Friday, 13 June 2014

Detak Jantung Dia (Bab 4): Aidah Bakri

Sayup melihat tebing
Tika hanyut dibawa arus
Tinggi gunung tak terdaki
Bila langkah kerap tersekat

            “Siap sekarang. Ikut papa pergi pejabat.” Keras dan kaku. Memang veto! Intonasi macam arahan untuk perkeja bawahan sahaja bunyinya.
            Afra yang baru hendak duduk, terpinga seketika. Wajah Tuan Kazim dan Puan Jasmine dipandang silih berganti. Dia yang baru turun dari bilik dan seperti biasa ingin bersarapan bersama-sama menarik kerusi lalu duduk perlahan-lahan. Pergi pejabat?
            “Maksud papa?” soalnya sambil menarik pinggan yang berisi roti bakar.
            “Dah dua bulan you habis belajar, dah sampai masanya fikirkan tentang masa depan. Sampai bila nak buang masa tak tentu hala.” Jelas Tuan Kazim.
            “Betul tu Afra. Sampai bila nak buang masa. Masa tak pernah tunggu kita. Setiap waktu yang berganjak, kita perlu fikirkan tentang kejayaan... tentang cara untuk menambah apa yang kita ada. Barulah nanti ada kedudukan untuk kita. Barulah orang tak pandang remeh pada kita.” Sambung Puan Jasmine.
            Afra masih tunduk. Memandang roti yang berada dipinggannya tanpa diusik. Memang itulah cara mama berfikir... sebab itu kedudukan mama tinggi sekarang ini. Sehingga terlupa pada nilai yang perlu ada dalam hati nurani. Sehingga terlupa berterima kasih pada hidupnya yang dulu. Dada Afra sebak tiba-tiba.
            “Afra dah ada perancangan untuk hidup Afra.” Kata Afra perlahan.
            “Okey, apa yang you nak buat. Cuba beritahu papa.”
            Afra menarik nafas. Menjeling sekilas ke arah Puan Jasmine. Berdoa dalam hati agar apa yang dirancangkan bakal diterima oleh orang tuanya.
            “Afra ingat nak bukak pusat penjagaan harian orang-orang tua... home care centre. Afra nampak keperluan adanya pusat seperti itu amat penting sekarang, lebih-lebih lagi di bandar besar macam tempat kita ni.” Jelas Afra.
            Arfa nampak mamanya menggeleng kepada. Papa pula diam tanpa reaksi yang positif. Namun yang jelas terakam di anak matanya... wajah itu tegang dan masam mengalahkan cuka.
            “Afra dah buat proposal.”
            “Mama tak setuju. Nak buat apa you nak susahkan diri. Syarikat papa dah kukuh, dah ada banyak cawangan... siapa nak teruskan usaha papa dan mama kalau bukan you. Kami bukannya ada anak lain.” Puan Jasmine memandang Afra tidak puas hati. Pusat penjagaan orang tua??? Bergelumang dengan orang tua? Apa bala yang anaknya tempah ni? Hidup dah senang depan mata... nak menyusahkan diri buat apa.
            “Afra tak minat dengan bidang pembinaan yang mama dan papa usahakan. Lagipun Hanif  kan ada. Dia kan dah lama jadi orang kanan papa. Lagipun dia kan anak saudara mama sendiri.”
            “Papa tetap dengan keputusan papa... you mesti kerja di syarikat papa. Mesti berganding bahu dengan Hanif teruskan apa yang dah papa mulakan. Esok lusa kalau kamu berdua sudah jadi suami isteri, lagi senang.” Tegas suara Tuan Kazim membuat Afra terkedu seketika.
            Suami isteri?... rupanya benar desas desus yang dia dengar beberapa bulan kebelakangan ini. Memang benar dia bakal dijodohkan dengan Hanif, anak Pak Long Jalil. Anak Tan Sri Jalil yang lebih tepat!
            “Hanif kan abang sepupu  Afra.”
            Puan Jasmine mendengus kasar. Wajah Afra yang sedang tunduk dipandang geram. Afra memang jarang menurut apa yang dia dan suaminya kata. Ada sahaja yang dibantah. Ada sahaja yang tidak dipersetujui. Kalau dulu dia tidak berkeras memaksa Afra menyambung pelajaran di UK, sudah tentu anaknya yang seorang itu sudah menyambung pelajaran di Jordan.  Kalau tidak ditegah, sudah pasti anaknya itu sudah bertudung labuh... jangan-jangan sudah berpurdah seperti Majidah. Umi Majidah!
            “You mesti kahwin dengan Hanif.”
            Afra mengangkat muka memandang Puan Jasmine yang sedang memandang kearahnya dengan pandangan yang mengancam. Tanpa senyum dan langsung tiada aura mesra. Mereka seperti orang lain. Hubungan mereka bagai ada tembok yang menghalang segala kemesraan.
            Mesti?? Veto!
            Mesti?? Kawin paksa! Tipikal cerekarama melayu. Puan Jasmine terlupa agaknya zaman sudah jauh berubah.
Mesti kahwin dengan Hanif?? Hanif yang kacak bergaya itu?? Hanif yang ramai teman wanita itu?? Hanif abang sepupunya yang baik hati itu??
            “Afra tak boleh.” Perlahan suara Afra.
            “Kenapa? You dah ada orang lain? Dah bercinta dengan orang lain?”
            “Mama... kenapa mama nak paksa Afra? Afra tak boleh buat apa yang Afra tak suka. Tanpa berkahwin dengan Hanif pun, dia tetap boleh menjadi waris mama. Hanif abang saudara Afra, ma.” Perlahan dengan harapan dapat melembutkan hati Puan Jasmine.         
“Anak perempuan adalah hak ibu bapa, Afra. Umi Majidah you tak ajar betapa wajib seorang anak menurut perintah ibu dan bapanya. Tiap-tiap hari berulang ke sana, takkan perkara asas macam tu pun you tak tahu. Apa sahaja yang you buat di Darul Hannan sana?” Suara Puan Jasmine mula meninggi. Sakit hatinya pada Umi Majidah dilampiaskan kepada Afra.
            “Jasmine... jangan berkeras sangat.” Tegur Tuan Kazim. Bimbang juga hatinya andai Afra semakin jauh dari mereka. Menunjukkan rasa tak suka mereka pada penghuni Darul Hannan adalah bukan langkah yang baik. Apa pun Afra pasti berpihak kepada Abi Daud dan Umi Majidah. Mereka tak boleh lupa bahawa sebahagian dari jiwa Afra ada di Darul Hannan.
            Afra menarik nafas panjang. Sekali lagi mamanya mengungkit tentang Darul Hannan. Menghina yang lebih tepatnya. Mama sudah lupa pada kebaikan Darul Hannan. Mama lupa Darul Hannan itu pernah menjadi tempat dia ditumpangkan. Diam-diam dia menelan hiba.
            “Kenapa nak libatkan umi? Umi tak ada kena mengena pun dengan apa yang kita bincangkan. Darul Hannan tak pernah mempengaruhi fikiran Afra.”
            “Hah... you tengok tu, tak habis-habis dia membela si Majidah tu. Baik sangat Darul Hannan tu di mata dia. Suka sangat dia dengan pondok buruk tu.” Puan Jasmine kian menyinga.
            “Papa tak pernah halang you ke sana. Tapi jangan sampai you terpengaruh dengan cara hidup mereka. Cara mereka berfikir tentang hidup, cara mereka menikmati hidup... tak sama dengan orang seperti kita.”
            Afra nanar seketika. Ayahnya pun sama.  Pandangan ayah dan ibunya tentang Darul Hannan sama. Mereka telah lupa pada sejarah mereka rupanya.
            “Apa yang tak sama pa? Agama kita sama dengan mereka. Tujuan hidup kita sepatutnya sama dengan mereka walaupun rezeki yang Allah bagi pada kita jauh lebih mewah dari mereka.”
            Tuan Kazim menolak kerusi dengan kasar. Dia berdiri sambil memandang Afra dengan wajah menahan marah. Anaknya ini sudah melampau! Sudah mula tunjuk pandai. Sudah pandai membandingkan mereka dengan penghuni Darul Hannan sana. Sedangkan sepatutnya Afra tahu bahawa perbezaan mereka umpama langit dengan bumi. Mereka di utara dan penghuni Darul Hannan itu jauh di selatan bumi.
            “Jangan cuba mengajar papa, Afra! Jangan sampai papa halang you dari berjumpa dengan mereka. Sampai hari ini papa biarkan you ke sana sebab si Majidah tu pernah memberi sedikit susu pada you.” Keras suara Tuan Kazim.
            Hati Afra bagai ditusuk duri sembilu. Si Majidah?? Ibu susuannya dipanggil Si Majidah? Sampainya hati papa! Begitu hina mereka di mata papa. Papa lupa ke pada jasa mereka? Memang Tuan Kazim yang mulia ini sengaja buat-buat lupa.
            “Bukan sedikit papa... dua tahun! Dua tahun Afra menyusu dengan umi. Papa sepatutnya ingat, tanpa susu dari Umi Majidah... mungkin Afra tak ada hari ini. Mungkin Afra sudah mati kelaparan masa bayi dulu. Susu yang umi beri sudah menjadi darah daging Afra, pa. Tergamak papa nak suruh Afra lupakan mereka.”
            Afra menjadi berani bila soal umi dibangkitkan. Wanita itu sudah diangkat sama taraf dengan ibunya. Umi Majidah yang berperanan seperti Halimatul Sa’diah. Dia bukan hendak menyebelahi umi tapi apa yang ibunya lakukan banyak yang tidak dia gemari. Banyak yang sumbang dimatanya. Apa salahnya hubungan baik yang ada dulu diteruskan. Kenapa mesti putuskan silatulrahim yang ada. Tidak ada ruginya kalau keluarga mereka berbaik-baik seperti dulu.
            “Berapa banyak yang mereka nak, papa boleh bayar balik harga susu yang mereka beri. Berkali-kali ganda papa boleh.” Angkuh suara Tuan Kazim memeranjatkan Afra. Sanggup ayahnya nak bayar harga susu yang diberi Umi Majidah.
            Astaghfirullah... papa! Bukan semua boleh dibeli dengan wang ringgit. Rasa sebak kian menghanyutkan hatinya. Mengalir titis-titis pedih ke seluruh urat nadinya. Ayahnya memang sudah berubah. Bukan Kazim yang tidak punya apa seperti bertahun dulu. Bukan Kazim yang berkawan rapat dengan Abi Daud dan Umi Majidah dulu. Harga kasih sayang mereka tiada nilainya pa... tubir mata mula terasa hangat.
            “Betul kata papa. Jangan kerana susu yang dia beri pada you... you terpaksa mengabdikan seluruh hidup you pada mereka. Darul Hannan bukan dunia kita, Afra. You tak perlu rasa terhutang budi pada mereka.” Sokong Puan Jasmine.
            Puan Jasmine pun begitu. Memang sehati sejiwa dengan suaminya. Puan Jasmine juga turut terlupa pada kisah yang pernah dikhabarkan padanya bertahun dulu. Ibunya itu pengsan selepas melahirkannya duapuluhlima tahun yang lalu. Terpaksa ditahan di ICU seminggu lamanya. Ditahan berminggu-minggu pula di wad akibat rahimnya yang rosak teruk sehingga terpaksa dibuang. Afra yang masih merah... yang langsung tidak mahu menyusu susu formula, terpaksa diserahkan kepada umi. Lima tahun lamanya dia tinggal bersama keluarga umi. Lima tahun dia membesar di Darul Hannan lantaran kesihatan ibunya benar-benar terganggu. Puan Jasmine mengalami ‘postnatal despression’. Ibunya memang sudah lupa pada semua hubungan jiwa yang cukup manis dulu. Afra terpaksa mengangkat bendera. Terpaksa mengalah dengan ayah dan ibunya.

No comments:

Post a Comment