“BETUL ni kamu tak
nak pergi?” Tanya Puan Awa kepada Uzair yang sedang duduk di atas sofa,
mengadap TV. Tidak pernah-pernah pula anak bujangnya ini mahu ikut menonton
kalau diajak tetapi hari ini, tanpa perlu dipaksa, elok pula dia datang, duduk
menonton. Drama apa sangatlah yang ada pun di waktu tengah-tengah hari macam ni
selain sinetron dan drama swasta. Yang pastinya itu bukanlah pilihan anak-anak
bujangnya. Tambah-tambah lagi si Uzair di hadapannya ini.
“Betul ni?”
Diam. Tiada respon.
“Tak eloklah. Orang semua tahu yang
kamu dah balik kampung.” Tanya Puan Awa lagi. Tangannya sibuk membetulkan
kerongsang di tudungnya. Opah Cik ada buat kenduri doa selamat sikit dan
dijemputnya mereka sekeluarga tapi yang masalahnya sekarang ni ialah si anak
terunanya yang degil ni.. berdendam tidak pernah habis.
Uzair menggelengkan kepala,
tangannya mula rancak menukar siaran di TV. Penat pula melihat babak-babak
sinetron tidak pernah habis itu. Dari TV1 ke TV2 ke TV3 dan seterusnya
sampailah ibu boleh berhenti bertanyakan soalan luar skema jawapan tu. Dah
terang lagi bersuluh yang Iman Uzair Ahmad Danial ni tak akan sekali-kali ke
rumah hujung kampung itu.
Tak akan. Tidak mungkin. Tidak.
Tidak. Tidak.
Dan dia sendiri pun tidak teringin
mahu menjejak kaki ke rumah yang dia dah senarai hitamkan sejak 10 tahun lepas itu.
Haikal di muka pintu hanya mampu menggelengkan
kepala. Kurang faham dengan perangai abang Uzair yang tidak pernah suka pada
keluarga opah Cik.
Pelik!
Kerana bagi Haikal, opah Cik itu berperwatakan
baik, peramah, dan suka tersenyum. Tidak sedikit pun boleh membuatkan orang di sekelilingnya marah atau
tak suka kecuali… Mata Haikal memandang Uzair yang sedang menekan butang-butang
alat kawalan jauh itu.
Pelik sepelik-peliknya!
Mengikut firasat Iman Haikal, mesti
ada sesuatu yang membuatkan abangnya bertindak sedemikian. Dia bukan anak kecil
untuk tidak nampak rasa benci abangnya kepada keluarga opah Cik itu. Jelas
sangat kut.
Sudah beracap kali dia bertanyakan
soalan itu kepada ibu tetapi ibu hanya menyuruhnya berdiam diri dan tidak masuk
campur. Akhir sekali, dia hanya mampu melihat ketidakmatangan abangnya itu.
“Dah la ibu.. macam cakap dengan batu je bila
cakap dengan abang ni. Jom ibu.. biar Haikal je yang bawak ibu pergi.” Kata Haikal.
Tangannya menyeluk kunci dari poket seluar. Kunci dilambung-lambung ke udara
lalu bergerak ke pintu.
Puan Awa menggelengkan kepala. Keras
sungguh hati Uzair ni.
“Ibu dah buatkan kari kepala ikan..
nanti panaskan sendiri.”
Uzair mengangguk. Tanpa perasaan.
Alat kawalan jauh ditekan-tekan lagi.. main tukar-tukar siaran ni pun syok apa.
Sebenarnya tak ada rancangan menarik pun di TV, ini semuanya konon-konon nak
mengaburi mata ibu la. Kalau dia duduk berhadapan dengan ibu, pandang
dalam-dalam mata ibu tu, sah-sah hati yang keras ni boleh jadi lembut jugak…
“Ibu pergi dulu.”
Pintu rumah ditutup dan tak lama
kemudian dia mendengar bunyi deruman enjin dan hilang selepas beberapa ketika.
“Maafkan Uzair, ibu.”
“UZAIR mana? Tak nampak pun? Tak datang?” Tanya opah
kepada Puan Awa yang sedang membantunya mengangkat pinggan-pinggan kotor ke
sinki. Dari tadi dia cuba mencari bayang-bayang anak lelaki sulung Awa itu tetapi
harapan tinggal harapan. Tidak pernah sekali pun dia nampak batang hidung Uzair
itu di kenduri-kendara yang berlaku di rumahnya. Walhal kalau di rumah orang
lain, laju saja anak muda itu datang menolong.
Puan Awa menayang gigi, mempamirkan
senyuman plastic. Malu pula terkenangkan sikap anak sendiri yang kurang sopan
itu. Laju sa
“Bukan dia tengah cuti ka sekarang
ni?” Tanya opah lagi lalu membuka pili air, mencurah air ke atas
pinggan-pinggan yang perlu dibasuh itu.
Sebaliknya Puan Awa diam, tidak
menjawab. Tangannya laju mengambil Axion di sebelahnya lalu disapukan ke
pinggan-pinggan yang dilibas oleh opah Cik tadi.
“Dia marah lagi ye Awa?” Tembak opah.
Kisah sepuluh tahun datang membuka kotak ingatannya kembali. Muka Uzair
memarahi Ezzaq yang ketika itu baru saja sedar dari koma bermain kembali.
“UZAIR.. Irah mana?” Soalan itu yang keluar
dari mulut Ezzaq bila dia sedar 10 tahun lepas. Opah memeluk cucunya itu. Dia
tak tahu apa yang dia boleh lakukan ketika tu. Sedihnya datang bertimpa-timpa.
Dengan Ezzaq yang patah kaki, Irah yang terkorban dan Uzair…
Uzair
diam tak menjawab. Matanya sudah mencerlun ke arah Ezzaq. Kebencian tergambar
elok di wajah anak muda itu. Nafasnya sudah bergerak tidak sekata. Menahan
marah mungkin.
Ezzaq
berpaling ke arah opah yang sedang memeluknya sambil teresak-esak itu. Sungguh
Ezzaq keliru. “Opah… mana Irah?” Sambungnya lagi.
“She's gone.. sebab kau. Lepas ni hubungan kita putus.. sampai bila-bila. Kau dengan
family kau.” Kata anak muda yang berusia 19 tahun itu lalu keluar
dari bilik wad itu tanpa menoleh — sedikit pun — ke belakang.
ITULAH kata-kata
terakhir daripada Uzair kepada mereka dulu. Siapa sangka yang Uzair betul-betul
maksudkan apa yang dia katakan 10 tahun dahulu. Ingatnya hanya naluri marah,
memberontak seorang remaja tetapi rupa-rupanya peristiwa 10 tahun dulu,
benar-benar merubah seorang Iman Uzair Ahmad Danial.
Dari yang peramah kepada pendiam.
Dari yang suka tersenyum kepada
dingin.
Dari yang pemaaf kepada pendendam.
“Kan Awa? Uzair masih lagi ingat ye?”
Puan Awa senyum plastik lagi. Nak
berdalih, tak mungkin. Dah terang-terang Uzair tunjukkan. Untuk mengiyakan
pertanyaan itu pulak, dia tidak sanggup mahu mengguriskan hati wanita yang
sangat dia sayangi ini. Opah Cik lah sumber kekuatannya bila dia kematian suami
dahulu. Kalau tiada opah Cik yang membantu, sudah tentu hidupnya susah untuk
membesarkan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil.
“Cik mintak maaf sangat kat hampa
sekeluarga. Kat Awa, kat Nisah dan yang paling banyak rasa kesal Cik kat Uzair.
Pasal Ezzaq, Hazirah meninggal dalam kemalangan tu.” Kata opah. Tangannya
memegang perlahan bahu Puan Awa yang sedang membilas cawan yang bersabun itu. Rasa
bersalah menggunung di dalam dirinya tetapi apa yang dia mampu lakukan. Kalaulah
dia punya kuasa yang membolehkan dia menggantikan tempat Hazirah malam itu…
“Cik, Ezzaq ka, Uzair ka… semuanya tak
bersalah.. tak ada siapa pun yang bersalah. Itu semuanya Qada' dan Qadar, kita
ni yang kena kuat. Awa sendiri dah banyak kali dah nasihatkan Uzair tu tapi
satu apa pun dia tak mau dengar. Dia butakan hati dia Cik.. dia terlalu
sayangkan Irah sampaikan tak sedar yang Irah itu hanya pinjaman dari Allah. Awa
redha, Cik. Awa redha…”
Opah mengangguk. Dia sayangkan Uzair
macam dia sayangkan Ezzaq, cucunya sendiri. Sedih sebenarnya bila dia melihat
kedua-dua lelaki yang dulunya pernah rapat kini berpaling bila berjumpa.
“Sama-samalah kita berdoa ya Awa..”
Kata opah. Air mata disekanya. Sedih bila cerita lama dibuka kembali.
Puan Awa mengangguk. Saban hari dia
tak pernah lupa untuk berdoa kepada Dia supaya melembutkan hati Uzair.
Kedua wanita itu tenggelam dalam
dunia masing-masing. Sama-sama kesal dengan apa yang berlaku dulu. Kalaulah waktu
boleh diundurkan ke belakang…
“Opah, Acik Ros dah nak balik dah..”
Satu suara lelaki datang menghampiri mereka. Cepat-cepat opah menyeka air
matanya dengan hujung baju kurungnya. Puan Awa juga begitu.
“Ahh Ezzaq. Sat, sat..” Jawab Opah
sambil mengelap tangannya di tuala kecil yang tersangkut di dinding dapur itu.
Lalu dia berjalan ke muka pintu meninggalkan dua orang manusia yang sedang
berpandangan sesama sendiri itu. Dibiarkan saja mereka berbicara sesama sendiri
setelah sekian lama tidak bersua.
“Mak Cik Awa..” Tegur Ezzaq lembut,
macam selalu. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan wanita yang selalu
membantunya dulu. Kalau dulu rumah Puan Awa inilah yang akan ditujunya bila opah
naik angin dan Puan Awa lah yang menjadi pendinding, menyorok di belakang
kerana takutkan rotan tebal opah itu. Ezzaq tersenyum… betapa nakalnya dia
dahulu!
“Ezzaq.” Puan Awa mengangguk sambil
menyambut salam yang diberi Ezzaq.
Ezzaq menelan air liur. Janggal.
Kalau dulu pasti dia akan petah berbicara dengan Puan Awa tapi sekarang, dia
lebih selesa untuk mendiamkan diri. Rasa bersalah pada seluruh keluarga itu
menyesakkan dadanya.
Bersalahnya dia pada Puan Awa, pada Haikal
yang kecil tak tahu apa-apa itu, pada kak Nisah yang masih menjeling ke arahnya
bila berjumpa…
Dan bertimpa-timpa sesalnya pada
Uzair. Teringat pada kata-kata terakhir Uzair sebelum itu.
“BAWAK motor jangan laju-laju sangat.. kau ni
bawak macam pelesit tahu?!” kata Uzair.
“Macam la
lu tak besa dengan gue. Aku jaguh kampung kut!” Ezzaq tersenyum sambil
mencalitkan ibu jarinya ke hidung.
YA ALLAH.
Kalau tidak diikutkan naluri
remajanya, sudah tentu perkara buruk tak terjadi…
Kalau diikutkan nasihat Uzair yang
senior tiga tahun daripadanya, sudah tentu Hazirah tak pergi.
Ezzaq meraup rambut hadapannya
sambil beristighfar. Berdosanya dia pada mereka sekeluarga.
“Opah cakap orang rumah Ezzaq dah berisi.
Tahniah.” Kata-kata Puan Awa itu menganggu lamunan Ezzaq. Ingatan pada
peristiwa sepuluh tahun itu mulai hilang dan digantikan dengan imej Puan Awa
yang sedang tersenyum memandangnya. Mungkin wanita itu ikut gembira dengan
berita itu.
Ezzaq mengangguk. Dia tidak pasti
sama ada dia perlu lampirkan rasa gembira (yang sememangnya dia tengah rasa
sekarang) ataupun menunjukkan riak bersedih kerana dia sedang berdiri di
hadapan wanita yang kematian anaknya disebabkan oleh kecuaiannya sendiri!
“Uzair je la tak ke mana-mana. Macam
tu je dia..” Puan Awa tersenyum. Saja
dia menyebut nama Uzair, mahu melihat reaksi Ezzaq. Dan sesungguhnya bukan saja
Uzair yang berubah selepas peristiwa itu tetapi Ezzaq juga yang semakin pendiam
bila berhadapan dengannya. Kalau dulu ada saja mulutnya berbicara, petahnya
bercakap. Tapi sekarang, bercakap bila ditanyakan soalan saja.
“Uzair macam mana mak cik?” Akhirnya
soalan yang sekian lama dalam fikirannya terkeluar juga. Itupun setelah Puan
Awa menyebut nama 'Uzair' di dalam perbualan mereka.
“Dia okay. Sihat, Alhamdulilah..
tapi gila kerja sangat. Asyik kerja, kerja, kerja. Kalau kat atas kapal tu tak apa
la jugak nak fikir kerja, ini bila dah turun darat pun dia pikir pasal kerja
jugak.” Cerita Puan Awa. Itulah anak lelakinya, tak betah duduk kalau tak
melakukan kerja. Apa tidaknya, asal saja turun kapal, Uzair dah bertanyakan bisnes
yang dia lakukan dengan Aki sekarang ni.
“Biasalah tu mak cik. Lelaki kena
cari duit lebih, nak jaga anak bini.”
“Tapi kahwinnya tidak. Ezzaq yang
muda dari dia ni dah nak masuk sorang anak.. dia entah bila. Hidup atas kapal
je kan? Mana nak jumpa perempuan.”
Ezzaq tersenyum. Macam biasa, dia
sudah selalu mendengar ayat rasmi emak-emak ini bila si anak masih tidak berkahwin
bila sudah menjangkau umur-patut-kahwin ni. Tidak perlu pergi jauh, di rumah
pun dia dah selalu dengar bila mama dok bising kat Along sebab tak kahwin-kahwin
sampai sekarang.
“Kalau dah ada jodoh nanti, kahwin
la dia mak cik. Ajal dan jodoh ni semuanya ketentuan Allah.” dia berhenti
sekejap (menelan air liur) bila perkataan 'ajal' itu keluar dari mulutnya. Ironi! Dia berbicara, berpung-pang pasal ajal
tetapi dia sendiri…
Puan Awa mengangguk bila Ezzaq
kelihatan ragu-ragu untuk menyambung ayatnya. Tangannya menepuk bahu Ezzaq.
“Betul sangat tu. Mak cik harap
Ezzaq tak rasa bersalah lagi pasal peristiwa dulu tu. Semua benda dah nak jadi…
kami sekeluarga dah redha dengan pemergian arwah. Mak cik redha.” Matanya
memandang Ezzaq yang memandangnya tanpa perasan. Lambat-lambat kepala itu
mengangguk. Alangkah senangnya kalau Uzair pun lembut hati begini…
Ezzaq hanya tersenyum janggal.
Hatinya hanya mampu menitip doa dari jauh supaya lelaki yang dia sanjungi dulu
itu turut juga meredahi pemergian arwah Hazirah. Insha-Allah. Harapannya tetap
bersama Allah.
Ajal maut dan jodoh itu semuanya di
tangan Tuhan. Tugas manusia ni ialah berdoa kepada-Nya supaya Allah sampaikan
apa yang terbaik untuk mereka… kan?
Dan siapa tahu mungkin yang kita
ingat buruk, tak elok untuk kita tu sebenarnya yang terbaik untuk kita?
Dan siapa tahu Allah mungkin
hadirkan pelangi selepas turunnya hujan? Datangnya mentari selepas gelap gelita?
Siapa tahu?
Itu semuanya rahsia Allah.
“Mengapa
Tuhan tumbuhkan bunga selepas kontang, hanya dari benih hitam yang kusam.”
No comments:
Post a Comment