Thursday, 22 August 2013

Jurutera Hati Saya (Bab 2): Normaslina Masri



MELISSA mempercepatkan langkah kakinya menuju lif. Lagi lima minit kad kedatangannya akan berdakwat merah. Sebaik sahaja pintu lif terbuka di aras lima, dengan separuh berlari Melissa menuju pintu pejabat.
Dengan pantas Melissa mengambil kad dan terus dimasukkan ke dalam mesin. Tik. Dia dapat mendengar dengan jelas bunyi mesin itu ‘mencetak’. Ketika kad itu ditarik keluar, mesin itu mengeluarkan bunyi. Satu siren yang panjang dan menandakan waktu pejabat sudah pun bermula. Melissa merenung kadnya dengan penuh rasa bangga. Tak sia-sia dia bersenam tiap petang, stamina yang dia ada berguna sungguh untuk waktu-waktu kecemasan macam pagi ini.
“Selamat pagi.” Melissa senyum semanis kurma pada yang menyapanya, Kak Piah  tukang cuci paling lama yang berkhidmat kat bangunan ini.
“ Assalamualaikum la kak.” Balas Melissa.
“Akak saja nak usik Mel. Lawa hari ni?”
“Akak nak suruh saya belanja ye?
“Tak aihhhh, ikhlas ni.” Kak Piah senyum-senyum lagi.
“Orang tua tu dah masuk kak?” tanya Melissa. Orang tua yang dia maksudkan ialah Irfan, bos nombor dua kat pejabat ni. Melissa memang berbulu sungguh dengan Irfan, pendek kata mereka tak boleh bertemu roma langsung.
“Dah. Awal-awal lagi dah sampai. Lebih kurang pukul tujuh tadi.” Melissa mencebik mendengar penjelasan Kak Piah.
“Biasalah kak, orang tua kan selalu bangun awal. Dia orang mana boleh tidur lama-lama sangat.” Tokok Melissa. Pandai-pandai sahaja dia buat perumpamaan macam tu.
“Dah, baik Melissa masuk. Nanti kena ceramah percuma pulak pagi ni.” Kak Piah tersenyum sambil meninggalkan Melissa. Tengok, otak Melissa tak senget tahu. Kak Piah pun tahu yang Irfan tu memang selalu cari fasal dengan dia. Pada hal, kerja Melissa tak ada kena-mengena pun dengan Irfan tau. Cuma kadang-kadang sahaja, Melissa terpaksa ganti jika pembantu Irfan bercuti. Masa tu, lagi galaklah Irfan akan membuli Melissa dengan perkara yang bukan-bukan.
     


“MELISSA.” Melissa sedang menaip. Dia pura-pura sibuk dan terus menaip tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya, terutamanya pada orang yang sedang bersuara sekarang ini.
“Melissa.” Namanya diseru untuk kali kedua. Sungguh, Melissa belum pekak. Dia memang dengar namanya dipanggil. Tapi boleh saja kan kalau dia buat-buat tak dengar? Sebabnya? Sebabnya mudah sahaja. Dia tak suka dengan orang yang menyeru namanya tadi.
“Awak tak dengar ke saya panggil nama awak?” Irfan sudah berada di hadapan mejanya.
“Ada apa?” Mahu tidak mahu Melissa terpaksa angkat muka juga.
“Boleh tak tolong buatkan saya kopi ‘o’?” Irfan cakap sambil tersenyum-senyum.
“Tak boleh.” Selamba sahaja Melissa jawab. Dia terus mengalihkan pandangan kepada komputer di hadapannya.
“Kenapa pulak tak boleh?”
“Sebabnya saya bukan tea lady kat pejabat ni.” Melissa tak mahu kalah.
“Tolonglah. Mimi lambat datang pagi ni. Saya ada tetamu kat dalam bilik tu.” Irfan cakap lembut, tak macam selalu apabila dia cari fasal dengan Melissa. Tanpa sempat Melissa memberi serangan balas,  Irfan meninggalkan dia terkulat-kulat di situ. Mahu tak mahu, Melissa terpaksa juga bangun dari meja.
Eiiiii, sakitnya hati. Melissa melepaskan geram dengan mencampakkan sudu yang tidak berdosa  ke dalam singki. Dia tak tahu pada siapa kemarahan patut dia lepaskan. Pada Irfan? Atau pada Si Mimi, Personal Assistant (PA) Irfan yang datang lambat pagi ini.
Dalam pada merungut dan mengata Irfan berbakul-bakul dalam hati, tak sampai sepuluh minit, Melissa sudah mengetuk pintu bilik Irfan.
“Masuk.” Suara Irfan dapat didengar dengan jelas. Melissa mencebik. Itu reaksi spontan, tanda tidak puas hati masih berbekas.
Dengan berhati-hati Melissa meletakkan dulang di atas meja. Cawan yang berwarna hijau dia letakkan di hadapan ‘Tuan Belum Haji’ tu. Sementara yang berwarna biru dia letak di hadapan tetamunya pula. Melissa kerling sekilas pada lelaki yang duduk di hadapan Irfan, tak jelas wajahnya. Nak tenung lama-lama dia takut kena sound dengan Irfan nanti.
“Air kosong aje ke?” Tangan Melissa yang sedang mengangkat teko terhenti. Telinganya dapat mendengar bunyi tawa terlepas daripada bibir Irfan yang merah. Harus sekejap lagi bibir tu jadi lebam karang. Cakap ikut sedap mulut aja, bagi pelempang baru tahu.
“Macam kat rumah pula apabila kau cakap macam tu.” Tegur tetamu Irfan. Bagus, ada otak mamat ni. Tak macam Irfan tu, perangainya lebih teruk dari budak sekolah.
Iye?” Irfan tertawa lagi. Masa ni, Melissa sudah rasa seperti ingin mengetuk kepala Irfan dengan dulang yang ada di tangannya.
“PA?” Tanya lelaki yang berkemeja warna hijau lembut dan berseluar warna kelabu gelap.
“Taklah. Nilah orang rumah aku. Eh, belum lagi. Bakal. Bakal orang rumah.” Irfan tidak ketawa kali ini. Sebaliknya dia tersengih penuh makna pada Melissa.
“Irfan.” Akhirnya suara Melissa terkeluar juga. Sabarnya sudah jatuh merudum.
“Laaaa, gurau sikit pun tak boleh? Tengok pipi dah merah.” Usik Irfan lagi. Melissa bagi jelingan maut kat Irfan. Dia terlupa bahawa ada tetamu lain dalam bilik ini.
“Taufik. Ini Melissa. Dia ni PA partner aku.” Taufik lelaki yang diperkenalkan itu berdiri. Dia tersenyum memandang Melissa. Seperti mesin pengimbas paling canggih abad ini, Melissa mengumpul data tentang Taufik.
      Mata sepet.
      Kening Lebat
      Hidung molek terletak.
      Kulit cerah.
      Tidak merokok. Mana tahu? Tahulah, bibirnya warna  merah.
      Ada lesung pipit di pipi kirinya.
      Tinggi sekitar 180 cm.
      Beratnya lebih kurang 85kg.
Wow! Ini data yang dapat Melissa rakamkan dalam masa kurang dari sepuluh saat.
“Selamat berkenalan.” Taufik tersenyum. Lebih manis daripada tadi. Saat ini, Melissa rasa jantungnya jatuh bergulung-gulung. Dia terkaku di situ, terkelip-kelip tanpa suara. Renungan Taufik seolah-olah membius kewarasannya secara total.

1 comment:

  1. Alamk da terhabis baca dgn lajunya bab 1 &2.... First impression ....menarikkkk....ada buat hati rasa satu mcm x sabar nak tau next episod..bestt

    ReplyDelete