Tuesday, 17 June 2014

Warkah Pengikat Hati (Bab 4): Aylanins

“NAJIHA mana?” panjang leher Encik Kamarulzaman melihat keliling dapur.

Makan malam itu cuma dia dan isterinya sahaja. Lutfi dan Rafiq sudah kenyang makan ayam KFC yang dia bawa balik petang tadi. Budak berdua itu ralit bermain sesama sendiri di ruang tamu. Kedengaran alunan merdu surah-surah dari Juzuk Amma menguasai ruang tamu. Rafiq selalu mengelak kalau disuruh mengulang bacaan surah-surah yang dihafaznya di sekolah, jadi kena pasang CD Juzuk Amma alunan Ahmad Saud sentiasa.

“Sekolah. Budak-budak camping. Dia jaga kat sana.” Jawab Puan Maimon.

Dia sampai ke rumah tadi, kari ayam dan sayur labu manis sudah siap dimasak. Rajin pula Najiha mahu memasak petang ini. Selalunya ayam goreng, ikan goreng, udang tumis goreng, kerang rebus, pendek kata yang goreng dan yang rebus belaka. Kalau sayur, pasti sayur tumis goreng. Jarang nak masak kari ke rendang ke, atau masakan yang banyak rencah. Tahap paling malas, Najiha akan beli saja nasi ayam bungkus.

“Tidur sana? Berapa hari?”

“Hari ini, Jumaat. Ahad habis. Tapi pagi esok balik rumah katanya. Sebab tak nak mandi kat sana. Guru Besar minta tolong jaga budak waktu malam.” Jawab Puan Maimon.

Ya, Najiha kan tak kahwin lagi. Setakat disuruh bermalam di sekolah, memang bukan masalah.

“Siapa lagi yang bermalam?”

“Tah… geng single sekolah itulah kot. Suhana kalau tak silap, Sarah, Laila.” Pandai saja Puan Maimon ini ya. Tak pasal-pasal Najiha dan kawan-kawannya digelar geng single.

Encik Kamarulzaman meneruskan suapan. Ada sesuatu yang disimpan di fikirannya. Elok benar Najiha tiada di rumah. Sudah dua hari dia menyimpan hal itu dalam hatinya. Cuma tinggal mahu disuarakan pada isterinya sahaja.

“Apanya awak? Ada apa-apa nak bagitahu saya ke?” Puan Maimon menyenduk nasi tambah.

“Pasal Dr. Hasbi. Nantilah lepas habis makan saya bagitahu awak. Tunggu Lutfi dan Rafiq tidur dulu…” Encik Kamarulzaman meneruskan suapan. Puan Maimon memandang suaminya sekilas. Apa sajalah orang tua ini. Bukannya tak boleh bagitahu sekarang.



USTAZ Wan dan konco-konconya dalam Panitia Pendidikan Islam ini pandai betul. Perkhemahan pengakap tahun ini mereka gabungkan sekali dengan Kem Bestari Solat. Mula aktiviti berkhemah petang Jumaat. Pagi Sabtu, hari esoknya, buat pula Kem Bestari solat untuk murid-murid. Yang cikgu-cikgu dan staf sekolah dijemput ke Kursus Pengurusan Jenazah yang dibuat pada masa yang sama dengan Kem Bestari Solat, cuma tempat sahaja berlainan.

Ahli-ahli pengakap akan ikut serta dalam Kem Bestari Solat itu sekali. Habis Kem Bestari Solat dan kursus pengurusan jenazah, aktiviti perkhemahan pengakap akan berjalan seperti biasa dan kemudian gulung khemah pagi Ahad.

Wah, pandai sungguh Panitia Pendidikan Islam ini ya. Kagum Najiha. Jimat belanja duit sekolah dan duit PIBG sebab dua aktiviti besar buat pada masa yang serentak.

Kem Bestari solat berlangsung di kelas-kelas. Ustaz Wan, Ustaz Sabri, Ustazah Rafidah dan Ustazah Sarah yang ambil tugas di sana. Kursus Pengurusan Jenazah pula berlangsung di dewan sekolah. Ini projek Ustazah Khadijah. Dia yang jadi pengarah projek. Habis kursus ini, ada sijil. Boleh daftar kursus ini sebagai latihan dalaman. Sekarang bukankah para guru sekolah kerajaan kena hadiri kursus sekurang-kurangnya 7 hari atau 56 jam dalam setahun.

Najiha duduk bersila di hadapan sekali, sebelah Ustazah Suhana dan Puan Harisah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Puan Harisah disuruh duduk atas sofa di pentas, dia mengelak. Biar saja Guru Besar dan Penolong Kanan 1 yang duduk menemankan tetamu di situ.

Penat Najiha bersimpuh macam pergi makan kenduri, bila kaki naik kebas duduk lama di situ tunggu majlis bermula, dia tukar posisi pula duduk bersila. Pakai jubah berseluar jadi tak adalah gaya kasar sangat bila bersila. Cikgu-cikgu lain duduk-duduk juga di situ. Ramai juga ibu bapa murid-murid ikut serta. Memang mereka buka penyertaan ini untuk ahli PIBG tapi tempat terhad untuk 40 orang yang pertama sahaja.

Tadi dia duduk di belakang, tapi Ustazah Suhana tarik dia duduk di depan sebab di depan, berhadapan dengan pentas, kosong. Semua pakat duduk belakang-belakang.

“Kalau tak kita yang mulakan, siapa lagi,” kata Ustazah Suhana merujuk pada ruang kosong di depan dekat pentas yang harus diisi. Ya, majlis ilmu begini selalunya semua pakat malu-malu hendak tunjuk muka di saf hadapan.

“Kejap… buku program ni tak habis lagi nak edar,” kata Najiha sambil menoleh sekelilingnya. Tetamu jemputan sudah duduk di pentas, buku program yang dia buat dua hari lepas masih ada di tangannya. Separuh sudah diedarkan kepada para peserta kursus ini, tapi untuk tetamu yang duduk di pentas, dia terlupa pula.

“Kasman… Kasman…” seru Najiha pada seorang murid lelaki yang tinggi lampai.

Kasman menoleh ke kanan. “Apa cikgu?”

Najiha menghulur beberapa buah buku program di tangannya.

“Letak atas meja kat atas pentas sana. Satu bagi pada Ustazah Khadijah, cepat sikit ya, majlis nak mula,” unjuknya pada Kasman.

Kasman mengangguk lalu mengambil buku program itu dan bergegas ke pentas.

Najiha menekan-nekan kepalanya. Pening sedikit. Malam tadi dia tidur di sekolah, di dalam kelas pra sekolah. Suhana dan Sarah pun ada sama. Ustaz Sabri dan isterinya Ustazah Khadijah tidur dalam makmal komputer. Anak mereka Mikhail dan Damia ada dibawa tidur bersama di situ. Ahli-ahli pengakap yang lain masing-masing tidur di dalam khemah di tengah-tengah padang sekolah. Ada Pakcik Mamat, jaga sekolah yang tolong tengok-tengokkan budak. Dia pun tidur sekali di dalam khemah.

Awal pagi tadi, selepas bagi budak-budak pengakap itu sarapan pagi, Najiha sudah pakat dengan Suhana dan Sarah balik ke rumah masing-masing. Dia malas mahu mandi di sekolah walaupun ada bilik air yang selesa di kelas pra sekolah. Budak-budak perempuan mandi di kelas pra sekolah. Yang lelaki tumpang bilik mandi rumah Cikgu Hasan. Cikgu Hasan duduk di kuarters guru.

Selesai mandi dan pakai pakaian yang bersih, bergegas pula balik ke sekolah sebab kena hadir Kursus Pengurusan Jenazah yang mula jam 8 pagi. Pening kepalanya berkejar ke sana sini. Sudahlah malam tadi tidurnya tidak lena. Tidur di lantai kelas walau beralaskan sejadah agak tidak menyelesakan badan.



PENCERAMAH jemputan untuk Kursus Pengurusan jenazah ini ialah Ustaz Dr. Hasbi Mohd Nazir dibantu oleh dua orang fasilitator iaitu Ustazah Hajah Adibah Abdul Rahman dan Ustaz Umar Abdul Aziz. Kata Khadijah, semuanya dari Masjid Negeri.

Khadijah selaku pengarah program memulakan majlis dengan tayangan video ceramah mengenai jenazah. Sakit kepala Najiha berkurangan bila menonton tayangan video yang sayu itu. Mendengar kata-kata penceramah dalam video itu mengenai pentingnya tahu menguruskan jenazah, dia jadi sayu tiba-tiba. Siapa lagi yang diharapkan untuk menguruskan jenazah ibu bapa kalau bukan anak-anaknya sendiri. Dia menyeka air mata yang bertakung di kelopak mata.

Khadijah ini pun satu, sudahlah mata ini mengantuk tidak cukup rehat malam tadi, tayang pula video sedih begini. Nasib baik dia duduk di depan sekali, dia boleh sembunyi matanya yang merah bergenang air. Siapa tidak nangis tengok video ini memang hati batu agaknya, wah kamu Najiha. Entah-entah yang tidak menangis tengok video itu sebab hatinya memang tahan lasak, ditahan-tahan sampai rumah baru menangis.



“UMAR… nanti kamu tolong minta dengan cikgu sini, carikan papan lapis, buat pengalas jenazah nanti,” bisik Dr. Hasbi yang sedang duduk di salah sebuah sofa di atas pentas. Ustaz Umar yang duduk di sebelahnya mengangguk.

Papan lapis. Papan lapis sebagai pengalas jenazah olok-olok. Kursus pengurusan jenazah ini semuanya kena lengkap seperti betul-betul.

Umar membuang pandangannya ke arah para peserta kursus yang duduk di atas lantai dalam dewan sekolah ini. Dewan sekolahnya sederhana besar, jenis bertutup. Para peserta kursus tidak diberikan kerusi untuk duduk, hanya duduk di atas lantai dewan yang beralaskan dengan tikar getah, sebab nanti hendak tunjukkan cara-cara mandikan jenazah, kena buat atas lantai dewan itu juga. Jadi, awal-awal lagi memang tidak ada kerusi untuk para peserta.

Video mengenai kepentingan tahu menguruskan jenazah yang dipilihnya beberapa hari lepas sedang dipertontonkan kepada para peserta. Harap-harap video ini memberi keinsafan pada peserta yang ikut kursus ini, detiknya dalam hati.

Mata Umar tiba-tiba terarah ke satu sudut. Emak Rafiq! Ya, kalau dia tidak silap itu emak Rafiq. Rafiq anak muridnya yang berusia 6 tahun itu. Oh, cikgu ya. Kalau bukan cikgu, mungkin peserta biasa-biasa yang ikut kursus ini. Umar cepat-cepat tunduk lalu mencapai buku program yang cantik bertaip di atas meja. Cantik, desis hatinya bila melihat buku program yang kemas itu. Lengkap dengan nama penceramah, fasilitator, senarai AJK kursus ini. Ada hadis dan pantun yang menghiasi muka belakang buku program itu. Boleh simpan untuk buat rujukan. Kalau di sekolah tahfiz sana, selalunya dialah yang disuruh buat buku program begini. Dia belek lagi helaian seterusnya untuk melihat senarai nama AJK.

AJK Buku Program. Najiha Kamarulzaman.



KURSUS pengurusan jenazah itu dibahagikan kepada dua kategori. Satu lelaki, satu perempuan. Usai tayangan video dan sedikit ucapan, jemaah lelaki akan bergerak ke sudut hujung dewan, dan jemaah perempuan kekal di hadapan pentas untuk sesi tunjuk cara memandikan dan mengapankan jenazah.

Sepanjang Kursus Pengurusan Jenazah dijalankan, Najiha memerhati saja perjalanan majlis dengan wajah yang tidak bermaya. Kepalanya pening lagi.

Ingatkan dulu jadi cikgu kerja sekerat hari, ini melalut-lalut sampai ke hujung minggu, badan pun sakit-sakit. Perlahan-lahan Najiha bangkit, mahu cari tempat berehat. Migrain ini makin menjadi-jadi. Teringat makmal komputer yang ada penghawa dingin, yang pastinya kosong sekarang. Kalau tidur di sana untuk satu jam sahaja, set penggera pada telefonnya, boleh juga untuk kurangkan rasa sakit ini. Rasanya tidak berkunci sebab makmal komputer itu Ustaz Wan dan Ustaz Sabri yang jaga.  Bukankah Ustaz Sabri dan Ustazah Khadijah tidur di sana malam tadi dengan anak-anak mereka.

Ah, kalau dia hilang dari kursus ini sekejap pun rasanya tidak ada yang perasan. Orang lain semuanya sibuk dengar penerangan Ustazah Hajah Adibah Abdul Rahman. Jenazah olok-olok yang wataknya dipegang oleh Kak Timah, ibu salah seorang murid di sini, sedang elok baring di atas tikar di ruang tamu. Perlahan Najiha bangun dan bergerak menuju ke pintu tepi dewan. Harap tidak ada yang perasan dia hilang.



LAMA dah mengajar sini?” tanya Ustaz Wan pada Ustaz Umar yang berjalan di sebelahnya.

Tadi dia di kelas di tingkat atas, memantau sekejap perjalanan Kem Bestari Solat. Sekarang murid-murid yang sudah dalam kumpulan masing-masing itu sedang diajar untuk sembahyang masbuk, jadi dia ada masa sekejap untuk turun ke dewan sekolah.

“Adalah dalam 2 tahun. Tertarik dengan sekolah tahfiz kat sini, silibusnya teratur, jauh beza dari sekolah tahfiz yang ada banyak kat Malaysia ni,” jawab Ustaz Umar.

Selepas bersalam dan berkenalan dengan Ustaz Wan tadi, Ustaz Wan ajak dia ke makmal komputer untuk ambil barang kelengkapan mandikan  dan kapankan jenazah. Orang lelaki yang ikut kursus ini tidak ramai. Tadi Umar sempat minta bantuan dari Ustaz Wan ini untuk sediakan papan untuk jadikan contoh bagaimana mandikan jenazah atas papan mandi. Cepat saja Cikgu Masrip dan Cikgu Bakri mencari papan lapis di belakang bangunan sekolah.

“Meja guru saya di dalam makmal ini. Bilik guru tak cukup tempat, maklum sekolah kecil, gred B,” cerita Ustaz Wan. “Kebetulan saya Guru Bestari merangkap penyelaras makmal komputer, itu yang duduk sini.”

Selalunya, orang akan tanya kenapa meja dia dan Ustaz Sabri di dalam makmal komputer. Tapi itulah nasib mengajar di sekolah kecil. Bilik guru yang sedia ada tidak dapat menampung bilangan guru yang sedia ada.

“Malam tadi tidur sini ke? Kata ada budak camping ya?” tanya Umar sambil mengitari sekeliling.

Kagum sebenarnya dengan keadaan sekolah yang kecil itu. Persekitarannya aman damai saja. Sekolah kampung katakan.

“Saya tak. Ada cikgu lain yang bertugas. Cikgu-cikgu yang single itulah yang jadi mangsa hahaa…” Ustaz Wan gelak.

Ya, bila lagi nak gunakan khidmat cikgu-cikgu yang belum berkeluarga kalau tak masa program perkhemahan begini. Dia mahu menolak tombol pintu makmal komputer bila mana terdengar derap kaki dari sebalik bangunan batu itu.

“Upsss… oh hai ustaz…” Najiha tiba-tiba muncul dari sudut bangunan makmal komputer. Dia tergamam melihat Ustaz Wan yang berdiri di hadapan pintu makmal.

“Nak pergi mana? Tak mula lagi eh?” soal Ustaz Wan hairan melihat Najiha tiba-tiba muncul di hadapannya. Awat muka cemberut begitu dik oiii… tudung pun senget-senget tu, Ustaz Wan tak jadi tolak pintu makmal.

Alamak, sikit lagi nak tertangkap tidur dalam makmal komputer, Najiha sudah garu kepalanya yang tidak gatal.

“Dah mula, nak pergi tandas sebenarnya… hehe.” Pantas Najiha pusing kaki ke arah yang berlawanan menuju ke bangunan pra sekolah yang bersebelahan dengan bangunan makmal komputer. Huh, sikit lagi, fikirnya. Memang tak diredhai sungguh nak tidur masa kursus jenazah ni. Baik cuci muka  sekejap. Terkulat-kulat Najiha menolak pintu kelas pra sekolah yang tidak berkunci. Itu markas memasak mereka sepanjang perkhemahan ini.

Ustaz Wan sudah geleng kepala. Apa sajalah budak ni. Mesti tak cukup tidur ni malam tadi.

Ustaz Umar cuma melihat. Emak Rafiq. Dia ingat wajah yang dilihatnya tadi.

“Jemput masuk Ustaz…” kata Ustaz Wan yang sudah menolak pintu masuk makmal komputer. “Barang-barang tu saya simpan dalam bilik ni…” unjuknya pada bilik sederhana besar di bahagian belakang, di dalam makmal komputer sekolah itu.

“Bersepah.. biasalah, penuh dengan buku-buku. Kalau orang datang memantau, baru terhegeh-hegeh nak kemas hahaaa…” Ustaz Wan gelak malu dengan keadaan biliknya yang bersepah.

Buku-buku murid di atas meja gurunya berlambak belum disemak. Belum lagi dengan kotak jersi murid-murid di lantai. Meja Ustaz Sabri di bilik sebelah saja yang agak kemas sebab Khadijah selalu masuk sini hantar bungkusan makanan suaminya. Jadi sekali-sekala dia kemas meja meja suaminya.

“Tadi tu siapa? Cikgu ya?” tanya Ustaz Umar sambil tolong angkat kotak yang berisi barang-barang untuk kapankan jenazah. Ustaz Wan sudah ambil kotak yang satu lagi.

“Ya, cikgu. Cikgu semua wajib datang kursus ini.” Kata Ustaz Wan tertunduk-tunduk mencari sesuatu di bawah mejanya.

Betullah tu, fikir Ustaz Umar. Emak Rafiq. Rafiq yang kuat menangis itu. Yang punya wajah iras anak kacukan Melayu dan Inggeris. Rafiq yang walaupun kuat menangis tapi antara lima pelajar terbaik dalam hafazan di sekolah tahfiz itu.

“Oo..? Suami dia cikgu jugak ke?” Tadi ada Cikgu Masrip cakap cikgu suami isteri yang uruskan  perkhemahan pengakap ini. Dua-dua tidur di sekolah malam tadi. Cikgu ini agaknya.

“Eh… suami? Dia tak ada suami…” sahut Ustaz Wan dengar tak dengar. Sudah, mana pergi tikar mengkuang tu? Budak pengakap dah bawa ke belum? Tadi kata tak ada, penat dah dia terbongkok-bongkok mencari di bawah mejanya.

 “Oh… ya ke? Sorry… banyak tanya pula saya ni…” kesal Umar, mulut ni banyak sangat tanya. Tadi dia tanya-tanya sebab mahu tahu juga latar belakang ibu bapa muridnya. Oh… kasihannya Rafiq. Bapanya dah tak ada. Meninggal ke atau bercerai ya? Ibu Rafiq ni ibu tunggallah, kesiannya. Menyesal pula dia banyak tanya tadi.

“Mana pergi tikar ni? Dah bawa ke belum?” Ustaz Wan sudah cekak pinggang memandang sekeliling bilik. “Ya Allah… kat sini rupanya..” dia menghampiri tikar mengkuang yang digulung kemas di tepi almari buku.  

“Ustaz tanya apa tadi?” Ustaz Wan pandang Ustaz Umar yang sedang berdiri di pintu makmal komputer, menunggunya.

“Tak ada apa-apalah… ni kotak ni je ke?” dia cuba ubah tajuk.

Alahai, hatinya masih kasihan dengan Rafiq. Patut manja sangat. Ibunya saja yang jaga dia. Yang tua sedikit yang selalu hantar Rafiq ke sekolah itu datuknya mungkin, Umar teringat pada seorang lelaki yang agak berumur yang selalu hantar Rafiq ke sekolah pagi-pagi. 

“Ya… ini saja. Mohlah Ustaz… tikar ni nanti suruh budak bawak. Budak-budak ni, tak nampak depan mata, terus kata tak ada.” Ustaz Wan sudah bergerak ke arah pintu. Ustaz Umar mengekor di belakangnya.



NI saya masuk sini ya ustaz…” ujar Ustaz Wan mengarahkan budak pengakap dua orang itu letakkan cenderamata tadi ke kerusi belakang kereta Kancil itu. Dr. Hasbi sudah berangkat pulang. Ustazah Hajah Adibah pun sudah balik tadi, suaminya yang mengambil.

“Ya.. takpa letak je. Terima kasih. Maaflah kereta saya memang macam ni. Bersepah dengan buku-buku,” Ustaz Umar mengalih buku-buku di atas kerusi belakang ke tepi.

“Biasa tu ustaz. Cikgu memang begini,” kata Ustaz Wan sambil senyum. Keretanya juga kadang-kadang begitu, penuh dengan buku-buku.

“Saya balik dulu ya Ustaz Wan,” Umar bersalam erat dengan Ustaz Wan.

“Ya, terima kasih ustaz… senang-senang boleh kami jemput lagi.. buat kursus lain ke pulak..” sahut Ustaz Wan ikhlas.

Senang hatinya berkenalan dengan Ustaz Umar itu. Terdetik hatinya mahu kenalkan Ustaz Umar itu dengan Ustazah Sarah yang ayu itu. Eh, tapi Sarah dah bertunang kot. Khadijah yang cakap dengan Ustaz Sabri, Ustaz Sabri cerita pada dia pulak.

Dengan Ustazah Suhana pun boleh rasanya. Tapi malaslah pulak nak jadi tukang jodoh. Nanti tak serasi, dia pula yang disalahkan. Ustaz Wan berlalu masuk ke kawasan sekolah semula. Kunci keretanya tertinggal di dalam makmal komputer.

Umar yang sudah masuk ke dalam kereta menghidupkan kereta Kancilnya. Sempat dia angkat tangan pada Ustaz Wan.

Dari cermin pandang belakang keretanya, dia nampak Proton Saga biru di belakang keretanya sudah sedia mahu bergerak keluar juga. Dia perasan wajah itu. Emak si Rafiq. Seketika jantungnya terasa bergetar.  



SEBELUM  sampai ke rumah, Najiha sempat singgah membeli burger KFC untuk Lutfi dan Rafiq. Kalau beli coklat, Lutfi tak suka makanan manis. Beli keropok, Rafiq buat sepah saja di rumah. Baik beli burger KFC, memang sah-sah akan habis. Jadi malam nanti, tak perlu susah payah goreng ayam lagi, fikir Najiha. Keretanya sudah masuk ke perkarangan rumah. 

Rumah berkembar dua tingkat milik mereka sekeluarga itu letaknya di kawasan taman perumahan lama. Dulu masa ayah dan emak beli rumah itu, harganya murah saja. Tak macam sekarang, harga begitu cuma boleh dapat rumah teres setingkat sahaja. Nasib baik dapat mengajar sekolah yang dekat dengan rumah, tak adalah sibuk nak menyewa. Makan minum pun senang kira sebab duduk dengan keluarga sendiri.

“Minum Jiha…” sapa emak dari arah dapur bila mendengar anak daranya yang seorang itu balik.

“Ya… nantilah…” Najiha sudah merebahkan badannya di sofa di ruang tamu. Kereta ayah entah di mana. Ayah selalu sibuk dengan kes-kes mahkamahnya tak kira hari kerja atau hujung minggu begini. Rafiq dan Lutfi pula sudah seronok kenduri burger dan cheezy wedges KFC yang dia beli tadi.

Penat menjaga budak-budak berkhemah sejak petang Jumaat amat terasa. Perlahan-lahan matanya terlelap di sofa itu juga.

“Nek…” Rafiq menghampiri neneknya di dapur. Di tangannya masih ada sisa-sisa daging burger.

“Apa Rafiq?” Puan Maimon senyum melihat mulut Rafiq yang comot dengan mayonis.

“Suruh Mak Usu mandi… Mak Usu bau busuk…” kata Rafiq. Alolo… comelnya kamu Rafiq, kata orang busuk, senyum Puan Maimon.

“Hehee… mana Mak Usu kamu? Dia buat apa tak mandi lagi?” tanya Puan Maimon sambil tangannya terus mengupas kulit bawang. Dia mahu masak sambal nasi lemak petang itu. Esok pagi boleh sarapan pagi dengan nasi lemak.

“Mak Usu tidur,” sahut Lutfi yang datang ke dapur. Dia mahu basuh tangan di dapur.

“Kamu berdualah kejutkan… suruh Mak Usu mandi. Nenek nak buat sambal ni…” kata Puan Maimon. Walau penat menguruskan butiknya tapi hati selalu terhibur dengan keletah Lutfi dan Rafiq.

Ya, walaupun dia sudah kehilangan Naurah, anak sulungnya, mereka sekeluarga masih ada Lutfi dan Rafiq, anak Naurah. Mengingatkan Naurah yang meninggal akibat kanser payu dara selepas melahirkan Rafiq, dia jadi sedih kadangkala. Hidup Naurah yang diselubungi kesedihan sejak berkahwin dulu benar-benar membuatkan dia kesal.

Siapa sangka Naurah yang cantik manis itu boleh dapat suami yang panas baran begitu? Itulah dulu dia sudah pesan pada Naurah, tinggi mana pun pelajaran lelaki itu, muka tampan begitu, agama dan tanggungjawab itu yang penting. Sudahlah kahwin dengan lelaki warganegara Australia, bapa kandung Lutfi dan Rafiq itu, sejak Naurah meninggal, mana ingatkan Islam lagi. Sudah balik ke agama asalnya. Sudah balik ke Australia pun sejak setahun yang lalu.   



AWAK dah tanya?“ tanya Encik Kamarulzaman malam itu ketika tinggal cuma dia dan isterinya sahaja di ruang tamu.

Puan Maimon masih meneliti katalog pakaian yang mahu dipesannya. Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Lutfi dan Rafiq sudah masuk tidur. Najiha sudah berangkat ke sekolah, tidur di sana lagi katanya. Lutfi dan Rafiq senang dijaga. Perut sudah kenyang, rancangan TV kesukaan pun sudah ditonton, senanglah mereka berdua itu tidur.

“Ah… tak berani saya tanya. Budak-budak zaman sekarang mana mahu, bang. Kita kahwin dulu pun kita sendiri yang pilih, manalah dia mahu kalau kita yang pilih jodohnya.” Sahut Puan Maimon.

Dr. Hasbi kawan baik suaminya ada bertanyakan Najiha, mahu jodohkan Najiha dengan anak angkatnya. Tapi Encik Kamarulzaman masih belum bagi kata putus. Biar ditanya dengan yang empunya badan. Puan Maimon yang disuruh bertanya tidak juga mahu bertanya. Segan dia mahu bertanya.

“Orang mana? Orang sini?” soal Puan Maimon.

“Orang Terengganu. Kerja dengan Masjid Negeri. Anak angkat Dr. Hasbi.” Kata Encik Kamarulzaman. Dr. Hasbi itu serumah dengannya semasa mereka sama-sama belajar di UKM lama dahulu. Kenal memang dah lama.

“Tak payahlah bang. Itu Dr. Hasbi yang kias-kias. Entah yang lelaki itu mahu ke tidak. Mahu dia duduk Sarawak sini? Kalau jadi, ke Jiha yang kena duduk sana? Lutfi dan Rafiq macam mana?” kata Puan Maimon macam tidak setuju.

Lutfi dan Rafiq itu buah hati mereka sekeluarga. Rapat sangat dengan Najiha. Yalah, dari usia Najiha 22, Lutfi lahir, sampai sekarang usia Najiha 29 tahun, berkepit dengan budak berdua itu saja. Disuruh sambung belajar ambil ijazah lanjutan pun dia mengelak, nanti rindu dengan Lutfi dan Rafiq katanya.    


Encik Kamarulzaman diam. Dr. Hasbi itu dari beberapa bulan lepas sudah berkias-kias. Ikut gerak badan Najiha, macam tidak ada kawan istimewa. Tapi Lutfi dan Rafiq itulah yang buat dia banyak berfikir. Ke mana arah tuju budak berdua itu nanti kalau Najiha kahwin? Kasihan anak orang. 

No comments:

Post a Comment