Thursday, 29 May 2014

Vice Versa (Bab 1): Ednin

HANDSOMENYA abangku!” Imej Hazirah yang sedang tersenyum kembali melayar di mindanya. Ketika itu mereka sedang duduk menolong ibu yang tengah menyediakan karipap yang ditempah oleh Ucu Kiah semalam. Irah tergelak mengekek sambil mencalitkan sedikit tepung di pipi Uzair.
                “Hoi! Apa ni? Ish kata nak tolong ibu. Ni dah kacau abang pulak. Cepat-cepat, sat gi ibu balik tengok karipap ni tak siap memang mampuih kita kena berletiaq tau dak.” Leter Uzair yang tengah mengelim tepi karipap. Masih tak kemas kalau mahu dibandingkan dengan karipap ibu tapi kemahirannya bolehlah lepas kalau mahu dibandingkan dengan kemahiran sesetengah orang lain.  
Irah hanya tersengih. Tangannya giat lagi mengacau Uzair di sebelahnya. Abangnya, Uzair memang begitu. Kalau boleh bercakap, memang tak boleh berhenti. Kalah emak-emak!
                “Irahhhh! Berhenti kacau abang.” Nada pada suara Uzair sudah dinaikkan bila Irah masih lagi rancak mengusiknya
                “Abang, Irah sayaaaaang abang!” Kata Irah sambil menghadiahkan pelukan kepada Uzair. Pelukan dieratkan lagi bila Uzair mahu meronta keluar.
                “Ni awat ni? Buang tebiat?”
                “Apa pun berlaku, abang kena ingat yang Irah sayang abang. Sangat-sangat.” Kata Irah sebelum lari keluar bila mendengar bunyi enjin motor di luar rumah mereka.
                Uzair termangu di lantai dapur. Pelik! Mendengar ayat dari adik perempuannya yang berjiwa ‘rockers’ itu.



“IRAHHHH.” Jerit Uzair dalam tidur yang tidak pernah lena. Dia terus terjaga dari tidurnya dengan nafas yang tidak teratur. Imej Irah yang tersenyum tadi di dalam mimpinya itu sudah hilang dan digantikan dengan imej bilik yang diterangi lampu. Sejak peristiwa itu memang dia lebih selesa untuk tidur di dalam keadaan cerah. Lebih tenang, dia rasa.
Uzair meraup mukanya sekilas. Dia mimpi lagi! Mimpi yang tidak pernah putus mengacaunya sejak sepuluh tahun yang dulu. Cuma kali ini sudah tidak sekerap dulu…
Fokus matanya diarahkan ke jam dinding. Pukul 4 pagi.
Gebar ditarik ke tepi. Kaki diturunkan ke lantai lalu dihalakan ke muka pintu bilik dengan helaan nafas yang masih tercungap laju.



“YA ALLAH, Uzair!” Puan Awa menjerit kecil bila melihat Uzair yang sedang duduk di atas kabinet dapur. Hampir terkeluar jantungnya bila melihat objek hitam itu. Tambah-tambah lagi dengan suasana yang gelap gelita yang hanya bertemankan lampu jalan di luar.
“Uzair…” Panggil Puan Awa lagi bila Uzair sedikit pun tidak bergerak bila dia terjerit kecil tadi. Kepalanya masih lagi tertunduk melihat lantai, tidak bergerak mahupun seinci… Tahulah Puan Awa yang fikiran Uzair bukannya di situ tetapi sebaliknya sudah terbang jauh, merentasi masa, merentasi tahun… Puan Awa tahu di manakah destinasi itu sebenarnya.
Destinasi sepuluh tahun lepas… Bisik hati Puan Awa. Tangannya pantas menekan suis lampu yang kebetulan terletak di sebelahnya.
Taaappp.
Seluruh dapur rumah separa kayu, separa batu itu sudah terang kembali dengan cahaya lampu. Uzair yang tadinya tidak perasan akan kehadiran ibunya di situ terus kembali ke alam realiti.
“Ibu..” Kata Uzair lemah. Terus dia melompat turun dari kabinet.
Puan Awa berjalan ke kabinet, mengambil segelas air masak lalu diserahkan kepada Uzair yang sudah mengambil tempat di meja makan.
“Mimpi lagi?” Tanya Puan Awa lalu duduk di hadapan Uzair. Matanya memandang lemah pada anak lelaki sulungnya yang kelihatan serabai itu.
Uzair mengangguk perlahan. Mana mungkin dia boleh menipu dengan ibu yang melahirkan dan membesarkannya selama 29 tahun ini? Ibu mesti tahu apa saja yang terlintas di kepalanya. Dari dia menipu, lebih dia mengaku saja. Lebih mudah.
Puan Awa menggelengkan kepala. Kasihan Uzair... Sejak Hazirah meninggal dunia akibat kemalangan, sejak itulah tidur Uzair tidak pernah lena, tidak pernah aman. Sering saja diganggu dengan imej bayangan Hazirah
“Sudah la Uzair.. lupakan pasal Irah. Dah bertahun dah arwah pergi. Biar arwah tenang di sana…” Nasihat Puan Awa. Dia tahu yang anaknya ini masih berdendam dengan Ezzaq disebabkan peristiwa hitam itu..
“Uzair tak boleh lupa ibu.. Tak mungkin.”
“Sampai bila Uzair?”
“Sampai Uzair boleh lupa keadaan Irah malam tu, ibu.” Uzair memejamkan matanya. Keadaan adiknya malam tu terlayar elok di mindanya. Masih jelas lagi badan yang penuh luka, darah yang masih mengalir dari lubang hidung. Imej itulah yang selalu menghantui dirinya. Agak-agaknya macam manalah perasaan adiknya malam tu. Sakitkah dia di saat nyawanya ditarik? Sekali lagi imej itu muncul di kepalanya.
Uzair pantas membuka mata. Bilalah dia boleh lupakan imej buruk ini?
“Uzair masih marahkan dia ye?”
Khali.
Dia faham siapa ‘dia’ yang dimaksudkan ibu itu. Wajah ibu yang sedang memandangnya itu dipandang seketika sebelum dia tunduk meneguk air. Lambat-lambat kepala digelengkan.
“Dia yang buat Irah macam tu. Sebab dia la Irah mati ibu.. Irah baru 14 tahun ibu masa tu..”
“Ya Allah, Uzair… itu Qada’ dan Qadar. Mana kita boleh pertikaikan…” Lemah Puan Awa bersuara. Apa yang Uzair tengah buat sekarang ni akan memakan dirinya pada suatu hari nanti.

“Ibu, please. Jangan…” Khali. “Sampai bila-bila Uzair tak akan maafkan dia.. Tak akan!” Kata Uzair lantang. Dia nekad. Itu janji dia pada Hazirah.

No comments:

Post a Comment