FAHRY
& DHIYA
‘Menikahi
orang yang kita cintai
adalah
satu kemungkinan
tetapi
Mencintai
orang yang kita nikahi itu
adalah
satu kewajipan’
-Anonymous-
‘You had me at Hello??!!’ tempik Aydin Fahry apabila matanya
menangkap susuk tubuh Dhiya Kamila masuk ke dalam kondominium miliknya.
Dhiya yang baru sahaja
pulang dari kerja itu hanya mengeluh kecil mendengar tempikan tersebut. Sedikit
pun tidak tercuit dengan tempikan yang selalu menjadi halwa telinganya semenjak
empat bulan lepas.
Tanpa mempedulikan
pandangan tajam dan raut muka Fahry yang merah padam itu, Dhiya dengan selamba
melangkah ke kabinet kecil yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Usai
meletakkan beg tangan dan kotak yang penuh dengan artwork, Dhiya dengan tenang memandang ke arah Fahry.
‘Apa yang awak buat
dekat sini?,’ tanya Dhiya tenang tapi penuh kehairanan. Suasana tiba-tiba jadi
sunyi sepi, hanya kedengaran nafas turun naik Fahry yang jelas sedang mengawal
kemarahannya.
‘You had me at hello? You had
me at hello?!!’ soal Fahry lagi. Walaupun tidak lagi menempik namun jelas
ada kekerasan di dalam nada yang digunakan.
‘You had me at hello? Apa benda yang awak merepek ni?’ ujar Dhiya
yang mula bosan dengan ‘drama sebabak’ Fahry lewat petang itu. Asal berjumpa
saja, ada sahaja benda yang tidak kena pada mata Aydin Fahry. ‘Petang-petang ni
awak nak berdrama apa pulak ni? Erm..you
had me at hello? Eh, tu dialog dalam cerita Jerry Maguire kan? Teringin nak
jadi Tom Cruise ke? Tapi sorrylah,
saya tak ingin nak jadi Renee Zellweger tu,’ ujar Dhiya sinis sambil ketawa
kuat-kuat. Sebenarnya, bukan lawak
sangat pun kata-kata Dhiya itu tetapi dia sengaja ketawa kerana sedar yang muka
Fahry semakin merah padam. Seronok rasanya bila dapat buat si mamat dingin beku
di depannya ini naik angin. ‘Ah, tak buat salah nak takut buat apa kan?’, getus
hati kecil Dhiya.
‘Kalau aku yang
jadinya heronya memang la kau tak ingin kan? Tapi kalau Ken yang jadi heronya,
memang kecil tapak tangan, satu stadium kau tadahkan!,’
Ken? Usai mendengar
sahaja nama tersebut, ketawa Dhiya serta merta berhenti dan peluh dingin mula
membasahi dahi apabila matanya menangkap kelibat buku kecil berwarna ungu yang
berada di tangan Fahry.
‘Kenapa diam? Dah
sedar dah apa yang kau dah buat? Siapa Ken?!’ jerkah Fahry sambil matanya
merenung tajam Dhiya yang sudah pun melarikan wajahnya ke arah lain.
******
Fahry bergegas datang
ke kondominium yang diduduki oleh Dhiya apabila mendapat panggilan telefon
daripada neneknya yang ingin datang melawat dan tinggal bersama-sama Fahry dan
Dhiya buat sementara waktu. Apabila sampai, didapatinya kondo tersebut kosong
menandakan yang Dhiya masih lagi belum pulang dari kerja. Entah angin apa yang
merasuknya, tiba-tiba dia seolah-olah ditarik untuk masuk ke bilik Dhiya.
Perlahan-lahan dia memulas tombol dan nasibnya baik kerana pintu tersebut tidak
berkunci. Tanpa ada sebarang niat dan rasa bersalah, Fahry masuk dan
memerhatikan keadaan bilik tidur tersebut. Matanya kemudian terarah ke buku
kecil berwarna ungu yang kelihatan agak usang dan sedikit girlish di atas meja solek.
Fahry tersenyum
apabila mendapati yang buku kecil tersebut rupa-rupanya adalah diari Dhiya.
Dibelek-beleknya diari tersebut dan sekeping foto yang memaparkan seorang budak
perempuan dan budak lelaki jatuh ke lantai. Lantas dikutipnya dan ketika itulah
dia menyedari ayat ‘you had me at hello’
tertera di belakang foto tersebut. Tanpa mengesyaki apa-apa, diamatinya gambar
tersebut.
Foto tersebut memaparkan
seorang budak perempuan melayu dan budak lelaki cina dalam usia belasan tahun
sedang tersenyum memandang kamera. Kedua-duanya berpakaian sekolah. Seorang
berbaju kurung dengan kain biru muda dan yang lelakinya berkemeja lengan
panjang dan berseluar panjang berwarna hijau. Walaupun kedua-duanya hanya
berdiri tegak dan berdiri agak jauh di antara satu sama lain namun ada sesuatu
yang dapat dilihat di situ. Mereka nampak mesra dan seolah-olah kedua-duanya
sedang dilamun cinta.
‘Eh, ni Dhiya..tapi
siapa pulak mamat cina ni?’ getus hati Fahry. Tanpa membuang masa, Fahry terus
duduk di birai katil dan mula membaca diari Dhiya. Di helaian pertama tertera
perkataan Taiping, 1998.
Muka Fahry yang
mulanya tenang mula berkocak apabila helaian demi helaian dibaca. Usai sahaja
habis membaca diari tersebut, foto yang tertera ayat ‘you had me at hello’ itu direnyuknya sekuat hati. Sebaris nama yang
memenuhi diari tersebut memang betul-betul mencabar keegoan Fahry.
‘Ken..er..Ken,’ ujar
Dhiya gagap. Lamunan Fahry terhenti apabila terdengar suara Dhiya. Ken!
Mendengar nama itu pun sudah cukup untuk menaikkan rasa marah di dalam diri
Fahry.
‘Ken..Ken apa? Yang
kau tergagap-gagap ni kenapa hah?,’ serentak dengan itu, diari kecil berwarna
ungu itu dibaling ke arah Dhiya. Sememangnya, kecil sahaja Dhiya di dalam
pandangan mata Fahry sekarang ini.
‘Aduh..,’ terjerit
kecil Dhiya apabila diari yang dibaling oleh Fahry terkena dahinya. Namun, rasa
pedih di dahinya itu hilang begitu sahaja tatkala menyedari ada sesuatu yang tidak
kena dengan diarinya. Kelam kabut Dhiya mengutip diarinya dan mencari ‘sesuatu’
di antara helaian diarinya. Muka Dhiya pucat lesi apabila tidak jumpa dengan
benda yang dicarinya. Tanpa mempedulikan Fahry, Dhiya bergerak mencari
‘sesuatu’ di lantai pula.
“Kau cari apa? Cari
benda alah ni?,’ keras sahaja bunyi nada Fahry sambil melayangkan foto yang
telah renyuk itu.
Dhiya mendongak
memandang Fahry dan apabila dilihatnya foto tersebut, tanpa sedar dia
mengukirkan senyuman dan bangun mendapatkan Fahry. Belum sempat dia sampai ke
tempat Fahry berdiri, Fahry terlebih dahulu bertindak mengoyak foto tersebut.
Kaget dengan tindakan Fahry, Dhiya bergegas berlari untuk menghalang.
‘Apa yang awak buat
ni? Janganlah..tolonglah..jangan koyak foto ni,’ rayu Dhiya sambil cuba
menghalang Fahry. Mendengarkan rayuan Dhiya itu lebih membuatkan Fahry naik
hantu. Habis dikoyak lumat foto tersebut dan kemudian dilemparnya
cebisan-cebisan gambar itu ke muka Dhiya.
Dhiya terkesima dengan
tindakan Fahry. Sungguh dia tidak menyangka yang Fahry akan bertindak sejauh
itu. Lantas dipukulnya dada Fahry berulang kali sambil mengalirkan airmata.
Berang dengan tindakan
tersebut, Fahry cepat-cepat memegang kejap kedua-dua pergelangan tangan Dhiya
dan berkata, ‘Eh perempuan..kau tu isteri aku..isteri aku tahu tak! Yang kau
nak menangis disebabkan jantan lain ni kenapa hah? Walaupun perkahwinan kita ni
hanya atas kertas, tak bermaksud kau boleh pijak maruah aku sebagai suami
dengan menangis mengenangkan jantan lain!
Usai melampiaskan perasaan
marahnya, Fahry melepaskan pergelangan tangan Dhiya dan bergerak ke arah pintu.
‘Sebelum aku lupa, lusa family aku
nak datang tidur sini..kau buatlah apa-apa benda yang patut. Jangan sampai
dorang tahu keadaan kita macam ni,’ perlahan sahaja suara Fahry namun masih
boleh ditangkap oleh Dhiya. Fahry memandang Dhiya buat seketika sebelum keluar
dari kondo tersebut.
Gedegang, bunyi pintu
dihempas dan Dhiya juga turut longlai jatuh ke lantai. Jari-jemarinya mengutip
satu persatu cebisan gambarnya dengan Ken dan saat itu juga memori Dhiya dengan
Ken kembali di ingatan.
‘Ken!,’ ujar Dhiya
sambil melepaskan satu keluhan yang berat.
No comments:
Post a Comment