Thursday, 22 August 2013

Sungguh, Aku Jatuh Hati (Bab 1): Zarra Zuyyin



Prolog
Cinta yang agung
Adalah ketika kamu menitikkan air mata
Dan masih peduli terhadapnya
Menunggunya dengan setia
Adalah ketika dia mulai mencintai orang lain
Dan kamu masih bisa tersenyum sembari berkata
Aku turut berbahagia untukmu

Apabila cinta tidak berhasil
Bebaskan dirimu
Biarkan hatimu kembali melebarkan sayapnya
Dan terbang ke alam bebas lagi
Ingatlah bahawa kamu mungkin menemukan cinta dan kehilangannya
Tapi ketika cinta itu mati kamu tidak perlu mati bersamanya

Orang terkuat bukan mereka yang selalu menang
Melainkan mereka yang tetap tegar ketika mereka jatuh
Khalil Gibran

Entry terakhir dalam blog Chenta dari Kayangan untuk tahun ini. Blog kedua yang hidup dan takkan mati melainkan sudah sampai waktunya seperti blog aku yang pertama! Blog yang penuh dengan catatan kehidupan seorang gadis bernama Nuradelia Hanani.
Esok, tahun baru menjelang.
Okey, tutup cerita tahun lepas. Buka cerita baru. Haisy, macamana mahu buka cerita baru kalau cerita lama masih lagi belum jumpa The End. Biarpun tahun lepas masih ada cerita yang belum langsai. Hutang yang entah bila akan aku langsaikan atau mungkin sahaja tidak akan aku langsaikan sampai bila-bila.
Diari baru, planning calendar baru, cinta baru? Erk... Cinta baru takkan ada! Kalau cinta yang sedia ada pun masih kabur lagi penghujung ceritanya.
Setiakah aku menunggunya? Biarpun cintanya untuk aku mungkin sudah berstatus...

Blog has been removed

Sorry, the blog at adelianani.blogspot.com has been removed. This address is not available for new blogs.

Dia removed kisah chenta. Atau dia hanya private aje dulu. Wah... Bikin penasaran aku! terbit senyum hambar. Badi sastera mana sampuk budak enjin macam aku ni.
Sudah bertahun kisah chenta aku dan dia tergantung tanpa ampaian! Dia di sana dan aku di sini. Masing-masing sunyi sepi, lusuh senia bak kata mak. Pakat-pakat membawa diri, merenung bulan yang sama dan menengadah bintang di langit yang sama.
Yang tak sama? Mungkin perasaan aku atau mungkin juga perasaan dia pada aku.
Aku menghela nafas. Setahun berlalu. Rasa sekejap aje. Masih belum puas merenung hakikat hidup.
Udah... udah ler tu Nani oii, tenung semula pahala atau dosa yang sangkut dekat bahu kome setahun ini. Kan itu lebih bagus lagi. Kata nak jadi solehah. Usaha nak mensolehahkan diri tu? Haih... hati kalau berdesis, memang makan dalam!
Tangan mendopang muka. Merenung skrin komputer riba yang kian suram. Sama suramnya dengan hati aku. Entah ke mana bintang hati bersembunyi sampaikan langsung-langsung kelam.
‘Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula).
Lekat Surah al-Nisa’ ayat 128 dalam kepala aku.

“Ustaz, salahkah saya bercinta sebelum menikah?” tangan yang sedang merungkaikan tudung terhenti. Mata melirik ke jam di tangan. Sudah pukul lima petang. Rembang Asar rupanya. Laju tangan kanan memutarkan volume radio. Tudung aku sangkut di tempatnya. Kemudian aku labuhkan tubuh di atas katil.
“Tak salah.” Mak ai... selambanya ustaz ni jawab. Telinga aku mendengar lagi.
“... cinta tu wujud sebelum menikah lagi. Jadi celah mana yang kata cinta sebelum nikah itu salah? Haram?”
Herm... menarik. “... cinta yang macamana yang dikatakan cinta sebelum menikah tu? Haa... yang tu penting. Baru kita boleh bagi hukum. Salah ka dak ka. Halal ka haram ka.” Aku mendekat ke radio.
“... kalau kata cinta tu jenis yang dok pegang tangan, tepuk tampaq hang aku. Yang tu memang cinta yang jenis campakkan kita pi masuk neraka.” Akal aku mula menghadam kata. Kemudian membandingkan dengan situasi pada diri.
“Habis ustaz... macamana pula cinta yang boleh bawak kita masuk syurga?” aku tarik senyum di bibir. Soalan yang menarik.
“Cinta yang mana... kita jaga diri kita. Kita patuh suruhan dan tinggalkan laranganNya. Masing-masing jaga diri sendiri. Ingat, tindakan kita yang menentukan kita nak pi neraka atau nak dok dalam syurga.”
Mencongak diri sendiri. Adus... Kenapa rasa semacam aje?
“... Kalau dah betul-betul cinta, buat istikharah. Lepas tu buat pula matematik cinta.”
Erk... matematik cinta pun ada? Hai ustaz...
“... Tambah tolak darab bahagi hubungan antara kita dengan orang yang kita cinta tu. Lepas dah rasa tetap dah hati, yang tu juga yang Allah tunjuk dekat kita, yang lelaki tu hantaq pinangan. Yang perempuan pula suruh wakil tanyakan ehwal lelaki tu.” Erm... betul juga tu.
“Jangan serah pada istikharah saja. Rancang dunia dengan akhirat tu betul-betul. Barulah kita kata boleh kata betul I love you.” Aku tergelak kecil.
“yang lelaki, cuba taaruf dan buat baik dengan saudara lelaki perempuan tu. Yang perempuan pulak, rapatkan diri dengan saudara perempuan lelaki.”
Bunyi pengumuman yang dibuat membuatkan pendengaran aku sedikit terganggu. Argh.. dah la topik tengah sedap ni. Lebih kurang tiga minit, pembesar suara sudah diam. Kembali fokus pada radio.
“...siapkan diri. Untuk jadi isteri solehah dan suami yang soleh. Sapa tak mau bahagia. Ada lagi ka jalan bahagia kalau bukan jalan masuk syurga sama-sama?”
Terangguk aku memahamkan apa yang didengar. “... jadi, jangan kata salah, jangan kata betul. Tapi, tengok cara kita letak rega cinta tu sendiri. Kalau saya ka, cinta saya sebelum saya menikah dengan mem saya tu memang mahal. Sebab cinta tu asli. Saya cari dengan iman dan saya minta tolong dengan petunjuk Allah.”
     
Cinta aku dengan Hafez Nubhan?
Aku dilalaikan dengan cinta pada lelaki ini. Sebab itu Allah bantu aku dengan perpisahan dengan sesuatu yang telah menolak aku hingga ke pintu neraka.
Allah... murah rupanya cinta aku...
What u give, you get back!

No comments:

Post a Comment