Taiping, Perak 1998
Dhiya menguap sambil
melihat jam di pergelangan tangannya. Pukul 5.55 pagi. Ah, sebentar lagi mesti
bas akan sampai. Bas sekolah 707 yang dinaikinya itu selalunya akan sampai
tepat jam 6 pagi. Dikerling neneknya yang sedang leka menyiram pokok bunga
kertas di halaman rumah. Sudah menjadi kebiasaan yang neneknya akan turut
sama-sama menunggu bas sekolah yang akan membawa Dhiya ke sekolahnya yang
terletak di pekan Taiping. Ah, bukan tiada sekolah di pekan Simpang ini namun
ayahnya lebih suka dia bersekolah di Sek. Men. Kebangsaan (P) Treacher
Methodist atau lebih dikenali sebagai TMGS. Alasan yang diberikan ialah ayahnya
tidak suka Dhiya bersekolah campur lelaki dan perempuan, sebab itu dia dihantar
ke TMGS. Treacher Methodist Girls School!
Lamunan Dhiya terhenti
apabila sayup-sayup kedengaran bunyi bas sekolahnya. Cepat-cepat Dhiya
menyalami tangan nenek dan mengangkat buku serta beg sekolahnya. Bas sekolah
707 itu berhenti betul-betul dihadapan rumah dan Dhiya pun menaikinya. Apabila
berada di dalam bas, Dhiya memanjangkan leher mencari kelibat Malarvili, rakan
sekolahnya. Selalunya, Malarvili akan ‘chop’ atau menyimpan tempat duduk
untuknya. Jenuh Dhiya memerhati namun kelibat Malarvili tidak juga dijumpainya.
‘Erm..mungkin dia absent kot hari
ni,’ detik hati kecil Dhiya.
Kebanyakan tempat
duduk telah pun penuh dan Dhiya terpaksa bergerak ke bahagian belakang bas
untuk mendapatkan tempat duduk. Nasib Dhiya agak baik apabila masih ada satu
tempat kosong. Tanpa berlengah, Dhiya terus mendapatkan seat kosong tersebut. Apabila Dhiya duduk, dilihatnya budak lelaki
cina yang duduk disebelahnya sedang nyenyak tidur. Dikerlingnya lambang sekolah
yang berada di poket depan kemeja budak terbabit. ‘Oh, budak Georgie rupanya’. Tanpa mempedulikan
dengkuran halus yang keluar dari budak tersebut, Dhiya hanya diam dan melayan
perasaan. Seketika kemudian, Dhiya pun terlelap.
Dhiya terjaga dari
tidur apabila terasa ada orang melanggar bahunya. Dilihatnya bas sudah pun
padat dengan pelajar dari pelbagai sekolah, ada dari TMGS, Dr. Burhanuddin,
King Edward atau K.E, St. George atau Georgie dan Hua Lian. Dia menenyeh-nenyeh
matanya dan melemparkan pandang ke luar tingkap. ‘Oh, dah sampai dekat Panggung
Mandarin..erm..tak boleh terlelap lagi dah ni..karang ada terlajak sampai Hua
Lian pulak ni kang,’ ngomel Dhiya dalam diam.
Dilihat budak lelaki
di sebelahnya masih nyenyak tidur. Biasalah, sekolah pagi memang macam itu,
tambah-tambah lagi budak-budak yang duduk jauh dari sekolah. Sudahlah terpaksa
naik bas first trip iaitu seawal jam
6 pagi, sampai di sekolah pula dah dekat pukul 6.40 pagi. Jadi masa selama 40
minit berada di dalam bas itu memang lebih afdal kalau dihabiskan dengan tidur.
‘Aik, dah nak sampai
dekat Georgie ni..budak ni pulak boleh sedap je tidur,’ bisik Dhiya sambil
memandang ke arah budak lelaki itu. Dengan teragak-agak, Dhiya menyentuh beg
sekolah budak tersebut. ‘Er..Hello…hello,’ ujar Dhiya sambil tangannya
mengejutkan budak tersebut menerusi beg sekolahnya. Melihatkan tiada respon
yang diberikan, Dhiya menguatkan sedikit suaranya dan tangannya pula
mengerakkan beg budak itu dengan kasar.
‘Hello!!,’ percubaan
Dhiya kali ini berjaya. Budak tersebut membuka matanya dan memandang tepat ke
mata Dhiya. Satu perasaan pelik menyelinap di dalam diri Dhiya apabila matanya
bertemu dengan mata budak tersebut. Terbit satu perasaan yang Dhiya sendiri
tidak tahu apa. Lama pandangan mata mereka bertaut dan Dhiya merasakan
seolah-olah jarum jam berhenti berdetik pada saat itu.
Pandangan mata mereka
terhenti apabila bas mula bergerak dan budak tersebut bingkas bangun sambil
menjerit sesuatu di dalam bahasa Kantonis. Rasanya budak tersebut menyuruh
Uncle Chin, pemandu bas tersebut berhenti. Tekaan Dhiya tepat kerana seketika
kemudian bas pun berhenti. Cepat-cepat Dhiya memberi laluan kepada budak
tersebut untuk keluar. Segala-galanya berlaku dengan pantas tetapi Dhiya tetap
perasan yang budak tersebut melemparkan pandangan ke arahnya sebelum turun dari
bas. Apabila turun, budak itu masih terus memandang Dhiya dan buat kesekian
kalinya pandangan mereka bertaut.
******
Kringggg….tepat jam
1.50 petang, loceng pun berbunyi menandakan tamatnya persekolahan untuk sesi
pagi. Dhiya bergerak malas menuju ke Gazebo. Di situ, dilihatnya Malarvili
telah pun berada di situ untuk menunggu bas mereka.
‘Malar..saya ingat
awak absent hari ni,’ ujar Dhiya
sambil tersengih.
‘Takdelah, sebenarnya saya tertinggal bas pagi tadi. Sedar-sedar dah
pukul 7 pagi,’ujar Malarvili yang agak fasih berbahasa melayu itu. Mereka
sebenarnya sudah lama berkawan, semenjak dari darjah umur 9 tahun lagi. Kini
apabila masing-masing sudah berumur 15 tahun, hubungan yang terjalin bertambah
erat walau pun tidak lagi sekelas. Dhiya berada di dalam kelas 302 manakala
Malarvili di dalam kelas 303.
‘Habis tu, macam mana awak datang sekolah?,’
Belum sempat Malarvili
menjawab, bas sekolah 707 telah pun sampai di hadapan sekolah. Cepat-cepat
mereka menaiki bas tersebut. Setelah mengambil tempat di dalam bas, Dhiya dan
Malarvili meneruskan perbualan mereka. Kebanyakannya berkisarkan mengenai
subjek-subjek yang mereka belajar tambahan pula mereka berdua akan menduduki
Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada tahun tersebut. Dhiya leka berbual dan
menukar nota dengan Malarvili sehingga tidak sedar ada sepasang mata yang baru
sahaja menaiki bas memandang ke arahnya.
Budak lelaki yang
duduk dihadapan Dhiya tiba-tiba sahaja berpusing dan memandang tepat ke arah
Dhiya. Tindakannya itu menyebabkan Malarvili berhenti bercakap dan hanya
memandang kehairanan. Namun budak lelaki tersebut langsung tidak mengendahkan
Malarvili sebaliknya matanya tetap memandang Dhiya.
Dhiya sedang tunduk
memerhatikan set soalan Sejarah apabila menyedari yang Malarvili tidak lagi
bercakap dan lantas mengerling ke arahnya. Apabila dilihatnya Malarvili
terlopong memandang budak di hadapannya, Dhiya pun mengangkat wajahnya.
Sebaik sahaja Dhiya
mengangkat wajahnya, budak lelaki di hadapannya tiba-tiba sahaja menuturkan
‘Hello’ sambil menatap tajam wajahnya. Terkejut Dhiya dan dirasakan seolah-olah
jantungnya berhenti mengepam hatta terdengarkan perkataan ‘Hello’ itu. Sekali
lagi Dhiya merasakan seolah-olah jarum jam berhenti dari berdetik. Apa yang
mampu dilakukannya adalah pandang dan terus memandang ke arah budak lelaki
tersebut. Pandangan mereka bertaut lama dan tiba-tiba kedengaran suara yang
lantang menyebut ‘Tay Ken Lee….,’ butiran seterusnya tidak diketahui oleh Dhiya
kerana diucapkan di dalam bahasa kantonis.
Rupa-rupanya kawan
budak lelaki tersebut a.k.a Tay Ken Lee menyergahnya dan wajahnya sudah pun
bertukar merah. Lantas dia bangun dan bergerak ke bahagian belakang bas. Dhiya
yang seolah-olah baru sedar dari khayalan, kelam kabut memandang sekeliling.
Nasibnya baik kerana tidak ramai yang menyedari drama sebabak di antara dia dan
Tay Ken Lee tadi.
‘Aiyoo Dhiya..apa sudah jadi? Kenapa budak Georgie tu cakap hello dekat awak?,’ ujar
Malarvili sambil berpaling memandang Tay Ken Lee yang duduk di bahagian
belakang.
Dhiya sekadar
menggelengkan kepalanya. ‘Dia pandang saya lagi ke, Malar?’ tanya Dhiya.
‘Tak dah. Dia pandang ke sebelah sana saja.
Awak kenal dia ke Dhiya?’
Sekali lagi Dhiya
mengelengkan kepalanya sambil otaknya memproses semula kejadian yang berlaku
sebentar tadi. ‘Tay Ken Lee? Siapa dia? Kenapa dia cakap hello dekat aku? Tapi,
aku macam pernah jumpa dia la,’
monolog Dhiya dalam hati. Tiba-tiba Dhiya menepuk kepalanya apabila menyedari
siapa sebenarnya Tay Ken Lee.
Malarvili yang asyik
memerhatikan Dhiya terkejut melihat kelakuan Dhiya. ‘Awak kenal dia eh? Mesti ada sesuatu yang terjadi dekat
korang berdua ni,’ serkap Malarvili.
Dhiya hanya tersenyum
mendengar pertanyaan tersebut. Belum masanya untuk dia memberitahu Malarvili
cerita sebenar. Tambahan pula, mungkin itu cara Tay Ken Lee a.k.a budak lelaki
yang dikejutkannya pagi tadi berterima kasih padanya. Walaupun, hatinya kini
seolah-olah ada taman dan dup dap macam irama twist, namun diusirnya jauh-jauh perasaannya itu. Malu sekiranya
dia hanya terperasan sendiri.
Jauh disudut hati
kecilnya, Dhiya merasakan sesuatu apabila pandangan matanya bertaut dengan Tay
Ken Lee. Sesuatu yang indah dan mampu membuatkan dirinya berada di awangan.
Adakah ini yang dinamakan cinta? ‘Ah, tak boleh..tak boleh..tahun ni nak
PMR..fokus..fokus,’ monolog Dhiya sambil menampar-nampar kedua-dua belah
pipinya.
Ini mesti super junior kat Treacher:-) tahniah
ReplyDelete