Monday 28 September 2015

Dona Karan Penang (Bab 4) ~ Fatihah Pauzihal

                “Mana Farah?” Bali mengjongketkan bahu menandakan dia tidak tahu.
            “Tadi dia kata nak balik dah,” Kak Jah duduk di atas kerusi bulat di ruang dapur, memerhatikan sahaja Bali mencicah biskut kering ke dalam mug yang berisi milo panas.
                “Nape kak?” Kak Jah diam. Dia tidak menjawab soalan yang diutarakan Bali namun mindanya sedang memikirkan sesuatu.
                “Camana exam results dia? Okay?” Bali mengangguk-angguk perlahan.
                “Okaylah pada kita orang ni. Dia kan ada otak ala-ala genius, walaupun dia tak pernah buat ulangkaji seteruk kita orang.” Bali memandang wajah Kak Jah yang seolah sedang memikirkan masalah negara itu.
Kenapa ni? Masalah apa pulak? Ish, ada masalah ke dengan budak Farah tu. Bali terfikirkan sesuatu. Kena buang Universiti ke budak Farah ni? Dia bertumbuk ke? Atau dia ada ciplak assignment mana-mana student, lepas tu kantoi kena tangkap, ke? Tapi rasanya, kasar-kasar dia pun, tak adalah sampai nak buat semua benda tu. Ke, kena tangkap khalwat? Dengan jantan mana pulak? Ish, merapu dah aku ni. Tiba-tiba dia teringatkan kenalannya sama satu kursus yang di tangkap khalwat dengan teman lelakinya juga dari kursus yang sama di kafetaria Indah, semester lepas. Kenalannya tu, dari luaran nampak baik sangat, lemah lembut dan ayu. Sentiasa memakai baju kurung dan memakai cekak rambut warna senada baju. Semua orang respect couple tu, sebab, tak pernah di lihat berdua-duaan walaupun satu kuliah. Semua orang tahu mereka tu ‘couple’ pun sebab terdengar ura-ura mereka nak bertunang. Apa lagi, satu semester di gantung pengajian! Itu tak di kira betapa malunya mereka sebab semua orang tahu bagaimana keadaan mereka semasa di tangkap! Astagfirullahalazim, minta simpanglah....
                “Tak... mmm tak apalah. Kak Jah nak mandi dulu. Kalau Farah balik cakap kat dia, akak nak cakap dengan dia sikit ya,” Bali mengangguk lagi dan memandang lenggok Kak Jah yang berjalan masuk ke biliknya.
Sekeping lagi biskut diambil lalu di cecah ke dalam milo susu yang masih berasap. Sekeping demi sekeping hinggakan dia mula sendawa, barulah dia berhenti menyuap. Tak tahulah dekat mana dia sumbat semua makanan-makanan yang masuk ke dalam perutnya. Tubuh dia kecil saja, berat badan pun tak sampai 45 kg, tapi, dia asyik makan sahaja, tak kira masa. Itu yang membuatkan kawan-kawan serumah yang lain cemburu dengannya. Walhal, kalau nak dikatakan dia bersukan, baiklah si Zurin yang hantu tidur tu, adalah juga nak berjoging sekali seminggu. Dia... huh, berjalan kaki dari tempat meletak motosikal ke dewan kuliah, dan berjalan kaki dari tempat meletak motosikal ke lif apartmen mereka. Itu sajalah senaman yang dia buat!
                “Woi,”
Bali mendongak. Apalah main sergah-sergah. Bagilah salam.
                Farah duduk di kerusi yang di tinggalkan kak Jah beberapa minit yang lalu. Tanpa bertanya dia mengambil mug di hadapan Bali dan meneguknya perlahan.
                “Fuh, kau buat milo campur nestum ke?”
                “Tak, itu serdak dari biskut yang aku cecah tadi,” Oooo...  Farah kembali meneguknya hingga habis. Sedap juga, walaupun berserdak!
                “Kau dari mana ni?” Farah membuka tudung warna hitam kegemarannya dan mengemaskan ikatan rambutnya yang sudah hampir terlerai.
                “Dari tasik,” Tasik? Mimpi apa Farah pergi tasik di belakang Desasiswa Harapan tu?
                “Buat apa?”
                “Dating sambil bagi tung tung makan!” Selamba saja dia menjawab, kemudian dia bangun dan berjalan menuju ke arah biliknya. Dating? Dengan siapa? Takkan dengan Jandur kot!
                Bali bangun, mengambil mug yang ditinggalkan kosong oleh Farah tadi, kemudian menuju ke sinki.
                “Bali!” Hampir terlepas mug dari tangannya bila satu tangan memegang bahunya secara tiba-tiba.
                “Apa? Kau ni kalau tak bagi aku terkejut monkey macam ni, tak boleh?” Farah ketawa besar. Aik? Farah ketawa terkekeh kekeh? Rasanya dah enam bulan Farah tak ketawa besar macam ni lepas peristiwa dia di tipu oleh Jandur. Sejak semester baru ni, lain macam ceria si Farah. Mungkin cuti yang panjang di kampung dapat menenangkan jiwanya.
                “Monkey terkejut macam kau ni ke?” Soal Farah. Bali mencebikkan bibirnya lalu menyangkut mug yang baru di basuhnya ke rak pinggan mangkuk.
                “Tadi aku jumpa dengan ‘Gajah Gila’!” Gajah Gila?
                “Kat mana? Terlepas dari zoo ke?” Dengan wajah terkejut yang dibuat-buat, Bali membuntangkan matanya. Malas dia nak melayan sangat karenah perempuan ni.
                “Kat tasik lah beb! Memang betullah macam gajah, tapi tak adalah gila, crazy sikit-sikit je,” Apa yang dimerepekkan oleh Farah ni?
            “Kau cakap apa ni?”
Farah ketawa lagi, kemudian dia berjalan pantas menuju ke biliknya dengan tawa yang masih bersisa. Bali mengelengkan kepala perlahan tanda dia tidak faham dengan perangai sahabat baiknya itu. Kemudian, dia menepuk dahinya sendiri.
Dia lupa nak memberitahu Farah yang kak Jah nak jumpa dia!
********************************************************************************************

                Farah melangkah laju menuju ke apartmen yang dihuninya bersama rakan-rakan seuniversiti.
                “Tak singgah ke hari ni?” Farah mendongak. Dia senyum dalam paksa.
                “Tak, dah beli bungkus nasi kat kafe tadi,”
Dia mengangkat sedikit plastik yang berisi nasi bungkus yang dibelinya di kafetaria desasiswa Cahaya tadi kearah tiga orang pemuda yang dikenali sebagai abang-abang ‘Ca’, sedang mengangkut kerusi dan meja. Sedang bersiap sedia untuk membuka gerai roti canai di hadapan apartmen Desa Universiti. Fini yang mula-mula menggelarkan mereka dengan nama abang ‘Ca’. Maksudnya, abang jual roti canai. Ringkas dari perkataan ‘Canai’. Arghhh... Fini, pandai sungguh dia kalau bab memberi gelaran  nih!
                “Tu, untuk petang. Malam nanti, datang lain, no!” Farah mengangguk sekadar mengambil hati dan dia meneruskan perjalanannya.
                Dia menyeka peluh di dahi. Hari ini dia terpaksa menapak sejauh lebih 3 kilometer naik turun bukit. Macamana motosikalnya  boleh rosak, dia pun tak tahu. Start tak nak hidup. Sakit habis betis keringnya menyentak pedal motosikal tadi. Mujur ada Shamir yang gila-gila bahasa tu. Boleh juga menolong hantarkan ke kedai. Ada gunanya juga ada saudara mara kat sini. Kalau dia tak mahu menolong tadi, siaplah dia menadah telinga,  bila Farah ceritakan pada kakak iparnya nanti.
                “Assalamualaikum!” Farah berpaling. Seorang lelaki dengan topi keledar masih menutup muka menyapanya sebelum sempat dia melangkah masuk ke dalam pintu pagar Desa Universiti.
                “Waalaikumussalam!”
                “Dik, student USM ke?” Farah diam. Dia berkira-kira seketika. Kalau dia mengatakan ya, tentulah mamat ni nak minta tolong panggilkan makwenya kat Apartmen Desa Universiti ni. Comfirm dah ni! Selalu je kes macam ni berlaku. Selalunya dia tolong juga, tapi hari ini dia tiada mood. Dia hanya memandang ke arah lelaki itu dengan wajah tanpa perasaan. Dia sangat letih jadi dia tiada rasa untuk beramah mesra.
                “Tak, saya kerja kilang!” Lelaki yang hanya kelihatan separuh dari wajahnya iaitu mata dan bahagian atas hidung itu hanya  terdiam, mungkin terkejut dengan kata-kata gadis di hadapannya.  Macam nak marah pun ada.
                “Saya tak kenal mana-mana budak USM kat sini. Maaf ye,” Sebelum sempat lelaki itu berkata lanjut, Farah sudah memintasnya, kemudian dia berjalan pantas masuk ke kawasan apartmen. Lelaki yang masih berada di atas motosikal besar itu hanya termangu-mangu di situ.
                Sampai sahaja di tingkat lapan, Farah menjengukkan kepala ke bawah. Lelaki itu masih di situ. Siapa ya? Tak pernah nampak pun sebelum ni.  
*******************************************************************************************

                “Kau dari mana ni Fini? Jumpa Ah Chong ke?”
Bali yang sedang mengunyah kacang dengan tangannya ligat menulis sesuatu di atas kertas kajang, menjeling sekilas kearah Fini yang baru saja menutup pintu bilik.
                “Tak, Ah Chong tak datang minggu ni. Dia kena out station.” Bali mengangguk-angguk perlahan namun tangannya sama ligat dengan mulutnya, bekerja!
                Ah Chong! Itu nama panggilan rakan serumah kepada tunang Fini. Jangan salah faham. Ah Chong tu bukannya berbangsa Cina. Muka pun tak ada iras-iras Cina. Apatah lagi tinggal di negeri Cina. Dia tiada jiran berbangsa Cina. Atau pun dia suka makan masakan Cina! Namanya menjadi Ah Chong sebab, dia berasal dari Puchong, Selangor!
Masa Fini mula-mula berkenalan dengan Ah Chong melalui laman sembang MIRC tu, selama tiga bulan mereka saling tak mengetahui nama masing-masing. Yang Fini tahu, budak tu berasal dari Puchong. Itu yang dia panggil Ah Chong. Sampai sekarang pun rakan serumah Fini tak tahu nama sebenar sebab asyik panggil Ah Chong saja! Allah temukan jodoh mereka di alam siber, maka sebaik saja mereka bertemu muka sebanyak dua kali, terus Ah Chong menghantar rombongan meminang. Risau jika Fini terlepas ke tangan orang lain. Tak tahulah macamana Ah Chong tu boleh jatuh hati dengan Fini yang suka buat perkara yang tak pernah terfikir untuk di buat. Contohnya seperti memberi gelaran pada orang-orang tertentu. Atau pun suka menegur orang-orang tertentu tanpa sebab. Atau pun juga suka mencari pasal dengan orang-orang tertentu tanpa sebab! Tapi... ada beberapa  perangai dia yang payah sikit nak jumpa pada zaman ni. Dia suka tolong kawan. Dia juga berterus terang. Kadang-kadang terlalu berterus terang!--
                “Habis tu kau jumpa siapa tadi?”
Fini merebahkan badannya ke lantai marmar yang dingin.
                “Paksu aku. Dia kata berapa kali dia round kawasan rumah kita nak cari orang tolong panggilkan aku. Tapi semua orang buat tak endah saja. Ada sorang Minah tu, siap tipu kata dia kerja kilang, bukannya student. Mana ada orang kerja kilang kat apartmen kita ni kan?” Bali mengangguk lagi. Ye lah apartmen berhampiran Universiti tentu sekali mahal harganya. Kebanyakan tuan punya apartmen meletakkan harga sewa antara RM800 hingga RM1000 bagi setiap unit. Penyewa kebanyakannya terdiri dari pelajar universiti, pensyarah dan ada juga beberapa orang jurutera kilang. Tuan punya apartmen pula adalah terdiri daripada tauke-tauke perniagaan yang biasanya membeli hartanah dan bangunan untuk dijadikan sebagai aset mereka.
                “Naper dia tak telefon?” Fini mencebikkan bibirnya ke arah Bali yang semakin khusyuk mengunyah kacang.
                “La, kan telefon rumah kita rosak!”
                “Handphone kaulah. Kan Ah Chong ada bagi handphone kat kau ari tu?”
                “Dah rosak. Jatuh kat tangga belakang Desa Fajar tu. Kan tangga tu curam. Aku pulak kalut nak pergi makmal kat PP Sciences Maths (Pusat pengajian Sains Matematik) tu, ada disscussion pasal project work final year. Walaupun doktor Ahmad Majid tu baik, tapi aku segan kalau asyik lambat je. Kau bukan tak tahu kalau dia bagi senyuman ajaibnya tu. Dia tak bagitahu pun aku faham, dia senyum perli dan penuh bermakna!” Terang Fini panjang lebar.
                “Tapi, kau jangan gatal-gatal mulut bagitahu Ah Chong. Aku dah tipu tahap A tambah tambah, kata aku tertinggal kat kampung handphone tu,” Bali angkat tangan kanan, seolah mengangkat sumpah untuk tidak membocorkan rahsia.  Bali kembali menulis sesuatu di kertas. Sesekali dia menekan kalkulator di sisinya.
                “Kau buat apa tu?” Fini yang rasa terganggu bila melihat Bali sedang khusyuk, mula bangun dan merapati sahabatnya.
                “Tutorial Aljabar Linear II, ni. Yang Doktor Koh bagi tiga empat hari lepas. Peninglah kepala aku. Jawapan yang aku dapat tak sama langsung dengan jawapan sebenar. Iras-iras pun tak dak.”
                “Susah apa, kau  jikplak  je yang Farah punya. Aku rasa dia dah siap. Semalam aku nampak dia letak kat atas komputer dia kat depan,” Selamba saja Fini menjawab. Sebenarnya, dia pun sudah siap menyalin a.k.a meniru penyelesaian tutorial yang diberi oleh Doktor Koh itu, pagi tadi. Aljabar Linear II, adalah subjek wajib untuk pelajar yang mengambil jurusan Sains Matematik, Matematik Gunaan, Sains  Pendidikan Matematik dan apa sajalah jurusan yang ada nama ‘Matematik’!
                Mereka mengambil aliran yang sama, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Matematik. Yang berbeza hanya kursus major dan minor. Bali dan Fini dalam Statistik manakala Farah dan Zurin dalam Pemodelan Matematik dan Pemodelan Komputer. Itu nama baru bagi kursus major mereka. Kalau dulu, ianya dikenali sebagai Reka Bentuk Grafik Berkomputer (RGBK) yang banyak menggunakan pendekatan matematik dan grafik komputer. Kursus minor pula mereka boleh memilih dari kursus-kursus major yang lain dalam bidang yang berkaitan dengan kursus major. Contohnya, Fini dan Bali mengambil ‘Pengurusan’ sebagai kursus minor, memandangkan mereka mungkin akan memulakan kerjaya di kilang-kilang. Zurin pula mengambil kursus minor dalam ‘komunikasi massa’. Kononnya dia bercita-cita untuk bekerja dengan TV3! Farah pula mengambil ‘Sains Komputer’ sebagai kursus minor kerana baginya Grafik tentu sekali berkaitan langsung dengan penggunaan komputer!
                “Tak mahulah. Aku dah berjanji dengan diri aku sendiri. Final year  ni, aku nak buat semua soalan tutorial sendiri,” Fini gelak kecil. Ye lah tu... paling lama, pagi esok sebelum mula kelas tutorial, pasti Bali akan kelam kabut menyalin jawapan dari dia! Confirm!  
                “Eh, jap! Tadi kau kata, Paksu kau datang. Pehal? Sapa budak pompuan kerja kilang yang dia cakap tu? Paksu kau dah kahwin ke belum? Handsome tak?”
Fini malas nak melayan soalan bertubi-tubi dari Bali lalu dia berpaling dan berjalan menuju ke tandas bilik utama yang dihuni mereka. Belum sempat dia membuka pintu tandas, ianya sudah terbuka sendiri. Mata Fini terbeliak, terkejut mungkin!
                “Kau tiru tutorial aku? Dah lama buat kerja macam ni?” Hah!
 Wajah Farah tersembul di balik pintu. Masam mencuka. Fini tersengih panjang, cuba menyembunyikan perasaan malu akibat ter’kantoi’ dengan Farah namun kemudian, dia teringatkan sesuatu.
                “Dah lama kau kerja kilang?” Farah mengerutkan dahinya. Kerja kilang?
Ish, ni mesti budak motosikal besar tadi beritahu? Siapa dia? Siapa dia dengan Fini?

No comments:

Post a Comment