“JIHA…
sini jap. Sabtu ni boleh ganti aku tak?” tanya Cikgu Masrip yang duduk di
wakaf dekat taman herba. Puan Kamariah, Penolong Kanan Kokurikulum juga
duduk-duduk di situ.
“Pergi mana?” soal Najiha.
Cikgu Masrip kalau dengan Najiha dia
memang ber’aku’ ‘kau’ sebab dengan Najiha ini dia senang berkira hal kerja.
Kalau dengan Ustazah Sarah yang bertudung labuh itu dia segan sikit. Selalunya
pakai saya, ustazah. Dengan mantan pelajar Universiti Al-Azhar itu seganlah dia
mahu ber’aku’ ‘kau’.
“Majlis RIMUP. Kat SK Jalan Permai 1.
Peringkat Negeri ni,” Cikgu Masrip menghulurkan surat pada Najiha.
“GB?” Najiha belek-belek surat rasmi itu.
Surat ini ditujukan kepada Guru Besar, bukannya pada aku Guru Pemulihan Khas, rungutnya
dalam hati.
“Ala… GB ada kursus haji. Aku tak boleh,
kena attend kursus pulak dah. Ada
buat sampai hari Ahad,” rungut Cikgu Masrip. Kursus dia mula Khamis, sampai
hari Ahad. Ini semua mesti sebab jadual kursus dari JPN banyak yang tak buat
lagi, terpaksa guna hujung minggu.
“Ni… Puan Kamariah ni… PK KKlah pergi…”
unjuk Najiha pada Puan Kamariah.
“Aku tak boleh. Konvensyen Bahasa Inggeris
kat Four Points. Kau nak ganti…?” jawab Puan Kamariah yang duduk di situ.
“Woo… Four Points? Eh, meh… saya pergi…
kalau Four Points, automatik saya memang tukar opsyen sekarang hehe…” tukas
Najiha senyum-senyum, garu kepala yang tidak gatal. Aisey… bikin rosak program
hari Sabtu aku, detiknya dalam hati. Ingat mahu bawa Lutfi dan Rafiq bagi ikan
makan dekat tasik di perpustakaan negeri.
“Ooo… kau dengar Four Points, kau terus confirm diri sendiri opsyen Bahasa
Inggerislah…” sambut Puan Kamariah ketawa kecil. Hotel Four Points by Sheraton
di Kuching itu antara hotel termahal. Ini konvensyen antarabangsa, tempat pun
agak istimewa. Tapi dia pun faham, tak semua orang suka bertugas hari cuti
begitu, bukannya ada bayaran lebih masa pun.
“Ala… orang lain tak ada ke?” sambut
Najiha sambil buat muka kasihan. Bagilah cikgu lain pergi, hujung minggu begini
saja dia ada masa nak jalan-jalan dengan Lutfi dan Rafiq.
“Puan Harisah ada kelas. Minggu depan nak final exam.. siapa lagi, kau je la Jiha…” ujar Cikgu Masrip dengan nada
suara memaksa secara lembut. Puan Harisah itu ambil sarjana muda secara PJJ.
Kelasnya hujung minggu di OUM.
“Kau kan, kalau kami 4 muskeeters ni tak ada, memang kau yang
naik takhta, tak ada orang lain dah,” usik Puan Kamariah. Empat muskeeters itu merujuk mereka berempat,
Guru Besar dan tiga orang penolong kanan, dia, Cikgu Masrip dan Cikgu Harisah.
Ya, siapa lagi nak diharapkan. Cikgu lain
dah berkeluarga. Yang solo macam Suhana ada tapi Suhana mana ada kenderaan
sendiri. Dia tumpang kereta Sarah pergi kerja. Lagipun dengan Suhana dan Sarah
susah sikit. Ini program RIMUP. Macam tak kena kalau hantar ustazah.
Laila awal-awal lagi dah canang dapat
tiket kapal terbang murah, petang Jumaat balik kampungnya di Johorlah jawabnya.
Malam Ahad baru Laila terhegeh-hegeh balik sini semula. Orang banyak duit tak
apa, anak usahawan ternak lembu dan kambing itu tidak susah soal duit.
“Yalah… yalah. Ni ada makan free tak?”
“Ada… ada… tengok surat tu. Peringkat
negeri ni. Jamuan sedap tu…” Cikgu Masrip unjuk surat itu.
Najiha berjalan menuju ke kelasnya. Ah,
sudah. Apa pula RIMUP ni? Nak tanya malu. KPLI dapat cemerlang CGPA sampai 3.9
lepas itu tak tahu apa maksud RIMUP? Ah, nanti cari je la dengan pakcik google. Bukan susah pun, fikirnya sambil
menuju ke tangga, mahu naik ke tingkat 3. Kelasnya di tingkat paling atas.
“Jiha!” Najiha menoleh.
Kak Mirah melambai-lambai dari depan pintu
pejabat. Dia tidak jadi naik tangga ke tingkat atas.
“Apahal Kak Mirah?” tanyanya terhenti di
kaki lima depan tangga bangunan itu.
“Telefon.” Kak Mirah membuat isyarat
telefon dengan tangannya.
Najiha bergerak menuju ke arah pejabat
pentadbiran am sekolah. Siapa pula yang telefon dia guna nombor sekolah ni?
Mungkin dari pejabat pendidikan daerah yang minta data, tapi rasanya semua data
yang PPD hendak dia sudah hantar. Tak ada hutang lagi kot, fikirnya. Dalam
berfikir-fikir itu tangannya sudah mencapai gagang telefon. Kak Mirah dan Kak
Hanis sedang duduk di meja masing-masing. Mereka berdua itu staf sokongan
sekolah.
“Demam? Oh, okay… saya datang dalam 30
minit lagi. Terima kasih ya.” Najiha meletakkan gagang telefon ke bawah. Rafiq
demam pula. Kenapa tak telefon handphone
ya, detiknya. Dia menyeluk kocek baju kurungnya, telefon genggamnya dilihat.
Tak ada pula missed called dari
sesiapa.
“Kenapa Jiha?” tanya Kak Mirah bila nampak
wajah Najiha yang ceria tadi sedikit berubah.
“Rafiq demam. Sekolah dia suruh ambil bawa
balik. Muntah.” Terangnya. Minta balik awallah macam ini, dia berkira-kira
dalam hati.
“Guru besar mana?” Dia mahu minta balik
awal. Jam sudah pukul 11.50. Kelas dia sudah habis jam 11.20 tadi. Sesi
persekolahan sahaja yang belum tamat hari ini.
“Cuba tengok kat kantin. Dia ada kelas KH
dengan budak-budak sekarang rasanya,” jawab Kak Mirah. Cepat saja kaki Najiha mencari arah ke
kantin.
NAJIHA
parkir keretanya di salah satu tempat letak kereta di perkarangan masjid.
Masjid Negeri Sarawak jelas lengang. Kereta pun tidak banyak. Keluar saja dari
kereta, dia terkocoh-kocoh mencapai beg tangan, buka bonet kereta dan masukkan
beg tangannya ke dalam bonet kereta. Hendak bawa bawa beg tangan sekali dia
malas. Nanti mesti dia kena bawa beg sekolah Rafiq. Selepas mengunci kereta,
Najiha terus menuju ke arah tangga masjid, dan turun ke aras bawah masjid.
Aras bawah masjid itu adalah tempat untuk
mengambil wuduk. Ada juga pejabat pentadbiran masjid. Bilik-bilik di sayap
depan diubahsuai untuk kelas tahfiz budak-budak berusia 4 dan 5 tahun. Sayap
belakang pula untuk kelas tahfiz budak-budak berusia 6 tahun, dan di hujung
sekali, sebelah kelas Ibn Khaldun 6 ialah bilik mandikan jenazah. Pantas Najiha
mengatur langkah menuju ke arah kelas Ibn Khaldun 6 di hujung sekali.
Tadi Guru Besar bagi saja dia kebenaran
untuk balik awal. Lutfi masih ada kelas. Lewat petang nanti selepas Lutfi habis
kelas Fardhu Ain, terpaksalah dia patah balik ke sekolah semula untuk ambil
Lutfi pula.
“Assalamualaikum…” sapa Najiha sambil
ketuk pintu kelas Ibn Khaldun 6 yang terbuka. Nampak murid-murid kelas itu
sedang duduk di atas lantai mengadap papan putih.
“Mak Rafiqkan…” seorang wanita menghampiri
muka pintu.
Ini bukan cikgu, rasanya pembantu
pengurusan murid kot, detik Najiha. Cikgu akademik cuma datang sebelah petang
sebab petang khusus untuk kelas akademik. Kalau pagi, ustaz atau ustazah yang
ajar sebab pagi memang khusus untuk hafazan Al-Quran, Najiha ingat benar jadual
sekolah Rafiq itu.
“Rafiq mana?” tanyanya sopan. Demam
terukkan Rafiq ya?
“Tu… sekejap ya,” wanita itu kembali ke
sudut kelas dan mengejutkan Rafiq yang tidur berselimut di atas kot bayi. Kot
bayi yang berwarna biru itu comel dan pendek saja.
Nampak Rafiq terpisat-pisat bangun dari
tidur. Muka yang comel itu nampak muram. Bajunya ada sedikit kesan kotor.
“Dia muntah tadi. Lepas itu hidung
berdarah. Panas sangat agaknya. Itu yang kami telefon terus.” Terang wanita
itu. Rasanya inilah Kak Nor yang Rafiq selalu sebut-sebut tu.
“Terima kasih ya. Saya bawa dia balik
dulu. Tapi, esok, kalau demam dia belum baik, saya tak hantar dia sekolah…”
ujar Najiha.
“Oklah kalau macam tu. Panas betul badan
dia tadi.” Sambung wanita itu.
Rafiq sudah muncul di muka pintu dengan
wajah yang kelat. Begnya ditarik sekali. Kesiannya sayang saya ni, Najiha
pegang tangan Rafiq.
“Sakit kepala ke?” tanya Najiha sambil
pegang kepala Rafiq. Panas. Mereka berdua sudah menuju ke arah tangga masjid.
Rafiq geleng kepala.
“Hidung berdarah.” Kata Rafiq menunjuk
pada hidungnya. Ada kesan darah yang kering. “Balik rumah. Kita tidur Mak Usu.”
Sayunya suara Rafiq.
“Ya. Nanti makan ubat kat rumah ya.”
katanya sambil pegang erat tangan Rafiq. Sebelah tangannya menarik beg sekolah
Rafiq yang berat.
“Assalamualaikum… eh… kenapa ni?” satu
suara menegur dari hadapan.
“Waalaikumsalam..” Najiha angkat muka. Dr.
Hasbi.
Ustaz Dr. Hasbi rupanya. Dia memang kenal
dengan Dr. Hasbi. Dr. Hasbi itu Pengurus Pusat Pengajian Tahfiz Masjid Negeri
ini. Lebih kurang macam bos cikgu-cikgu sekolah tahfiz inilah. Dia kenal Dr.
Hasbi itu sebab Dr. Hasbi itu kawan lama ayahnya sejak zaman mereka sama-sama
jadi pelajar di UKM dulu. Suara pun selalu keluar radio tempatan, slot soal
jawab pasal agama.
“Demam eh?” tanya Dr. Hasbi. Ustaz Umar Abdul Aziz yang berdiri di
sebelahnya hanya diam memerhati.
“Ya. Demam. Sekolah telefon saya tadi…”
jawab Najiha. Rafiq sudah tarik tangan dia berkali-kali. Barangkali tidak
selesa terhenti di tengah-tengah jalan itu.
“Balik dulu doktor. Kesian, dari tadi nak
baring je dia ni,” katanya merujuk pada Rafiq.
“Ya..ya… kirim salam dengan ayah ya..”
sahut Dr. Hasbi.
“Insya Allah.” Jawab Najiha lalu pantas
berlalu dari situ. Umar hanya memerhati dengan ekor matanya.
“Itulah Najiha.” Kata Dr. Hasbi bilamana
Najiha sudah tidak kelihatan dari pandangan. Dia dan Ustaz Umar melangkah
menuju ke arah pejabat pentadbiran am.
“Yang Abi cakap anak Encik Kamarulzaman
tu. Anak peguam tu.”
Ustaz Umar cuba mengingat-ingat.
“Kamu setuju tak kalau dia?” tanya Dr.
Hasbi pada Umar. “Abi dah cakap terus dengan ayahnya tapi ayahnya belum bagi
kata putus lagi.”
“Setuju yang apanya Abi?” tanya Umar lalu
pandang wajah Dr. Hasbi di sisinya.
Dr. Hasbi itu sudah macam ayahnya sendiri.
Sejak dia mula-mula datang melapor diri sebagai guru tahfiz di situ dulu, Dr.
Hasbi pelawa dia untuk duduk di rumahnya sementara dia mencari rumah sewa
sendiri di bandar itu. Sejak itu dia jadi rapat dengan Dr. Hasbi sekeluarga
sehingga dijadikan anak angkat oleh Dr. Hasbi. Dr. Hasbi itu mana ada anak
lelaki. Anaknya yang lima orang itu memanjang perempuan sahaja.
“Yalah. Kan hari tu Abi tanya kamu, nak
tak kalau Abi tolong carikan kamu isteri. Kamu kan dah 30 tahun.
Kurang-kurangnya makan pakai kamu ada yang jaga. Ini duduk sini sorang-sorang,
emak ayah kamu yang telefon Abi pun naik risau dengan kamu. Ustaz pulak tu, tak
kahwin-kahwin lagi. Ye ye je dok mengajar orang cakap kahwin itu sunnah. Kamu
sendiri tak buat sunnah itu.” Jawab Dr. Hasbi geleng kepala.
“Dengan Najiha itu ke?” Alahai… hari tu
memanglah Dr. Hasbi ada tanyakan dia begitu. Dia jawab, ‘ikut Abi je’. Haa…
itulah mulut bagi lagi jawapan begitu, kan orang ingat serius. Tapi masa dia
jawab begitu, fikirannya masih sarat dengan perkara lain.
“Yalah. Dengan dialah. Abi dah kenal budak
tu lama. Dari kecil lagi. Bagus budaknya. Comel pun ya.” Wah, Dr. Hasbi sudah
tambah saham Najiha. Kalau Najiha dengar ini, mahu dia senyum panjang 10
harakat.
Ya, comel memang comel, detik Umar. Tapi
dia ada anak dua. Biar betul Dr. Hasbi ini nak suruh dia kahwin dengan janda
anak dua.
Eh, kamu ini Umar. Janda pun apa salahnya,
Khadijah isteri Rasulullah s.a.w. itu pun janda juga, sanggah hatinya. Iya,
tapi ibu dan ayah di kampung setuju ke? Satu lagi, hatinya sendiri bagaimana.
Rasa suka itu macam belum ada, fikirnya.
Kalau Najiha dengar suara hati kamu ini
Umar, mesti dia kecil hati. Najiha itu belum pernah bersuami pun ya Umar,
kasihan Najiha disangka begitu.
Umar cuba menyusun kata-kata. “Kalau…
ehmm.. Abi dah cakap dengan keluarga dia ke?” Harapnya janganlah cakap dulu ya.
Dr. Hasbi ini masuk gear lima terus. Lain kali, tanya betul-betul dengan dia
dulu.
“Tak adalah sampai masuk meminang terus.
Kalau kamu terbuka hati untuk dia, kenal-kenal dulu, mahu? Kalau mahu, nanti
Abi cakap kat ayah dia ya?” benar-benar Dr. Hasbi berharap. Najiha itu baik
betul. Kalau dijodohkan dengan Umar yang baik ini alangkah bagusnya.
Umar terdiam lagi. Dia mana pernah berani
hendak kenal-kenal begitu dengan anak gadis orang. Dr. Hasbi ini pun satu.
“Seganlah saya… saya mana biasa dengan
anak gadis orang,” kata Umar, wajahnya sedikit merah. Dia masih cuba mengelak.
Dr. Hasbi tersenyum kecil. “Bukan nak
suruh kamu pergi dating dengan anak dara orang. Guna cara berhemahlah. Jumpa
dia dengan keluarga dia sekali mahu?”
“Seganlah saya. Tak payahlah Abi…” jawab
Umar ringkas. Entah anak orang suka tidak dengan kita, fikirnya. Seketika
kemudian dahinya sedikit berkerut. Anak dara? Dr. Hasbi kata anak dara? Rafiq
itu siapa ya pada Najiha? Dia mahu bertanya lebih lanjut mengenai Najiha, tapi
rasa segan itu menguasai diri.
Dr. Hasbi tidak membalas. Dia dan Umar
terus melangkah ke hadapan. Teringat dengan kawan rapatnya Encik Kamarulzaman. Dulu
pernah Encik Kamarulzaman mengadu pada dia, macam tidak ada orang yang nak pada
Najiha sebab ramai yang salah sangka dia itu ada anak dua. Padahal itu anak
arwah Naurah. Sayang sangat pada Lutfi dan Rafiq, kalau keluar pergi mana-mana
mesti budak berdua itu dia usung ke sana-sini. Siapa yang berani mengurat lagi
kalau sudah begitu, haha Dr. Hasbi sudah ketawa sendiri dalam hati mendengar
kata-kata Kamarulzaman yang begitu. Masa itulah timbul rasa di hatinya mahu
padankan Umar dengan Najiha yang manis itu.
RAFIQ
sudah masuk tidur. Panas badannya berkurangan sedikit tapi demam masih
singgah. Lutfi pula sedang menonton rancangan televisyen kesukaannya. TV itu
memang tak ada cerita lain yang dapat ditonton, asyik-asyik cerita kartun
Astro. Butang kawalan jauh TV memang Lutfi dan Rafiq yang pegang selalunya,
sampaikan emak dan ayah terpaksa beli TV kecil yang baru buat letak dalam bilik
tidur mereka.
Najiha sibuk menggunting kertas di ruang
rehat di hadapan TV. Dia mahu sudahkan bahan bantu mengajar untuk hari esok.
Sambil buat kerja, sambil tengok TV. Rafiq sudah tertidur di hadapan TV.
Terpaksalah selepas ini nanti dia hampar tilam nipis satu lagi di sebelah
Rafiq, temankan Rafiq tidur di situ. Senang hendak memantau demam Rafiq, takut
juga kalau tiba-tiba tengah malam badannya tiba-tiba panas. Hendak cempung
Rafiq masuk bilik tak larat, macam kena angkat 2 kampit beras 10 kilo.
“Jiha… hujung minggu ni, Sabtu malam Ahad
ada kerja tak? Ke nak pergi mana-mana?” tanya emak yang sedang duduk-duduk di
situ sambil membelek majalah NONA.
Najiha angkat muka. “Tak ada. Kenapa? Nak
pergi mana-mana ke?”
“Kawan ayah jemput kita semua makan rumah
dia. Makan-makan gitu. Dapat pergi tak?” tanya emak sambil pandang wajahnya.
Najiha sambung lagi kerja-kerja menggunting kertas.
“Rumah siapa? Makan-makan sempena apa?
Tahlil ke?” tanyanya polos. Malas betul kalau terpaksa pergi kenduri-kenduri
ni. Dia lebih suka tidur di rumah saja. Hari Sabtu ini kan kena pergi majlis
RIMUP, kalau malam disuruh pergi kenduri lagi, memang penat tahu.
“Taklah. Saja je Dr. Hasbi tu ajak makan
malam.”
“Rumah Dr. Hasbi ke? Tadi masa ambil Rafiq
kat sekolah, ada Jiha terserempak dengan Dr. Hasbi. Tak pula dia cakap masa
tu,” kata Najiha. Kertas berwarna yang sudah diguntingnya dikumpulnya di dalam
plastik jernih.
“Dia baru telefon ayah petang tadi. Dapat
tak? Kita pergi satu keluarga mahu…” cadang Puan Maimon lagi.
“Mmm… malaslah mak. Pagi tu Jiha kena attend majlis RIMUP. Malas ah nak keluar
lagi malam-malam. Mak dan ayah pergi dua orang je. Tak pun bawaklah Lutfi dan
Rafiq tu sekali, Lutfi tu suka kalau pergi makan-makan sedap macam tu.”
Alahai Najiha, Puan Maimon sudah kehabisan
kata. Ada saja kerja budak ini kalau hujung minggu. Orang nak bawa dia, dia
pula nak duduk saja di rumah, suruh bawa Lutfi dan Rafiq pula.
“Sabtu depan?” tanya Puan Maimon lagi.
“Dr. Hasbi nak kita sekeluarga pergi kalau boleh. Tak ada yang tinggal-tinggal
di rumah.”
“Sabtu depan?” Najiha pandang wajah
emaknya. Eh, pelik Dr. Hasbi ni. Kalau dia tak ada tak boleh ke. Siang tadi
masa terjumpa di masjid negeri masa ambil Rafiq, tak ada pula dia cakap
apa-apa.
“Sabtu depan kalau malam, Jiha pergi
sekolah. Budak berlatih menari.”
“Budak menari pulak? Kenapa sampai malam?
Jiha yang latih ke?”
“Takde… GB ambil jurulatih tari dari luar.
Cikgu yang ajar tu, siang dia kerja dengan RTM. Malam je dia lapang. Jadi,
malamlah dapat ajar budak-budak.” Terang Najiha. Ya, GB nak suruh murid-murid
masuk pertandingan tarian pula. Dia, Najiha kena pantau budak-budak yang datang
berlatih itu.
“Hem… cikgu lain takde ke? Cikgu Hasan?”
Puan Maimon memang ingat nama cikgu-cikgu yang satu sekolah dengan Najiha.
Selalu juga Najiha itu cerita dengan dia perihal cikgu-cikgu sekolahnya. Cikgu
Hasan kan ada duduk kuarters guru itu.
“Cikgu Hasan lelakilah mak. Lagipun mana
dia reti nak hafal step tarian
budak.”
Emak ini pun satu, detik Najiha dalam
hati. Cikgu Hasan itu kayu kalau bab tarian. Najiha ini kecil-kecil dulu masa
tadika dan Darjah 1 kan pernah menari tarian inang dan tarian Jawa. Ala-ala
pandai menari jugalah tu. Bolehlah kalau nak ingat langkah tarian yang diajar
pada budak-budak nanti. Kalau dia boleh ingat, petang-petang habis sekolah
senang dia latih murid-murid itu tanpa perlu menunggu cikgu tarian itu datang.
Puan Maimon sudah tutup majalah NONA. Hai,
susah budak Jiha ni. Macam-macam aktiviti dia. Orang lain pun mengajar juga,
detiknya dalam hati.
“Mak. Jiha bawa Lutfi dan Rafiq malam itu
boleh. Budak berlatih menari, biar dia orang berdua main kat dalam dewan
sekolah tu…” ujar Najiha. Bawa Lutfi dan Rafiq tentu seronok.
“Kalau Rafiq tak demam, bawaklah…” sahut
Puan Maimon.
Memang tak boleh berpisah sekejap dengan
budak berdua tu. Berpisah 5, 6 jam pun, kalau jumpa balik, puas dia peluk cium
si Rafiq tu. Mana tak budak itu jadi manja terlebih. Umur sudah 29 tahun, tapi
selalu juga Najiha itu layankan Rafiq dan Lutfi main pondok-pondok, main
cikgu-cikgu. Sayangnya memang berlebih pada anak arwah Naurah itu. Entah macam
mana Rafiq dan Lutfi nanti kalau Najiha itu kahwin, fikir Puan Maimon.
Tak jadi nampaknya rancangan nak jumpakan
Najiha dengan Ustaz Umar itu. Petang tadi suaminya telefon dari pejabat kata
Dr. Hasbi hendak jemput mereka sekeluarga makan malam di rumahnya. Boleh
kenalkan Najiha dan Ustaz Umar itu.
Apa nama penuh Ustaz Umar itu ya, Puan
Maimon cuba mengingat-ingat. Umar Al Khatab? Eh, itu macam nama Khalifah Islam
yang kedua, yang selepas Abu Bakar as-Siddiq. Umar apa ya, nantilah dia tanya
balik dengan suaminya.
No comments:
Post a Comment