JAM BULAT berwarna hitam putih yang
terletak pada dinding dikerling sekilas. Sudah pukul enam setengah petang.
Kemudian Melissa membaca data yang terpapar di hadapannya.
Kalori: 678
Kecuraman: 7.5%
Kelajuan: 9.5 km/j
Masih ada lapan minit
sebelum treadmill ini berhenti secara
automatik. Dengan menggunakan tangan kiri, Melissa menekan papan paparan sekali
gus mengurangkan kelajuan larian kepada 4.1 km/j. Tuala kecil yang berwarna
putih diambil, peluh yang meleleh pada muka dan leher dia lap dengan perlahan.
Sebaik sahaja mesin
berhenti, tanpa membuat regangan Melissa terus sahaja menuju bilik persalinan.
Setelah membasuh tangan dan mengemaskan barang-barangnya, Melissa segera
berjalan ke lobi untuk memulangkan tuala dan mengambil kad ahli.
“Hai Mel.”
Terhenti tangan
Melissa yang sedang menolak pintu utama, siapa pula yang panggil ketika dia
hendak cepat macam sekarang ni.
“Hai.”
Melissa hulur senyum
pada Ruby, perempuan Melayu ala-ala mat salih yang dia kenal sejak mendaftar di
pusat kecergasan ini tersenyum ramah.
“Dah nak balik ke?”
Melissa senyum lagi. Kalau dah namanya orang Melayu mesti macam ni kan? Lagi
mahu tanya , bukan ke dia nampak Melissa dah angkut segala beg dan ada kat
depan pintu sekarang?
“Ya.” Melissa jawab
juga soalan ‘pandai’ Ruby.
“Awalnya? Tak pergi Spinning Class ke?”
“Tak. Ada hal sikit.”
“Okey. Jumpa lagi
esok.” Jawab Ruby. Dia berlenggang macam itik pulang petang dengan persalinan
serba merah jambu terang. Pergh, nak
termuntah Melissa tengok dia. Ruby kalau berpakaian memang macam budak remaja,
tak sesuai sungguh dengan usianya yang dah masuk angka empat tu.
Habis awak tu
berpakaian macam mana pula Cik Melissa oiii? Eh, okey apa ni. Lagipun kita
dengan Cik Ruby tu tak sebaya. Jauh sangat jarak umurnya. Masa Ruby dah pandai
mengurat, Melissa baru lahir tau. Melissa tersenyum sendiri di hadapan pintu
lif, macam orang tak betul sahaja apabila bersoal jawab seorang diri macam
sekarang ni.
Nak makan apa ye? Soalan ini berlegar-legar di dalam
kepala Melissa. Enjin kereta dia hidupkan dengan segera. Setelah empat minit
berlalu, dia terus menekan minyak tanpa bertangguh lagi.
Makan KFC? Isyyy,
buat penat sahaja dia maraton tadi.
Piza? Melissa
mencongak jumlah kalori untuk sekeping piza saiz kecil. Makan piza mana cukup,
kena la pesan sup cendawan dan kepak ayam. Barulah lengkap kan? Tak boleh. Tak boleh. Kena sayang nyawa
sikit. Melissa nak hidup lama, nak ada suami, nak ada anak, nak bina keluarga
bahagia. Melissa tersenyum geli hati mengenangkan angan-angannya.
Ketika berhenti di
lampu isyarat, Melissa tiba-tiba mendapat idea. Telefon bimbit dia ambil,
mencari nama di senarai kenalan, lalu nombor itu dia dail. Setelah deringan
kelima, barulah panggilannya bersambut. Tanpa berbasa-basi, Melissa membuat
pesanan dengan pesanan bahawa dia akan tiba digerai Mak Limah dalam jangka masa
lima belas minit dari sekarang.
Nasi putih.
Tomyam ayam.
Telur dadar sebiji.
Kailan goreng ikan
masin.
Dua puluh lima minit
kemudian, Melissa sudah berada di meja makan di rumahnya.
No comments:
Post a Comment