diri dari menegakkan benang yang basah. Tak salah rasanya mengaku kesilapan sendiri.
“Semalam abah lalu dekat bilik, Fawwaz tak tidur lagi. Buat apa sampai pukul tiga pagi?”
Encik Azhar menyelamatkan keadaan bila suasana hening mula menguasai suasana makan malam mereka. Tidak mahu mengungkit benda yang sudah lepas. Cukuplah dengan apa yang sudah mereka lalui dahulu.
Tersedak Fawwaz dengan pertanyaan abahnya. Memang tak sangka langsung yang ada orang perasan dia tak tidur sampai ke pagi. Takkan nak bercerita apa yang dia buat sampai berjaga macam burung hantu. Malulah! Mahu dibahan oleh Puan Fazilah seminggu nanti. Mama tu mana boleh tengok dia ada buat benda pelik sikit.
“Tak ada apalah abah.”
“Jangan tidur lambat sangat, Fawwaz keluar pagi-pagi memandu. Kalau tak cukup tidur kan bahaya jadinya.” bimbang betul hati tuanya setiap hari anak lelaki itu keluar mencari rezeki. Jarak perjalanan yang jauh memungkin segalanya. Hendak dibenarkan anaknya itu tinggal disana, Puan Fazilah pula yang tak setuju. Pening kepala tuanya memikirkan dua insam istimewa dalam hidupnya.
“Tak ada apalah bah. Kalau mengantuk Fawwaz berhenti tidur dulu. Ladang tu boleh lagi harapkan budak-budak buat kerja. insyaAllah Fawwaz jaga diri baik-baik.”
“Pindah duduk sanalah, hujung minggu baru balik” cadang Encik Azhar entah untuk keberapa kalinya. Dia kurang bersetuju dengan keputusan Fawwaz untuk berulang setiap hari dari Alor Setar ke Yan. Bukannya dekat. Sejam juga memandu!
“Tak naklah, sayang nak tinggal mama dengan abah.” Jawapan beli jiwa. Tak mahu dibebel oleh Puan Fazilah lagi kalau dia mahu hidup sendiri. Lagipun bosan juga kalau hidup membujang diladang tu.
“Kalau sayang, hati-hati memandu.” Pesan Encik Azhar.
“Baik”
Puan Fazilah hanya diam mendengar perbualan antara dua lelaki penting dalam hidupnya. Siapa yang tak sayang anak. Tambahan pula, Fawwaz satu-satunya zuriat yang ada. Sungguh dia berbelah bagi untuk melepaskan Fawwaz duduk sendiri. Tapi melihat Fawwaz berulang-alik pun buat dia serba-salah  jugak.
“Lepas makan, terus tidur. Jangan nak berjaga menonton lagi.” pesan Puan Fazilah sebelum mengangkat pinggan ke dapur bila semua sudah selesai menjamu selera.
Fawwaz hanya mengangguk walaupun pesanan itu sangat tak relevan dengan dirinya. Mana pernah dia tidur dengan perut yang penuh. Memang takkan terlena selagi makanan tidak dihadamkan dengan sempurna. Tapi kita iakan saja supaya mulut mama akan senyap buat seketika.


Langkah yang diatur menuju ke bilik terhenti bila perasan television masih lagi terpasang diruang tamu. Pastinya Fawwaz yang berada disitu. Anak bujangnya itu mana boleh terus lena selepas makan.
“Fawwaz, tak tidur lagi?” Puan Fazilah duduk disebelah Fawwaz yang sedang leka menaip di komputer ribanya. Nampak sibuk benar dengan kerja yang tak pernah habis.
“Belum lagi, perut sendat sangat. Nak tidur pun tak selesa rasanya. Kena tunggu habis proses kejap. Setengah jam lagi Fawwaz tidurlah.”
“Buat apa ni?”
Menjengah ke skrin yang sedang ditatap oleh Fawwaz. Tak tahu apa yang asyik ditatap oleh anak terunanya.
“Buang masa kejap.”
“Boleh mama cakap sikit?”
Mendengar nada serius Puan Fazilah, komputer ditutup kemudian diletakkan diatas meja kopi. Memberi sepenuh perhatian pada wanita kesayangannya. Pasti ada hal penting yang hendak dibicarakan bila melihat air muka mamanya yang serius.
“Tahun ni dah 33 tahun umur Fawwaz. Bila nak kahwin ni?” hati yang runsing melihat anak terunanya masih sendiri tanpa teman membuatkan dia membuka mulut. Sampai bila Fawwaz mahu hidup sendiri.
“Ma, apa tanya benda macam ni. Mama tahukan yang Fawwaz tak kawan dengan mana-mana perempuan sekarang. Mana nak cari calon nak buat menantu mama.”
Rasa macam baru saja dia bercakap benda yang sama dengan paklong Amin. Kenapa semua orang sibuk nak dia berkahwin ni. Teruk sangat ke hidup dia sekarang sampai semua orang sibuk nak carikan jodoh untuk dia?
“Nak mama carikan? Boleh mama tanya kawan-kawan mama yang ada anak dara. Bagitau je Fawwaz nak yang macammana.”
Laju dia menggeleng. Langsung tak berharap untuk menamatkan zaman bujang dengan pilihan orang tua walaupun banyak orang cakap yang pilihan keluarga adalah pilihan yang terbaik. Tapi biarlah dia sendiri mencari Hawa yang sudah tercipta untuknya. Lebih bermakna dan dihargai.
“Habis tu, Fawwaz nak ambil bekas tunang Helmi?” terbayang dimata wajah Idayu, gadis manis yang selalu menjengah ke rumah mereka. Bekas tunang kawan baik Fawwaz, Helmi. Sudah lebih lapan tahun gadis itu masih setia membujang dan belum berkahwin.
“Maaaa…..” langsung tak bersetuju dengan cadangan Puan Fazilah. Memang Idayu cantik dan baik. Lengkap pakej sebagai calon isteri tapi hatinya tak pernah bergetar setiap kali bersua muka dengan gadis itu. Kalau hendak dibuat kawan bercerita memang dia suka pada Idayu tapi kalau hendak dibuat calon isteri rasanya tidak sampai ke tahap itu lagi.
Lain pula halnya dengan Nana, cukup hanya dengan berbalas taipan diskrin bisu tapi berjaya membuatkan hatinya bergetar hebat. Tapi untuk diceritakan Puan Fazilah terasa cepat benar. Biarlah dia berkenalan lebuh rapat dahulu dengan gadis itu.
“Habis tu Fawwaz tunggu apa?”
“Puteri kayangan.”
Jawapan yang menyebabkan dia menerima satu tamparan dari Puan Fazilah. Orang tanya betul-betul dia boleh buat main pula. Langsung tak mahu faham hati tua yang risaukan kebahagian anak sendiri.
“Apa yang tak kena dengan Ayu tu?”
“Hati Fawwaz tak ada dekat dia ma. Biarlah dia cari orang lain yang sayang dan jaga dia dengan penuh tanggungjawab. Bukan dengan Fawwaz.”
Jujur dia menutur. Mahu Puan Fazilah faham apa yang tersirat dihatinya. Dia yakin Idayu bukanlah jodoh yang ditetapkan untuknya.
“Tapi dah lama, dia tetap tak ada teman. Nampak macam dia mengharap pada anak teruna mama ni.”
Lembut Puan Fazilah berkata. Menyampaikan apa yang mata tuanya nampak. Mana tahu Fawwaz tak pernah perasan semua itu selama ini.
Nafas dihela panjang. Sesak bila nama Idayu memenuhi minda. Memang dia sayangkan Helmi tapi untuk mengambil Idayu sebagai isteri rasanya bukanlah satu tindakan yang bijak. Cinta memang boleh dipupuk tapi rasanya tak ada kimia antara mereka.
“Nanti adalah jodoh dia Ma.”
“Habis tu jodoh Fawwaz bila pula?”
Fawwaz sudah tersenyum lebar mendengar soalan itu. Entah mengapa terasa indah pula soalan itu ditelinganya. Bagaikan terbayang dia akan hidup bersama insan bernama Qistina. Yakin yang dia akan bahagia dengan gadis yang hanya dikenali lewat suara dan tulisannya saja.
“Dah senyum pula, ini mesti dah ada calon. Orang angau saja yang senyum macam anak mama ni.”
“Mana ada.” Cepat dia menidakkan. Benda yang betul pasti hujung pangkalnya tidak boleh didedahkan pada Puan Fazilah.
“Kalau tak ada kenapa muka berseri benar bila mama sebut pasal calon isteri. Padahal tadi bukan main berkerut muka bila dengar nama Ayu. Baik cakap betul-betul dengan mama apa yang sedang berlaku.”
Inilah susahnya bercakap dengan insan yang mengenali kita luar dan dalam. Payah hendak menyembunyikan rasa hati yang sedang berkembang wangi. Tapi rasanya sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercerita dengan Puan Fazilah.
“Nanti kalau betul-betul ada, Fawwaz kenalkan pada mama. Sekarang ni baru dalam proses nak mengenali dan bersahabat. Macam tak kena pula kalau nak bagi dia jumpa dengan mama. Bolehkan?”
“Ingat pesan mama ni, jangan sesekali berniat nak mainkan hati anak dara orang. Hidup kita takkan bahagia. Apa yang kita buat, itu yang akan kita dapat balik. You know, what you give, you get back” serius Puan Fazilah bersuara. Tidak mahu anak yang dilahirkan merosakkan mana-mana hati anak dara orang.
Amboi Puan Fazilah, siap bahasakan dia dalam bahasa inggeris. Nampak serius benar, membuatkan dia mengiakan semuanya.
“InsyaAllah ma, kalau Fawwaz tak ada niat nak buat isteri memang Fawwaz takkan bagi harapan. Itu janji Fawwaz.”
“Baguslah kalau macam tu, mama masuk dulu. Jangan tidur lewat sangat. Esok Fawwaz orang yang paling awal kena bangun”
“Baik”
“Kirim salam dekat kawan Fawwaz tu. Moga-moga adalah jodoh dia dengan anak teruna mama ni.”
Tersengih Fawwaz dengan pesanan Puan Fazilah. Inilah untungnya ada mama yang memahami. Senang diajak berbincang walaupun suka membebel entah apa-apa.
“InsyaAllah ma, selamat malam.”
“Selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam.” Jawab Fawwaz bila Puan Fazilah sudah berlalu ke dalam bilik. Jemari kembali menari diatas papan kekunci. Menyambung perbualan dengan Nana.

No comments:

Post a Comment